Semoga ada kesedaran yang bertambah, kalau pun bukan iman yang bercambah...
"Perjalanan Ini"
Harga perjalanan ini bukan murah
Kalau pun dihimpun gedung bersusun
Kalau pun dikumpul harta bertimbun
Kerana ia perjalanan diri
Berjalan tanpa derap langkah
Berkelana tanpa arah
Berlayar tanpa kemudi
Umpama layang tak bertali
Perjalanan ini tidak mudah
Kalaupun ditadbir dengan kompas alam
Kalaupun ditaksir dengan peta dan kalam
Kerana ia perjalanan menghindar nafsu
Berjuang tanpa pedang di tangan
Beraksi tanpa sempadan
Bertempur dengan jiwa
Memerangi noda dosa
Namun aku akan terus berjalan
Sampai ke penamat segala garisan
Bertatih kepada Tuhan
Mengharap belas cahaya
iman
Kalau pun sekadar dipandu biasan…
London
2/12/13
1 comment:
Ingin menamatkan perjalanan
Hingga ke penamat segala garisan
Walau dengan markah paling kasihan
Demi memasuki syurga idaman...
Post a Comment