Monday, April 27, 2009

Selamat berbahagia


Aku duduk di bangku itu lama2. Menebar pandangan pada mega yang memercik kilauan warna jingga. Indah dan memukau pandangan, lalu tersedar betapa hidupku yang diciptakan Tuhan penuh dengan sejuta keindahan. Namun masih juga aku bermurung-murungan. Mengenangkan satu nama yang tidak juga mahu surut-surutan

Beberapa hari lagi, mungkin tidak lama pun, harus aku bersedia menguatkan semangat sendiri. Melihat satu2nya insan yang aku cintai menempuh hari bahagianya. Telah jenuh aku mengucap-ucapkan namanya dalam doa, tidak juga Tuhan kabulkankannya. Kini aku cuma mampu pasrah dan berserah. Perlu belajar bergembira dan bahagia atas segala kebahagiaannya.

Aku mungkin perlu belajar membuka hati. Hati yang telah lama terkunci. Belajar menerima keadaan kerana boleh jadi itulah yang paling baik untuk diriku sendiri. Tuhan tidak pernah zalim terhadap hambaNya. Mungkin tanpa sedar, permintaan yang aku pinta2 itu membuahkan kezaliman pada sesiapa di hujung perjalanannya. Siapa sangka? Ah, hati.. sedarlah…

..........................................................

Kekasih,
Aku hanya pernah menyebut namamu dalam pintaan doa kudusku. Menunggu-nunggu dikau datang memberiku sebentuk cinta yang aku puja2. Namun setelah sekian lama, cinta itu tidak juga kunjung tiba

Kekasih,
Aku hanya pernah memimpikanmu dalam mainan tidurku. Bertemu dikau dalam malam2 sunyi, lalu engkau tersenyum padaku minta dikasihi. Namun setelah aku sedar dari lena, bayangan wajahmu turut pergi jauh dan bagai tidak bisa aku sentuh2

Kekasih,
Aku ingin benar menuliskan namamu di halaman putih ini. Melakar setiap sifat dan perilakumu, kebaikan dan ketinggian peribadimu. Namun aku terlalu takut, takut engkau nanti akan mengatakan aku ini apa-apa. Perempuan sulit yang tak pernah sudah2

Jadi biarlah namamu aku simpan dalam hati. Segala peribadimu aku rakamkan dan letak kemas2 dalam memori. Aku akan tetap mendoakan kebahagiaanmu. Tetap mendoakan kerahmatan rumahtanggamu yang bakal engkau lalui itu. Mungkin telah ditakdirkan tuhan engkau bukan milikku dan aku bukan milikmu

Kekasih,
Aku akan terus bercakap2 dengan tuhan. Mungkin juga Dia akan menghadiahkan aku sebuah cinta dari jalan yang tidak aku sangka2kan. Siapa tahu, kesedihan ini adalah satu hikmah tanda sayangya Dia padaku. Tanda kudusnya kasih Tuhan pada hamba2nya yang sering tidak tahu

Aku akan belajar menerima kenyataan. Belajar hidup dengan kesyukuran. Belajar bersabar dengan setiap perit dugaan. Terima kasih sayang, membenarkan aku merasai kemanisan cinta. Walupun manisnya itu tidaklah selama mana

Selamat berbahagia…

Sekian,
Hartini Omar
.......................................

P/s: Aku nanti mahu terbang, ubati hati yang rawan. Tolong doakan aku selamat pergi dan selamat pulang

Friday, April 24, 2009

Terbicara Tentang Hati

Terbicara tentang hati. Dengan seorang sahabat, yang pernah terluka hatinya. Lalu mudah ia melupakan kisah silam, seakan-akan yang silam itu datang bagai angin lalu. Sekadar berterbangan melepas rindu. Sukar benar mengikut kehendak hati. Kerana yg dikehendaki hati itu selalunya yg cocok2 dan indah2 saja. Sedang dunia mengajar manusia menerima kelansungan kehidupan ini seadanya. Serba buruk dan serba baiknya

Jauh di sudut hati ini, bila kurenung2kan masa depanku yang entah bila usainya, entahkan sempat bertemu cinta, entahkan terus dikambus ke tanah.. Aku melihat perjalanan hidup seperti telah amat teliti diaturkan Sang Pencipta. Setiap keluhan membutirkan hikmah yg seringkali dianggap bencana yg menimpa. Lalu terlupa pada kenikmatan yg dikurniaNya

Dan hati seorang teman itu telah teramat gagah menutup pintunya, dari menerima insan dulu yang pernah meluka. Wahai, bagai mahu benar aku mengambil kisah cintanya sebagai azimat. Agar dapat pula aku melupakan kelukaan hatiku yg tak terubat

Terlukakah aku? Untuk soalan itu, aku juga tak pasti akan jawapannya. Kerana aku hanya pernah mendamba cinta, tanpa pula berterus terang kepada tuan empunya jiwa. Maka tentulah beliau itu tidak maklum. Lalu seharusnya beliau berjanjian dengan wanita lain, maka aku merasakan aku dilukai? Ya, hatiku terguris, namun bukanlah dia penggurisnya. Maka dalam makna yang lainnya, aku tidak sesekali pernah dilukai sesiapa

Lainlah teman ini yg sudah ia acapkali melafazkan cinta, namun ditolak atas dasar kecintaan pada jiwa2 yang lebih sempurna. Yang lebih molek rupa parasnya. Maka kerana itulah boleh kita mengatakan bahawa dia telah diluka. Ah kompleks benar definasi cinta. Mentafsirkannya saja memerlukan masa. Cuma yang pasti, destinasinya satu belaka – bahagia!

Namun bahagia juga boleh dimaksudkan dengan berbagai bentuk dan warna. Tanpa cinta aku bahagia. Kalau benarlah kedudukan hari ini boleh aku anggapkan sebagai bahagia. Aku bahagia kerana mampu menjadi diriku sendiri. Hidup dengan kehendak hati dan jiwa yang bebas dan riang tak terperi. Tidak dipengaruhi dan dipaksa2 sesiapa. Aku adalah aku yang asalnya. Hidup dan mati menanti cinta dengan bahagianya!

Kupohonkan cuma satu. Agar insan2 yg kusayang itu senantiasa dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan. Semoga aman damailah hidup dengan pasangan2 dan keluarga2 mereka. Yg mana aku cuma mampu aku lakukan dengan menadah tangan dan duduk bersimpuh mengadap tuhan..

................................................

Tuhanku yang penyayang,

Kau berikanlah sedikit kelapangan pada jiwa2 yang dibelenggu ujian, agar tenang mereka2 itu, aman dan damai dalam linang kasihMu.

-Mawar dan Ahmad, bersama puteri sulung mereka Nadaa

-Sahabatku Marshidah di Kedah sana, semoga dikurniakan rezeki yang melimpah ruah

-Sahabatku Awla di Kuantan, yang sedang berdepan dengan getir peperiksaan

-Sahabat blog Sdr Ishan, semoga diberikan kesihatan yang berpanjangan

-Anak2 muridku, walau di mana saja mereka berada, semoga diberikan kekuatan jiwa raga

-Guru2ku, di mana saja bumi dipijak mereka. Lindungi mereka dalam iman dan taqwa

-Papa, mama dan adik2 yang paling aku cinta

-dan terakhirnya si dia (aku maklum Engkau sendiri tahu siapa), pandu dia ke arah bahagia, walau bukan aku yang ditakdirkan memimpin tangannya....

Saturday, April 18, 2009

Tagged

Aku berada di ofis pada hari sabtu. Meluangkan masa menghadiri jemputan pelajar untuk program Healthcare Day mereka. Dan aku dianugerahi anugerah "The Most Humour Lecturer". Wah wah, lucukah aku?? Aku senyum tak tahu

Dan di akhir program, lagi sekali dianugerahi "Queen of The Day". Jangan beliakkan mata kalian, sebab aku pun dah nak tergelak sakan. Aku, queen? Oh tidak sama sekali! Tiada lansung ciri2. Mungkin lebih kepada rezeki..

Apapun terima kasih banyak pada student2 Healthcare. I appreciate it so MUCH!

Dan bersantai2 di ofis, layari internet sana sini, lalu terbaca nama sendiri dalam blog Encik Razz. Aku sudah ditagged. Disebabkan isu tag kali ini aku suka, jadi aku layan. Lagipun harini sabtu, bukan nak pergi mana2 atau buat apa2. Jadi tak salah rasanya aku isi masa

Jadi, ini dari aku, Razz. Your silent reader!
......................................

Cara2 :

1) anda perlu “printscreen” wallpaper anda yang sedang guna sekarang, jangan dusta, kerana kurang digemari.
2) beri tahu mengapa anda suke “wallpaper” anda itu.
3) tag 10 orang.
4) itu sahaja.

Wallpaper ofis

Gambar wallpaper ni aku ambil dari Flickr kalau tak silap. Aku suka sebab unik dan simple, tapi memberi makna yang mendalam. Aku suka sebab gambarnya klasik dan mendamaikan mata. Aku suka sebab bila tengok je wallpaper ni, aku jadi bersemangat semula. Tak tau lah kenapa


Wallpaper notebook

Lagi satu ni wallpaper notebook aku yang comel. Yang aku bawak ke hulu ke hilir. Pun gambar yang simple dan memberikan kedamaian. Terasa macam aku kat Europe pulak sekali sekala. Tak dapat pergi, tengok gambar pun jadilah..

Sekian. Aku mahu tag dua blogger di bawah ini, dan tidak kisah sedikit pun jika mereka tidak mahu melayannya

2) Gdah

Terima Kasih

Mana pergi bahasa?

Telefon berbunyi. Aku tekan punat telefon bimbitku lalu tertera pesanan ringkas :

Miss uat per? Lwda cyap gtaw sy

Aku beliak mata. Kelip2 sedikit untuk mengembalikan penumpuan cahaya pada retina yang seakan2 memberi gambaran kabur. Terasa liat untuk akalku mentafsir pesanan ringkas yang sememangnya ‘ringkas’ itu. Kening berkerut, mulut mengomel, ‘apa dia tulis ni?’ Bahasa melayu atau bahasa Malaysia? Atau bukan kedua-duanya?

Aku tarik nafas dalam2. Geram. SMS pelajar itu aku balas,

Aku _: saya rasa kamu kehilangan sesuatu

Dia__: per miss?

Aku _: BAHASA. Tolong cari sampai jumpa dan baru datang jumpa saya!

………………………………………………….

Bahasa melambangkan jiwa. Bahasa mencerminkan bangsa. Kita adalah apa yang kita kata

Monday, April 13, 2009

Makan

"Bahagianya mama yayang tengok Ekal makan....."

Doktor Cinta


Jam 3 petang

Telefon berbunyi ( SMS masuk)

Pelajar A : Boleh ganggu Miss sekejap. Ada masalah (SMS)

Aku : Masalah apa? (SMS)

Pelajar A : Masalah peribadi [baca : cinta] yang di luar urusan belajar (SMS)

Aku : Emm, sila lah (SMS)

Pelajar A : Bla Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

Aku : Bla Bla Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

(Darab 7)

TAMAT
………………………..

Jam 6 petang

Telefon berdering

Pemuda B : Cik Tini (bukan nama sebenar)

Aku : Saya

Pemuda B : Saya Mr. N, berumur 33 tahun. Ingin tanyakan pendapat tentang sesuatu

Aku : Adakah saya mengenali anda

Pemuda B : Tidak. Saya rakan kepada Cik S dan benar2 perlukan pendapat ‘pakar’

Aku : Saya bukan pakar. Tapi emm.. silalah

Pemuda B : Saya punyai masalah [baca : masalah cinta] bla bla bla bla bla

Aku : Bla Bla Bla Bla Bla Bla

(Tambah 40 minit)

TAMAT
…………………………….

Jam 9 malam

Telefon berbunyi (SMS masuk)

Gadis C : Sibuk? (SMS)

Aku : Tidak (SMS)

Gadis C : Aku ada masalah sikit? Boleh minta pendapat? (SMS)

Aku : Tak ada masalah. Silakan (SMS)

Gadis C : Bla Bla Cinta.. Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

Aku : Bla Bla Bla Bla Bla Bla Bla Bla (SMS)

(Darab 6)

TAMAT

…………………………………

Jam 11.30 malam

Telefon berdering

Gadis D : Dah tidur?

Aku : Sudah (dengan nada suara mengantuk)

Gadis D : Maaf, tapi boleh tolong saya. Selesaikan masalah cinta

Aku : Hmm.. Masalah yang bagaimana? (terpaksa kebil2 mata)

Gadis D : Bla bla bla bla bla bla bla bla….

Aku : Bla bla bla bla bla bla bla….

(Tambah 40 minit)

TAMAT dan sambung tidur

……………………….

Jam 12.20 pagi

Telefon berdering (SMS lagi)

Gadis E : Maaf ganggu Tini, boleh tolong akak fahamkan situasi [baca : situasi cinta] ini? (SMS)

Aku : Situasi apa kak? (SMS)

Gadis E : Bla bla bla bla bla bla (SMS)

Aku : Bla bla bla bla bla bla (SMS)

(Darab 8)

TAMAT dan cuba untuk sambung tidur semula
………………………

jam 1.30 pagi

>>>> Tak dapat lelap mata dah<<<<

-HARAP MAKLUM tuan/puan. Saya BUKAN doktor cinta!

Thursday, April 09, 2009

Me, different?

What makes me different?

p/s : Cari jawapannya di sini
(hehe.. setuju?)

Monday, April 06, 2009

Layang-layang yang mendekatkan




Leka pula aku. Menghirup udara segar di taman penuh kehijauan itu. Mengambil setiap detik sebagai sahabat yang sudi menemaniku. Dan di atas sana, banyak pula layang2 yang berterbangan, dipandu manusia2 yang asyik masyuk memandang ke awan. Aku senyum, melihat telatah mereka yang menghiburkan

Namun perlu rasanya mengucapkan terima kasih pada layang2. Layang2 yang mendekatkan tali persaudaraan. Dalam menerbangkan layang2 itu manusia bersatu. Dan dalam senyum tawa mereka, aku tahu mereka bahagia. Meskipun bahagia itu cuma sementara. Sekurang-kurangnya mereka cuba untuk mencari bahagia

Seperti aku yang bahagia memandang ke awan, sambil tak henti2 bersyukur pada tuhan. Terima kasih Tuhan, layang2 itu benar2 mendekatkan!

Kepong,
6.15 pm

Friday, April 03, 2009

Sendiri



Secawan kopi dengan buih yang cemerlang itu masih berasap2 di hadapanku. Jam sudah menunjukkan tengah malam. Dua orang pemuda dan seorang pemudi di hadapanku masih leka bersembang sambil menyedut nikotin itu dalam2. Sesekali menyesal juga kerana memilih port di kawasan merokok. Namun aku lebih menghargai malam. Menghargai kerdipan lampunya yang memukau pandangan. Dan aku lebih cintakan bayu malam dari kedinginan penyaman udara yang adakalanya seakan2 membekukan

Aku sendirian saja. Melayari internet dan melayan perasaan yang bermaharajalela. Terasa sunyi benar dalam gelak tawa pemuda pemudi yang sering saja suka2. Bagaikan mereka itu tiada lansung masalah yang sering hadir menganggu minda. Untunglah, mereka punya teman yang tentu sekali senang untuk dibawa berbincang. Yang boleh didampingi pagi, petang, malam dan siang

Aku hirup kopi panas perlahan2. Setelah diperkenalkan oleh Masyit, aku bagaikan jatuh cinta pula dengan kedai kopi lama itu. Dan untuk secawan kopinya yang memikat, aku sanggup sendirian memandu dan datang. Biarpun di tengah malam

Ya, dan menaip dan mengepos entri ini di kedai kopi lama itu, perasaan yang tadinya sendiri tiba2 rasa terisi. Aku bahagia dapat melayan kata hati. Au bahagia kerana aku sentiasa sendiri. Aku hanya ada aku dan diriku. Sekurang-kurangnya pada detik ini. Kerana aku hanya akan mengecapi kebahagiaan ini hanya bila aku sendiri

Well, yes. I'm happy!

-Village, Bangsar South
12.50am

Thursday, April 02, 2009

Cerpen : Persimpangan

Untuk sahabatku yang keras hati...

Hujan lebat sekali. Sesekali terpercik mengenai buku ringkasan mengajarnya yang terkangkang luas di atas meja. Tertanggal dakwat dari tulisannya yang kemas serong-serong bila titis-titis hujan itu membasahi muka surat yang terbuka. Dia menyapu dengan tangan, namun perbuatannya itu lebih memburukkan keadaan. Yang terdampar kini hanyalah sebaris tulisan yang bercontengan. Dia ketap bibir, menggerutu dalam hati.

Kenapalah dirinya ditakdirkan terdampar di sini. Di lembah hina dina ini. Sungguh dia tidak mahu. Dia rindukan kehidupan lamanya. Kehidupan dulu yang dianggapnya sempurna. Lamunannya tersentak bila gerimis hujan mengenai wajahnya yang putih ayu. Diseka titisan itu rakus. Serasa bagai mahu ditujukan segala kemarahannya pada si hujan yang tidak tahu mengerti perasaan.

Hujan lebat membawa arus sungai yang deras. Bila lebat begini, adakalanya air bah lalu tumpah di celah-celah tebing yang tak berbenteng tinggi. Bukan sekadar membawa arus deras, hujan lebat begini selalunya membawa berbagai-bagai sampah sarap dan kekotoran yang menyakitkan mata. Belum ditambah bau-bauan yang memeritkan rongga hidungnya. Sesungguhnya dia rimas, rimas kerana menjadi abdi pada lembah sedalam ini.

“Kalau ikut perjanjian, sekurang-kurangnya harus bertugas dua tahun sebelum boleh berpindah ke tempat lain.” Diterimanya jawapan itu bagai petir yang menyambar. Jangankan dua tahun, baru dua bulan sudah terasa seperti dua abad baginya. Tersiksa bagai dalam neraka.

Dia pelik melihat rakan-rakan lain yang tidak terganggu dengan bau-bauan yang busuk, dengan bilik guru dan kelas yang usang berhabuk. Seingat dia sudah tidak ada lagi sekolah yang usang begini. Seingat dia semuanya telah ditangani kerajaan dengan segala bentuk bantuan. Rupanya masih ada yang terlepas pandang. Dan apalah malang nasibnya kerana dia yang menjadi korban.

Dia berjalan ke bilik darjah malas-malas. Sebenarnya bukan dia malas. Dia seorang guru yang berdedikasi. Seorang bakal guru yang cemerlang sewaktu di institusi. Dulu telah disimpulkan di sudut hatinya yang paling dalam, untuk menerima apa saja bentuk dugaan asalkan tugas dan tanggungjawab mengajarnya dapat disempurnakan. Dia sayangkan anak bangsa, sayangkan generasi muda dan sangat sayangkan negaranya. Oleh itu dia rela menjadi guru walaupun dia mampu untuk menjadi pegawai jika mahu.

Namun semangat juang itu pudar setelah dia sendiri masuk ke gelanggang yang sebenar. Seawal perjalanannya ke daerah hulu ini, segalanya bagai asing tidak seperti dalam mimpi. Dia terpaksa menaiki bot kecil selama 20minit untuk tiba di sekolah. Papan keras yang kasar dan tidak bergris yang dijadikan bangku itu sesekali mencarik-carik bebenang halus baju kurungnya. Dan di hari pertama itu mood nya sudah layu. Mulutnya terkaku membisu.

“Selamat pagi, Cikgu.” Nyaring suara-suara halus itu memasuki gegendang telinga. Dulu, ucapan itu lah yang diimpi-impikan. Diidam-idamkan siang dan malam. Namun setelah dua bulan menjejakkan kaki ke daerah usang ini, serasa bagai jijik mahu mendengar ucapan dan laungan itu lagi. Terasa bagai sengaja suara-suara itu ditinggikan untuk mengejek-ejeknya. Bagaikan kesemua murid-muird kecil itu mahu mentertawakannya, mengatakan ‘padan muka’ kepadanya. Dia mendengus perlahan. Hanya menjawab perlahan ucapan selamat pagi yang dituturkan murid-muridnya tadi.

Seorang murid lelaki mapir ke hadapan dengan buku latihan yang bersusun telah dikumpulkan.
“Cikgu, saya sudah kutip semua buku. Biar senang cikgu mahu periksa latihan kami semalam.” Pelajar itu tersenyum, mengharapkan pujian dari cikgu yang sangat disayang. Cikgu perempuan muda yang baru datang dari kota itu sangat-sangat menarik minat mereka. Cikgu sangat suka kalau pelajarnya membuat sesuatu sebelum diminta. Namun cikgu diam saja. Tidak lansung berterima kasih apatah lagi memuji muja. Mungkin cikgu lupa, fikirnya. Memang semenjak dua menjak ini cikgu sering lupa. Lupa memohon maaf, lupa berterima kasih dan lupa memberikan senyuman.

Murid-murid sangat sayangkan cikgu kota itu kerana dia sangat pandai berkata-kata. Cikgu pernah berpesan, ‘orang yang cemerlang akan memberi sebelum diminta, bertanya sebelum disuruh tanya dan tidak lokek berterima kasih dan memohon maaf’. Cikgu baru itu bukan sahaja cantik, malah cerdik. Cuma adakalanya cikgu itu dilihat selalu termenung-menung. Lalu hati murid-murid yang kecil lagi suci itu hanya menganggap bahawa cikgu mereka merindukan keluarganya, merindukan tanah negerinya.

Lalu disebabkan rasa kasih dan sayang, dan agar lenyaplah sebarang kerinduan, maka seringlah cikgu itu dihadiahkan sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku, pucuk ubi dan keledek. Adakalanya dengan gembira mereka menghulurkan buah-buahan seperti cerepu, langsat dan sukun kepada cikgu mereka. Besarlah hati mereka andainya tangan lembut dan cantik itu mengusap-usap kepala mereka, lalu bibir merah itu tidak jemu-jemu menuturkan terima kasih dengan senyuman yang berpanjangan.

Namun tidak pula diketahui mereka akan hati cikgu yang semakin bernanah dan parah detik demi detik dan ketika. Segala buah-buahan tempatan yang diterimanya itu dibawa pulang ke rumah sewanya. Tidak terus dimakan namun dipandang saja dengan sepenuh perasaan. Hatinya sakit meronta-ronta. Berperang-perang antara perasaan dan akal nuraninya.

Mengalamun kembali dia mengingatkan bulan pertama yang ditempuhi dengan tabah dan redha. Walaupun nafsu mudanya meronta-ronta minta dilepaskan dari cengkaman lembah ini, sebahagian hatinya mahu supaya dia kekal di sini. Walaupaun dia anak bandar, dia diajar supaya selalu menghormati dan menghargai. Dan tidak pernah dalam sejarah hidupnya dia merasa benar-benar dihargai. Melainkan apabila melihat wajah-wajah kecil itu menghulurkan berbagai bekalan dengan harapan yang bergunungan. Penghargaan yang seeloknya tidak perlu diterimanya!

Mengapalah orang-orang di lembah ini tidak membenci dia, lalu senanglah dia mahu membenci mereka. Dan mudahlah pula untuk mencari alasan diterbangkan semula ke daerah kota. Namun perkara yang diingininya tidak berlaku. Semakin dibaja rasa benci, semakin memuncak dirinya dihargai. Lalu sikit-sikit menghakis ketidak-senangannya pada lembah yang hina, pada wajah anak-anak yang mengharap ilmunya dan pada tanah yang bukan tempat tumpah darahnya.

“.....Dengarnya mahu berpindah,” suara itu bertanya lembut ketika dia diam di bilik guru. Rupa-rupanya sudah menjadi umum akan kehendak hatinya. Hakikatnya dia malu. Malu jika orang mengatakannya seorang wanita yang tidak sanggup menerima dugaan. Seorang wanita yang rendah semangat juang. Seorang guru yang hanya pentingkan ‘title’ dan wang. Tidak! Dia bukan begitu. Namun mengapa hati tidak mahu mengerti. Mengapa hati menjauhkan dia dari lembah dalam ini.

Dia memandang tuan empunya suara itu. Bibirnya bergerak-gerak perlahan tertahan-tahan.

“Kenapa?” dibalas tuturan itu dengan soalan.

“Tidaklah. Saja bertanya,” Pemuda itu tunduk menulis sesuatu dalam ringkasan mengajarnya, tekun.

“Salah kah berpindah?” ditanya pemuda itu kembali.

“Tidaklah salah…..” pemuda itu menjawab lalu menarik nafas perlahan, tidak juga memandangnya.

Diam.

“...... Cuma, kalau sesuatu yang terang disuluhkan ke tempat cerah, kuranglah kelihatan kerdipan dan cahayanya,”

Berhenti seketika, dan kemudian menyambung semula.

“........... Namun jika lilin yang kecil, dibawa pula ke tempat paling gelap dan usang, pasti terpancar sinarnya di segenap ruang.”

Bersahaja benar pemuda itu berkata-kata lalu menutup ringkasan mengajar, bangun dan berlalu menuju ke bilik darjah. Namun serasa dihiris halus-halus hatinya bilamana ayat-ayat itu masuk ke rongga telinga lalu ditafsirkan oleh lobusnya. ‘Wahai pemuda, mengertikah engkau apa yang bersarang di jiwa?’ hatinya bertanya-tanya. Bergenang air mata, lalu tumpah di mata hatinya. Pedih dan mengharukan. ‘Tuhan…., berilah aku jawapan..’

Dan berdiri di persimpangan itu adalah dia. Di kanannya terbayang wajah-wajah mesra, tersenyum riang mengharapkan dia menerangi lembah yang gelap kusam, berhabuk dan bersawang. Di kirinya terbayang kota dan lampu-lampu kerdipnya. Nyalaan yang leka dan menyilaukan mata. Dan dia masih ditengah-tengah, tidak pasti untuk melangkah ke arah mana.

Oleh : Hartini Omar

(Maaf, saya bukan penulis. Cerpen kerdil lagi hina ini tidak pernah pun disiarkan di mana2 akhbar atau majalah. Hanya tersimpan molek di bawah jagaan saya. Terima kasih kerana sudi membacanya)