Friday, January 07, 2011

Pergilah…

Yang menulis ini aku. Aku yang dulu, aku yang satu..…

Kaki yang sengaja aku rendamkan di dalam tasik itu terasa kebas. Sejuk. Angin yang bertiup lembut menyapu wajahku. Tanpa kusedari, angin yang bertiup itu mengeringkan tangisan yang telah lama gugur perlahan. Baguslah, tidak perlu lagi aku sekakan tangis itu dengan tangan. Kerana telah hilang kudrat, telah hancur firasat. Bagai bangkai bernyawa, begitulah kiranya

Bayu kesedihan itu dengarnya bakal bertiup. Membawa badai sengsara yang pernah kutanggung dulu lebih kurang tiga tahun lalu. Kenapa bayu seperti itu datang lagi lalu tak jemu2 ia mengetuk pintu hatiku? Apakah suka benar ia dengan manusia hina ini, sehingga sukar sekali bayu yang membawa sengsara itu berlalu pergi?

Mata telah lama kering, tidak sudi lagi menangis. Telah banyak yang aku tangiskan atas nama cinta. Mendengar perkataan cinta itu pun begitu memualkan. Cinta dan manusia, sering saja berpura2

Akan ada nanti di bulan2 akan datang, aku akan kekal sendiri. Berdiri tegak memerhati dua pasang hati yang bergembira mengikat tali janji. Memerhati dengan hati2, atau mungkin sekali dengan hati yang mati. Memerhati akan jari manis yang disarung dengan cicin tanda ikatan. Biarkan, biarkan mereka gembira di atas puadai anganan mereka. Kerana aku cuma hamba yang terus2san merancang. Kadang2 perancanganku tidak setepat percaturan tuhan

Telah acapkali aku doakan pada Tuhan, agar sudilah Dia membawa aku pulang ke sisiNya. Tapi mungkin kerana masih ada saki baki nyawa, masih ada rezeki yang tertulis olehNya, maka aku terus di sini. Terus memerhati lakonan manusia yang terlalu amat hebat bersandiwara

Ah, aku juga salah kerana menjadi pelakonnya. Padahal telah aku tahu, tiada lah lain yang dapat menerima cinta dan kasih orang2 sepertiku selain Allah Taala.. Berilah perisai tabah itu, ya Allah. Berilah senjata doa, dan berilah pakaian redha, agar bila bulan sengsara itu hadir, bila taufan itu bertiup, aku sudah bersedia menerima takdirMu dengan pasrah. Bersedia menghadapi dugaanMu dengan keazaman paling jitu, dengan senyuman yang terukir di bibirku. Walaupun Engkau sendiri tahu, bahawa dalam senyuman itu, ada hati yang telah mati digilis pilu

Untuk dia yang akan pergi atas nama cinta, tiadalah lain yang dapat kuungkap selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Kenapalah begitu sukar untukmu memberi aku peluang untuk membuktikan kecintaan? Pergilah.. Semoga hendaknya bertemu bahagia….

No comments: