Tuesday, November 26, 2013

Muzium dan...

Ini Natural History Museum di London, United Kingdom. Masuk percuma. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan salah satu tempat wajib pergi kalau di London.

Binaannya memukau. Saya suka


klasik


autentik


mengagumkan


menarik


;)

***
Dan ini The British Museum, Terletak di London juga. Masuk juga percuma. Boleh ambil gambar ikut suka, tak perlu nak sorok-sorok kamera. Sayang saya melawat di waktu malam. Dan kebetulan hari hujan. Tak dapat saya nak menzahirkan binaan bangunannya yang juga menarik. Namun jujur saya lebih suka bahan-bahan yang dipamerkan dalam muzium ini. 

Barang-barang lama dan purbakala!


besar


tangga selatan


"The Enlightenment"


monumen


Zeus


mumia

***

Saya suka ke muzium bagi menggantikan aktiviti meonton wayang yang saya rasakan terlalu mahal di London. Saya perlu berjimat cermat bagi memastikan sumber kewangan saya sentiasa mencukupi kerana saya kini tidak lagi bekerja dan 100% bergantung kepada biayaan biasiswa

Namun saya bersyukur juga. Kerana dalam berjimat cermat dan sibuk menyiapkan kerja yang banyak, lusa saya akan ke.....


 Ya.. Sini, insyaAllah ;)

***
p/s: teringat entri seindah sakura yang saya tulis bulan 6 tahun lepas. Siapalah sangka, segalanya bakal menjadi nyata.......

Siapalah sangka..

Saturday, November 23, 2013

Dapatkah?

Untuk diriku...

Dapatkah kau lukis pelangi,
Jika tak kenal warna mentari?

Dapatkah kau takung hujan,

Sedang engkau tak menunggu awan?

Dan dapatkah kau petik kejora,

Bila kau asyik membelai senja?

........

Mahkota Cheras
2 Julai 2010

***

Lama saya simpan puisi ini. Dan baru hari ini saya kepingin menyiarkannya.. Ada maksud yang dalam untuk saya fikir-fikirkan. Hari ini. Ya, memang untuk hari ini.

London,
23 November 2013

Sahabat yang berkat

Bagaimana harus saya mulakan?

Saya tidak ada perkataan yang sesuai sejujurnya. Perasaan ini bercampur baur. Antara gembira dan terharu, antara terpegun dan keliru. Yang pentingnya saya sedikit kaget. Tatkala mengetahui bungkusan yang dikirim dari Malaysia itu adalah untuk saya. Ya, untuk Hartini!

Dalam kedinginan cuaca yang bukan kepalang ini, kiriman tersebut benar-benar menghangatkan hari saya. Saya terhibur menerimanya. Selebihnya berterima kasih dan bersyukur. Hampir titik air mata tatkala yang tertera di ruang mata adalah novel kebanggaan saya. Novel yang saya kira menjadi titik permulaan saya menulis di dalam laman ini. Novel yang sangat dekat dengan hati. Ya, novel Hartini yang saya angkat menjadi judul laman saya sendiri. Yang kini sudah hidup segar dan berkembang selama lebih tujuh tahun. Lalu menjadi laman persinggahan mata-mata yang sudi membuang-buang pandang. Sudi datang berkongsi persaudaraan dan kasih sayang

Alangkah besarnya rasa hati ini, wahai...

Lagi sekali saya dikurniakan sahabat yang berkat. Yang tidak pernah mata bertemukan, mulut bersapaan. Segalanya hanya melalui jejari yang menari tak henti-henti. Ya, hanya melalui perkataan dan bait-bait tulisan ini. Apalah lagi yang perlu saya pinta ke hadrat Allah Ta'ala. Serasa hampir semua telah dikurniakan-Nya. Sehingga saya malu untuk bertanya-tanya kenapa sampai sekarang saya masih seorang. Benarkah? Benarkah Tuhan membiarkan saya keseorangan?

Ya. Saya cuba melihat dari pelbagai aspek dan sudut. Fizikalnya memang saya sendiri. Keseorangan. Tersendiri. Kaku dan beku. Namun dari sudut rohaninya saya berteman, punya ramai kenalan dan jauh berlari mengejar impian dan anganan. Ampunkan saya, Tuhan.. kerana sering berkeluh kesah. Saya terlalu kerdil dan hina untuk mampu menilai kurniaanMu yang sebetulnya Kau kirimkan dalam bentuk ujian. Kerana saya hanya memandang butir-butir kemanisan yang sebetulnya pula adalah satu perangkap yang seringnya melalaikan.. Saya masih buta dan lena saya kira. Belum benar-benar celik dan jaga

***

Untuk diri yang mengirim, yang dengan hasrat lalu diusahakan menjadi hakikat; keinginanmu, usahamu, dayamu dan kini naskah Hartini itu berjaya saya sentuh dengan tangan walaupun jauh kita berpisah badan, wahai..... apalah yang mampu saya doakan untuk kamu sahabat? Selain keberkatan dan keredhaan Allah Ta'ala buatmu di sepanjang rantaian hayat. Terima kasih banyak. Saya benar-benar menghargainya. Seakan-akan satu peringatan, agar terus kekal menjadi saya walau di tanah mana saya berada.

Dan saya pinta, jika tiada umur di dunia, hendaknya kita bertemu di tanah sana.

Sama-sama diberi naungan, di tanah yang tidak ada lagi sebarang perteduhan, melainkan apa yang kita usaha dan tanamkan sebagai bekalan. Yang akan kita rasa kembali buah hasilnya di suatu masa yang Tuhan tentukan

Mudah-mudahan..

Sekalung penghargaan lagi sekali dari saya. Untuk kamu (si pengirim) saya doakan bahagia dan kasih sayang berlipat kali ganda. Dan untuk kalian juga, keberkatan dan kemuliaan juga hendaknya....


"bagai sirih pulang ke gagang"

***
p/s : baca maksud peribahasa tersebut di sini (Kredit untuk Puan Roshanilawatey)

***

Ulasan untuk novel Hartini oleh SN Arena Wati

"Setiap pembaca, baik pembaca yang bersikap membaca untuk keseronokan, atau pembaca yang bersikap membaca untuk keseronokan dan penelitian, mahupun pembaca yang bersikap membaca untuk penelitian tanpa keseronokan, tidak akan terlepas dari sikap dan peranan pelaku utama, sikap dan peranan golongan perusak, dan juga sikap dan peranan golongan yang baik."

Kuala Lumpur 1967

Monday, November 11, 2013

Pagi Ahad, 10 November

Matahari memancar terang. Indah dan galak. Hari ini hari Ahad, 11 pagi waktu london dan seharusnya lewat lapan jam dari tanah air tercinta, saya keluar rumah berbaju sukan. Lengkap dengan sweater dan track bottom. Siap berkasut sukan, niat mahu mengeluarkan peluh. Itu pun dengan pertolongan matahari, kononnya.

Namun sejauh mana pun lah saya berlari, sederas mana pun lariannya, peluh tidak mengalir juga. Malah makin sejuk pula terasa lantas meremangkan reroma. Di dalam mahupun di luar rumah kedua-duanya sama sahaja. Dingin di mana-mana. Saya rimas. Lemas. Lesu. Buntu

Sungguh, saya rindu hangat Malaysia. Saya rindu menyeka peluh yang mengalir di dahi. Saya rindu rimas dan sesak dek hawa panas dan lembap itu. Sungguh, saya tidak tipu bila saya kata saya rindu

Tidak ada bau hujan yang unik apabila terkena jalan berturap yang panas di tanah saya berdiri kini. Itu cuma ada di Malaysia, atau mana-mana daerah dunia yang selalu panas terik dan hujan turun tiba-tiba. Tapi bukan di sini. Paling tidak pun, bukan di waktu ini

Sudah lama matahari tidak timbul di London. Kerap hanya hujan dan mendung. Semendung hati yang keseorangan.  Saya tidak berteman. Bukan teman hati. Saya maksudkan kawan. Ya, saya susah berkawan. Saya tidak pandai berkawan. Bersosial apatah lagi. Adakalanya saya mengutuk-ngutuk diri saya yang lemah ini. Entahlah kenapa saya memang susah mencari kawan. Dan saya sangat memilih dengan siapa saya berkawan. Lalu saya jarang ada teman akrab. Tapi kalau ada, saya bersahabat sungguh2. Selalunya begitu

Saya rindukan Aja, K.Dayah, Deena, Ayu dan Kak Azie. Saya rindu helai tawa mereka. Ya, kami masih berhubung melalui chat group di whatsap tapi semua itu tentulah tidak sama.

Saya rindu gelak tawa adik2 saya. Usikan mereka. Dan bebelan ibu saya tentunya. Tentang ikan di pasar, tentang barang2 yang makin mahal, tentang itu tentang ini. Tentang semua perkara yang ibu saya amati. Oh.. Tidak dapat saya nyatakan denyut rasa ini. Saya rindu keributan keluarga besar saya. Makcik2 dan sepupu2 saya. Saya rindukan keserabutan dan kekalutan itu.

Jika saya tidak ke sini, tentulah saya tidak akan mengetahui harga atau nilaian sesuatu perkara

Ya, hanya kerana apabila apa yang saya suka dan mahu itu telah tiada, atau dalam erti kata lain tidak dapat saya perolehi lagi, baru saya reti menghargai

Saya baru tahu menghargai nilaian sinar mentari, nilai peluh yang mampu saya seka di dahi, nilai panas, nilai ribut, nilai kalut, nilai sesak, nilai tanah tumpah darah itu. Hmmm.. (keluh)

Baik atau buruk sesuatu perkara itu hanya terletak pada persepsi dan pendapat kita. Yang sering kita hubungkaitkan dengan persekitaran. Kita pelik kenapa Allah jadikan kita orang kampung, kita hitam, kita pendek contohnya. Kita suka mata orang yang biru, kulit orang yang cerah dan rambut orang yang merah. Jarang sekali kita melihat cermin dan berbisik dalam hati, 'syukur dengan rambut yang hitam ini, ia lambang peribadi'. Kita selalu lupa, Allah adalah sebaik-baik pencipta, penentu segala. Allah cipta mengikut keperluan kita. Sebab Allah tahu itu yang terbaik dan termolek untuk kita

Kita mengeluh apabila negara kita tidak ada empat musim yang kononnya menyeronokkan, lalu kita cipta sesalju kita sendiri. Kita buat apa yang orang lain ada supaya kita dapat rasa apa yang mereka rasa. Sampai kita lupa memandang pada rumput yang menghijau, padi yang menguning, pantai yang membiru, nyiur yang melambai. Kita lupa menoleh kepada diri kita sendiri. Kita cuma mahu apa yang orang ada walaupun nyata kita tidak memerlukannya

Kita makhluk yang pelik

Namun bagus kalau kita punya cita-cita besar. Menjelajah dunia contohnya. Mengenal budaya dan kehebatan bangsa lain, untuk kita bangun berjuang dan berjalan seiring. Kita tidak akan hebat kalau kekal di satu tempat. Kita perlu cuba dan gagal sebelum tahu di mana letaknya titik jaya. Tapi jangan pula sampai lupa di mana asal usul kita. Begitu saya kira

......................

Saya tidak membawa telefon bimbit untuk berkongsi gambar dengan anda. Gambar taman tasik yang indah, dengan itik2 dan angsa berbulu tebal, dengan pengunjung yang berlari2 anak dengan anjing peliharaan mereka, atau sekadar duduk2 saja memerhati manusia mundar mandir. Atau yang leka memancing. Atau yang jalan2 dengan keluarga dengan anak2 kecil mereka yang tertawa keriangan. Ya, mungkin nanti saya akan kongsikan. Bila-bila lagi saya kelapangan

Saya mungkin agak sibuk di beberapa minggu hadapan dengan segala tugasan. Mungkin saya akan menulis lagi bila bermulanya cuti Krismas nanti. Perayaan utuk mereka, pengembaraan untuk saya

Tinggal dulu. Terima kasih sudi membaca ;)

Salam sayang,

Tini Omar

Wednesday, November 06, 2013

Warkah 1 untuk Embun

Seharusnya perlu aku memulakan tinta ini dengan puji-pujian kepada Allah, yang sememangnya Maha Kaya, Maha Kasih dan Maha Sayang. Yang menukarkan tiap2 titis airmata menjadi permata berharga, yang menukar muram menjadi tawa, perit menjadi bahagia, dan terbukti kasih sayangnya yang tidak putus-putus, kekal dan terus-menerus

Embun,

Ini kali pertama aku menulis untuk kamu. Kerana khabarnya kamu sudahpun melebihi usia empat tahun. Itu pun aku tahu dari laman ibumu yang terlalu tabah itu. Tahniah orang muda. Selamat datang ke dunia penuh pancaroba. Mungkin sedikit masa lagi kamu mampu membaca. Atau mungkin telah pandai pun! Jadi berhati-hatilah memilih apa yang kamu baca. Dan fahamilah apa yang kamu baca, itu yang pentingnya

Embun, sesuci dinihari,

Siapakah aku ini? Ketahuilah bahawa aku adalah rakan dan kenalan ibu dan ayahmu yang jauh sebenarnya dari mereka. Tidak pernah bertemu mata, tidak pernah mendengar suara. Hanya kenalan dalam laman maya, namun terasa dekat dan akrab sekali. Apakah mungkin perhubungan yang semacam itu? Ya sayang. Tentu saja kalau dengan izin Dia. Dia yang menentukan jodoh pertemuan. Dia yang meniupkan nur kasih sayang. Apakah ada yang tidak mungkin kalau sudah Dia yang berkata ya?

Mengikut kefahaman akalku yang terlalu terhad ini, tentulah saja kamu itu tidak sempurna kasih sayangnya lantaran tiada juga kamu membesar dengan belaian seorang ayah. Namun, aku terlalu percaya bahawa apabila Tuhan menarik balik satu perkara, maka akan dianugerahkan pula perkara yang lainnya. Ya, yakinlah wahai anak muda bahawa kamu itu telah mendapat seorang ibu yang unggul. Keunggulan yang bukan dilahirkan tetapi diasah dan dipahat dengan semangat. Keunggulan yang diukir dengan begitu payah dan berhati-hati, hanya kerana sebab beliau perlu unggul. Beliau perlu jadi unggul untuk kamu

Jangan ditanya pada aku bagaimanakah ayahmu. Aku juga sebenarnya tidak pernah tahu. Cuma dapat aku pastikan bahawa beliau pemuda hebat. Walau sekejap tempoh perkenalan, namun keberkatannya diraih sepanjang zaman. Ya, dan nukilan buat kamu ini lah buktinya.

Embun,

Aku suka nama kamu. Ringkas, mudah dan sedap maknanya. Aku tahu ibubapamu telah memilih nama yang baik untuk kamu. Nama yang baik untuk nanti dipanggil sebagai orang baik-baik. Namun segalanya harus bermula dengan panggilan yang baik, walaupun kerap juga kita lihat manusia yang mempunyai nama baik2 tapi tidak sebaik akhlaknya. Elakkan. Elakkan berfikir demikian. Jika bertemu dengan manusia seperti itu, doakan agar akhlak mereka sebaik nama yang diberi percuma

Embun,

Aku pernah berjanji dengan ibu dan ayahmu, untuk menulis untuk kamu. Supaya satu hari nanti bisa kamu baca. Tatkala akal dan kefahaman yang jitu telah mula mampu mempengaruhi sanubarimu. Dan ya, kini aku buktikan janji2 aku itu. Aku tidak pernah lupa, cuma adakalanya kekangan masa melewatkan segala perancangan yang aku lakukan. Aku nayata kalah mengawal masa. Kalah dalam mengatur langkah

Embun, yang utama..

Bagaimana agaknya rupa kamu? Ya, tentulah manis. Manis di mata ibu dan kakandamu juga. Sayang, aku berpergian tanpa menjenguk kamu. Malah tidak pernah sekali pun berjumpa dan berkenalan. Ya, adakalanya aku malu dengan diriku sendiri. Aku selalu bertangguh-tangguh. Dan sehingga ayahandamu dipanggil bertemu-Nya pun aku masih bertangguh

Bagaimana Ibumu, wahai orang muda? Sihatkah dia? Bagaimanakah kakandamu? Telahkan kamu pandai mendoakan untuk kedua orang tuamu? Aku tahu kamu akan cerna di satu masa. Ambillah masa selama mana. Hiruplah santunan budi mengikut suka. Buat dan bereksperimentasilah apa saja untuk menilai erti bahagia dan air mata. Kami; aku sendiri dan kedua orang tuamu barangkali telah melalui jerih payah itu. Walaupun masih banyak yang belum kami habisi dalam perjalanan hidup kami, namun sebetulnya itu sesudah lebih dari separuh yang bakal kamu hadapi dalam usiamu yang ranum ini

Embun,

Aku kini menulis dalam hawa sejuk yang terlalu menusuk. Kebas tangan dan jari-jemari namun untuk tidak menaip dan menggerak-gerakkan mereka itu terasa lebih kebas. Dulu kamu sekeluarga yang berhijrah meninggalkan negara tercinta. Belajar tentang budaya dan masyarakat luar seterusya kembali menghargai dan menyayangi budaya kita sendiri. Kini aku lah pula. Ya, aku lah pula yang Tuhan hantar di medan ini. Medan juang ini. Berseorangan, sepi dan tiada berteman. Namun Tuhan senantiasa ada dan hidup segar dalam hatiku. Aku hidup dan mati di atas muka bumi ini untuk Dia dan tiadalah yang lainnya

Jadi molekkah aku merungut tentang kesepian dan kesseorangan itu? Tidak, aku malah tidak pernah berseorangan. Senantiasa ada Dia memerhati dan mendengar dan memaklumi segala

Dia dekat. Dan itu rahmat

Akan aku menulis lagi padamu wahai anak muda. Menulis sehingga kulit2ku berkedut tua, dan sehingga kamu muda remaja lalu dewasa. Berharap agar kamu menjadi sehebat orang tuamu. Memahat nama walaupun asalnya kita ini bukan siapa2. Bukan berketurunan dan berdarjat akan tetapi makhluk Allah azza wajalla juga

Aku akan memerhati dari jauh. Sambil mendoakan ayahandamu yang mungkin sekali sedang aman menunggu hari pembalasan, mudah-mudahan. Aku pasti doa isterinya yang setia, doa anak2nya yang meningkat remaja senantiasa ada menemani beliau di tanah sana

Ketahuilah bahawa kita juga akan ke sana bila panggilan itu menjelma. Namun sebelum dijemput, hendaklah kita yang menurut. Menurut kata iman, kata akal dan kata Tuhan. Biar apa orang kata, kita tidak hidup untuk mereka. Yang lebih tahu dan maklum hanyalah Allah Taala sahaja

Embun yang jauh,

Doakan aku yang tua ini. Tua tetapi masih muda mengejar cita-cita. Alangkah baiknya jika dapat berkongsi pengalaman dengan sahabatku itu. Mendengar persepsi beliau dari pelbagai sudut pandang. Ya, namun tiada siapa yang dapat menghalang takdir Tuhan. Kita hanya merancang namun ketentuan masih Dia yang memutuskan

Sekian saja dari aku untuk kali ini. Semoga hendaknya kita berutus lagi. Hormati dan sayangi akan ibumu, kasihi akan saudaramu, tinggikan martabat agamamu dan jangan dilupa asal usul dan budaya melayumu

Itu akar kita, Embun. Sekalipun dicantas pasti bercambah juga, walau tumbuhnya di tanah mana.....

Hartini Omar
London 
5 Oktober 2013

....

Jemput baca warkah2 untuk ayahanda dan bondamu..

Dia yang Pergi Lebih Jauh (Mac 2011)

Saat2 Aku Teringatkan Kamu Wahai Ahmad (April 2011)

Sekali Lagi Untuk Engkau yang Jauh (November 2011)

Untuk Kamu, Ahmad (Julai 2012)

Bolehkah Kamu Tadahkan Tangan? (Oktober 2012)

Tiba2 Aku Teringin Menulis Sesuatu Buat Kamu, Mawar (Ogos 2011)

Thursday, October 31, 2013

"Ya, kami tidak minum!"

'Ya, kami tidak minum." Kata saya bersahaja dengan senyuman. Pemuda mat salleh tinggi lampai yang tadi beriya-iya berceloteh tentang rumah sewa yang dipilihnya untuk kami terdiam seketika. Saya memandangnya sekilas, masih dengan senyuman.

Saya kira mungkin beliau mencari-cari akal, bagaimana seorang pemuda yang sepertinya juga bisa mampu bertahan tidak meneguk air itu. Lalu mungkin beliau memikirkan, apakah yang selalu kami buat tatkala gelisah, tatkala masalah mencengkam dada. Tatkala merasa akan jalan keluar itu sudah tidak ada.

Apakah agaknya yang kami gantikan dengan minuman itu, mungkin dia tertanya-tanya.

"And we don't smoke too!" Saya menambah perlahan. Memberitahu yang kami juga tidak merokok. Saja dengan niat menambah keliru di fikirannya. Dia ketawa, yang seakan tidak percaya, sambil menggeleng2kan kepalanya.

Minum untuk mereka bukan sekadar memabukkan. Adakalanya mereka minum untuk memenuhi jemputan. Adakalanya mereka minum untuk meraikan kenalan. Itu sebahagian dari kehidupan mereka. Malah banyak majlis2 pelajar di sini yang disambut dengan hadiah dan pemberian berupa 'minuman' kebahagiaan itu. Yang selalunya kami tolak dengan baik sekali. Dengan ikhlas dan sejujur hati.

Dan untuk menerima kenyataan bahawa orang2 seperti kami mampu hidup dan terselamat dari menjamah minuman yang adakalanya merupakan 'jalan keluar' termudah itu, mereka sudah pasti tertanya2 dan terdetik dalam minda, apakah yang kami lakukan tatkala kami ditimpa masalah.

Mereka lupa bahawa kami punya Tuhan yang senantiasa di sisi

Mereka tidak sedar bahawa Tuhan kami sentiasa membantu walau di mana kami berdiri

Dan Tuhan kami itu tidak perlukan perantaraan atau orang tengah untuk dihubungi

Ya, dan saya bersyukur masih diberi akal dan iman dan kesihatan yang kukuh, hati yang suci lagi murni, jiwa dan nurani yang mudah-mudahan kekal zuhud sepertimana saya berada di tanah tumpah darah saya itu. Darah merah itu masih mengalir, walau sebanyak mana pun burger dan keju yang saya telan. Saya masih saya, dan dengan pertolongan Dia, akan selalu memelihara iman dan akidah

Ada ramai Muslim yang minum arak di sini. Mereka ke masjid tetapi dengan senangnya meneguk beer. Mereka punya fahaman berbeza dan biarlah, itu mereka. Selalunya fenomena ini senang dilihat di kalangan muslim bukan melayu. Apa bangsa mereka saya tidak pernah ambil tahu.

Semoga hendaknya mereka diberikan hidayah

Kejauhan dari keluarga dan rakan2 benar2 membuatkan saya dekat dengan alam dan Tuhan. Siapa lagi yang saya ada untuk mengadu hal2 kehidupan. Selawat burdah seringkali saya mainkan dalam mp3 tatkala saya berdiri di mana2. Di Hyde Park, di Piccadily ataupun di kampus. Ia mengingatkan saya bahawa saya masih seorang saya.

Saya rindu Malaysia. Walau seburuk dan seteruk mana pun tanah itu, itu tanah tumpah darah saya. Saya menyayanginya

Berbatuan merah yang disusun berbaris menjadi bangunan klasik dan hebat di bandaraya London ini tidak dapat menandingi rumah2 kampung yang indah dan syahdu apabila dilihat dari jauh. Panoraman di kampung2 sering membuatkan air mata saya bergenang, saya rindukan kampung halaman. Saya dambakan deru angin yang mengalunkan geseran nyiur. Itu tiada di sini

Ibu ayah dan keluarga tidak saya rindukan sebanyak mana saya rindukan negara. Kerana ibu dan ayah itu saya hubungi hari2. Bertanyakan khabar mereka dan mereka juga tidak pernah lupa bertanyakan khabar saya. Ya, dan lagi mereka mampu ke mari. Tetapi tidak halaman yang saya rindukan itu. Nyatanya saya yang perlu ke sana, kembali ke tanah tercinta

Namun perjalanan baru bermula. Ya, masih baru. Ada banyak lagi yang perlu saya tempuh

Nanti pasti akan ada ujian yang menguji iman dan kesabaran.

Hendaknya di kala itu saya masih kekal seorang saya, walau di bawah bendera dan pentadbiran mana pun saya berada. Semoga masih dalam payung rahmat yang maha kuasa. Bertuhankan Allah Azza Wajalla

Lindungi saya, Allah. Rahmati perjalanan saya.


di sini saya berehat selalu. melihat manusia lalu lalang


dedaun maple yang berguguran


"maka nikmat TuhanMu yang manakah lagi yang kamu dustakan?"

***

Jangan bimbang, kami tidak minum ;)

Wednesday, October 16, 2013

London - Oktober update

Sudah lebih dua minggu saya di London. Bandar yang tidak pernah 'tidur'. A city that never sleeps. Mungkin ada benarnya. Tapi saya tetap tidur seperti biasa. Mungkin kerana lelah ke kelas. Atau saya begitu malas untuk keluar meng'explore bandar London. Mungkin belum lagi. Masih mencari mood

Saya masih belum mendapat rumah. Lantaran rumah yang saya kira boleh saya dapati apabila sampai di London telah pun diduki orang lain. Jadi dalam kata lain, saya masih menumpang di rumah seorang kakak yang baik hati, yang menjaga saya seperti adik sendiri. Yang menyediakan makan minum saya, dan sudah tentunya menjadi rakan borak yang paling setia

Apa yang seronoknya hidup di London?

Semua. Hampir semua. London bandar yang hidup. Dihuni oleh orang2 yang hidup dan segar. Mereka bergerak pantas, berfikir pantas dan bertindak pantas. London bukan bandar untuk orang malas dan hanya goyang kaki. London bandar yang pesat dan bergerak tanpa henti

Barang2 di London lebih murah dari Malaysia. Serius? Ya, taraf hidup di negara kita lebih tinggi. Untuk sekeping duit RM5, apa sangatlah yang boleh kita beli. Nasi goreng sebungkus mungkin. Tapi untuk £5 di london, anda boleh dapat macam2. Dua ketul ayam goreng sesedap KFC bersama kentang goreng yang banyak dan air satu tin baru berharga £2. Tiga bungkus coklat kegemaran saya - kinder bueno baru £1. Pati Ribena botol paling besar baru £3. Sekilo ayam drummet peri2 yang balik2 je rumah terus goreng pun baru berharga £4. Kalau kat Malaysia, drummet Ayamas 850g dekat RM15. Betul tak? 

Sepaket spagetti baru 40pence. Sebotol sos spagetti yang macam prego tp dalam botol baru £1 sebotol. Untuk £10 yg kita bawa ke super market, kita dapat macam2. Cuba bawak RM10 pergi Giant tengok apa kita dapat?


Jangan convert kan duit kita dengan mereka. Ramai yang bila saya ceritakan betapa murahnya barang di London, mereka akan menukarkan nilai matawang RM dengan £. Contohnya, "memang la kau dengar macam murah, sebotol sos spagetti £1 tapi kalau kira dalam RM, RM5 hengget jugak. So kira sama la.."


Tak. Tak sama. Kenapa tak sama? Contohnya saya bekerja di London, di bayar £5 sejam. Dan pekerja di Malaysia, dibayar RM5 jugak sejam. Tapi untuk sejam yang kita usahakan di London, kita boleh dah beli macam2. Tapi untuk sejam yang kita kerjakan di Malaysia, sekadar mampu bagi kita beli nasi sebungkus. Sepaket spagetti dah dekat 3 hengget. Belum sos dia. Lima hengget kat Malaysia, apa lah sangat dapat. Tapi £5 di London, it's a big deal!


Sebab itu saya katakan kos hidup di Malaysia lebih mahal. Negara kita sudah sepatutnya membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja, lantaran harga barang yang semakin mencanak naik. Kalau UK bayar £6 sejam untuk pekerja KFC mereka, kita patut membayar RM20 sejam untuk pekerja KFC kita. Baru sesuai dengan belanja mengikut harga barang. Ini tidak, tidak ada 'ballancing' di antara jumlah gaji dan harga barang. Gaji RM2000 sebulan. Tapi jumlah perbelanjaan kita sangat tinggi. Harga barang makan, petrol, bil2 perkhidmatan dan sebagainya, bil telefon, internet, semuanya tinggi. Fresh grad di UK di bayar gaji yang hampir sama juga dengan kita. Tapi mereka sangat mewah dengan jumlah gaji tersebut. Kita? 


6 Tahun saya bekerja di institusi lama saya. Apa yang saya dapat dalam tempoh 6 tahun itu? Nothing!


Telefon


Di London, saya menggunakan Lycamobile yang saya beli dengan harga 99pence. Akak rumah saya cakap selalunya simpack permulaan tu orang bagi free je tepi2 jalan. Dan percayalah, hanya dengan simpack 99pence dan saya topup £5 dari hari pertama di London, sampai sekarang tak habis2 pakai, saya dapat internet (mobile data) dengan percuma. Ya, PERCUMA. Gratis! Free! Tanpa had. 


Jika di Malaysia mereka kata tanpa had, mereka tipu. Sebab kononnya tanpa had, tapi bila habis data, internet jadi slow. Tidak di London. Free means Free. Unlimited means unlimited. Sangat2 mudah dan memudahkan. Saya menonton drama di 'tonton' hampir setiap malam, berfesbuk, berwhatsap, beryoutube dengan leluasa. Alangkah pemurahnya mereka. Kalau kampeni merah, kampeni ijau, kampeni biru, kampeni kuning di Malaysia, semuanya charge internet dengan begitu mahal sekali. Mahal! Saya habis 200 sebulan untuk bayar bil telefon dan internet sahaja di Malaysia. Di sini sudah 2minggu dan saya hanya telah membelanjakan £5.99. Terbaek!


Apa lagi yang best di London?


Pengangkutan awam. Saya ke kelas menaiki bas double decker dan pengangkutan awam mereka tidak pernah mengecewakan. Pilih lah samada nak naik bas atau nak naik tube. Nak cepat atau nak tengok pemandangan. Yang penting kedua2nya menyeluruh dan menepati masa. Sekali naik bas, cas nya £1.40. So tak kira lah kalau turun dekat hentian pertama atau hentian terakir, tetap harganya £1.40. Kanak2 naik percuma 


Shopping baju memang sangat seronok di London. Separuh kedai siap bagi potongan 20% kepada student. Tunjuk je kad pelajar. Terus dapat diskaun


Belajar di London?


Susah. Saya satu2 nya pelajar Melayu, Islam, Asia di dalam kelas saya. Yang paling muda, paling kecil, paling pendiam. Rakan2 saya adalah mereka yang sangat dewasa. Medical practitioner, medical doctor, psychiatrist, nurses, social worker, managers dan semuanya yang hebat2 dalam menceritakan tentang pengalaman mereka bersama pesakit dementia. 


Hanya saya seorang yang datang dalam educational background yang secara am nya ingin melihat dan mengambil intipati pembelajaran di UK untuk di bawa ke negara kita nanti. Khasnya dalam menyediakan pusat penjagaan yang intensif dan menyeluruh untuk pesakit2 dementia. Kerana secara asasnya negara kita memang masih tidak ada satu struktur rawatan dan penjagaan khusus untuk pesakit2 mental seperti ini


Mencabar. Terlalu! Kadang2 sampai saya terkedu. Boleh ke saya lulus pengajian ni? Tapi saya bertabah dan membulatkan tekad. Semoga segala yang Tuhan tentukan ini ada hikmah di penghujungnya


Apa lagi yang seronok di London?


Orang2nya mungkin. Mereka berfikiran terbuka, lebih vokal dan tidak akan memendam apa yang mereka rasa, mereka menegur secara spontan akan sesuatu yang mereka rasa perlu ditegur. Ya, mereka lebih murah senyuman berbanding orang kita sendiri yang kononnya penuh dengan adab sopan


Lalu adakah yang tidak seronoknya di London?


Masakan tidak. Yang tak seronoknya di London ialah sewa rumah amat mahal. Terlalu mahal. Sebulan mencecah £900 hanya untuk sebuah bilik kecil. Jadi kos penginapan adalah masalah terbesar saya. Mujur boleh diganti dengan kos makan yang murah. MARA memperuntukkan £1204 sebulan untuk makan dan penginapan, ia lebih dari cukup untuk menampung keperluan saya seorang. Sebab itu saya perlu mencari rumah yang berharga lebih kurang £500-600 sebulan, supaya separuh lagi dari jumlah elaun tersebut dapat saya simpan untuk melawat negara2 lain seperti Paris, Istanbul dan Spain


Begitu lah impian dan angan-angannya. Jadi saya perlu berjimat cermat juga. Siapa jimat makan dan shopping, dia boleh berjalan. Simple math!


Di London terlalu sejuk sekarang. Sekadar menghampiri musim sejuk tapi masih dalam musim luruh, kesejukannya terasa di mana2. Terlalu sejuk untuk sel2 kulit saya yang dah 29 tahun sebati dengan udara panas dan lembap di Malaysia. Saya lebih selesa dengan udara panas di negara kita. Jujur


Kesejukan ini terlalu luar biasa. Bagaimana saya akan menempuh musim sejuk nanti? Sama2 kita tunggu dan lihat. Ok, enough talking. Jom tengok gambar pulak!




Big Ben yang saya tengok hari2 time pergi dan balik dari kelas. Naik jemu. Mula2 je poyo. Lama2 tak lalu dah


Big Ben yang tak pernah takde orang kat area ni. Dia tepi sungai. Sebelah Westminster Bridge. So memang tempat tumpuan pelancong. Tu kakak tudung kuning tu lah Kak Fiza yang tersangat baik hati menjadi pemandu pelacong saya. Hehe


Ni Westminster Abbey tempat William and Kate kawen haritu. Tak sempat masuk pun. Nanti2 lah. Tengok dari luar je lah dulu



London Eye yang menjadi kebanggaan dan mercu tanda bandar London ni. Tapi tak kuasa lah nak naik. Tak teringin pun. Cuma kat bawah London eye tu ada kedai waffle yang gila sedap waffle dia. Sumpah sedap! Waffle strawberry dengan coklat. Mengagumkan!



Haa ni mesti ramai orang tau. Ni la Tower Bridge. Bukan London Bridge okay. Jangan tersalah. London bridge tu kalau pergi tengok macam jembatan biasa yang ada kat Malaysia je. Tower Bridge ni la yang mercu tanda bandar London. Ni jauh la sket dari Westminster Bridge tadi tapi kalau nak jalan kaki pun apa salahnya. Bukan berpeluh pun. Best jalan kaki kat London, cuma kalau terlalu sejuk silalah berbaju tebal k


Tower Bridge yang menjadi tumpuan pelancong. Banyak souvenior jual kat sini tapi harganya mahal la sikit. So better beli kat tempat lain yang lebih murah. (Tu pesan tour guide saya aka Kak Fiza) Hehe


Ni apa? Ni The Strand. Betul2 sebelah University saya, kampus Strand. Tapi basically kelas saya semua di Denmark Hill. Lebih kurang 15 minit naik bas dari kampus Strand ni. Sebab kampus saya dok sebelah Hospital dan memang khas untuk Institute of Psychiatry


The Strand yang menawan. Sempat la saya singgah, minum2 kopi kat sini sambil amek gambar bangunan. Alah orang London tak heran dah pon. Saya je poyo


Jalan2 jugak. Belajar tak lupa. Setiap kali sebelum masuk kelas atau jumpa supervisor (SV), saya mesti menggelabah dan tak lalu makan, sibuk la membaca bagai, mempertingkatkan diri la konon dengan ilmu. Tapi last2 dalam kelas saya diam jugak. Ada subjek clinical yan terlalu susah untuk saya cope. Subjek yang sangat tertumpu kepada medical term, bahagian2 otak, fungsi, reaksi, kesan kepada ubat dan nama2 ubat tu pun saya terpaksa ambil tahu apa side effect, lebih2 lagi yang bersangkut paut degan memory, reasoning and language impairment. So kadang2 saya macam kemurungan sebab baru dua minggu start tapi otak saya macam dah tepu. Tolong!!!!! Saya bukan doktor ismadi okay!


Nah, suhu di London yang sempat saya snapshot dari telefon bimbit saya. Sejuk gila. Tidur kena pakai stokin, sweater, dan of course duvet. Gebor2 nipis tak lut. Kalau jalan kat luar tak pakai glove atau masuk tangan dalam poket, tangan boleh kecut macam baru lepas basuh pinggan. Sekali lagi saya ingatkan, ni belum musim sejuk. Kalau musim sejuk aka salji nanti saya tak tahu apa nak jadi

*******

Ok, itu lah saja yang sempat saya kongsi untuk October update ni. Kita jumpa bulan depan, kalau umur panjang. Harap2nya ada pengalaman baru, situasi baru dan cerita baru yang boleh saya kongsikan dengan pembaca. Baik2 jaga diri di Malaysia. Doakan kejayaan saya di sini

Terima kasih Allah atas peluang ini, terima kasih mak dan ayah yang sering memberi inspirasi..

Sekian, jumpa lagi.

Salam sayang,

Hartini Omar
London, UK

*****

5 tahun dulu, sekitar Oktober 2008, saya pernah menulis ini. Siapa sangka, selepas lima tahun, ia benar2 mampu saya kecapi dengan izin Ilahi. So, teruskan berangan2. Semua impian bermula dengan angan2 ;)

Friday, September 27, 2013

Hammersmith, London

Saya menulis entri ini dalam kedinginan cuaca yang bersuhu lebih kurang 11 darjah celcius. Tidur tidak sekali-kali memerlukan kipas apatah lagi penghawa dingin. Menyentuh air pili untuk mengambil air sembahyang sebentar tadi pun terasa seperti menyentuh air sejuk dalam peti ais. Macamanalah nanti nak menempuh musim sejuk yang bakal tiba.

Sekarang pukul 9.05 malam di bandar London, United Kingdom. Di tanah air tercinta Malaysia, tentunya lebih 8 jam dari sini. Ya, pukul 4.05 pagi tatkala semua sedang lena diulit mimpi

Alhamdulillah, penerbangan dengan Etihad Airways yang  bertransit di Abu Dhabi tadi berjalan dengan lancar sekali. Saya menjijak tanah London sekitar jam 2 petang, setelah lebih 17 jam mengharung penerbangan yang meletihkan. Jujur, duduk dalam kapal terbang selama itu amat-amat membosankan. Saya hanya tidur dan tidur dan tidur

Ibu bapa dan ahli keluarga serta kawan-kawan terdekat telah bermurah hati menhantar saya ke KLIA pagi semalam. Dan selepas detik itu, saya melakukan segalanya secara bersendirian. Saya tidak mempunyai rakan2 lain untuk terbang dan berpergian bersama-sama mereka. Jadinya, saya keseorangan saja. Benar-benar sedirian

Mujur segala persiapan telah saya lakukan dengan baik sekali, dokumen dan ke mana harus dituju, segalanya telah saya persiapkan sebelum berangkat. Dan syukur, urusan di UK Border yang mendebarkan itu pun dapat saya jalani dengan baik. Lancar dan dipermudah Allah Taala. Alhamdulillah

Esok saya akan ke kampus. Petang tadi hanya melawat-lawat kawasan persekitaran sambil mengambil peluang membeli kad Oyster untuk kegunaan bas dan keretapi, serta membeli simkad Lyca untuk kemudahan komunikasi di sini

Itu sahaja setakat hari pertama di Tanah seberang sana. Yang lain2 akan saya kongsikan nanti jika berpeluang dan diberikan kesempatan. Salam kasih sayang

Tini Omar,
London, United Kingdom

 kawasan kejiranan
 
 dingin
 
 hammersmith
 
 bunga2 tepi jalan je tapi kemain lawa. Kalau kat cameron harus org kutip pastu jual balik
 
 klasik
 
kad oster dan Lyca mobile

p/s: Gambar2 di atas saya ambil guna BB je. Sebab tadi tak bawak kamera. Maaf kalau tak berapa clear

Thursday, September 12, 2013

Yang pipih takkan datang melayang

Saya baru ada kesempatan untuk menjengah laman ini. Ya, sejujurnya baru mampu menarik nafas, walaupun bukan nafas kelegaan, tapi kini telah mampu menarik nafas. Kerana semenjak dua ini saya terlalu lelah menguruskan hal-hal dunia yang memerlukan bukan sedikit masa, duit dan tenaga. Juga semangat juang, saya kira

Semangat yang pernah juga hampir hilang dek ketidak-sabaran dan keletihan

Namun hari ini saya benar2 boleh bersyukur. Duduk bertenang sambil menaip baris2 ini untuk kalian. Lalu di telinga saya terngiang2, "yang pipih tidak akan datang melayang"

Saya senyum, mengenangkan hari2 kesusahan. Peluh yang saya seka bila saya berjalan ke sana ke sini menguruskan segalanya. Keluhan tatkala membuka dompet yang kosong kerana tidak bekerja dan hampir semua simpanan telah dikeluarkan untuk jalan yang satu ini. Marah2 yang adakalanya terkeluar dari mulut saya kerana ketidakpuasan hati ketika berurusan dengan pihak kerajaan, ibubapa dan rakan2 yang adakala terkena tempiasnya. Ya, saya hampir kemurungan

Dan kini apabila segalanya hampir selesai (hampir, belum benar2 selesai), saya melihat balik segala yang berlaku dan tersenyum seperti melihat sketsa hidup yang lucu pula. Begitu banyak yg Allah tunjukkan, tunjukkan saya erti sabar, erti usaha, erti setia, erti kasih sayang sebenar, erti nikmat, erti syukur dan segala-galanya. Sesungguhnya hanya Dia-lah yang layak disembah lagi dicinta dan dipuja

Di masa2 senggang ini, saya seboleh2nya cuba utuk menghargai segala yang bakal saya tinggalkan

Iklim yang panas dan lembap yang mungkin nanti saya rindukan. Bau sambal nasi lemak acik sebelah yang dapat saya hidu setiap pagi, apabila beliau bangun untuk menguruskan perniagaan. Mungkin juga rintik hujan yg membasahi jalan berturap di hadapan rumah saya; yang apabila panas lalu hujan dengan tiba2 akan mengeluarkan sejenis bau yg unik. Mungkin sekali akan saya rindukan cendol dan rojak mamak yang sering saya singgahi

Apatah lagi keletah adik2 saya yang tak jemu2 berjenaka, bebelan mama dan kerisauan papa. Ya, saya akan merindui segala-galanya

Ya, saya belum tahu. Kerinduan itu pasti hadir bila batang tubuh ini sudah tidak lagi di sini

Setakat hari ini, saya masih menunggu sumber yang insyallah (dengan izinNya) akan diberikan sikit masa lagi. Merancang untuk keluar makan dengan sahabat handai mana termampu. Melawat saudara mara yang mana perlu. Selebihnya menguruskan hal2 berkaitan penghijrahan

Siapa sangka ini takdir yang Allah tentukan (jika tiada aral melintang)

Jadi wajib saya sampaikan rasa terima kasih ini kepada semua yang sudi hadir di sisi memberikan semangat dan inspirasi. Rakan2 Uranus semestinya, Kak Dayah, Aja, Deena, Kak Azie dan Ayu yg tidak lelah mendengar keluhan saya yg muncul tiba2. Rakan2 lama, Izs dan Azit yang kadangkala bertemuan dan bersapaan menceritakan letak duduk perkara, berkongsi semangat, impian dan cita2. Liana Mohamad; kawan UIA yang acapkali hadir bertanya khabar, Kak Yan (kakak angkat tersayang) yang sering saja positif dalam memberikan pandangan, kawan2 healthcare; Rahah, Fazli dan Mdm Chandrika yg mengetahui dari awal lagi, saudara mara yg girang menerima berita dan semua yg sudi bersama saya berjuang di medan penuh getir ini

Istimewanya tentulah cinta hati saya yg maklum siapa dia, yang dengan air mata kadangkala menahan perit di hati apabila saya merampus2 ketika keletihan, terlanjur meninggi suara apabila marah yg sebetulnya buat pegawai kerajaan tidak dapat saya zahirkan. Beliau yang begitu sabar memegang tangan saya walaupun sebelah lagi tangannya sudah ada sejuta perkara yang perlu dipegang juga. Ya, beliau yang sebetulnya senantiasa bersama-sama dengan saya walau apa pun yang datang memisah. Hubungan akrab yang tidak bersyarat lagi bernama. Wahai, sejujurnya perjalanan ini tidak mudah. Lagi2 di mata saya

Dan tentulah sebesar2 penghargaan buat kedua ibubapa saya. Yang meneladani kehidupan ini dengan bijak dan penuh hikmah. Sudi memberi dan secara tidak lansung 'menerima' saya walau apa pun bentuk rupa dan kelaianan yang tercipta. Jujur, tiada ucapan terima kasih yang mencukupi untuk keduanya. Semoga hari tua mereka akan ada saya. Ya, saya yang pasti 'tidak akan ke mana2' sampai saat dicabut nyawa

 
Ayah dan bonda, untuk kalian saya doakan syurga.
 
Dan kesyukuran yang tak terhingga untuk Allah yg membuka ruang, menunjuk jalan, memberi cara menambah iman dengan pengalaman. Sungguh Besar Kamu di mata saya, ya Tuhan..
 
Sekian rasanya untuk kali ini. Akan saya menulis lagi sebelum berangkat nanti, insyaAllah. Terima kasih buat rakan2 blogger yang datang menyinggah, dan ampunkan saya atas kesepian yang berpanjangan. Maafkan saya juga bagi rakan2 yang berhubung dan bertanya mengenai khidmat fotografi yang telah saya hentikan. Mungkin akan disambung semula nanti. Nanti................... Jika ada umur dan keizinan Tuhan
 
Terima kasih banyak semua pembaca. Untuk kalian saya doakan bahagia
 
Jumpa lagi ;)

Thursday, August 01, 2013

Saya malu kerana sudah lama tidak menulis

Ya, seperti yang tertera di tajuk itu, saya benar2 terasa malu. Malu dengan diri sendiri kerana suatu masa dulu saya pernah mengaku bahawa saya ini adalah seorang blogger tegar. Namun sekarang, dalam kekangan masa, saya juga seakan-akan hilang jatidiri. Kemahuan dan kemampuan menulis saya telah merosot dan jatuh begitu jauh sekali. Purata entri yang saya postkan di dalam laman ini semakin lama semakin kecil angkanya. Jujur, saya tidak mahu ini berterusan. Saya mahu menulis untuk saya dan untuk anda

Sekurang-kurangnya itulah matlamat saya

Apa khabar agaknya rakan2 blogger dan rakan2 pembaca di luar sana. Pastinya sedang tekun menghabiskan minggu akhir bulan Ramadan dengan mempertingkatkan amalan, disamping membuat persedian menuju lebaran. Saya juga tidak lepas dari hal yang sama, malahan mungkin disesakkan dengan pertambahan hal2 lain pula

BERHENTI

Ya, officially I have resigned. Kerjaya saya di Masterskill sudah tamat, alhamdulillah. Saya keluar dengan penuh rasa bangga dan berterima kasih, jujur dan molek seperti mana saat saya diterima masuk juga. Terima kasih banyak kepada company yang telah memberikan banyak didikan dan pengalaman sepanjang hampir enam tahun saya di institusi tersebut. Jatuh bangun yang menekan perasaan, peperangan diri yang tidak berkesudahan, kecintaan yang lahir untuk pengajaran serta pembelajaran, anak2 murid yang telah saya kongsikan kepada mereka segala pesanan, ilmu dan pengalaman, saya cuma mampu berdoa, keberkatan Allah Taala jualah untuk saya di akhirat, tempat akhir berkumpulnya insan. Semoaga sedikit sebanyak kehadiran saya di Masterskill telah memanfaatkan banyak pihak, mudah-mudahan

BTN

Secara amnya, saya kini menulis di dalam masa2 senggang di dalam kursus BTN yang diadakan di Jalan Bellamy Kuala Lumpur. Walaupun dalam kata lainnya, kursus ini adalah satu kewajipan yang seakan-akan 'paksaan' (takkan ada siapa yang rela pergi kursus 5 hari 4 malam bulan2 puasa ni), namun dipertengahannya saya bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah untuk belajar mengenali dan menghargai tanah air sendiri, bukan setakat luaran malah dalamannya. Belajar serba sedikit tentang perundangan dan perlembagaan yang seakan-akan 'dry' pada mulanya, namun semakin lama semakin asyik pula. Tak apa kalau orang lain tak cinta negara mereka, saya cinta negara saya. Dulu, kini dan selamanya!

MASA DEPAN

Akan saya khabarkan kepada rakan2 pembaca bila tiba masanya. Sekarang ini masih berperangan dengan proses yang jerih, perit dan memakan masa, duit lagi tenaga. Namun jalannya sudah nampak, hujungnya saja masih belum dapat dijejak. Onak dan duri itu sudah satu kepastian yang takkan mungkin mampu dielak. Namun insyalah, dengan izin Allah Ta'ala, Tuhan yang menulis lagi mengawal segala titik perubahan dalam hidup kita, saya hanya berharap dan berdoa yang baik2 dan molek2 saja. Untuk menceritakannya sekarang, saya bimbang akan kalau2 ada aral yang melintang. Jadi eloklah saya tangguhkan saja, dan bercadang berkongsi kegembiraan dan keterujaan tersebut bila benar2 ia sudah boleh dikongsi dan dirai. Doakan saya

RAYA

Masih belum membuat walau satu pun persediaan. Mungkin sekali tahun ini berhari raya dengan baju yang tahun lepas saja. Tidak menjadi masalah. Eidulfitri adalah hari fitrah. Hari hati menjadi baru, diri menjadi jitu dan iman menjadi padu. Baju, kasut tidak semestinya baru. Namun kalau ada kesempatan mencarinya nanti, tidak jugalah saya akan menarik diri. Duit gaji terakhir pun masih belum disentuh dek kursus yang perlu dihadiri. Insyallah, tiada masalah yang meruncing di situ. Segalanya masih terkawal

Ya, itu saja sepanjang kesepian saya dari laman ini hampir sebulan juga. Mahu menyentuh tentang banyak perkara, tentang Alvin dan Vivian yang durhaka, tentang agama yang kini sering dan mudah pula dipersenda, ingin menulis tentang kisah2 hidup yang sesuai untuk dicerna minda, ingin menulis kepada sahabat lama saya yang di alam sana, ingin menyentuh tentang kisah putri2nya, namun itu lah, masa menghad dan menambah keterbatasan saya

Insyallah bertemu lagi dalam entri yang akan datang, mudah-mudahan. Untuk rakan2 semua saya ucapkan selamat meneruskan ketekunan ibadah dalam Ramadan, dan jika tidak sempat bersama sebelum menjelang syawal, dengan izin saya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan. Selamat Hari Raya Eidulfitri. Maaf Zahir dan Batin

Salam sayang :)

Tuesday, July 02, 2013

Apa Guna??!!

Entri sinis ini khas untuk badan2, organisasi2 dan individu2 yang secara amnya berkhidmat untuk orang ramai. Khusunya di NEGARA KITA, MALAYSIA

Apa guna emel yang anda berikan jika emel tersebut TIDAK MAMPU anda gunakan? Kita bukan hidup zaman mesin taip dan surat, yang nak kene pergi kedai beli sampul, pergi pejabat pos; beratur beli setem dan makan tiga empat hari baru sampai. Kita hidup zaman Blackberry, Samsung Galaxy, IPhone kejadahnya semua tu. Semua emel boleh terus masuk ke telefon bimbit anda yang canggih itu walaupun tatkala anda sedang tidur, makan, bersukan, bersenam atau berurusan dengan tandas.

Jadi apakah yang menjadi kesukaran kepada anda untuk memberikan respon terhadap emel2 yang dikirim orang ramai? Kalau tak penting, orang tak kirim emel. Jadinya, bila saya mengirim emel, emel itu tentulah sesuatu yang amat penting bagi pengirimnya tak kira lah siapa.

Dan kalau anda malas sangat, tak boleh ke anda programkan emel tersebut ke auto reply, menyatakan yang anda sedang bercuti, sedang honeymoon dengan laki atau sedang out-station ke luar negara, berjalan di tempat yang indah2 yang disponsor oleh organisasi anda yang gemilang itu, dan anda akan menghubungi pengirimnya pada sekian2 haribulan. Tak boleh kah? Susah sangatkah? Atau anda sebenarnya memang buta IT? Kalau anda buta IT, kenapa anda dapat menjadi pegawai besar di organisasi tersohor itu?

Bukan ke memang terbukti yang bermasalah adalah SIKAP anda?

Kalau ikutkan hati saya, saya mahu je mewarwarkan nama organisasi anda dan nama anda sekali di sini. Namun saya masih lagi mempunyai budi bicara dan keprihatinan yang tinggi. Sebab saya bukan anda.

Beza kita dengan mereka

Kalian pernah berurusan dengan badan2, organisasi2 dan individu yang luar dari Malaysia, khususnya di negara2 maju seperti Amerika dan Eropah? Jika anda pernah, anda akan berlayar di atas kapal yang sama dengan saya.

Cara kerja mereka sistematik. Mereka menghormati manusia tak kira siapa. Mereka tidak pernah meremehkan anda walaupun adakalanya pertanyaan dan emel yang anda tanyakan itu seakan2 tidak berapa penting, tapi mereka tetap layan dengan adil, hemah dan jujur!

Mereka tidak suka dipanggil dengan gelaran Yang dipertuan, Yang berhormat, Yang berbahagia Datuk Datin Ampuan Besar kejadah semua tu. Panggil saja dengan nama mereka. Dan mereka tetap layan anda seperti raja. Dan yang pentingnya, mereka juga tak dapat sesen apa pun. Mereka bukan buat baik demi duit. Tapi orang kita memang nak kene bagi duit baru baik! Sangat bodoh dan dangkal peribadi anda. Dan terlalu saya membencinya.

Saya mengerti bahawa badan yang anda pelopori itu bukan calang2. Ramai orang yang berurusan dengan anda jadinya saya perlulah senantiasa bersabar. Tapi janganlah anda lupa, there's a thin line between patience and foolishness. Kalau memang nyata anda pekerja yang culas dan tidak berintegriti, perlukah saya bersabar juga dengan peribadi anda yang bodoh itu??

Telefon

Terdapat lima talian yang anda war-war kan dalam laman sesawang anda yang sangat lawa itu. Namun kelima-lima talian tidak pernah berjawab. Saya membuat panggilan direct ke nombor pejabat anda sendiri pun masih tidak berjawab. Saya menelefon anda setiap hari dari jam 9 pagi sampai 4.30 petang dan cuma berhenti pada waktu tengahari kerana saya pasti, anda akan keluar makan sebelum waktunya dan cuma akan balik selepas setengah jam bermula waktu kerja. Saya masih boleh mengerti tentang keperluan harian anda, jadi tidakkah anda mahu mengerti tentang keperluan orang lain pula?

Jika anda tidak mahu dihubungi, maka jangan berikan nombor2 tersebut. Manusia menghubungi anda dengan seribu satu pertanyaan dan harapan. Apakah layak anda membunuh harapan mereka???

Kaunter

Setelah kedua-dua cara di atas tidak mendapat maklum balas yang wajar, saya yang wajar ini telah beberapa kali bermuhasabah dan berusaha menjejakkan kaki ke kaunter anda yang sangat lawa dan ber'aircond sejuk itu. Berjumpa dengan kerani2 anda yang duduk sopan di hadapan kaunter lalu bertanyakan mengenai kemaslahatan saya. Namun dah nama pun mereka kerani, apa lah yang mereka tahu tentang kegiatan orang2 atasan seperti anda.

Nak salahkan mereka pun saya serba salah. lain kali kalau anda tak mahu berurusan dengan orang, pastikan ada orang lain yang mampu membuat kerja2 anda. Berinteraksi lah dengan kerani2 anda itu. Apa guna mulut yang Tuhan berikan?

Apabila mereka tidak dapat menjawab persoalan saya, maka saya terpaksa juga berjumpa dengan anda, namun anda tidak pernah ada. Lalu di manakah anda?? Dan jikalau pun anda ada, saya perlu membuat beberapa proses temujanji yang rumit dan payah, lalu terpaksa datang kembali pada hari yang lain pula semata-mata mahu bertanyakan anda pertanyaan yang boleh saya tanyakan dalam emel yang tidak anda respon itu dan dalam talian telefon yang tidak pernah anda jawab. Kalau datang untuk sign agreement nak dapat berjuta2 dan berbilion2, takpe jugak. Appointment semata2 nak tanya soalan. Kejadahnya!!

Apa yang menghalang saya untuk merusuh di pejabat anda sekarang ini hanya dua perkara. Agama dan akal. Saya masih beragama dan nyata masih berakal.

Sesungguhnya di saat2 ini, saya amat berharap semua yang bekerja di kaunter dan khidmat pelanggan, semua pegawai2 atasan yang di tangan mereka terletaknya segala keputusan, akan sekurang2nya berfikiran seperti saya.

Balaslah emel anda. Layanlah manusia dengan adil dan berhemah. Jawablah telefon anda jika berdering. Ingatlah setiap butir nasi yang anda makan adalah dari gaji anda yang beribu2 itu. Dan gaji itu dibayar untuk segala tugas anda sebagai sekian2 jawatan. Maka bekerjalah

Dan akhir sekali tolonglah berubah. Tolong berubah demi masa depan negara. Sesungguhnya kita akan terkebelakang dengan sikap seperti ini. Patutlah kita tak pernah dapat EMAS dalam olimpik. Macamana lembab kita bersukan, macamtu lembabnya kita bekerja, macamtu jugak lembabnya kita berfikir bertindak dan memberi respon. Dan yang paling menyedihkan, kita ingat kita betul. Kita ingat kita hebat. Kita ingat kita cerdik. Kita ingat kita cekap. Kita ingat kita gemilang. Tapi sebenanrnya TIDAK.

So pathetic!

Monday, June 17, 2013

Seribu satu

Saya ada seribu satu kerja yang perlu saya selesaikan dalam jangka masa tertentu. Sibuk, sesak, perit, getir, penat, tekanan, segala benda ada.

Apa pun tetap saya bersyukur.

"Jika kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan"

Ok, sinis. Sinis dan sentap. But thanks. Kata2 semangat macamtu yg saya perlukan saat2 hampir nak give up macamni. Terima kasih Imam Syafi'e.

Tabah

Sabar

Tekad

Usaha

Cepat!

Hoho... Padanlah semua kalau dah sampai sana berjalan tak cukup kaki. Lepas geram. Tunggu la. Tunggu je la saya sampai sana nanti.. (Hahahaha - gelak untuk menyenangkan hati sendiri)

***

Ada 30 billion urusan lagi dengan pihak kerajaan. Mati~

Wednesday, May 29, 2013

Cuti-cuti - Pulau Redang

Okay. Ini memang entri segar dari ladang. Sangat beriya saya nak post dalam blog ni untuk dikongsikan dengan semua. Memang segar sebab baru semalam saya balik dari Terengganu. Sun burned kat muka saya pun masih jelas. Jujur, saya sedikit hitam. Takpe, hitam2 si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis. Cewah!

Saya ke Pulau Redang sempena cuti sekolah. Dan of course lah mengembara dengan keluarga tercinta. Syukur alhamdulillah diberikan kesempatan ke sebuah lagi pulau di Pantai Timur ni. Saya sudahpun ke Perhentian beberapa tahun dulu, ke Pulau Sibu sewaktu masih menuntut di universiti, ke Tioman pun pernah dan sekarang ini dapat merasa snorkeling di Redang pula.

Ok layan gambar je lah ye.


Ini lah Redang. Perjalanan dari Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu ke Pulau Redang memakan masa lebih kurang satu jam setengah. Lama woo. Tapi apa susah, dalam feri tu tidur aje lah. Feri nya pun ada air cond.  Kalau nak membuang2 pandang pun bukan ada apa. Konfem memang laut luar tingkap tu.


Sesampai je, disebabkan tidak disediakan jeti untuk memelihara pantai, dan feri tak boleh berlabuh kat perairan yang cetek, semua penumpang perlu transit ke bot pengangkut ni. Bot ni yang akan bawak sampai ke persisiran pantai. Thrill jugak lah nak transfer dari feri ke bot ni. Lagi yang dengan bagasi bagai kan. Sebabtu saya syorkan travel light kalau ke tempat2 macamni.


Dan bila dah selamat sampai di Redang, memang terpukau lah dengan pemandangannya yang menawan. Biru, hijau, aqua... Subhanallah.. Memang indah. Selalu duduk KL asek tengok kaler kelabu ngan hitam je. So bila mata dapat menangkap kaler lain, otak pun serta merta jadi segar. Memang terbaekk.


Yang paling hujung dan lawa ni adalah Laguna Redang. Saya haruslah tak duduk sini sebab mahal. Kami amek pakej 3 hari 2 malam di Redang Lagoon. Cuti sekolah ni harganya menjadi RM340/seorang. Ok lah tu. All inclusive. Bilik dengan 2 katil queen yg selesa untuk berlima, sarapan x3, makan tengahari x2, minum petang x2, dinner x2 (1 bbq), pengangkutan bot untuk ke tempat2 snorkeling, tiket masuk ke Taman Laut Redang dan tiket feri pergi dan balik. Sumpah berbaloi

Tapi kalau nak duduk Laguna pun boleh. Lagi mahal la tapinya. Sorang  RM7/800 la kot. Kalau ada duit apa salah.. Kalau nak tau lebih lanjut tentang pakej, google je k. Konfem keluar.


Ini pemandangan dari atas bukit, betul2 depan chalet tempat saya menginap. Lawa kan? Bukan Maldives ok. Ini masih di dalam Malaysia. Haa ingat hape, negara kita tak cukup cantik ke?


Hari memang panas terik. Tapi terik2 pun snorkeling aje lah. Apa kesah. Hitam2 sikit pun takpe. Bukan luak mana. Sebulan duk KL, memerap dalam opis beraircond nanti cerah lah balik. Hehehe


Tersangatlah jernih airnya. Macam dalam kolam. Yang buat lagi cantik dan menarik ialah sebab ombaknya tak ganas sangat. Pukul2 manja gitu. Aman dan tenteram.


Dari atas bot, nak pergi ke Taman Laut. Sekali pandang, macam tak yakin yang saya ni betul ke berada di dunia. Lawa sangat lah pemandangannya. Macamanalah agaknya syurga nanti kan? Tak terkata


Taman laut yang dijaga rapi. Ikan2 yg sangat banyak dan jinak2 belaka. Bagus kalau datang, bawak roti. Nanti sambil menyelam boleh bagi ikan makan.



Macam2 ikan ada. Yang takde nya kamera dalam air je. So tak dapat lah nak tangkap gambar dalam air tu. Semahal2 kamera DSLR ni, ada jugak kelemahannya. So target saya lepasni adalah untuk memiliki sebuah underwater kamera. So kalau lepasni pergi snorkeling, boleh tangkap gambar ikan.


Bersungguh2 adik2 dan ayah saya bagi ikan makan. Tapi kene bertenang. Jangan gelojoh dan terkejut2. Nanti ikannya lari. Memang lah sebenarnya kalau diikutkan, ikan2 tu yang gelojoh. Tak menyempat2. Jari kita pun dicium2 nak gigit ingat roti.

Kebanyakan pakej yang ditawarkan dah siap dengan itinerary. So follow je la mana dorang bawak. jangan bimbang, walaupun penuh dengan aktiviti, masih banyak masa 'persendirian' yang diperuntukan. Boleh buat aktiviti bebas dengan keluarga


Selain dari Taman Laut, ada jugak bebarapa tempat lagi yang mereka akan bawak untuk snorkeling. Boleh la tengok coral2 yang menawan walaupun takde lah secantik di negara luar. Tapi kira boleh laa.. Tetap lawa


Ni redang di waktu malam. Banyak je aktiviti karaoke, pakej makan malam bersama hiburan dan macam2 lah. Nak lelepak tepi pantai amek2 angin je pun boleh. Kalau datang honeymoon memang lah bahagia. Eh. Hahaha
...........................................................

Matahari terbit sekitar jam enam lebih. Sebelum pukul tujuh lah. Memang menawan.


Ni hari kedua saya di Redang. Mataharinya menyorok belakang awan. Malu2 konon. Tapi tetap memukau.


Ni pun sama. Sebenarnya time ni saya dah terlambat sikit sebab pergi sarapan dulu. Maklumlah kelaparan. Berenang-renang ni cepat terasa lapar. Entahlah kenapa. So bila pergi makan, missed la time yg cantik tu. Datang2 je, matahari dah naik pun.


Haaa... Yang ni baru ok. Ini pagi last sebelum balik KL. Setelah saya belajar dari kesilapan, so awal2 pagi lepas subuh saya dah tercongok tunggu matahari.


Disebabkan bukan datang buat fotoshoot, terpaksalah saya curi2 gambar orang. Sangat sesuai lah untuk orang yang berkasih-kasihan. Laki bini nak sambut ulangtahun perkahwinan ke. Nak honeymoon ke. Tak kesah lah. Kalau nak datang saja2 tanpa sebab pun ok je. Takde sape larang


Subhanallah.. Kali ni matahari tak menyorok di sebalik awan lagi. Stunning! Paduan warna antara jingga dan biru tu betul2 memukau. Takde edit ok ni. Real life event.



Buai yang disediakan pihak chalet khas untuk pengunjung. Oh, bila dapat lepak kat buai tu sambil didodoi angin yang sepoi2 bahasa, sumpah kau akan terasa menyampah nak balik KL. Heaven gila kehidupan macamni. Syukur...

..........................................................

Sebagai penutup, syukur alhamdulillah diberikan kesempatan sebegini hebat oleh Allah Taala. Terasa banyak yang perlu saya syukurkan dengan segala nikmat yg dipinjamkanNya.

Mak ayah yang baik dan penyayang, yang tak kedekut duit dan masa untuk anak2, keluarga yang adventure dan sukakan pengembaraan, kerja yang memudahkan untuk ambil cuti dan sebagainya, diri yang sihat untuk mentadabbur alam, akal yang waras dan mampu menilai serta menghargai keindahan, ilmu dan pengalaman yang mampu disebar dan dikongsikan. Wahhh... Memang banyak sangat nikmat yg wajib disyukuri

So, sekian itulah percutian saya di Redang. Ada banyak sangat gambar dan saya rasa cukuplah sekadarnya yang saya kongsikan. Dan last sekali, saya nak kongsikan beberapa tips yg berguna.

1) Kalau nak bercuti kat tempat2 macamni, sila rancang perjalanan anda. Rancang awal2, book awal2 dan search sikit apa2 yang patut. Jangan sekali2 bercadang nak 'walk in' je. Memang haruslah kau balik semula KL dengan tangan kosong. 

2) Travel light. Dalam erti kata lain, tak payah nak berbagasi2 sangat. Bawak lah baju dan kelengkapan seadanya. Sebab tempat2 macamni kene datang naik feri atau bot. So mesti susah kalau nak sorong2 beg roda bagai. Tapi jangan bagi alasan ada anak kecik so tak boleh berjalan. Itu statement yg paling dangkal sy pernah dengar. Kalau kau sendiri malas dan kedekut, jangan salahkan anak.

3) Bawak lah roti2 dan biskut untuk sape yang suka kudap2 tu. Sebab standard lah tempat2 macamni, barang2 kat kedainya agak mahal. So, be smart.

4) Kalau memang minat ambil gambar, sediakan kamera underwater atau beli je lah casing yang kalis air tu. Kelengkapan snorkel boleh disewa di chalet tempat menginap, so jangan risau.

5) Jagalah kebersihan tempat kita duduk tu. Kalau kat pantai, jangan buang sampah merata-rata. Macamana kita jaga rumah kita, macamtu lah kita jaga tempat orang. Bukan kita je yang nak datang, lain kali org lain pun nak merasa. Tapi kalau keje kita memunah je, orang lain nak dapat apa? So silalah cerdik dan terdidik.

6) Balik jangan lupa beli ole2 untuk saudara-mara dan kawan2. Insha Allah berkat dan lagi jauh nanti Tuhan bagi berjalan. Hehe mudah-mudahan.

................................................

Ok, tu je la kot dari saya. Selamat bercuti dan jom sama2 mensyukuri nikmatNya :))

p/s : Maxis punya coverage sangat perfect okeh di Redang. 3G. Boleh berinstagram dgn leluasa

..............................................................

Edited 2014 : sekarang saya sudah menetap di London. Betapa saya rindukan negara saya dan tanahnya yang indah ini.. Sobs T_T