Wednesday, November 06, 2013

Warkah 1 untuk Embun

Seharusnya perlu aku memulakan tinta ini dengan puji-pujian kepada Allah, yang sememangnya Maha Kaya, Maha Kasih dan Maha Sayang. Yang menukarkan tiap2 titis airmata menjadi permata berharga, yang menukar muram menjadi tawa, perit menjadi bahagia, dan terbukti kasih sayangnya yang tidak putus-putus, kekal dan terus-menerus

Embun,

Ini kali pertama aku menulis untuk kamu. Kerana khabarnya kamu sudahpun melebihi usia empat tahun. Itu pun aku tahu dari laman ibumu yang terlalu tabah itu. Tahniah orang muda. Selamat datang ke dunia penuh pancaroba. Mungkin sedikit masa lagi kamu mampu membaca. Atau mungkin telah pandai pun! Jadi berhati-hatilah memilih apa yang kamu baca. Dan fahamilah apa yang kamu baca, itu yang pentingnya

Embun, sesuci dinihari,

Siapakah aku ini? Ketahuilah bahawa aku adalah rakan dan kenalan ibu dan ayahmu yang jauh sebenarnya dari mereka. Tidak pernah bertemu mata, tidak pernah mendengar suara. Hanya kenalan dalam laman maya, namun terasa dekat dan akrab sekali. Apakah mungkin perhubungan yang semacam itu? Ya sayang. Tentu saja kalau dengan izin Dia. Dia yang menentukan jodoh pertemuan. Dia yang meniupkan nur kasih sayang. Apakah ada yang tidak mungkin kalau sudah Dia yang berkata ya?

Mengikut kefahaman akalku yang terlalu terhad ini, tentulah saja kamu itu tidak sempurna kasih sayangnya lantaran tiada juga kamu membesar dengan belaian seorang ayah. Namun, aku terlalu percaya bahawa apabila Tuhan menarik balik satu perkara, maka akan dianugerahkan pula perkara yang lainnya. Ya, yakinlah wahai anak muda bahawa kamu itu telah mendapat seorang ibu yang unggul. Keunggulan yang bukan dilahirkan tetapi diasah dan dipahat dengan semangat. Keunggulan yang diukir dengan begitu payah dan berhati-hati, hanya kerana sebab beliau perlu unggul. Beliau perlu jadi unggul untuk kamu

Jangan ditanya pada aku bagaimanakah ayahmu. Aku juga sebenarnya tidak pernah tahu. Cuma dapat aku pastikan bahawa beliau pemuda hebat. Walau sekejap tempoh perkenalan, namun keberkatannya diraih sepanjang zaman. Ya, dan nukilan buat kamu ini lah buktinya.

Embun,

Aku suka nama kamu. Ringkas, mudah dan sedap maknanya. Aku tahu ibubapamu telah memilih nama yang baik untuk kamu. Nama yang baik untuk nanti dipanggil sebagai orang baik-baik. Namun segalanya harus bermula dengan panggilan yang baik, walaupun kerap juga kita lihat manusia yang mempunyai nama baik2 tapi tidak sebaik akhlaknya. Elakkan. Elakkan berfikir demikian. Jika bertemu dengan manusia seperti itu, doakan agar akhlak mereka sebaik nama yang diberi percuma

Embun,

Aku pernah berjanji dengan ibu dan ayahmu, untuk menulis untuk kamu. Supaya satu hari nanti bisa kamu baca. Tatkala akal dan kefahaman yang jitu telah mula mampu mempengaruhi sanubarimu. Dan ya, kini aku buktikan janji2 aku itu. Aku tidak pernah lupa, cuma adakalanya kekangan masa melewatkan segala perancangan yang aku lakukan. Aku nayata kalah mengawal masa. Kalah dalam mengatur langkah

Embun, yang utama..

Bagaimana agaknya rupa kamu? Ya, tentulah manis. Manis di mata ibu dan kakandamu juga. Sayang, aku berpergian tanpa menjenguk kamu. Malah tidak pernah sekali pun berjumpa dan berkenalan. Ya, adakalanya aku malu dengan diriku sendiri. Aku selalu bertangguh-tangguh. Dan sehingga ayahandamu dipanggil bertemu-Nya pun aku masih bertangguh

Bagaimana Ibumu, wahai orang muda? Sihatkah dia? Bagaimanakah kakandamu? Telahkan kamu pandai mendoakan untuk kedua orang tuamu? Aku tahu kamu akan cerna di satu masa. Ambillah masa selama mana. Hiruplah santunan budi mengikut suka. Buat dan bereksperimentasilah apa saja untuk menilai erti bahagia dan air mata. Kami; aku sendiri dan kedua orang tuamu barangkali telah melalui jerih payah itu. Walaupun masih banyak yang belum kami habisi dalam perjalanan hidup kami, namun sebetulnya itu sesudah lebih dari separuh yang bakal kamu hadapi dalam usiamu yang ranum ini

Embun,

Aku kini menulis dalam hawa sejuk yang terlalu menusuk. Kebas tangan dan jari-jemari namun untuk tidak menaip dan menggerak-gerakkan mereka itu terasa lebih kebas. Dulu kamu sekeluarga yang berhijrah meninggalkan negara tercinta. Belajar tentang budaya dan masyarakat luar seterusya kembali menghargai dan menyayangi budaya kita sendiri. Kini aku lah pula. Ya, aku lah pula yang Tuhan hantar di medan ini. Medan juang ini. Berseorangan, sepi dan tiada berteman. Namun Tuhan senantiasa ada dan hidup segar dalam hatiku. Aku hidup dan mati di atas muka bumi ini untuk Dia dan tiadalah yang lainnya

Jadi molekkah aku merungut tentang kesepian dan kesseorangan itu? Tidak, aku malah tidak pernah berseorangan. Senantiasa ada Dia memerhati dan mendengar dan memaklumi segala

Dia dekat. Dan itu rahmat

Akan aku menulis lagi padamu wahai anak muda. Menulis sehingga kulit2ku berkedut tua, dan sehingga kamu muda remaja lalu dewasa. Berharap agar kamu menjadi sehebat orang tuamu. Memahat nama walaupun asalnya kita ini bukan siapa2. Bukan berketurunan dan berdarjat akan tetapi makhluk Allah azza wajalla juga

Aku akan memerhati dari jauh. Sambil mendoakan ayahandamu yang mungkin sekali sedang aman menunggu hari pembalasan, mudah-mudahan. Aku pasti doa isterinya yang setia, doa anak2nya yang meningkat remaja senantiasa ada menemani beliau di tanah sana

Ketahuilah bahawa kita juga akan ke sana bila panggilan itu menjelma. Namun sebelum dijemput, hendaklah kita yang menurut. Menurut kata iman, kata akal dan kata Tuhan. Biar apa orang kata, kita tidak hidup untuk mereka. Yang lebih tahu dan maklum hanyalah Allah Taala sahaja

Embun yang jauh,

Doakan aku yang tua ini. Tua tetapi masih muda mengejar cita-cita. Alangkah baiknya jika dapat berkongsi pengalaman dengan sahabatku itu. Mendengar persepsi beliau dari pelbagai sudut pandang. Ya, namun tiada siapa yang dapat menghalang takdir Tuhan. Kita hanya merancang namun ketentuan masih Dia yang memutuskan

Sekian saja dari aku untuk kali ini. Semoga hendaknya kita berutus lagi. Hormati dan sayangi akan ibumu, kasihi akan saudaramu, tinggikan martabat agamamu dan jangan dilupa asal usul dan budaya melayumu

Itu akar kita, Embun. Sekalipun dicantas pasti bercambah juga, walau tumbuhnya di tanah mana.....

Hartini Omar
London 
5 Oktober 2013

....

Jemput baca warkah2 untuk ayahanda dan bondamu..

Dia yang Pergi Lebih Jauh (Mac 2011)

Saat2 Aku Teringatkan Kamu Wahai Ahmad (April 2011)

Sekali Lagi Untuk Engkau yang Jauh (November 2011)

Untuk Kamu, Ahmad (Julai 2012)

Bolehkah Kamu Tadahkan Tangan? (Oktober 2012)

Tiba2 Aku Teringin Menulis Sesuatu Buat Kamu, Mawar (Ogos 2011)

3 comments:

BungaTulip said...

Assalamualaikum Tini,

Saya tekun membaca penulisan kamu buat Embun. Kelak apabila dia meningkat usia dan tahu membaca serta menilai dia pasti akan terharu dengan apa yang kamu sampaikan untuknya..Saya tahu berkenaan blog 'Nafastari' itu pun dari link yang tini tinggalkan di blog ini.

Saya membaca setiap penulisan Mawar dalam blog.Dalam hati terdetik juga betapa tabah dan berat ujiannya.

Semoga Mawar terus diberi kekuatan dalam membesarkan dua orang puterinya, Embun dan Kekwa.

Alfatihah buat arwah..

*Mawar Nafastari* said...

Salam,

tini... terima kasih atas nukilan yang ikhlas dari hatimu ini.. sangat tersentuh naluri keibuanku...

semoga kamu juga berjaya dunia akhirat... Allah telah beri yang terbaik untuk kita, tinggal kita saja untuk menghargai dan mensyukurinya... Subahanallah, tahniah kerana berpeluang merantau , jaga diri dan salam ukhuwah ...

inshaaAllah, kita akan jumpa juga satu hari nanti :)

Hartini Omar said...

Bunga Tulip,

Harapan saya juga begitu. Semoga kelak beliau dapat menhayati tulisan saya kelak. Mudah-mudahan ;)

Mawar,

Terima kasih kembali. Akan saya belajar untuk lebih menghargai apa yang Tuhan tentukan kini. Untuk kamu dan keluarga juga saya doakan kesejahteraan, mudah-mudahan

Terima kasih anda berdua