Tuesday, December 30, 2008

Untuk lelaki bernama Johan

Dalam meniti kehadiran tahun baru ini, dengan insan2 sibuk menyimpulkan keazaman yang baru, tekad dan setia yang juga masih baru, telah lama juga aku melihat akan ada hati2 yang masih berlama-lama. Melayan rasa dan kerinduan buat insan yang kekal serupa. Meski bertahun2 lantas rupa dimakan usia, sehinggakan kesakitan dan luka yang diguris cinta telah hilang rasa sakit dan sendu tangisnya, namun tetap jua mereka2 itu menunggu-nunggu dan menanti-nanti hingga abadi, tanpa sebarang usaha untuk mematikan hati yang telah lama mati

Dan setelah sekian lamanya ceritera ini melampirkan kepingan2 gambar yang bercorak warna, biarlah pula kucorakkan cebisan ceritera ini dengan tulisan2 hati, yang mana biar pula tergambar di mata hati kalian akan kesakitan dan kepasrahan hati dan perasaan seorang teman. Maka di bawah ini jualah aku lampirkan kepingan2 itu, untuk mata hati dan jiwa2 yang jarang menipu

Selayaknya kita membacanya juga dengan hati dan budi bicara yang tinggi, meminggirkan bahasa2 akal yang bercorak zahir dan duniawi, kerana bicara2 hati, eloklah difahami dengan hati, bukan dengan tafsiran akal yang mengkal dan dangkal. Dan di sini aku suratkan ia, citra jiwa yang tak kenal erti putus asa.......

.................................................................................

Untuk lelaki bernama Johan

Kumulakan tulisan ini dengan nama Tuhanku, yang tentulah Dia maha pengasih dan penyayang, malah pasti lebih sayang daripada sayangnya aku terhadapmu. Sebelum meneruskan perjalanan tulisan ini, marilah kita panjatkan sebaris doa buat junjungan besar kita, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Kerana tanpa ketabahan mereka mengembangkan agama tercinta ini, mungkin telah kafir dan musyrik kita semua kini. Lalu jauh lah kita dari mencium bau syurga yang kekal abadi…

Dan marilah kita panjatkan juga doa buat ibu bapa kita, samada mereka itu masih hidup atau telah tiada jua. Kerana tanpa mereka, dan tanpa cinta Allah buat mereka, tiadalah juga kita lahir dan dapat bernafas dalam dunia, sehingga kita membesar lalu menjadi remaja-remaja yang diajarkan tentang cinta. Dan semoga hendaknya kita juga diberkati seperti mereka, menjalin hubungan dalam ertikata yang sebenar-benarnya, temu dan pisah kerana Dia juga…

Johan,

Walau di mana pun dikau berada kini, samada di atas putih salji bersama dedaun maple yang kering menguning, atau pun di atas pepasir sahara yang hangat hingga mengalirkan lelehan keringat di dahi, atau di negara kita sendiri yang senantiasa dituruni hujan yang membasahi, telah juga aku mendoakan kebahagiaan buatmu, keluargamu, dan dalam tiap-tiap pekerjaan yang engkau kerjakan. Kerana aku sendiri maklum, engkau pemuda tekun. Tekun melakukan sesuatu yang tentulah baik-baik semuanya, sebaik peribadimu yang telah menghidupkan pesona jiwaku, sehingga menjadi pasrah dan berserah pada takdirNya...

Johan, jejaka pilihan....

Sebagai wanita yang sangat terhad tingkah dan lakunya, mafhum dan akalnya, tidaklah dapat aku memaksa-maksa untuk engkau kembali ke sini, atau sekurang-kurangnya bertandang di hadapan mata ini, agar tamatlah segala penderitaan hati. Kerana selama lebih empat tahun perkenalan kita ini, tiadalah juga kita melangkaui norma-norma kecenderungan manusia, adat dan agama yang sangat kita sanjungi. Cuma seperti kataku tadi, kelebihan peribadimu itulah yang telah memerangkapku, sehingga jiwa yang degil dan tidak reti bahasa ini telah pula menginginkan yang lebih dari selayaknya, lalu serasa pulalah akan bersalahnya jiwa

Engkau juga telah aku lihat seperti selalu mengambil tahu, atau sebetulnya terlalu mahu mengambil tahu, sehingga mekarlah jiwaku dengan impian-impian yang bersatu padu. Wahai lelaki, aku ini perempuan yang dicipta Tuhan penuh dengan kerinduan dan keinginan. Aku ini telah diciptakan untuk menghargai segaris sayang yang dicurahkan, sehingga ke suatu tahap di mana sayang dan cinta yang datang itu tidak dapat lansung kubuang-buang. Betapa gusarnya kehidupanku ini. Menanti-nanti sesuatu yang nyata aku sendiri tidak pun pasti

Namun aku juga bukanlah selemah mana, sehingga tamat dan berhenti riwayat hidup ini mengenangkan cinta; tidak! Aku bukan selemah itu. Kehidupan tetap aku teruskan dengan senyum dan mesra-mesra yang aku sendiri cipta. Dan kerana hati itu tidak dapat ditontoni, maka tiada jugalah terlihat akan kelukaan hati yang telah bagai sakit-sakit dan kehibaan menunggu mati

Johan, lelaki budiman..

Aku musykil benar di akalku, atas sebab apa engkau terus-terusan kekal di sana. Adakah kerana pernah aku menyebut-nyebutkan yang tak sepatutnya, sehingga terguris perasaanmu lalu engkau membawa dirimu jauh-jauh. Atau engkau sendiri mempunyai masalah yang tidak layak untuk aku memakluminya. Atau apa saja alasanmu, namun berilah sedikit penyebab, agar tenang diri ini menempuh hidup dan hari-hari yang seterusnya. Agar dapatlah pula aku meneruskan satu perjalanan baru dengan tenang dan setulusnya tanpa sangsi dan prasangka

Aku tidak dapat menyatakan di sini betapa sukarnya untukku mencari pengganti. Pengganti kepada teman sebudiman dirimu. Pengganti kepada perhubungan yang semurni dan secekal ini. Kerana hubungan yang Tuhan ciptakan buat kita ini terlalu penuh dengan seni dan keindahan. Kerana dalam sakit dan sengsara ini pun dapat aku rasakan kemanisannya. Terlalu manis untuk dilupakan begitu saja

Kita tidak pernah menjanjikan apa-apa dalam hidup, tidak pernah bermati-matian mengatakan cinta sehingga tak terdaya mengotakannya. Kita tidak pernah memberi dan menerima, tidak pernah berjanji lalu bercanda. Kita cuma berkongsi ketulusan hati dan jiwa raga, berkongsi perjalanan diri dan ceritera dunia. Dan atas dasar perkongsian itulah kita binakan kesayangan, kesayangan yang sebetulnya tanpa ada sebarang tuntutan dan paksaan

Dan setelah lama juga kutanam, kusiram dan kubajai sayang itu, sehingga kalaulah ia sebatang pohon, telah amat rendanglah ia membuahkan buah-buahan yang lebat ranum, engkau hilang tiba-tiba tanpa pesanan yang sebaris cuma. Telah mati akalku memikir-mikirkan sebab kepergianmu itu, sehingga aku sendiri lemah-lemah dihirup akal yang keras bekerja

Mengapa Johan, adakah engkau sakit, sehingga jika aku mengetahuinya akan matilah jiwa dan jasadku? Atau adakah engkau itu telah dipaksa memberikan cinta dan jiwa pada yang lainnya? Hee, beritahu lah, Johan. Aku pasrah menerimanya. Kerana seperti yang kunyatakan kini, engkau tidak pernah berjanji apa-apa, lalu mengapakah engkau gusar jika janjimu tidak terlaksana.. Aku ini perempuan yang dikurniai ketabahan jiwa, serasa mampu saja untuk aku menerimanya. Bukankah telah memakan setahun dua juga bila saat engkau hilang tanpa berita? Ayuh, khabarkanlah ya...

Lelaki,

Rasanya telah sampai ke penamatnya tulisan aku kali ini, yang mana tulisan ini aku sendiri tidak pasti samada mampu atau tidak untuk engkau membacanya. Membacanya lalu memahaminya. Namun anggaplah ini sebagai salah satu usaha murniku untuk menyelamatkan persaudaraan kita, andailah ia dapat diselamatkan. Namun jika tiada juga ditakdirkan untuk kita kebahagaian yang kita cari-cari itu, maka sudah tentulah pasrah aku menerimanya penuh rela dan redha, atas alasan Tuhan itu tentu saja penuh dengan wacana dan rancanganNya yang lebih istimewa

Sekian saja untuk kali ini. Lagi sekali kudoakan dikau bahagia, bertemu jaya dalam setiap lapangan kehidupanmu. Ketahuilah bahawa sayangnya aku pada hubungan ini adalah kerana sayangnya aku kepada Tuhan yang menciptakan makhlukNya sebaik dirimu. Mengertilah seadanya bahawa aku memohon maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan yang pernah kulakukan, nyata atau yang jauh dari pandangan. Semoga hendaknya tenanglah jiwa-jiwa kita yang kekusutan dan tidaklah ia menjadi bagai bara yang tersimpan....

Sekian,
Temanmu yang dulu-dulu..
Semenanjung,
Malaysia

Tuesday, December 23, 2008

KL - IPOH - KL

tiba di stesen keretapi Ipoh
Bangunan mahkamah Ipoh
teratak di Parit
spider web
pemandangan di jeti Kuala Kangsar
Masjid Ubudiah Kuala Kangsar
Rumah lama
dari dalam masjid

galeri SAS
dalam galeri SAS



pintu masuk galeri
Muzium Diraja Perak

bertolak pulang ke KL

Wednesday, December 17, 2008

Pena dan tinta




Aku jemu menaip. Aku rindu menulis. Rindu melihat tinta menyerap lembaran2 mukasurat yang putih bersih. Rindu mendakap pena dengan dakapan jari-jari. Lama2 menatap blog sendiri, hati seakan mati

Kosong

Aku jemu menaip. Aku rindu menulis. Ya, itu saja, aku rindu melihat tinta yang hitam warna...

Friday, December 12, 2008

dan di Baling itu...

Apa agaknya yang mampu kutulis tentang perjalanan ke Baling itu....? Ah, sukar sekali. Kerana terlalu banyaknya yang indah2, seolah bagai tak mampu dicoret tinta. Pekan kecil yang aman damai, dikelilingi bukit bukau yang berdiri permai. Ai, cocok sekali untuk dirakam dalam kamus hidup yang pelbagai. Kehijauan yang memukau pandangan, sehingga terasa tidak mahu lagi aku kembali ke hiruknya metropolitan...

Dan sempat juga aku berjalan di denai2 bendang, menghirup nafas segar yang dikurnia Tuhan. Indahnya ciptaan Yang Esa. Terkadang aku sendiri begitu sukar menghargainya. Dan berdiri di tengah sawah itu, melihat camar yang terbang girang, melihat pepohon yang beralun rendang, awan gemawan yang seperti tersenyum mengucapkan selamat kepadaku, terasa beruntungnya diri diberikan kesempatan ini. Nyata Tuhan masih memberi perhatian pada doa2 yang tak lelah dipohoni...

Dan sebelum berangkat semula ke ibukota, sempat aku membasah2kan diri di kedinginan lata. Mendengar deruan air yang laju menuruni berbatuan, sesekali terasa ngilu menahan sebak perasaan. Indahnya alam semesta yang Tuhan ciptakan buat kita. Namun tetap juga kita mencari dan menciptakan yang lainnya. Manusia... Jarang mengucap syukur, namun terngadah bila tersungkur! Dan semoga perjalanan ke Baling sana mendekatkan diriku pada Pencipta.. Terima Kasih, Allah!

Di saat aku seorang isteri


Selamat pengantin baru Kak Ainee!
Baling, Kedah
10/12/2008

Tuesday, December 09, 2008

Hakikat rasa kehambaan

Mana terbit cahaya
Di rembang hidup manusia
Bila yang jatuh satu-satu
Kita kutip mendakap pilu

Di sana Tuhan berbicara
Membatas segenap maya
Ini getir-getir pengorbanan
Hakikat rasa kehambaan

Hartini Omar
Aidiladha 2008

Wednesday, December 03, 2008

Kisah lama iv

Mari teman2, ayuh aku ceritakan pada kalian tanah tempat aku membesar

Katakanlah pada dunia bahawa aku membesar di tanah Kuala Lumpur. Di sana mengalirnya sebatang sungai yang tidak juga jernih airnya. Lalu orang lama2 namakan sungai itu sungai Kelang. Dari mana ia mengalir dan sampai ke mana, aku tidak mengetahuinya. Dan sampai sekarang, aku tak pernah ambil kisah

Katakanlah juga bahawa aku membesar di sebuah kampung di pinggir Kuala Lumpur. Di sebuah kampung yang pencil, dengan udara dan hawa yang baik2. Kampung itu namanya kampung Pantai Dalam. Bonda juga lahir di sana di sebidang tanah kepunyaan nenda. Lalu kini tanah itu telah ditukar pula menjadi kawasan kumbahan najis yang menyakitkan mata. Kami digantikan dengan rumah sebiji2 yang kami panggil rumah MARA. Dan anak2 penama dapat duduk di rumah panjang sorang sebuah

Jadinya aku tidak sempat membesar dan menyaksikan kampung Pantai Dalam yang lama2 itu. Sekadar mendengar ceritanya saja. Tentang pasirnya yang lembut dan memutih, dan penduduknya yang bahagia tak tersisih. Itu semua hanya jadi kenangan. Jadi cerita2 manis yang keluar dari mulut bonda bila kami sama2 duduk bercandaan. Pantai Dalam yang ada kini hanya kepesatan, yang sarat dengan pembangunan dan menara tinggi bercakar-cakaran

Dan lagi? Dan lagi aku membesar di kawasan rumah panjang. Rumah papan yang dibina berderet-deretan membuatkan kami amat rapat dengan tetangga dan jiran. Di situ aku belajar tunggang basikal, main polis sentri dan galah panjang

Lalu rumah kamu besarkah? Tidak. Rumah itu hanyalah binaan papan yang biliknya dibina sendiri oleh kami. Ia tidak besar, dan tidak juga kecil. Walaupun tidak kaya raya, kami diajar ayah bonda agar kaya budi bahasa, berbuat baik pada keluarga dan jiran tetangga. Di sekeliling rumah panjang yang berderet2 itu bonda tanam dengan berbagai pokok bunga. Lalu rumah yang sederhana itu tampak segar dan indah

Ayuh kalian, dengar sini aku ceritakan. Ceritakan tentang zaman kecilku yang leka berlarian dengan kawan2. Dengan Midun, Atai, Epol, Seri dan Kak Etty. Lalu sana kami sering main kejar2. Setiap petang kadang2 sampai senja. Sampai ibu2 menjerit nama kami lalu menakutkan2 dengan cerita hantu kopek yang menyorokkan budak degil dalam kopeknya

Lalu kawan2, ayuh aku ceritakan lagi tentang perumahan rumah panjang yang aman damai itu. Di tanah Kuala Lumpur yang sentosa lagi makmur. Alangkah hebatnya membesar dalam suasana aman dan luhur. Di mana mengenali dan dikenali adalah perkara mesti untuk setempat yang sebaris sebujur. Dan perkara itu tidak berlaku lagi di Kuala Lumpur. Segalanya telah jadi sendiri2 dan tiada kami2 lagi

Dan lagi? Dan lagi setiap jiran tetangga itu berbangga dengan nama panggilan mereka yang tersohor di mana2. Di blok 12 nombor 112 itu, aku tinggal sekeluarga. Berhadapan rumah kami adalah rumah Bibut dan Nono yang beribukan Ended Cik Yah. Sebelah rumah mereka tinggal pula Cik Mat Brory dan Cik Jah. Aku masih ingat, ya masih tidak lupa. Anak2 mereka Kak Tuti dan Andi yang matanya sepet macam cina

Dan Cik Leli yang jual aiskrim malaysia. Perasa milo, perasa anggur, dan asam boi yang paling aku suka. Dan ada kedai Cicik Nana dan Cik Melah. Cicik yang selalu jual rojak, jual sengkuang tabur kacang dan kadang2 jual tikam. Aku pun selalu beli, kalau bertuah dapat hadiah, kadang2 dapat makanan saja. Macam TORA, bezanya tikam ini lebih murah. Ada juga rumah Ayah Tongkat; india tua yang sering menakut-nakutkan budak2 dengan tongkatnya. Ya ya, itu pun aku ingat juga

Lagi apa? Hmmm.. ya, lagi tentang orang motor yang sering datang jual sate ikan. Bebola kecil 4 ketul yang dicocok pada lidi itu, dibakar dulu kemudian dicicah dengan sos istimewa. Tapi sate ikan mahal. Sebatang sepuluh sen. Kalau mama bagi 50sen buat belanja, aku dapatlah beli tiga. Kalau dah habis duit buat beli aiskrim, aku kadang2 dapat tengok saja. Waktu itu aku tak sabar nak jadi dewasa, agar dapatlah aku membeli satey ikan itu sebanyak-banyaknya

Dan kisah tentang dulu2, bila aku sering mengejar Bhai roti yang sering membunyi-bunyikan hon motornya. Pin Pon Pin Pon. Geram benar melihat roti2nya yang bergayutan. Kadang2 beli roti kaya 30 sen. Kadang2 beli roti kacang 30sen. Kadang2 beli roti krim panjang2 20sen. Seronoknya pengalaman itu. Sesuatu yang tidak mungkin lagi dirasai oleh anak2 kecil masa ini, hatta adik2 ku sendiri. Alangkah rugi...

Ayuh, lagi? Cukup, nantilah... Nanti kemudian aku kisahkan lagi pada kalian. Tentang hidup dan perjalanan. Tentang tanah Kuala Lumpur yang kini berlumpuran.. Dan di kampung itu, kalaulah dapat aku lukiskan agar senang kalian gambarkan.........

P/s: Jemput baca
kisah lama i
kisah lama ii
kisah lama iii

Tuesday, December 02, 2008

Perintang-perintang masa

Baru selesai ke klinik berhampiran, mengambil ubat-ubatan yg kini seakan pula telah menjadi keperluan. Keadaan masih tidak menentu, menepu minda dan memerah kudrat yg tidaklah sebanyak mana. Dengan urusan hidup yang tak terjaga, mata sempat memandang kalendar di atas meja. Nyata dijit2 dalam bulan ini terlalu banyak yg bertanda. Ah, Tuhan.. berilah sedikit perintang2 masa…

Khamis ini dijadualkan ke UIA untuk pendaftaran sarjana. Dalam dendang takbir Aidiladha yg bakal menjelma, terasa derasnya perjalanan dunia. Dengan hari Rabu depannya yg bakal pula ke Baling Kedah sana, terasa sarat benar hari2 mendatang untukku carikan waktu terluang

Dan Isnin 15 haribulannya terpaksa menguruskan peperiksaan referal pelajar, Khamis dengan ujian separa penggal yg belum lagi tersedia, kelas2 pengajian yang banyaknya tergendala, terasa berat benar kepala memikirkan letak duduk segala. Serasa mahu aku pejamkan mata untuk seketika, lantas melupakan terus cerita2 dunia dan isinya

Aku tidak banyak masa lagi untuk mengulit ceritera kesayangan ini. Mungkin semakin berhabuk dan bersawang nanti. Dengan runtunan2 hidup yang semakin ketat dan padat, membutkan jiwa tidak terisi dengan nukilan2 hati. Dan, sebenarnya aku sudah mula jemu menulis, jemu menangis - jemu merintih, jemu melayan kasih. Aku jemu dikerah minda, jemu didamba jiwa. Aku jemu segala-galanya

Dan saat ubat2 itu melalui saraf dan darah, terasa berat benar mahu membuka mata. Serasa lemah seluruh sendi anggota. Aku perlu masa untuk pulih semula. Tuhan, berilah kesempatan untuk aku sediakala seadanya…