Tuesday, November 26, 2013

Muzium dan...

Ini Natural History Museum di London, United Kingdom. Masuk percuma. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan salah satu tempat wajib pergi kalau di London.

Binaannya memukau. Saya suka


klasik


autentik


mengagumkan


menarik


;)

***
Dan ini The British Museum, Terletak di London juga. Masuk juga percuma. Boleh ambil gambar ikut suka, tak perlu nak sorok-sorok kamera. Sayang saya melawat di waktu malam. Dan kebetulan hari hujan. Tak dapat saya nak menzahirkan binaan bangunannya yang juga menarik. Namun jujur saya lebih suka bahan-bahan yang dipamerkan dalam muzium ini. 

Barang-barang lama dan purbakala!


besar


tangga selatan


"The Enlightenment"


monumen


Zeus


mumia

***

Saya suka ke muzium bagi menggantikan aktiviti meonton wayang yang saya rasakan terlalu mahal di London. Saya perlu berjimat cermat bagi memastikan sumber kewangan saya sentiasa mencukupi kerana saya kini tidak lagi bekerja dan 100% bergantung kepada biayaan biasiswa

Namun saya bersyukur juga. Kerana dalam berjimat cermat dan sibuk menyiapkan kerja yang banyak, lusa saya akan ke.....


 Ya.. Sini, insyaAllah ;)

***
p/s: teringat entri seindah sakura yang saya tulis bulan 6 tahun lepas. Siapalah sangka, segalanya bakal menjadi nyata.......

Siapalah sangka..

Saturday, November 23, 2013

Dapatkah?

Untuk diriku...

Dapatkah kau lukis pelangi,
Jika tak kenal warna mentari?

Dapatkah kau takung hujan,

Sedang engkau tak menunggu awan?

Dan dapatkah kau petik kejora,

Bila kau asyik membelai senja?

........

Mahkota Cheras
2 Julai 2010

***

Lama saya simpan puisi ini. Dan baru hari ini saya kepingin menyiarkannya.. Ada maksud yang dalam untuk saya fikir-fikirkan. Hari ini. Ya, memang untuk hari ini.

London,
23 November 2013

Sahabat yang berkat

Bagaimana harus saya mulakan?

Saya tidak ada perkataan yang sesuai sejujurnya. Perasaan ini bercampur baur. Antara gembira dan terharu, antara terpegun dan keliru. Yang pentingnya saya sedikit kaget. Tatkala mengetahui bungkusan yang dikirim dari Malaysia itu adalah untuk saya. Ya, untuk Hartini!

Dalam kedinginan cuaca yang bukan kepalang ini, kiriman tersebut benar-benar menghangatkan hari saya. Saya terhibur menerimanya. Selebihnya berterima kasih dan bersyukur. Hampir titik air mata tatkala yang tertera di ruang mata adalah novel kebanggaan saya. Novel yang saya kira menjadi titik permulaan saya menulis di dalam laman ini. Novel yang sangat dekat dengan hati. Ya, novel Hartini yang saya angkat menjadi judul laman saya sendiri. Yang kini sudah hidup segar dan berkembang selama lebih tujuh tahun. Lalu menjadi laman persinggahan mata-mata yang sudi membuang-buang pandang. Sudi datang berkongsi persaudaraan dan kasih sayang

Alangkah besarnya rasa hati ini, wahai...

Lagi sekali saya dikurniakan sahabat yang berkat. Yang tidak pernah mata bertemukan, mulut bersapaan. Segalanya hanya melalui jejari yang menari tak henti-henti. Ya, hanya melalui perkataan dan bait-bait tulisan ini. Apalah lagi yang perlu saya pinta ke hadrat Allah Ta'ala. Serasa hampir semua telah dikurniakan-Nya. Sehingga saya malu untuk bertanya-tanya kenapa sampai sekarang saya masih seorang. Benarkah? Benarkah Tuhan membiarkan saya keseorangan?

Ya. Saya cuba melihat dari pelbagai aspek dan sudut. Fizikalnya memang saya sendiri. Keseorangan. Tersendiri. Kaku dan beku. Namun dari sudut rohaninya saya berteman, punya ramai kenalan dan jauh berlari mengejar impian dan anganan. Ampunkan saya, Tuhan.. kerana sering berkeluh kesah. Saya terlalu kerdil dan hina untuk mampu menilai kurniaanMu yang sebetulnya Kau kirimkan dalam bentuk ujian. Kerana saya hanya memandang butir-butir kemanisan yang sebetulnya pula adalah satu perangkap yang seringnya melalaikan.. Saya masih buta dan lena saya kira. Belum benar-benar celik dan jaga

***

Untuk diri yang mengirim, yang dengan hasrat lalu diusahakan menjadi hakikat; keinginanmu, usahamu, dayamu dan kini naskah Hartini itu berjaya saya sentuh dengan tangan walaupun jauh kita berpisah badan, wahai..... apalah yang mampu saya doakan untuk kamu sahabat? Selain keberkatan dan keredhaan Allah Ta'ala buatmu di sepanjang rantaian hayat. Terima kasih banyak. Saya benar-benar menghargainya. Seakan-akan satu peringatan, agar terus kekal menjadi saya walau di tanah mana saya berada.

Dan saya pinta, jika tiada umur di dunia, hendaknya kita bertemu di tanah sana.

Sama-sama diberi naungan, di tanah yang tidak ada lagi sebarang perteduhan, melainkan apa yang kita usaha dan tanamkan sebagai bekalan. Yang akan kita rasa kembali buah hasilnya di suatu masa yang Tuhan tentukan

Mudah-mudahan..

Sekalung penghargaan lagi sekali dari saya. Untuk kamu (si pengirim) saya doakan bahagia dan kasih sayang berlipat kali ganda. Dan untuk kalian juga, keberkatan dan kemuliaan juga hendaknya....


"bagai sirih pulang ke gagang"

***
p/s : baca maksud peribahasa tersebut di sini (Kredit untuk Puan Roshanilawatey)

***

Ulasan untuk novel Hartini oleh SN Arena Wati

"Setiap pembaca, baik pembaca yang bersikap membaca untuk keseronokan, atau pembaca yang bersikap membaca untuk keseronokan dan penelitian, mahupun pembaca yang bersikap membaca untuk penelitian tanpa keseronokan, tidak akan terlepas dari sikap dan peranan pelaku utama, sikap dan peranan golongan perusak, dan juga sikap dan peranan golongan yang baik."

Kuala Lumpur 1967

Monday, November 11, 2013

Pagi Ahad, 10 November

Matahari memancar terang. Indah dan galak. Hari ini hari Ahad, 11 pagi waktu london dan seharusnya lewat lapan jam dari tanah air tercinta, saya keluar rumah berbaju sukan. Lengkap dengan sweater dan track bottom. Siap berkasut sukan, niat mahu mengeluarkan peluh. Itu pun dengan pertolongan matahari, kononnya.

Namun sejauh mana pun lah saya berlari, sederas mana pun lariannya, peluh tidak mengalir juga. Malah makin sejuk pula terasa lantas meremangkan reroma. Di dalam mahupun di luar rumah kedua-duanya sama sahaja. Dingin di mana-mana. Saya rimas. Lemas. Lesu. Buntu

Sungguh, saya rindu hangat Malaysia. Saya rindu menyeka peluh yang mengalir di dahi. Saya rindu rimas dan sesak dek hawa panas dan lembap itu. Sungguh, saya tidak tipu bila saya kata saya rindu

Tidak ada bau hujan yang unik apabila terkena jalan berturap yang panas di tanah saya berdiri kini. Itu cuma ada di Malaysia, atau mana-mana daerah dunia yang selalu panas terik dan hujan turun tiba-tiba. Tapi bukan di sini. Paling tidak pun, bukan di waktu ini

Sudah lama matahari tidak timbul di London. Kerap hanya hujan dan mendung. Semendung hati yang keseorangan.  Saya tidak berteman. Bukan teman hati. Saya maksudkan kawan. Ya, saya susah berkawan. Saya tidak pandai berkawan. Bersosial apatah lagi. Adakalanya saya mengutuk-ngutuk diri saya yang lemah ini. Entahlah kenapa saya memang susah mencari kawan. Dan saya sangat memilih dengan siapa saya berkawan. Lalu saya jarang ada teman akrab. Tapi kalau ada, saya bersahabat sungguh2. Selalunya begitu

Saya rindukan Aja, K.Dayah, Deena, Ayu dan Kak Azie. Saya rindu helai tawa mereka. Ya, kami masih berhubung melalui chat group di whatsap tapi semua itu tentulah tidak sama.

Saya rindu gelak tawa adik2 saya. Usikan mereka. Dan bebelan ibu saya tentunya. Tentang ikan di pasar, tentang barang2 yang makin mahal, tentang itu tentang ini. Tentang semua perkara yang ibu saya amati. Oh.. Tidak dapat saya nyatakan denyut rasa ini. Saya rindu keributan keluarga besar saya. Makcik2 dan sepupu2 saya. Saya rindukan keserabutan dan kekalutan itu.

Jika saya tidak ke sini, tentulah saya tidak akan mengetahui harga atau nilaian sesuatu perkara

Ya, hanya kerana apabila apa yang saya suka dan mahu itu telah tiada, atau dalam erti kata lain tidak dapat saya perolehi lagi, baru saya reti menghargai

Saya baru tahu menghargai nilaian sinar mentari, nilai peluh yang mampu saya seka di dahi, nilai panas, nilai ribut, nilai kalut, nilai sesak, nilai tanah tumpah darah itu. Hmmm.. (keluh)

Baik atau buruk sesuatu perkara itu hanya terletak pada persepsi dan pendapat kita. Yang sering kita hubungkaitkan dengan persekitaran. Kita pelik kenapa Allah jadikan kita orang kampung, kita hitam, kita pendek contohnya. Kita suka mata orang yang biru, kulit orang yang cerah dan rambut orang yang merah. Jarang sekali kita melihat cermin dan berbisik dalam hati, 'syukur dengan rambut yang hitam ini, ia lambang peribadi'. Kita selalu lupa, Allah adalah sebaik-baik pencipta, penentu segala. Allah cipta mengikut keperluan kita. Sebab Allah tahu itu yang terbaik dan termolek untuk kita

Kita mengeluh apabila negara kita tidak ada empat musim yang kononnya menyeronokkan, lalu kita cipta sesalju kita sendiri. Kita buat apa yang orang lain ada supaya kita dapat rasa apa yang mereka rasa. Sampai kita lupa memandang pada rumput yang menghijau, padi yang menguning, pantai yang membiru, nyiur yang melambai. Kita lupa menoleh kepada diri kita sendiri. Kita cuma mahu apa yang orang ada walaupun nyata kita tidak memerlukannya

Kita makhluk yang pelik

Namun bagus kalau kita punya cita-cita besar. Menjelajah dunia contohnya. Mengenal budaya dan kehebatan bangsa lain, untuk kita bangun berjuang dan berjalan seiring. Kita tidak akan hebat kalau kekal di satu tempat. Kita perlu cuba dan gagal sebelum tahu di mana letaknya titik jaya. Tapi jangan pula sampai lupa di mana asal usul kita. Begitu saya kira

......................

Saya tidak membawa telefon bimbit untuk berkongsi gambar dengan anda. Gambar taman tasik yang indah, dengan itik2 dan angsa berbulu tebal, dengan pengunjung yang berlari2 anak dengan anjing peliharaan mereka, atau sekadar duduk2 saja memerhati manusia mundar mandir. Atau yang leka memancing. Atau yang jalan2 dengan keluarga dengan anak2 kecil mereka yang tertawa keriangan. Ya, mungkin nanti saya akan kongsikan. Bila-bila lagi saya kelapangan

Saya mungkin agak sibuk di beberapa minggu hadapan dengan segala tugasan. Mungkin saya akan menulis lagi bila bermulanya cuti Krismas nanti. Perayaan utuk mereka, pengembaraan untuk saya

Tinggal dulu. Terima kasih sudi membaca ;)

Salam sayang,

Tini Omar

Wednesday, November 06, 2013

Warkah 1 untuk Embun

Seharusnya perlu aku memulakan tinta ini dengan puji-pujian kepada Allah, yang sememangnya Maha Kaya, Maha Kasih dan Maha Sayang. Yang menukarkan tiap2 titis airmata menjadi permata berharga, yang menukar muram menjadi tawa, perit menjadi bahagia, dan terbukti kasih sayangnya yang tidak putus-putus, kekal dan terus-menerus

Embun,

Ini kali pertama aku menulis untuk kamu. Kerana khabarnya kamu sudahpun melebihi usia empat tahun. Itu pun aku tahu dari laman ibumu yang terlalu tabah itu. Tahniah orang muda. Selamat datang ke dunia penuh pancaroba. Mungkin sedikit masa lagi kamu mampu membaca. Atau mungkin telah pandai pun! Jadi berhati-hatilah memilih apa yang kamu baca. Dan fahamilah apa yang kamu baca, itu yang pentingnya

Embun, sesuci dinihari,

Siapakah aku ini? Ketahuilah bahawa aku adalah rakan dan kenalan ibu dan ayahmu yang jauh sebenarnya dari mereka. Tidak pernah bertemu mata, tidak pernah mendengar suara. Hanya kenalan dalam laman maya, namun terasa dekat dan akrab sekali. Apakah mungkin perhubungan yang semacam itu? Ya sayang. Tentu saja kalau dengan izin Dia. Dia yang menentukan jodoh pertemuan. Dia yang meniupkan nur kasih sayang. Apakah ada yang tidak mungkin kalau sudah Dia yang berkata ya?

Mengikut kefahaman akalku yang terlalu terhad ini, tentulah saja kamu itu tidak sempurna kasih sayangnya lantaran tiada juga kamu membesar dengan belaian seorang ayah. Namun, aku terlalu percaya bahawa apabila Tuhan menarik balik satu perkara, maka akan dianugerahkan pula perkara yang lainnya. Ya, yakinlah wahai anak muda bahawa kamu itu telah mendapat seorang ibu yang unggul. Keunggulan yang bukan dilahirkan tetapi diasah dan dipahat dengan semangat. Keunggulan yang diukir dengan begitu payah dan berhati-hati, hanya kerana sebab beliau perlu unggul. Beliau perlu jadi unggul untuk kamu

Jangan ditanya pada aku bagaimanakah ayahmu. Aku juga sebenarnya tidak pernah tahu. Cuma dapat aku pastikan bahawa beliau pemuda hebat. Walau sekejap tempoh perkenalan, namun keberkatannya diraih sepanjang zaman. Ya, dan nukilan buat kamu ini lah buktinya.

Embun,

Aku suka nama kamu. Ringkas, mudah dan sedap maknanya. Aku tahu ibubapamu telah memilih nama yang baik untuk kamu. Nama yang baik untuk nanti dipanggil sebagai orang baik-baik. Namun segalanya harus bermula dengan panggilan yang baik, walaupun kerap juga kita lihat manusia yang mempunyai nama baik2 tapi tidak sebaik akhlaknya. Elakkan. Elakkan berfikir demikian. Jika bertemu dengan manusia seperti itu, doakan agar akhlak mereka sebaik nama yang diberi percuma

Embun,

Aku pernah berjanji dengan ibu dan ayahmu, untuk menulis untuk kamu. Supaya satu hari nanti bisa kamu baca. Tatkala akal dan kefahaman yang jitu telah mula mampu mempengaruhi sanubarimu. Dan ya, kini aku buktikan janji2 aku itu. Aku tidak pernah lupa, cuma adakalanya kekangan masa melewatkan segala perancangan yang aku lakukan. Aku nayata kalah mengawal masa. Kalah dalam mengatur langkah

Embun, yang utama..

Bagaimana agaknya rupa kamu? Ya, tentulah manis. Manis di mata ibu dan kakandamu juga. Sayang, aku berpergian tanpa menjenguk kamu. Malah tidak pernah sekali pun berjumpa dan berkenalan. Ya, adakalanya aku malu dengan diriku sendiri. Aku selalu bertangguh-tangguh. Dan sehingga ayahandamu dipanggil bertemu-Nya pun aku masih bertangguh

Bagaimana Ibumu, wahai orang muda? Sihatkah dia? Bagaimanakah kakandamu? Telahkan kamu pandai mendoakan untuk kedua orang tuamu? Aku tahu kamu akan cerna di satu masa. Ambillah masa selama mana. Hiruplah santunan budi mengikut suka. Buat dan bereksperimentasilah apa saja untuk menilai erti bahagia dan air mata. Kami; aku sendiri dan kedua orang tuamu barangkali telah melalui jerih payah itu. Walaupun masih banyak yang belum kami habisi dalam perjalanan hidup kami, namun sebetulnya itu sesudah lebih dari separuh yang bakal kamu hadapi dalam usiamu yang ranum ini

Embun,

Aku kini menulis dalam hawa sejuk yang terlalu menusuk. Kebas tangan dan jari-jemari namun untuk tidak menaip dan menggerak-gerakkan mereka itu terasa lebih kebas. Dulu kamu sekeluarga yang berhijrah meninggalkan negara tercinta. Belajar tentang budaya dan masyarakat luar seterusya kembali menghargai dan menyayangi budaya kita sendiri. Kini aku lah pula. Ya, aku lah pula yang Tuhan hantar di medan ini. Medan juang ini. Berseorangan, sepi dan tiada berteman. Namun Tuhan senantiasa ada dan hidup segar dalam hatiku. Aku hidup dan mati di atas muka bumi ini untuk Dia dan tiadalah yang lainnya

Jadi molekkah aku merungut tentang kesepian dan kesseorangan itu? Tidak, aku malah tidak pernah berseorangan. Senantiasa ada Dia memerhati dan mendengar dan memaklumi segala

Dia dekat. Dan itu rahmat

Akan aku menulis lagi padamu wahai anak muda. Menulis sehingga kulit2ku berkedut tua, dan sehingga kamu muda remaja lalu dewasa. Berharap agar kamu menjadi sehebat orang tuamu. Memahat nama walaupun asalnya kita ini bukan siapa2. Bukan berketurunan dan berdarjat akan tetapi makhluk Allah azza wajalla juga

Aku akan memerhati dari jauh. Sambil mendoakan ayahandamu yang mungkin sekali sedang aman menunggu hari pembalasan, mudah-mudahan. Aku pasti doa isterinya yang setia, doa anak2nya yang meningkat remaja senantiasa ada menemani beliau di tanah sana

Ketahuilah bahawa kita juga akan ke sana bila panggilan itu menjelma. Namun sebelum dijemput, hendaklah kita yang menurut. Menurut kata iman, kata akal dan kata Tuhan. Biar apa orang kata, kita tidak hidup untuk mereka. Yang lebih tahu dan maklum hanyalah Allah Taala sahaja

Embun yang jauh,

Doakan aku yang tua ini. Tua tetapi masih muda mengejar cita-cita. Alangkah baiknya jika dapat berkongsi pengalaman dengan sahabatku itu. Mendengar persepsi beliau dari pelbagai sudut pandang. Ya, namun tiada siapa yang dapat menghalang takdir Tuhan. Kita hanya merancang namun ketentuan masih Dia yang memutuskan

Sekian saja dari aku untuk kali ini. Semoga hendaknya kita berutus lagi. Hormati dan sayangi akan ibumu, kasihi akan saudaramu, tinggikan martabat agamamu dan jangan dilupa asal usul dan budaya melayumu

Itu akar kita, Embun. Sekalipun dicantas pasti bercambah juga, walau tumbuhnya di tanah mana.....

Hartini Omar
London 
5 Oktober 2013

....

Jemput baca warkah2 untuk ayahanda dan bondamu..

Dia yang Pergi Lebih Jauh (Mac 2011)

Saat2 Aku Teringatkan Kamu Wahai Ahmad (April 2011)

Sekali Lagi Untuk Engkau yang Jauh (November 2011)

Untuk Kamu, Ahmad (Julai 2012)

Bolehkah Kamu Tadahkan Tangan? (Oktober 2012)

Tiba2 Aku Teringin Menulis Sesuatu Buat Kamu, Mawar (Ogos 2011)