Saya kira mungkin beliau mencari-cari akal, bagaimana seorang pemuda yang sepertinya juga bisa mampu bertahan tidak meneguk air itu. Lalu mungkin beliau memikirkan, apakah yang selalu kami buat tatkala gelisah, tatkala masalah mencengkam dada. Tatkala merasa akan jalan keluar itu sudah tidak ada.
Apakah agaknya yang kami gantikan dengan minuman itu, mungkin dia tertanya-tanya.
"And we don't smoke too!" Saya menambah perlahan. Memberitahu yang kami juga tidak merokok. Saja dengan niat menambah keliru di fikirannya. Dia ketawa, yang seakan tidak percaya, sambil menggeleng2kan kepalanya.
Minum untuk mereka bukan sekadar memabukkan. Adakalanya mereka minum untuk memenuhi jemputan. Adakalanya mereka minum untuk meraikan kenalan. Itu sebahagian dari kehidupan mereka. Malah banyak majlis2 pelajar di sini yang disambut dengan hadiah dan pemberian berupa 'minuman' kebahagiaan itu. Yang selalunya kami tolak dengan baik sekali. Dengan ikhlas dan sejujur hati.
Dan untuk menerima kenyataan bahawa orang2 seperti kami mampu hidup dan terselamat dari menjamah minuman yang adakalanya merupakan 'jalan keluar' termudah itu, mereka sudah pasti tertanya2 dan terdetik dalam minda, apakah yang kami lakukan tatkala kami ditimpa masalah.
Mereka lupa bahawa kami punya Tuhan yang senantiasa di sisi
Mereka tidak sedar bahawa Tuhan kami sentiasa membantu walau di mana kami berdiri
Dan Tuhan kami itu tidak perlukan perantaraan atau orang tengah untuk dihubungi
Ya, dan saya bersyukur masih diberi akal dan iman dan kesihatan yang kukuh, hati yang suci lagi murni, jiwa dan nurani yang mudah-mudahan kekal zuhud sepertimana saya berada di tanah tumpah darah saya itu. Darah merah itu masih mengalir, walau sebanyak mana pun burger dan keju yang saya telan. Saya masih saya, dan dengan pertolongan Dia, akan selalu memelihara iman dan akidah
Ada ramai Muslim yang minum arak di sini. Mereka ke masjid tetapi dengan senangnya meneguk beer. Mereka punya fahaman berbeza dan biarlah, itu mereka. Selalunya fenomena ini senang dilihat di kalangan muslim bukan melayu. Apa bangsa mereka saya tidak pernah ambil tahu.
Semoga hendaknya mereka diberikan hidayah
Kejauhan dari keluarga dan rakan2 benar2 membuatkan saya dekat dengan alam dan Tuhan. Siapa lagi yang saya ada untuk mengadu hal2 kehidupan. Selawat burdah seringkali saya mainkan dalam mp3 tatkala saya berdiri di mana2. Di Hyde Park, di Piccadily ataupun di kampus. Ia mengingatkan saya bahawa saya masih seorang saya.
Saya rindu Malaysia. Walau seburuk dan seteruk mana pun tanah itu, itu tanah tumpah darah saya. Saya menyayanginya
Berbatuan merah yang disusun berbaris menjadi bangunan klasik dan hebat di bandaraya London ini tidak dapat menandingi rumah2 kampung yang indah dan syahdu apabila dilihat dari jauh. Panoraman di kampung2 sering membuatkan air mata saya bergenang, saya rindukan kampung halaman. Saya dambakan deru angin yang mengalunkan geseran nyiur. Itu tiada di sini
Ibu ayah dan keluarga tidak saya rindukan sebanyak mana saya rindukan negara. Kerana ibu dan ayah itu saya hubungi hari2. Bertanyakan khabar mereka dan mereka juga tidak pernah lupa bertanyakan khabar saya. Ya, dan lagi mereka mampu ke mari. Tetapi tidak halaman yang saya rindukan itu. Nyatanya saya yang perlu ke sana, kembali ke tanah tercinta
Namun perjalanan baru bermula. Ya, masih baru. Ada banyak lagi yang perlu saya tempuh
Nanti pasti akan ada ujian yang menguji iman dan kesabaran.
Hendaknya di kala itu saya masih kekal seorang saya, walau di bawah bendera dan pentadbiran mana pun saya berada. Semoga masih dalam payung rahmat yang maha kuasa. Bertuhankan Allah Azza Wajalla
Lindungi saya, Allah. Rahmati perjalanan saya.
di sini saya berehat selalu. melihat manusia lalu lalang
dedaun maple yang berguguran
"maka nikmat TuhanMu yang manakah lagi yang kamu dustakan?"
***
Jangan bimbang, kami tidak minum ;)