Tuesday, July 22, 2008

'ceritera' dalam genggaman

Alangkah bangga dan bahagianya hidup dan membesar dalam kenikmatan teknologi berada di hujung jari. Dan bukan kepalang gembiranya bilamana 'ceritera' kesayangan dapat digenggam dalam genggaman, dapat dilayari walau dimana dan pada bila2 keadaan. Alangkah bertuahnya kita.. Alangkah bertuahnya...
ww: aku yg sentiasa lambat berkembang mengikut masa.. =P

Thursday, July 17, 2008

Nota biru-biru itu...

Nota biru-biru itu bukan milik aku..
Kerna aku cuma abdi pada alam
Tak dibayar keringat dengan wang
Tak dibalas khidmat dengan canang
Itu aku yang dalamnya penuh debu
Depan, belakang, kiri dan kananku
Menunggu hati-hati kian terpesong
Bagai mejan kaku berdiri condong

Nota biru-biru itu bukan milik aku..
Kerna aku cuma hamba pada cinta
Tak diganti jiwa dengan harta
Tak terlunas hutang noda dengan keping biru merah
Itu aku yang luarnya penuh warna
Sisi, tepi, atas dan bawah
Menanti khatimah sebuah juang
Bagai membanjir lembah yang kontang

Jauhkan aku dari nota biru-biru itu
Sebelum mata membuta mulut membisu
Itu bagai tinta melukis susah senang
Dalam kanvas ruang –
banyak : dijulang, sikit : dicurang
Biar diri menyerah pada akal
Sampai saat nyawa dijemput ajal



hartini Omar, 16 Julai 2008, 8.10mlm

Tuesday, July 15, 2008

Aku penyambung warisan

Kupejamkan mata, dan membukanya kembali. Sedar…. Ini bukan mimpi.. kata hati. Bukan?? Sesungguhnya aku harapkan aku bermimpi, supaya bila sedar keadaan akan pulih kembali. Namun tidak.. inilah realitinya. Yang sebenar2 berlaku pada Negara tercinta

Apa yang pernah aku lakukan untuk Negara?

-Diam-

Aku bukan pemimpin yang memikul nama Negara dan termaktub mengemudinya. Aku juga bukan pembesar dan pegawai tinggi yang suara2 dan sarananku bisa didengari dan dihargai. Aku juga bukan ahli sukan yang dijanjikan sejuta semata2 untuk membariskan nama Negara dipersada dunia. Dan bukan juga aku ini seorang ahli perniagaan yang mengurus-niagakan ringgit berkoyan2

Semuanya bukan!

Namun bukanlah bermakna aku ini bukan sesiapa. Kerana 'sesiapa'nya aku itu di suatu masa hanya Tuhan yang mengetahuinya. Namun kini, aku cuma insan kerdil yang bernaung di bawah lembayung Negara Malaysia. Bangga berbangsa melayu yang suatu masa dulu memikul beban duka sementara menunggu saat2 merdeka

Namun yang berlaku di depan mata ini juga bukan satu keamanan. Memang tidak berperang menghunuskan pedang dan parang. Namun kita mahu kah Negara kita menjadi bagai sejarah yang terancang, kelam sehitam arang? Hari2 manusia bercakaran, menuduh dan memburuk-burukkan. Dan yang memelikkan ada pihak yang hanya mampu melihat malah bertepuk tangan

Mengapa tidak dipanggil saja mereka2 yang bertelagah untuk duduk semeja. Berbincang dan bermusyawarah di depan mata. Kalaulah aku pemimpin Negara, aku malu mengaku yang aku memimpin di Negara yang politiknya murah, parah dan bernanah. Memimpin di Negara yang sebahagian rakyatnya mengumpat dan mencerca

Mungkin hari ini kita mampu tersenyum lagi. Boleh kesana-kemari sesuka hati. Namun keamanan yang sedikit tinggal ini akan terhapus jua kalau tiada kaedah dan cara untuk memakmur dan menjaganya. Negara ini Negara kita. Wajib kita pertahankannya dari tangan2 manusia yang membuat nista, tidak kiralah siapa mereka

Jadi, pernahkah aku lakukan sesuatu untuk Negara?

Ya, aku menyayanginya dari dulu, kini dan buat selama-lamanya. Sekurang-kurangnya dengan tidak membuat kerosakan, tidak memfitnah dan membuat tuduhan, tidak mengajak rakyat membuat rusuhan, tidak hanya melihat jatuhnya peradaban dan aku cuma tersenyum bertepuk tangan. Tidak.. semua perkara itu tidak aku lakukan

Itulah aku. Bukan sesiapa yang kini hanya mampu menyaksikan pertembungan tangan2 manusia mengejar nama, harta dan kedudukan. Mempertaruhkan Negara demi kepentingan diri dan orang2 kanan. Aku hamba Tuhan yang meminta pertolongan atas jalan solat dan kesabaran. Semoga ada lah satu masa yang jahat di balas dengan seribu kejahatan, dan yang baik diangkat dan dimuliakan. Itulah yang mampu aku lakukan. Itulah aku penyambung warisan…

Monday, July 14, 2008

Hobi sekeluarga


Antara hobi sekeluarga yang masih dilakukan hingga kini adalah mengumpul magnet dari tempat2 yang pernah kami lawati, tidak kira dalam ataupun di luar negeri. Antara negara dan negeri yg pernah dilawati (samada kami sekeluarga ataupun salah seorang dari kami) adalah:

-US (los angeles, california, hollywood, disneyland, sea world, universal studios, las vegas)
-Mexico (tijuana)
-Australia (melbourn, sydney)
-China
-Canada
-London
-Holland
-Paris
-Prague/Praha (Bratislava)
-Germany (Koln, Monaco Monte Carlo)
-Singapore (Sentosa island)

.....dan di dalam Malaysia sendiri seperti Terengganu (pulau lang tengah, muzium terengganu, awana kijal, sutra beach resort dan banyak lagi). Juga Pulau Pinang dan Kedah (Langkawi, Tasik Pedu) Pahang (Lanjut beach resort - yg dah takde lagi, cameron, genting highland, bukit tinggi resort) Johor, Sabah, Melaka, Negeri 9 dan putrajaya sendiri

-mama selalu pesan, jauh perjalanan luas pengalaman. Sesuatu tempat yg pernah kita lawati, jarang pula kita pergi kali kedua untuk melawatnya kembali. Cara yang paling mudah untuk mengabdikannya (disamping gambar) adalah dengan me'lekat'kannya di depan peti sejuk rumah kita.. =P
ww: semoga adalah rezekinya kami sekeluarga dapat mengerjakan umrah pula di suatu masa..

Wednesday, July 09, 2008

Makin hampir...

Manusia.... Kita makin hampir pada peradaban ini. Peradaban yang memaksa diri memerhati dan diperhati. Ingatan dan peringatan membawa kita kembali pada Tuhan. Namun tanpa usaha dan pemikiran, ia juga takkan mampu merubah insan

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.”
(Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih)

ww:ada bezanya antara orang yang berfikir dan tidak berfikir
hadith dipetik dari blog saiful islam

Tuesday, July 08, 2008

Kekecewaan satu ujian


Perit! Mungkin itu yg dapat disimpulkan meilhat dari raut wajah sang juara yg kehampaan. Aku meminati sukan tennis. Tidaklah sampai ke tahap mahu bermain, namun aku suka melihat pertembungan seorang manusia dengan tenaga dan psikologinya

Ada manusia yang memerangi musuh dengan tenaga, dan ada juga sekadar berperang dengan jiwa dan minda. Siapa pun kita, kekecewaan pasti datang menjenguk sekali sekala. Apa yg mampu dilakukan adalah dengan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kekecewaan adalah satu ujian. Pertarungan antara akal dan perasaan

Kekecewaan mengajar kita erti kesabaran dan ketabahan. Mengajar bahawa hidup ini bagai roda yang berputaran. Segala kesenangan hari ini tidak selalu berpanjangan. Dan begitu jugalah dengan kesukaran. Mungkin esok lusa kita diberikan kemudahan

Sebagai peminat tegar, aku agak kecewa dengan kekalahan pemain pujaanku. Juara itu aku puji kerana mempunyai semangat juang yang tinggi. Sentiasa tenang tika beraksi dan tidak ‘menunjukkan’ sifat dengki (walaupun sebenarnya wujud rasa dengki, cemburu dan iri hati)

Namun kekalahan itu berlaku juga. Untuk menunjukkan pada kita bahawa sang Pencipta telah ada percaturan-Nya. Sebagai manusia, kekecewaan seharusnya memuhasabahkan. Sebagai ingatan bahawa segala kebahagiaan adalah pinjaman. Dan sudah adat meminjam, suatu hari barang yang dipinjam wajib dipulangkan. Termasuklah juga kemegahan dan gelaran!

Monday, July 07, 2008

Kias bicara

Tidak lepas2 tangan manusia yang banyak memegang2 dan menyentuh2 permukaan sutera yang ‘tinggi’ harganya. Dari jauh manusia datang, segenap pelusuk inci dan ruang, lalu menyentuh2 dan memuji2 kehalusan bebenang. Ada yang sekadar melihat2 saja, dan ada juga yang terus membelinya. Dan dari kejauhan batik lepas yg terhidang itu jarang dipandang orang. Dan kalau terpandang pun jarang2 dibawa pulang

Untunglah menjadi sutera. Biar kelam dan basi rupa, asal namanya sutera, pasti disarung ke mana2. Dan batik lepas pula, sekadar peneman waktu malam. Dan memenutup tubuh saat hadir kematian yang tak mampu dikekang. Meneman kujur tubuh yg dingin kejang

Senyaman mana pun bersarong batik, seselesa mana pun menyimpulnya, ia kekal menjadi batik juga. Lantas sudah tentulah tidak akan dibawa kemana2. Kekal tersimpan dan disimpan saja. Sampai renyuk dan hilang rupa

Namun yg sutera itu dipuji2 melangit tinggi. Dibawa kesana kemari. Tetap dibeli walaupun kini lebih banyak dijual sutera yang tidak asli. Semuanya sandiwara dan pura2. Sekadar menyandang nama tanpa tenunan yang serupa. Benar, hanya bersandar dan berpasak NAMA

Dan kekal sampai bila2 pun batik itu hanya mampu tergantung. Menunggu insan yang sudi menjunjung. Dengan tilikan dan firasat hati yang menggunung. Menghargai batik teragung!

ww: di saat2 thanatos menyerang lobus!

Parfum



OBSES...
Keobsesan...
Manusia yg OBSES...
Di dunia yg obses!!!
Seperti tulisan2 ini.. Mengobsesi diri


-ceramuk!

Thursday, July 03, 2008

Kepulangan


Tanah perkuburan hening sunyi. Cuma ditemani suara unggas dan burung2 yg bertebangan. Hanya yang jelas kedengaran adalah bacaan talkin yang keluar sayup2 dari mulut imam. Pesanan yang dibacanya penuh kekhusyukkan

“Duhai anak adam, ketahuilah bahawa mati itu adalah benar, memasuki alam kubur itu adalah benar, pertanyaan mungkar dan nakir itu adalah benar, meniti siratul mustaqim itu adalah benar dan dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat itu adalah benar”

Hatiku sayu. Air mata jatuh perlahan, tak mampu kutahan-tahan. Bukan menangis kerana kesedihan, tetapi menengis kerana kesedaran. Sedar bahawa aku cuma singgah di dunia. Dan satu hari nanti pasti akan kembali ke sisi-Nya

Kenduri tahlil malam itu bergema dengan bacaan Yaa Sin dan doa. Mak ngah merah mata menahan sedih dan pana. Pemergian Pak ngah ku ke rahmatullah benar2 satu kehilangan besar buatnya. Bahkan buat kami juga

Teringat sifat Pak ngah yang periang dan sentiasa tersenyum. Dan kini hamba Allah itu telah tiada. Telah selamat kembali kepada Yang Esa. Di saat mayatnya dimandikan, dikafan dan disembahyangkan, diusung ke kuburan dan dimasukkan ke liang lahad, aku melihat penuh keinsafan. Dengan sejuta perasaan yang sukar digambarkan. Entah bagaimana kalau aku yg berada di tempatnya. Cukupkah amalan dan bekalanku untuk dibawa ke alam sana?

Untuk menulis dan menaip dipapan kekeunci ini pun air mataku bergenang. Halus benar rasa hati ini dengan perihal manusia, alam dan tuhan. Bagai mencarik2 dan menikam perasaan. Aku sepi, Tuhan. Dan kesepian itu membuatkan aku lebih menghargai erti sebuah kehilangan

Mak ngah aku tinggalkan dengan salam dan pelukan. Semoga tenanglah hati tua itu menempuh hari2 mendatang. Sampai datang satu masa yang dijanjikan. Pulang ke pangkuan Tuhan

Al-Fatihah…