Wednesday, March 14, 2007

Sekalung tahniah buat Us

Baru sebentar tadi sms itu aku terima dari Us. Us bertanya khabar dan menyatakan kemaafannya kerana lambat mengucapkan selamat hari lahir padaku. Ah, Us.. Sudah ingat ini pun, satu rahmat yang maha hebat. Terima kasih aku ucapkan. Us juga menyatakan khabar gembira bahawa beliau akan mula mengajar di Negeri Sembilan hujung bulan ini. Tahniah Us. Penantianmu yang berdekad lama telah sampai ke hujungnya. Alhamdulillah, sekilas ku ucapkan syukur ke hadrat yang Esa.

Telah lama Us mengimpikan untuk menjadi seorang pengajar yang 'berdaftar' dan ditauliahkan. Telah lama Us simpan hasrat untuk dirinya dipanggil dengan panggilan guru, ataupun cikgu. Nah sekarang, impian itu bakal pula menjadi kenyataan. Us memang sajak dengan panggilan cikgu itu. Terbayang aku mulut2 mongel yang akan asyik memanggil us dengan panggilan cikgu. Seperti aku jua yang dulu2..(senyum)

Jangan lupa kenangan kita Us. Jadilah guru penyayang yang sabar dan tabah dalam setiap dugaan. Mengajar di zaman ini penuh dengan duri dan cubaan. Bukan lagi bagai zaman kita dulu; segalanya indah dan mengujakan. Aku pasti, Us bisa jadi guru hebat yang dikenang pelajar sepanjang hayat. Seperti aku juga. Pelajar yang tak pernah melupakannya.

Tahniah sekali lagi kukalungkan buatmu Us. Berita gembira ini aku sambut dengan doa moga hidupmu penuh barakah. Janganlah us bimbang, kerjaya gurumu ini pasti pula membantumu di alam sana nanti. Bukakankah amal yang berterusan waima nyawa bercerai badan adalah ilmu yang dimanfaatkan?? Ya.... Mungkin tak kaya di dunia, tapi di akhirat sana sahamnya berlipat ganda. Syabas Us.. moga berjaya dengan jayanya. Doakan aku jua jadi pendidik yang tak mengharap nama. Ameen Ya Allah

Tuesday, March 13, 2007

Pena tak bertinta

Ramainya penulis di luar sana. Terlalu ramai hingga tak terjamah mata membaca karya2 mereka. Tahu benarlah kita bahawa ramai di luar sana yang minat berkarya. Suka mengadun sarwaloka dan gurindam lara. Sesetengahnya penuh dengan ilmu dan santapan jiwa. Sesetengah lagi penuh dengan bakat dan kurnia anugerah. Ada juga yang menulis mengikut kehendak hati dan emosi. Malah ada juga yang suka berlawak jenaka dan berfantasi. Ramai… Dan banyak benar kita dengan limpahan ujana yang entah dibaca entahkan dilupa. Apa dibimbangkan.. menulis kan bukan untuk santapan manusia lain, melainkan untuk disantap dan dikenang diri sendiri. Namun ada juga getarannya bila mengetahui bahawa wacana kita disinggah pembaca. Getarannya kian terasa bilamana bicarawara yang tersedia diasak dengan entri2 yang mengharuskan kita untuk berkarya dengan lebih teliti dan terperinci. Bukan ikut hati. Ah tajamnya pena.. kan lebih tajam dari mata pedang yang elok buatannya.. Masakan kita lupa?

Ini senario dunia hari ini. Senario pena tanpa tinta nya. Semua boleh menulis, tiada siapa bisa menghalang. Semua boleh berkarya, tiada siapa boleh melarang. Menulis sekarang bagai menjamah makanan jua. Penuh variasi dan kepelbagaian seratanya. Jadi, seperti memilih mahu makan di mana, makanya begitu jualah untuk memilih bahan apakah yang mahu kita baca. Kebebasan yang ada pro dan kontranya. Iyalah.. Bila sudah banyak dengan lambakan permata, makanya tiada lagilah yang dirasakan istimewa. Semuanya sekadar biasa sahaja. Bagai kaca2 yang tak berharga. Kerana manusia sekarang lebih mementingkan nama dari kualiti karya yang dikarangnya. Asalkan ada sudahlah…

Banyak juga pena yang tidak bertinta di zaman kita. Bahan yang banyak tetapi tidak membawa kepada peningkatan kerohanian dan adab sopan, makanyalah akan menjadi penulisan yang disia-siakan. Ibarat menulis tetapi maksiat tetap tak mampu dikikis. Untuk apa dan untuk siapa? Kepuasan diri sendiri semata kah? Ah Tini.. Seperti kau jua mereka itu. Menulis dengan niat yang berbagai jua. Sesetengahnya diterima pembaca, sesetengah lagi dikritik dan dipalun segala. Itu perkara biasa. Lain padang, kan lain belalangnya..

Bolehkah aku dilabel sebagai penulis? Ah, sukar benar bagiku. Belum tiba dan belum pasti bila saatnya. Penulis itu bukan sekadar menulis dan berkarya. Setakat sekali dua dihantar dan tersiar di majalah, bukanlah cukup untuk menjadikan kita benar2 seorang penulis dan karyawan. Namun manusia sekarang merasa bangga bila karya mereka dicetak sini sana. Bangga nama mereka disebut2 mulut manusia. Namun input dalam karyanya? Perubahannya? Ilmu dan amalnya? Ada kah terpahat di mana2??? Belum pasti ada. Belum pasti tercapai objektifnya. Orang sekarang suka kepada banyaknya kuantiti, tapi seringkali lupa kepada pentingnya kualiti.

Aku menulis yang mesti dengan hati. Bilamana aku senang, gembira, letih dan tegang, aku takkan mampu berkarya. Ilhamku jarang hadir tatkala hatiku riang gembira. Jadi sukarlah hendaknya aku untuk menulis barang seperenggan dua tatkala keriangan itu datang menyinggah. Jadi aku fikir, aku takkan mampu menjadi penulis sepenuh masa. Mengharapkan makan dan minum dari pena yang diketuai akal dan ilham cuma. Aku takkan mampu.

Aku lebih suka menulis ketika aku ingin menulis. Blog ku yang sudah hampir setahun ini entah siapa yang singgah membacanya. Yang aku tahu pun, mungkin Nafastari. Kerana beliau kadangkala menyapaku dengan komen2 nya yang tersendiri. Yang lain mungkin Nyah, Ros merah dan Permatabonda. Tak pun Mai, Dilla dan Kak Sha, namun tak pernah mereka bersuara mengomen atau membantah. Mungkin Us juga sering menyinggah. Entah, aku tak tahu. Kenapa orang2 seperti Us tidak menulis?? Sayang.. jikalau benar Us menulis, hati sesiapa pun bisa terhakis..

Aku menulis kerana aku minat menulis. Aku menulis kerana aku mahu penulisanku membawa perubahan kepada JIWA2 yang membacanya. Seperti diriku jua.. yang berubah kerana termakannya jiwa oleh karya Aziz Afkar dan Hamka. Berubah kerana terpukaunya dengan kisah2 yang dibawa Talib Hassan dan Rahim Awang. Dan jatuh cinta pula pada ‘Ustaz’ yang dikarang S. Othman Kelantan. Itu aku. Aku mahu pembaca semua tahu. Bahawa aku dambakan keberkesanan jiwa dari sentuhan akal semata. Karya2 agung itulah yang telah menyentuh hatiku. Menyuntik semangatku untuk menulis yang entah untuk siapa. Sedikit tapi berisi. Pendek tapi berkualiti. Bukan tebal bagai tilam. Tapi isinya kosong dan kelam. Ah, menulis.. Biar sedikit dari tidak ada langsung. Namun biar tiada dari menulis yang rapu dan di permukaan cuma….. manakan mampu pembaca tiba di dasarnya.

Biarlah kita hidup dengan realiti dunia hari ini. Banyaknya bahan bacaan, namun jarang yang boleh menyentuh perasaan. Kerana menulis itu bukan lagi dengan pena dan kepayahannya. Yang tertulis itu bukan lagi dengan tinta yang hitam warna. Hitam bagai arang. Sekali terpalit, tak mungkin terpadam. Itu karya orang dulu2. Yang menangis merintih ketika berkarya. Yang tidak kaya raya dengan imbuhan honororiumnya. Sebelum kita membaca lantas berduka, air mata mereka juga telah banyak tumpah. Itulah penulis yang harus dibanggakan. Penulis yang menulis dengan pena dan tinta kehidupan.

******************************************

~ingat lagi aku rencana dua muka yang ditulis Rozilawati Abbas di majalah (aku lupa nama majalahnya). Indah dan penuh rasa. Aku baca sewaktu di tingkatan tiga. Namun memorinya tetap sirna tatkala kini usiaku menginjak dua puluh tiga. Namun di mana penulis itu sekarang?? Mungkin hilang tak dikenang orang… ah, sayang…

~aku ingat juga novel (bukan buku cerita) yang pertama kubaca- ‘Kuntum Kesedaran’ oleh Aziz Afkar. Aku baca seawal darjah tiga. Masih terlalu muda aku untuk menilai buruk baiknya..

~aku jua ingat sewaktu mataku basah meratapi rentetan kisah Haryati dan Zainudin dalam Tenggelamnya Kapal VDW karya Pak Hamka. Seminggu aku berendam air mata. Seperti aku yang bercinta lagaknya..

~dan tidak akan kulupakan ‘Hartini’ dan ‘Putik’ karya penulis kebanggaanku. Segalanya masih mekar dalam kenangan. Seminggu aku tak menjamah makanan. Diam lesu hidupku dihirup sendu dan kelukaan. Macamlah aku yang ditinggalkan…

~dan ‘Pelarian’ dan ‘Boneka’ dan ‘Ustaz’ dan ‘Imam’ dan ‘Salina’ dan ‘Donia’ dan banyak lagi yang semuanya bisa merubah prasangka dan akalku yang masih mentah. Moga bahagialah hendaknya mereka semua; penulis2nya……

p/s: ada buku yang kita baca untuk juadah minda, dan ada yang kita baca untuk juadah jiwa. Ada juga yang jadi petunjuk dalam beragama dan ada yang jadi bahan untuk ketawa gembira. Asalkan kita membaca, itu sudah cukup untuk menepati suruhan yang maha Esa… “Iqra’”- yakni 'bacalah!'

Friday, March 09, 2007

Siapa yang bersalah???

Suratkhabar Utusan itu aku selak-selak. Laju bebola mata membaca setiap baris kata yang tertulis. Dari muka depan, sampailah ke muka yang terakhir segalanya dijamah mata. Bisik2 Awang Selamat pun sempat kusinggah. Ah, Awang… Pandai sungguh memerli dengan kias2 nya yang tak menyakiti hati. Suratkhabar diselak lagi. Kali ini terpampang gambar seorang wanita. Mukanya ditundukkan. Dia bercermin mata, rambutnya diikat satu kebelakang. Wajahnya muram sekali. Tampak sekali keadaan nya yang seperti ‘tiada rasa’ di saat gambarnya diambil jurukamera. Tiada pun riak2 penjenayah yang dapat dilihat dari wajahnya. Sekiranya lah pun beliau tidak digari, beliau tak akan mampu kemana-mana. Alam yang luas ini baginya mungkin telah menjadi sempit sekali. Mungkin segalanya bagai mimpi yang hadir tatkala malam, yang akan lenyap di dinihari.

Di bahagian bawah gambar tersebut, terdapat satu gambar lain. Gambar itu gambar seorang lelaki. Dia kelihatan duduk di atas lantai sambil memegang kepalanya, atau lebih tepat lagi mencengkam rerambutnya. Matanya merah seakan menangis. Dari riak wajahnya dapat digambarkan penyesalan yang tak dapat diungkapkan. Kesal benar nampaknya pemuda itu. Sehingga terjelepuk jatuh menangisi nasib diri. Mungkin difikirannya tertanya-tanya, mengapa ini yang harus terjadi. Namun apalah lagi yang boleh dilakukannya selain membawa bersamanya memori hitam itu hingga ke hembusan nafas terakhir.

Itu lah yang aku baca pagi tadi. Sambungan kisah seorang ibu muda yang menjerut leher dua orang anaknya sehingga mati. Gambar ibu muda itu aku tenung lama, lalu aku memandang pula kepada gambar lelaki (suaminya) dibahagian bawah. Kutenung tanpa rasa jemu. Riak wajah kedua-duanya aku perhatikan dengan penuh rasa ingin tahu. Sungguh sayu. Apakah agaknya yang ada di dalam hati mereka saat itu. Apalah agaknya perasaan mereka tatkala menyedari segalanya telah berlaku.

Mari fikirkan sorotan kejadian ini dari awalnya. Dikatakan oleh akhbar bahawa segalanya bermula apabila ibu muda itu mengesyaki bahawa suaminya ada membuat hubungan sulit dengan wanita lain. Mungkin cemburu dan syak wasangka ini telah berlaku sekian lama. Dalam erti kata lain, apabila cemburu dan marah itu sampai ke kemuncaknya, perlu ada jalan untuk melepaskannya. Sebelum kejadian itu berlaku, sang isteri telah memberi pesanan ringkas (sms) kepada suaminya supaya segera pulang ke rumah. Jika tidak, beliau akan membunuh anak2 mereka. Nyata sekali pesanan itu berupa ugutan yang jika difikirkan dengan akal yang sihat dan waras, adalah amat2 mustahil untuk dilakukan. (Ceh, dia takkan berani buat punyer laa… Nak bunuk anak? Takkan sampai hati punya..) Mungkin ini yang akan difikirkan oleh orang2 seperti kita yang sihat akal dan fikirannya. Nyata ugutan itu bukan gurauan. Apabila sang suami pulang saja ke rumah, nyawa anak2nya telah bercerai dari badan. Bukan sampai tak pulang, sekadar pulang lewat. Samada sengaja lambat atau terlambat soalnya beliau telah lewat untuk pulang. Dan kelewatannya kali ini nyata membawa kepada penyesalan yang bukan kepalang.

Tidakkah lelaki itu terfikir bahawa isterinya di waktu itu benar2 marah kepadanya? Itu kali pertamakah beliau membuat ugutan yang sebegitu rupa? Aku pasti ia bukan kali pertama. Salah wanita itukah kerana tidak berjaya mengawal emosi dan kemarahannya? Atau salah suaminya yang memandang enteng kemarahan dan ugutan bunuh isterinya? Sekiranyalah isteri itu membunuh suaminya, cerita ini akan jadi biasa. Membunuh orang yang kita benci, sudah jadi lumrah. Namun kerana si isteri itu mebunuh anak2 yang tak berdosa, semata2 kerana kesalahan suaminya, cerita ini jadi luar biasa.

Di dalam psikologi terdapat keadaan di mana setiap manusia akan menggunakan kaedah pertahanan ego atau ego-defense mechanism. Mekanisme in lah yang membantu manusia untuk mengawal rasa keluh kesah dan sebagai jalan keluar untuk melampiaskan kemarahan mereka. Terdapat berbagai-bagai ego-defense dan salah satu daripadanya adalah “displacement”. Di dalam displacement, seseorang akan menukar arah kemarahannya kepada seorang yang lain apabila objek kemarahan beliau tidak dapat diakses. Selalunya, objek yang menjadi mangsa kemarahan adalah seseorang yang lebih muda atau rendah tingkat hidupnya. Sebagai contoh, seorang pekerja yang dimarahi oleh bos di pejabatnya, apabila pulang ke rumah akan pula memarahi anak2nya sebagai cara pertahanan ego beliau. Mudah kan? Dan selalu terjadi bukan?

Mungkin inilah yang berlaku kepada si isteri di atas. Disebabkan tidak dapat memarahi suaminya, maka kemarahannya ditujukan kepada anak2 yang tidak bersalah. Adilkah? Tentulah tidak adil. Salah sang isterikah? Tentu juga bukan 100%.

Suami yang baik adalah seorang suami yang menjaga kerukunan rumahtangganya. Yang memahami tingkah laku isterinya. Yang berjaya menangani segala masalah secara jujurnya. Seorang isteri yang baik pula adalah seorang isteri yang menjaga nama baik suaminya, yang mempercayai kehidupan suaminya dan menerima buruk baik suami dengan seadanya.

Jika lah si suami itu faham benar dengan isterinya yang ‘panas baran’, maka seeloknyalah si suami bersegera pulang ke rumah dan menelefon saudara mara dan jiran tetangga untuk menengok-nengokkan keadaan isterinya di rumah. Manalah tahu kalau2 ugutan itu bukan sekadar ugutan. Tetapi ini semua akan cuma terlintas di fikiran suami yang jujur dan ikhlas. Yang risau dan mengambil berat tentang isteri dan anak2nya. Ugutan bunuh yang diterima tatkala sedang ‘dilayan’ wanita lain, ah.. Manakan dihirau.. dan itulah yang mungkin terjadi.. ia tidak mustahil.

Dan jikalaulah si isteri itu mempercayai dan tidak mengesyakki suaminya dengan membuta tuli, maka sewajarnyalah beliau menunggu kepulangan suaminya yang beliau maklum, sebagai pemandu lori, pastilah berhadapan dengan ragam jalanraya yang berbagai jua. Jika terlambat 10/15 minit itu perkara biasalah. Namun ini juga tidak terlintas di fikiran si isteri kerana emosi dan perasaan cemburu telah jauh menguasai pertimbangan akal yang murni. Nah… jalan keluarnya… melepaskan geram pada objek yang sudah tentu2 ada, yakni anak2 di rumah. Tak dapat peha, betis pun boleh juga…

Cemburu itu wajar, kerana cemburu menyatakan rasa kasih dan sayang kita pada si dia. Tidak cemburu, tidak cintalah maknanya. Namun cemburu yang dikuasai hasad dan dengki, bisa saja dikepalai syaitan dan sekutunya. Jangan pula salahkan syaitan, kerana kita jua bagai mengajaknya berdamping sama. Ikhlas dan sayangilah yang hak sahaja. Ibubapa mu, ahli keluargamu, isteri dan suamimu.. malah tuhan dan rasulmu. Jangan pula mencari cinta dengan menambahkan tekanan yang telah tersedia. Bercinta dengan manusia lain yang bisa pula mencarikkan kanvas cinta kita yang telah lama terbina. Tidak salah beristeri dua, namun jika yang satu itu pun jarang terbela, tidak perlu lah menambah beban yang ada. Cinta di awalnya memang mudah dan leka. Namun di hujungnya penuh ranjau dan siksa. Jika perkara2 sebegini difikirkan lelaki dan perempuan, maka tidak ada lah manusia yang mencurangi pasangan mereka. Namun yang indah selalunya bagai teori cuma. Mudah dibaca, jarang dilaksana.

Jadi salah siapakah? Salah isteri, atau salah suamikah? Yang penting bukan salah anak2nya. Dan yang bersalah itu pasti kan dihukum jua. Samada di dunia, mahupun di alam sana. Sekarang ini, jika dapat dibuktikan bahawa si isteri berada dalam keadaan tidak sedar atau unconscious, makanya beliau akan di tahan di wad sakit jiwa. Tetapi jika dapat disabitkan kesalahnya membunuh anak2nya dengan niat, maka hukuman gantunglah jalan penyudah. Jika difikir, semua berbalik kepada si isteri. Anak2 terbunuh, diri sendiri tertuduh. Apakah keuntungan dan kerugian di pihak suami?? Jawapannya adalah PENYESALAN. Si isteri mahu memberikan penyesalan yang tak terungkapkan kepada suaminya. Yang mana penyesalan ini akan dibawa bersama-sama dengannya sehingga menjadi trauma yang menggila. Sesal yang tak sudah, rasa bersalah yang tidak akan reda. Itu lah wasiat terakhir dari isteri itu untuk suaminya. Biar mati dalam kecelaruan, jangan hidup dibayangi dosa2 yang ditanggung badan…... Mati, orang tak heran.. Hidup, orang tak layan..

Buat Hartini

Hartini,
Terimalah pujian ikhlas ini
Benar, apa yang aku lihat;
Di matamu tergambar nikmat Tuhan
Dari celak takwa yang dikurniakan
Andailah dapat aku lukiskan…

Hartini,
Mengertilah niat suci ini
Sungguh, apa yang aku dengar;
Di bibirmu terbisik kalam Quran
Dari gincu amal yang berterusan

Kalaulah dapat aku untaikan…
Hartini,
Fahamilah nukilan hati ini
Jelas, apa yang terpahat;
Di wajahmu terbias kesempurnaan
Dari cahaya iman yang tak terungkapkan
Jikalah dapat aku bingkaikan…

Terimalah, mengertilah dan fahamilah, Tini…
Segala-galanya dari aku seorang insan…
Yang dapat melihat nikmat Tuhan
Yang dapat mendengar kalam Quran
Yang dapat memahat bias kesempurnaan
Kalaulah mampu aku nyatakan dengan perkataan…

Segala-galanya dari dirimu seorang perempuan..
Yang diciptakan sebagai teman
Untuk mengisi kesunyian….

Untuk aku seorang Adam
Yang punya hati dan perasaan
Yang arif lagi maklum dengan syarat alam
Syarat yang memisahkan kita antara kekasih dan teman.

Maafkan aku, Tini…
Kerana menilai harga sayangmu
Yang takkan terhidang buat diriku…
Walaupun kutahu,
Tak guna aku duduk mengenang
Bagai melukut di tepi gantang…

Tini, andai aku pergi dan tidak kembali
Ketahuilah yang engkau telah berjaya mencuri hati ini
Dengan mata, bibir dan wajahmu yang berseri
Menyinari kehidupanku bak mentari pagi….

Cuma aku yang lemah lagi goyah
Bak debu yang terbang tanpa arah
Pasrah dan cuma mampu berserah…

-Amli-

Friday, March 02, 2007

Zaman Cepat Berubah

"Ini sebuah iklan yang dipertontonkan di kaca tv. Sebuah keluarga kelihatan sedang duduk di meja bulat untuk jamuan makan malam. Semua orang sedang bercakap melalui telefon bimbit masing2 tatkala sedang menjamu selera. Kesemuanya terlalu asyik bersembang dengan seronoknya. Baik si ayah, ibu, kakak, abang, pak cik, mak cik, sepupu, sepapat…. hatta semuanya seolah2 ‘berkepala senget’ “memegang” telefon bimbit dengan bahu. Situasi itu seakan-akan sesuatu yang pelik bagi si kecil yang belum mengenali erti ‘hand phone’. Beliau yang masih kecil memandang keseluruhan ahli keluarganya dengan pandangan musykil. Malah dahinya pun berkerut memikirkan apakah yang sedang berlaku sebenarnya. Lalu dengan akal yang masih mentah, beliau juga turut melakukan perkara yang sama iaitu ‘menyengetkan’ kepala sambil menikmati hidangan. Mungkin di dalam fikiran anak kecil itu, ‘menyengetkan kepala’ adalah salah satu dari tradisi makan malam bersama keluarga."

Pertama kali iklan itu kutonton, aku tertawa kecil. Kreatif benar syarikat pengiklanan sekarang menghasilkan cerita yang berbagai jua untuk menarik hati pelanggan. Sekali imbas, pasti sudah tercapai objektif iklan tersebut untuk memaklumkan pada semua bahawa ‘sangat bagus’ dan berbaloilah perkhidmatan yang diberikan, sehingga di waktu menjamu selera pun manusia masih lagi ‘bergayut’ di telefon bimbit masing2. Kagum.. Malah Tahniah pun boleh kalau mahu diucapkan. Akan tetapi dari satu sudut yang lain, dalam diam aku maklumi bahawa zaman sudah berubah. Atau dalam ertikata lain, zaman telah jauh mengubah kita.

Kata rakan Tioghua ku, makan malam sebelum sambutan raya cina itu bagaikan solat sunat yang lazimnya kita lakukan di pagi hari raya. Ia dilakukan untuk mengumpulkan sekalian ahli keluarga, untuk bersama2 meraikan hari kebesaran mereka. Saat berkumpul beginilah yang akan digunakan untuk bertanyakan khabar berita, bertanyakan kisah bersama, bergelak ketawa sesama keluarga, dan mengeratkan silaturrahim yang jarang2 terlaksana. Akan tetapi, jika waktu yang sesingkat itu pun telah kita gunakan untuk melakukan perkara yang ‘selalunya’ kita lakukan di hari2 biasa, dimanakah lagi keistimewaan hari besar itu? Apakah lagi tugas anak2 terhadap ibubapanya, tugas abang kepada adiknya, tugas isteri kepada suaminya, tugas datuk terhadap anak cucunya?? Walau hanya ditunjukkan dalam iklan, impaknya kan tetap terasa jua. Lebih2 lagi kepada anak2 kecil yang masih singkat akalnya. Kalau bukan kita; ahli keluarga sendiri menunjukkan contoh yang baik, siapa lagi? Orang lain kah? Persoalan lagi.. yang hanya mampu dijawab dengan mata hati..

Selalukah kita menggunakan telefon untuk bertanya khabar ayahanda bonda? Bertanya belum atau sudah makan kah mereka? Bertanya tentang kesihatan mereka dan ahli keluarga seluruhnya? Jarang sekali. Masa kita disibukkan dengan perkara2 dan orang2 yang takkan mampu hadir tatkala kita susah dan menderita. Kerana bila duka dan nestapa itu datang melanda, kita akan kembali sujud kepada Allah dan keluarga. Yang mana dua aspek terpenting ini selau benar kita lupakan dikala kita senang dan lapang. Itu lah manusia… Manusia yang diciptakan berkeluh kesah dan selalu terleka. Kitalah..

Apakah lagi nilai2 murni yang dapat kita pertontonkan kepada generasi muda jika perkara semudah berbual dengan keluarga pun kita gagal melaksanakannya. Bila sesuatu situasi itu telah menjadi sebati dengan diri, maka tiada lagi lah kepelikkannya. Contoh bunuh-membunuh dapat kita nyatakan di sini.

Ingat lagi dulu, saat aku masih di bangku sekolah rendah, heboh kisah ‘Mona Fendi’ dan ‘P. Kalimutu’ yang membunuh manusia lain dengan kejam sekali. Di mana2 orang sibuk memperkatakan tentangnya itu dan ini. Perbuatan membunuh manusia itu bagaikan satu ‘taboo’ yang tidak elok untuk disebut hatta untuk difikirkan pun. Namun sekarang, bila berita pembunuhan terpampang di dada akhbar, kita hanya melihat dengan pandangan biasa. Tanpa sendu, tanpa rasa. Bunuh? Ah, biasa… Mati? Ah, cerita lama…. Ibu membunuh anak2 sendiri pun ada di zaman kita. Apatah lagi seorang musuh membunuh musuhnya. Itulah….. Kerana perkara itu bukan lagi kepelikan yang harus dielakkan. Bukan lagi kemujuran yang berlaku tidak disengajakan. Maka akan jadilah kita bagai bangsa yang terlupa pada nilai2 murni dan sifat2 kemanusiaan.

Sama lah juga dengan nilai murni yang kecil ini. Bila bersama keluarga pun kita ‘bersama’ dengan orang lain, maka seakan-akan tidak bersamalah kita dengan keluarga. Amalkanlah nilai2 murni yang diajar pada kita lama dahulu. Bersopan-santun, beramah-tamah, tolong-menolong, beri-memberi dan bantu-membantu. Tinggalkanlah telefon kita itu barang seminit dua demi keluarga yang bakal pula menjaga kita seumur usia. Kemodenan itu harus kita kejar tetapi jangan sampai lupa ajaran dan ilmu yang lebih perlu kita capai. Ingatlah bahawa ada tempatnya telefon itu harus kita tinggalkan. Ingatlah jua bahawa di akhirat sana tiada sebarang perkhidmatan pun yang dapat digunakan walau seluas mana pun liputan..... Sesekali terngiang2 di telinga motto hebatnya.. “sentiasa bersama anda”???? Betulkah? Mungkin tidak di kubur sana….

“Bersamamu… Bersamamu walau ke mana jua……..” (senyum dalam gelengan kepala)

Ke Tanah Tinggi



Baru semalam tanah tinggi Cameron itu aku tinggalkan. Masih terasa segar bayunya, haruman mawarnya dan keindahan bukit bukau yang memukau pandangan. Rasa manis strawberri yang aku beli di pasar murah pun masih terasa. Segala2nya tetap indah.

Kata mama, kami pernah ke tanah tinggi itu sewaktu kecilku. Tapi aku kurang pasti kerana sesaat pun aku tak mampu untuk mengingati detik itu. Jadi, kembaraanku yang semalam bagaikan yang pertamakali aku menjejakkan kaki ke sana. Walaupun tak sesejuk London, dinginnya masih mencucuk ke sum sum tulang. Menaikkan roma bagai menggila. Bila bernafas pun megeluarkan asap yang janggal nampaknya. Bagai si jakun yang tak pernah melihat salji, sejuk di tanah tinggi inipun telah lebih dari memadai. Sekurang-kurannya, aku masih mengagumi tanah tumpah darahku sendiri. Ah Tini…. Tetap Tini ke mana pergi…

Pertamakali juga aku ke ladang teh itu. Pemandangannya….. Subhanallah… Tak dapat digambarkan dengan perkataan. Deretan pepohon teh yang ditanam sejajar, bagaikan corak segar yang terlukis di permaidani indah ciptaan alam. Indah di mata, kaya di jiwa. Segalanya bagai di atur. Tenang damai dan amat mempesonakan. Tenggelam aku seketika dibawa khayalan. Indahnya seni, sehingga tangan yang baik pun takkan mampu menggubah secantik ini. Segalanya bagai bukti kewujudan ilahi. Aku tersenyum dalam khayalan yang panjang. Mana tahu tiada esok lagi untuk aku mengagumi segala keindahan ini. Untuk Tuhan, kupanjatkan sepenuh kesyukuran, atas nikmat yang tak tergapai tangan.

Kami berjalan lagi, kali ini singgah sebentar di kebun starwberri. Terlalu mahal rasanya mahu membeli strawberri yang jarang2 dapat dirasai. Aku hanya melihat dari jauh. Untaian buah2 merah yang segar dipandang mata. Sesekali teringat bagaimana agaknya rupa buah epal atau anggur bila didahannya. Ah Tini, jauh lamunanmu. Tunggulah…. Jika ada rezki Allah, aku mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara. Biar rasa sejuk dan panas dunia. Tak mahu setakat termenung di Malaysia. Ingin juga melangkah melihat bagaimana orang lain dan kemodenan mereka.

Tepat pukul 5 petang, selepas menunaikan Solat Asar di Masjid Tanah Rata, kami berangkat pulang. Masing2 tersenyum senang dengan pelbagai barang borongan. Ada yang dengan bunga, dengan sayuran, buah-buahan dan seribu satu benda lagi. Aku cuma membeli sekotak strawberri buat buah tangan rakan2. Jadilah, asal dapat merasa. Maklum, aku pun bukan berduit sangat, jadi seharusnya berjimat cermat. Namun, sempat juga kubelikan buah tangan buat bonda tercinta. Biar tersenyum mama menerimanya. Alhamdulillah, segalanya berjalan bagai yang dirancang. Setinggi mana pun kita berjalan, kita tetap berpijak di bumi-Nya. Sejauh mana pun kita terbang, kita tetap menghirup udara-Nya. Kenang-kenangkanlah kurniaan yang Esa. Moga dengan kenangan itu, rezeki bertambah dan kehidupan penuh bermakna. Selamat jumpa kembali, Tanah Tinggi Cameron!!