Tuesday, July 21, 2009

Laman

Aku pandang laman blogku. Melihatnya dengan hati dan perasaan yang telah tiada jua. Segala keinginan untuk menulis telah lama pudar. Bukan lagi bagai dulu2, tatkala aku mula2 mencantingkan coraknya, memasangkan pasaknya, belajar mencoret segala dari mula, dan sedikit demi sedikit melakar tinta dengan tulisan2 yang datangnya dari jiwaraga

Laman ini sudah terlalu lama terbiar tidak diselenggara. Aku terlalu sibuk disibukkan dengan kerja2 dunia. Lalu aku seakan lupa pada jeritan hati yang memekik-mekik minta ditemani. Aku tak punya masa. Kelapangan yang pernah tuhan bagi dulu, telah pun dirampasNya kembali. Aku tak menyesal, sedih pun tidak. Cuma sedikit terganggu bila tak dapat membelai hati yang meminta2 agar disayangi

Laman ini telah masuk tahun yang ketiga. Kalau anak yang baru lahir, mungkin kini telah pandai berjalan dia. Kalau dulu dia bisu, mungkin sekarang sudah mampu bersuara. Kalau dulu mengkal muda, mungkin kini sudah ranum dewasa. Namun aku masih di situ. Masih Hartini yang dulu2. Dengan hati yang sentiasa jujur dan ikhlas. Memberi kasih tanpa berharap untuk dibalas

Kalau ada pun pembaca yang mengikuti laman ini dari dulu, sejak di tahun yang pertama (sekitar 2006), mungkin sekali Nafastari. Walau kami tidak pernah sekalipun bersemuka, namun perjalanan yang dititi di dalam tulisan2 ini telah seperti mendekatkan, dan seterusnya memberi maksud yang berbeza kepada erti sebuah perkenalan

Dan beliau juga, dari seorang bujang, kini telah berumahtangga, dan telah pula menjadi seorang bapa, betapa pantas masa berlalu, tak sedar kadang2 melayang bagai hilir pedang yang menyentuh hati dan perasaan. Dan teman itu kini telah pula melangkah ke luar Negara bersama isteri dan anakanda tercinta, sedang aku masih menghirup deru samudera yang bersisa. Hawa panas dan lembap yang tetap sama

Aku buntu, kerana merasakan idup ini telah terlalu berubah. Atau aku sendiri yang berubah? Tidak, aku tak pernah berubah. Aku masih yang macam dulu2 juga. Penulisan yang senantiasa datang dari hati, bukan menulis untuk orang lain tetapi hatiku sendiri. Mungkin luaran laman ini terpaksa aku ubah atas kemuakan yang lekas benar mengintai2 manusia. Luarannya berbeza, isinya tetap sama

Kalaulah mampu, aku ingin menyuruh pembaca membaca laman ku ini dari entri yang dulu2. Jangan keciciran walaupun satu. Kerana dalam setiap butir karangan itu terdapat bahan penceritaan. Bagai alur sungai yang tercipta dari kuala menuju ke muaranya. Mengalir satu2 penuh asyik dan leka. Blog ini satu cereka kehidupan sebenarnya. Apa yang berlaku dalam tiga tahun, yang dicoretkan penuh warna dan coraknya

Suka duka, senyum tawa, dapat pula dibaca dengan mata hati dan jiwa. Digarap molek dengan runtunan emosi dan kuasa bahasa yang perkasa. Itu bagi mereka yang mengerti. Yang sudi mentafsir diri dan peribadi. Bukan hadir sekali sekala lalu meninggalkan jejak yang memberi luka. Apa kah susah menyenangkan mata2 yang membaca hanya dengan kata2. Rasanya, tidaklah sesukar mana

Dalam ratap2 tangis menaip kata2 ini satu persatu, yang sekarang barangkali telah beratus ribu, air mata kadangkala tumpah juga. Dalam ketukan jemari yang erat menekan papan kekunci yang sesetia diriku ini, membaca kembali tulisan2 lama adakalanya seperti memutarkan kembali filem cereka. Seperti melihat perjalan hidupku yang penuh carikan warnanya

Ada warna yang terang benderang, lalu menyilaukan pandangan, dan banyaknya yang redup dan kelam, membawa jiwa ke lorong2 usang yang berhabuk dan bersawang. Warna2 itu bagai mengawal diri, lantas menjadikan aku bagai terlalu asyik mengikut kata hati. Sesekali terasa seakan2 aku ini telah hampir mati melaian rasa. Perempuan yang jiwa2 dan mabuk khayal dengan kata jiwanya

Persetankan mulut2 yang mahu mengata. Nama pun manusia, lantas sudah tentu mereka boleh berkata apa saja. Laman ini bukan untuk umum. Ia laman untuk mata2 yang mahu mengenal pintaan jiwa. Laman untuk mata2 yang sudi celik setelah hampir lena. Ini laman suka duka. Duka yang membutuhkan deraian air mata. Jika tidak pun mengalir tangisan, cukuplah sekadar membaca lalu mengalir sedar dan keinsafan…

Sebuah laman yang seharusnya mendekatkan kita dengan naluri dan perasaan. Dengan sifat2 kemanusiaan. Sekosong2 laman yang dari dulu hingga kini tidak pernah berteman. Laman impian dan angan2..

Friday, July 03, 2009

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita




Sayang,

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita
Sedang kalian masih bernyawa namun aku telah tiada
Sedang kalian masih di dunia namun aku sudah melangkah
Kirimkan aku sebaris doa
Sebaris Fatihah sebagai cahaya
Agar terang barzakhku berteman
Kelu ruang yang kegelapan

Sayang,

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita
Sedang hatimu sedih bersisa namun aku tak mampu menyapa
Sedang tangismu masih mengalir namun aku tak mampu hadir
Hadiahkan aku segaris ingatan
Segaris kasih sebagai bekalan
Agar damai aku menanti
Dalam ruang yang sunyi sepi

Hartini Omar
Cheras

p/s: sesungguhnya kini aku terlalu mengingati MATI

Thursday, July 02, 2009

Hati Jangan Menangis




Hati jangan menangis
Walau benar kalbu terguris
Kiri kanan masih bersisa
Kenangan lama yang menyesakkan dada

Hati jangan menangis
Walau sungguh jiwa terhiris
Depan belakang masih berbaki
Sebentuk harapan yang ditinggal pergi

Pohonlah seredup doa
Moga-moga Tuhan mendengar
Jangan lagi duduk mengenang
Pada dia yang tak mampu datang2

Julai 2009
1.50pm
Cheras

Atau aku sendiri kah yang mahu Kau jemput pulang?

Aku menung dalam2. Melayan denyut2 nadi yang adakalanya sukar sekali untuk didengarkan. Lebih bingit kata2 yang keluar dari mulut manis manusia, meninggalkan kata hatinya diam membisu seribu bahasa

Aku tidak mampu menangis, tidak mampu mengalirkan air mata atas rasa dukacita yang amat ini. Bertimpa2 pula rasa sengsara yang Tuhan beri, menyiat2 pundak hati dengan hirisan yang sakitnya tak terperi

(i)

Sudah tamat kisah cinta itu. Sudah maktub dalam perancangan Allah azza wajalla. Perkhabaran kegembiraan tentang hari besar dia itu Sabtu ini aku sambut dengan hati yang sayu. Sayu yang cuma aku yang tahu… Aku tidak menangis, kerana aku sudah terlalu banyak menangis. Aku mengaku bersalah, mungkin bersalah kerana terlanjur mencintainya. Noktah!

Dan untuk dia – semoga dikurniakan bahagia, melebihi deraian air mata

(ii)

Arwah nenek sudah selamat meninggalkan kami. Mungkin kini kesunyian di alam sana yang tak berteman. Aku temani tubuh kaku nenek dari malam sampai siang. Membacakan surah Yaasin dan kalam2 Quran. Mata tidak juga mahu menangis

Aku kendong tubuh kaku nenek, memandikan dan menggosokkan tubuhnya untuk kali yang pertama, dan terakhir. Menyiram air sembilan itu dari kepala hingga ke hujung kakinya, melihat nenek kaku dimandikan tangan2 manusia, mata tidak mahu juga menangis

Aku siat2kan kain kapan nenek, Bantu memotongkan kain, baju dan tudung kepalanya, beserta dua lagi helaian luar, membalut kujur tubuh nenek dengan kafan putih suci dari kaki hingga kepalanya, mengikat simpulan tali yang lima; di hujung kakinya, di atas lututnya, di pinggulnya, di atas sikunya, dan membiarkan ikatan di kepala itu terbuka untuk membolehkan anak cucu dan saudara mara mengucupnya, aku tidak juga menangis

Aku ikut jenazah nenek ke kubur. Melihat kujur tubuh nenek diletakkan di dalam liang lahad menghadap ke arah kiblat, dibukakan kembali kafan yang menutup wajahnya, disentuhkan hujung hidugnya ke tanah, dikambuskan ia dengan tanah yang merah warna, aku tetap juga tidak menangis

Aku dengar dalam2 bacaan talkin yang menyedarkan. Hatiku sebak. Peringatan itu untuk aku, bukan untuk nenek. Betapa kurangnya amal ku, hanya aku yang tahu. Namun sebak itu tidak juga mampu membuatkan air mataku jatuh. Aku tetap tidak menangis

(iii)

Wajah anak murid tersayang itu aku pandang dalam2. Seperti memandang wajahku sendiri. Walaupun dalam keadaan terlalu amat marah, aku masih dapat berfikir dengan rasionalnya. Kemarahan yang kutujukan padanya adalah kerana aku mahu ia berubah. Berubah menjadi manusia yang penuh keunggulannya. Menggunakan akal yang diberi Tuhan dengan kadaran maksima

Aku mahu dia itu berfikir akan segala tindak-tanduknya. Supaya meletakkan dirinya di darjat yang tinggi sedikit dari tempat yang hina dina. Menyedarkan bahawa dirinya itu wanita yang punya maruah yang semestinya dijaga. Bukan untuk dikaki2kan jantan2 yang tiada guna

Dan aku memarahinya, memarahinya atas dasar kasih sayang. Sayang seorang saudara kepada saudara yang lainnya. Namun tengkingan yang keluar dari mulutnya itu buat aku sayu. Buat aku terdiam kaku. Anak murid yang aku sayang itu meninggikan suaranya terhadapku. Betapa kecilnya hati, hanya Tuhan saja tahu

Aku bawa hati yang sayu, cuba sedaya upaya untuk tidak memikirkan tentangnya. Kalau boleh, mahu sekali aku membenci dia. Membenci mereka2 yang pernah datang membawa senyum tawa lalu berlalu pergi meninggalkan duka. Lagi sekali Tuhan telah merampas segala-galanya, dan aku masih tidak mampu mengalirkan air mata

(iv)

Papa menelefonku dengan gesaan yang memeranjatkan. Papa suruh aku salin semua angka2 yang papa sebut. Papa beritahu aku sesuatu yang aku tak pernah dan tak mungkin perlu aku tahu. Papa pesan sesuatu yang mungkin pada umur semuda papa, aku tidak perlu mendengarnya. Jantungku berdegup kencang. Kencang yang amat sangat

Papa pesan padaku dengan pesanan yang macam2. Sehingga aku terdiam. Papa beritahu tentang sakitnya yang hanya aku tahu. Mama pun tak tahu. Adik2 pun tidak. Papa kata, papa pesan bukan apa, KALAU2 lah tidak lagi berjumpa, aku telah dipesaninya. Oh, Tuhan.. Ini benar2 menyiatkan hati dan perasaan. Tolong, tolong jangan beri aku ujian yang tak mampu aku pikulkan

…………………………………….

Dan kini, sewaktu menaip kata2 ini dalam malam yang sunyi lagi sepi, dengan irama bayu menyentuh lembut gegendang telingaku, baru mata mahu menangis. Baru mata mahu basah mengenangkan segala percaturan Allah. Dan tanpa sedar, aku teresak2 menyoal segala ketentuan-Nya yang benar2 menyiksa dada

Bolehkah aku merajuk terhadapmu, Ya allah? Bolehkah?

Sudahlah satu2nya lelaki yang aku cinta itu kau ambil dia dan jadikan ia kepunyaan perempuan yang di sana. Macamlah Engkau tidak tahu, bahawa hanya dia seorang yang bertakhta dalam hatiku. Macamlah Engkau tidak tahu. Dalam redha ini, terlalu perit aku menanggung beban pilunya, tak tertangung denyut lukanya. Kenapa Tuhan, kenapa? Bukankah Engkau sendiri tahu bahawa dia saja yang aku ada untuk berubah??? Sudahlah kau jadikan aku penuh beza, di saat aku dapat mencari penyelesaiannya, Kau musnah dan robohkan segala derap usaha. Kenapa????

Lagi, Kau tayangkan pula di depan mataku sikap manusia yang penuh pura2. Menangis mengalir air mata dengan segala permainan kematian. Sedangkan tidak sedikitpun yang mati itu memberi sekelumit kesan.

Mereka berlumba mengucup pipi kaku nenek, yang kononnya menggambarkan sayang, sedang dalam hati mereka, ada atau tiada orang tua itu tak memberi apa. Kenapa tuhan, kenapa? Kenapa kekesalan itu kau jiruskan pada hati dan fikiran? Kenapa Kau ilhamkan padaku bahawa kucupan dan kata sayang bukanlah petunjuk sebenar kasih sayang. Kenapa?

Lalu kau guriskan hatiku dengan kata2 kejam seorang anak murid yang aku sayang. Yang telah kau berikan segaris rasa simpatiku terhadapnya, namun Kau tentukan agar hatiku digurisnya. Mengapa? Bukankah aku ini seorang guru yang seharusnya dihormati dan dikasihi dalam apa pun cara? Bukankah?

Aku ni cuma mahu manusia berubah. Berubah dari kegelapan ke tempat yang lebih cerah. Kenapa kau himpunkan rasa sayang ini, Ya allah? Sayang yang kadang2 memilukan. Salah akukah Ya allah…?

Dan Kau ragut kelapangan hati dan fikiran dengan berita2 gusar yang memberikan kerisauan yang bukan kepalang. Cukuplah berita itu sampai di situ, jangan pula Kau benar2 melakukannya. Ayahanda itu masih muda, Tuhan. Masih banyak yang perlu didepaninya. Panjangkanlah umurnya dalam iman dan taqwa. Hanya itu yang aku pinta. Yang aku benar2 pinta

Janganlah Ya Allah. Jaganlah beri sesuatu yang tidak aku pinta. Janganlah pula Kau robohkan segala bentuk usaha. Apa salahku padaMu? Perasaan yang semacam itu, janganlah. Tak mampu kudepaninya. Janganlah dibawa kemari segala bentuk malang, dan janganlah lagi diragut pergi mereka2 yang aku sayang….
-
-
-
-
-
Atau aku sendiri kah yang mahu Kau jemput pulang?