Monday, March 03, 2014

Selamat Tahun Baru, Ahmad

Pertamanya, elok saja kumulakan tinta ini dengan kesyukuran. Satu tahun lagi aku melepasi batas2 umurku dengan keizinan Tuhan. Ya, Tuhan yang entahkan sayang, entahkan benci. Bukan lah aku mahu katakan yang Dia itu pembenci kerana aku tahu dan yakin bahawa Dia maha penyayang. Cuma aku berkira2 jika Dia masih sudi menyayangi aku. Kerana jika Dia sayang, sudah pasti aku dijemputnya pulang. Macam kamu!

Ahmad,

Dalam ramai2 sahabat dan kenalan, hari ini aku memilih untuk mengucapkan selamat tahun baru buat kamu. Ya, baru hari ini. Kerana semalam itu kebetulannya 1 March. Dan Jujur, aku tiba-tiba teringatkan kamu. Ya sahabat, aku tahu, 'kehidupan kita tetap sama di tahun mana pun' seperti yang pernah engkau khabarkan dulu. Lagi2 buat engkau yang jauh, kawan. Tahun baru atau lama sudah tidak menjadi soal. Alangkah indahnya jika aku dapat mengakhiri segala perjuangan hidup ini. Dijemput kembali dan aman sahaja menunggu hari pembalasan. Namun aku risau juga, untuk insan sekerdil dan seberdosa aku, benarkah ada 'aman' untukku di alam itu?

Jika engkau tidak tahu, aku kini sudah berdiri di tanah yang lain.  Tanah yang bukan milik kita. Aku tidak lagi tinggal di tanah nusantara itu, Ahmad. Ya, tidak ada lagi nyiur yang melambai atau pasir pantai yang memutih. Tidak ada lagi hangat mentari dan bau-bauan enak seperti dulu. Di tanah aku menetap sekarang segalanya dingin dan kering. Namun aku berjalan juga. Berjalan kerana hanya berjalan dan mengayuh sahaja yang aku ada. Aku tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Tidak ada apa lagi yang dapat kuperjuangkan melainkan mengenang segala pahit manis yang aku angkat menjadi sumber hikmah dan didikan

Sahabat,

Sudah Tiga tahun. Tiga tahun semenjak pemergianmu. Banyak yang berubah. Terlalu banyak untuk diceritakan satu persatu. Namun aku pasti isteri kesayanganmu selalu saja membisikkan segalanya padamu. Mungkin sekali dalam keluhannya, atau dalam pesanannya kepada puteri2mu. Mereka membesar. Membesar dengan jayanya. Kalaulah mampu engkau melihat, pasti engkau berbangga, Ahmad. Bangga punyai isteri dan anak2 hebat

Kenapa Allah menjemputmu pulang seawal ini, mengapa engkau dan bukan orang lain, itu semua bukan aku yang boleh menjawab. Untuk apa diperlakukan ujian maha hebat itu untuk isteri dan puteri2mu, pastilah atas rasa kasih sayang dan ihsanNya juga. Sehingga aku malas lagi berfikir dan bertanya. Tentu Dia punya sebab. dan sebab musabab itu tentu sekali untuk kebaikan

Ahmad,

Di London ini aku gembira betul. Bukan kerana aku di tanah orang, tidak. Bukan kerana glamor dan prestijnya tanah yang aku pijak ini, juga tidak. Aku gembira kerana di sini ramai orang yang berfikiran kritis dan radikal macam kita. Macam kamu! Macam aku! Jadi aku suka. Aku suka bila manusia mahu berdebat tetapi mereka berdebat tanpa hilang rasa hormat. Aku suka bila manusia mempersoalkan dan mereka juga tidak tersinggung dipersoalkan. Bukankah begitu yang sepatutnya? Ya, jarang kita jumpa watak2 begitu di tanah kita. Di tanah kita itu manusia takut bercakap benar. Mereka takut berubah. Mereka hanya suka ikut apa yang orang lain buat, walaupun yang dibuat itu sekadar ikut-ikutan, bukan kebenaran!

Aku selalu tetap dengan pendirianku. "Biasakan yang betul, betulkan yang biasa." Lebih baik berpendirian lalu disisihkan. Tak mengapa. Aku hidup untuk Allah, untuk Dia sahaja

Sahabat, kalaulah aku juga mampu mendengar khabarmu di sana. Bagaimana hidupmu, bagaimana tempat tinggalmu, bagaimana layanannya. Kalaulah mampu. Tapi aku tahu Allah itu sangat tinggi keseniannya. Ada perkara yang memang tidak diberitahu agar kita sentiasa tertanya2 lalu bersedia. Aku percaya Ahmad, hendaknya kamu di dalam peliharaan Dia. Tenang dan aman menunggu hari penghabisan. Yang entah bila. Yang entahkan esok entahkan lusa

Aku sudah tua Ahmad. Beberapa hari lagi umurku menjejak angka tiga. Aku makin risau kalau2 makin lama aku hidup, makin jauh aku dari Tuhan. Namun aku harap tidak. Aku cuma mampu berharap agar Dia menghidupkan aku sehari lagi dan sehari lagi agar aku terus dekat dan datang padaNya. Menggunakan hari2 yang dikurniakanNya untuk mencuci segala dosa dan merawat segala kehinaan jiwa..

Ya, aku cuma mampu berharap

Oh, kau tahu kan, novel Hamka yang kita minat dulu, 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck' itu telah difilemkan! Ah, namun aku sendiri juga belum diberikan rezeki menontonnya. Tapi dari preview2 yang aku baca, ramai yang mengatakan filem itu bagus. Tentu bagus kalau buah fikirannya datang dari tokoh besar sebesar Hamka! Kan? Ya aku tahu, kalau engkau masih di sini pun engkau akan berusaha untuk menontonnya dan memberikan kritikan yang bernas2 selepas itu

Ahmad,

Aku kira sekadar di sini saja tulisanku. Aku akan menulis lagi jika terpanggil. Benar, aku jarang bersapa tetapi itu tidak bermakna aku lupa. Engkaulah satu2nya sahabat yang dekat namun tidak pernah sempat bertemu dan berjabat. Aku terkilan tapi itu takdir Tuhan. Aku belajar untuk lebih menghargai setiap jiwa yang aku ada selepas pemergianmu. Aku mahu mereka tahu bahawa mereka penting bagi aku

Aku tahu yang menjagamu kini hanya amalan2 yang kau tinggalkan. Doa isteri dan anak2mu, pemberian yang pernah kau hulurkan seikhlas hatimu, ilmu yang pernah kau kongsikan, ya.. hanya itulah yang menjagamu di tanah itu. Aku sentiasa berdoa agar pelitamu senantiasa menyala, biarpun sumbunya mungkin tak sebesar mana. Namun segaris cahaya di tempat yang sekelam itu tentulah sudah amat bermakna. Aku terlalu memahaminya

Aku akan ke sana juga, Ahmad. Akan sampai juga. Dan aku bertekad membawa sebanyak mana bekalan yang mampu aku bawa. Kalau kau ada isteri dan anak2, aku tidak ada keistimewaan itu. Jadi segala bekalan harus datang dari aku. Usahaku, amalanku, pemberianku dan semuanya yang hanya dihasilkan oleh aku! Jadi aku harus lebih bersedia, lebih bekerja, lebih berusaha

Jika benar yang kita dengar, antara yang mendapat naungan di hari pembalasan itu adalah dua orang sahabat yang bersaudara semata2 kerana Tuhan, kita nantikanlah saja kebenarannya. Semoga hendaknya adalah tercatit nama kita di syurga nan indah. Tanah yang tiada lagi kedukaan dan air mata. Mudah-mudahan, inshaAllah

Tinggal dulu saudara. Untukmu kuhadiahi sebuah Al-Fatihah

1. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
2. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.
3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
4. Yang menguasai hari pembalasan.
5. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah kepada kami jalan yang lurus.
7. (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

*****

Dan seperti yang pernah kujanjikan, sudahpun kutitip warkah pertama buat anakandamu Embun. Bacalah, Ahmad. Kalau engkau mampu membaca. Bacalah.. Aku tulis bukan saja untuk dia, untuk kalian semua.. Bacalah

4 comments:

w'salam said...

Salam dik, if you don't mind can i have your email address please? :)

Hartini Omar said...

Salam

Yea, i dont mind. It is charming_lead@yahoo.com

farhana mohamad said...

tahun ketiga nafastari meninggalkan mawar. pasti dia bahagia di sana.

Semoga Mawar terus diberi kekuatan dalam membesarkan Embun dan Kekwa.

salam ukhuwah :)

Hartini Omar said...

Tuan Farhana mohamad,

Saya doakan yang sama. Mudah2han hendaknya. Jgn digusar. Mereka sekeluarga kelak akan bertemu juga. Dalam mahabbah wa rahmah ;) insyallah.