Thursday, December 24, 2009

Fesyen Show (students)


Ada la sikit gamba fesyen show student2 aku yg aku ambik haritu. Nak tengok pandai2 la klik flickr ni. Aku tak larat nak menulis/menaip. Hati aku dah mati agaknya. Semenjak dua menjak buat thesis ni, aku hilang kata2 jiwa, kata2 pujangga. Semuanya terus jadi simple dan straight forward. Kesian jugak kat jiwa raga aku ni. Dah tak boleh la aku panggil diri aku 'Hartini'..

Ok la, sudi2 jenguk ya. Tapi tak Islamik sangat la. Apa boleh buat, masa mengubah aku menjadi bukan aku..

Tuesday, November 10, 2009

Event segala

Sudah terlalu lama aku tak menulis. Sampai ke tahap aku malu nak mengaku yang aku punya blog. Entahlah, pejam celik pejam celik, balik2 aku buat kerja yang sama. Hidup tersangatlah membosankan dalam kondisi begini. Aku pun tak tau bila boleh aku berjumpa balik dengan hartini yang punya hati. Doalah sedikit kelapangan, ada banyak butir bicara yang ingin aku kongsikan dengan kalian. Tunggulah..

Jadi, di kesempatan yang berbaki ni, aku update juga lah event2 yang telah menyibukkan diri aku

1) Masterskill Annual Dinner 2009 : Dinner ni diadakan di The Palace of The Golden Horses. Maaf, tidak ada stori mori pun. Aku tak menang award apa pun, dan cabutan bertuah pun haram tak dapat. Mungkin lain tahun kot..



2) Majlis Konvokesyen DPLI : Malam pergi dinner, 'dedah' sini sana (tp bukan aku ye), pagi esoknya menemani sahabat sehati sejiwa yang menerima kepingan diplomanya di UIA. Tamat Diploma Perguruan Lepasan Ijazah tu, sahabat aku kini telah pun bertugas di Kedah sana. Aku rindu UIA. Rindu alunan zikirnya, sayup bacaan sucinya, hawa santunnya.. Mungkin hati aku dah terbiasa 'terbalut' macamtu. Jadi bila pergi yang 'terbuka dan terdedah' ni, rasa tak selesa. Cepat2 rasa nak balik. Tak tau la, susah nak cerita..



3) Ceramah motivasi : Habis dinner dan konvo, aku menaiki keretapi menerima jemputan sebagai penceramah di Sekolah Menengah Agama Nahdzah. Ceramah motivasi yang selama dua jam itu, berakhir dengan jayanya, Alhamdulillah. Tapi sayang, kamera aku tak dapat la nak tangkap gambar aku berceramah kan. Aku harap apa yang aku kongsikan dengan adik2 yang bakal menghadapi peperiksaan SPM, dapat membantu mereka menambahkan semangat dan membulatkan tekad


Itu lah hari2 aku sebagai seorang aku. Dengan peperiksaan akhir yang bakal menjelang beberapa hari lagi, dengan assignment dan report yang melambak sana sini, dengan kelas mengajar dan kertas peperiksaan pelajarku yang menjerit2 minta dihabisi, betapa berat tuntutan kehidupan, melangkaui tuntutan mati. Harap2nya tidaklah aku lupa diri..
Selamat jumpa lagi!
p/s: ada lah gambar sikit2 kat flickr ni. Jemputlah, jangan segan2 ye

Friday, October 30, 2009

Bila ada..

Bila ada setahun sekali yang aku tak dapat menjadi diri aku..
Bila ada setahun sekali yang terpaksa aku lalui itu..
Bila ada setahun sekali yang jadi malu-malu..
Kenapa mesti ada setahun sekali itu???
Aduuhhh...

Malam ini..
Semoga segalanya diberkati..
Semoga hendaknya Dia mengerti...

p/s: gambar dan stor-mori, insya'allah selepas malam ini

Tuesday, October 13, 2009

flickr ku

Aku rasa sudah tiba masanya aku me war-war kan laman flickr aku yang tak seberapa ni. Ini kerana aku terlalu mahu pengunjung yang juga mempunyai hobi yang sama supaya dapat memberikan komen2 yang bernas, yang dapat memantapkan lagi skill fotografiku. Aku tidak mahir, jauh sekali seorang profesional. Tapi aku berbesar hati agar satu hari nanti aku dapat menjadi seorang tenaga pengajar, dengan bakat lain iaitu merakam gambar. Cuma aku tidak ke kelas, dan terlalu tidak tahu fungsi2 kamera dan lens, selain mempelajarinya secara 'trial and error' sahaja


Aku amat berbesar hati agar dapatlah pengunjung2 sekalian menyinggah di laman flickr ku. Menjenguk2 rakaman kehidupan dan kelansungan hidup. Aku mahu belajar, dan telah aku tanamkan tekad, aku tak perlu malu dikutuk dan dikomen sesiapa. Aku terlalu sudi untuk belajar. Jadinya kalian, tolonglah kongsikan segala ilmu fotografi yang kalian ada


Jadi, sudi2 ya. Klik di sini untuk ke photostream ku. Selamat melayari dan melayani mata.. dan mungkin boleh kalian beri pendapat, bidang fotografi ini lebih kepada BAKAT atau SEMANGAT?? Terima kasih kalian
Salam sayang,
Hartini Omar

Monday, October 12, 2009

Abah

Arus Selatan..

Urat abah timbul2. Nampak jelas di lengan abah yang kedut2 dimakan usia. Tapak tangan abah keras, kematu macam batu. Sudah terlalu lama abah mengenggam pisau menoreh itu. Menoreh bebatang getah itu sikit2, demi susunya yang jatuh setitik-setitik. Keringat abah yang mengalir keluar dari rerongga kulitnya juga bukanlah sedikit. Sudah terlalu banyak. Kulit abah juga sudah hitam legam, dimamah mentari yang menyinari. Tapi abah tak pernah kisah. Abah tetap mengabdi hidupnya pada batang2 getah yang setua dirinya, menganggap pekerjaannya sebagai satu kerja abadi yang akan dilakukannya sampai mati

Abah peneroka. Atau penoreh getah kata lainnya. Abah bangun pagi, sebelum mentari muncul. Tunggang motor antiknya ke kebun. Abah toreh getah dan petang atau esoknya, datang kembali untuk mengutip getah sekerapnya. Baju abah kotor, haring dengan hawa getah kering. Kadang2 menyengit hidung. Tapi abah tak kisah, itu semua bagai teman2 abah yang memberinya kekuatan dan semangat untuk menyemai kudrat. Nyamuk yang sedap2 menghirup darah abah pun abah dah tak peduli. Kadang2 abah anggap saja sebagai sedekah dan bakti yang diberi seikhlas hati

Abah kerja keras, menyekolahkan anak2 abah. Sampai mereka itu besar2 sekarang. Ada yang sudah berkahwin dan beranak-pinak. Ada yang masih belajar dan memerlukan duit hasil titik peluh abah. Ada juga yang masih perlu disusukan. Tapi abah tak pernah bising. Semua abah tempuh dengan sabar. Anak2 abah adalah perkara paling penting dalam hidup abah. Biar abah susah, asal mereka mudah

Peneroka macam abah, kesenangannya bermusim. Bila banyak pokok yang mengeluarkan susunya, maka banyaklah hasilnya. Dan begitu jugalah sebaliknya. Nanti dua tahun lagi, pokok2 tua akan ditanam semula dengan yang baru. Maka waktu itu mungkin abah dapat tersenyum sedikit dengan pulangan yang diberikan pihak felda. Tapi nama pun duit, kalau tak pandai menguruskannya, cepat jugalah susutnya. Yang itu abah belum terfikir lagi, hidup adalah untuk hari ini. Esok dan lusa terpulang kepada yang maha kuasa, kalau2 Dia masih sudi memberi peluang untuk bernafas dan menyambung nyawa

Abah toreh getah perlahan2. Melihat dengan puas tiap2 titik susu getah yang bertukar menjadi nasi dan lauk-pauk yang masuk ke dalam perut keluarganya. Besar harapan abah anaknya yang sorang itu akan menjadi insan terbilang. Kalau tidak pun berjaya di segenap ruang dunia, harapnya dapatlah dia berjaya membantu abah di usia tuanya. Hanya itulah harapan abah buat anak kesayangannya

Hidup ini terlalu perit jika kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang diberikan Allah ta’ala. Abah tidak bersekolah tinggi untuk mengkalungkan kata2 nasihat yang mencengkam dada. Namun dari lirk mata dan kesenyapan abah, abah benar2 berharap agar anaknya yang seorang itu faham. Setelah lanjut usia didikan, abah hanya mampu berdoa agar besarlah anak yang seorang itu lalu menjadi seorang manusia yang sempurna. Yang tidak melupai keluarga dan ibubapa setelah senang dan kaya raya. Itu sajalah yang abah pintakan hari2, kalau2 anaknya itu mengerti

Kalau berjaya anaknya, menjadi manusia yang sempurna sahsiah dan pelajarannya, maka itulah hadiah paling hebat untuk abah. Tidak perlulah dibanjirkan harta yang berjuta atau sinar emas dan kilau permata, itu semua tidak pernah abah ingini. Apa yang penting kesepakatan hidup, keharmonian dan ikatan kekeluargaan yang berpanjangan. Kerana hidup ini selalu berputar seperti roda. Tidak semua yang diharapkan akan jadi kenyataan. Tapi moleklah kalau senantiasa kita berdoa agar dapatlah dikabulkan segala permintaan

Abah akan hidup dan mati di tanah felda ini. Kerja2 abah entah akan disambung sesiapa dari keturunannya, tidak lah abah fikirkan. Kerana maklum anak2 sekarang yang kurang selesa bermandi haring getah. Lebih suka bertali leher dengan beg kotak ke mana2. Maklum, kerja yang macam abah ini tak pernah mengenal hasil yang sama bila2 berganti purnama. Kerana itu abah tak pernah memaksa. Biarlah abah seorang saja yang berpenat lelah dengan batang getahnya. Biar abah kaut susu getah itu sampai dicabut nayawanya, biar hidup mati abah di tanah ini, ditemani pepohon rendang yang tak pernah henti2 berbudi…

11 oktober 09
Felda pemanis 2
Segamat, johor
...........................
p/s: anak abah yang membaca, jadilah manusia yang tahu kenang budi dan tahu balas budi, 'ae'?

Wednesday, September 30, 2009

Selamat berjuang anakanda

Untuk semua anakanda tercinta di luar sana, selamat berjaya menempuh minggu peperiksaan akhir ini. Kuatkan semangat, teguhkan tekad. Doaku mengiringi perjalanan kalian, semoga dipermudahkan..

Ma'an najah!

All the best!

Miss Lydia Rusli
School of Biomedicine and Health
MUCH

Thursday, September 17, 2009

Hanya kita yang mengerti

Kalau sempat menyahut takbir raya lebih kurang tiga hari lagi, maka raya tahun ini akan jadi aidilfitri ke 25 aku sambut bersama keluarga. Dapat mengucup tangan ayahanda dan bonda tercinta. Jika diberikan peluang, aku mahu beraya di rantauan. Menilai erti kasih sayang dan kerinduan. Kata orang, kejauhan itu sebenarnya mendekatkan

Bila mendengar alunan lagu2 raya yang mendayu2, hatiku terasa pilu. Pilu kerana tidak lama lagi ramadhan akan berlalu meninggalkanku. Tiada lagi waktu bonus, segala amalan akan dikira sepertimana biasa. Namun alhamdulillah, ramadhan ke 25 ini memberi kenangan paling bermakna bila dapat sama2 berjamaah dengan pelajar2 kesayangan di masjid putrajaya. Dan tentu saja aku rasakan gembira untuk berlebaran, tak sabar2 menziarahi keluarga dan handai taulan yang selama ini hanya dapat berhubung melalui talian. Oh indahnya ukhuwwah, tak terucap oleh kata2

Dan di malam2 ramadhan itu aku berdoa pada Dia. Semoga Dia mengurniakan segaris cinta untuk mlengkapi segenap ruang kehidupanku. Agar dapatlah hati ini kuberikan kepada yang selayaknya, walaupun datang keserba-salahan yang seolah2 aku menduakanNya. Namun Rasulullah pun berkeluarga dalam melayan kasihnya yang utuh terhadap yang Maha Esa. Tipulah, kalau aku tidak cemburu melihat manusia lain hidup bekeluarga. Apa kurangnya aku di mata manusia? Rasanya tiadalah jua sebarang cacat cela

Aidilfitri tahun ini aku sambut seadanya. Yang terkesan ialah apabila banyak tangan2 yang minta disalam. Anak2 murid yang tidak pernah jemu2 aku cinta; semoga hendaknya mereka diberikan keberkatan yang berpanjangan dalam bulan penuh keredhaan. Hanya merekalah pengubat lara hati dan kesunyian. Terima kasih atas kad2 ucapan yang belum mampu kuutuskan balasan

Semoga dapatlah bertemu ramadhan itu lagi. Bulan bonus yang hanya diberikan setahun sekali. Yang setiap satu amalannya diupgrade sehingga 27 kali ganda. Kaya dengan cara mudah, tapi ramai yg mensia2kannya

Masih ada tiga hari lagi untuk menghabiskan segala kudrat dan kekuatan mencari keredhaan. Dan semoga lebaran yang bakal tiba itu menyucikan, bukan kembali mengotorkan hati yang telah bersih berkilatan. Terima kasih Sayang, atas segala kesempatan. Terima kasih kerana membuat diri ini rasa disayangi dan didampingi, walaupun hanya sekali sekala kita bertemu di malam2 sunyi. Dekatkanlah aku padaMu dalam hari2 yang masih berbaki, kerana segala denyut kasih ini HANYA KITA YANG MENGERTI…

p/s : buat sahabat2 pembaca, SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN

Wednesday, September 09, 2009

Beban

Berat?

Teramat.

Boleh lagi kau pikul?

Sampai mati..

Sampai terasa macam nak mati?

Tidak, akan ku pikul sampai mati

Kau menyesal?

Tidak pernah sekalipun

Jadi apa penyebab kemurunganmu?

Tiada apa

Nampak macam ada apa-apa bagi aku

Terpulang..

Aku kagum

Jangan

Kenapa tidak?

Kenapa perlu?

Kerana kau tabah

Tidak setabah yang kau sangka. Kadang2 tergelincir juga

Sudah kau doa dan mintakan pada Dia

Apa yang perlu aku minta?

Segalanya. Supaya Dia memberikanmu sedikit keringanan

(DIAM)

Kenapa kau diam?

Aku malu

Dengan siapa?

Dengan Dia

Malu yg bagaimana?

Malu yg segalanya

(DIAM)

Ceritalah..

Aku marah kalau aku dipermainkan

Semua pun marah

Aku benci kalau aku ditinggalkan

Semua pun benci

Aku menyampah kalau orang datang meminta2 pertolongan aku bila susah, namun bila senang terus menghilang tak tunjuk muka

Huh, aku pun mcamtu. Meluat!

Macamtu la aku denganNya

Tak faham

Aku tinggalkan Dia, mempermainkan suruhanNya, dan cuma datang mengadu merintih bila aku sedih. Kalau kita manusia yang tiada apa2 ini pun rasa benci dan marah, Dia tentu lebih murka

Tp Dia itu Maha Pengasih

Disebabkan Dia maha pengasih, jadi aku boleh menyisih?

Dia Maha Penyayang

Jadi boleh pula aku menduakan kasih sayangNya?

Dia penerima taubat

Jadi sewenang2nya lah aku boleh berbuat maksiat??

Kau tak seteruk yang kau sangkakan

Mungkin lebih teruk dari yang tertulis dengan perkataan

Di sisi manusia?

Di sisi-Nya

Tapi Dia membebanimu

Kerana Dia tahu aku mampu

Mampu yg bagaimana?

Mampu menghadapinya

Dengan bebanan yang menggila, yang menghilangkan perdu rasamu, sampai engkau membuang dirimu dari manusia?

Tidak. Dia tahu aku mampu menghadapinya dengan keteguhan iman dan taqwa, agar renggangnya aku dengan manusia dapat pula melahirkan bibit mesra antara aku dan Dia

Macam kekasih hati yang sengaja menguji?

Ya, macam Kekasih Hati. Yang rindu2an bila tidak ketemuan

Gila!

Mungkin. Aku gilakan cintaNya

Tapi kenapa?

Kerana cuma Dia yang menerima aku dalam apa jua keadaan. Mendengar segala keluh resahku, menerima rintihanku, di saat manusia2 lain memekakkan telinga, membutakan mata

Huh, beban!

Beban bagimu, tapi kesyahduan bagiku..

Friday, September 04, 2009

Kenapa tak menulis??









Orang tanya kenapa aku tak menulis. Aku jawab sebab aku dah bosan menulis. Aku mahu melukis pulak. Lukis gambar2 manusia. Lukis wajah2 manusia. Aku suka, dan aku tak peduli kalau orang lain tak suka
Ya, aku bosn menulis. Noktah!



Monday, August 24, 2009

Teratak itu

kredit gambar (flickr)

Melangkah ke teratak usang buruk itu, maka nampak benarlah seperti sengaja ia ditinggalkan. Di mana tuan rumahnya, tidaklah sesiapa pun mengetahui. Teratak itu telah terlalu lama dibiar tak terjaga. Serasa semenjak dua menjak ini tidak pernah sekalipun diselenggara. Letak duduk keadaannya pun sudah lapuk dimakan usia. Sedang mahligai orang lain diperelok dan direka indah, teratak yang itu tetap tinggal usang, lapuk dan goyah

Mana tuan rumahnya? Di manakah dia? Kenapa lama nian dia meninggalkan terataknya, teratak yang dulu dijaganya dengan darah dan air mata? Tuan rumah itu telah hilang. Hilang kekuatan mungkin. Tuan rumah itu mungkin sekali telah lama pergi. Pergi meninggalkan segala kenangan pahit manis yang terkesan dalam hidupnya. Diselerakkan dan disepahkan di mana2 saja dalam teratak yang buruk tak berjaga. Kalaulah sudi sepasang dua mata yang datang menjenguk lamannya yang tak tersinggah

Dia mungkin sekali manusia paling rugi, meninggalkan kerja2 nuraninya, menggantikan dengan kerja2 dunia yang terlalu meminta disegera. Apa boleh buat, dia itu hanya kuli, seorang manusia lemah yang harus mengejar masa untuk mengecapi kejayaan seperti yang dikecap orang lain. Dan kerja2 nurani yang memihak kepada kemanjaan yg berlebihan pada teratak itu nampak sangat tidak membawa ia kemana2. Masanya kini telah tercuri dengan kehendak2 dunia yang lebih meminta2

Lalunya lah dia meninggalkan teratak itu, kerana tiada lagi masa untuk menjenguk apatahlagi membaik pulih terataknya yg usang buruk. Jadinya biarlah ia kekal sebegitu, buat kenangan2 dirinya sendiri, yang kadangkala datang kembali mencari makna penulisan sejati. Mencari makna pengajaran hidup paling hakiki. Kembara diri yang tak bertepi..

Tuesday, July 21, 2009

Laman

Aku pandang laman blogku. Melihatnya dengan hati dan perasaan yang telah tiada jua. Segala keinginan untuk menulis telah lama pudar. Bukan lagi bagai dulu2, tatkala aku mula2 mencantingkan coraknya, memasangkan pasaknya, belajar mencoret segala dari mula, dan sedikit demi sedikit melakar tinta dengan tulisan2 yang datangnya dari jiwaraga

Laman ini sudah terlalu lama terbiar tidak diselenggara. Aku terlalu sibuk disibukkan dengan kerja2 dunia. Lalu aku seakan lupa pada jeritan hati yang memekik-mekik minta ditemani. Aku tak punya masa. Kelapangan yang pernah tuhan bagi dulu, telah pun dirampasNya kembali. Aku tak menyesal, sedih pun tidak. Cuma sedikit terganggu bila tak dapat membelai hati yang meminta2 agar disayangi

Laman ini telah masuk tahun yang ketiga. Kalau anak yang baru lahir, mungkin kini telah pandai berjalan dia. Kalau dulu dia bisu, mungkin sekarang sudah mampu bersuara. Kalau dulu mengkal muda, mungkin kini sudah ranum dewasa. Namun aku masih di situ. Masih Hartini yang dulu2. Dengan hati yang sentiasa jujur dan ikhlas. Memberi kasih tanpa berharap untuk dibalas

Kalau ada pun pembaca yang mengikuti laman ini dari dulu, sejak di tahun yang pertama (sekitar 2006), mungkin sekali Nafastari. Walau kami tidak pernah sekalipun bersemuka, namun perjalanan yang dititi di dalam tulisan2 ini telah seperti mendekatkan, dan seterusnya memberi maksud yang berbeza kepada erti sebuah perkenalan

Dan beliau juga, dari seorang bujang, kini telah berumahtangga, dan telah pula menjadi seorang bapa, betapa pantas masa berlalu, tak sedar kadang2 melayang bagai hilir pedang yang menyentuh hati dan perasaan. Dan teman itu kini telah pula melangkah ke luar Negara bersama isteri dan anakanda tercinta, sedang aku masih menghirup deru samudera yang bersisa. Hawa panas dan lembap yang tetap sama

Aku buntu, kerana merasakan idup ini telah terlalu berubah. Atau aku sendiri yang berubah? Tidak, aku tak pernah berubah. Aku masih yang macam dulu2 juga. Penulisan yang senantiasa datang dari hati, bukan menulis untuk orang lain tetapi hatiku sendiri. Mungkin luaran laman ini terpaksa aku ubah atas kemuakan yang lekas benar mengintai2 manusia. Luarannya berbeza, isinya tetap sama

Kalaulah mampu, aku ingin menyuruh pembaca membaca laman ku ini dari entri yang dulu2. Jangan keciciran walaupun satu. Kerana dalam setiap butir karangan itu terdapat bahan penceritaan. Bagai alur sungai yang tercipta dari kuala menuju ke muaranya. Mengalir satu2 penuh asyik dan leka. Blog ini satu cereka kehidupan sebenarnya. Apa yang berlaku dalam tiga tahun, yang dicoretkan penuh warna dan coraknya

Suka duka, senyum tawa, dapat pula dibaca dengan mata hati dan jiwa. Digarap molek dengan runtunan emosi dan kuasa bahasa yang perkasa. Itu bagi mereka yang mengerti. Yang sudi mentafsir diri dan peribadi. Bukan hadir sekali sekala lalu meninggalkan jejak yang memberi luka. Apa kah susah menyenangkan mata2 yang membaca hanya dengan kata2. Rasanya, tidaklah sesukar mana

Dalam ratap2 tangis menaip kata2 ini satu persatu, yang sekarang barangkali telah beratus ribu, air mata kadangkala tumpah juga. Dalam ketukan jemari yang erat menekan papan kekunci yang sesetia diriku ini, membaca kembali tulisan2 lama adakalanya seperti memutarkan kembali filem cereka. Seperti melihat perjalan hidupku yang penuh carikan warnanya

Ada warna yang terang benderang, lalu menyilaukan pandangan, dan banyaknya yang redup dan kelam, membawa jiwa ke lorong2 usang yang berhabuk dan bersawang. Warna2 itu bagai mengawal diri, lantas menjadikan aku bagai terlalu asyik mengikut kata hati. Sesekali terasa seakan2 aku ini telah hampir mati melaian rasa. Perempuan yang jiwa2 dan mabuk khayal dengan kata jiwanya

Persetankan mulut2 yang mahu mengata. Nama pun manusia, lantas sudah tentu mereka boleh berkata apa saja. Laman ini bukan untuk umum. Ia laman untuk mata2 yang mahu mengenal pintaan jiwa. Laman untuk mata2 yang sudi celik setelah hampir lena. Ini laman suka duka. Duka yang membutuhkan deraian air mata. Jika tidak pun mengalir tangisan, cukuplah sekadar membaca lalu mengalir sedar dan keinsafan…

Sebuah laman yang seharusnya mendekatkan kita dengan naluri dan perasaan. Dengan sifat2 kemanusiaan. Sekosong2 laman yang dari dulu hingga kini tidak pernah berteman. Laman impian dan angan2..

Friday, July 03, 2009

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita




Sayang,

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita
Sedang kalian masih bernyawa namun aku telah tiada
Sedang kalian masih di dunia namun aku sudah melangkah
Kirimkan aku sebaris doa
Sebaris Fatihah sebagai cahaya
Agar terang barzakhku berteman
Kelu ruang yang kegelapan

Sayang,

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita
Sedang hatimu sedih bersisa namun aku tak mampu menyapa
Sedang tangismu masih mengalir namun aku tak mampu hadir
Hadiahkan aku segaris ingatan
Segaris kasih sebagai bekalan
Agar damai aku menanti
Dalam ruang yang sunyi sepi

Hartini Omar
Cheras

p/s: sesungguhnya kini aku terlalu mengingati MATI

Thursday, July 02, 2009

Hati Jangan Menangis




Hati jangan menangis
Walau benar kalbu terguris
Kiri kanan masih bersisa
Kenangan lama yang menyesakkan dada

Hati jangan menangis
Walau sungguh jiwa terhiris
Depan belakang masih berbaki
Sebentuk harapan yang ditinggal pergi

Pohonlah seredup doa
Moga-moga Tuhan mendengar
Jangan lagi duduk mengenang
Pada dia yang tak mampu datang2

Julai 2009
1.50pm
Cheras

Atau aku sendiri kah yang mahu Kau jemput pulang?

Aku menung dalam2. Melayan denyut2 nadi yang adakalanya sukar sekali untuk didengarkan. Lebih bingit kata2 yang keluar dari mulut manis manusia, meninggalkan kata hatinya diam membisu seribu bahasa

Aku tidak mampu menangis, tidak mampu mengalirkan air mata atas rasa dukacita yang amat ini. Bertimpa2 pula rasa sengsara yang Tuhan beri, menyiat2 pundak hati dengan hirisan yang sakitnya tak terperi

(i)

Sudah tamat kisah cinta itu. Sudah maktub dalam perancangan Allah azza wajalla. Perkhabaran kegembiraan tentang hari besar dia itu Sabtu ini aku sambut dengan hati yang sayu. Sayu yang cuma aku yang tahu… Aku tidak menangis, kerana aku sudah terlalu banyak menangis. Aku mengaku bersalah, mungkin bersalah kerana terlanjur mencintainya. Noktah!

Dan untuk dia – semoga dikurniakan bahagia, melebihi deraian air mata

(ii)

Arwah nenek sudah selamat meninggalkan kami. Mungkin kini kesunyian di alam sana yang tak berteman. Aku temani tubuh kaku nenek dari malam sampai siang. Membacakan surah Yaasin dan kalam2 Quran. Mata tidak juga mahu menangis

Aku kendong tubuh kaku nenek, memandikan dan menggosokkan tubuhnya untuk kali yang pertama, dan terakhir. Menyiram air sembilan itu dari kepala hingga ke hujung kakinya, melihat nenek kaku dimandikan tangan2 manusia, mata tidak mahu juga menangis

Aku siat2kan kain kapan nenek, Bantu memotongkan kain, baju dan tudung kepalanya, beserta dua lagi helaian luar, membalut kujur tubuh nenek dengan kafan putih suci dari kaki hingga kepalanya, mengikat simpulan tali yang lima; di hujung kakinya, di atas lututnya, di pinggulnya, di atas sikunya, dan membiarkan ikatan di kepala itu terbuka untuk membolehkan anak cucu dan saudara mara mengucupnya, aku tidak juga menangis

Aku ikut jenazah nenek ke kubur. Melihat kujur tubuh nenek diletakkan di dalam liang lahad menghadap ke arah kiblat, dibukakan kembali kafan yang menutup wajahnya, disentuhkan hujung hidugnya ke tanah, dikambuskan ia dengan tanah yang merah warna, aku tetap juga tidak menangis

Aku dengar dalam2 bacaan talkin yang menyedarkan. Hatiku sebak. Peringatan itu untuk aku, bukan untuk nenek. Betapa kurangnya amal ku, hanya aku yang tahu. Namun sebak itu tidak juga mampu membuatkan air mataku jatuh. Aku tetap tidak menangis

(iii)

Wajah anak murid tersayang itu aku pandang dalam2. Seperti memandang wajahku sendiri. Walaupun dalam keadaan terlalu amat marah, aku masih dapat berfikir dengan rasionalnya. Kemarahan yang kutujukan padanya adalah kerana aku mahu ia berubah. Berubah menjadi manusia yang penuh keunggulannya. Menggunakan akal yang diberi Tuhan dengan kadaran maksima

Aku mahu dia itu berfikir akan segala tindak-tanduknya. Supaya meletakkan dirinya di darjat yang tinggi sedikit dari tempat yang hina dina. Menyedarkan bahawa dirinya itu wanita yang punya maruah yang semestinya dijaga. Bukan untuk dikaki2kan jantan2 yang tiada guna

Dan aku memarahinya, memarahinya atas dasar kasih sayang. Sayang seorang saudara kepada saudara yang lainnya. Namun tengkingan yang keluar dari mulutnya itu buat aku sayu. Buat aku terdiam kaku. Anak murid yang aku sayang itu meninggikan suaranya terhadapku. Betapa kecilnya hati, hanya Tuhan saja tahu

Aku bawa hati yang sayu, cuba sedaya upaya untuk tidak memikirkan tentangnya. Kalau boleh, mahu sekali aku membenci dia. Membenci mereka2 yang pernah datang membawa senyum tawa lalu berlalu pergi meninggalkan duka. Lagi sekali Tuhan telah merampas segala-galanya, dan aku masih tidak mampu mengalirkan air mata

(iv)

Papa menelefonku dengan gesaan yang memeranjatkan. Papa suruh aku salin semua angka2 yang papa sebut. Papa beritahu aku sesuatu yang aku tak pernah dan tak mungkin perlu aku tahu. Papa pesan sesuatu yang mungkin pada umur semuda papa, aku tidak perlu mendengarnya. Jantungku berdegup kencang. Kencang yang amat sangat

Papa pesan padaku dengan pesanan yang macam2. Sehingga aku terdiam. Papa beritahu tentang sakitnya yang hanya aku tahu. Mama pun tak tahu. Adik2 pun tidak. Papa kata, papa pesan bukan apa, KALAU2 lah tidak lagi berjumpa, aku telah dipesaninya. Oh, Tuhan.. Ini benar2 menyiatkan hati dan perasaan. Tolong, tolong jangan beri aku ujian yang tak mampu aku pikulkan

…………………………………….

Dan kini, sewaktu menaip kata2 ini dalam malam yang sunyi lagi sepi, dengan irama bayu menyentuh lembut gegendang telingaku, baru mata mahu menangis. Baru mata mahu basah mengenangkan segala percaturan Allah. Dan tanpa sedar, aku teresak2 menyoal segala ketentuan-Nya yang benar2 menyiksa dada

Bolehkah aku merajuk terhadapmu, Ya allah? Bolehkah?

Sudahlah satu2nya lelaki yang aku cinta itu kau ambil dia dan jadikan ia kepunyaan perempuan yang di sana. Macamlah Engkau tidak tahu, bahawa hanya dia seorang yang bertakhta dalam hatiku. Macamlah Engkau tidak tahu. Dalam redha ini, terlalu perit aku menanggung beban pilunya, tak tertangung denyut lukanya. Kenapa Tuhan, kenapa? Bukankah Engkau sendiri tahu bahawa dia saja yang aku ada untuk berubah??? Sudahlah kau jadikan aku penuh beza, di saat aku dapat mencari penyelesaiannya, Kau musnah dan robohkan segala derap usaha. Kenapa????

Lagi, Kau tayangkan pula di depan mataku sikap manusia yang penuh pura2. Menangis mengalir air mata dengan segala permainan kematian. Sedangkan tidak sedikitpun yang mati itu memberi sekelumit kesan.

Mereka berlumba mengucup pipi kaku nenek, yang kononnya menggambarkan sayang, sedang dalam hati mereka, ada atau tiada orang tua itu tak memberi apa. Kenapa tuhan, kenapa? Kenapa kekesalan itu kau jiruskan pada hati dan fikiran? Kenapa Kau ilhamkan padaku bahawa kucupan dan kata sayang bukanlah petunjuk sebenar kasih sayang. Kenapa?

Lalu kau guriskan hatiku dengan kata2 kejam seorang anak murid yang aku sayang. Yang telah kau berikan segaris rasa simpatiku terhadapnya, namun Kau tentukan agar hatiku digurisnya. Mengapa? Bukankah aku ini seorang guru yang seharusnya dihormati dan dikasihi dalam apa pun cara? Bukankah?

Aku ni cuma mahu manusia berubah. Berubah dari kegelapan ke tempat yang lebih cerah. Kenapa kau himpunkan rasa sayang ini, Ya allah? Sayang yang kadang2 memilukan. Salah akukah Ya allah…?

Dan Kau ragut kelapangan hati dan fikiran dengan berita2 gusar yang memberikan kerisauan yang bukan kepalang. Cukuplah berita itu sampai di situ, jangan pula Kau benar2 melakukannya. Ayahanda itu masih muda, Tuhan. Masih banyak yang perlu didepaninya. Panjangkanlah umurnya dalam iman dan taqwa. Hanya itu yang aku pinta. Yang aku benar2 pinta

Janganlah Ya Allah. Jaganlah beri sesuatu yang tidak aku pinta. Janganlah pula Kau robohkan segala bentuk usaha. Apa salahku padaMu? Perasaan yang semacam itu, janganlah. Tak mampu kudepaninya. Janganlah dibawa kemari segala bentuk malang, dan janganlah lagi diragut pergi mereka2 yang aku sayang….
-
-
-
-
-
Atau aku sendiri kah yang mahu Kau jemput pulang?

Thursday, June 25, 2009

Selatan

Utara sudah, Timur pun sudah. Dan kini ke Selatan pula. Aku tak mampu menulis. Tunggu lah, sedikit masa lagi... Ini saja gambar yg ada sempena pemergianku ke Selatan sana...

Malam di JB

Danga Bay

Dari balkony apartment

Di kebun milik Mak Teh

Durian Mak Teh yg sedaaapp!

Manggis Mak Teh yg menawan

ww : Terima kasih Mak Teh, atas pelawaan makan free di kebun buahmu. Tahun depan sudi2 lah ajak lagi ya =P

Sunday, June 14, 2009

Terpaksa menghampakan

Aku senyum senang. Memandu dalam kelajuan sederhana. Lembut menusuk gegendang telinga alunan2 asli, joget, zapin dan adakalanya keroncong. Memang sengaja aku pasang CD begitu kalau memandu. Melayan enak bait2 hebat yang indah memikat. Lagi2 kalau mendengar suara kakak angkat tersayang, Cik Siti (ahaks =P)

Kalau bukan alunan asli, lagu2 ballads jadi pilihan. Alunan saxophone yang lembut memberi kantuk pada kebanyakan orang, untukku jadi pembakar semangat. Memandu dengan mendengar lagu2 yang kita minat akan membuatkan kita bertambah peka dan waspada. Sekurang-kurangnya itu yang aku percaya

Kadang2 aku lupa, aku membawa bersama penumpang di belakang. Yang entah suka atau tidak mereka mendengar alunan lagu2 yang padaku memberi riang. Namun selalunya kawan2 rapat sudah teramat faham. Mereka maklum, dalam kereta Tini tak ada lagu2 pop, lagu2 rap, lagu2 rock.. Mereka tak kisah dan cuba meng’adapt’nya

Cuma untuk penumpang2 yang tidak biasa, mungkin mereka tidak selesa. Tapi maaflah, aku takkan mampu mengubah jiwa

Tini, pasang radio lah

Ok kak

Dan alunan retro berkumandang

Sinar pulak dah..

(Aku senyum) Minta maaf kak. Saya tak dengar stesyen lain

Aku tahu, ramai rakan2 sebaya membuka stesyen panasFM itu dalam kereta mereka. Aku dah cuba, tapi ditolak jiwa. Jadinya, hal yang satu ini sajalah aku meminta kebenaran untuk mengikut perasaan dan terpaksa menghampakan!

p/s : ada org di utara sana suka buka stesyen nasyed dlm kereta putih beliau. hehehe =P

Tuesday, June 09, 2009

Timur yang luhur makmur


Saat aku menaipkan entri ini, fikiranku jauh melayang, melepasi tahun2 yang deras berlalu, tidak pernah ku tersedarkan. Adakalanya memori itu datang, lalu memberikan kenangan paling indah dan membuatkan kutersenyum girang. Dan selebihnya mengungkit kembali segala memori luka, yang terkadang memberikan sendu yang terlalu sukar untuk dilafazkan dengan kata2

Setelah ke Utara beberapa minggu yang lalu, kakiku ini kujejakkan pula ke Timur yang makmur. Berjalan menelusuri pepantainya yang berpasir putih bersih, dengan deru bayunya yang sesegar kelopak bunga, airnya yang kadangkala kebiruan dan kadangkala kehijauan, ah.. betapa aku terlalu dekat dengan negeri ini, terlalu dekat sehingga adakalanya seakan2 memberikan sedikit kepiluan

Kenapa? Kerana Hartini. Ya, Hartini yang sebetulnya datang dari tanah Timur yang luhur ini. Seluhur dirinya yang menjadi korban kasihnya. Melayang aku mengenangkan sebuah kisah cinta. Apatah lagi bila membaca penanda jalan bertulis ‘Pasir panjang’ itu. Wahai Tuhan.. berilah aku sedikit kelapangan fikiran

Perhentian itu indah. Masih terbayang2 akan percikan suria yang berkilauan, memantul dari kejernihan lautnya yang mendamaikan. Terima kasih buat teman lama yang sempat memberi sedikit panduan sebelum kelana jauhnya di pentas bumi yang sana

Cuma sedikit terkilan, tidak dapat aku menziarahi beliau dan keluarga kecilnya, mengusap umbun puterinya yang pasti tersenyum kerana masih belum mengerti apa2. Tidak mengapa, jika ada rezeki yang diberi Allah, maka pasti akan bertemu juga kita

Ah, dan Perhentian dan Terengganu itu, biar sekali lagi kuserahkan ‘penceritaannya’ kepada kesayanganku. Betapa bertuahnya lahir dan membesar di Malaysia. Kadang2 teramat sukar untuk kita menghargainya. Mungkin teman, kamu sendiri telah dapat menghargai keberuntungannya. Merasai kerinduan pada deru nyiur, Timur dan ketimuranmu yang makmur..

Aku sangat percaya bahawa masih terlalu banyak yang belum kita teroka. Lebih2 lagi tentang tempat, adat dan budaya kita. Mari belajar dari alam yang diberi Tuhan, belajar memafhumkan erti sebuah kesyukuran dan belajar erti jalinan sebuah persahabatan…..




ww: lawati laman 'flickr' ku untuk foto2 yang selebihnya

Thursday, June 04, 2009

Tuhan terlalu sayang...

Entri ini aku tujukan buatmu, sahabat sepenulisan. Saat pagi menjengah dan aku terpaku membaca sebuah keluh-kesah. Berdegup laju nadiku, serasa dapat kudengar dengan jelas di dalam pejabat yang sunyi sesunyi-sunyinya. Bacalah, bacalah jika engkau sudi membacanya walaupun dapat aku agak, engkau pasti tidak berkenan dengan ayat berbunga2. Namun cubalah baca, kerana apa yang aku tulis ini memang untuk kamu. Hanya untuk kamu...

Untukmu yang mungkin engkau sendiri masih tercari2 jalan penghidupan, meninjau-ninjau di landasan mana akan tersemat sebuah pengakhiran. Sudah tentulah yang kau impikan itu sesuatu yang bahagia, namun janganlah engkau lupa, yang duka dan kecewa itu pasti datang membawa rintangan2 yang memerlukan kesabaran. Kesabaran dan sepenuh kepercayaan pada Tuhan

Teman sepenulisan,

Sesekali bila aku renung2kan, kita punya serba sedikit persamaan. Tidaklah niatku untuk meletakkan kamu serendah aku, kerana aku sendiri adalah wanita yang hina dina. Terperusuk jauh di tempat yang tidak pernah sudi manusia menunjunginya. Persamaan yang aku maksudkan itu mungkin sekali dari corak pemikiran kita. Yang sentiasa mengangankan dan mengimpikan kebahagiaan tercipta, kalau boleh menjelang esok apabila mentari memercik sinarnya

Kita terlalu degil, mahu mencari apa yang diingini hati. Sedangkan telah banyak peluang2 yang menjenguk datang. Namun atas faktor hati, peluang itu kita tentang, kita kekang. Hati kita lebih penting dari persepsi mata2 yang memandang. Persetankan manusia, manusia hanya mampu memandang bila kita susah, namun tak malu mengaku saudara bila kita bahagia. Itu memang perangai manusia

Teman,

TUHAN TIDAK PERNAH KEJAM pada kita. Mungkin sekali kita sendiri yang belum celik untuk melihat betapa Ihsan dan KasihNya Dia. Semakin banyak pancaroba yang didepani kita, semakin tinggilah rasa sayangNya. Sekurang2nya itu jugalah yang terpaksa aku sematkan dalam kotal akal untuk kembali cekal. Walaupun ada juga masanya aku terlalu putus asa untuk berdoa, kerana Dia seolah2 tidak pernah mendengar dan memberikan apa jua yang aku pinta

Aku seorang perempuan, mungkin sekali tidak sesukar dirimu yang ditakdirkan syarat alam, menjadi ketua dalam sebuah penghidupan. Mencari rezeki untuk kemudahan hari depan. Untuk membantu, atau lebih molek aku katakan untuk meyakinkan keluarga dan saudara mara, bahawa pelajaran dan perjalanan hidupmu selama ini tidak sia2

Aku berbangga mengenalimu. Mengenali rakan2mu. Engkau lelaki tabah, pasrah, dan sekali sekala diselangi gelak tawa yang mendamaikan jiwa. Walaupun egomu itu terlalu tinggi mencapai awan hingga tak mampu digenggam tangan, adakalanya engkau terlalu tulus, kawan. Terlalu suci dan kebudakan. Ya, sifat yang mendatangkan sedikit senyuman, sekurang-kurangnya untuk aku yang hanya mampu memerhati di kejauhan. Memerhati atas dasar kemanusiaan

Teman sepenulisan,

Ingat, tuhan tidak pernah zalim pada hambaNya. Mungkin kita yang zalim, meminta2 sesuatu yang akhirnya boleh menzalimi diri kita. Siapa sangka? Apa yang berlaku dalam denyut2 dan detik2 kehidupan, ditentukanNya. Kita perlu bersyukur diberikan bahagia, dan bersyukur juga diberikan duka sebagai ubat leka. Setiap yang berlaku, pasti sekali ada HIKMAH disebaliknya

Kau berpendidikan, terlalu bijak dan sangat tidak molek jika mencurigai Tuhan. Aku pasti, kawan; Suatu hari nanti kau akan kecapi apa yang kau idam2kan. Aku pasti, kerana engkau banyak berusaha, dan usaha itu tangga kejayaan. Sama2lah kita berusaha dan berdoa, semoga Tuhan memberi sedikit kasih sayang dan perhatianNya buat kita

Teman budiman,

Cukuplah sampai di sini. Sudah tamat gelora hatiku, yang meronta2 untuk menasihatimu yang mana perlu. Kemaslahatan keluargamu, ibu ayahmu, adik beradikmu, janganlah engkau gusarkan. Sebaliknya, fikirkanlah jalan2 penyelesaian. Bukan dengan berburuk sangka pada Tuhan. Aku tahu, kau tidak benar2 meniatkannya, bukan?

Tabahlah, hanya itu yang mampu aku katakan. Walaupun jika aku di tempatmu, aku jijik sekali mendengar perkataan ‘sabarlah’ dan ‘tabahlah’ itu. namun bukankah itu saja yang mampu diucapkan oleh seorang kawan kepada kawannya yang diuji dengan ujian? Ah, aku juga tak terkata apa. Sudah, mari bangkit berusaha, cari jalan alternatif yang kedua, ketiga dan seterusnya

Engkau telah termasuk dalam senarai mereka2 yang aku doakan, biarpun siapalah aku ini di hadapan Tuhan. Namamu dan keluargamu telah menjadi sebahagian dari ucap2 doaku di waktu malam, saat bulan bersinar terang. Tenang kawan dan percayalah, ini semua tanda2 bahawa Tuhan terlalu sayang....

Aku percaya, Dia memang Maha Penyayang...

Ikhlas,
Hartini Omar

Friday, May 29, 2009

Arus utara

Kecomelan wajahnya telah hilang digantikan dengan corat-coret bekas hingus yang kering berkarat. Lalu kulit mulus itu telah nampak kusam, kelabu dan menutupi riang2 ria wajah kecilnya. Rambut pendeknya yang mungkin sekali memang sengaja dipotong pendek bagi memudahkannya itu telah pula kusut masai dan sedikit sebanyak menutup ruang matanya, bercerucuk sini sana

Matanya bulat bundar, bersinar seperti mata budak2 lain yang sebaya dengannya. Cuma mereka nyata lebih beruntung darinya. Berjaya melekapkan bedak putih di wajah, berjaya menyarung baju2 kembang dengan renda lawa, sedang dia hanya dipakaikan baju kurung lusuh kecil yang bertampal kain guni, tidak pernah berganti2. Jika mahu dibasuh baju itu, perempuan yang namanya ibu itu akan memakaikan dia dengan seluar biru kecil, dan dia terasa lapang lalu berlari keriangan

Dunia ini sangat riang baginya. Tiada apa dan sesiapa yang menyakiti hatinya. Hidupnya hanya pada tidur bangunnya, makan pakainya yang tentulah berpaksikan apa yang ada saja. Dari lahir dia hidup di tepi bendang yang kehijauan itu. Sawah, pacat dan lintah telah pula menjadi sebati dalam hidupnya. Bermain dan berjalan kaki tanpa berlapik selipar pun sudah tidak menjadi masalah

Dia tidak pernah merasa makanan yang namanya sedap itu. Sedap baginya hanya jika sekali sekala lelaki yang namanya ayah bepulangan membawa puyu dan sepat seekor dua. Ikan yang digoreng garing oleh perempuan yang namanya ibu itu tentu saja boleh meliurkan dia. Dan dicobeknya puyu itu sedikit2, sambil tangan kecilnya dikias2 tangan adik-beradik yang lain, berebut2 dan berlumba2

Ayam goreng telah jadi terlalu jauh dengan dia. Kalau sekali sekala di hujung tahun ada rumah yang menyambut kenduri-kendara, dapatlah dia merasa seketul dua. Jika tidak, tidaklah sampai bila2. Dia tidak pernah kenal ayam jenama putih merah yang selalu orang pekan kata2 itu. Mahu membeli kotak televisyen pun, lelaki dan perempuan yang namanya ayah ibu itu tidak mampu

Dia bangga dengan hidupnya. Dengan baju kurung kusutnya, dengan seluar biru kecilnya yang dipakai kemana saja. Sekali sekala jiran sebelah menyebelah yang mempunyai saudara-mara orang pekan datang dengan mesin besar yang menjalar, dia melihat disebalik pintu, teringin sekali jika dapat ia naiki mesin besar yang namanya kereta itu. Oh, teringin benar dia. Malang sekali tiada siapa yang sudi mengejaknya. Hanya meninggalkan dia dengan mata berkaca2

Dia tidak tahu bila dia akan jadi besar. Besar macam perempuan yang namanya ibu dan lelaki yang namanya ayah. Hidupnya pasti akan kekal begini baginya. Entah dia sempat membesar atau tidak, terpulanglah pada perempuan dan lelaki yang tinggal bersama2 dengannya. Jika ada butir nasi yang mengisi lubang perutnya, hiduplah dia. Jika tiada, maka di hujung jalan sanalah tempatnya, di kuburan yang ditaburi kuntum2 kemboja, berdiri di sisi tuhan azza wajalla…


Kubur Panjang, Kedah

22 Mei 2009

...............................

ww: kalaulah mampu aku bantu dengan tulang empat kerat yg diberi Tuhan.. Kalaulah mampu aku lakukan...

Monday, May 25, 2009

Utara yang lapang dan melapangkan

Aku ke utara. Melawat sahabat tersayang yang beriya2 mahu aku datang menjenguknya sambil membawa 'kesayanganku' ke sana. Udara di utara itu sangat melapangkan. Adakalanya aku sendiri hampir lupa bahawa aku punya tugas untuk diselesaikan. Aku terlalu asyik melayan keindahan ciptaan Tuhan. Wahai..., pemandangan di sana, sukar sekali untuk aku ceritakan dengan perkataan. Jadinya, entri kali ini akan di 'ceriterakan' oleh si dia yang aku sayang*

Untuk sahabat tersayang, selamat hari lahir!

jelapang yang lapang

demi sesuap nasi

bendang di Kubur Panjang

dalam perjalanan ke Tg. Dawai

berbasikal ke sekolah

Tanjung Dawai

sahabat, mari renung masa depan

di Yan Kechil

sendirian termenung

ww: terima kasih sayang*. Aku terlalu sayang kamu!

* : kecintaanku dlm entri terdahulu!

Wednesday, May 20, 2009

Memeluk idaman hati

Aku ingin peluk semua. Peluk mama, peluk papa, peluk adik2, peluk kawan2, peluk UIA dan yang pentingnya peluk Masterskill! Kerana aku kini dapat memeluk idaman hatiku. Yang aku idam2kan dalam lena dan dalam jaga. Yang kini dapat pula aku menggenggamnya, dan memetiknya di mana suka. Syukur... Syukur ya Allah

Indahnya menjadi manusia yang dewasa. Melayan kehendak hati ikut aku punya suka. Sekali sekala memanjakan diri, nikmatnya tak dapat ditandingi

Aku mahu kerja lebih keras. Mahu simpan duit, mahu pusing2 satu dunia, sambil kendong dia (di bawah ini) yang aku cinta! =P

mari, kenali kecintaanku di sini

ww: menabung. menabung dan menabung. Simpan duit untuk kemudahan hari depan, dan beli barang2 layan perasaan (selagi belum kene fikir masalah kawen laaa) =P

Thursday, May 14, 2009

Ada apa dengan...

Aku tak nak lah paksa kalian tonton cerita ni sampai mati2 nak membeli. Tapi kalau2 terjumpa kat atas rak CD rumah makcik, kat dalam bakul kaset rumah kawan, kat dalam album movie rumah pak sedara, atau kat dalam kotak lama rumah member, pinjam dan tontonlah secara percuma. Kalian akan tahu "ada apa dengan cinta--------- PERTAMA!"

Huaaarrghhhh....... Walaupun cerita budak2, tapi dialog2nya matang. Penceritaannya hebat dan terangkat! Kredit la bila cerita2 simple macamni boleh buat aku cair hati.. Tabik!

ww: aku pun tengok free malam td. Kat tb8. Simple, tapi betul2 terkesan. Kira oraitlah, sekadar buat hiburan. Layannnn...

Wednesday, May 13, 2009

Arus Seberang

Darah yang mengalir dalam urat2 tegang hijau kebiruan itu mungkin bukan lagi bendalir2 merah yang membawa deru nafas ke jiwa raga. Telah lama bendalir itu bertukar menjadi desiran2 luka yang seakan2 kesat, tersekat2 menerobos sarafnya yang kini seakan pula sakit2 dan perit2 dimakan usia. Seperti juga wajahnya yang kekedutan, bukan lagi tegang megang bagai dulu

Tulang empat keratnya sememangnya telah pula menjadi penyeri kehidupannya. Terpaksa dia bersyukur dengan tulang-temulang kurniaan abadi itu, kerana jikalau dia mahu mengharapkan kulit dan isinya, telah lama mereka itu berlari meninggalkan ia. Meninggalkan dia dengan temulangnya yang kini sekeras besi. Merungkai saki baki kehidupannya, bagai derum2 mesin yang tajam matanya. Mencungkil peluang dan ruang di mana saja

Kalau ada pun yang tinggal padanya dalam usia2 senja begini mungkin sekali seraut hati yang pasrah. Hati yang telah lama juga hitam legam, menerima letak duduk keadaan, sesukar dan sepayah manapun. Hati yang menanti dan menyerah, menunggu datangnya hari2 penghabisan. Penghabisan buat dia dan dirinya. Penamat segala sketsa

Segala carca marba yang berlaku lewat di depan matanya bukan lagi penyeri2 alam yang memberikan keriangan dan mendatangkan senyuman. Segala sandiwara dunia ini telah lama ditelan dan dijamahnya. Telah lama menjadi mainan batin dan zahirnya. Sehingga takkan mampu2 lagi dia memandang walaupun sekilas kepada wajah2 dunia yang memberikan penyesalan padanya. Sesalan yang bukan kepalang

Matanya yang sayu dengan senyuman paling pilu itu kadang2 menjadi juga buat rezekinya merasa butir nasi barang sepinggan dua. Pada orang yang kasih pada dia, mereka kadang2 menghulur padanya seribu dua. Paling tidak pun, wang siling 500 itu dilantunkan padanya. Dia menerimanya dengan redha, tetapi tidak pernah dia meminta2

Dia wanita yang mungkin juga seorang mama. Pernah merasa memeluk tubuh kecil bernama anak, memandi dan membedakkannya. Menatang dan mengendong mereka dengan rasa teramat kasih lagi sayang. Pipinya mungkin sekali pernah dikucup sesiapa. Mungkin sekali lelaki yang pernah beria2 membutirkan kata cinta. Yang kini telah pergi meninggalkan alam dan membiarkan dirinya karam. Dan anak2 yang sewaktu kecilnya amat menghiburkan, yang setelah besar mereka menjadi bagai orang asing pula

Dan kini, pipi karat yang entah berapa kali saja dalam seminggu disinggahi air itu, tiada lagi yang mempedulikannya. Dia sendiri tidak lagi peduli pada wajah dan tubuh genitnya, yang menggamit suatu masa dulu. Segalanya kini adalah perintang2 waktu yang memberi jemu. Memberi syahdu

Salah diakah memberi ajaran2 yang salah pada zuriat2nya yang bernama anak itu. Sehingga singkat akal mereka, meninggalkan dan membiarkan dia terkapai di kaki lima busuk dan kotor itu. Tidak ada lagikah insan bernama keluarga atau saudara mara yang sanggup mengangkat dia ke martabat yang tinggi sedikit, walaupun sekadar seinci dari tempat duduknya yang bersimpuhan di kaki lima jalan? Yang manakah namanya adil dalam ertikata keduniaan itu? Memikir2 dengan acap segala perkara itu adakalanya membuatkan dia pusing. Pusing merunsing

Cukuplah hidupnya kini menanti hari esok. Tidak ada apa yang merugikan dan menguntungkan. Jika nyawanya panjang, lama lah dia meneleku di persimpangan kehidupan itu. Jika esok lusa dicabut nyawa, akan diterimanya sebagai berita paling bahagia. Sekurang-kurangnya, lebih bahagia tinggal seorang dalam lubang gelap dan kelam, daripada keseorangan, dalam derai dan derap tapak manusia yang kegirangan. Menyakitkan dan memedihkan

Memandang kehidupan insan lain yang seusia dia, dengan bahagia dipimpin insan2 tercinta, mengalirkan sekelopak dua air mata, jatuh deras di lopak pipinya yang kedut tua. Mengharukan. Menghibakan. Disekanya dengan hujung baju yang carik2 kekusaman. Perjalanan hidup ini…. Betapa ia meletihkan…

Bandung, Jawa Barat
5 Mei 2009

……………………………………………..

Selamat hari ibu, mama. Aku janji, mama takkan aku biar jadi sepertinya...

Cheras, Malaysia
12 Mei 2009

Tuesday, May 05, 2009

Damainya berterbangan

Damainya berterbangan. Terasa sungguh besar dan indah ciptaan Tuhan. Terima kasih, Tuhan. Terima kasih atas segala kesempatan..

ww: nanti aku kirim cerita, berserta foto2nya ya. sekarang aku masih di tanah orang =)

Monday, April 27, 2009

Selamat berbahagia


Aku duduk di bangku itu lama2. Menebar pandangan pada mega yang memercik kilauan warna jingga. Indah dan memukau pandangan, lalu tersedar betapa hidupku yang diciptakan Tuhan penuh dengan sejuta keindahan. Namun masih juga aku bermurung-murungan. Mengenangkan satu nama yang tidak juga mahu surut-surutan

Beberapa hari lagi, mungkin tidak lama pun, harus aku bersedia menguatkan semangat sendiri. Melihat satu2nya insan yang aku cintai menempuh hari bahagianya. Telah jenuh aku mengucap-ucapkan namanya dalam doa, tidak juga Tuhan kabulkankannya. Kini aku cuma mampu pasrah dan berserah. Perlu belajar bergembira dan bahagia atas segala kebahagiaannya.

Aku mungkin perlu belajar membuka hati. Hati yang telah lama terkunci. Belajar menerima keadaan kerana boleh jadi itulah yang paling baik untuk diriku sendiri. Tuhan tidak pernah zalim terhadap hambaNya. Mungkin tanpa sedar, permintaan yang aku pinta2 itu membuahkan kezaliman pada sesiapa di hujung perjalanannya. Siapa sangka? Ah, hati.. sedarlah…

..........................................................

Kekasih,
Aku hanya pernah menyebut namamu dalam pintaan doa kudusku. Menunggu-nunggu dikau datang memberiku sebentuk cinta yang aku puja2. Namun setelah sekian lama, cinta itu tidak juga kunjung tiba

Kekasih,
Aku hanya pernah memimpikanmu dalam mainan tidurku. Bertemu dikau dalam malam2 sunyi, lalu engkau tersenyum padaku minta dikasihi. Namun setelah aku sedar dari lena, bayangan wajahmu turut pergi jauh dan bagai tidak bisa aku sentuh2

Kekasih,
Aku ingin benar menuliskan namamu di halaman putih ini. Melakar setiap sifat dan perilakumu, kebaikan dan ketinggian peribadimu. Namun aku terlalu takut, takut engkau nanti akan mengatakan aku ini apa-apa. Perempuan sulit yang tak pernah sudah2

Jadi biarlah namamu aku simpan dalam hati. Segala peribadimu aku rakamkan dan letak kemas2 dalam memori. Aku akan tetap mendoakan kebahagiaanmu. Tetap mendoakan kerahmatan rumahtanggamu yang bakal engkau lalui itu. Mungkin telah ditakdirkan tuhan engkau bukan milikku dan aku bukan milikmu

Kekasih,
Aku akan terus bercakap2 dengan tuhan. Mungkin juga Dia akan menghadiahkan aku sebuah cinta dari jalan yang tidak aku sangka2kan. Siapa tahu, kesedihan ini adalah satu hikmah tanda sayangya Dia padaku. Tanda kudusnya kasih Tuhan pada hamba2nya yang sering tidak tahu

Aku akan belajar menerima kenyataan. Belajar hidup dengan kesyukuran. Belajar bersabar dengan setiap perit dugaan. Terima kasih sayang, membenarkan aku merasai kemanisan cinta. Walupun manisnya itu tidaklah selama mana

Selamat berbahagia…

Sekian,
Hartini Omar
.......................................

P/s: Aku nanti mahu terbang, ubati hati yang rawan. Tolong doakan aku selamat pergi dan selamat pulang

Friday, April 24, 2009

Terbicara Tentang Hati

Terbicara tentang hati. Dengan seorang sahabat, yang pernah terluka hatinya. Lalu mudah ia melupakan kisah silam, seakan-akan yang silam itu datang bagai angin lalu. Sekadar berterbangan melepas rindu. Sukar benar mengikut kehendak hati. Kerana yg dikehendaki hati itu selalunya yg cocok2 dan indah2 saja. Sedang dunia mengajar manusia menerima kelansungan kehidupan ini seadanya. Serba buruk dan serba baiknya

Jauh di sudut hati ini, bila kurenung2kan masa depanku yang entah bila usainya, entahkan sempat bertemu cinta, entahkan terus dikambus ke tanah.. Aku melihat perjalanan hidup seperti telah amat teliti diaturkan Sang Pencipta. Setiap keluhan membutirkan hikmah yg seringkali dianggap bencana yg menimpa. Lalu terlupa pada kenikmatan yg dikurniaNya

Dan hati seorang teman itu telah teramat gagah menutup pintunya, dari menerima insan dulu yang pernah meluka. Wahai, bagai mahu benar aku mengambil kisah cintanya sebagai azimat. Agar dapat pula aku melupakan kelukaan hatiku yg tak terubat

Terlukakah aku? Untuk soalan itu, aku juga tak pasti akan jawapannya. Kerana aku hanya pernah mendamba cinta, tanpa pula berterus terang kepada tuan empunya jiwa. Maka tentulah beliau itu tidak maklum. Lalu seharusnya beliau berjanjian dengan wanita lain, maka aku merasakan aku dilukai? Ya, hatiku terguris, namun bukanlah dia penggurisnya. Maka dalam makna yang lainnya, aku tidak sesekali pernah dilukai sesiapa

Lainlah teman ini yg sudah ia acapkali melafazkan cinta, namun ditolak atas dasar kecintaan pada jiwa2 yang lebih sempurna. Yang lebih molek rupa parasnya. Maka kerana itulah boleh kita mengatakan bahawa dia telah diluka. Ah kompleks benar definasi cinta. Mentafsirkannya saja memerlukan masa. Cuma yang pasti, destinasinya satu belaka – bahagia!

Namun bahagia juga boleh dimaksudkan dengan berbagai bentuk dan warna. Tanpa cinta aku bahagia. Kalau benarlah kedudukan hari ini boleh aku anggapkan sebagai bahagia. Aku bahagia kerana mampu menjadi diriku sendiri. Hidup dengan kehendak hati dan jiwa yang bebas dan riang tak terperi. Tidak dipengaruhi dan dipaksa2 sesiapa. Aku adalah aku yang asalnya. Hidup dan mati menanti cinta dengan bahagianya!

Kupohonkan cuma satu. Agar insan2 yg kusayang itu senantiasa dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan. Semoga aman damailah hidup dengan pasangan2 dan keluarga2 mereka. Yg mana aku cuma mampu aku lakukan dengan menadah tangan dan duduk bersimpuh mengadap tuhan..

................................................

Tuhanku yang penyayang,

Kau berikanlah sedikit kelapangan pada jiwa2 yang dibelenggu ujian, agar tenang mereka2 itu, aman dan damai dalam linang kasihMu.

-Mawar dan Ahmad, bersama puteri sulung mereka Nadaa

-Sahabatku Marshidah di Kedah sana, semoga dikurniakan rezeki yang melimpah ruah

-Sahabatku Awla di Kuantan, yang sedang berdepan dengan getir peperiksaan

-Sahabat blog Sdr Ishan, semoga diberikan kesihatan yang berpanjangan

-Anak2 muridku, walau di mana saja mereka berada, semoga diberikan kekuatan jiwa raga

-Guru2ku, di mana saja bumi dipijak mereka. Lindungi mereka dalam iman dan taqwa

-Papa, mama dan adik2 yang paling aku cinta

-dan terakhirnya si dia (aku maklum Engkau sendiri tahu siapa), pandu dia ke arah bahagia, walau bukan aku yang ditakdirkan memimpin tangannya....

Saturday, April 18, 2009

Tagged

Aku berada di ofis pada hari sabtu. Meluangkan masa menghadiri jemputan pelajar untuk program Healthcare Day mereka. Dan aku dianugerahi anugerah "The Most Humour Lecturer". Wah wah, lucukah aku?? Aku senyum tak tahu

Dan di akhir program, lagi sekali dianugerahi "Queen of The Day". Jangan beliakkan mata kalian, sebab aku pun dah nak tergelak sakan. Aku, queen? Oh tidak sama sekali! Tiada lansung ciri2. Mungkin lebih kepada rezeki..

Apapun terima kasih banyak pada student2 Healthcare. I appreciate it so MUCH!

Dan bersantai2 di ofis, layari internet sana sini, lalu terbaca nama sendiri dalam blog Encik Razz. Aku sudah ditagged. Disebabkan isu tag kali ini aku suka, jadi aku layan. Lagipun harini sabtu, bukan nak pergi mana2 atau buat apa2. Jadi tak salah rasanya aku isi masa

Jadi, ini dari aku, Razz. Your silent reader!
......................................

Cara2 :

1) anda perlu “printscreen” wallpaper anda yang sedang guna sekarang, jangan dusta, kerana kurang digemari.
2) beri tahu mengapa anda suke “wallpaper” anda itu.
3) tag 10 orang.
4) itu sahaja.

Wallpaper ofis

Gambar wallpaper ni aku ambil dari Flickr kalau tak silap. Aku suka sebab unik dan simple, tapi memberi makna yang mendalam. Aku suka sebab gambarnya klasik dan mendamaikan mata. Aku suka sebab bila tengok je wallpaper ni, aku jadi bersemangat semula. Tak tau lah kenapa


Wallpaper notebook

Lagi satu ni wallpaper notebook aku yang comel. Yang aku bawak ke hulu ke hilir. Pun gambar yang simple dan memberikan kedamaian. Terasa macam aku kat Europe pulak sekali sekala. Tak dapat pergi, tengok gambar pun jadilah..

Sekian. Aku mahu tag dua blogger di bawah ini, dan tidak kisah sedikit pun jika mereka tidak mahu melayannya

2) Gdah

Terima Kasih

Mana pergi bahasa?

Telefon berbunyi. Aku tekan punat telefon bimbitku lalu tertera pesanan ringkas :

Miss uat per? Lwda cyap gtaw sy

Aku beliak mata. Kelip2 sedikit untuk mengembalikan penumpuan cahaya pada retina yang seakan2 memberi gambaran kabur. Terasa liat untuk akalku mentafsir pesanan ringkas yang sememangnya ‘ringkas’ itu. Kening berkerut, mulut mengomel, ‘apa dia tulis ni?’ Bahasa melayu atau bahasa Malaysia? Atau bukan kedua-duanya?

Aku tarik nafas dalam2. Geram. SMS pelajar itu aku balas,

Aku _: saya rasa kamu kehilangan sesuatu

Dia__: per miss?

Aku _: BAHASA. Tolong cari sampai jumpa dan baru datang jumpa saya!

………………………………………………….

Bahasa melambangkan jiwa. Bahasa mencerminkan bangsa. Kita adalah apa yang kita kata

Monday, April 13, 2009

Makan

"Bahagianya mama yayang tengok Ekal makan....."

Doktor Cinta


Jam 3 petang

Telefon berbunyi ( SMS masuk)

Pelajar A : Boleh ganggu Miss sekejap. Ada masalah (SMS)

Aku : Masalah apa? (SMS)

Pelajar A : Masalah peribadi [baca : cinta] yang di luar urusan belajar (SMS)

Aku : Emm, sila lah (SMS)

Pelajar A : Bla Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

Aku : Bla Bla Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

(Darab 7)

TAMAT
………………………..

Jam 6 petang

Telefon berdering

Pemuda B : Cik Tini (bukan nama sebenar)

Aku : Saya

Pemuda B : Saya Mr. N, berumur 33 tahun. Ingin tanyakan pendapat tentang sesuatu

Aku : Adakah saya mengenali anda

Pemuda B : Tidak. Saya rakan kepada Cik S dan benar2 perlukan pendapat ‘pakar’

Aku : Saya bukan pakar. Tapi emm.. silalah

Pemuda B : Saya punyai masalah [baca : masalah cinta] bla bla bla bla bla

Aku : Bla Bla Bla Bla Bla Bla

(Tambah 40 minit)

TAMAT
…………………………….

Jam 9 malam

Telefon berbunyi (SMS masuk)

Gadis C : Sibuk? (SMS)

Aku : Tidak (SMS)

Gadis C : Aku ada masalah sikit? Boleh minta pendapat? (SMS)

Aku : Tak ada masalah. Silakan (SMS)

Gadis C : Bla Bla Cinta.. Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

Aku : Bla Bla Bla Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

(Darab 6)

TAMAT

…………………………………

Jam 11.30 malam

Telefon berdering

Gadis D : Dah tidur?

Aku : Sudah (dengan nada suara mengantuk)

Gadis D : Maaf, tapi boleh tolong saya. Selesaikan masalah cinta

Aku : Hmm.. Masalah yang bagaimana? (terpaksa kebil2 mata)

Gadis D : Bla bla bla bla bla bla bla bla….

Aku : Bla bla bla bla bla bla bla….

(Tambah 40 minit)

TAMAT dan sambung tidur

……………………….

Jam 12.20 pagi

Telefon berdering (SMS lagi)

Gadis E : Maaf ganggu Tini, boleh tolong akak fahamkan situasi [baca : situasi cinta] ini? (SMS)

Aku : Situasi apa kak? (SMS)

Gadis E : Bla bla bla bla bla bla (SMS)

Aku : Bla bla bla bla bla bla (SMS)

(Darab 8)

TAMAT dan cuba untuk sambung tidur semula
………………………

jam 1.30 pagi

>>>> Tak dapat lelap mata dah<<<<

-HARAP MAKLUM tuan/puan. Saya BUKAN doktor cinta!