Thursday, February 24, 2011

Aku Bukan Malaikat


Aku bukan malaikat
Untuk mengikut kata Tuhan
Tanpa sedetik kelelahan
Mampu berdiri di malam-malam hari
Terlalu selesa mengaku abdi

Aku cuma manusia
Untuk mengikut kata hati
Leka mengurus duniawi
Lekas jenuh menekun sejadah
Cepat jemu menunggu hikmah

Aku bukan malaikat
Yang terlalu mampu menolak cinta
Yang tersangat mampu menghindar noda
Hanya setia pada yang Satu
Berbangga menjeling nafsu

Aku cuma manusia
Terlalu suka mengharap belas
Selalu lemah memburu ikhlas
Mengambil jiwa sebagai raja
Senyum bangga akal diperhamba

Maafkan aku wahai Tuhan
Aku hambaMu yang diperhambakan
Diperhambakan perasaan
Untuk meminta tak sudah-sudah
Untuk memohon tak lelah-lelah

Aku mahu jadi manusia
Manusia yang jujur lagi SETIA
Mentadbir satu-satu
Membuang apa yang perlu

Cukuplah menimbang akal
Bertanya pada Yang Kekal
Apakah erti semua ini
Ujian atau sekadar,
......permintaanku yang Kau penuhi?

...

Hati ini cuma satu, Tuhan...

Mahkota Cheras
24 Feb 2011
1.35 pm

Wednesday, February 23, 2011

Maafkan aku, Tuhan

....Maafkan aku, Tuhan....

Aku diperhambakan perasaan

Thursday, February 17, 2011

"Ngeteh"

Tempatnya tidak penting. Ia boleh jadi hanya gerai2 papan di tepi jalan, warung2 kecil di perkampungan hatta meja marmar berbatuan indah di Old Town yang menawan. Apa yang penting adalah tujuan dan bagaimana ia dilakukan. Sambil2 menghirup kopi atau teh tarik secawan, "ngeteh" itu sesuatu yang menyeronokkan kalau berteman :)

Kami tidak perlukan isu2 besar untuk menghangatkan perbualan. Cukup sekadar pandangan dan buah fikiran masing2 yang dibentangkan dengan penuh adab sopan. Adakalanya kami senyum senang, dan adakalanya butir bicara itu mendatangkan kesedihan dan seakan2 memberi pengajaran. Namun begitu, segalanya terjadi secara terkawal dan tidak salah untuk saya katakan, ianya amat menyenangkan

Saya suka melihat dan melakukan sesuatu perkara secara positifnya. Kalau di kampung2, "ngeteh" atau duduk2 minum kopi sambil borak2 kosong adakalanya menjadi kemestian sebelum bergerak ke sawah dan ladang. Ia tidak bermakna sang isteri tidak menyiapkan sarapan, bukan begitu. Ia cuma sekadar hobi yang dirasakan perlu

Saya minat berbual. Secara tidak lansung, ngeteh itu telah menjadi sebahagian dari kesukaan saya. Cuma lupa saya tanyakan pada dia, adakah "ngeteh" itu dilakukan di waktu pagi sahaja?

***

P/s: ngeteh itu bahasa dr tempat dia. Saya tidak tahu apa orang lain bahasakan di daerah sini sana

Wednesday, February 16, 2011

Mesir : Apa? Kenapa?

Selalunya kami akan bersembang2 dahulu. Tentang banyak perkara. Umumnya tentang isu2 semasa yang dekat dengan mata. Dan selalunya anak2 itu sangat suka menjawab. Berebut2 bercakap hingga sukar sekali kedengaran butir bicaranya

Namun hari itu saya tanyakan pada mereka tentang Mesir. Apakah yang telah terjadi di sana? Mereka menjawab berlakunya pergolakan. Dan bila saya tanyakan atas alasan apa pergolakan itu terjadi, mereka hanya mendiamkan diri. Oh anak2, nyatanya kamu semua harus banyak membaca. Dan kalau tidak suka membaca, banyakkan mendengar berita dan cerita

Jadi di sini ingin saya pautkan satu entri indah yang padat dan berinfomasi dari seorang sahabat blogger yang sangat berpengalaman. Bacalah apa yang tertulis, lalu kalian akan faham. Dan bila kalian faham, kalian akan menjadi matang. Dan mungkin satu hari, kalian akan lebih cemerlang dalam segenap bidang

Apa yang berlaku di Mesir dan mengapa ia berlaku?

Baca di sini untuk tahu

***
Terima kasih, cikgu ;)

Hadiah terbaik saya

Entah kenapa semenjak dua ini saya lebih suka membahasakan diri sebagai saya berbanding aku. Mungkin sekali kerana saya merasakan bahawa ianya lebih sopan untuk dibaca oleh pembaca2 yang bertandang. Tetapi tidaklah pula saya menyatakan bahawa ber'aku-aku itu tidak sopan. Tapi mungkin 'aku' lebih molek digunakan bila saya mengomel sendirian. Nanti saya akan ber'aku lagi bila mood itu datang

Hadiah terbaik saya bukan bunga dalam jambangan. Ia juga bukan coklat tanda ikatan. Apatah lagi beruang berbulu comel yang lembut disentuh tangan. Cincin? Ah, itu juga bukan, malah tidak pernah saya idam-idamkan. Hadiah terbaik saya adalah dia yang Tuhan kurniakan. Dia yang sederhana dan telah menambat hati saya. Saya tidak peduli apa yang dunia ini katakan tentang dia, kerana saya tahu bahawa dia adalah yang terbaik untuk saya

Dia yang saya kenal itu tidak seromantik mana. Tapi saya tak putus2 mengajarnya kerana saya fikir romantik itu perlu sebagai bunga2 kehidupan. Saya perlukan romantik yang bertempat sebagai tanda penghargaan. Dan tidaklah pula saya menyatakan bahawa tidak romantik itu sesuatu yang tidak bagus. Namun saya lebih menghargai kehalusan perasaan atau saya namakan sebagai romantik itu. Bagi saya bunga2 hidup itu perlu

Hadiah terbaik saya adalah apabila dia tidak lupa untuk bertanyakan khabar saya walaupun kami sama2 sibuk. Saya tidak meminta dia menghantar pesanan ringkas kepada saya setiap jam kerana itu tentulah mustahil. Jadi saya bersyukur dengan apa jua yang dia kirimkan pada saya walaupun sebaris 'akum'..

Saya berterima kasih dengan khidmat pesanan ringkas ini. Ia benar2 meringkaskan hubungan dalam dunia serba mencabar dan masa yang serba pantas berlalu. Ia ringkas, mudah dan cepat. Ia tidak membuang masa semata-mata untuk memberitahu penerima tentang apa yang kita rasa. Ia berbaloi dan murah pula. Sejujurnya, saya amat2 sayangkan zaman saya dan benar2 mensyukurinya

Saya tidak perlukan Berberi atau Aifon untuk menyatakan hasrat hati saya. Dan saya juga tidak mengharapkan pesanan2 yang saya terima dilayangkan khas dari sebuah Berberi atau Aifon itu. Dengan jalan apa pesanan itu datang tidaklah sepenting mana. Yang penting ia selamat tiba dan boleh dicernakan oleh minda saya

Jadi, hadiah terbaik saya cumalah sebaris kata2 yang ikhlas datangnya dari hati lalu turun ke jari. Lalu kata2 itu ditaip satu2, dan dilayangkan di alam maya yang entah mana, lalu menjelma di mata saya sebagai sebuah pesanan paling ringkas tapi bermakna. Ya, itulah hadiah terbaik saya. Cukuplah, saya tidak mahu yang lainnya...

Friday, February 11, 2011

Saya suka Jebat dari Tuah!

Saya berkira2 mahu menukar kereta. Setelah berbincang dengan ayah yang sebenarnya mahu saya berjimat cermat (baca : tidak menukar kereta), saya bercadang untuk memilih Proton Inspira. Walaupun saya tidak berapa berminat pada kereta nasional, tetapi setelah melihat Inspira dari dekat, saya berkira2 bahawa saya boleh mempercayai kereta buatan negara saya sendiri. Saya mahu pakai BMW, tetapi seakan2 tidak logik kerana gaji saya amatlah rendah untuk membayar harga kereta semahal itu

Saya juga amat2 sukakan kereta se'handsome Honda Civic baru yang sangat macho itu. Tetapi itu juga hanya mampu dipandu dalam mimpi2 saya di malam hari. Jadi, dengan gaji yang tidak lah sebanyak mana, mungkin kereta buatan nasional adalah pilihan terakhir saya

Namun, setelah melayari blog K.Yati, keinginan saya untuk memiliki Inspira telah terhenti. Saya amat tertarik kepada Jebat di dalam gambar ini. Ia kelihatan garang, tangkas dan gagah. Lalu ia seakan2 sesuai dengan jiwa saya

Demi Jebat yang secantik ini, saya sanggup untuk tidak bertukar kereta dan menunggu ketibaannya. Saya tidak tahu bila. Ataupun Jebat di dalam gambar ini hanyalah sebuah kereta konsep, itu juga saya tidak periksa. Yang penting saya telah jatuh cinta. Jatuh cinta pada Jebat yang perkasa

Jebat yang dari pandangan belakang pun sudah boleh mencairkan. Ah, Jebat. Kalaulah kamu sesederhana Kancil. Atau paling tidakpun sebaya dengan Saga, sudah pasti kita dapat mengambil angin bersama2

Saya tidak mahu berceloteh tentang perusahaan otomobil yang telah mencipta kereta2 hebat ini. Anda google lah sendiri. Saya cuma mahu menyatakan bahawa saya lebih sukakan Jebat. Lebih dari Tuah sendiri

Dalam aspek sejarahnya pun, saya lebih mengagumi Jebat dari Tuah yang taat membabi buta!

"Kalau menurut biar berakal,
Kalau mengikut biar pintar"

-Hang Tuah

Heh, pandai cakap saja!

Tuesday, February 08, 2011

STMN (ii)

Sebelum Tuhan Menhantar NoktahNya
Dan di saat itu tiada lagi dakwat yang basah
Yang ada cuma deru air mata
Telah aku baitkan kata2 ini untukmu
Agar dapat kau jadikan dian dikala malam
Atau jadikan suluh dikala kelam
Atau sekadar payung tatkala hujan
Mengeringkan matamu yang kebasahan

Sebelum Tuhan menghantar noktahNya
Telah aku susunkan huruf, abjad dan koma,
Agar terlebih dulu mereka hadir
Mengindahkan matahari yang gelincir
Menemani malam2 yang terpinggir
Dan memberikan irama pada bayu yang berdesir
Agar segalanya tampak indah
Dengan sebaris kata-kata hikmah

Sebelum tuhan menghantar noktahNya
Marilah susun patah2 kata
Menjadi tembok dan batu bersurat
Sebagai petanda sebuah hakikat

Hartini Omar
Cheras, Malaysia

Sebelum Tuhan menghantar noktahNya


Sayang, aku gembira betul bila kamu mahu menulis. Kerana telah berkali2 aku khabarkan pada kamu, bahawa menulis itu perlu. Mungkin hari ini apa yang kita tulis nampak seakan2 tidak bermakna, tetapi satu hari nanti siapalah tahu apa kewajarannya. Mungkin tulisan itu sajalah menjadi bukti kewujudan kita. Nah, bukankah molek jika bukti itu kita kumpulkan satu persatu, agar di suatu waktu dapat ditonton dan dibaca anak cucu?

Sayang, aku suka kamu menulis. Kerana menulis itu umpama melakar sebuah potret kehidupan. Dengan menulis kita berkongsi hati dan perasaan. Dengan menulis, kita sebenarnya telah cuba untuk melapangkan fikiran. Jadi janganlah bungkam dan gundah, sekiranya tulisan2mu itu tidak dibaca. Kerana tulisan2 itu tidak lain buat penawar dirimu sendiri. Menulis lah untuk hatimu dan bukan untuk mereka yang datang bertamu. Kerana yang semacam itu akan lebih melapangkan, dari memikir2 akan siapa yang sudi bertandang

Sayang, menulis itu sebenarnya sangat sukar. Kerana seringkali apa yang kita tulis akan menjadi wacana untuk mata2 yang membaca. Jadinya, kalau elok yang kita tulis, elok jugalah hasilnya. Molek jugalah ikut-ikutannya. Dan kalau yang kita tulis itu adalah umpat keji serta cela, lalu kita jugalah yang akan menerima dosanya. Namun itu semua janganlah kamu risaukan. Kerana sudah menulis itupun adalah satu kerahmatan

Sayang, menulislah dengan hati, agar apa yang ditulis itu masuk juga ke dalam hati. Janganlah ragu2 dan bimbang yang nanti tulisanmu akan dikecam dan dihina orang. Kerana apalah ertinya kekecaman dan penghinaan mereka itu. Mereka bukan sesiapa dalam hidupmu. Apa yang penting adalah aku. Aku yang suka membaca tulisanmu walaupun jarang2 kau menyebut namaku. Aku tidak minta disanjung dan dipuja, kerana aku tahu aku telah lama berpaut di dalam hati dan jiwa

Sayang, akan ada nanti suatu hari kamu akan merasa begitu berat untuk menulis. Keinginanmu terhalang oleh pelbagai masalah yang mendatang. Janganlah di waktu itu kamu berputus asa, lalu tulisan2mu kamu tinggalkan saja. Peliharalah ia, sayangilah ia dan simpanlah ia seperti harta yang berharga. Harta yang akan membuktikan kamu adalah kamu, dan kamu pernah ada aku yang bertapak di hatimu

Sayang, aku tahu hidup ini hanyalah sementara. Segala apa yang kita lakukan di dunia ini hanya sandiwara yang akan dihitung pula amal dosanya di suatu masa. Tapi sementelah tuhan memberikan kita merasai nikmat dunia dan isinya, elok sajalah cerita dunia ini kita penuhkan dengan warna suka duka, sambil2 mengingati tentang mati dan alam sana. Menulislah seolah2 kita akan mati esok lusa. Di situ, kita akan sentiasa menulis agar tidak ada apa pun yang kita cicirkan di dalam kehidupan, terutamanya memberitahu orang2 yang kita sayang bahawa kita terlalu amat menyayangi mereka

Sayang, aku menulis kerana aku sayangkan kamu. Kamu yang telah aku simpan sebagai sebahagian dari hidupku. Kamu yang tidak akan aku temu kalau bukan dengan izin tuhan. Kamu yang tidak mungkin aku kenal kalau bukan dengan nama persaudaraan. Aku sayangkan segala2nya tentang kamu. Baik burukmu, cacat celamu, kekurangan dan kelebihanmu, marahmu, rajuk dan tawamu, sifat2 buruk dan baikmu, aku sayangkan kesemuanya. Aku sayangkan kamu kerana kamu adalah kamu. Dan jikalau kamu menjadi orang lain, maka kasih sayang itu juga akan bertukar menjadi asing

Kekallah begitu. Kekallah menjadi kamu yang aku tahu…

Jadi sayang, ayuhlah menulis. Biar kita sama2 hiasi dunia dengan kilau kata2. Biarpun kita akan dibawa pergi dan berpisah esok lusa, biarlah dengan tulisan2 ini saja menjadi tanda bahawa kita pernah berkongsi cerita, berkongsi cinta dan berkongsi cita2. Ayuh, mari lah kita mula. Sebelum Tuhan menghantar noktahnya....

Wednesday, February 02, 2011

Mencitaimu 'sedetik lebih'

Kekasih? Tidak kiralah apa bentuknya. Hitam atau putih ia. Tua atau muda. Buruk atau indah, ia tetap kekasih. Kekasih yang diberi Tuhan (1). Itu pelajaran pertama. Kekasih yang dikurniakan atas rasa cinta. Rasa cinta yang tidak boleh dibeli dengan harta (2). Itu pula pelajaran kedua. Yang jikalau sudah kita namakan kekasih, tentu pulalah ia amat mengasihi kita. Kalau tidakpun sekarang, mungkin sekali ia PERNAH memberi kasihnya (3). Pelajaran ketiga. Samada kita kini berpisah atau masih bersama ia, pokok ceritanya ada hati yang pernah gembira bersama. Lalu cocok saja untuk kita bersyukur dan berterima kasih kepada sang pemberi cinta. Bersyukur atas apa jua yang ditakdirkan oleh-Nya (4). Itu pelajaran keempat. Lalu jangan meminta2 lagi.. (5) Lima!

Cinta di dunia ini ada banyak tafsiran dan warnanya. Setiap satunya terpulang kepada pasangan yang membawa cinta. Mereka yang mencoraknya. Jangan pelik dan cemburu jika pasangan lain nampak lebih seronok dan cocok dari diri dan pasanganmu. Itu kerana mereka punya hati dan jiwa untuk mewarnai kanvas cinta mereka. Lalu dengan keikhlasan itu maka lahirlah sebuah hubungan yang ceria. Berlandaskan yang molek2 saja

Sedang kamu sendiri. Kamu memilih warna2 kusam untuk melakar potret hidupmu. Dan kalau sudah warna kusam yang dikau pilih, kusam jugalah hasilnya... Itulah, Tuhan memberimu pilihan, memberimu akal fikiran untuk kau gunakan. Maka, gunakan!

Ada banyak lagi warna2 yang terbuka untuk kau coret pada sehelai kertas yang masih kosong. Ayuh warnakan ia dengan warna2 cinta. Warna2 rindu. Warna2 setia. Warna2 syukur. Warna2 terima kasih. Warna2 penghargaan. Dan warna2 senyuman. Jangan takut, kalau baik yang kita mahukan, maka baik jugalah hasilnya, dengan bantuan Tuhan

...............................

Apa yang aku mahukan darimu, wahai kekasih? Apakah semua yang dimahukan oleh orang yang bernama kekasih? Tidak. Cukuplah sekadar cinta yang berjaga. Kerinduan yang berbela. Kasih sayang yang buat selamanya

Dari kita muda...,
Sampai kita tua....

Cukuplah itu. Cukuplah jika dapat mengenggam jemarimu tatkala lemah. Dapat membelainya tatkala gembira. Bersama2 mengharungi dunia yang serba fananya. Hingga sampai satu ketika Tuhan menjemput kita berdua. Untuk dihitung segala pahala dan dosa. Lalu di mahligai sana, kita berdua masih tetap mampu bersama. Ya, itu saja cukuplah. Sedetik lebih selepas selamanya...

"SEDETIK LEBIH"

Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu

Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

Kasihku… ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya

Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu

Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu