Friday, March 22, 2013

Farewell di Pavi

Saya baru teringat, dalam 3/4 bulan saya menyepikan diri ni, ada satu lagi event yang perlu rasanya untuk saya kongsikan dalam blog ni untuk kenang-kenangan. Bila tengok2 balik gambar, baru terperasan. Eceh

Gambar2 di bawah adalah bersempena farewell kawan2 yang dah nak blah dari Masterskill, termasuk lah saya walaupun saya punya tender masih lagi berbaki beberapa bulan. (Bulan okay!)

So tengok je lah gambar2 di bawah ini. Enjoy

Ni kali pertama saya datang ke Pavillion walaupun saya duduk di KL. Hebat kan? K sekian


 Dari kiri, Puan Deena, Puan Fairuz, Puan Hidayah, Puan Aja dan Puan Noraziah. Hahaha.. Buat gaya ala2 cover DVD sangat. Kali pertama lah katakan datang ke Kuala Lumpur. Pandang2 atas kiri kanan gituu..


 Kebetulan time tu sambutan Chinese New Year. So haruslah bergambar sakan dengan tanglung2 bagai. Gong xi gong xi! Tu depan sekali tu mak orang okay. Kiut kan? Hehehe


Ini patung tikus. Sempena tahun kelahiran saya. Kenapa amek pic ni? Eh sukati lah, kamera saya kan. Ikut suka la nak amek gambar apa. Tak nampak tu ada tulis fortune kat bawah tu?



Tak nampak jugak? Haa bg crop sikit. Haa baca tu, 'hold great promises and even bigger things'. Luck 5 bintang. Hoiii, bertuah lah kot tahun ni. Yeay yeay pergi London. Haha.. Boleh percaya ke? Tapi, kalau percaya pun, jadi ke? Aishh tak kuasa la nak memikio




Berjalan dan berjalan dan berjalan lagi ala2 pelancong. Untunglah kan ada kawan suka amek gambar. Untunglah.. Bukan setakat tu je, yang amek gambar tu tak suka pulak bergambar. Untunglahhhh..


Berjalan2 di sekitar tokyo street katernyer. Nak harap ke Tokyo haruslah lambat lagi. Jadi lah tokyo street pun.


Buat2 menyibuk kat kedai orang. Tapi akhirnya tak beli pun. Tu standard.. Dah biasa dah. Memang style kami.


Kalau tak bagitau, mesti orang ingat kami dah melancong sampai ke Jepun. Awww.. Arigato.. Sorry lah dalam ni takde gambar Ayu (Ofismate lagi sorang) sebab dia dah berhenti dulu. Sian Ayu, kalau tak, akak gerenti Yu, mesti kau tahu semua nama2 makanan, barang, pakaian dan segalanya di Tokyo Street ni. Maklumlah, laki kau kan study kat Jepun


Kak Azie yang tak pindah2 lagi dari Masterskill. Sudah masuk tahun ke 7 hokay! Setia dan bakal menjadi teman rapat Kak Noli. hahaha


Puan Aja yang sempat menjadi suri rumah seminggu dua je. Lepastu terus masuk mengajar kat Unisel. Makin berkembang lah lagi network jualan kain2 cotton kau. Untung sangat..


Beli kek je pun dua slice. Tapi poyo mesti lebih


Buat kepoh kat depan pintu Ben's pulak. Kecoh nak makan apa untuk lunch. Nama kat dalam menu tu nama omputeh. Haruslah lama nak fikirkan apa nak makan. Calculate harga pulak lagi. Standardd.. Standard tu..


Sambil2 menunggu menu yang diorder. Itu kentang kak dayah. Begium Fries ke apa ntah nama dia. Yang chicken wing tu eden punyo. Ado la ompat limo kotui dalam tu. Jadi lah meraso surang satu.


Ini Deena dan pesto spagettinya (sebelum rasa). Ceria sekali senyuman dia. Tapi bila dah rasa, terus bermuram durja. Sebab saya rasa pesto spagetti ni tak berapa kene kot dengan tekak Malaysia yang nak kan kepedas2-pedasan. Rasa pesto spag ni ala2 macam kak non blender segala daun2 rempah ratus, gaul je dengan pasta tu dan letak sikit olive oil. Haruslah tak dapat terima kan. Kesat dan terasa melekat di celah2 kerongkong


Haa yang merah ini spagetti saya. Sedap dan banyak. Sebab rasa dia lebih kurang macam bolognese je. Cuma lebih creamy. Saya haruslah minum coke kan. Simple.. Ada gambar menu sahaja. Gambar tuan iyo memang nan hado


Menjamu selera dengan tiada lansung memandang kiri dan kanan. Bukan kata nak menyembang2 sambil makan ke apa. Santai2 sambil gelak2 ke. Owhh tidak sekali. Bila makanan sampai, makan! Hahahaha.. Siap berkongsi2 menu, pinggan saya hujung sini sampai ke tangan Fairuz yang duk hujung sana. Itu biasa. Kami tak kesah walau di Ben's ke, di Friday's ke.. Kami tetap buat perangai macam makan kat kedai belakang. Be yourself okay.


Dan akhir sekali, bergambar kenangan di depan kedai Ben's yang simple dan elegance. Nanti kalau u all nak farewell dengan kawan2, boleh lah try ke Ben's di Pavi ni. Wahhh.., macam saya ada share je dengan resto ni. Hehehe

Akhir kata, memang best berjalan2 dengan member yang sekepala. Maklumlah, dan lebih kurang 6 tahun bersama2. Kalau lah kampeni kita tak poyo, mesti kita dah kerja lagi lama dan dapat bersama2 dalam jangka masa yang lama. Hmmm.. apapun, semuanya ada hikmah dan sudah ditentukan Allah swt.

Saya doakan semua kawan2 diberkati, diberikan kejayaan dan kegembiraan di sepanjang kehidupan. Terima kasih atas segala2nya yang pernah dikongsikan bersama. Adui, macam nak sedih pulok..

Ok, sekian itu saja dr fotografer official Uranus (: bye

Thursday, March 21, 2013

Mudah-mudahan

Saya berdoa siang dan malam. Lebih dari sekadar 5 kali sehari. Kerana ada perkara2 di bawah ini yang sedang menunggu saya. Saya akan melipatgandakan usaha. Usaha dan doa. Tak jemu2, tak putus2.

Kawan2 sila doakan saya juga ya. Kalau tak dapat bantuan scholar, tak merasa lah saya ke sana. Terpaksalah saya frame kan je offer letter yg jauh datangnya dari negara sejuk itu.. (Sobs..)

Tak nak. Tak nak mengaku kalah. Usaha jugak.

Sama2 doakan ya..



 p/s: mudah-mudahan dapatlah menyarung baju bulu september ni. ameen. haha

Aisy Nur Aisyah

Suka sangat orang duk letak nama anak Aisy Aisy sekarang ni. Nah, ni ada gambar2 sekitar majlis cukur jambul dan berendoi anak saudara saya ni. Adik kepada Aqil yang pernah saya rakam gambar dia dulu.

Dalam ni buat dua orang terus. So buai dia up sket la bagi besar punya. Sorang lagi yang baby lelaki tu anak saudara saya jugak. Haziq ke apa entah nama dia. Ramai sangat anak sedaro. Tak larek nak ngingek namo.

Dah ada adik da si taqil ni. Mama yayang takkkk jugak kawen2 laiiiee. Adehh.. ;p

Ni gambar personal. Bukan job. Sebabtu takde mengedit bagai. So kalau ada yang kurengg, diam2 sudehh.. Hehehehe










sekian. kbai

Farah dan Azli

Ada gambar kahwin yang saya ambil sebulan lalu. Baru sekarang dapat kongsikan. Terima kasih kepada Farah dan keluarga yang sangat2 sporting. Belum terlambat rasanya nak ucapkan selamat pengantin baru buat Farah dan suami. Semoga bahagia hingga ke syurga

Gambar2 di bawah adalah di sekitar majlis pernikahan dan jamuan makan yang dilansungkan di Alor Setar Kedah.















Tuesday, March 19, 2013

Sudah 3 Bulan

Sangat lama. Kali terakhir saya menulis dan mengepos entri di laman ini adalah lebih kurang tiga bulan yang lalu. Lama saya menyepi. Banyak yang terjadi dalam tiga bulan ini. Mati, bangun dan hidup kembali. Merangkak, bertatih, berjalan dan mungkin sekali akan berlari beberapa bulan lagi. Mudah-mudahan.

Saya akan menulis seperti sediakala sedikit masa lagi. Saya begitu sibuk menguruskan kehidupan. Melakar masa depan. Menulis babak2 kisah saya sendiri dengan bantuan Tuhan.

Ya, Tuhan yang sebenarnya kasihkan saya. Meski saya jarang2 percaya kepada apa yang ditentukanNya, terutamanya yang sedih2, yang pedih2. Namun kepedihan, kesakitan dan kejatuhan itulah yang membuatkan saya kini bangkit, berjalan dan tidak akan menoleh2 lagi ke belakang.

Terima kasih, Allah

Akan saya poskan sedikit masa lagi, tentang saya, tentang kerja, tentang rakan2, tentang hati, tentang dunia, tentang negara kita dan segala2nya seperti yang selalu saya nukilkan dulu2. Sayang jika laman yang sudah lapan tahun ini (wow, 8 tahun!) saya sia-siakan. Hendaknya masih ada yang sudi membaca. Meneliti dan memahami satu2.

Hendaknya masih ada rakan2 blogger yang dulu dan yang baru.

Saya akan menulis lagi. Pasti. Dan mungkin sekali dalam hawa dan deru nafas yang baru. Yang lebih kering dan dingin, dari bayu nusantara yang menderu dan berangin...

Ikhlas,
Tini Omar

Wednesday, December 05, 2012

Cahaya Mata

Nama baby ni Nur Aina. Sebab tu saya letak tajuk entri ni cahaya mata. Comel kan? Semua baby comel. Takde sorang pun yang tak comel. Yang penting ini baby orang. Bukan baby saya. Hehehe :p

Besar nanti jadi anak yg bijak lagi solehah okay. Menurut biar berakal, mengikut biar pintar!











Tuesday, November 27, 2012

Kalau mampu saya dakap...

Bila berdiri di belakang kelas, sambil melihat satu2 dari belakang, anak2 murid saya yang tekun menjawab latihan yang saya berikan, terbit satu rasa yang sukar sekali dimerngerti. Air mata merembes, lalu lekas2 saya tahankan. Adakah saya bersedih? Untuk apa, tiada apa yang harus saya sedihkan. Lalu apakah nama perasaan yang hadir ini?


Rasa itu adalah rasa syukur dan terharu. Syukur kerana siapa tahu, seorang anak kecil senakal dan sepelik saya diangkat Tuhan menjadi guru. Guru yang kerjanya mendidik. Lalu seharusnya pula lebih cerdik dan terdidik. Idealnya begitu. Paling kurangpun, itu lah yang saya harapkan. Agar penuh ilmu di dada saya untuk saya kongsikan dengan semua. Mudah-mudahan hendaknya

Fikiran saya melayang mengingati apa yang mampu saya outputkan kembali dari kotak memori yang hampir 29 tahun usianya ini. Mengingati setiap satu wajah2 guru2 saya yang serasanya tiada satu pun yang saya lupa. Senyuman mereka, lirikan mata, peribadi yang memukau. Ya, rasa berterima kasih ini seharusnya saya kirimkan buat mereka semua. Mereka yang kini entahlah di mana. Bertaburan di setiap pelusuk dunia, mungkin. Andailah mampu saya dakap kalian, pasti akan saya dakap dengan dakapan yang erat lagi utuh. Untuk ilmu dan ajaran yang menjadikan saya seorang saya hari ini

* Cikgu Sabariah (1990)

Kalaulah mampu saya tuliskan nama penuh beliau. Jujur, saya lupa. Malah tidak pernah tahu. Umur saya baru enam tahun waktu itu. Beliau adalah guru pertama yang mengajar saya di Tadika KEMAS Jalan Pantai. Manalah tahu, kalau2 anak2 cikgu Saba (nama yang selalu saya bahasakan bila memanggil beliau) membaca coretan saya ini, tolonglah khabarkan padanya bahawa saya rindukan senyuman manisnya. Guru berkulit hitam manis, bertubuh genit dengan tudung yang selalu diselempangkan, mungkin sekali beliau seorang remaja sewaktu mengajar saya. Andai cikgu sendiri yang membaca, ketahuilah antara nilai2 BERANI itu saya belajar darimu. Lagu Tambak Johor yang saya dendangkan di hadapan pentas itulah perkara paling manis yang terakam di memori. Itupun dengan bantuanmu. Terima kasih, cikgu!

* Ustazah Zaleha (1991)

Nama penuhnya juga saya tidak pernah tahu. Orangnya tinggi lampai, berkulit kuning lansat, manis bertudung labuh. Peribadinya sederhana, percakapannya lembut halus, sajak benar dengan panggilan ustazahnya. Beliau mengajar saya di Sekolah Rendah Agama Sri Pantai sewaktu saya masih dalam darjah satu. Beliau ini hebat, kalian. Dalam lembutnya ada ketegasan. Dan tidak ragu2 saya katakan yang saya hampir jatuh cinta! Dengan keperibadiannya.. (:

Ustazah Zaleha berpindah ke Sabah mengikut suaminya tatkala saya di dalam darjah dua. Entah kini dia di mana, saya tidak pasti. Oh ingin sangat2 saya bertemu dengan beliau ini. Srikandi paling indah yang saya kenali dalam usia yang ranum lagi suci. Dan kalau Ustazah membaca, ingin saya khabarkan bahawa nilai2 keLEMBUTan itu saya ambil dari kamus hidupmu. Lalu menukarnya menjadi saya yang di hari ini. Syukran laki!

* Cikgu Khairani (1993)

Seorang guru sandaran. Atau mungkin sekali cikgu praktikal, kalau tak silap saya. Saya di waktu itu masih di tahun tiga. CikguKhairani datang sekejap sahaja namun impaknya besar dan menjalar. Dalam kelas Bahasa Melayunya ada unsur2 lakonan, perdebatan, kiasan dan lukisan. Kreatif dan pelbagai! Ya, itulah yang paling hampir dengan peribadi beliau yang bersahaja. Dengan tahi lalat manis di atas bibirnya, aduh cikgu. Masakan saya lupa, bila saya berpendekar dengan selempang merah!

Berbanyak2 terima kasih kerana sudi hadir dan bertemu dengan saya. Saya belajar menjadi FLEKSIBEL tatkala bersama kamu. Sungguh2 saya terharu.

* Puan Simpson

Berbangsa India, beragama Kristian. Seorang ibu paling baik buat kami anak2 muridnya. Juga saya masih dalam darjah tiga. Beliau guru kelas yang tidak pernah marah2. Segala bentuk kesalahan diadili dan diberikan pengajaran dengan cara paling berhemah. Tiada denda-mendenda, herdik-mengherdik, maki-hamun, kasar2 dalam kamus hidup beliau lalu menjadi sebahagian juga dari kamus hidup kami. Puan Simpson juga berpindah ke sekolah lain di hujung penggal persekolahan. Dan masih segar dalam ingatan saya tatkala kami sama2 menyanyikan lagu “It's Yesterday once more” dengan deraian air mata. Untuk cikgu, nilai2 HEMAH itu saya belajar darimu. Thank you!


Saya menjadi begitu nakal dan pelik sewaktu saya meningkat ke tahun empat. Dan hampir semua guru2 yang melewati hidup saya, saya bencikan. Puan Chay, guru kelas saya yang tak habis2 mancari salah, Puan Kuna, guru disiplin yang selalu menyembut dengan mulutnya “Kamu ini besar mahu jadi apa, hah?!”, Puan Noraini, guru besar sekolah saya yang beberapa kali memberikan amaran keras kepada saya untuk tidak melakukan kesalahan, Cikgu Salina yang menjengkelkan dan semuanya yang saya bencikan

Mengapa ya? Mengapa saya mampu berubah sedrastik itu. Ya saya tahu mengapa. Kerana dalam umur yang meningkat remaja, cikgu2 sedemikian masih mahu mengadili kami seperti anak2 kecil yang berbaris di tadika. Hitam kata cikgu, hitamlah. Kalau putih, mesti putih juga. Tapi saya mahu merah! Dan sudah pasti saya didenda. Ya, Itulah sebabnya.

Cikgu2 perlu faham dan praktikal. Meningkatnya umur dalam kehidupan, akan berserta dengan peningkatan kapasiti otak dan juga perubahan emosi malah peribadi. Murid2 khasnya perempuan melalui satu ‘pengalaman’ baru dengan hormon dan perasaan baru. Guru2 di dalam tahap dua seharusnya bertindak seperti kawan. Tolonglah kurangkan bebelan. Tolong kurangkan kerja rutin. Kami mahu didengar. Kami mahu sesuatu yang segar!

Saya memonteng, walaupun masih dilantik sebagai pengawas, namun sebenarnya sayalah murid yang paling perlu diawasi. Saya menjadi ‘gangster’ di sekolah. Membuli, melawan cikgu, tak hantar kerja rumah, tuang kelas, dan terlalu banyak yang bukan2. Percayalah, saya pernah melakukannya

Dan hasil dari segala kerapuan dan kejahatan itu, maka UPSR saya menjadi akibatnya. Lalu hilanglah nama2 segar yang selalu mewarnakan hidup saya. Tiada lagi guru2 yang mahu tersenyum kepada saya, dan sungguh2 saya rasakan, saya seorang murid yang bermasalah. Ayah menghantar saya jauh dari rumah dan bermulalah langkah saya di daerah paling asing, dengan rakan2 yang berlainan sekali corak peribadi. Sekolah kampung, kawasan pedalaman, nyaman, tenteram dan Alhamdulillah, memang ini rupanya jalan yang ditentukan Allah

* Ustazah Salasiah (1997)

Saya kembali ke trek kehidupan sebenar. Melihat kembali ke dalam diri seperti menonton wayang dengan filem2 peribadi. Ada suka dan banyaknya duka. Saya kenal Ustazah Salasiah sewaktu di tingkatan satu, dua , tiga dan rapat dengannya sampai habis sekolah walaupun saya sendiri telah berpindah sewaktu di tingkatan empat.

Sewaktu umur saya tiga belas tahun, Ustazah Salasiah masih di dalam usia remajanya yang ranum. Dua puluh satu mungkin. Ustazah ini lah yang mengajar saya menulis. Ya, beliaulah yang mengajar saya sehingga mampu menulis seperti ini di hari ini. Tulisannya cantik, bahasa penulisannya sopan dan berseni, sehingga air seninya meresap ke jiwa saya. Dan barulah saya tahu bahawa budak ‘brutal’ macam saya ada taman dalam hatinya

Ustazah Sala begitu sabar. Mengajar dan mengasuh kami dengan nilai2 agama yang pertama kali saya kenal dan amal. Solat, doa, tazkirah dan segala2nya yang membawa saya hampir dengan apa yang tuhan tentukan utuk saya

Saya panggil Ustazah Sala dengan panggilan ‘Us’. Nama manja yang hanya untuk saya, OYDS nya (^^). Kini Us telah berumahtangga dan mendapat seorang cahayamata. Alhamdulillah. Surat2 dan segala kata2 pesanan Us masih saya simpan (literally, masih saya simpan dalam almari) dan kekal di lubuk hati. Dari kamu Us, saya belajar jadi HARTINI!

* Ustazah Nik

Ustazah bahasa arab di matrikulasi ini memang antara guru2 fevret saya. Sempoi, klasik, suka berlawak jenaka dan tertawa. Tapi dalam kelas beliau nampak begitu senyap dan tegas. Ah jangan tertipu, beliau guru paling bersahaja jika anda kenal baik dengannya. Disebabkan saya mengenali guru dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini tatkala saya remaja, seharusnyalah beliau telah serta merta diangkat menjadi rakan baik saya. Kami keluar makan bersama, berkongsi cerita, bergossip dan tidak segan bergelak ketawa seperti rakan baik

Jazakillahu khairan kathiran ya Ustazah. Kus2, spaghetti dan segala makanan ustzah yang sedap2 tu lah yang paling saya ingati. Dari ustazah saya belajar manjadi guru yang ‘dekat’ dengan pelajarnya. POSITIF dan bijak dalam segala duduk perkara

***
Walaupun tidak semua nama yang mampu saya ceritakan, namun saya menginagti kalian. Tak kiralah yang saya sayang atau bencikan. Cikgu Norhayati, Cikgu Salwani, Puan Noraini Cantik - Bukan Guru Besar saya, kerana nama mereka sama. Puan Joseph, Puan Naidu, Cikgu Aziz, Cik Roslizawati, dan semua guru2 yang pernah mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (P) Methodist 1, Kuala Lumpur dan Sekolah Rendah Agama Sri Pantai dari tahun 1991 – 1996, saya ucapkan jutaan terima kasih.

Dan Ustzah Wahidah, Ustaz Musannif, Ustazah Musalmah, Ustazah Rodziah, Ustaz Halim, Ustaz Fauzi, Ustaz Tariq, dan semua guru2 yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Daerah Batang Padang Bidor, Perak dari tahun 1997 – 2000, syukran jazilan

Dan guru2 di Sekolah Agama Menengah (T) Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis Banting Selangor dari tahun 2000 – 2001

Pensyarah2 matrikulasi UIAM, dari tahun 2001 – 2002/2003 dan kesemua pensyarah2 saya yang saya sayangi di Kuliyyah IRKHS, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Jasa dan pengorbanan kalian dalam mendidik, kesabaran dan ketekunan kalian dalam mencorak peribadi sendiri agar menjadi contoh kepada kami saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih. Saya sungguh2 terharu dan kepada Allah sajalah saya memohon, agar kesemua kalian ditempatkan di syurga tertinggi. Ameen

***

Dan mudah-mudahan, dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun lagi, saya pula yang akan membaca baris2 nama saya di laman sesawang bekas2 anak murid saya yang berjaya, kaya raya dan bahagia. Ameen, ya Allah

‘Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau’

Terima kasih

Friday, November 02, 2012

Ragut

Minggu lepas, hari Rabu, dua hari sebelum ketibaan Eidul Adha, saya diragut di hadapan rumah. Kalau fikir2 balik, saya pun tak tahu macamana nak cerita. Terlalu sekejap perkara tu berlaku sampai saya terkedu. Dan jujur, saya penat nak ceritakan berulang-ulang kali. Dekat mak ayah, dekat kawan2 ofis, dekat bos, dekat polis, dekat pegawai penyiasat. Kalau boleh rakam, saya rakam je cerita saya. Kalau2 orang nak dengar, saya putarkan balik kasetnya

Apa yang hilang? Semua. Wallet, telefon bimbit, Samsung tab, ic, lesen, kad atm, semualah. Semua hilang. Saya tinggal sehelai sepinggang. Mujur kunci kereta masih kat tangan. Jadi saya cari la syiling2 dalam kereta untuk call ayah saya. Dan jalan terbaik lepastu, report je lah

Duit yang hilang tu saya tak kisah sangat. Gajet2 yg saya sayang, walaupun sakit hati, tapi masih saya mampu meredhakan. Mungkin bukan rezeki saya. Tuhan pinjamkan sekejap je untuk saya rasa. Tapi susahnya nak buat IC, lesen, kad atm tu lah yang buat saya bengang satu badan

Peragut tu boleh je datang pinjam duit dari saya, gerenti saya bagi. Tapi bila dia ragut, dia bukan setakat ragut barang2 saya, dia ragut masa saya, tanggungjawab saya, saya tak dapat ke kelas dan ke pejabat, saya terpaksa ke hulu ke hilir menyudahkan segala-galanya. Dan sesungguhnya 'ragutan' itu lebih besar maknanya buat saya

Saya selalu ulang2kan ayat ni dalam kepala saya. "Biar saya susah, jangan menusahkan orang". Tapi bila saya diragut, saya dah lah susah, saya terpaksa meyusahkan orang. Ayah saya yang terpaksa datang dari Klang ke Puchong, mak saya yang terpaksa pinjamkan hanset, anak2 murid saya yang tunggu saya tapi saya tak masuk kelas (nak call macamana kalau saya tak ada nombor telefon mereka), bos yang ternanti2 kenapa saya tak datang ofis. Semualah!

Semua yang terjadi akan membuatkan saya lebih berhati2. Cuma terkilan, nombor2 telefon kawan2, semua hilang. Jadi kalau ada rakan2 yang membaca blog saya, sila lah msg semula dan kenalkan diri anda. Saya masih menggunakan nombor telefon bimbit yang sama.

Dan buat peragut yang konfem anda mesti tak baca punyalah blog2 macamni. Sebab kalau anda baca, mestilah anda terdidik dan tidak akan meragut orang. Saya doakan anda diberikan hidayah, supaya anda berubah dan anda faham, bagaimana rasanya kalau barang-barang dan kehidupan yang anda sayang diragut oleh orang lain. Ingat, kita masih ada akhirat sebagai mahkamah teragung. Jumpa di sana ya!


Monday, October 22, 2012

Legoland Malaysia

Ok. Saya dah sampai Legoland Malaysia. Fine. Gila ad hoc sebab saya tak bagai hint apa2 pun yang saya akan ke sini. Sebab saya pun tak sangka bila rezeki datang bergolek betul2 depan batang hidung saya. Sebab dah ada orang bagi tiket free dan ajak saya ikut sekali ke Johor sana, saya pun tak fikir panjang dah, join aje. Apa nak fikir2 lagi. Bukan ada anak bini nak kene jaga ke apa, datang je la bawak badan. Jadinya, sempat jugalah saya ke Legoland yang menjadi bualan hangat itu

Sedikit gambar untuk dikongsi, macam biasa

 Terima kasih kepada empat dara pinggitan ni sebab sudi ajak saya pergi. Terharu!!

 Dari kiri, Kak Jijah, Kak Nora, Kak Nana (tokeh tiket) dan Kak Laily. Semua masih single ok (:

 Permainan pertama yg dorang main. Saya ambik gambar je

Replika2 bangunan yang diperbuat dari lego

 Nampak permainan ni macam untuk kanak2, kitorang tak sanggup pulak lah nak main

 Pelabuhan Tanjung Pelepas, katenye..

 Sangat panas lagi terik. Ini spot pilihan. Orang lain jeling je kitorang dapat kerusi nih. Redup okay!

 Aunty baju kuning tu cekak pinggang duduk depan KLIA. Tak puas hati la tu flight delay..

 Singapore la konon ni

 Jauh2 kami datang, KL jugak yg kami nampak. Nasib-nasib..

 Selamba badak lepak tepi kaunter ni hanya disebabkan dalam area ni ada aircond. Pakcik hujung tu, siap berlunjur kaki lagi..

Balik dengan mulut yang pot pet pot pet tak puas hati

******
Komen singkat saya sempena ke Legoland

1) Kalau ada duit lebih sikit, elok sangat lah kalian terus ke USS
2) Harga tiket yang rm140 macam tak berbaloi dengan permainan yang ada (banyak yang belum siap)
3) Legoland lebih sesuai untuk percutian keluarga dengan anak2 yang masih kecil (4-12 tahun mungkin). Untuk remaja dan dewasa macam saya, agak bosan juga
4) Servis patut dipertingkatkan. Kerusi rehat, water cooler, tempat beratur yang redup, kipas dan penghawa dingin, etc etc
5) Banyakkan kedai2 menjual cenderahati supaya pengunjung tidak bertumpu dan bersesak2 di kedai yang sama
6) Tak boleh bagi alasan "Fridge Magnet habis". Sangat dangkal ok statement tu. Ingat kedai runcit belakang rumah ke main nak habis2? Fridge magnet dan keychain yang ada tulis 'LEGOLAND MALAYSIA' tu lah cenderahati paling berharga dan laris. So, buat banyak2
7) Apa saja show yang dah siap fixed time, kalau start je terus tutup pintu and pagar supaya pengunjung tak keluar masuk. Sekali dah masuk, suka ke, boring ke, sampai show tu tamat lah pengunjung kene duduk dalam. Kalau terlambat, tunggu show yang seterusnya. Tu baru betul. Ada pulak boleh main keluar masuk sesuka hati
8) Belajar lah dari tempat orang, negara orang. Servis dan kualiti mereka tip top. Servis kita? Takpelah, malas nak komen


Saya bukan nak demand, tapi ini pendapat saya. Saya pernah ke negara luar dan mengunjungi taman2 tema seperti ini. Banyak yang harus diperbaiki dari segi servis dan kualiti kepada pengunjung. Mesti sesuai lah dengan harga yang dibayar. Kalau rege tiket tu 4 hengget macam fun fair belakang rumah, saya tak bebel kak non. Mujur lah saya masuk free, kalau tak, lagi panjang lah entri ni

Belajar lah untuk educate masyarakat kita supaya mereka ter'educate. Berikan kepercayaan dan bantu mereka untuk melakukan perubahan. Legoland Malaysia, sangat2 ke'malaysiaan' bagi saya. Yang pengunjung pun satu, ubahlah sikap. Jaga kebersihan. Bersopan di tempat awam. Jangan main nak usik butang itu ini, kalau masuk kedai; berhati2, jangan sepahkan barang2, kalau tak nak beli jangan pegang dan baaaaaaaaanyak lagi yang perlu dipertingkatkan

Yang pekerja pun bekerjalah. Tunjuk lah arah, berilah bantuan. Tegur lah kesalahan. Suruhlah orang beratur dengan cermat. Mana yang datang bekeluarga, jangan lah pisahkan mereka. Sakit tak hati kau kalau kene duduk asing ngan bini? Kau kan pekerja. Kalau kau bersuara, sorang tak cakap apa. Kalau kau diam kaku je, baik ko jadi replika patung lego tu. Sinis kan statement ni? Serius sakit hati

Kita perlu TEGAS dan JUJUR sebagai penganjur
Pengunjung harus SOPAN dan MALU sebagai tetamu

Berapa tahun lagi untuk saya dapat melihat rakyat negara saya berdisiplin dan berhemah dalam setiap tindak tanduk mereka? Entahlah..

Apapun, akhir sekali, terima kasih Kak Nana dan Kak2 semua kerana sudi mengajak saya berhujung minggu di sana. Daripada 5 bintang, saya bagi 2 je la dulu eh. Nanti kalau you all improve, saya tambah lagi

Sekian..

******

p/s : maaf kalau ada yang tak sependapat dengan saya. ini pendapat peribadi sahaja


Monday, October 15, 2012

Madah dan Karenah

Pernah menangis dengar lagu? Atau pernah kalian menangis bila mengamati lirik2 lagu?

Saya selalu

Kadang2 rasa sebak. Sebak sampai mengalir air mata. Terasa macam disentuh2 hati. Tak terlafaz, tak terungkap. Hanya dapat rasa

Tadi saya dengar lagu ni dan baca liriknya di laman you-tube. Serius, saya sedih dan sebak dengar lagu ni. Dan liriknya..... Saya rasa nak tabik hormat kat penciptanya. What a masterpiece

Saya suka. Saya tak tahulah orang lain. Manusia kan macam2 selera

"Madah dan Karenah"

Biar buta penglihatan
Jangan buta hati dan fikiran
Biarpun miskin harta
Jangan papa adat dan bahasa

Helang-helang buana
Jangan lupa saudara tetangga
Bila hujung dijumpa
Jangan pula pangkal yang kau lupa

Harumnya bunga rampai
Oleh kerna ramuan yang pandai
Indahnya sang pelangi
Tapi sayang tiada bererti

Hidup dalam dunia Banyak ceritanya
Selagi bernyawa ada saja karenahnya

Yang indah hanyalah bahasa
Disebut dibaca gurindam serta seloka
Namun kenyataan hidup
Masih tetap sama
Tidak kira walau di mana
Tepuk dada tanya selera amalan biasa

Penyair atau pujangga
Bermadah kelana
Dunia begitu jua
Dahulu mahupun sekarang
Tiada berbeza
Pucuk pangkal hati jua

Kalau emas, emas jua
Dibuang tetap berharga
Kalau besi, besi jua
Kan karat akhirnya

Haaa, kat part rangkap yg last ni lah yg saya rasa sebak sangat. Pandainyalah orang melayu buat madah2 macamni

Ringkas, berkias, tepat, padat.

Mesejnya jelas dalam erti kata : pandai2 la fahamkan sendiri ikut situasi masing2

Tahniah buat pencipta lagunya : M. Nasir dan pencipta liriknya : S Amin Sahab

Saya tabik la anda berdua!! Tak payah nak Shakespears sangat kot. Negara kita pun banyak lagi seniman yang hebat2 dan berbakat

P/s: bukak youtube dan cari sendiri lagunya kalau nak feel. Mungkin kalau baca liriknya sahaja tak berapa nak 'terasa'

Tapi memang wujud jugak dalam dunia ni orang yg takde perasaan. Apa nak buat.. Semua ciptaan Tuhan

Jumpa lagi (:
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Monday, October 01, 2012

Bolehkah kamu tadahkan tangan?

Sudah berapa bulan? Entahlah. Saya kurang periksa. Mungkin sudah beberapa tahun agaknya. Biarlah isterimu saja yang menghitung. Dengan hitungan masa yang mendekatkan hati dan jiwa. Jiwamu dan jiwanya. Saya sekadar datang sekali sekala. Menjengukmu di kala hilang punca. Menjadikan kisahmu dan isteri sebagai penawar duka dan panduan bahawa hakikat cinta agung itu memang wujud untuk orang2 yang dipilihNya. Betapalah haru rasa ini wahai, Ahmad. Entah apa hikmahnya mengenali kalian tanpa mampu mata merenungkan, mulut mengucapkan. Sekadar bersapa-sapaan dengan papan kekunci. Nampak benar yang kita semua ini sebenarnya buta, bisu dan tuli

Kalau yang berjabat tangan dan berpeluk erat itu dikatakan ukhwah, maka tiada satupun yang boleh kita buktikan bahawa kita ini bersaudara. Namun hubungan kerana Tuhan ini ternyata jauh seninya. Terlalu jauh untuk sekadar ditafsir dengan pandangan mata dan akal yang singkat. Apa pun buah dan rahmatnya, biarlah Tuhan saja yang meletakkan darjat kebesaran kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tapi saya sering berharap, agar termasuk lah kita dalam golongan manusia yang bersahabat kerana Dia. Diberikan naungan di padang akhirat yang tidak ada apa2 perlindungan lagi. Naungan persahabatan yang erat, yang dengan persahabatan ini mengeratkan persahabatan yang lain2 pula. Mudah-mudahan hendaknya

Ahmad,

Bagaimanakah keadaanmu di sana? Pasti sedang bersenang lenang. Damai menanti kehadiran hari2 mendatang. Untuk segera dekat dengan kekasihmu yang memang dikhaskan. Betapa untungnya kamu wahai Ahmad, punya suri seperti Nur itu. Selalu saya sebut2kan namanya dalam kelas2 saya. Tatkala mahu saya memberikan contoh2 baik buat pelajar2 saya. Kadang2 saya simpulkan kisah kalian berdua

Setia itu bukan mudah, saya faham. Lebih2 lagi apabila kita hidup dalam dunia yang memungkinkan segalanya. Kehendak masyarakat, keperluan harian, kepentingan anak2, dan runtunan hidup yang memerlukan kita untuk berpaling pada yang lain. Namun keyakinan dan tekad yang ditunjukkan isterimu itu, Allahu… Jujur saya terharu. Ada rupanya manusia sebegitu setia. Benar2 wujud, dan ianya bukan dalam watak sebuah novel cinta

Dia itu masih muda. Muda benar. Sangat lojik dan difahami seandainya dia memilih untuk mencari ganti. Namun pilihan hatinya tetap kamu. Titik air mata saya, Ahmad. Walaupun saya tahu benar, segala2nya ditentukan oleh Allah jua. Namun tekad dan keyakinannya sangat kukuh dan ampuh. Kekal mempercayai bahawa berkahwin dan bercinta itu hanya sekali. Dan cukuplah sekadar SATU KALI. Tidak perlu diulang2 kembali.

Hmmmm… Perempuan selalunya begitulah.Namun tak semua, saya pasti tidak semua

Bolehkah kamu tadahkan tangan, Ahmad? Bolehkah?

Bolehkah di alam sana itu kamu tadahkan tangan dan berdoa? Kerana kalau boleh, ingin sekali saya memohon agar didoakan saya. Kerana kamu sudah tentu lebih dekat dengan Dia di sana. Sedang saya masih dikaburi fatamorgana yang menyilau mata. Tolong doakan saya tabah. Tolong doakan saya cekal. Tenang dan sabar melalui hari2 mendatang. Doakan saya bertemu kebaikan. Bertemu kesejahteraan. Akan ada hari2 keperitan di hujung tahun ini. Dan jikalah saya mampu meminta, ingin saja saya meminta agar dijemput kembali sebelum kedatangan hari tersebut. Serasa tidak sanggup saya menempuhnya. Namun apalah daya saya. Apalah daya hamba sekerdil saya

Kalau mampu saya kumpulkan setiap cebisan doa untuk dijadikan kubu kekebalan, kubu pertahanan, pastilah sudah saya kumpulkan. Agar diri ini terus kebal dari berasa sedih dan sakit. Namun semua itu bukan cara Tuhan. Tuhan memberikan pengajaran melalui kesakitan. Memberikan pengajaran melalui kekurangan. Memberikan pengajaran melalui kehilangan. Dan kesakitan, kekurangan dan kehilangan itulah yang seterusnya membuatkan kita faham maksud kehambaan. Kita cuma hamba yang mengharap belas ihsan. Sedang Dialah Tuhan yang maha hebat dan layak menunjukkan jalan

Sering saya ingat kata2 isterimu dalam lamannya. Hidup itu singkat, mati itu dekat. Ya, selalu saya ingat dan lekatkan di dalam minda saya. Biarlah berpeluh dan mengadoi sakit di ladang dunia yang serba fana ini, agar dapat saya kutip bebuah pahala di negeri sana. Bertemu dan menjabat tanganmu, tersenyum dan bergelak tawa megenangkan rencana Tuhan yang mendekatkan kita. Kamu bersama isterimu dan saya bersama teman jiwa yang saya harap dialah orangnya. Itulah yang sering saya sebutkan dalam doa2 saya. Bukan setakat saya impikan, malahan saya yakin. Yakin dan pasti bahawa kita semua akan bertemu satu hari nanti

Saya masih belum berkesempatan bertemu isteri dan anak2mu. Sekadar meninggalkan pesanan ringkas bertanya khabar. Entahkan kami selesa atau tidak bila bertemu mata. Atau mungkin sehingga dicabut nyawa saya juga, masih tidak sempat kami bersapa. Entahlah. Saya tidak tahu. Biarlah masa menentukannya

Sehinga di sini saja untuk kali ini. Tinggal dulu. Tidak perlu saya menyuruh kamu agar menjaga diri kerana dirimu telah berjaga. Insyallah, ada pahala dan doa2 yang menghiasi hari2mu. Sedang saya di sini lah yang lebih perlu menjaga diri. Agar tidak jauh dari Tuhan dan rahmatNya. Agar tidak saya terjatuh dalam lembah orang2 yang lalai dan derhaka. Terima kasih Ahmad, Terima kasih Mawar. Terima kasih atas cinta dan kesetiaan yang kalian tunjukkan. Menjadi penyejuk dan menambah keyakinan hati saya kepada Tuhan dan segala apa yang Dia tentukan

*****

Semasa saya menaip entri ini, program manager saya menyapa dan memberikan buah tangan berupa rantai kunci yang terdapat syling 1 penny dari USA.  Dan pada syiling yang terdapat gambar sisi Abraham Lincoln itu, ada kata2 yang benar belaka;

"IN GOD WE TRUST "

Subhanallah. Sajak dan sangat kena dengan tema penulisan saya. Tersenyum saya. Tersenyum pada Allah dan mengharapkan Dia tersenyum kembali memerhatikan saya dari atas sana. Ya, saya yakin sekali Dia sedang memerhatikan saya. Memerhatikan kita semua

Saya mahu percaya dan saya memilih untuk percaya padaNya