Thursday, November 29, 2007

Sunyi

Aku kesunyian.. Dalam keriuhan...
Dalam keriuhan.. Aku kesunyian...

Isu bahasa

Baru benar luahan hati dan teguran seorang sarjana yang sayangkan pembangunan dan kedaulatan bahasa bangsanya. Baru benar rencana itu diwarwar pada semua mata2 yang sudi membaca. Namun yang ‘makan cili terasa pedasnya’ itu sudah pun melenting menyangkal dengan alasan yang berbagai rupa. Apakah salah jika diambil teguran itu sebagai kata2 yang menjana minda? Bukankah orang di luar lebih luas dapat memandang apa yang berlaku di dalam? Ah melayu, lekas benar naik marah. Pantang benar dicalar egonya…

Yang diperkata sarjana itu ada betulnya. Memang benar banyak yang dibahasakan kini secara rasminya adalah peminjaman dari bahasa Inggeris saja. Prof Emeritus Dr. Nik Safiah Karim pun menegur dan bersetuju dengan isu. Iyalah, kalau difikirkan, perkataan bajet’ yang dulunya ‘belanjawan’ pun kita korbankan, di mana rasionalnya? Kenapa, ramainya di Malaysia yang luhur makmur ini hanya faham kata ‘bajet’ sajakah?? Tahu ‘snek’ saja, tahu ‘parkir’ saja?? Lainlah kalau yang kita melayukan itu istilah2 sains dan teknologi, tentu saja dapat akal menerimanya. Ini tidak, yang mudah2 seperti belanjawan (menjadi bajet), makanan ringan (menjadi snek), permohonan (menjadi aplikasi), dan tempat letak kereta (menjadi parkir) pun dimelayukan dari perkataan bahasa inggeris (budget, snack, application, parking) , nampak benarlah melampaunya....

Meminjam dari bahasa Inggeris itu tentu saja memberi musykil yang bukan sedikit. Dulunya, perkataan ‘aplikasi’ adalah perkataan bahasa melayu yang membawa sesuatu maksud perbuatan. Contoh ayatnya : ...mari mengaplikasikan sistem tersebut...... Dalam bahasa inggerisnya, aplikasi adalah apply - ...let’s apply the sistem.. Itu yang aku faham... DULU!

Sekarang ini, perkataan aplikasi itu boleh juga diertikan dengan ‘permohonan’ @ application. Ayat paling lazim yang kita baca kini adalah sistem aplikasi online. Bahasa melayu ‘betul’ kah istilah “aplikasi online” itu? Sekali fikir, melayu pun tidak, inggeris pun tidak. Apalah salah ditulis terus (sistem permohonan dalam talian) – kalau mahu sangat berbahasa melayu baku, ataupun (on-line application system) untuk bahasa inggeris daripada dicampuradukkan perkataan melayu dan ingeris menjadi ayat yang tak menentu hala. Bukankah nampak celaru dan haru biru??

Jangan lah melenting tak kena tempatnya. Isu bahasa ini harus ditangani secara bersama. Bukan DBP saja, malah semua. Mari lihat, sektor2 swasta berlumba2 mengambil pekerja yang mahir berbahasa Inggeris. Dan sekarang ini, sektor kerajaan pun terikut2 mengagung2kan bahasa penjajah. Nah, jadi apa guna memperkasakan bahasa melayu, belajar bahasa Inggeris saja sudahlah. Kalau mahir bahasa Inggeris boleh senang dapat kerja! Kalau arif bahasa Melayu, tak siapa nak ambil tahu…

Biarlah, kita lihat saja apa kesannya kepada bahasa melayu kita. Kerana kita kini pun suka ber I-U, I-U saja.. pelik tapi benar. Itulah kita. Itulah isu bahasa kita. Isu bahasa yang semakin parah!

Wednesday, November 28, 2007

Jejari terhenti

Masih malas menulis tentang isu semasa. Hanya mengambil tahu yang penting2 saja. Tentang Hindraf dan perhimpunannya, tentang DBP yang kemandulan istilah bahasa, tentang Mew Choo yang mengharumkan nama negara dan banyak lagi kisah2 suka duka.... Aku cuma mahu memerhati kini. Sampai ketika jemariku tergerak untuk menulis lagi...

Terus-terusan menyendiri

Setepak sirih pinang, sebentuk cincin belah rotan, sehelai telekung berhias intan, buah2an diadun indah dan beraneka barangan lagi sebagai tanda janji telah diikat, kata telah muafakat. Yang disunting tersenyum indah, menunduk malu mengenangkan hati dan jiwa yang kini dimiliki. Yang menanti di rumah tersenyum mengenang wakil yang pasti pulang dengan janji-janjian, ikat-ikatan. Yang aku di sini, hanya mampu memerhati dan terus2an menanti. Wahai... peritnya derita yang kau tanggung ini…. Bukan mudah melihat yang disayang tersenyum riang di puadai indah pintaan jiwa. Apalah yang dapat dilakukan selain melayan kelukaan dan anganan yang tak berkesudahan. Ah hati, apa lagi difikir yang tak sudi, doakan sajalah kebahagiaan untuk dia selamanya

Kelam benar hari mendatang. Fikirku hati ini bisa tenang mengadap ujian tuhan, namun harus pula kusedar bahawa aku tidaklah secekal mana. Diluar ini mungkin sekali aku tersenyum gembira, namun didalam… terbirat hiris2 luka mengalirkan darah dan siksa. Kelukaan yang memberi parut kehidupan dan pengajaran. Kelukaan yang membungkam jiwa dan perasaan. Serasa bagai tidak lagi berpijak di bumi, terbang di awangan tinggi

Lemahlah aku seandainya masih lagi mengharapkan si dia itu tak sudah2. Bukankah telah dikata dulu bahawa dia bukan orangnya. Tapi jiwa dan hati manakah yang boleh tersenyum ria melihat insan istimewa bergambar riang dengan orang yang ditunang. Ai, kelam benar rasa pandangan. Cuma hadir kekesalan dan senyum sinis yang berpanjangan. Berdua akhirnya kamu orang muda. Bila saja namaku ini Tini, maka Tini jualah hingga akhirnya. Kekal dipalut luka hingga hujung nyawa

Alunan lagu Azlina Aziz yang membuai perasaan benar2 mengharukan. Sukar benar akal menerima kenyataan kehidupan. Biarlah Tini, tabah sajalah dengan tentuan Ilahi. Sudah saja kau berjanji dengan diri untuk tidak mempersoalkan khabaran ini lagi. Namun apalah sangat kata dan jari yang menari, selain melayan denyut nadi dan kelonsong jiwa yang luhur murni. Ah hati, mengapa agaknya dikau wujud kalau tiada siapa yang ingin mendampingimu?? Aku buntu..

Tinggalkanlah aku sendiri. Aku mahu terus-terusan menyendiri…....

Wajah siapakah yang dikau cari
Setelah dikau mengecewakanku
Senyuman siapakah yang masih dikau nanti
Untuk mengisi kekosongan jiwa
Lembutnya lidah mengucapkan kata
Melafazkan dendammu rindukanku
Padamu hanayalah aku yang dapat menghiburmu
Dan jua melenyapkan keresahan
Tapi kini tiada lagi
Senyuman manis dan tawa mesramu
Terbiar aku...Keseorangan...
Derita melanda mengganggu hatiku
Mengapa begini berakhirnya dunia cintaku... sayang
Kembalilah dikau dalam hatiku
Terangilah segala kegelapan
Nyalakanlan semula obor cinta kita
Agar damai hatiku dan hatimu

Thursday, November 22, 2007

Perjalanan kehidupan

Qamarul di rumah pengantin

pasar Siti Khadijah

pelbagai makanan negeri Kelantan


singgah sebentar di Setiu

Banyak benar yang bermain2 di minda. Segalanya bagai berlumba2 untuk diceriterakan pada semua. Namun kudrat tidaklah segagah mana. Lawatan ke Kelantan dan Terengganu kelmarin benar2 meletihkan. Tiba di Putrajaya lebih kurang pukul 2 pagi, dan keesokkan harinya bergegas ke tempat kerja, serasa bagai tak bernafas lagi mengharungi kepayahan wacana dunia. Lalu pula diarah ke PWTC untuk menghadiri Anugerah Ibu Mithali dalam kesibukan JPA mengadakan anugerah kualiti. Ah, kan senang kalau hidup ini bercuti saja.... bentak jiwa yang kurang relistiknya

Pengalaman di Pantai Timur itu tidak terceritakan keriangannya. Hadir untuk 'makan gulai'- atau kenduri kahwin, pasti saja memberi memori yang takkan luput di minda. Sempat juga ke Pengkalan Kubor, Rantau Panjang, Pantai Irama dan Pasar Siti Khadijah. Dan kemudiannya berkunjung pula ke Marang, Setiu, Kuala Terengganu dan Kijal. Sempat kiranya merasai pelbagai jenis makanan etnik masyarakat cik Siti Wan Kembang yang rata2nya manis2 belaka.

Ada nasi tumpang, ada jarum emas, ada tahi itik, ada etok, ada pulut ikan masin dan banyak lagi yang jarang sekali kedapatan di daerah Putrjaya yang makmur lagi masyhur ini. Dan makanannya juga murah2 belaka. Nasi lemak masih 50sen sebungkus

Keropok lekor memanglah makanan wajib yang dicari bila saja ke Pantai Timur. Samalah juga dengan otak2 dan satar. Dan sempatlah juga kami mencari gerai sup yang menjual 'colek kaki ayam' di jalan Pasir Panjang. Untuk yang banyak bersusah payah menunjuk arah, untukmu hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga adalah masanya dapat dibalas pertolongan yang diberikan.. mudah-mudahan..

Pantai Timur sudah aku tinggalkan. Bayu pantai pun telah lama berganti dengan kedinginan penyaman uadara pejabat yang beku dan mengeringkan. Tiada lagi deru angin yang mengasyikkan, suara ombak yang mendamaikan dan panahan terbit matahari yang memukau pandangan. Segalanya kini telah kembali seperti yang asal. Kembali bekerja untuk meneruskan baki2 kehidupan sampailah masa yang Tuhan tetapkan

Kenangan di rumah Kak Murni dan Abang Bahrin pasti saja dikenang sampai mati. Mesranya kami dengan dua orang asing yang hanya bertalian saudara angkat itu bagai kuku dengan isi. Itulah tanda2 keimanan dan kesolehan jiwa yang sejati. Yang bertamu menjaga mata, yang menjamu menjaga kata. Unik dan indahnya adab2 islamMu, Tuhan. Kalaulah semua orang dapat praktikkan. Yang molek jadi kenangan, yang buruk jadi sempadan

Teringat tatkala berangkat pulang, seloroh Kak Murni suami isteri, "ni mesti banyok bli buoh tangan untuk abe nih...." dan pantas ku jawab, "Eh, abe oghe sinni... buek gapo beli.......". Kata2ku disambut riuh dan gelak tawa. Aku sendiri tersenyum menggeleng kepala. Ah lidah, lekas saja kau berbicara. Bagai benar apa dikata...

Itulah saja yang mampu dipahat dalam perjalan kehidupan yang memberi seribu satu kenangan yang mengusik perasaan. Mungkin jika ada kesempatan, akan ku jelajahi kembali negeri2 timur itu untuk menambah ilmu dan pengalaman. Sekadar mengikuti denai2 ukiran ciptaan Tuhan.. Jika pun aku diberi kesempatan..........

Wednesday, November 21, 2007

Memang Salah Kita

Budak India yang berumur 12 tahun itu telah tiada. Kejap tadi beliau membunuh diri kerana mendapat keputusan UPSR yang kurang memuaskan. Sekali fikir, bukankah cetek akal fikiran?? (Tapi untuk umur 12 tahun, memanglah singkat dan cetek fikirannya). Siapa yang harus dipersalah untuk tragedi bunuh diri yang tak disangka?? Jawapannya adalah KITA!!

Kita yang harus dipersalah. Kita yang mengagung2kan cerita, mendewa2kan peperiksaan UPSR yang belum pun separuh dari usia kehidupan. Apalah sangat UPSR itu, kalau kita fikirkan. Perjalanan hidup masih jauh, masih banyak ujian yang bakal ditempuh. Kenapa pantas benar si kecil itu membuat keputusan yang sebegitu rapuh??

Kita membuatkan UPSR itu bagai ujian kehidupan. Kalau gagal, maka kita akan gagal selamanya. Jika UPSR kurang menyerlah, maka tertutuplah segala pintu2 kebahagiaan dan kejayaan dunia… bukankah itu semua salah kita??

Kita perangi si kecil secara psikologi. Kita asak mereka dengan cerita pura2 yang kita sendiri reka. Seolah2 yang dapat 5A dalam UPSR itu sajalah yang akan jadi terulung ternama. Kita yang salah. Kita yang sebenarnya merangsang si kecil yang tak bersalah itu untuk membunuh dirinya. Memang benar, kita yang salah!

Mari perangi derita psikologi ini. Katakanlah pada anak2 kita, adik2 kita diluar sana, dan pada saudara mara kita… bahawa UPSR itu tidak sepenuhnya menjanjikan apa2. Banyak lagi ujian yang bakal ditempah. Jadikan kekurangan dan kegagalan hari ini sebagai pendorong hari depan. Ingat, kegagalan tidak berpanjangan.. Masih ada sirna yang bakal muncul di penghujung jalan. Mintalah pertolongan dan panduan dari tuhan…

Janganlah lagi perkara sedih ini berlaku. Jangalah para ibubapa mendambakan 5A dalam tangan anak2 semata2 untuk menjaga prestij dan nama mereka. Tidak bermakna yang tidak dapat 5A itu tidak bijaksana. Ingatlah semua, jangan singkatkan akal dan minda. Jangan jadikan si kecil mangsa kerakusan haloba puji dan nama diri kita. Kerana kalau yang tak disangka itu berlaku sudah, maka segala tuduhan penyebabnya harus jatuh ke bahu kita. Kita yang bersalah. Beringat-ingatlah….

Friday, November 16, 2007

Kisah lama

November, 1990

Aku bangun awal. Mandi, pakai baju kurung biru kotak2, pakai stoking putih panjang dan sikat rambut perlahan. Aku tepuk bedak kat muka, tersenyum senang melihat wajah. Hari ini hari terakhir aku bersekolah tadika. Mama kata, nanti tahun depan aku boleh sekolah betul. Pakai baju putih, skirt biru yang ada talipinggang dan pakai kasut putih. Aku senyum lagi, melihat riangnya diri sendiri

Hari ini graduasi di sekolah tadika ku. Hari ini aku akan jadi pengacara majlis dengan seorang lagi budak lelaki-Khairul Nizam. Cikgu gandingkan kami sebab cikgu kata dalam ramai2, kami berdua yang paling petah dan lancar membaca. Aku ingat lagi, dari umur 4 tahun aku sudah ke sekolah tadika. Aku masuk setahun lebih awal sebab aku nangis berguling2 untuk ikut sama sepupu2ku pergi sekolah. Jadi mama merayu pada ustazah di sekolah tadika agama. Mama tak dapat masukkan aku ke tadika KEMAS. Sebab KEMAS hanya menerima pelajar lima dan enam tahun.

Aku boleh membaca dari umur 4 tahun. Aku belajar ABC, 123, mewarna, menulis dan membaca. Malam2 lepas maghrib aku jalan kaki dengan adik pergi ngaji di rumah wan tok yang tidak jauh dari rumah. Wan tok garang, wan tok selalu pegang rotan. Siapa dapat ngaji tanpa salah, tanpa gagap, wan tok bagi balik dulu. Aku selalu jadi budak yang no1. Aku mau balik cepat sebab nak main dengan Atai, dengan Midun dan dengan Epol. Kawan2 aku semua lelaki. Budak perempuan tak suka main dengan aku. Dan aku pun tak suka main dengan diorang. Aku pelik kenapa budak perempuan tak suka main kejar2, main baling selipar atau main galah panjang. Budak perempuan macam Seri, Kak Eti, Kak Tuti lagi suka main masak2 - Petik2 daun lepastu pura2 masak macam kat dapur. Huh, tak mencabar lansung. Aku pasti tarik muka kalau diorang ajak aku main masak2 dan lama2 mereka tidak ajak aku main lagi.

Aku diri depan pentas, tersenyum manis berganding dengan Khairul Nizam, budak lelaki paling ‘terel’ dalam sekolah. Khairul pakai baju melayu biru, sedondon dengan aku. Aku biasa saja dengan Khairul sebab dia tak lawa. Khairul hitam manis dan suka pakai minyak rambut dan sikat kemas2 rambutnya. Sekali pandang macam Clark Kent dalam cerita Superman – tapi versi gelap! Waktu tadika, aku lagi suka pada Halim dan Hafiz. Mereka berdua kembar dan kedua2nya suka bagi macam2 pada aku. Kadang2 mereka berebut untuk bagi siapa yang dulu.

Aku paling suka gula2 panjang – warna-warni belang-belang yang ada diikat cincin di hujungnya. Cincin itu pula ada berbagai2 warna permata. Kadang2 aku dpat warna hijau, Hafiz kasi. Nanti esok aku dapat warna merah, dari Halim pula. Aku suka Halim dan Hafiz sebab kulit mereka cerah dan lawa. Kadang2 aku bangga, sebab Halim dan Hafiz suka dekat aku sorang saja walaupun aku tak lah lawa mana. Tapi mungkin sebab aku bijak, jadi ramai budak lelaki suka. Aku rasalah...

Aku baca teks yang cikgu tulis dengan lancar. Sewaktu majlis penyampaian hadiah, cikgu ambil alih majlis dan mengumumkan anugerah. Aku dapat 3 hadiah, Tulisan Terbaik, Bacaan Terbaik dan Ko-Kurikulam terbaik. Waktu cikgu mahu umumkan anugerah Pelajar Terbaik, aku jadi gugup dan gusar. Hati aku berdebar2 dan rasa macam nak tertanggal dari tangkainya.

Bila tiba nama dipanggil, cikgu sebut nama Umi Kalthum. Mata aku terbeliak besar?? Kenapa bukan aku? Aku cebik sambil tahan mata. Aku tengok Umi senyum, jalan ketengah dan ambik piala tinggi lebih sedepa. Semua orang tepuk tangan kuat2 tapi hatiku sakit tak terubat. Kenapa Umi yang dapat, soalan itu bermain2 ligat

Aku tahu, Pelajar Terbaik mestilah dipilih seorang Lelaki dan seorang Perempuan. Kalau yang perempuan Umi dah dapat, tak mungkin anugerah itu akan jadi milikku lagi. Selepas ini pasti cikgu panggil nama Khairul. Aku senyum pandang Khairul di sebelah. Dia juga membuat muka ‘tak sangka’. Selalunya kami berdua yang akan julang trofi sama2. Kalau aku dapat juara perempuan, Khairul lah akan jadi pemenang lelakinya. Tapi pagi ini lain benar, segalanya bagai tak disangka. Khairul diam pandang aku, dan waktu itu aku macam mahu menangis merayu. Tapi aku diam saja sambil ketawa. Kecik2 lagi aku dah belajar erti sengsara dan pura2.

Sekarang tiba masa untuk cikgu umumkan nama Pelajar Terbaik Keseluruhan. Aku tahan nafas, tak mahu dengar. Cikgu umumkan nama itu, dan nama itu bukan nama Khairul…... Nama itu nama AKU. Tidak syak lagi, memang nama aku. Aku diam membeliakkan mata bagai tak percaya. Dari sisi, cikgu Saba datang dan memimpin aku ke tengah. Fikiranku bagai melayang. Aku macam terbang di awangan. Aku mampir ke tengah dan bersalam dengan seorang lelaki yang ada misai tebal. Beliau pakai baju putih dan songkok hitam. Sebiji macam YB. Beliau beri aku piala yang tingginya lebih sedepa. Piala itu aku pegang sambil melihat kedepan pentas. Ramai orang bertepuk tangan dan bunyi itu berdengung2 sampai sekarang

Dari depan aku lihat muka Khairul masam. Khairul pergi dekat ibunya dan menangis di sana. Mungkin Khairul tak sangka anugerah itu bukan miliknya. Aku tengok Umi tak dapat anugerah lain pun selain pelajar terbaik. ‘Boleh ke?’ desirku dalam hati. Aku dapat tiga dan Khairul pun dapat tiga. Halim dan Hafiz lansung tak dapat apa-apa. Jadi, bukankah sepatutnya anugerah pelajar terbaik itu milik kami berdua?? Aku bingung dan canggung. Aku dapatkan mama dengan rasa tak percaya. Mama senyum saja.

Aku tanya macam2 pada mama. Aku tanya kenapa aku yang dapat piala tersebut. Aku tanya dan tanya dan tanya sampai mama bosan dan pergi bertanya pada cikgu Saba. Aku nampak cikgu cakap perlahan-perlahan dengan mama. Aku nampak mama angguk2 saja sambil senyum senyum dan cakap ‘biasalah..’ ‘biasalah..’

Bila aku dengan mama, aku tanya lagi kenapa aku yang dapat anugerah itu. Mama kata memang sepatutnya anugerah itu anugerah aku. Mama kata nasib Umi baik, yang bermisai tebal bagi piala tinggi sedepa itu tadi Umi punya pakcik.

Jadi?? Aku bertanya tak paham. Mama diam saja, walaupun aku berasak2 bertanya. Jadi kenepa dengan pakcik Umi tu? Pakcik Umi yang macam YB tu tak suka budak lelakikah? Atau pakcik Umi itu mahu merasa menyampaikan hadiah pada anak saudaranya saja?? Aku tanya dan tanya dan tanya tanpa mama berikan jawapannya. Mama hanya jawab.. ‘Dah besar nanti sayang fahamlah…’

Itu kali terakhir aku tengok wajah Khairul. Kali terakhir aku tengok wajah cikgu dan kali terakhir aku tengok wajah Halim Hafiz. Lepas itu aku masuk sekolah betul, sebuah sekolah perempuan di Kuala Lumpur. Sejak itu tiada lagi nama Khairul dan nama Halim Hafiz dalam ingatan. Segalanya kini hanya tinggal bayang2 semalam

Kini, setelah lebih 17 tahun berlalu, aku terlalu faham akan jawapan mama yang dulu. Aku terlalu faham kenapa Umi yang dapat anugerah itu. Dan aku terlalu faham akan mengapa itu berlaku. Dan kefahamanku itu buat aku tertunduk lesu.. Bagaimana kah cara untuk kita berlaku seadilnya? Kerana adil dan jujur itu benar2 payah terlaksana. Yang lebih mudah adalah lakonan dan bermuka2.. Kasihan Khairul.... Aku tahu, Khairul jadi mangsa korban situasi. Korban erti ‘menteri’ dan perihal ‘mahu ambil hati’….. Kalaulah waktu itu aku mengerti........

Wednesday, November 14, 2007

Satu Perjuangan

Ramai mampu berjuang di zaman kita. Perjuangan yang pelbagai dan penuh liku2nya. Hak siapa perjuangan itu? Adakah hak orang2 tertentu? Atau hak orang2 bersekutu? Bolehkah kita berjuang? Digalakkan atau tidak kita berjuang? Berjuang yang bagaimana yang digalakkan?

Aku baca rentetan suratkhabar yang terhidang di depan mata. Ada kisah perhimpunan yang dilabel ‘haram’ dan orang2 yang menganggotainya, ada kisah perjuangan menuntut tanah pulau yang milik entah siapa2, ada kisah menteri besar yang melakukan perubahan demi orang2 di bawahnya, ada kisah gadis kecil yang berusaha menyabung nyawa dan ada juga kisah orang ramai yang merungut tentang hak dan kebajikan yang kini tidak lagi percuma

Bukankah semua itu satu PERJUANGAN?? Perjuangan yang menuntut bukan sedikit pengorbanan sikap dan kebendaan. Jadi mengapa disempitkan akal fikiran? Biarlah kita berlaku adil dalam menilai segenap duduk perkara. Adil seadil-adilnya. Bukan hanya bertindak penuh nafsu gejala dan terus-terusan menutup pintu hati yang gelap lagi buta

Berilah sesuatu itu pada yang berhak dengan seadilnya. Demokrasi yang kita laungkan itu praktiskanlah ia penuh adab dan tertibnya. Jika benar kebebasan bersuara itu milik siapa jua, maka benarkanlah mereka bersuara. Jika yang benar, adil dan ikhlas yang kita canang2kan, maka tiada apa yang perlu ditakutkan. Kadangkala kita perlu bertenang dan tidak memandang sesuatu secara keterlaluan. Ketenangan membuatkan kita berfikir sejenak dan dengan berfikir itu banyak kemaslahatan yang dapat dielak

Aku cuma ingin mengucapkan syabas dan tahniah pada semua pejuang2 yang sanggup berjuang. Menuntut sesuatu yang dijuang itu bukan mudah. Pasti saja melalui denai dan jerih payah. Tapi semoga yang berjuang itu bersabar dan memohon pertolongan hanya pada Allah. Yang berdiri di atas landasanNya itu pasti bakal bertemu kejayaan yang diidam-idamkan. Jika tidak jua ketemu kejayaan, nah, maka itulah baru betul2 perjuangan! Perjuangan yang tidak mengira hasil dan penghujung jalan.. - Perjuangan demi Tuhan. –Perjuangan melawan nafsu dan hasutan syaitan...

-Suka bila menteri besar beri penyapu pd pentadbirannya yg lemah dan sambil lewa. Itu baru perjuangan yg menuntut pembaharuan. Membangunkan minda MELAYU yang hanya suka dipuji dan dimanjakan… Sekarang baru padan!

Leka


Sekarang tengah leka membaca ‘Chasing Justice’ oleh Kerry Max Cook. – Individu yang menuntut hak dan kebebasan, membersihkan namanya dari pertuduhan jenayah yang tidak dilakukan... Itu juga satu perjuangan!

Saturday, November 10, 2007

Asal

...........Kembali kepada asal dan fitrah
yang cekal dan tidak goyah.........

dia untuk dia

Banyak sekali ucapan2 ringkas dari teman2 tersayang, yang nyata telah maklum akan cerita orang sana yang dengarnya telah pun bertunangan. Apalah lagi yang dapat kulakukan selain mendoakan kesejahteraan keduanya. Yang nyata milik orang, jangan lagi diangan2kan. Jauh sekali terniat untuk aku memotong jalan, nauzubillah.. minta benar Allah jauhkan..

Namun hati mudah terusik. Memikirkan yang jarang benar ia diterima dan ditempatkan di sudut sukma jejaka. Dalam kesedihan yang membuai rasa, tidak pula aku meronta dan menangis hiba. Perutusan kekecewaan ini membuat kukenal diri sendiri, kukenal hati budi insan yang namanya lelaki. Namun adakalanya aku terfikir lalu terus-terusan memikir, orang laki2 apa sebenarnya yang mereka ingini. Rupa atau hati??

Ucapan ikhlas rakan2 supaya aku bersabar dan menerima segalanya dengan redha telah kutatang sebagai candu penyambung kehidupan. Pernah seketika aku terkedu lalu memencilkan diri melayan birat2 keharuan. Dan tatkala itu hadir jiwa yang bertanya kemana aku menghilang. Seakan mengacah-ngacah membawa sirna yang tercipta dan diciptakan.

Namun apakandaya, tidaklah aku mengerti bahawa sang penanti cuma bersimpati. Tiada kasih sayang, tiada rindu dendam. Tiada sekelumit rasa apatah lagi cinta. Dan kemungkinannya aku salah mentafsir hati2 manusia. Aku kirakan manusia itu seperti aku juga. Memuji-muja tulisan dan penulisnya. Rupanya aku silap dalam menilai hukum rasa dan jiwa yang tak boleh dipaksa. Ada ramai yg sekadar sudi berkawan, tanpa jiwa tanpa perasaan

Yang sebenarnya aku jua telah silap memberi jiwa. Memberi santunan kehidupan pada entah siapa2. Kerana luka yang dulu itu belum lagi reda, lalu ditarah pula luka baru yang menyiksa, ah Tuhan.. Berapa kurun lagikah harus aku nantikan untuk sebuah kebahagiaan?? Adakah ini kecewa atau kenikmatan?? Terhad benar akal fikiran

Aku takut menjadi Hartini yang menjadi mangsa pengorbanan sampai mati. Terus-terusan berdiam diri menunggu lelaki yang dicintai. Dan aku juga takut kalau2 ada jejaka yang macam Amli. Termanggu2 kesima menunggu tanpa bertanya. Cinta dipendam di kalbu saja. Bukankah sengsara, rugi dan sia-sia??

Kerap kini aku bermonolog sendiri. Menulis bait2 kata yang entah untuk siapa. Bacalah jika kalian sudi membacanya. Jika dirasakan yang kata2 ini telah hanyut menyiksakan, memabuk khayalkan, merapu bersimpangan, maka tinggalkanlah ia. Jangan lagi dipaksa2 kerlipan mata. Aku menulis untuk diri dan hati. Jika telah hadir rasa meluat dan benci, maka tinggalkanlah aku sendiri. Aku perempuan yang halus rasa, sentiasa bermain dengan aliran jiwa. Bagai kisah dongeng yang memabukkan, sekadar fantasi yang menghiburkan

Realitinya, yang berlalu biar berlalu. Adakalanya terbit kata akal bahawa ‘dia’ itu mungkin baik, berilmu - namun bukan yang terbaik buatku. Kuterima seadanya ketentuan Allah, jika ini yang diinginiNya. Hati ini jarang membenci, dan jarang pula menyintai. Aku tidak mudah menilai erti cinta. Kerana cinta itu terlalu subjektif dan mudah dipersenda. Adakalanya cinta itu juga yang membawa bahagia dan semangat membara. Entahlah, disakiti begini buat hati lebih tabah, lebih menghargai nikmat dan kasih sayangNya


Berbahagialah kalian di mana2. Untuk dia kudoakan sejahtera. Jagalah pemaisurimu sepertimana kau berhati2 tatkala mengetuk pintu hatiku. Biarku terpana menahan sebak di dada. Biarku rawat luka dan berhati2 agar ia tak berdarah semula. Buat aku hanya cinta dan kasih-Nya. Tentang dia, kini telah nyata yang dia untuk dia....

Wednesday, November 07, 2007

Daulatkan AGAMA dan Bangsa

Sudah dua hari perhimpunan agung UMNO berlangsung. Sekadar pemerhati dari jauh, banyak sudah kedengaran gegar2 bahasa yang kuat lagi lantang. Bila saja memijak ke podium berucap, tanpa segan silu orang2 kuat negara menjulang nama bangsa dan rakyat khususnya. Pelbagai janji diberi dan harapnya dengan kata2 juang dan lantang tersebut, akan banyaklah jari2 yang akan tampil memangkah undi. Sekilas pandang, pilihanraya bagai melobi juga, jika tersalah haluan boleh kerugian.

Tidak kisahlah siapa yang berkata2, baik Hishamudin, ataupun Khairy ataupun Noraini. Yang penting ialah apa yang dijanji mereka dikotakan jua. Jangan hanya manis mulut tatkala bermula langkah, selepas memenangi undi dengan jayanya, kelibat mereka hilang tak terjengah. Jangan memperbodohkan rakyat dengan janji2 palsu. Jika benar beban digalas, mereka lah sepatutnya yang jadi kubu buat orang2 melayu

Perlu diingatkan, berhati2lah dalam memilih perwakilan. Bila Dato’ Nik Aziz mencadangkan yang perwakilannya akan dipilih mereka2 yang tidak merokok saja, aku setuju malah berbangga. Perokok bukan tidak baik, tetapi jika tidak merokok adalah lebih baik. Merokok menggambarkan yang seseorang itu tidak menghargai dirinya, jadi bagaimana pula nanti untuk menghargai rakyat dan masyarakatnya. Itu baru isu kecil, sekecil rokok. Bagaimana pula jika mendapat wakil rakyat yang kaki rasuah, kaki judi, kaki minum, kaki perempuan dan berbagai2 kaki lagi?? Nauzubillahi min zalik. Entahlah, mungkin ngiang2ku saja, tidak orang lain

Aku tidak mengharapkan apa2 dari pilihanraya yang akan datang ini melainkan sesuatu perubahan yang dijalankan. Perubahan untuk menggemilangkan Islam sebagai agama terbilang. Kenang kembali “aku cari bukan harta bertimbun-timbun untuk jadi kaya, aku cari bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya, aku cari bukan kawan-kawan untuk hidup sekadar berfoya-foya:”…. Kenanglah kembali ayat2 yang pernah terucap dulu. Sudah atau belum janji2 itu dipadu.. Penyajak yang bersajak dari hati tidak betah melupakan walau sepotong ayat yang dikarangnya.

Jangan jadikan rakyat batu loncatan untuk mendepang matlamat yang dipahat. Kita kini bukan bodoh lagi. Kesejahteraan ‘palsu’ yang hanya bermain di birai mata usahlah dipalun gema, sedangkan ada banyak lagi hati2, perut2, dan jiwa2 yang sengsara. Jadilah pemimpin bangsa yang memartabatkan maruah negara dan AGAMA. Umno sepatutnya terus mara. Yang paling penting bukan untuk parti, tapi untuk ilahi.

ww: tak nampak tokoh 'mentua' dan 'menantu'nya

Monday, November 05, 2007

Dicipta atau tercipta??

Adakalanya, lebih banyak ayat terkata2 di minda, namun tidak dapat kiranya dibaitkan dengan pena. Lebih banyak sebenarnya kata2 hati dari tarian2 jejari. Banyak kisah masyarakat yang adakalanya sukar dibukukan, namun senang pula dilafazkan dengan perkataan dan sindiran. Dan ada juga kisah jerih payah percintaan yang lebih senang terukir dengan tulisan dari bait2 percakapan..

Ah, dunia dan hati manusia yang kompleks. Adakalanya tidak boleh dituruti, kerana setiap perkara yang ‘melawan arus’ itu pasti pula mendatangkan musibah yang mencacah luka. Benar sungguh kata2 bukan mainan. Kerana kata2 adalah senjata tajam yang melukakan. Tapi mungkin hanya bisa meluka minda2 yang terbuka, dan meracuni hati2 yang memahami

Banyak benar yang berlaku di sekitar minggu penghidupan yang sekelip mata ini. Tentang karenah masyarakat yang pelik ajaib. Yang kerana harta boleh hilang ghaib. Tentang manusia yang boleh berubah kerana pangkat dan nama. Harta dunia yang dikejar, sudah tersadung baru tersedar

Ada jua sekelumit rasa kecil hati yang datang bertimpa2. Pada siapa tidak perlulah disurat nyata. Yang penting, sebagai Hartini, aku juga punya hati dan jiwa yang terkesuma. Menaruh2 untuk dipuji dan dicinta. Kadang2 pemikiran tanpa penilaian membawa kita jauh meneroka kehidupan. Dan di hujung jalannya itu ada curang dan jurang. Jika tidak terwaspada, pasti tenggelam dan kelemasan di dasarnya

Ada juga kisah gembira dan ketawa. Bila sahabat tersayang telah tamat ilmu kemanusiannya, dan kini bakal pula bekerja. Semoga alimlah hati2 yang dipandu tuhan. Buat peneman di setiap lorong2 kehidupan

Ada juga kisah tuan punya kereta besar yang tangungjawabnya tidak sehebat kereta besarnya. Menidakkan tanggung-tangungan lelaki yang wajib dituruti. Melalaikan kerja2 yang sepatutnya dilaksana. Yang mana lebih utama, harta atau bonda? Kaya manapun kita, jika nasib ibu tak terbela, tinggallah duit dan reta itu bagai batu kayu yang tak mampu membantu. Anak lelaki bukankah perlu menjaga bonda sampai mati?? Ah lelaki, sukar benar difahami…

Itulah saja yang terpacul di minda, dalam melayani denyut2 nadi yang menggetar rasa. Ada rasa suka, ada rasa duka. Ada rasa teruji dan dikhianati. Ada rasa cinta dan dicinta. Ada rasa malu dan ada rasa pilu. Sekitar deruan penghidupan yang dicipta tuhan. Ibarat sebaris kata yang pernah mengguris jiwa, segalanya ‘diciptakan’ dan bukannya tercipta…, kerana kitalah yang ‘menciptakannya’!!

Berenang

Jumaat yang lalu aku pulang ke rumah. Sementelah berada di rumah, aku mengambil alih tugas papa menghantar adik ke kelas renang, kelas mengaji dan kelas tuisyen.

Aku melihat kelas renang yang adik hadiri dimonopoli oleh orang2 cina. Kenapa? Adakah kita merasakan yang subjek ‘renang’ itu tidak sepenting matapelajaran akademik atau kita merasakan yang berenang itu hanya tertakluk pada orang2 kaya sahaja? Tapi bukankah pernah disuruh Nabi kita dalam hadithnya supaya belajar berenang, memanah dan menunggang kuda?

Aku pernah terbaca komen Awang Selamat dalam akhbar Utusan Malaysia, yang mana Awang juga pernah melahirkan kebimbangan yang sama. Awang memberi cadangan supaya kesemua murid2 sekolah diajar subjek ‘berenang’ supaya tidak ada lagi yang akan mati kelemasan.

Aku maklum, untuk mengharapkan semua anak2 kecil Malaysia arif berenang pastilah sesuatu yang jauh untuk terlaksana. Bercerita sahaja fasal berenang, masyarakat kita akan tarik muka dan mengandaikan yang susah2 sahaja. Yuran mahal, kena beli baju renang, mana masanya nak hantar ke kolam, ibubapa pun tak berenang dan berbagai2 alasan yang tak terungkapkan.

Perlu kita ingat, berenang di zaman ini bukan lagi hanya sinonim buat orang kaya2 dan orang berada. Binalah kolam bersaiz olimpik sekalipun tetapi jika tiada keinginan dan semangat yang membara, kolam itu akan tinggal barang hiasan saja. Ingat, tidak semestinya belajar berenang hanya di kolam, mama yang asal usulnya di kampung yang tiada kolam pun tahu berenang!

Alhamdulillah, kami sekeluarga tidak lagi jahil berenang. Sewaktu di baya adik2ku, aku juga telah dihantar ke kelas renang oleh ayah. Dan sekarang, renanganku pun boleh tahan hebatnya. Yang pentingnya, bukan soal laju perlahan, hebat tak hebat yang kita debatkan, cukuplah sekadar kita TAHU untuk mengelakkan sebarang kemungkinan kemalangan.

Pendekatan UIA menyediakan kolam renang yang berasingan (satu untuk Muslimin dan satu untuk Muslimah) haruslah dipuji sama sekali. Adakalanya soal aurat membantutkan niat kita yang terpacul di minda. Jika kerajaan mengambil berat akan soal ini, pasti lebih banyak lagi kolam2 berasingan jantina yang akan disediakan. Dengan itu, tiada alasan lagi untuk kita memandang sepi kepentingan berenang.

Adikku Qamarul (9) dan Kamilia (8) sudah tahu berenang, Cuma tinggal memperincikan teknik renangan dan mungkin mempelajari pelbagai cara (style) seperti gaya bebas, kuak dada dan kuak lentang. Alhamdulillah, adakalanya kita tak perlu memandang enteng setiap perubahan. Segalanya terpulang kepada kita kerana kita yang mencorak buruk baik kehidupan kita seluruhya.

-teringat berenang di UIA. Ramainya yang ‘bergayut’ di kiri dan kanan kolam sahaja, kerana kolam muslimah UIA itu direka dengan bentuk ‘V’ yang makin cerun ditengahnya =P

-kalaulah pihak hotel membina kolam renang tertutup yang berasingan untuk wanita Islam, tidaklah aku sekadar menelan air liur memandang adik2 dan kaum lelaki berenang dengan seronoknya. Arrrggggh kejamnya dunia!!