Sudah sepuluh tahun.Sepuluh tahun yang sebenarnya banyak yang tak tertulis dari yang tertulis. Sepuluh tahun usia ceritera yang pernah saya coretkan dengan hati dan penuh hati-hati. 10 tahun pensejarahan. 10 tahun kenangan. 10 tahun liku kehidupan.
Kesal. ya saya kesal. Kesal kerana tidak mampu bertahan dalam penulisan. Walau saya tahu pentingnya penulisan dalam sejarah hidup manusia. Saya tahu penting kerana saya cikgu sejarah. Ya, belajar sains dan terpaksa mengajar sejarah. Apa salahnya. Cikgu yang baik boleh mengajar apa saja dengan baik.
Kejap,
Cikgu?
Ya, cikgu. Cikgu sekolah menengah. Dan ini tahun kedua. Tahun pengakhiran. Sebelum mungkin kembali berkelana. Orang macam saya tak pernah kekal dengan satu-satu pekerjaan. Saya sendiri musykil apa yang saya cari dalam hidup. Mungkin saya cari Tuhan.
***
Terlalu banyak yang berlaku di tahun 2015. Tidak terungkapkan. Setelah kembali dari London dan mengajar di ceruk kampung, saya tidak pasti perasaan saya.
"Ini negara saya?". "Begini negara saya?" terngiang-ngiang suara hati sendiri.
Saya melangkah ke sekolah di hujung kuala itu dengan tekad. Saya suka mendidik. Saya mahu membimbing. Namun hari pertama saya dikejutkan dengan pelajar tingkatan dua yang masih tidak boleh membaca. Bukan bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia! Ya, tingkatan dua dan masih tidak boleh membaca. Bukan pendidkan khas. Bukan kelas peralihan.
Satu satu saya ajarkan. S. A. bunyinya 'sa'. Y. A. bunyinya 'ya'. 'SAYA'. Pelajar itu mengikuti. Sudah 14 tahun hidup. 8 tahun persekolahan jika ditambah sekolah tadika. Hasilnya zero. Kosong.
Saya senyum. Lagi sekali saya bertanya dalam diri, Betulkan ini negara saya?
8 tahun terbiar. LAPAN tahun ketinggalan. Saya hembus nafas perlahan.
Kesal.
Mengajar bahasa Inggeris dan sejarah dalam persekitaran yang begini bukan kerja mudah. Sehingga hilang denyut2 penulisan saya ditelan kepenatan dan kelelahan. Orang selalu kata kerja cikgu senang. Orang tipu. Orang cakap begitu sebab orang tak tahu. Kalau orang tahu betapa peritnya, orang takkan cakap apa-apa.
***
Bila berkesempatan, saya kunjungi rumah pelajar. Berjumpa ibubapa mereka. Ada yang jadi nelayan. Ada yang kerja kebun. Ada yang berniaga. Buat mee, buat telur masin, buat ikan masin, meniaga roti canai dan pau. Ya, bila saya kata berniaga jangan bayangkan bussinessman dengan kereta BMW. Itu semua bukan di sini. Bukan.
Saya datang ke rumah. Bersembang kosong. Bertanya itu ini. Sampaikan serba sedikit cendera hati. Ada yang susah. Ada yang sedikit lapang. Itu semua bukan soalnya. Rezeki Tuhan maha luas. Jika bukan begini, pasti begitu. Saya senyum. Bangga tengok ibubapa yang dengan gaji 400 masih mampu besarkan anak 6 orang. Lagi bangga jika ramai yang menjadi. Ibubapa yang berdisiplin, akan menghasilkan anak2 yang berdidiplin dan elok peribadi. Sangat betul 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'. Pandai orang buat perumpamaan.
Sekolah bagi bantuan. Bayaran zakat pun ada lebih kurang. Bantuan sampai, jangan kata tak sampai. Cuma mungkin shot di mana2. Lalu saya fikir bantuan kewangan boleh membantu hanya takat mana? Takat mana? Saya perlu bantu orang-orang ini melalui anak-anak mereka. Bila anak mereka berjaya, sosioekonomi mereka berubah. Ekonomi berubah, hidup mereka berubah. Walupun bukan hari ini, insyallah satu hari nanti.
Saya cuba.
***
Kerana terlalu sibuk memikir hal orang lain, saya lupa hal diri saya. Lupa menulis. Lupa membaca. Syukur masih tidak lupa berjalan. Saya telah ke Beijing dan Turki di tahun 2015. Alhamdulillah. Banyak ilmu baru yang saya perolehi. Gambar pun cantik2. Tembok besar cina, Hagia Sofea, semua menarik. Tunggulah, kalau berkesempatan akan saya kongsikan nanti.
***
2015 juga dikejutkan dengan post facebook saya yang menjadi viral. 40 ribu perkongsian. Disebabkan ekaun saya itu protected, tidak ramai yang boleh like atau komen. Friend request naik mendadak sampai kene blocked. Private message bertali arus. Saya abaikan kesemuanya. Tak kuasa melayan
Sekadar gambar buah pisang, epal dan kinder bueno dari London yang berharga murah. Sekadar luahan peribadi yang saya tulis sebelum melelapkan mata. Sekadar kekesalan kepada sara hidup negara kita yang amat tinggi dan membebankan. Lalu saya bezakan waktu saya di London dulu. Sekadar itu mampu menceramukkan jiwa. Gila! Sudahlah penat membanting tulang mendidik anak bangsa, ada pulak yang mengutuk cakap saya tak sayang negara hanya kerana pemikiran saya tak sehaluan dengan mereka. Memang gila!
Saya? Tak sayang negara?
Kalau tak sayang saya tak pulang. Kalau tak sayang, saya tak mengajar di hujung kuala ni. Bermain lumpur semak. Teman anak-anak kampung. Menasihati mereka, membantu, menolong.
Ah netizen..
***
Tahun ini tahun terakhir saya di sini. Mungin. Saya tidak pasti apa yang saya mahu lakukan selepas ini. Entah. Belum terfikir lagi. Biar sekadar dibawa kaki dan ditunjuk hati. Saya tak runsing tentang hal itu. Biarkan dulu.
Saya cuma doa yang baik2 saja.
***
Dan kini 2016. Setelah sepuluh tahun blog ini saya hasilkan, saya kembali ke sini. Melihat-lihat laman usang buruk. Tempat yang suatu waktu dulu dijaga rapi dan elok. Amat pantas masa berlalu namun saya masih begitu. Masih meniti hari2 mendatang dengan semangat dan iltizam. Saya yang berbeza dari orang lain. Unik dan tersendiri.
Saya belum berkahwin. 32 tahun. Masih belum berkahwin. Tiada masalah. Bahagia bukan terletak pada perkahwinan. Bahagia ada dalam rahmat Tuhan sekalian alam. Yang Ia beri kepada semua tak kira yang dah kahwin atau masih bujang. Yang sudah berjalan atau masih dalam buaian. Yang miskin atau kaya, semua berpeluang dirahmati dan diberkati seluruh kehidupan. Jadi apa dirisaukan..
Sampai ini dulu untuk kali ini. Di sini saya postkan gambar2 sekitar tahun 2015 tempoh hari. Terima kasih kerana masih sudi membaca. Semoga bila lapang nanti saya akan terus menulis pula. Kalau masih ada rezeki dan usia..
kuala yang damai
belakang rumah sewa saya
tempat mencari rezeki
anak-anak budiman
semoga besar menjadi insan pilihan
ke Beijing sekitar Jun 2015
Sempat menyaksikan tembok besar Cina yang mengasyikkan sebelum menutup mata
ke Hatyai bersama rakan2 seperjuangan
Reclining Budha di Thailand
Hagia Sofea yang menawan
Blue Mosque yang popular dan selalu disebut-sebut itu
Interior di dalam Blue Mosque
-
-
-
dan
Gambar yang menjadi buah mulut rakyat Malaysia.
Semoga bermanfaat keseluruhannya. Maaf di atas khilaf dan dosa. Salam sayang
Tini Omar