Wednesday, August 29, 2007

Mana hilangnya agama?

perpustakaan JPA

Lobi JPA (C1)

Surah Al-Anfal itu baru saja kutamatkan tadi tatkala menunggu kedatangan isya’. Apabila selesai membaca, naskah tertulis bait2 kalam Allah itu aku kucup perlahan. Sambil itu aku terkenangkan dunia dan negara yang telah amat lupa pada gemilangnya Islam dan Iman. Aku sedar, aku ini bukanlah ‘alim’ seperti kebanyakan orang - berjubah, berpurdah, bertudung litup panjang. Tidak.. aku biasa sahaja. Kadang2 aku mengenakan seluar, namun ia besar dan longgar, dan selalu pula berbaju T, namun ia labuh dan lebar. Tiada jubah, tiada purdah. Akan tetapi setakat ini Alhamdulillah, maruahku aku jaga sempurna

Aku terkenangkan soalan2 peperiksaan PTD dan Skim 14 jawatan yang aku hadiri tempoh hari. Tiada satu pun soalan yang bertanyakan “Berapakah rukun Islam?”, “Catatkan rukun Iman” atau paling tidakpun “Anda percaya atau tidak pada Tuhan?”..... Tidak ada. Yang ada cuma soalan2 berunsur dunia, hakikat dunia, ilmu dunia, situasi dunia dan sejarah dunia semata-mata. Noktah!

Adakalanya aku sedih sendiri. Kadang2 kita mencari punca masalah tanpa menyedari bahawa puncanya itu datang dari pilihan kita sendiri. Aku tertanya2, bagaimanakah sesebuah kumpulan kerja yang soleh dan musleh itu mahu dibentuk jika sekiranya di awal2 pemilihan lagi yang iman dan taqwa itu tidak kita taruhkan, tidak kita juangkan.

Panel tidak bertanya, “Adakah cukup solat fardhu anda?”. Tidak bertanya, “Selalukah anda menziarah ibu bapa dan ahli keluarga?”… Tidak bertanya, “Tahukah anda tentang amanah yang ditanggung sebagai pekerja?”.. Tidak bertanya, “Bolehkah anda bekerja dengan seadil-adilnya”.. Tidak.. bukan unsur2 kerohanian itu yang ditanya panel pemilihan. Walhal yang selalu menjaga solatnya itukan insan yang dijaga Allah dari melakukan maksiat dan dosa. Yang selalu menziarah ibu bapa itukan tanda2 anak bangsa yang tidak mudah lupa. Yang menjaga amanah dan tanggungjawab itukan pekerja yang benar2 berwibawa. Dan pekerja yang adil itu kan yang bakal membawa organisasi ke arah sejahtera...

Sayang, kita silap di awal2 langkah. Bertatih pun kita telah tergelincir songsang, maka bila berlari kita terjatuh lalu tumbang. Bagi kita kini, segala tentang Islam itu tidak mampu menjadi kayu ukur untuk menghasilkan pekerja dan hamba kerajaan yang gemilang. Apabila segala yang rohani itu kita buang, maka disitulah munculnya segala punca malang dan kecundang

Di zaman kita ini manusia lebih tertumpu pada kearifan mentaliti dan fahaman duniawi semata. Anda akan dikira manusia tebijak seandainya anda menghafal semua nama2 pemerintah di dunia. Anda akan dikira terbaik dalam segalanya sekiranya anda mampu bertutur dengan baik dalam bahasa penjajah, tak kira lah bahasa Inggeris, India dan bahasa Cina. Pekerja yang baik adalah insan yang baik dalaman dan luaran. Yang menjadikan iman sebagai landasan. Yang ilmunya diamalkan. Yang sahsiahnya di jaga mantan. Yang akhlaqnya menjadi ikutan. Yang amanahnya, ditanggung tanpa beban.

Namun lihatlah hari ini. Ramai pekerja di pejabat yang suka menuang kerja, yang mengambil rasuah, yang memanipulasi dan memperguna, yang tidak amanah dan gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna. Jangan ditanya mengapa sikap pekerja kita bukan yang kelas pertama. Ini kerana di awal2 lagi kita memilih pekerja yang hanya pandai berbicara. Bagai murai yang bising nyaring. Namun kerjanya kekok dan sumbing.

Aku percaya bahawa seorang yang beriman dan bertaqwa dalam ertikata yang sebenar-benarnya akan menjadi seorang pekerja yang berwibawa. Yang menghormati rakan sekerjanya, yang cuba mengelakkan fitnah, yang mendamaikan dua golongan yang bertelagah dan kekal terus-terusan mengindah dan memakmurkan persekitaran kerja.

Namun segalanya hanya tinggal impian aku sendiri. Kerana tidak mungkin apa yang aku tulis disini diambil dan diamat-amati. Nah, jadi kekallah penjawat awam itu yang cantik segak, yang elok tinggi. Kekallah penjawat awam itu yang indah luarannya, yang trendy pakaiannya, yang tebal make up nya, yang gagah langkahnya..

Namun di satu sudut lain, kecantikannya tidak dapat mencantikkan sahsiah masyarakat dan ummat. Kesegakannya tidak dapat menghiasi rumah2 ibadat. Ketinggiannya tidak mampu membatasi belenggu maksiat. Keindahan lagaknya tidak dapat menyempurnakan amanat. Ketebalan make upnya tidak dapat melukiskan kegembiraan rakyat dan kegagahannya melupakan dia pada kepentingan akhirat..

Itu lah yang aku lihat, yang aku pahat dan aku ambil sebagai tandang semangat. Seandainyalah suatu hari nanti aku ditakdirkan untuk menjadi ketua, yang akan aku ubah adalah cara kita menerima Islam dalam beragama. Jangan sesekali meletakkan soal agama di tangga yang bawah. Kerana agama itu sebenarnya adalah kenderaan yang perlu kita guna untuk membawa kita ke destinasi yang dicita. Di dalam pendidikan ada agama, didalam politik ada agama, dan di dalam segalanya harus ada agama.

Jangan suatu hari nanti kita hanya tahu menyebut-nyebut lantang tentang agama tetapi jahil tentang peranan beragama. Atau lebih teruk lagi apabila masyarakat kita mula berpuas hati dan mengaku beriman hanya kerana telah menlengkapkan dua “simbol” agama – 1) solat jumaat dan 2) sebulan berpuasa. Sekarang ini pun, yang dua itu sajalah yang membezakan kita dengan Hindu Budha. Jika yang dua itu pun tiada, maka samalah kita dengan kafir2 laknatullah. Nauzubillah.. Renung-renungkanlah..


Writer’s words : kita belum merdeka

Puji-pujian dihari kesyukuran


Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Lembut zikir yang dialunkan berulang2 itu masuk ke gegendang telinga. Rasanya bagai ngilu hati menahan rasa terharu dan sukacita kerana masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat hari bahagia oleh yang Maha Kuasa. Dengan hati yang sering lalai dan leka dari mengingatiNya, Dia tetap di sana, sedia menuruti dan memberi segala yang dihajati. Sedetik timbul rasa sesal dan kesal, apa jualah yang telah kulakukan untukNya?? Ingatan yang tiada jua, ibadat yang kosong kelana. Sungguh aku masih belum jadi ummat yang benar2 taqwa

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Mengheningkan suasana pagi yang sememangnya mendebarkan. Serasa kering darah dihirup gusar dan gemuruh yang tak dapat ditangguh-tangguh. Sekejap lagi bakal tiba saat namaku dipanggil untuk menerima sekeping ijazah. Tanda perjuangan lima tahun bergelar siswi Universiti Islam Antarabangsa. Kepada siapa harus kudahulukan ucapan terima kasih ini?? Rasa kerdil menguasai diri. Tiba2 air mata bergenang perlahan, bermain enak di kelopak mata yang sejuk teduh memandang barisan para pengajar yang berjalan penuh mesra. Mungkinkah suatu hari nanti aku pula berdiri di sana?

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Sebak, hening dan mengharukan. Berdiri tegak reroma mendengar alunan zikir yang begitu mendamaikan jiwa. Terasa sedih benar disaat gegendang telinga bersatu lembut dengan dengungan bunyi yang lemah gemalai, sahut menyahut puji-memuji mendendangkan tanda2 keagungan tuhan. Di zaman ini segala yang indah tentang Islam hampir lenyap dan malap. Kalau adapun satu inilah, dan di puncak menara inilah aku sujud syukur mengenangkan segala kebaikan tuhan terhadapku yang entakan mampu atau tidak untuk kubalas satu persatu.

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….


Zikir dialun lagi. Kembang kuncup hati menahan hiba melihat ahli2 senat memberi senyuman mesra. Ramai juga yang sekadar tersenyum lalu menunduk hormat. Tidak kurang juga yang sudi mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang sulung ini. Sulung?? Ya, kerana kejayaan ini bukanlah penamat dan yang penghabisan. Masih bayak perkara yang pelu dijuangkan. Masih luas ilmu tuhan yang mampu aku mafhumkan, dalamkan dan praktikkan. Sekejap mataku berkelip, mengalir perlahan tangisan kesyukuran. Andailah mampu kukalungkan rasa penghargaan buat sesiapa jua yang telah sama2 menempuh cabaran dan dugaan...

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir yang gemalai dialun lagi. Kali ini perlahan benar. Lembut dan sayup2 memasuki gegendang telinga yang diciptakan oleh Allah jua. Namun telinga ini jarang sekali mendengan puji-pujian padaNya. Kalau adapun yang sekarang ini lah. Di sebelah kanan kelihatan dua lelaki bersongkok, berjubah hijau tua. Anggun dan segak langkahnya. Berjalan perlahan menyusuri denai berkarpet merah, menjunjung senaskah Kalamullah dan Cokmar diraja. Perlahan benar derap tapak kaki itu kurasa. Sesuai dengan alunan zikir yang berkemandang lembut, lambat dan leka. Ah hati, sungguh benar kepingin yang indah2 rupanya. Benarlah kalam Allah itu juga yang jadi ubat penawar duka.

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Terus-terusan dialun lembut sehingga tiba saat naskah Al-Quranulkarim itu ditempatkan perlahan di atas rehal yang besar indah. Lalu zikir itu tamat lah di situ. Segala yang indah telah berlalu. Kini tiba pula saat degupan jatung laju bertalu-talu. Jauh disudut hati meminta-minta zikir itu dinyanyikan semula. Namun segalanya sudah jadi nyata. Aku kembali ke alam realiti. Mendengar suara2 gemersik memulakan majlis dengan penuh hati2. Debaran kian terasa. Namun jauh di dalam hati, aku ulang2 kan zikir yang sama untuk menghilangkan rasa gemuruh yang kunjung tiba.. Ah, Indahnya puji-pujian padamu Ya Allah. Setinggi taman syurgamu, Firdaus al-A’la...

Thursday, August 23, 2007

Antara Fahmi dan Mawi

Tanyalah pada sesiapa di mana jua. “Anda kenal Mawi?” Pasti anda akan terkesima dengan jawapan yang anda dengar. Jangankan Mawi, girlfriend Mawi, kereta Mawi, rumah Mawi, kampung Mawi, album Mawi, baju Mawi; kebanyakan orang akan maklum.

Tanyalah lagi sekali. “Anda kenal Fahmi?” dan kali ini anda juga akan terkesima kerana ternyata anda juga akan tertanya-tanya “siapa Fahmi?”

Masyarakat hari ini menyanjung tinggi hiburan. Siang malam pagi petang kita leka menonton dan mendengar hiburan. Anak2 kecil lebih senang menghafaz lagu “pencinta wanita” dari membaca Quran semuka dua. Jangan kaget seandainya 10 tahun lagi kita mempunyai masyarakat yang tidak kenal alif, ba, ta. Waktu itu tepuk lah dada, tanya apa selera kita..

Aku sukakan hiburan. Aku mendengar lagu2 klasik dan ballads untuk menenangkan fikiran. Aku dengar lagu2 nasyid supaya tidak mengantuk dalam perjalanan. Tetapi aku tidak taksub lalu lansung melupakan Al-Quran

Fahmi dan Mawi adalah dua orang anak muda yang sama kisahnya. Kedua2 mereka adalah juara. Cumanya yang satu, kejuaraannya disebabkan peminat yang berjuta, dan satu lagi disebabkan bacaan Quran yang indah. Yang bezanya, juara yang satu ini kejuaraannya tidak membawa beliau ke mana2 melainkan menambah semangat dan keazamannya untuk tunduk patuh kepada Allah Taala. Tiada panggilan penaja, tiada konsert merata, tiada kereta percuma dan tiada rumah mewah. Namun yang pasti, ketenangan tetap di hati

Dan juara yang lagi satu mungkin telah berubah. Dari anak felda, kini jutawan Malaysia. Kereta 6/7 buah, rumah merata2, ke hulu hilir menjelajah dunia, orang angkat menjadi duta.. namun hilang nikmat usia. Hidup yang dulu tenang dan lapang kini tiada lagi senggang. Dulu orang susah kini jadi orang senang. Cara berpakaian dan cara bercakap pun sudah bukan alang2. Sayang, kadang2 dengan pangkat dan nama, manusia mudah lupa asal usulnya.

Abdullah Fahmi dan Asmawi Ani, dua jasad dan ruh yang diciptakan sama, namun tangan2 dunia telah mencorak mereka sehingga menjadi mereka. Kita juga belum pasti apa nasib kita, namun bersegeralah untuk melangkah ke arah penuh iman dan redha. Maka beruntunglah mereka2 yang sentiasa mengambil Al-Quran sebagai teman hati dan jiwa…


Writer’s word : Suka yang sederhana =)

Tuesday, August 21, 2007

Apa reaksi kita??

kisah i :

HINDRAF sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kaum India telah mengadu pada kerajaan untuk membekukan hak2 keistimewaan bumiputera kerana menurutnya hak2 orang India sebagai penduduk minoriti negara disisihkan. Benarkah?? Owh cerdik pandai, jemput2 lah ke Batu Caves. Aku pasti, dari jauh mata kita telah disilaukan oleh patung emas yang berkilau dipanah cahaya. Besarnya bak gajah, tingginya bak galah.. Tersisih lagi kah?? Kadang2 manusia perlu diajar supaya bersyukur. Kalau diamat-amati, mungkin di negara India sendiri pun orang india tidak akan sebebas ini. Janganlah mementingkan diri sendiri..

kisah ii :

Ini kisah MCA, yang kononnya telah membuat cadangan untuk mewujudkan kertas matematik dan sains bagi peperiksaan UPSR di dalam bahasa mandarin. Wah wah.. seronok benar mendengar permintaan mereka yang berbagai rupa, cara dan warna.. Kalau tidak dipenuhi, kerajaan dan nama melayu yang jadi mangsa. Kalau dipenuhi pun macam membiarkan pihak lain menindas bangsa kita. Kalau semua yang istimewa itu telah dikongsi bersama, makanya tidak ada lagi lah yang istimewa. Kadang2 melayu boleh berlembut, tetapi jangan sampai kita dipijak kepala. Berlembut pun biar lah ada batasnya..

kisah iii :

Kisah iii, adalah kisah kita yang melayu. Tunduk membisu, kaku membatu saja kah yang kita mampu?????????? Jika kita tidak mahu memperjuangkan bangsa, jangan lupa kita masih perlu memperjuangkan AGAMA!!!

Monday, August 20, 2007

Jubah Hijau Tua


Sabtu lepas aku ke UIA. Mengambil jubah konvokesyen dan menyiapkan apa yang patut untuk hari besar tersebut. Namun jauh disudut hati tidak lah seghairah mana. Fikiran dan jiwa lebih tertumpu pada soal kerja, mencari kerja dan menanti peluang kerja. Konvo itu akhirnya jadi bahan sisipan saja. Kalau dulu waktu belajar, aku tidak sabar2 mahu menyarung jubah graduan. Sekarang segala impian itu telah hampir menjadi kenyataan. Namun hati tetap lesu. Konvo itu bukan lagi jadi agenda yang ditunggu-tunggu. Suka pun tidak, teruja pun tidak. Jubah hijau tua bersulam emas lambang UIA, yang berjahit reben warna putih di kiri dan kanan bahagian lengannya (menandakan aku Graduan Sains Kemanusiaan) kupandang lesu. Wahai gembira… hadirlah walau sekejap cuma. Itukan jubah graduasi yang dinanti2… Lupakah pada senyuman dan impianmu untuk menyarung pakaian kebanggaan semua siswa-siswi?? Ah hati...

Semalam juga aku berjumpa rakan2 lama di mahallah. Hmmm.., kenangan menuntut ilmu kalau dikenang-kenangkan bisa jadi tangisan. Indahnya nikmat belajar. Menuruti kata hati yang menelaah bila2 suka, kadang memonteng sekali dua, berlumba2 mendapatkan markah tertinggi dan mengumpat tentang rakan sekelas yang menyakitkan hati.. Ah, gemar benar melayan kenangan indah dulu2 di mahallah. Yang nyata rakan2 rapat dan kumpulanku semuanya ‘sekepala’ - Hingga kini masih belum berpunya. Dulu kalau sampai konvo masih tidak berteman, kami katakan “penyakit keturunan”. Nah, nyata penyakit itulah yang masih dibawa hingga ke tempat kerja. Moga2 adalah penawarnya sebelum tahun2 yang akan datang meningkatkan umur usia.. Mari sama2 berdoa!

Yang nyata, lama kelamaan manusia pasti berubah . Yang dulu keanak-anakan bisa jadi matang. Yang kurang mutu boleh jadi cemerlang. Sedar tak sedar umur meningkat ke dua puluh tiga. Sedikit masa lagi mungkin menjadi insan yang benar2 dewasa pula. Begitu lah hendaknya.

Hilaian tawa dan senyuman rakan2 kini hanya jadi kenangan. Kadang2 jadi mimpi tatkala siang betukar malam. Indahnya mengenangkan zaman remaja dan kadangkala lahir perasaan takjub dan tidak sangka bahawa diri ini mampu jadi seperti hari ini. Berpelajaran, dan bakal pula berkerjaya sedikit masa lagi, insyaallah. Untuk semua rakan2 di sana, aku doakan begitu juga. Moga sepuluh tahun lagi kita jadi manusai terbilang. Kita jadi apa yang kita idam-idamkan. Tidak mudah untuk senang. Kan kata orang berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian…. Tidak mengapalah bersakit sekarang, kerana mudah-mudahan yang senang-lenang itu bakal pula kita genggamkan

Jubah konvo itu aku tinggalkan tergantung dibilik seorang teman yang masih berpeluang meneguk ilmu untuk satu semester lagi. Mungkin tanggal 27 ogos nanti bakal kusarungkan jubah itu menandakan telah tamat tugasku sebagai graduan ijazah sarjana muda, dan bakal pula bermula tugasku berkerjaya dan mungkin juga menyambung study ke peringkat sarjana. Moga diperkenankan Allah subhanahu wataala. Akhirnya, yang penamat itu bukanlah penamat sebenarnya, melainkan permulaan dan pintu masuk untuk suatu agenda yang lain pula. Moga di setiap perjalanan aku bisa belajar dari titik2 kegagalan. Biar aku hirup segala suka duka sebagai asam garam kehidupan. Mudah-mudahan kesenangan dan kemudahan itu tuhan berikan......

Salam sayang teman2 seperjuangan. Kenangan dari PJ sampai Gombak akan tetap terpahat di ingatan..

Julianazreen Jaafar (Johor)
Khadijah Ahmad (Sabah)
Liana Mohamed (Pahang)
Marshidah Mat Johor (Perak)
Marina Abd. Rahman (Johor)
Mashitah Md. Noh (Johor)
Maisarah Ahmad (Perlis)
Maizatul Khairiah (Johor)
Mazuriahana Muhamad (Terengganu)
Mazidah Ismail (Kuala Lumpur)
Munawwarah Harus (Johor)
Noratiqah Abd. Rahman (Perak)
Norhaniza Wan Abd Raoh (Perlis)
Sazariana Isniah (Sabah)

Wednesday, August 15, 2007

Bayar dengan nyawa

Semalam aku membaca surat khabar tentang berita kematian 20 penumpang bas ekspres di Bukit Gantang, Taiping. Sedih dan pilu menyayat hati. Namun jejari ini masih kaku untuk menulis bait2 penyesalan yang tak terungkapkan. Aku hanya mampu menggeleng kepala. Melihat bagaimana mudahnya kita membayar harga sebuah keprihatinan dengan nyawa

Hari ini surat khabar aku baca lagi. Namun dari awal pagi tadi telah tersemai impian untuk menulis seuatu untuk tatapan mata2 yg suka meluaskan minda. Bukan hanya tunduk membisu dan diam termanggu-manggu.

Surat khabar hari ini lebih hebat. Di dalamnya terpampang wajah2 sedih ahli keluarga dan kaum kerabat mangsa. Ada isteri yang kehilangan suami, ada suami yang kehilangan isteri. Ada juga anak yang kehilangan ayah ummi, dan tentulah lebih ramai ibu bapa yang kehilangan permata hati.. kasihan mereka. Sempat kubacakan Al-Fatihah untuk kesemua yang telah kembali ke rahmatullah. Sesungguhnya mereka insan yang tidak berdosa..

Di muka lainnya, terdapat cerita2 dari pihak2 berwajib yang bersimpati dan prihatin dengan serta-merta setelah berlakunya kemalangan ini. Semalam lagi telah dimaklumkan bahawa arwah pemandu bas ekspres tersebut telah dikenakan beberapa saman, dan mempunyai dua waran tangkap. Bas ekspres yang digunakan juga dimaklumkan telah mencapai usia lebih 20 tahun dan telah gagal beberapa kali pemeriksaan Puspakom. Ironinya, untuk apa diberitahu pada semua akan hal2 tersebut?? Untuk apa?? Yang bersalah sudah tiada dan yang tidak bersalah sudahpun menjadi mangsa.. Berita2 saman dan kesalahan yang dilakukan pemandu untuk kemalangan yang TELAh berlaku, what’s the point????? Apa yang cuba mereka buktikan sebenarnya? Bukankah itu hanya membuka pekung di dada??

Mari kita lihat, sebelum kemalangan, seorang pun tidak peduli tentang sejarah pemandu tersebut. Bagaimana rekod pemanduannya, bagaimana tingkahlakunya, bagaimana syarikat bas yang dipandunya, bagaimana keadaan fizikal bas ekspres yang dibawanya.. Semua pihak tidak mahu ambil kisah. Tetapi bila saja 20 orang telah mati, semua pihak berlumba2 memberi keterangan itu dan ini. Ada saman itu, ada waran ini. Bahasa pasarnya : “dah tau ade saman ada waran, pehal bagi bawak bas lagi????? Ambik la tindakan!! Dah mampus ramai orang baru nak amek tau. Ye arr.. sebab bukan sedara mara dorang yang mati dalam bas tu..”

Salah siapa teman? Salah siapa kawan? Salah kita kerana memilih bas ekspres tersebutkah? Atau salah 'mereka' yang tidak pernah ambil kisah?? Hakikatnya, segalanya di negara kita mahal dan tidak percuma. Suara kita lambat didengari tanpa huluran wang ringgit berjuta. Dan kerana kita; rakyat yang tiada wang tiada nama...., makanya kita terpaksa membayar harga keprihatinan 'mereka' dengan nyawa.. mana tahu, esok lusa mungkin pula nyawa kita yang menjadi mangsa...

Renung-renungkanlah..

writer: negara aman merdeka, namun tanpa disedari ramai rakyat kita yg berkubur di jalan raya. Yang ada driver mungkin tidak akan tahu dan tidak akan ambil tahu masalah ini. Orang besar2 patut pandu kereta sendiri.. baru mereka sedar diri..

Wednesday, August 08, 2007

Perempuan murahan di jalanan

.................................... Entah kenapa jiwa dirasakan kosong tiba2.. Kelam, kusam, hening dan layu bagai tiada rasa. Mungkin novel 'Kepulangan' karya Fatimah Busu yang sedang kubaca kala ini benar2 membawaku ke alam serba mendung, serba menung.. Entah, mungkin juga!

Sempat aku menyinggah di Nafastari, sekadar menjengah kalau mungkin ada entri nya yang terbaru. Ya ada.. dan mungkin menambah rasa kelu di lidah, rasa sesal di dada.. Lalu laju tangan mencoret kata2.. yang entah dari hati, yang entah dari aqli..


Perempuan Murahan di Jalanan...

Kenapa diteguk racun serakah
Sedang madu jarang terjamah
Kerana lekit yang mabuk khayal
Lewat hadir insaf dan sesal

Perempuan...
Kenapa dimamah parutan dosa
Sedang pahala lingkar percuma
Kerana labanya bukan harta
Bukan pinggitan para jejaka

Perempuan....
Kenapa dikolek perahu maksiat
Sedang malu bertiang tongkat
Kerana desirnya suram dan kelam
Sering pudar di hening malam

Perempuan...
Kenapa terbuai serunai cinta
Sedang zikir indah bergema
Kerana alun kurang persona
Tiada getar tiada irama

Perempuan...
Kenapa singkat akal fikiran
Sedang labuh usia didikan
Kerana leka ikutan nafsu
Jangan salah asuhan ibu......

-hartini omar-
080807 12.30tgh

Tuesday, August 07, 2007

Benar-benar cinta


city of angels - kisah dongeng tentang cinta. cinta si malaikat dengan manusia. mungkin kah?? ah, sekadar hiburan dan wadah melayan angan2..


dying young- kisah cinta yang membatasi kematian.. bukti bahawa cinta boleh menyelamatkan sebuah kehidupan.. indah.. sungguh indah..


just like heaven - kisah dongeng yang melayan imaginasi manusia. mungkin benar jika masih ada hajat yang tidak kesampaian, roh kita akan melayang2 di angkasa.. menunggu masa tibanya insan istimewa yang sememangnya ditakdirkan untuk kita...


puteri gunung ledang - klasik cinta ini. cinta yang bukan pada pangkat dan nama, cinta yang rela berkorban harta dan nyawa.. nah, ada juga 'cerita kita' yang indah2.. selamilah kisah cinta yang jitu.. cinta agung yang tidak semestinya bersatu...


pride n prejudice - kisah cinta dua darjat. indah dan mengkhayalkan. kalaulah semua lelaki se'charming' Mr. Darcy.....
kisah cinta tini....
adalah kisah cinta ini.....
cinta,
bukanlah kata di lembut lidah
bukanlah senyum di ukir wajah
bukanlah tunduk nafsu serakah
bukanlah racun tusukan jiwa
cinta,
sekadar anugerah yang tiada nilai
seluas sayang yang takkan usai
sedalam kasih yang tiada longlai
sealun rindu yang takkan surai...
-penanti cinta-TINI