Thursday, March 10, 2011

Biola

Dalam keserabutan ini, dalam dengung penyaman udara pejabat yang tidak lagi dingin, dalam senyuman setempat yang tidak lagi manis, dalam ketawa manusia yang tidak lagi bahagia, dalam putaran masa yang seakan-akan lambat bertemu sudahnya; saya hanya memikir satu perkara. Sebelum menutup mata, saya mahu tahu bermain Biola. Ya, saya mahu tahu bermain biola. Bukan sahaja tahu, saya mahu pandai. Pandai dan mampu bermain biola

Kenapa biola? Saya tidak ada jawapan yang munasabah. Jawapan yang logik pun saya tidak ada. Saya cuma terasa saya mahu. Biarlah bila2 pun, asalkan saya mampu bermain dengan sebaik-baiknya. Kalaupun bukan sekarang, nanti, di hari2 mendatang

Saya pernah menonton satu filem lama yang bertajuk The Red Violin. Saya menonton filem itu sewaktu saya masih kecil. Masih kecil untuk berbicara tentang betapa menariknya sebuah alat muzik yang dinamakan biola itu. Namun saya minat kepada jalan ceritanya. Minat kepada kisah klasiknya walaupun pada waktu itu saya masih terlalu muda. Jadi, bukanlah muda atau tua yang menjadi faktor pengenalan manusia pada identiti diri. Personaliti muncul dan tercipta dengan pengalaman dan pembelajaran yang tidak disia-siakan. Mungkin terdapat sedikit faktor genetik di situ. Minat pada seni telah lama berakar umbi. Mungkin di saat2 saya baru saja mengenal ABC

Saya suka menonton P.Ramlee menggesek biolanya ketika bermain lagu 'Tanya Sama Hati' dalam filem Anakku Sazali. Gesekan biola dan bunyinya yang nyaring seolah-olah memberikan satu getaran buat saya. Saya tidak malu untuk mengaku yang saya boleh dikhayalkan dengan gesekan biola. Mujur saja biola itu tidak selalu dimainkan di mana2. Jika tidak, mungkin kerja saya hanya berkhayal saja (senyum)

Dan sewaktu biola itu mereka mainkan dalam okestra, bunyinya bukan lagi nyaring tetapi lebih harmoni. Bagai petak jigsaw yang kita siapkan setelah lama mencari. Kelas, asyik dan tersendiri. Saya tidak bermaksud untuk berkata bahawa alat muzik yang lain kurang seni atau kurang autentisiti. Tidak. Semua ada kebagusan dan keindahan masing2. Terpulang kepada empunya mata yang melihat, empunya jari yang menyentuh dan empunya telinga yang mendengar. Terpulang...

Sewaktu saya meng'google tentang biola, saya dapati bahawa alat muzik ini telah dimainkan awal abad ke-16. Saya senyum. Patutlah saya minat benar dengan biola. Biola itu bagai barang2 lama yang dijaga rapi. Dan saya memang sukakan barang2 lama. Apa2 saja yang lama tapi terjaga, semuanya saya suka. Seperti minat saya pada buku2 lama, penulis2 lama, lagu2 lama dan bangunan2 lama. Ah, saya sendiri pun seperti 'orang lama' jika berbicara (senyum)

Hanya itu yang saya mahu tulis tentang biola. Saya mahu simpan impian ini sebagai semangat untuk memantapkan diri. Saya tidak pernah tahu bahawa bermain alat muzik seperti biola ini dibolehkan atau tidak di dalam Islam. Suka sekali sekiranya ada yang mampu memaklumkan. Namun saya selalu besederhana dalam setiap pemikiran dan perbuatan. Saya pegang imipian ini sebagai satu keharusan

Jika berkesempatan, maka saya akan mencari jalan. Impian ini hanya satu daripada beribu-ribu keinginan. Dan jika ada yang lebih banyak untuk difikir dan diselesaikan atas nama keperluan, maka sudah tentu akan saya dahulukan

Saya tinggalkan kalian dengan cerita biola saya. Semoga sedikit sebanyak kalian akan mendapat manfaat daripadanya. Jika pun tidak ada ilmu yang bertambah, cukuplah sekadar kenangan lama yang terjengah.....

****
p/s: awk, entri ini tidak ada kena-mengena dgn dia ya ;)

4 comments:

Anonymous said...

owh.. sangat meminati biola rupanya.. saya yakin keinginan tuan tini pasti akn tercapai.. hanya masa yang akan menentukan.. teringin sekali melihat tuan tini menggesek biola.. mesti sweet..

Anonymous said...

dengari musik dengan hati..kita bebas melakar liriknya.. ;))

Anonymous said...

Vanessa Mae membuatkan saya meminati gesekan biola & classical music - bach, tchaikovsky, mozart, the list goes on :)

Asri said...

SAya Boleh ajar main violin...:)