Dan kali ini saya tujukan buat semua guru2 saya. Di mana saja mereka bertebaran di atas dunia. Selamat hari guru, cikgu! Semoga keampunan Tuhan ada buatmu selalu..
***
Untuk sahabatku yang keras hati...
Hujan lebat sekali. Sesekali terpercik mengenai buku ringkasan mengajarnya yang terkangkang luas di atas meja. Tertanggal dakwat dari tulisannya yang kemas serong-serong bila titis-titis hujan itu membasahi muka surat yang terbuka. Dia menyapu dengan tangan, namun perbuatannya itu lebih memburukkan keadaan. Yang terdampar kini hanyalah sebaris tulisan yang bercontengan. Dia ketap bibir, menggerutu dalam hati.
Kenapalah dirinya ditakdirkan terdampar di sini. Di lembah hina dina ini. Sungguh dia tidak mahu. Dia rindukan kehidupan lamanya. Kehidupan dulu yang dianggapnya sempurna. Lamunannya tersentak bila gerimis hujan mengenai wajahnya yang putih ayu. Diseka titisan itu rakus. Serasa bagai mahu ditujukan segala kemarahannya pada si hujan yang tidak tahu mengerti perasaan.
Hujan lebat membawa arus sungai yang deras. Bila lebat begini, adakalanya air bah lalu tumpah di celah-celah tebing yang tak berbenteng tinggi. Bukan sekadar membawa arus deras, hujan lebat begini selalunya membawa berbagai-bagai sampah sarap dan kekotoran yang menyakitkan mata. Belum ditambah bau-bauan yang memeritkan rongga hidungnya. Sesungguhnya dia rimas, rimas kerana menjadi abdi pada lembah sedalam ini.
“Kalau ikut perjanjian, sekurang-kurangnya harus bertugas dua tahun sebelum boleh berpindah ke tempat lain.”
Diterimanya jawapan itu bagai petir yang menyambar. Jangankan dua tahun, baru dua bulan sudah terasa seperti dua abad baginya. Tersiksa bagai dalam neraka.
Dia pelik melihat rakan-rakan lain yang tidak terganggu dengan bau-bauan yang busuk, dengan bilik guru dan kelas yang usang berhabuk. Seingat dia sudah tidak ada lagi sekolah yang usang begini. Seingat dia semuanya telah ditangani kerajaan dengan segala bentuk bantuan. Rupanya masih ada yang terlepas pandang. Dan apalah malang nasibnya kerana dia yang menjadi korban.
Dia berjalan ke bilik darjah malas-malas. Sebenarnya bukan dia malas. Dia seorang guru yang berdedikasi. Seorang bakal guru yang cemerlang sewaktu di institusi. Dulu telah disimpulkan di sudut hatinya yang paling dalam, untuk menerima apa saja bentuk dugaan asalkan tugas dan tanggungjawab mengajarnya dapat disempurnakan. Dia sayangkan anak bangsa, sayangkan generasi muda dan sangat sayangkan negaranya. Oleh itu dia rela menjadi guru walaupun dia mampu untuk menjadi pegawai jika mahu.
Namun semangat juang itu pudar setelah dia sendiri masuk ke gelanggang yang sebenar. Seawal perjalanannya ke daerah hulu ini, segalanya bagai asing tidak seperti dalam mimpi. Dia terpaksa menaiki bot kecil selama 20minit untuk tiba di sekolah. Papan keras yang kasar dan tidak bergris yang dijadikan bangku itu sesekali mencarik-carik bebenang halus baju kurungnya. Dan di hari pertama itu mood nya sudah layu. Mulutnya terkaku membisu.
“Selamat pagi, Cikgu.”
Nyaring suara-suara halus itu memasuki gegendang telinga. Dulu, ucapan itu lah yang diimpi-impikan. Diidam-idamkan siang dan malam. Namun setelah dua bulan menjejakkan kaki ke daerah usang ini, serasa bagai jijik mahu mendengar ucapan dan laungan itu lagi. Terasa bagai sengaja suara-suara itu ditinggikan untuk mengejek-ejeknya. Bagaikan kesemua murid-muird kecil itu mahu mentertawakannya, mengatakan ‘padan muka’ kepadanya. Dia mendengus perlahan. Hanya menjawab perlahan ucapan selamat pagi yang dituturkan murid-muridnya tadi.
Seorang murid lelaki hampir ke hadapan dengan buku latihan yang bersusun telah dikumpulkan.
“Cikgu, saya sudah kutip semua buku. Biar senang cikgu mahu periksa latihan kami semalam.” Pelajar itu tersenyum, mengharapkan pujian dari cikgu yang sangat disayang. Cikgu perempuan muda yang baru datang dari kota itu sangat-sangat menarik minat mereka. Cikgu sangat suka kalau pelajarnya membuat sesuatu sebelum diminta. Namun cikgu diam saja. Tidak lansung berterima kasih apatah lagi memuji muja. Mungkin cikgu lupa, fikirnya. Memang semenjak dua menjak ini cikgu sering lupa. Lupa memohon maaf, lupa berterima kasih dan lupa memberikan senyuman.
Murid-murid sangat sayangkan cikgu kota itu kerana dia sangat pandai berkata-kata. Cikgu pernah berpesan, ‘orang yang cemerlang akan memberi sebelum diminta, bertanya sebelum disuruh tanya dan tidak lokek berterima kasih dan memohon maaf’. Cikgu baru itu bukan sahaja cantik, malah cerdik. Cuma adakalanya cikgu itu dilihat selalu termenung-menung. Lalu hati murid-murid yang kecil lagi suci itu hanya menganggap bahawa cikgu mereka merindukan keluarganya, merindukan tanah negerinya.
Lalu disebabkan rasa kasih dan sayang, dan agar lenyaplah sebarang kerinduan, maka seringlah cikgu itu dihadiahkan sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku, pucuk ubi dan keledek. Adakalanya dengan gembira mereka menghulurkan buah-buahan seperti cerepu, langsat dan sukun kepada cikgu mereka. Besarlah hati mereka andainya tangan lembut dan cantik itu mengusap-usap kepala mereka, lalu bibir merah itu tidak jemu-jemu menuturkan terima kasih dengan senyuman yang berpanjangan.
Namun tidak pula diketahui mereka akan hati cikgu yang semakin bernanah dan parah detik demi detik dan ketika. Segala buah-buahan tempatan yang diterimanya itu dibawa pulang ke rumah sewanya. Tidak terus dimakan namun dipandang saja dengan sepenuh perasaan. Hatinya sakit meronta-ronta. Berperang-perang antara perasaan dan akal nuraninya.
Mengelamun kembali dia mengingatkan bulan pertama yang ditempuhi dengan tabah dan redha. Walaupun nafsu mudanya meronta-ronta minta dilepaskan dari cengkaman lembah ini, sebahagian hatinya mahu supaya dia kekal di sini. Walaupaun dia anak bandar, dia diajar supaya selalu menghormati dan menghargai. Dan tidak pernah dalam sejarah hidupnya dia merasa benar-benar dihargai. Melainkan apabila melihat wajah-wajah kecil itu menghulurkan berbagai bekalan dengan harapan yang bergunungan.
Penghargaan yang seeloknya tidak perlu diterimanya!
Mengapalah orang-orang di lembah ini tidak membenci dia, lalu senanglah dia mahu membenci mereka. Dan mudahlah pula untuk mencari alasan diterbangkan semula ke daerah kota. Namun perkara yang diingininya tidak berlaku. Semakin dibaja rasa benci, semakin memuncak dirinya dihargai. Lalu sikit-sikit menghakis ketidak-senangannya pada lembah yang hina, pada wajah anak-anak yang mengharap ilmunya dan pada tanah yang bukan tempat tumpah darahnya.
“.....Dengarnya mahu berpindah,”
Suara itu bertanya lembut ketika dia diam di bilik guru. Rupa-rupanya sudah menjadi umum akan kehendak hatinya. Hakikatnya dia malu. Malu jika orang mengatakannya seorang wanita yang tidak sanggup menerima dugaan. Seorang wanita yang rendah semangat juang. Seorang guru yang hanya pentingkan ‘title’ dan wang. Tidak! Dia bukan begitu. Namun mengapa hati tidak mahu mengerti. Mengapa hati menjauhkan dia dari lembah dalam ini.
Dia memandang tuan empunya suara itu. Bibirnya bergerak-gerak perlahan tertahan-tahan.
“Kenapa?” dibalas tuturan itu dengan soalan.
“Tidaklah. Saja bertanya,” Pemuda itu tunduk menulis sesuatu dalam ringkasan mengajarnya, tekun.
“Salah kah berpindah?” ditanya pemuda itu kembali.
“Tidaklah salah…..” pemuda itu menjawab lalu menarik nafas perlahan, tidak juga memandangnya.
Diam.
“...... Cuma, kalau sesuatu yang terang disuluhkan ke tempat cerah, kuranglah kelihatan kerdipan dan cahayanya,”
Berhenti seketika, dan kemudian menyambung semula.
“........... Namun jika lilin yang kecil, dibawa pula ke tempat paling gelap dan usang, pasti terpancar sinarnya di segenap ruang.”
Bersahaja benar pemuda itu berkata-kata lalu menutup ringkasan mengajar, bangun dan berlalu menuju ke bilik darjah. Namun serasa dihiris halus-halus hatinya bilamana ayat-ayat itu masuk ke rongga telinga lalu ditafsirkan oleh lobusnya. ‘Wahai pemuda, mengertikah engkau apa yang bersarang di jiwa?’ hatinya bertanya-tanya. Bergenang air mata, lalu tumpah di mata hatinya. Pedih dan mengharukan. ‘Tuhan…., berilah aku jawapan..’
Dan berdiri di persimpangan itu adalah dia. Di kanannya terbayang wajah-wajah mesra, tersenyum riang mengharapkan dia menerangi lembah yang gelap kusam, berhabuk dan bersawang. Di kirinya terbayang kota dan lampu-lampu kerdipnya. Nyalaan yang leka dan menyilaukan mata. Dan dia masih ditengah-tengah, tidak pasti untuk melangkah ke arah mana.
Oleh : Hartini Omar
(Maaf, saya bukan penulis. Cerpen kerdil lagi hina ini tidak pernah pun disiarkan di mana2 akhbar atau majalah. Hanya tersimpan molek di bawah jagaan saya. Terima kasih kerana sudi membacanya)
***
Saya rindu menulis dengan jiwa. Rindu benar. Kini apabila saya juga seorang guru, hadiah termanis ialah apabila anak2 murid saya membesar dan berjaya, jikapun mereka tidak kaya, mereka berjaya menjadi manusia.
Ya, tugas utama bukan mengajar tapi mendidik
Selamat hari guru Cikgu Hartini! ^^