Tuesday, January 30, 2007

Korban kasih

Terlalu lama blog ini kubiar sepi. Kelam rasanya hari2 yang berlalu, tanpa rasa, tanpa jiwa. Aku hidup tanpa cinta. Kerana orang2 sepertiku hanya tahu mengadun rencah duka dan lara. Kadang2 aku bahagia bila berduka. Kalau segalanya indah dan ceria, terasa jiwa kosong, kusam dan bungkam. Hanya senyuman terukir di bibir namun hati tetap merintih. Patutlah karya2 indah hanya dapat dihasilkan bila diri dalam nestapa. Kerana bila sedih, kita lebih dekat dengan hati, dekat dengan nurani.

Minggu lepas aku ke utara tanah air. Menyambut tibanya eidul Qurban bersama2 keluarga angkatku. Banyak kah yang telah aku korban kan demi keluarga dan agama?? Entah, jawapanya aku pun tak tahu. Korban. Belum pun dalam fahamanku terhadap nilai yang satu itu. Bukan daging dan ternakan yang sampai pada tuhan, melainkan amal dan keikhlasan.

Sempat juga masa kuhabiskan bertandang ke rumah jiran2 dan saudara-mara (angkatku). Dari situ kukenal dengan ramainya dan banyaknya perangai manusia yang tuhan ciptakan. Ada yang begitu, ada yang begini. semuanya kuambil dan kusimpan kukuh dalam jendela hati. Biar kugunakan bila tiba masanya nanti.

Aku ingin menjadi seperti ibu itu bila aku dewasa nanti. Memberi dan memberi tidak pernah meminta untuk dihargai. Jiwanya murni, hatinya suci namun kelam di dalam, tiada siapa dapat renungi. Ibu itu telah amat banyak berKORBAN demi anak2 dan cucunya. Tanpa pula mengenal jerih payah dan beratnya tugas tergalas di bahunya. Aku kagum malah bersyukur. Paling tidak pun, aku berpeluang mengenali insan setabah itu. Suka duka yang dilaluinya takkan mampu ku ukirkan dengan kata2. Biar tuhan saja membalasnya dengan limpahan pahala.

Kalau si ibu yang sebaik itu pun didurhakai lagi, aku takkan mampu menerima kenyataan hidup ini. Apalah sangat yang diinginkan oleh si ibu tua itu melainkan perhatian dan kasih sayang anak2. Tapi malang… Itulah, takkan mampu anak2 menjaga ibu yang seorang. Takkan mampu kita. Tahap juangnya takkan sama. Rasa sayangnya takkan sedalam cintanya ibu pada kita. Setitik air mata ku jatuh berderai di pipi. Sukar benar rasanya melihat kesedihan hati tua itu. Kalau lah aku mampu, biarlah segala kebahagiaan ini ku curahkan buatnya, dan segala kepayahan hidupnya kekal buatku berabad lama. Tapi mana ku mampu menghalang perancangan ilahi. Sesungguhnya segala apa yang terjadi ada hikmah dan rahmat yang menyelubungi.

Kini aku rindukan ibuku. Rindukan ayahku dan adik2ku di rumah sana. Mereka berhari raya tanpaku disisi. Entah apa sebenarnya di hati mereka. Entah kan marah, entahkan rela. Moga mereka dapat menerima aku dan diriku ini. Aku insan yang suka mengembara melihat manusia, namun seringkali lupa untuk menjengah kedalam kehidupanku sendiri. Moga bonda dan ayahnada memaafkan segala dosa2ku. Aku hanya Tini yang selemah2 manusia. Ampunkan ku Mama, ampunkan ku Papa. Ya Allahu Rabbi, sayangilah kedua ibu bapaku seperti mana mereka menyayangiku sewaktu kecilku. Berilah limpah rahmat dan keberkatanMu kepada mereka. Hidup dan matikanlah mereka dalam keimanan dan ketaqwaan kepadaMu. Allahu rabbi, jadikanlah aku anak solehah yang berbakti kepada kedua orang tuaku hingga ke akhir hayatku, ya Allah. Murahkanlah rezeki ibubapaku dan permudahkanlah segala urusan mereka. Hanya kepadaMu ya Allah aku mengadu dan bermohon sesuatu. Ya Allah, tidak lupa jua ibu tua itu. Lindungilah dia dari duka dan nestapa. Murahkan lah rezekinya. Tenangkanlah hatinya. Damaikanlah dia dalam kehidupan dan kematiannya dan hanya padaMu lah aku berserah…

Moga dengan kedatanganku ke kampung ini, dapat memberi seribu pengalaman dan pengertian tentang erti korban yang sebenar. Bukan mudah berkorban, apatah lagi dikorbankan. Moga saja ku yang masih muda belia ini dapat mengamat-amati erti pengorbanan dan kasih sayang. Erti hidup dan juang. Korban kasih yang sejati, korban kasih yang suci.


SEGENGGAM TABAH –inTeam-

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak air mata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup di palu
Pasti bertemu tenangnya….

Ayat2 cinta

Novel yang ditulis oleh Habiburrahman El-Shirazi atau Kang Abik ini baru saja ku habiskan pembacaannya. Indah dan sungguh membangunkan jiwa. Sebuah novel yang benar2 mampu menginsafkan kita tentang siapalah kita di sisi Tuhan. Ramai lagi yang di luar sana dikasihiNya. Setakat solat 5 waktu yang kekadang pun kita kurang, mengaji pun jarang2, apatah lagi berzikir panjang, tiada siapa pun kita di sisi Allah azza wajalla. Aku insaf, kerana sebagai manusia biasa yang banyak cacat celanya, aku terharu untuk mengetahui bahawa ada ramai di luar sana yang lebih beriman dan beramal dariku. Cemburu kah Tini? Ah, masakan tidak. Sudah tentu aku cemburu. Bukankah kita semua dihidupkan untuk merebut cinta dan kasih sayang Allah?? Nah, masakan tidak aku cemburu. Malah sepatutnya semua wajib cemburu.

Novel ini mengisahkan jerih payah kehidupan seorang mahasiswa Indonesia yang mengabdikan diri menuntut ilmu di dunia Mesir. Mohd Fahri sebagai pelaku utamanya banyak memegang watak dan secara tidak langsung membawa pembaca untuk menghayati keseluruhan cerita. Fahri tidak berseorangan. Beliau ditemani oleh beberapa lagi protagonis yang lain baik lelaki mahupun perempuan. Kawan2 Fahri sendiri yang berlima, Maria gadis Katolik (yang mulanya kusangkakan heroin dalam cerita ini), Aisya si gadis berpurdah, Alicia; gadis Amerika yang merantau di Mesir dan Nurul; teman seperjuangan Fahri yang juga memendam rasa padanya.

Sesebuah cerita tidak akan lari dari konflik, dan begitulah jua dengan Ayat2 Cinta ini. Watak antagonis sepenuhnya dipegang oleh Bahadur; jiran tetangga Fahri yang buas dan tidak makan teguran, dan juga Noura yang pada mulanya bersikap innocent tetapi berpaling tadah dan mula memusuhi Fahri. Permusuhan ini lah yang mejadi kemuncak atau klimaks kepada keseluruhan cerita penuh pengajaran ini.

Dengan siapa Fahri memadu kasih, bagaimana permusuhan Fahri-Noura boleh berlaku dan apakan pengakhirannya aku serahkan sendiri kepada pembaca. Kalau aku nyatakan segalanya di sini, nah, maka tak perlulah El-Shirazi menjual bukunya yang hampir 500 muka itu. Carilah dan alamilah kehebatan hubungan berlandaskan Islam di dalam ceitera yang dilakar oleh seorang penulis muda. Namun pandangan ikhlasku, masih belum mampu menguasai kehebatan tulisan Hamka yang menjadi nadi perjuanganku. Banyak lagi yang pelu dipelajari oleh penulis muda ini. Namun harus juga diberikan kredit. Kerana walau tidak semua, kemanisan imannya masih kan terasa jua.

BERBUDI KAH MASYARAKAT KITA??

“Itu terpulang la pada awak. Kalau awak tak nak pinjam, itu bukan masalah saya!”

Keras benar bunyi bahasa itu. Laju menerjah gegendang telinga yang sehingga kini masih terngiang-ngiang bunyinya. Lama ku ambil masa mengumpul semangat yang luluh hancur dengan perkataan sebegitu rupa. Jiwaku yang sensitif ini benar2 teruji dengan kurang sopannya kata2. Memang tidak kesat, namun cukup kasar untuk mengguriskan perasaan. Mengapa wujud masyarakat yang pesimistik dan mementingkan diri sendiri seperti ini di dunia? Wahai, geram benar hatiku. Kalau tidak disebabkan Bulan Mulia ini, mahu saja ku beradu lidah dengan si empunya bahasa. Mujur Tuhan jadi ingatan, Iman jadi panduan.

Tingkat 4 bangunan perpustakaan itu aku tinggalkan dengan rasa sukacita. 3 buah buku karya agung penulis2 tanahair kugenggam erat di genggaman. Tak sabar benar untuk pulang meneliti kisah2 wacana zaman berzaman. Bukan untuk peperiksaan, sekadar mengisi jiwa yang dahagakan coretan pengalaman dan ilmu pengetahuan. Yang baik buruknya dapat kujadikan pedoman kehidupan.

Derap tapakku kuhayunkan ke kaunter peminjaman. Mesin meminjam automatik yang bersusun di sebelah kananku kupandang jengkel. Bukan tidak mahu aku menggunakan khidmat yang cepat dan pantas itu, cuma aku tidak yakin dengan kesahihan mesin automatik itu. Setiap kali ke sana, aku pasti gagal menggunakannya. Entah salah aku, atau salah mesin, aku kurang periksa.

Kaunter kosong. Aku tersenyum. Kelibat seorang pemuda melebihi dua dekad usia tampak kemas duduknya. Kuberikan salam. Karya agung yang tiga buah itu kuletakkan dihadapannya. Laju pula tanganku mencapai kad matrik dan kuletakkan di atas karya.

“Ni kenapa?” katanya tegas. Tidak memandang pun ke arahku.
“Mm.. saya nak pinjam buku2 ni.”
“Kat sana!”
sambil memuncungkan mulut ke arah mesin automatik yang berdiri kukuh.
“Boleh abang tolong log out kan?”
“Sini tak boleh. Pergi sana!” bentaknya. Sesekali matanya dijegilkan.
“Saya tak biasa guna mesin tu. Setiap kali guna, mesti tak dapat log out. Boleh abang tolong log out kan kat sini?”
“Buat kat sana dulu. Apasal pulak tak boleh? Pergi sana. Ini arahan.”
“Saya betul2 mintak tolong. Saya memang kurang arif nak guna mesin tu. Saya rela tak pinjam terus buku ni dari guna mesin tu.”
Rayuku.
“Awak tak nak pinjam, itu terpulang pada awak. Itu bukan masalah saya!” katanya sinis.

Aku tinggalkan manusia bongkak itu dengan hati yang gerutu. Geram benar aku. Ikutkan perasaan, ingin saja aku bertekak dengannya.

Bukanlah susah pun menolong me‘log out’kan buku2 yang tiga buah cuma. Bukankah itu kerjanya?? Apa gunanya duduk di hadapan kaunter peminjaman namun gagal pula memberikan perkhidmatan pada yang memerlukan?? Salahkan aku sebagai pengguna meminta bantuan dari pihak pengurusan?? Tentu saja ada sebab yang wajar mengapa aku tidak menggunakan mesin automatik benilai ribuan ringgit itu. Kalau saja mesin itu yang wajib digunakan, lantas mengapa diwujudkan kaunter peminjaman secara manual tersebut?? Yang dibayar gaij pekerjanya?? Yang cantik kemas duduk lagaknya?? Yang akhirnya tidak pula mampu untuk membantu pengguna2?? Tutup sajalah kaunter itu. Apalah gunanya, ada, tiada sama sahaja.

Bukan kah sama saja mesin peminjaman automatik itu dengan mesin ATM yang terdapat di bank2. Memang benar ia memudahkan. Namun tidak salah sebagai pengguna untuk aku mengeluarkan duit secara manual di kaunter, bukan?? Salahkan berbuat demikian?? Adakah orang akan melarang?? Tentu saja tidak. Kerana mesin yang dibikin itu untuk memudahkan, bukan menyukarkan. Namun kalau mesin itu tidak memudahkan malah bakal pula memalukan*, tentu saja perkhidmatan di kaunter diperlukan.

Kesal benar aku. Patutlah rakyat Malaysia tidak suka membaca. Perpustakawan yang seharian bergelumang dengan ilmu dan karya pun tidak mampu menggalakkan orang ramai supaya membaca. Bukankah rugi, 3 karya karyawan agung itu tidak disentuh orang. Ah, memang begitu sifat manusia.

Tidak boleh kah seseorang itu bercakap dengan penuh hemah? Lembut dan ramah?
“Ye cik, ada apa2 masalah yang boleh saya bantu?” berbanding “Ni kenapa?”….. Bukankah yang pertama itu lebih sedap didengar telinga?? Ah, kata2 yang percuma keluar di mulut pun manusia lokek, berkira. Apatah lagi harta yang tak ternilai harga.

Itu kah budi bahasa??? Senyum pun tidak, ramah jarang sekali. Terlintas di fikiranku bagaimana ‘orang2’ seperti ini boleh diambil bekerja sebagai golongan yang memberi khidmat pada masyarakat?? Entahlah.. Makin difikir, makin kesal rasanya.

Tunggu sajalah masanya, Tini. Kelak dilantik kau sebagai penggubal dasar, pemberi cadangan, pemberi khidmat pada masyarakat, gunakanlah pengalaman yang ada ini untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Biar cemerlang dalaman dan luaran. Biar agung tinggi budi dan keperibadian. Bukan bongkak tak mengenal tempat. Lupa tugas, hilang rasa hormat. Lupa bahawa rezeki boleh jadi tidak berkat. Mundur diri sendiri dan masyarakat sejagat.. Hmm.. Budi Bahasa Budaya Kita???? Sekadar nyanyian Siti Nurhaliza saja lah nampaknya…

Monday, January 29, 2007

masanya kan tiba..

untuk kesekian kalinya aku akan menyambung percaturan ceritera yang tergendala seketika.. tunggulah, masanya pasti kan tiba....