Tuesday, November 25, 2008

Terima kasih cinta


Aku tersenyum dalam rintik hujan
Kerana cinta membuatku hanyut tak kebasahan

Aku tersenyum dalam indah pelangi
Kerana cinta memberiku kilauan warna suci

Aku tersenyum dalam mega mendung
Kerana cinta membuahku rindu tak berpenghujung

Aku tersenyum dalam rendang pohonan
Kerana cinta meneduh jiwaku tak berpayungan

Aku tersenyum dalam kuning senja
Lalu kuucapkan terima kasih cinta


Hartini Omar
25 Nov 08
5:05ptg

Friday, November 21, 2008

Terus jadi pembaca...

‘Betul tak mahu?’

“Betul,” aku jawab sambil menggeleng perlahan. Juraian bebenang di pinggir sejadah itu aku main-mainkan dengan tangan. Al-Kitab yang tertutup masih erat dalam genggaman. Diam-diam, aku duduk melayan angan

‘Kenapa tidak?’

Aku tarik nafas dalam-dalam. Masih belum mampu menjawab pertanyaan itu. Terlalu banyak yang dirangkul minda, sehingga sarat segalanya menepukan dada

‘Hey, kenapa tidak?’

“Entah… Mungkin kerana aku bukan orangnya,” aku menjawab pasrah. Sedikit terganggu dengan persoalan-persoalan yang menyeru, tidak pernah jemu-jemu

‘Kenapa bukan?’

“Cukuplah sekadar aku katakan kerana aku telah diciptakan menjadi yang lainnya. Lantas kerja-kerja itu eloklah aku serahkan pada yang berhak saja,”

‘Atau kau sebenarnya penakut?’

“Mengapa pula harus takut?” kini nadaku berubah marah. Sedikit calar bila kata-kata nista dibawa mencemar gegendang telinga

‘Ya, kau sebenarnya takut. Atau lagi molek dipanggil pengecut!’

“Aku tahu aku bukan,” kembali perlahan, membawa perasaan agar bertenang. Itukan hati, maka ia boleh bercakap juga sesuka hatinya. Diamkan saja

‘Kau terlalu takut bila tulisanmu tidak dapat diterima umum. Kau takut jika tulisan yang kau harapkan madu menjadi racun,’

Diam

‘Kau bimbang mahu tulisanmu dibaca orang. Lalu bila tidak ketemu hal-hal yang mahu dibaca orang, jadi kau terus berhenti menulis dan mengarang. Bukan begitu?’

Diam

‘Maka kerana itu kau lebih layak digelar pengecut. Kau tidak ikhlas dalam perjuangan dan penulisanmu. Kau menulis demi apa yang orang lain mahu. Sedangkan apa yang kau perjuangkan ini adalah tentang jiwa. Untuk mengisi kekosongan jiwaraga!’

“Tapi bukankah indah jika tulisan itu diterima semua. Maka dapat pula membantu orang lain supaya hidup mereka lebih bahagia,”

‘Mereka yang bahagia, atau kau sendiri?’

“Lalu kalau kedua-duanya sekali, mengapa tidak?”

‘Kerana itu kau lupa, Tini. Penulis yang menulis dengan hatinya tidak pernah memikir apakah hasil yang akan diterimanya. Bahkan pengisian itulah yang utama. Mereka perit dan sengsara, namun keperitan itulah yang menjadi sumbu yang menghidupkan nyalaan jiwa,'

Berhenti

‘Yang penting bagi mereka adalah jiwa pembaca dan jiwa mereka, agar dapat menyerap nafas seni yang tak tercatat di lembaran2 muka, tak tertulis dengan pena dan tinta. Ia ada dalam tiada! Dan penulis yang seperti itu, sebelum air matamu tumpah, air mata mereka juga bukan sedikit telah tercurah,’

Berhenti lagi

‘Tetapi, ada juga yang terlalu memikirkan tentang hasil dan penerimaan pembaca. Mereka menulis demi apa yang mahu dibaca pembaca, walaupun tanpa jiwa, walaupun tanpa rasa. Mereka bangga nama mereka dicatat berjela-jela. Mereka menulis kerana menulis itu telah jadi kerjaya yang mendatangkan harta, mencanangkan nama--

“Itu kerja mereka, jadi ia tidak salah,” aku memotong

‘Ya kerana itu aku berikan perbezaannya. Kau mahu menulis untuk dirimu atau untuk pembaca?’

“Bukankah memang tugas penulis agar penulisannya dibaca?”

‘Tidak. Sebagai seorang penulis, kerjamu hanya perlu menulis. Soal dibaca atau ditolak orang, itu tak perlu kau ambil kira. Bila kau mula memikirkan tentang pembaca, kau samalah seperti peniaga. Kau meniagakan hasil tulisanmu lantas menulis apa saja yang pelangganmu mahu, walaupun tulisan itu lari jauh dari nilai2 peganganmu, jauh dari kehendak rasa dan jiwamu,’

“Ya,” aku angguk2 perlahan, faham dengan konflik yang dirakam hati

‘Hanya peniaga yang meniaga barangan yang menjadi permintaan. Kerana kepentingannya adalah perniagaan. Maka jika yang kau niagakan itu adalah barang yang tidak diperlukan orang, maka sudah tentulah perniagaan itu kecundang,’

Berhenti

‘Tetapi ini menulis. Menulis seharusnya ihlas datang dari hati penulis. Walaupun banyak yang ditulis itu akan mengguris dan tidak menyenangkan hati pembaca, lalu pembaca memulaukan dirimu dan meletakkan engkau jauh-jauh; tidak mengapa. Kerana kerjamu cuma menulis. Bukan pelapor jualan yang perlu membuktikan bahawa karyamu laris di pasaran,’

Berhenti sejenak, lalu menyambung lagi

‘Kita sudah terlalu banyak penulis yang menulis tanpa jiwa . Sehingga jika kita ke toko-toko buku, tiada apa pun yang dapat kita belikan untuk santapan rohani dan ruhi. Kerana banyaknya cuma hidangan duniawi yang mematikan hati,’

“Ya,” aku angguk kecil

‘Jadi, mahu atau tak mahu?’

“Mahu apa?”

‘Jadi penulis!’

“Aku bukan tak mahu, tetapi tak mampu. Aku takkan mampu menjadi penulis yang begitu,” kujawab perlahan. Sedikit kesal tatkala banyak yang berlaku di seluruh kehidupanku tidak dapat kukawal

‘Kalau tak mahu menulis, atau tak mampu katamu, apa juga kerjamu?’

“Aku akan terus jadi pembaca,”

‘Dangkal!’

“Mungkin…,”

‘Sampai bila?’

“Sampai bila-bila,” sambil tersenyum, lantas membuka Al-Kitab di tangan, terus memulakan pembacaan yang dengan nama Tuhan. Aku akan terus jadi pembaca. Malah pembaca yang setia....

hartini omar
20/11/08
7.45pm

Monday, November 17, 2008

"orang 'baru' bujang"












Sabtu lalu, adikku Qamarul Azarin (Arul) yang berusia 10 tahun telah selamat dikhatankan di klinik berhampiran kediaman. Tentulah aku tidak mempunyai pengalaman yang sama kerana aku seorang wanita. Aku tidak tahu bagaimana emosi, perasaan dan sakitnya bila dikhatankan. Namun secara lojiknya, proses berkhatan itu tentulah sesuatu yang mendebarkan dan merumitkan. Namun itulah resam kehidupan. Dan selalunya yang perit dan sakit itulah yang manis untuk kembali dikenang-kenangkan

Aku senyum melihat Arul yang kini sudah melangkah menjadi remaja. Terasa pantas pula masa berlalu menjadikan aku berperasaan bahawa aku ini tidaklah semuda mana. Semoga besarnya Arul menjadi anak yang berguna. Yang soleh serta patuh pada perintah Allah, rasul dan ibubapa. Arul tersenyum2 bila dalam majlis kenduri orang memuji2 dan mengatakan bahawa dia telah menjadi “orang bujang”. Baguslah, biar Arul tahu semakin tinggi usianya, semakin besar tanggungjawab dan peranannya

Semoga selepas ini Arul tidak menjadi kanak2 lagi yang kadangkalanya berbogel bila keluar dari bilik mandi! ;-)
Tahniah ‘shenggala’!

Monday, November 10, 2008

dan setapak lagi aku pergi...

Kusambut khabar gembira itu dengan tahmid dan kesyukuran.. Akhirnya, aku akan kembali semula ke lembah ilmu dan budi itu tanpa ragu2. Aku akan kembali memikul beban dan tanggungjawab itu. Ya, itulah yang aku tunggu2, dan itulah yang aku mahu

Dan semoga Tuhan membantu aku menjadi amanah dalam pekerjaan dan pembelajaran. Kerana menggalas dua tanggungjawab sekaligus pastilah tidak semudah yang dicerita-ceritakan. Jangan lah hati ini bimbang, ada manusia yg lebih berat bebanannya, namun masih tinggi semangatnya. Bekerja, belajar dan sekaligus menjaga keluarga. Setakat aku yang muda belia, malah sendirian pula.., tentulah cabarannya tidak sesukar mana, InsyaAllah..

Dan kupohon agar kalian menyusuli khabar gembira ini dengan doa. Agar dipermudahkan oleh Allah taala akan jalanku ke menara sana. Ayuh, lekas tadahkan tangannya! Doakan ya..

Jazakallahu khaira!

Thursday, November 06, 2008

Matahari di atas Gilli

Aku belek buku satu2. Mula2 lihat tajuknya. Kemudian muka depannya. Lalu menyelak pula helaian pertama, laju bebola mata membaca tiap2 huruf yang berbaris bagai tentera. Aku senyum mengangguk. Suka, malah jatuh cinta. Lalu kututupkan kembali buku yg terkuak, dan melihat ke kulit belakang. Tertampal pelekat putih kecil berlogo POPULAR di situ dengan nilai harga RM45.90. Aku beliak mata macam tak percaya. Dari cinta jadi benci. Dari riang jadi sakit hati. Buku tebal itu aku letak kembali. Sambil mengeluh dan geleng2 kepala, aku berjalan lagi

Cerewetnya, Tini. Beli je lah, hati membantah

"Jangan, bukan sekarang. Untuk masa ini, kita beli yg bagus dan berpatutan", aku geleng sambil pujuk hati. Lalu berjalan, berhenti.. Jalan lagi dan berhenti lagi. Aku capai sebuah novel

Matahari di atas Gilli?, tanya hati

"Ya". Aku belek lembaran pertama, terus pula kedua, lalu ketiga dan lama2 jadi leka. Aku buka helaian akhir, mencari gerangan pengarangnya

Orang Indonesia?, hati sibuk bertanya. Aku angguk2. Berpuas hati dengan bahasanya yang baku dan sastera. Aku senyum

Sudah la, beli je la kalau suka!, hati mengganggu lagi. Belum sudah2 mahu berhenti. Aku tarik nafas dalam2, mataku sekilas terpejam..

"Tolonglah Ya Allah, jiwa dan mindaku kehausan sekeping nota. Tolonglah...", Aku rayu Tuhan. Lalu jenguk kulit belakang. Dan pelekat POPULAR itu bertulis RM25.90. Aku senyum dalam hati

Buku masih di tangan, dan setelah menghulurkan nota merah2 itu, kuteruskan pembacaan sampailah hilang suara hati yang sumbang kedengaran. Basahlah sudah jiwa yang kegersangan. Terisilah sudah atma yang kesepian. Lalu malam itu di atas katil bujangku, aku terlelap bersama impian dan harapan, dengan 'Matahari di atas Gilli' masih kejap dalam dakapan...

Terima kasih, Tuhan...

Monday, November 03, 2008

Di sebalik wajah...


Di sebalik wajah
Ada cerita duka,
Ada kisah derita,
Ada khabar sengsara...

Telah jatuh air mata
Menanti yang dicinta
Kini hanya pasrah
Dalam tentuan-Nya...

"mengerti hati.. Tini"