Wednesday, April 30, 2008

Selamat hari pekerja!

Sudah lama jejari tidak menari, membariskan bait2 kata yang menyenangkan hati. Lalu pula seakan-akan aku telah melupakan pekerjaan menulisku kerana terlalu sibuk mengisi masa dengan kerja2 yang dimestikan dalam kerjaya. Hanya kini baru akau bertemu masa terluang, setelah kelas2 pengajian kini tamat, kertas2 peperiksaan akhir semester telah pula kuhantarkan ke bahagian peperiksaan. Markah2 pelajar juga telah aku siapkan, dan kini barulah boleh rasanya aku melepaskan sedikit lelah, mengadu nasib pada kata2 yang menunggu untuk diceriterakan. Sambil itu dapat juga aku memanjakan telinga, bersenang2 mendengar alunan saxophone kesukaan. Sesuatu yg telah lama aku nantikan

Bekerja ini tentu saja bukan mudah. Menjalani hari2 mendatang dengan tugasan2 dan arahan2 orang. Melayan sifat2 manusia yang bermacam ragamnya. Namun atas sebab2 kesusahan itu jugalah dapat dirasakan kenikmatannya bekerja. Kalau yang namanya kerja itu cuma diam dan duduk2 saja, maka tidaklah ia dinamakan kerja

Sebagai tenaga pengajar, tidak lupa juga aku mengingatkan diri sendiri, supaya jangan hanya mengajar. Biarlah mendidik sekali. Mendidik manusia suypaya jadi terbilang. Kalau tidak untuk negara dan bangsa, cukuplah sekadar untuk diri sendiri dan keluarga. Melayan perilaku orang muda atau remaja ini memang tidak mudah. Seperti kita sewaktu remaja juga, penuh emosi dan sesitivitinya

Seringkali juga tatkala aku membaca suratkhabar, mahupun menonton berita, banyak lahir ketidakpuasan hati terhadap perkara2 berbangkit kini. Namun tidak ada pula desakan untuk berkongsi minda dan beradu kata di dalam ceritera ini. Segala semangat itu telah hilang dihirup keletihan. Lalu isu2 itu kupandang saja dengan jiwa yang bungkam tiada rasa

Sehingga kini aku masih menunggu perubahan2 hidup. Menunggu saat tibanya aku berpeluang menjejakkan kai ke luar negara setelah hampir 7/8 tahun tidak terbang ke mana2 (yang mungkin awal tahun depan, insyaAllah). Ataupun menunggu saat tibanya aku dapat menyambung pengajian sarjana (yang mungkin juga hujung tahun ini, insayaAllah). Ataupun menunggu hadirnya cinta. Cinta setia yang membawa kepada kehidupan yang lebih rukun dan bermakna. Sebagai manusia, tentulah aku menanti cinta itu hadir menemuiku

Namun setakat ini, keadaan masih biasa2 saja. Tidak pula terlalu mendesak dan tidak pula terlalu asyik dan melekakan. Jadinya di dalam situasi yang biasa2 ini, biasa jugalah yg dialami hati. Atas dasar kebiasaan itu lah maka kini aku jarang2 sekali menulis. Serasa tidak ada apa lagi yang boleh diceritakan pada pembaca di luar sana

Cuti hari pekerja Khamis ini, aku berniat untuk pulang ke rumah menjengah ibubapa dan adik2 tercinta. Biarlah masa yang lapang ini kuluangkan bersama2 mereka. Kepada kalian juga, jangan lupa kembali ke kampung halaman menjenguk ibubapa yang jarang berteman. Ziarahilah mereka selagi berkesempatan.

Kepada semua pekerja, selamat hari pekerja!

Friday, April 18, 2008

Sebelum menutup mata

Sebelum menutup mata, ingin kubuktikan pada Allah taala, aku hambaNya yang telah mencuba sedaya upaya menurut perintahNya. Telah bersusah payah mengharungi kehidupan yang terlalu banyak dugaannya. Dan telah berjuang demi kepentingan agama dan bangsa

Sebelum menutup mata, ingin aku gembirakan hati ayah bonda dan keluarga tercinta. Ingin kubelai ayah bonda dengan kasih sayang walaupun bukan dengan rangkulan kedua belah tangan. Ingin kukucup dahi bonda dan ayahanda, biar mereka tahu bahawa tiada apa yang lebih bererti dalam hidup ini selain mereka berdua. Ingin ku jadi contoh terbaik buat adik2 tersayang, dan berdoa agar setiap hidup mereka sentiasa dalam cemerlang dan gemilang

Sebelum menutup mata, ingin kujelajahi setiap inci dunia, dan menghirup setiap belai nafas dari udara yang berbeza. Ingin kucari kedamaian di bumi2 bertuah ciptaan yang Esa, melihat dan memijak setiap pelusuk alam yang penuh kebesarannya. Ingin kutatap setiap pasang mata, tidak kiralah yang kering atau basah, dihiasi tangis suka mahupun duka

Sebelum menutup mata, ingin kubibitkan bahasa2 indah, yang bisa menggembira dan meriangkan manusia. Inginku ceritakan pada dunia dengan baris kata2ku yang hanya mampu kesalurkan melalui penulisan. Ingin kudamaikan hati manusia, agar mereka selalu berfikir tentang nikmat dan kurniaan Tuhan. Dan ingin pula kusematkan namaku dalam minda setiap pembaca, agar di mana2 dan sampai bila2, namaku disebut2 dan dijulang2 orang sebagai seorang penulis yang terbilang

Sebelum menutup mata, ingin aku ziarahi setiap guru yang telah mengajarku, biarpun sekecil-kecil ilmu. Ingin ku jabat tangan mereka, dan ingin kutatap wajah mereka sepenuh jiwa. Ingin kukalungkan rasa terima kasih yang tidak terhingga, biar mereka maklum, bahawa tanpa jasa dan bakti mereka, aku tidak akan mampu ke mana2

Sebelum menutup mata, ingin kuhabiskan masa bersama kawan2 tersayang. Mengenang kembali memori2 lalu, mengimbas segala suka duka yang pernah ditempuh bersama. Lalu menginjak pula masa depan dengan senyuman dan kebahagiaan, bercerita tentang cita2 dan kerjaya yang entah sudah tercapai atau masih belum kesampaian

Sebelum menutup mata, aku ingin melanjutkan pelajaranku sehingga ke peringkat tertinggi, biar nanti aku mati dalam linangan kasih Tuhan sebagai hambanya yang berilmu, bukan bodoh dungu. Ingin ku dengar namaku disebut dengan pangkalnya yang pasti membahagiakan telinga2 yang mendengarnya. Ingin kusalurkan ilmu2 yang banyak itu untuk membantu manusia, meskipun bukan dengan wang dan harta

Sebelum menutup mata, ingin ku lafazkan pada sang jejaka di sana, bahawa hanya 'dia' yang bertakhta di hati dan jiwa sejak sekian lama. Tidak pernah terlintas untuk bertemu dengan mana2 cinta, kerana cinta itu sejak dari dulu telah lama disemai, disiram dan dibaja. Dengan itu biar dia tahu, atas nama cinta, aku berdoa agar kebahagiaan sentiasa di sisinya, walaupun dia dan diriku tidak pernah ditakdirkan untuk bersama. Cintaku ikhlas dan suci kerana suci dan murninya dia di hadapan Allah taala

Dan untuk yang akhirnya, sebelum menutup mata, biarlah kehidupan ini kuakhiri dengan restu dan keberkatan ilahi. Sempat meminta ampun dan maaf dari manusia2 yang pernah kuzalimi, dan sempat diberi maaf oleh mereka2 yang mengasihi. Dan akhirnya, sempat mengucapkan kalimah syahadah tanpa keluh kesah sambil tanganku digenggam erat insan2 tercinta…..

Thursday, April 17, 2008

Mentari hidup dan cinta


Kehidupan ini umpama mentari. Adakalanya ia terbit dan menerangi seluruh pelusuk alam. Bila datang malam, ia juga turut pergi melabuhkan tirai siang. Setiap kejadian yang berlaku di cakerawala ini, mempunyai keseniannya yang tersendiri. Cuma apabila manusia diam lalu mula memikir, segala yang indah itu datang menerpa ke sanubari dan minda. Namun bila terleka dengan segala kepesatan yang berlaku di ruang mata, manusia lupa mensyukuri kenikmatan hidup dan dihidupkan dalam alam yang semacam ini. Dalam alam yang penuh indah dan seni

Cinta pun begitu juga. Seperti mentari. Adakalanya ia menyinar, lalu didodoikan manusia dengan setiap rayu dan candanya. Namun bila yang gelap itu menyusul, manusia dibiarkan meraba-raba mencari cinta. Adakalanya dibiarkan tersungkur ke dasar cinta yang paling celaka

Cinta dan hidup begitu sinonim untuk digandingkan bersama. Cinta dan hidup yang selalu melekakan manusia. Bila mengenangkan hidup, manusia mampu berbuat apa saja. Berbuat apa saja untuk mencapai tahap kesejahteraan dan kekayaan. Malah tidak sedikit juga yang sanggup mengingkari janji2 dengan tuhan, asalkan nampak cemerlang, berjaya dan bahagia atas pentas kehidupan

Cinta begitu juga. Untuk cinta, manusia sanggup melupakan segala2nya, asalkan mendapat apa yang dicinta. Cinta wang, kekayaan dan cinta manusia. Dengan cinta manusia melupakan prinsip hati dan jiwanya. Dengan cinta manusia hanya memikir perkara2 cantik yang hanya terbayang di lirik mata. Dengan cinta manusia jadi buta, lalu dengan kebutaan itulah manusia tercari2 apa makna cinta yang sebenarnya

Bagai mentari, cinta dan hidup sebenarnya mampu membuatkan manusia berfikir akan siapa dirinya. Siapa dia disisi tuhannya. Sipa yang lebih patut dicinta dan dipuja. Apa yang lebih bererti; hidup atau mati. Namun sedikit juga ilmu yang kita teguk dari seluruh pelajaran yang tuhan kurniakan, lalu menjadi kita seperti makhluk yang terus-terusan lalai dan melalaikan. Bodoh dan diperbodohkan

Tulisan ini lebih sekadar bermonolog sendiri. Satu peringatan yang kuukir buat diriku sendiri. Selebihnya mungkin juga buat pembaca semua. Kalau2 boleh mereka memahami apa yang dibualkan jiwa. Niatnya satu saja, agar yang baik itu dapat juga kita kongsikan bersama. Aku terlalu sibuk dengan apa yang dikejar hidup, dan terlalu runsing memikirkan apa yang dikejar cinta. Lalu dengan itu aku terlupa bahawa hidup dan cinta itu melalaikanku dari mengingati sang pencipta. Sesungguhnya aku bersalah. Bersalah dalam nilaian kehidupan dan percintaan.

Kini akhirnya kusedari, aku sebenarnya dilekakan minda. Leka mencari makna hidup dan cinta. Sedangkan hidup dan cinta itu bukan untuk dicari maknanya, namun untuk dilalui dan dirasai setiap detik getarnya. Dalam kesedaran aku tersenyum. Melihatkan mentari yang seindah hidup dan cinta. Mentari yang pasti hilang bila saja sang bulan menyusul tiba. Seperti hidup dan cinta yang sentiasa menunggu 'mati' dan 'benci' mengambil tempatnya.....

Wednesday, April 02, 2008

Selamat hari lahir, papa

Tanggal 3 April ini umur papa akan jadi 48 tahun. Masih muda dan masih mampu bekerja keras untuk anak2 dan keluarga. Papa muda setahun dari mama. Namun dari beberapa segi papa nampak lebih berumur dan berusia. Biar berapa pun umur papa, aku tahu papa akan jadi ketua yang baik untuk kami semua

Menyelami sifat2 papa, papa itu orangnya sangat bersahaja. Papa serius tetapi flexible. Papa suka berlawak dan membuat kami berfikir akan tindakannya. Papa selalu memberikan nasihat dan papa penuh berseni dalam berkata2. Papa memang jarang membebel macam mama, tapi sekali papa cakap, semua orang akan dengar cakap papa. Satu yang aku paling suka pada papa, papa memang jarang.... malah jarang jarang sekali menghampakan permintaan dan pertolongan yang diminta

Papa juga seorang suami yang menyenangkan untuk isterinya. Papa tak pernah cerewet dalam hal2 masakan, tak pernah meminta dihidangkan makanan dan tak pernah meminta disediakan air basuh tangan. Bila hari minggu kami akan makan bersama. Selalunya, kalau papa lambat, papa pesan agar kami makan dulu dan tak perlu menunggunya. Aku pernah melihat suami yang marah2 dan naik berang kalau isterinya tidak menghidang makanan atau anak2 menyentuh makanan dahulu sebelum dia makan. Mujurlah perangai pelik itu tidak wujud pada papa. Syukur alhamdulillah

Papa memulakan pekerjaannya dalam syarikat Felda, hanya sebagai pemandu yang menghantar baja dan tanah ke ladang2 di perkampungan felda dan felkra. Aku masih ingat, kami selalu dibawa papa melalui kampung2, kebun getah, ladang kelapa sawit, ladag tebu dan berbagai tanaman lagi. Segalanya kini masih segar dalam memori

Kemudiannya, papa diangkat menjadi eksekutif di syarikatnya. Sewaktu itulah kami mula memakai kereta proton saga. Aku masih ingat warna kereta itu hijau muda. Kemudian papa terima tawaran menjadi sales eksekutif di syarikat Behn Mayer di petaling jaya. Di situ, papa bekerja hingga berjaya menjadi senior worker dalam organisasinya

Papa kemudian ditawarkan oleh Perda Holding, anak syarikat Akib untuk menjadi sales manager. Sewaktu itulah kami berjaya dibawa papa melawat negara2 seberang laut. Di Perda itu, aku fahami yg kerja papa adalah suplier. Papa supply sachet gula dan creamer kepada KFC, MAS dan hotel2 sebahagiannya. Disamping itu, papa juga buat sales kopi yang dipasarkan di luar Malaysia

Papa keluar dari Perda dan memulakan bisnesnya sendiri tatkala aku ditahun kedua UIA. Pada waktu itu, papa bekerja keras untuk memenangi tender supplier. Sesungguhnya memulakan sebuah syarikat baru itu amatlah bukan perkara mudah. Namun berkat doa dan usaha keras papa, papa kini supplier makanan basah kering di Intan Kiara. Papa supply pada kerajaan dan terpaksa menanggung beban berurusan dengan kerajaan. Hanya yang berurusan akan tahu bebanan yang dimaksudkan

Sekarang papa sedang juga berusaha untuk mendapat tender di penjara atau hospital. Kata papa, ia lebih mudah. Tapi kalau supply di Intan, segalanya sukar. Maklum sajalah, menyediakan makanan untuk pegawai2 tinggi kerajaan, ada saja yang kurang mereka berkenan. Cerita papa itu aku sambut dengan senyuman

Kalau papa tidak buat inspection atau pergi melihat2 pekerjanya, papa akan jadi pemandu teksi. Papa cukup tak suka kalau rehat2 saja di rumah goyang kaki. Sebab itu papa cari penumpang dan buat kerja tambahan. Papa memang tahu banyak jalan. Tanya sajalah jalan mana, papa tentu ada jawapannya. Papa macam tahu banyak perkara, dan aku sebenarnya sangat kagum dengan papa

Satu kelemahan papa, papa lambat mendapat pendidikan agama. Papa bersekolah inggeris dan tidak pernah mengaji. Namun aku kagum dengan sifat dan keterbukaan papa untuk belajar mengaji dan fardhu ain bersama2 dengan kami; anak2nya. Tidak semua orang dewasa mempunyai keberanian untuk melakukannya. Papa sanggup melalui segalanya2 demi agama dan tuhannya. Kerana itu juga papa bersyukur aku belajar di sekolah agama. Biar buta dunia, jangan buta agama Allah. Sekarang papa sudah boleh baca Quran dan jadi imam. Papa juga suka baca buku agama dan mendalami bab2 akhlaq dan fiqah

Aku selalu berdoa, agar satu hari nanti aku dikurniakan teman hidup yang istimewa macam papa. Menyenangkan dan memberikan harapan. Kesusahan itu ada berbagai segi. Memang kami tidak hidup kais pagi makan pagi, papa tidak perlu ke bendang sawah dan bercucuk tanam untuk menyuap mulut anak bini. Namun kesenangan papa yang hari ini dicapainya juga dengan jalan yang bukan mudah. Hanya yang sabar dan tabah mampu melakukannya

Semua patut bangga dengan bapa mereka. Seorang bapa yang meletakkan mulut di hatinya. Mereka jarang menyapa jarang melatah. Namun dalam kesunyian itu, mereka punya kuasa menentukan segala buruk baik untuk keluarga, rumahtangga dan isinya. Itulah seorang bapa. Dan aku tahu, aku punyai seorang bapa yang tak kurang hebatnya. Semoga berbahagialah papa di dunia dan di akhirat sana. Biar terbalas segala budi papa dengan keampunan dan limpahan pahala. Selamat hari lahir, papa