Thursday, January 29, 2009

Wednesday, January 28, 2009

Lang-kawi


Kami pernah ke pulau itu. Dulu. Mungkin tidak sampai pun dua tahun. Dan aku pernah juga mengirim entri untuk percutian ke pulau lagenda itu. Klik di sini jika kalian berminat untuk tahu. Dan semalam kami pergi lagi ke Langkawi. Menghirup udara segar dari tanahnya yang pernah ketandusan selama tujuh keturunan

Percutian 3 hari 2 malam itu kami rancangkan sebaik mungkin. Papa telah amat terkenal sebagai seorang program planner yang sangat teliti. Selalunya hampir 6 atau 7 bulan sebelum percutian berlansung, segala2nya telah dirancang papa. Beliau bukan seorang lelaki yang spontan. Segala2nya perlu perancangan. Dan untuk percutian bulan 6 akan datang pun, papa telah menyebut2 tentang Terengganu dan pantainya yang indah bertiup bayu. Jadi, kalau punya rezeki, kami bakal ke sana pula pertengahan tahun ini

Langkawi bagai dulu2 juga. Kalau ada pun yang berubah mungkin harga coklatnya yang seakan telah mahal dari lawatanku yang dulu. Kami sempat melawat Kilim geoforest park (terima kasih kepada entri Ishan yang sangat membantu), Langkawi Cable Car, Beras Terbakar, makam Mahsuri, Dataran Lang dan berbagai lagi tempat menarik yang pernah kami lawati sebelum ini. Ini tidak termasuk Underwater World yang sangat membosankan untuk kami sekeluarga. Mungkin acara dan aktiviti di situ perlu dipertingkatkan untuk menarik minat lebih ramai tetamu

Sebelum pulang kami membeli belah seperti biasa di pekan Kuah. Dan banyak kami tinggalkan duit2 ringgit kami di sana (tidak termasuk aku kerana aku memang jarang membeli-belah dengan banyaknya). Aku lebih suka mengambil gambar (bukan bergambar!), lebih suka menghayati keindahan alam dengan pelbagai cara. Berbeza. Dari kebanyakan wanita

Kami sempat ke Pulau Pinang manaiki feri di sebelah malam. Singgah semata2 untuk merasai keenakan nasi kandar Line Clear dan pasembor di Padang Kota, kami bertolak semula ke Kuala Lumpur pada jam 1 pagi, selamat sampai pada jam 6 dan tidur tanpa sedar2 lagi sehingga tiba waktu tengahari. Keletihan maksimum apabila kudrat dikerahkan sehingga ke tahap terhebat. Moga2 percutian kami diberikan berkat dan dipanjangkan muafakat

ww: Percutian mengeratkan anda dan keluarga. Jadi, bercuti sajalah di dalam negara. Segala-galanya ada di Malaysia!

Friday, January 23, 2009

Nikmat ketenangan


Syukur pada Tuhan, atas nikmat lapang ini. Nikmat ketenangan setelah tugasan-tugasan sempurna dilaksanakan. Tenangnya jiwa raga, setenang hembusan bayu yang membelah angkasa. Alangkah nikmatnya…

Telah hampir beberapa malam juga tidur ini tidak mahu lena. Memikir letak duduk masalah yang tak pernah sudah malah seakan bertambah-tambah pula. Di ofis dengan masalah-masalah kerja, ditambah pula tugasan dan pembentangan yang menjerit-jerit minta disegerakan usaha. Serasa amat sesak minda dan dada. Sesekali terasa mahu mengis, berendam air mata. Namun lekas pula kuinsafi kembali, itulah harga sebuah jaya

Dan syukurlah di tengahari ini, mampu aku menarik nafas lega. Lega kerana telah juga Tuhan menghadiahkan aku sebuah ketenangan itu. Ketenangan yang sering dirasakan saat-saat segala hutang berjaya dilunaskan. Syukur padaMu, Tuhan

Dan kini, dalam udara sunyi sepi di daerah suci ini, di taman ilmu dan budi ini, sempat juga kukarangkan sesuatu buat ceritera yang seakan lama tak terbela. Terasa rindu benar, mengirim-ngirim khabar berita buat teman-teman pembaca. Aku tetap ada, tetap sudi untuk berbicara tentang dunia dan isinya

Dan dalam digin penyaman udara yang sedang-sedang elok ini, terasa berat pula mata mahu menaip di papan-papan kekunci. Terasa aman dan damai benar untuk aku melelapkan mata buat seminit dua. Letih benar..... Dan ya, biar aku tinggalkan kalian seketika. Izinkan aku memberikan hak-hak ketenangan pada mata dan minda yang telah lama letih bekerja

Tinggal dulu, semua. Nanti kita sama-sama sambung bicara

Oh ya, dan cuti yang bakal datang ini…, tunggulah kedatanganku, Mahsuri!
Library UIA
23/1/09

Friday, January 16, 2009

Boikot itu ini

Aku datang opis pagi2. Kawan-kawan heboh tengok website, barangan dan produk apa yang patut diboikot. Aku join tengok sekali. Dalam pada tu angguk-angguk kecik. Banyak jugak barang2 yahudi yg aku pakai. Bedak Johnson kat rumah pun baru je kejap tadi aku sapu kat muka. Nescafe pun baru je aku teguk malam tadi. Hmmm… aku keluh kesal

Balik rumah, nampak papa usung roti john dua kampit. Adik aku komplen, “Ala, kenapa bukan McD?” adik tarik muncung.
Boikot! Papa jawab selamba. Lepas ni kalau nak makan ayam, suruh mama je goreng kat rumah. Kalau nak makan pizza, kita beli zan pizza kat pasar malam. Aku senyum diam sambil terus tengok tv. Teringat kawan baik aku yang memang dari dulu lagi dah buat pizza sendiri

Aku bukak laman rahimin, baca entri dia pasal boikot. Bagus betul, seumur hidup dia dua kali je masuk KFC. Hebat. Jangan aku, dah sebati dengan diri. Siap keje dan sumbang tenaga lagi. McD pun selalu jugak aku telan. Aku suka burger ikan dia tuh. Lembut dan menyelerakan. Tapi sekarang kalau nak makan, aku teringat muka umat2 islam yang mati kene bom, terburai isi badan. Terus geli geleman

Aku jarang dah tengok tv. Lebih2 lagi berita. Balik kelas dah penat, bersihkan diri, solat terus tidur. Pastu kat opis dengar pulak orang heboh bengang dengan sebahagian menteri yang cakap macam orang tak ada otak

“Haritu kata kene boikot, pastu ni dah terpulang hak individu pulak!” bentak seorang

“Macam hampeh!” sorang lagi, sambil jelling surat khabar

“Poket dorang tak kembung kalau boikot” ucap sorang lagi

“Ekonomi kita kan bergantung pada produk2 tu,”.. Eh ni rejim yahudi ke ni, soal aku dalam hati

“Alah, bukan mati pun kalau kita tak makan kfc,” selamba sorang lagi

Aku diam dengar dalam-dalam. Negara kita sebagai sebuah negara yang sokong islam, patutnya banned kan terus produk2 tu. Iklan pun jangan masuk dah. Ni beriya tulis surat berjela2 kat PBB, kutuk itu ini, tapi iklan KFC McD bersepah je lagi kat tv. Iklan maybelline pun tertayang2 lagi. Colgate ngan maggie tak yah cakap la. Aku jadi meluat, meyampah tiba2

Starbucks memang aku tak pernah pegi. Revlon, maybelline tu memang lansung tak pernah guna. Yang lain2 pasni aku akan cuba untuk tak pakai atau guna atau makan lagi. Mungkin aku boleh mulakan dengan pakai bedak Safi. Takpun Zaiton. Kadang2 bukan sebab tak nak pakai, tapi kalau pergi shopping tu, lagi nampak produk yahudi kat pasaran. Malas nak berlama-lama, sambar je la

Lepas ni aku akan guna Petronas, walaupaun aku anti kat pam minyak ni. Takpe lah, demi islam aku akan berubah. Dan aku harap kalau korang semua nak berubah buat lah sampai bila2. Memang orang kata banyak lagi yahudi boleh dapat dari industri dorang yang besar-besaran. Lantaklah, yang penting bukan duit gaji aku yang tolong belikan bom ngan senapang rabaikan tali perut umat islam. Walaupun sumbangan aku kecik, tapi orang tua-tua kata sikit2 lama2 jadi bukit. Tuhan pun takkan ubah nasib kalau kita sendiri tak mulakan. Jangan cakap je pasal tuhan tapi join lagi dengan setan. Pandai2lah korang fikirkan

Selamat memboikot itu ini

-maaf atas bahasa pasar yang aku guna untuk entri ni-

Tuesday, January 13, 2009

Dia…

Dan Khamis itu...

Dia datang dengan senyuman, memberi salam lalu duduk disebelahku. Orangnya tinggi ragah. Cerah, secerah masa depannya. Aku melihat dia sekilas, melarikan wajah dari memandang bola matanya dalam-dalam. Selebihnya aku gugup. Menyedari diri ini seorang insan yang terlalu biasa-biasa saja. Bertemu pula dengan insan se’terbilang dia. Namun lekas pula aku tukarkan rasa gugup itu dengan cerita dan tawa-tawa kecil.Dan lama-kelamaan gugup itu hilang, berganti senang dan selesa yang berpanjangan

Dari tingkahlakunya, tutur katanya, terlalu nampak akan kematangan itu. Matang dalam memberi pendapat dan pandangan. Matang dalam membuat penilaian. Matang dalam memutuskan keputusan. Matang dalam perlakuan dan cara berpakaian. Hampir sempurna, itu yang paling singkat boleh disimpulkan

Dan dalam jam-jam yang tidak berapa lama itu kami bertukar bual, bertukar cerita dan pendapat, bertukar kenangan dan kisah kehidupan, dapat pula dirasakan kemesraan itu, sekurang-kurangnya bagi pihak aku

Mengenalinya bukan atas sebab-sebab tertentu, melainkan mahu berkongsi kejayaannya, supaya yang jaya itu menjadi milikku pula. Untuk menghormatinya kerana pengalamannya, untuk berkongsi juga semangat dan tabahnya, dan selebihnya mengharap redha Tuhan mengiringi batas-batas perjalanan, dan dapat aku rasa betapa manisnya hubungan yang kerana Tuhan. Semoga hendaknya diciptakan kita menjadi golongan yang mendapat lindungan-Nya di hari pembalasan

Semoga panjang ukhuwwah, dan pada Dia juga aku berserah

ww: sayang kami tak sempat bergambar, kalau tak boleh juga tayangkan pada dunia! =P

ww: kenali DIA di sini

Tuesday, January 06, 2009

Dua ribu sembilan


Dan tahun 2008 itu berlalu, masuk hari ini sudah enam hari. Di dalam kereta aku termenung mengadap luar jendela. Menebar pandangan pada butir2 kehidupan yang membiaskan khayalan. Kerlip lelampu merah menambah keheningan. Bekas rintik hujan masih menitiskan saki baki gerimis yang berderaian. Alam kelam, sekelam hatiku juga

Dan 2009 itu sudah lama menjenguk. Namun tidak pula ku perbesarkan menyambutnya dengan ucap2 selamat. Sms2 yang kuterima lewat 31 Disember dalam kotak2 inbox masih kaku tersimpan. Tak terlayan..

Dan hidup tetap juga seperti biasa walau di tahun mana pun ia. Cuma umur yang semakin bertambah. Memberikan lebih kengerian saat2 aku berbual dengan rakan2 yang sudah maju dalam salah satu dari sudut2 kehidupan

“Aku due insyaallah bulan enam”, senyum rakan itu, sambil mengusap berhati2 perut yang berisi denyut2 nadi

“Majlisnya insyaallah pertengahan tahun ni”, ucap seorang lagi, mengenang hari besar yang bakal dilalui

“Emm, aku sebenarnya ada kawan, dan aku rasa aku nak serius selepas ni”, ucapnya sambil tersenyum simpul mengenangkan jejaka pilihan hati

Dan dalam senjakala itu aku termenung-menung melihat barisan kenderaan yang tekun menunggu merah bertukar hijau. Setekun aku yang menunggu kehidupan agar berubah. Berubah ke jalan yang lebih gemilang dan cemerlang mungkin

Bukankah kau sudah berubah, Tini

Errr

Kau berjaya, mungkin lebih berjaya dari sebahagian yang lain

Emm

Janganlah sebab yang satu itu kau terus mundur lalu meletakkan dirimu jauh2

Aaaa…

Sudah! Jangan termangu. Itu, lihat di depan sana. Hijaunya telah menyala. Ayuh teruskan perjalanan, dan jangan lagi diburu kekesalan!

Diam

Kutekan pedal minyak dan meneruskan pemanduan. Menyusuri hiruk pikuk kuala Lumpur yang senantiasa bergemerlaman. Lampu2 kenderaan telah dinyalakan, tanda senja sudah lama kutinggalkan. Dan lampu2 neon menemani kiri kanan jalan. Dan begitulah aku teruskan kehidupan, sampai tibanya satu hari yang Tuhan tentukan

ww: tenang menanti pertemuan Khamis ini