Friday, September 27, 2013

Hammersmith, London

Saya menulis entri ini dalam kedinginan cuaca yang bersuhu lebih kurang 11 darjah celcius. Tidur tidak sekali-kali memerlukan kipas apatah lagi penghawa dingin. Menyentuh air pili untuk mengambil air sembahyang sebentar tadi pun terasa seperti menyentuh air sejuk dalam peti ais. Macamanalah nanti nak menempuh musim sejuk yang bakal tiba.

Sekarang pukul 9.05 malam di bandar London, United Kingdom. Di tanah air tercinta Malaysia, tentunya lebih 8 jam dari sini. Ya, pukul 4.05 pagi tatkala semua sedang lena diulit mimpi

Alhamdulillah, penerbangan dengan Etihad Airways yang  bertransit di Abu Dhabi tadi berjalan dengan lancar sekali. Saya menjijak tanah London sekitar jam 2 petang, setelah lebih 17 jam mengharung penerbangan yang meletihkan. Jujur, duduk dalam kapal terbang selama itu amat-amat membosankan. Saya hanya tidur dan tidur dan tidur

Ibu bapa dan ahli keluarga serta kawan-kawan terdekat telah bermurah hati menhantar saya ke KLIA pagi semalam. Dan selepas detik itu, saya melakukan segalanya secara bersendirian. Saya tidak mempunyai rakan2 lain untuk terbang dan berpergian bersama-sama mereka. Jadinya, saya keseorangan saja. Benar-benar sedirian

Mujur segala persiapan telah saya lakukan dengan baik sekali, dokumen dan ke mana harus dituju, segalanya telah saya persiapkan sebelum berangkat. Dan syukur, urusan di UK Border yang mendebarkan itu pun dapat saya jalani dengan baik. Lancar dan dipermudah Allah Taala. Alhamdulillah

Esok saya akan ke kampus. Petang tadi hanya melawat-lawat kawasan persekitaran sambil mengambil peluang membeli kad Oyster untuk kegunaan bas dan keretapi, serta membeli simkad Lyca untuk kemudahan komunikasi di sini

Itu sahaja setakat hari pertama di Tanah seberang sana. Yang lain2 akan saya kongsikan nanti jika berpeluang dan diberikan kesempatan. Salam kasih sayang

Tini Omar,
London, United Kingdom

 kawasan kejiranan
 
 dingin
 
 hammersmith
 
 bunga2 tepi jalan je tapi kemain lawa. Kalau kat cameron harus org kutip pastu jual balik
 
 klasik
 
kad oster dan Lyca mobile

p/s: Gambar2 di atas saya ambil guna BB je. Sebab tadi tak bawak kamera. Maaf kalau tak berapa clear

Thursday, September 12, 2013

Yang pipih takkan datang melayang

Saya baru ada kesempatan untuk menjengah laman ini. Ya, sejujurnya baru mampu menarik nafas, walaupun bukan nafas kelegaan, tapi kini telah mampu menarik nafas. Kerana semenjak dua ini saya terlalu lelah menguruskan hal-hal dunia yang memerlukan bukan sedikit masa, duit dan tenaga. Juga semangat juang, saya kira

Semangat yang pernah juga hampir hilang dek ketidak-sabaran dan keletihan

Namun hari ini saya benar2 boleh bersyukur. Duduk bertenang sambil menaip baris2 ini untuk kalian. Lalu di telinga saya terngiang2, "yang pipih tidak akan datang melayang"

Saya senyum, mengenangkan hari2 kesusahan. Peluh yang saya seka bila saya berjalan ke sana ke sini menguruskan segalanya. Keluhan tatkala membuka dompet yang kosong kerana tidak bekerja dan hampir semua simpanan telah dikeluarkan untuk jalan yang satu ini. Marah2 yang adakalanya terkeluar dari mulut saya kerana ketidakpuasan hati ketika berurusan dengan pihak kerajaan, ibubapa dan rakan2 yang adakala terkena tempiasnya. Ya, saya hampir kemurungan

Dan kini apabila segalanya hampir selesai (hampir, belum benar2 selesai), saya melihat balik segala yang berlaku dan tersenyum seperti melihat sketsa hidup yang lucu pula. Begitu banyak yg Allah tunjukkan, tunjukkan saya erti sabar, erti usaha, erti setia, erti kasih sayang sebenar, erti nikmat, erti syukur dan segala-galanya. Sesungguhnya hanya Dia-lah yang layak disembah lagi dicinta dan dipuja

Di masa2 senggang ini, saya seboleh2nya cuba utuk menghargai segala yang bakal saya tinggalkan

Iklim yang panas dan lembap yang mungkin nanti saya rindukan. Bau sambal nasi lemak acik sebelah yang dapat saya hidu setiap pagi, apabila beliau bangun untuk menguruskan perniagaan. Mungkin juga rintik hujan yg membasahi jalan berturap di hadapan rumah saya; yang apabila panas lalu hujan dengan tiba2 akan mengeluarkan sejenis bau yg unik. Mungkin sekali akan saya rindukan cendol dan rojak mamak yang sering saya singgahi

Apatah lagi keletah adik2 saya yang tak jemu2 berjenaka, bebelan mama dan kerisauan papa. Ya, saya akan merindui segala-galanya

Ya, saya belum tahu. Kerinduan itu pasti hadir bila batang tubuh ini sudah tidak lagi di sini

Setakat hari ini, saya masih menunggu sumber yang insyallah (dengan izinNya) akan diberikan sikit masa lagi. Merancang untuk keluar makan dengan sahabat handai mana termampu. Melawat saudara mara yang mana perlu. Selebihnya menguruskan hal2 berkaitan penghijrahan

Siapa sangka ini takdir yang Allah tentukan (jika tiada aral melintang)

Jadi wajib saya sampaikan rasa terima kasih ini kepada semua yang sudi hadir di sisi memberikan semangat dan inspirasi. Rakan2 Uranus semestinya, Kak Dayah, Aja, Deena, Kak Azie dan Ayu yg tidak lelah mendengar keluhan saya yg muncul tiba2. Rakan2 lama, Izs dan Azit yang kadangkala bertemuan dan bersapaan menceritakan letak duduk perkara, berkongsi semangat, impian dan cita2. Liana Mohamad; kawan UIA yang acapkali hadir bertanya khabar, Kak Yan (kakak angkat tersayang) yang sering saja positif dalam memberikan pandangan, kawan2 healthcare; Rahah, Fazli dan Mdm Chandrika yg mengetahui dari awal lagi, saudara mara yg girang menerima berita dan semua yg sudi bersama saya berjuang di medan penuh getir ini

Istimewanya tentulah cinta hati saya yg maklum siapa dia, yang dengan air mata kadangkala menahan perit di hati apabila saya merampus2 ketika keletihan, terlanjur meninggi suara apabila marah yg sebetulnya buat pegawai kerajaan tidak dapat saya zahirkan. Beliau yang begitu sabar memegang tangan saya walaupun sebelah lagi tangannya sudah ada sejuta perkara yang perlu dipegang juga. Ya, beliau yang sebetulnya senantiasa bersama-sama dengan saya walau apa pun yang datang memisah. Hubungan akrab yang tidak bersyarat lagi bernama. Wahai, sejujurnya perjalanan ini tidak mudah. Lagi2 di mata saya

Dan tentulah sebesar2 penghargaan buat kedua ibubapa saya. Yang meneladani kehidupan ini dengan bijak dan penuh hikmah. Sudi memberi dan secara tidak lansung 'menerima' saya walau apa pun bentuk rupa dan kelaianan yang tercipta. Jujur, tiada ucapan terima kasih yang mencukupi untuk keduanya. Semoga hari tua mereka akan ada saya. Ya, saya yang pasti 'tidak akan ke mana2' sampai saat dicabut nyawa

 
Ayah dan bonda, untuk kalian saya doakan syurga.
 
Dan kesyukuran yang tak terhingga untuk Allah yg membuka ruang, menunjuk jalan, memberi cara menambah iman dengan pengalaman. Sungguh Besar Kamu di mata saya, ya Tuhan..
 
Sekian rasanya untuk kali ini. Akan saya menulis lagi sebelum berangkat nanti, insyaAllah. Terima kasih buat rakan2 blogger yang datang menyinggah, dan ampunkan saya atas kesepian yang berpanjangan. Maafkan saya juga bagi rakan2 yang berhubung dan bertanya mengenai khidmat fotografi yang telah saya hentikan. Mungkin akan disambung semula nanti. Nanti................... Jika ada umur dan keizinan Tuhan
 
Terima kasih banyak semua pembaca. Untuk kalian saya doakan bahagia
 
Jumpa lagi ;)