Thursday, September 28, 2006
peringatan buat orang melayu
Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Trengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu
Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Sambil makan junk food kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu
Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah malas selalu
Nak harap kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu
Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah al Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu
tapi apakah yang kita tahu,cuma baca nak halau hantu
RENUNG2 KAN & FIKIRLAH , di mana tahta org2 Melayu yg disanjung selama ini
atau Melayu akan terus LAYU ????
quoted from 'na_mas'
Thursday, September 07, 2006
pengamatan dari pengalaman
Tiada apa yang dapat dikata lagi, nasi ditanak sudah pun membasi. Sekarang aku mengerti kata orang tua2. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Ah, Tini.. Lupakah kau pada fikiran banyak orang?? Kalau wajah tak berapa indah, jangan mimpi nak beradu di singgahsana.. Sekarang wajah jadi taruhan, Tini. Wajah jadi taruhan..
Biarlah.. Moga ada jua insan yang sudi menerima kebaikan yang tersembunyi di dalam. Bukan pada kecantikan luaran yang pasti pudar dek arus zaman. Kecantikan yang akan malap. Muda yang akan tua. Namun itu jualah yang orang pinta.. Kecantikan jua.
Ah, apa difikir masalah menimpa. Jadikan sebagai suluh kehidupan yang pasti membantu di masa depan. Lumpur selut yang kau jatuh di dalamnya ini bakal pula memberimu pengetahuan, ilmu dan pengalaman yang berguna. Jika tidak sekarang, tentu saja di suatu masa. Amat-amatilah dari pengalamanmu..
Sayang, wajahku tak seindah bulan..
Kasih diharap tak diterima orang..
Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir
Ku kira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Ku kira puji seikhlas budi
Ku lupa lidah tidak bertulang
Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban
Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda
Tuesday, August 22, 2006
Bingkisan buat Nyah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pertama-tamanya, selawat dan salam buat nabi junjungan SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda yang telah bermati-matian berjuang untuk Islam. Doa juga untuk pahlawan2 Islam, yang demi tuhan dan agama, darah mereka tumpah. Moga kita jua lah yang dipilh Allah untuk menyambung perjuangan mereka, moga kitalah orangnya.
Nyah,
Biarlah kumulakan bingkisan bisu ini dengan jutaan kemaafan seandainya perutusanku ini membuatmu merasa jelik dan bungkam. Maaf juga kupinta seandainya nanti terdapat kata2ku yang sinis dan menikam terus ke perdu hatimu. Untuk kesudianmu membaca bingkisan ini, aku dahulukan dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Kerana beruntung benar jika kata2ku ini dapat Nyah dengar dan ambil sebagai bekalan kehidupan. Jika pun tidak banyak yang bernilai, tentu setitik dua dapat Nyah hirup di saat duka memerlukan.
Dan Nyah, barangkali asing benar bingkisanku kali ini. Entah siapa aku disisimu yang begitu berani mengutarakan pendapat yang maha hebat. Entah Nyah terima atau tidak, aku tidak tahu. Tetapi sebagai seorang insan yang belum pun setarafmu, aku cuba untuk membantumu serba sedikit dari pengalamanku yang cetek lagi singkat. Meskipun pengalaman yang aku lalui tidak sekalipun barada ditingkat yang sama denganmu, mungkin ada jua secubit takdir yang terjadi padaku, yang mungkin boleh kukongsikan bersama. Kerana di dalam kehidupan di dunia, kita tidak akan dapat lari dari ketentuan takdir Allah yang esa. Cuma kita hanya mampu menempuhinya dengan sabar dan rela. Kerana di setiap mehnah itu pasti ada sirna dihujungnya.
Nyah, seorang ibu itu..
Tugas itu telah kau tanggung. Mahu atau tidak, dirimu telah ditakdirkan Allah untuk menjadi seorang ibu kepada anak2mu. Suka atau tidak, kau tetap bergelar ibu yang sesudah semestinya perlu membesar dan mengasuh anak2mu dengan tunjuk ajar yang jitu. Perkara itu tidak akan dapat diputarkan kembali. Anak2mu itu pasti akan kekal beribukan dirimu. Dan hanya kamu! Tenanglah seketika Nyah. Fikirlah dengan minda yang tenang. Bukankah Nyah juga dibesarkan oleh seorang wanita bernama ibu? Yang mana dibesarkanmu tanpa bantuan seorang teman bergelar ayah? Namun dia berjaya bukan?? Jika tidak Nyah, Nyah jua tidak akan mampu sampai ke menara setinggi ini. Jauh di atas tak menjejak bumi. Nah, jadi ikut sajalah jejak langkah ibumu itu. Kerana sebagai seoang ibu, dia juga telah banyak melalui denai2 kehidupan yang penuh liku. Yang mana denai dan lumpuh itu bakal pula kau hadapi untuk membesarkan cahaya mata kesayanganmu. Tentu saja dapat dilakukanmu, Nyah. Bukankah kau jua perempuan yang bertulang empat kerat sepertinya? Itu bukan sebenarnya masalah…
Nyah, wanita waja..
Andai kurenung2 kan nasib yang menimpamu, aku terfikir mungkin dirimu lebih disayangi tuhan. Dia memberikanmu ujian yang belum pernah diberikannya padaku. Tenanglah Nyah, kerana antara semua manusia di dunia, dirimu yang istimewa. Nyah wanita serba arif yang pernah kutemui. Jadi, arifkan lah jua dirimu di dalam melalui liku2 ini. Yang pergi biarlah pergi. Kerana yang patah kan tumbuh, yang hilang tentu berganti. Namun janganlah dicari….Biarlah suratan mengbawanya sendiri ke sisi.
Nyah, kakanda tauladan..
Dari mata kasarku, tiada apa yang kurang padamu. Nyah berjaya di dalam kerjaya, di dalam kehidupanmu dan segal2nya tampak sempurna. Nyah berjaya membentuk peribadimu menjadi seorang wanita ulung dan unggul dan berjaya juga membentuk peribadi adik2mu sehingga mereka kini menjadi manusia yang tak kurang hebatnya. Beruntunglah mereka; adik2mu kerana mendapat contoh yang baik, dan boleh pula dijadikan tauladan. Bukan seperti aku, Nyah. Aku di sini tanpa bantuan insan bergelar kekanda. Kerana aku lah kekanda itu! Cuma aku mungkin sedikit bertuah dikurniai ayahanda bonda yang banyak berjasa. Yang entah dapat atau tidak, jasa mereka itu kubalas kesemuanya.
Nyah, aku tahu bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang maha baru ini. Namun belajarlah dari adikmu yang satu itu. Kerana di mata halusku, aku merasakan yang ada sesuatu padanya yang mungkin dapat Nyah ambil sebagai petunjuk. Adikmu itu seorang gadis hebat. Dalam diam dia tegas, dalam lembut dia tangkas. Benar Nyah, kerana sesuatu itu dinilai oleh mata yang melihat. Bukan niatku untuk membezakan kalian. Cuma alangkah bagusnya andai yang sempurna itu dapat kita kongsikan bersama. Yang buruk dibuang, yang baik sama dijulang. Kerana di dalam dirimu jua ada sesuatu yang tiada padanya. Ah, namun sudah kerapkali aku tuturkan. Cuma adikmu itu sama saja keras hatinya. Entah ke mana tumpahnya kuah….
Nyah,
Rasanya telah banyak yang kupahatkan dalam bingkisanku ini. Mungkin di lain hari dapat pula kuutarakannya lagi. Adakalanya, bersuara tanpa suara ini lebih mudah dan mudah pula masuk ke hati. Maafkan aku Nyah, bukan jahat niatku ini. Namun sebagai adindamu yang tidak malu menumpang pengalaman dan kasih sayang, bagus juga andai dapat kita teruskan ukhuwwah ini dengan rasa kasih yang tiada penghalang. Seperti aur dan tebing. Sama2 bangun berganding.
Akhir kalam, Nyah.. Tabahkanlah dirimu dalam menghadapi ujian Tuhan ini. Di setiap kesempitan yang Tuhan beri, pasti ada hikmah yang menyelubungi. Jadilah ibu dan ‘bapa’ yang penyayang, yang bertanggungjawab, yang ikhlas dan yang sabar dan tegar menanggung anak2mu. Semoga kekuatanmu itu dapat pula kucontohi bila membesarkan cahaya mataku nanti. Lembutkanlah hatimu dengan nasihat yang diberi. Tak kira siapa, tua atau muda, miskin atau kaya. Kerana lebih baik kita mendengar apa yang dibicara dari memikirkan siapa pembawa mulutnya.
Aku juga memohon padamu agar dinasihati diriku yang kurang segala-galanya ini. Agar dapat aku membaiki diri dan mengambil nasihatmu sebagai pedoman menempuh cabaran nanti. Dengan Kudrat Tuhan, semoga kita semua menjadi pemuda cemerlang duniawi ukhrawi.
Sampai di sini bingkisanku, Nyah. Jaga dirimu selalu. Yang lepas itu jangan sekali Nyah ingati. Biarlah berlalu pergi. Perjalanan hidup kita masih di pangkalnya. Banyak lagi yang dapat kita tempah andai masa mengizinkannya. Moga2 lah yang dapat kita tempah itu sesuatu yang cantik dan istimewa. Mulakanlah langkah pembaharuan itu dari sekarang. Agar bila tiba di ketikanya, kita telah jadi insan terunggul yang tidak takut dibiar seorang. Mampu bangkit biarpun diserang.
Tinggal ya, Nyah. Terima kasih untuk penerimaanmu ini. Semoga dapatlah menyinar hatimu yang kelam. Agar tidak menjadi bara yang bersimpul dendam.
Salam sayang dariku.. Assalamualaikum
Tuesday, August 15, 2006
biar roboh kota melaka..
Thursday, July 27, 2006
katalah yang sepatutnya, dan kena pada tempatnya
Thursday, July 13, 2006
bacalah kata2 pujangga...
"Bila semuanya sanggup kau hadapi, Kesetiaanmu pada perjuangan murni ini tidak berbelah bahagi, Maka engkaulah pahlawan pertiwi, engkaulah yang berhak mempusakai bumi dan seisi, Engkaulah sebenarnya Wanita, Pemuda dan Puteri bangsa sejati. Di mulut ku lafazkan hasrat Di hati ku bakar semangat. Pada Wanita, Pemuda dan Puteri ku pohon tekad."
Wednesday, July 12, 2006
apa yang ada padamu..
Padamu ada keindahan..
Umpama lukisan alam;
Tenang, damai dan mempesonakan….
Kerana biarpun malam gelap,
Keindahan itu tidakkan malap.
Padamu ada ketenangan..
Umpama lautan membiru;
Luas, sunyi dan mengalun….
Kerana biarpun tanggal siang,
Ketenangan itu dihiasi bintang-bintang.
Padamu jua ada kedamaian..
Umpama sumur ladang;
Dingin, basah dan merimbun….
Kerana biarpun tumbuh rumput,
Kedamaian itu kan tetap berpuput lembut.
Dan..
Padamu itu ada KECINTAAN..
Umpama angin bayu;
Segar, leka dan mengasyikkan….
Kerana biarpun tak dapat disentuh tangan,
‘kecintaan’ itu tetap aku rasakan…
-sajak buat MJ-
oleh Han @ Har
Pembaharuan dan penerimaan
Kelas bahasa inggeris itu baru sahaja kutinggalkan. Laju derap tapakku melangkah pulang untuk menulis sebaris dua di ceritera yang telah menunggu lama. Bimbang benar akan perjalanan itu dapat mengeringkan segala buah fikiran yang selama ini kusimpan sejak di kelas tadi. Nah, sekarang aku di sini. Di hadapan kekuci yang sesetia aku jua. Peluh masih belum kering. Baju kurung ke kelas tadi pun masih lekat di tubuh, namun beria benar kurasakan mahu menulis perkara yang satu ini. Entah untuk siapa, aku kurang pasti.
Guru bahasa inggeris ku itu seorang melayu yang cekal jiwa. Dengan perwatakan yang berhemah dan cukup bersahaja. Sekali imbas, ingin saja aku memanggilnya ‘cikgu’ berbanding 'sir'. Kerana gayanya mengingatkan aku pada Tunku yang berbaju YB, bersongkok senget tinggi. Benar rupanya, guruku bersemangat waja. Seperti bapa kemerdekaan lagaknya. Namun kenapa bahasa jajahan itu jadi pilihan?? Kenapa bahasa inggeris itu jua yang jadi bahan pengajaran?? Bukankah lebih indah andai dia dapat mendidik pemuda2 kita menyayangi dan menghargai bahasa tanah ibunda? Aku makin keliru.
Lima belas minit mendengar perbahasan cikgu bahasa inggeris itu, hatiku kembang kuncup. Berbangga dan bertuah aku dapat mengenali insan seperti cikgu. Mulutnya berbuih mengutara bahasa inggeris yang penuh gaya dan wacana. Namun hatinya tetap menyanjung penuh bahasa ibunda. Cikgu berpesan bahawa dunia sekarang mengHARUSkan kita untuk menguasai bahasa inggeris. Tanpa bahasa inggeris, kita takkan mampu kemana. Politik akan jadi gundah, ekonomi akan jadi lemah. Bahasa inggeris adalah bahasa kekuasaan, bahasa kemodenan dan bahasa kemajuan. Untuk maju, kita terpaksa meniru kerana kita adalah bangsa yang BELUM lagi berjaya sepenuhnya. Jadi kata cikgu, apa salahnya kita mendalami bahasa penjajah ini seandainya ia dapat membawa kita untuk lebih menghargai bahasa sendiri. Ah, benar sekali rasanya kata2 cikgu itu. Dalam diam aku tersenyum. Aku sama sekali tidak menbenci atau ‘anti’ bahasa inggeris. Tidak. Cuma seperti yang telah kukatakan dulu, aku lebih gemar dengan bahasa ibundaku sendiri, walaupun sudah nasibku terpaksa menghadapi bahasa inggeris ini sepanjang pembelajaranku di menara tinggi. Terima kasih cikgu. Beliau telah memberiku satu intipati baru dalam memperjuangkan bahasa melayu. Pembaharuan yang memerlukan penerimaan.
“Accepting english does not mean ignoring bahasa Melayu.”
Benar kata cikgu. Menerima bahasa inggeris sebagai bahasa hari ini tidak bermakna mengabaikan bahasa ibunda yang telah lama bertakhta. Pembaharuan memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan perlulah pula dilakukan semangat keazaman. Kita bukan lagi melayu yang beku, tunduk membisu, kaku membatu. Kita perlu bangkit seiring dengan kuasa besar dunia. Bangkit dengan semangat yang kental, jiwa yang cekal, hati yang anjal. Biar kita jadi rakyat yang berjaya dengan wang ditangan, bahasa di mulut, Tuhan di hati, musuh di kaki, ilmu di dada dan zuhud di wajah. Biar kita jadi umat Islam yang maju membangun agama Allah. Yang berjaya di akhirat dan di dunia. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya…
Sekarang aku akan cuba untuk menerima pembaharuan yang dimaksudkan cikgu. Bahasa kemodenan itu akan kucuba fasih dan tajamkan. Biar aku jadi pemuda cemerlang yang boleh hidup di timur mahupun di barat. Biarpun dengan bahasa melayu yang pekat dan bahasa inggeris yang pelat. Biar desing telinga mendengar, sakit mata melihat. Andai itu resepi kejayaan, aku pasti merasa dan biar pahit kutelan jua. Kerana aku pemuda yang mahu bangun memperjuangkan apa yang sepatutnya. Tak kira untuk siapa dan di mana. Aku sanggup mati demi kebenaran dan sanggup hidup dengan seribu kepayahan. Biar mati dicincang badan, yang hak itu pasti kujuangkan…
pesan Tun Dr. Mahathir: "MUSUH utama orang Melayu ialah orang Melayu sendiri. Ini kerana kemajuan satu-satu bangsa bergantung kepada nilai hidup bangsa itu... kalau baik nilainya, mereka maju, kalau baik nilainya tapi tidak diamalkan, bangsa itu tidak dapat maju. Yang akan halang orang Melayu maju ialah pegangan nilai yang tidak baik. "
Aku datang lagi
********************************************
Di pulau S itu…
Perjalanan ke pulau itu mengambil masa lebih kurang 45minit menaiki bot nelayan. Pertama kali, kaki kujejakkan di atas periuk nasi nelayan itu, hatiku sayu. Segala-galanya serba kekurangan di ruang mata. Sukarnya wahai, jika benar itulah yang kita namakan kenderaan si penangkap ikan. Bot kecil yang bergetar dengan bunyian enjin itu menderu perlahan. Sekali-sekala bayu laut berhembus deras, mengalunkan bot terhuyung-hayang ke kiri ke kanan. Pantas terpercik di wajah percikan ombak yang masin di lidah. Erat genggaman tanganku di palang bot. Risau benar akan terjadinya perkara tak diduga minda. Pukulan ombak yang deras memeningkan kepala. Sekali-sekala terasa seperti mahu terburai segala yang dikandung perut. Kupejam mata erat. Nafas kutarik dalam. Masih belum kuat rupanya diriku menghadapi cabaran yang satu. Ah Tini, anak bandar benar kau rupanya. Mana mampu membelah lautan mahupun sekejap cuma. Namun ku gagahi jua cabaran ini. Aku bukan makhluk angkuh sombong yang malu mencuba sesuatu yang asing dengan jiwa. Cuma mengenangkan bot nelayan itu…… di depan kekunci ini pun masih terasa alunan ombaknya. Tapi mungkin, segala-galanya akan jadi mudah dengan peredaran masa.
Kujelajahi pulau itu dari hulu hingga hilirnya. Dari muara sampai kualanya. Berkapasiti 200 orang penduduk, pulau itu agak kecil jika dibanding dengan pulau-pulau yang pernah kulawati. Terdapat sebuah sekolah rendah yang mempunyai pelajar lebih kurang 30 orang dengan 5 orang guru bertugas. Asing benar. Dan kagum benar aku. Ada jua pendidik yang sanggup turun laut meredah ombak semata-mata mahu mendidik anak bangsa. Guru2 seperti itu patut diberikan pengiktirafan. Demi mengajarkan ABC, laut China Selatan itu mereka renangi. Khabarnya ada seorang guru muda yang datang dari kota. Kepingin benar kuberjumpa namun mungkin tidak di kali ini. Biarlah, mungkin kan tiba masa dinanti. Yang pasti, ramai lagi anak2 kecil disini yang dahagakan ilmu dan petunjuk. Masih lagi mentah dan kelat tanpa pendidikan dan perlembagaan yang jitu, mantap. Sama sekali berbeza dengan kehidupan di bandar besarku. Walaupun aku bukan anak pulau, aku pasti penghuninya hanya menunggu masa untuk merasai nikmat pembangunan. Jika tidak sekarang, mungkin di masa hadapan.
Petang itu kusembang kecil dengan penduduk kampung. Ada lagi anak2 muda yang masih sayangkan tanah tumpah darah mereka. Suka membantu ibu ayah dan kagum dengan gelaran nelayan cuma. Sedetik aku berbangga. Dan sekilas aku bertanya, mampukah di ‘upgrade’ keadaan keluarga jika hanya berada di takuk lama, terus berdiri di tempat yang sama. Perubahan memerlukan pengorbanan. Namun pengorbanan selalu disalah-ertikan kerana selalu juga disalahgunakan.
Ibu bapa mungkin kurang mengizinkan anak2 keluar dari pulau mencari wang dan pengalaman. Kerana takut anak2 buta dan lemas dek arus zaman dan gelora kebandaran. Lalu lupa pula asal usul dan nenek moyang. Kerana alasan itu, ibu bapa lebih redha mengorbankan kesenangan yang mampu dicapai. Rela menerima kesukaran hidup yang sebenarnya mampu dilerai. Anak2 pula tidak mahu membuktikan pada ibubapa bahawa niat mereka itu suci, dan hanya sekadar ingin membaik pulih keadaan keluarga yang miskin, dhaif. Kerana anak2 cepat ta’sub dengan kebendaan yang diserah ada makna, dan dengan wang ringgit yang dihulur tanpa jujur. Anak2 muda lupa bahawa keadaan bandar yang leka lagi melekakan itu lebih mampu melemaskan mereka waima tanpa arus yang datang mencurah. Nah, kerana sebab itu penduduk pulau itu masih di situ. Masih diam terkaku membatu. Bagai diluah mati bapak, ditelan mati ibu. Yang tua dengan alasan mereka, si muda dengan fahaman dan angukkan sahaja.
Namun bersyukurlah mereka masih menjadi warga yang cekal jatidiri. Masih lagi mengenal pencipta abadi, Allahu Rabbi. Kerana terlampau leka dengan damainya bayu senja, aku dikejutkan dengan laungan azan yang merdu mengasyikkan. Oh, masih suci rupanya pulau ini berbanding bandarku sendiri….
***********************************************
Pulau itu kutinggalkan dengan azam dan semangat baru. Berpandukan azimat yang dibekalkan oleh pemikiran dan minda yang padu. Aku ke pulau itu untuk satu tujuan- memperbaiki segala yang kurang. Moga jua pulangnya aku dari pulau itu dapat membaik pulih kekuranganku yang lalu. Aku ke pulau itu untuk meninjau bagaimana jerih payah insan2 yang dipilih Tuhan. Moga dengan kembalinya aku, aku dapat menilai dan menghargai setiap kurniaan yang Allah berikan. Tak kira kegembiraan mahupun kesedihan. Sekembalinya aku dari pulau itu pasti lah menagih sesuatu yang unik dan unggul dari orang2 yang setia menunggu. Jika tidak dapat pun menjadi seorang ketua yang mampu memimpin dengan karisma, sekurang-kurangnya aku boleh menjadi seorang pengikut yang patuh dan setia. Nah, sekarang semuanya terpulang kepada aku. Kerana jatuh bangunnya aku adalah ditanganku. Moga2 ada lah Allah sebagai teman penunjuk jalan yang satu.
Sunday, June 11, 2006
Ubat hati
Kubuka jendela luas2. Angin menderu sepoi2 dan percikan gerimis itu terpercik di wajah. Serta merta roma meninggi dan gigil tubuhku. “sejuk…”. Kucapai walkman dan menyumbat earphone kecil itu ke telinga. Pantas kedengaran…
Ubat hati..
Ada lima perkaranya..
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua… solat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat… banyakkanlah berpuasa
Yang kelima zikir malam berpanjanglah
Salah satu.. jika ada menjalani..
Moga2 Allah Ta’ala mencukupi…
Mata dipejam erat. Nafas dihirup panjang. Masih bernyawa rupanya makhluk yang lalai leka ini. Ubat hati…. Oh, itu rupanya ubat hati untuk si pesakit hati. Orang2 yang mati dan parah hatinya tentu memerlukan nada2 seperti ini sebagai ingatan dan pengajaran. Ah, kau sendiri sakit hatinya, Tini. Ya, mungkin. Namun aku pesakit yang mahu mencari ubat, merawat hati yang lama berkarat. Bukan yang ingkar, dan terus-terusan mengumpul kesalahan sampai berumbi berakar. Sekurang-kurangnya kita perlu sedar. Itu lebih mulia dari terus mendabik dada, melakukan maksiat dan dosa.
Manusia jarang berfikir. Manusia jarang memikir sedangkan bila berfikir itu barulah nikmat Allah dapat dihargai. Iman dapat dinikmati. Manusia selalu mengambil mudah atas apa yang berlaku di hadapannya. Dengan hujan yang turun mencurah, dengan matahari yang terbit indah, dengan camar yang terbang girang, dengan pohon yang beralun rendang. Jarang manusia melihat dengan mata hati yang celik lagi benar. Kerana masa manusia terlalu penuh dengan memikirkan hal2 yang tidak wajar. Bila tiba saat dicabut nyawa, baru manusia mahu sedar. Sedangkan di waktu itu segalanya telah tersasar. Tiada masa lagi untuk mengulang kembali. Tiada waktu lagi untuk bersujud pada Ilahi mengaku abdi..
Ah… syukurlah menjadi aku yang dikurniakan mata hati yang bersuluh terang. Mampu pula memimpinku menuju jalan yang diredhai tuhan. Hatiku yang pra-sedar itu akan kuubati dan kurawat sehabisnya. Dengan ubat hati yang lima. Moga bila sahaja rawatan itu aku jalani, Allah Ta’ala akan membantuku mencukupi… Ameen ya Rabbi!
MELAYU itu pakaianku…
Kugenggam tanganku seerat penumbuk. Kalau ikutkan hati, ingin saja kuajar mulut celupar yang tak berfikir sebelum berkata-kata itu. Mungkin tidak disedari wujudnya insan yang sangat sensitif terhadap perihal bangsa. Bukan kumembenci bahasa kemodenan inggeris. Bangga belajar dan diajar bahasa inggeris. Tahu akan kepentingannya di dunia maju kini. Cuma kegemaranku adalah bahasaku sendiri. Keobsesan yang hanya hadir pada pertiwi sendiri. Kerana kusayangkan bangsaku. Jika bukan aku yang memeliharanya, masakan tidak dimamah bahasa dan bangsa merdeka? Seimbas ku terkenang kata2 laksamana. “Takkan melayu hilang di dunia..” Benarkah? Entah.. Cuma bangsa kita bukan Quran yang maktub dipelihara Allah. Bangsa kita pasti hilang luput dijajah arus masa. Percayalah….
Guruku pernah berpesan, jadikan bahasa melayu itu pakaianmu, dan jadikan pula bahasa inggeris perhiasan kepada pakaianmu itu. Indah tutur cikgu. Dalam rangkap maksud membuatku mengangguk tanda setuju. Mungkin maksud cikgu, berbanggalah mengenakan bahasa melayu itu dimana2 dan gunakanlah bahasa inggeris itu tepat pada masanya. Bukan ber‘speaking’ nyaring dengan orang tua di kampung2 yang hanya menyambut dengan senyum sumbing. Itu bukan kemegahan tapi kebodohan. Bagai melayu yang lupa diri setelah masa remaja dihabiskan menjelajah negara penjajah. Pulang ke tanah air membawa onar pula. Menggeleng-geleng ibu bapa saudara-mara. Dengan kulit hitam kilat tetapi rambut merah saga. (senyum) Hmm.. entah apa dilihat manusia sampai buta dibutakan oleh merdeka. Merdeka yang dijajah. Bebas yang terbabas. Sebak hati namun tak mampu mengalir tangis ke pipi. Bimbang pegangan yang kian terkikis hakis bagai ajal menunggu mati. Susah bersuara pada anak merdeka yang hanya tahu berhibur berlibur. Jarang memikir masalah bangsa dan agama yang kian hancur lebur. Kian lama menyusur gugur.
Tengoklah, ke sana kemari mereka dengan pakaian yang menutup pangkal cuma. Dengan rambut yang bukan lagi hitam warna. Dengan bahasa yang entah apa cuma difahami mereka. Ya rabbi, tuhan. Itukah bangsa Tun Sri Lanang yang gigih mengungkai sejarah? Itukah zuriat Hang Tuah yang pada adat kasihnya tumpah? Pasti terkejut mereka andai serupa inilah bangsa Malaysia. Tenggelam dalam maksiat, buang adat buang akhirat. Malu mengaku itu bangsaku. Tidak… Mereka bukan anak melayu dijiwa, mereka melayu hanya pada nama dan keluarga. Tapi resam, ditinggal kepam, lapuk dan masam. Ah, Tini.. mana mampu kau berdiri seorang memperjuang yang dibuang, bagai melukut di tepian gantang. Melayumu itu akan pergi menyonsong, terbang bagai burung. Tanpa akal makmur yang sudi mengusung mengendong. Hhmm.. air tempayang dicedok segayung, mampukah memadam api di gunung????…….
Saturday, June 10, 2006
Ah lelaki….!!
Panjang menungku memikir apa natijah yang bakal kuhadapi jika tulisanku berbaur hal2 yang sensitif sebegini. Kepingin benar kumenulis tentang satu daripada makhluk kejadian Tuhan yang maha agung ini. Makhluk yang ber’gen’ XY ini. Ya, lelaki. Jangan pula kalian bimbang. Kubukan extrimist yang begitu jumud memandang perihal dunia sehingga segala-galanya kutolak bulat-bulat. Pemerhatianku cuma seperti insan biasa yang dikurniai pemikiran untuk mentafsirkan yang hakikat. Hakikat yang perlu diterima, ditelan walaupun kelat. Kalaulah pun tafsiranku itu dapat diterima dek telinga yang mendengar, mata yang melihat.
Telefon bimbit yang kuletakkan di sudut meja itu berdering. Irama cindai dendangan Siti Nurhaliza berbunyi nyaring tetapi tidak lama. “Ah, miscall..” laju tanganku mencapai telefon untuk melihat siapakah gerangan nama di skreen.
One Miscall
Z******
Hmmmmpph.. dengusan ku panjang. Lelaki itu lagi. Kenapa hadir tatkala segala memori telah tamat kupadamkan dari kenangan. Apa perlu menggangguku lagi andai telah tiada keikhlasan dalam hubungan persahabatan. Ah lelaki… mengapa begitu mudah melafazkan kata?? Sehingga termakan pujuk rayu sang teman yang pergi menghilang diri setelah hati dibuai perasaan. Atau akukah perempuan yang begitu pantas menilai kebaikan dihulur sang arjuna? Ah Tini, terlalu singkat akalmu sehingga yang bertamu kata itu kau anggap cinta, yang mengambil tahu itu kau anggap rindu dan yang selalu terbayang itu kau anggap sayang. Salahkah?? Mungkin tidak bagi perempuan sepertiku.
Perempuan tidak akan mengambil tahu melainkan dia rindu, tidak akan menyisih andai benar dia kasih, dan tidak akan berkata ‘ya’ melainkan dengan cinta. Itu perempuan. Kaum Hawa, bangsa Hartini dan spesies Haryati yang tak tahu menipu, tak pandai mempermain pujuk rayu. Kerana kalau diam itu, tandanya dia setuju. Dan kalau beralasan itu maknanya dia tak mahu. Perempuan bukan seperti lelaki yang tetap melayan walaupun bosan. Tetap menghubungi walaupun tak sudi dan terus menyusun kata walaupun tak cinta. Hingga terasyik kaumku yang memang butuhkah kasih sayang dan perhatian. Nah, kalau begitu ia salah siapa? Salah Hawa yang datang menggoda atau salah Adam yang tak boleh hidup tanpa Hawa, waima di syurga??? Persoalan lagi.. Persoalan yang boleh dijawab dengan mata hati atau kata nafsu yang melulu.
Lelaki dan wanita dicipta tuhan untuk bergabung mengharmonikan dunia. Tiada wanita tanpa lelaki dan begitulah sebaliknya. Ibarat pantai dengan lautan, putih dengan hitam dan siang dengan malam. Semuanya diciptakan indah dengan pasangan. Jangan pula ego meninggi diri bagai dunia ini hanya milik kita. Seolah-olah kita dapat hidup dalam gembira dengan tangan yang sebelah, dengan wajah yang setengah. Heh, kagum kulihat orang yang mengaku dapat hidup tanpa arjuna. Dan kagum juga aku dengan lelaki yang konon dapat hidup tanpa wanita. Ah, nabi sendiri rindukan Khadijah, apatah lagi kita. Bukan semua manusia dicipta Allah menjadi Rabiatul Adawiah yang hanya dambakan kasih azza wajalla. Dan bukan juga semua dicipta menjadi sahabat rasul yang kekal hidupnya tanpa isteri dan cahaya mata.
Tapi bukan semua!! Itu benar. Benar sama sekali. Cuma lelaki… jangan lah begitu pada wanita. Kutahu yang buruk itu cuma segelintir saja. Tapi masakan boleh ditelan susu yang bercampur walau setitik tuba? Memang yang jahat itu sedikit, tapi yang sedikit itulah yang menghancurkan. Aku tidak membenci lelaki. Masakan aku.. ayahku seorang lelaki, malah lelaki budiman. Adik2 ku lelaki. Saudara-maraku juga sebahagiannya lelaki. Cuma mereka lelaki yang agung dan unggul. Lelaki yang tidak menghancurkan malah membahagiakan. Jadi aku tidak 100% menunding jari ke arah lelaki. Cuma kesal, kalau lelaki menggunakan akal pada tempatnya dan menggunakan nafsu pada masa dan ketika yang diredhai Allah, takkan wujud generasi kecil yang berbapakan ‘Abdullah’ semata.
Ada. Aku tahu ada. Aku maklum ada lelaki yang tidak begitu. Yang budinya luhur, yang niatnya satu dan tingkahnya tidak melulu. Aku kenal K**** yang indah perwatakannya, sesuai dan sempurna di mata di jiwa. Sehingga kuibaratkan dia seperti bintang tinggi yang tak tercapai dek tangan, tak terpeluk dek badan. Aku juga sempat dikenalkan dengan J**** yang tulus menyintai wanita yang dicintainya. Jejaka yang tidak pernah berputus asa dan cekal azamnya. Cuma lelaki itu terlalu jauh untuk diseru. Dan mungkin hanya dengan kudrat Tuhan dua cinta suci itu akan bersatu. Aku tetap mendoakannya. Moga ada lah suatu hari terletaknya kebahagiaan dua manusia yang ikhlas bercinta, yang sarat menanggung ujian Allah dengan duka dan air mata, bertemu berpisah kerana yang esa jua. Semoga datanglah masanya. Semoga diperkenan segala doa. Semoga……..
Tapi aku tetap sendiri. Tanpa makhluk bernama lelaki untuk didampingi (senyum). Mungkin bukan kini. Mungkin ada masa nanti di suatu hari. Kerana aku ibarat pohon yang tumbuh subur nun jauh di gunung tinggi. Jadi, tentu saja bukan calang2 pendekar yang mampu mendaki memetik aku menjadi suri. Tunggulah.. Pastikan tiba suatu hari dinanti. Pastikan datang sang putera yang bakal memanggilku puteri.. Ah, lelaki…..
Anak nelayan naik perahu
Sedang berdayung hujan gerimis
Hancur hati orang tak tahu
Mulut tertawa hati menangis
Kain batik dari seberang
Dipakai anak tanah melayu
Apa ertinya kasih dan sayang
Jikalau engkau berjanji palsu
Gugurnya bunga dalam jambangan
Layu ditimpa si matahari
Beribu sumpah dikau ucapkan
Mengapa kini dikau ingkari
Patah dahan daun berganti
Bunga pun kembang tiap tangkainya
Tak guna lagi daku sesali
Sudah lah takdir apa nak daya
Lalang
Hidup jangan seperti lalang
Ke kanan ditiup, ke kanan melayang
Ke kiri dihembus, ke kiri terbang
Ke mana2 ditebas orang…
Hidup; orang tak pandang, mati; orang tak kenang
Namun kata2 ku itu mungkin terlalu ringkas tetapi dalam maksudnya. Sehingga sukar sekali untuknya meramal maksudku di sebalik kata. Aku tak bersedih andai kata-kataku sukar ditafsir atau disalah tafsiri orang. Kerana sebagai penulis, tulisan ku sudah tentu terlalu subjektif. Aku telah meramal akan adanya kekurangan fahaman dan mafhum dari semua yang sudi membaca tulisanku ini. Aku maklum dan aku telah bersedia untuk tidak melenting andai ada yang datang menjengah, mengkritik dan mengherdik.
Lalang ini kutujukan buat seorang teman yang sangat ta’asub dengan kerja2nya sehingga terabai kewajipan yang seharusnya didahulukan. Aku musykil akan orang2 sebegini yang mudah benar menurut perintah dah arahan orang lain. Mungkin bagi mereka, aku adalah manusia bongkak dan kedekut masa. Tak senang mencari perhatianku apatah lagi meyakinkan aku supaya masaku habis terarah pada sesuatu. Kerana aku adalah aku yang tak mungkin dapat dipaksa dan diseru. Aku sukar memberikan kata setuju waima kepada perkara sekecil semut pun. Keputusanku memang mahal ditagih dan memang sukar diperoleh. Aku bukan jenis manusia yang mudah setuju dan akur pada arahan orang lain. Aku bukan spesies lalang mahupun lembu yang dicucuk hidung. Semua itu bukan aku.
Kerana itu kumerasakan sesuatu apabila melihat sebahagian teman2ku yang mudah diperguna itu dan ini. Mudah pula mengikut kanan atau kiri. Kerana mereka lebih rela mejaga hati orang lain berbanding hati mereka sendiri. Sehingga terabai segala perasaan mereka. Hatta ke tahap dirundung hiba, mereka boleh tesenyum dalam nestapa, mengaku rela dalam terpaksa. Tini… nadamu berbaur cemburu. Bukankah mulia mereka yang menjaga hati dan perasaan orang lain? Jangan butakan hatimu kerana pegangan yang kau sendiri pegang. Kalau bagimu, mereka ibarat lalang, tidak mustahil dirimu bagi mereka cuma berita duka yang membawa malang. Ah.. degil benarnya aku yang bernama Tini ini. Pesan orang jarang kupeduli… Ingat lah Hartini, jangan matikan hati, bekukan diri….
Pesan sang teman…..
Bukan lalang ibarat dirimu
Bahkan Zaharah nilai hatimu
Jika prinsip jadi sandaran
Sertakan ia dengan kesabaran
Bagi setiap mehnah, pasti ada hikmah..
(A.I.K.) 060606
Thursday, June 08, 2006
KeASLIan sejati
Lagu lama yang penuh dengan pesanan dan nasihat itu perlu kita renung sedalam-dalamnya. Lagu2 asli ciptaan orang dulu kala dihasilkan dengan darah dan air mata. Sehinggakan sayu sekali kita mendengarnya. Sebelum air mata kita tumpah, air mata mereka juga telah banyak tercurah. Kerana itu setiap baris rangkum yang hadir menghasilkan sesuatu yang indah menyentuh jiwa. Bukan mudah menghasilkannya.
Daun berembang di ataslah gunung
Tumbuh di bawah pohon meranti
Jangan lah hidup berulam jantung
Menunggu dia bersama mati
Serangkap pantun dari lagu joget nyanyian Siti Nurhaliza kedendangkan di sini. Indah bukan, bait bicaranya. Sayang sekali tak ramai yang boleh menilai. Budaya kita warisan kita. Sejauh mana kita mengejar kejayaan dengan sains dan teknologi, jangan sesekali lupa adat budaya yang tentu hilang jika tak dijaga. Menjaga adat tak bermakna mundur dan lemah. Meniru Barat tak bermakna kuat dan gagah. Ingat pesan datuk nenek, takkan hilang bisa ular, meski menyusur akar ketapang. Takkan hilang harum mawar, meski ditanam di tepi longkang. Keaslian sejati, eloklah kita warisi….
Pekan Bidor- di suatu waktu…
Masih adakah lagi gerai kecil tau fu fa di hadapan stesen bas Bidor itu? Masih berniaga kah mamak muruku yang gigih membawa basikalnya merata desa? Masih wujudkah gerai tepi jalan yang mana kuhabiskan masa makan tengahari minta nasi tambah dengan rakan-rakanku? Oh, alangkah rindunya aku pada zaman itu. Zaman lampau itu. Sampai kini, aku masih belum sempat melawat kembali tempat jatuh bangunku. Masih belum berpeluang mengharungi pekan kecil Bidor yang mungkin usang, atau mungkin indah dek arus zaman. Masih adakah lagi tabiat memakan ABC dengan apam balik yang aku dan rakan2 lakukan dulu?? semua tinggal persoalan. Kalau mampu ku putarkan masa, inginku kembali merakamkan detik indah di Bidor. Bersama rakan2 dan guru2 yang penyayang. Masyarakat kampung yang penuh resam dan adat sopan. Aku bagai si jakun yang terpisat-pisat melihat martabat melayu dijunjung. Mendengar tutur kata diadun. Sama sekali jauh dari sifat sebenar tanah tumpah darahku di bandar besar. Ya, itulah yang dapat kulihat, kudengar dan kufahami. Di Bidor itulah aku menjadi aku yang diciptakan tuhan sebagai diriku. Bidor, tunggulah kedatanganku. Kerana aku bukan rerama yang mudah lupa pada kelonsong usia. Aku akan cuba menjadi enggang yang pasti pulang menjengah sarang.
Tiada Penghujung
…….Haiya ‘alas solah……..
Wednesday, June 07, 2006
Nasi lemak buah bidara….
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Diimbas sekali pantun di atas, apa tujuannya? Rasa bagaikan tidak patut membuang emak kerna turutkan kasih yang tuli lagi buta. CINTA. Ini semua kerja cinta. Cinta yang entah di mana awal akhirnya. Kenapa manusia bercinta? Tini, tanpa cinta, kau tak mungkin wujud dan lahir ke dunia. Ya, Cinta itu agung dan luhur. Cuma yang bercinta itu saja yang mempermainkannya. Tak tahu dan tak mahu menilainya. Sehingga cinta nampak lekeh dan sememeh. Cinta nampak mudah dan dipermudah.
Cinta tak semata-mata cintakan manusia. Kerana yang lebih agung adalah cintakan tuhan rabbul alamin. Tuhan yang menciptakan matahari dan bulan, yang mengharmonikan malam dan siang. Itu cinta sebenar. Tapi jarang yang bercinta dengan Pencipta. Kerana leka dengan cinta si penciplak cinta. Cinta kebendaan, cinta kekayaan, cinta keagungan dan dan dan… Maka gugurlah kita sebagai sang pencinta yang terkena panah asmara. Dulu, di zaman orang tua-tua kita, cinta adalah sesuatu yang ‘sacred’ dan penuh hikmah. Cinta bukan mainan dan paksaan. Tetapi cinta adalah kerukunan, kebajikan dan keamanan. Malah cinta juga adalah titian dan pertalian. Kerana itu orang dulu2 boleh hidup aman damai dengan cinta mereka. Cinta yang dibajai amanah dan taqwa. Tapi cinta kita??
Kita ta’asub dengan cinta. Lalai dengan kata cinta. Lena dalam rayu canda. Kerana itu kita buang emak, buang saudara demi cinta. Sampai ke mana hala tujunya? Yang laut kan tetap pulang ke laut. Yang darat akan terus bersemadi sampai akhirat. Tiada sungai tanpa kuala, tiada lautan tanpa muara. Bercinta lah. Tiada siapa melarangmu. Asalkan cinta itu kau jaga dengan rona warna yang suci lagi indah. Bukan dengan debu maksiat yang comot lagi karat. Dan pergilah mencari cinta2 di mana jua. Kerana jikalau benar kau bercinta, kau akan pulang jua mencari arah cintamu yang pertama- Cinta bonda, cinta ayahanda dan cinta saudara. Bukan lari dan pergi membawa cinta terlarang. Yang bakal menconteng warna hidupmu dengan hitam arang. Waktu itu kau bukan sebenarnya berjuang. Pejuang apa yang bertamu tika susah dan beredar tika senang??? Jangan begitu kesudahan hidup ini. Ingat lah bonda dan ayahanda yang bergadai nyawa demi kita. Jangan tiba ketikanya kita menjadi bagai burung yang lupa sarangnya, bagai kacang yang lupa kulitnya. Jangan… jangan sesekali. Tinggalkanlah pantun yang lemah lagi gundah ini. Tiada bagiku.. Tiada nasi lemak buah bidara dalam hidupku…
Keagungan Cinta
Agungkah cinta?
Andai berjumpa hanya untuk terpisah
Andai berkasih hanya untuk tersisih…
Bagai darat dengan lautan
Atau pungguk dengan bulan
Penantian yang tak berkesudahan…
Perlukah pengorbanan??
Cinta agungkah?
Andai bertemu bukan untuk bersatu
Andai bercinta tidak untuk bersama…
Laksana Tuah dan Teja
Atau Uda dan Dara
Berkorban kerana cinta…
Tidakkah sia-sia??
Biarlah…
Biarlah cinta-cinta agung itu…
Biar jasad jauh berbatu
Asal hati tetap satu…
Jangan seiring bak bayang-bayang
Namun hilang dek kelam malam…
Pemburu cinta:
-Hartini Omar-
Jauh perjalanan, luas pengalaman
Aku sendiri adalah seorang jalanan yang suka mengembara. Dalam kembaraanku, aku melihat seluruh sarwajagat dengan penglihatan usia. Mungkin aku masih lagi kelat untuk menilai sesuatu. Belum ranum sepenuhnya. Namun aku berusaha, bertanya dan belajar bagaimana cara untuk matang sebelum usia. Dan di situ aku rasa aku berjaya. Aku masih lagi Tini yang muda mentah, namun aku juga pemuda yang punya hati dan firasat dulu kala. Yang mana disebabkan itu, aku nampak dengan jelas apa yang pemuda seusiaku kabur.
Perjalananku masih panjang. Usiaku baru menjangkau dua dekad. Namun aku harungi perjalanan hidup ini dengan tekad dan semangat. Aku ke UTARA menjengah sawah, ke SELATAN mengharung lautan, ke TIMUR merakam deru nyiur dan setia di BARAT mengumpul semangat. Aku bangga dilahirkan sebegini. Mendapat kurnia Allah azza wajalla. Tuhan sekelian alam yang masih mahu aku berpijak di bumi nyata. Ah, Tini.. Terlalu seni dirimu hingga hilang nikmat usia. Hilang keringat muda. Biarlah.. Kerana nikmat usia itu aku salurkan pada pemikiran yang sehaluan. Kerana keringat muda itu aku sapu dengan azam dan iltizam. Cita2ku menjadi pemuda cemerlang yang tak takut juang. Tahu di mana padi masak, kenal bagaimana nasi ditanak. Bukan pemuda yang girang suka bergelak ketawa entah kenapa. Bukan jiwa muda yang mundar-mandir ke hulu ke hilir tapi tak kemana-mana.
Jadi sebab itu aku berjalan, meneroka dan mengumpul pengalaman. Bilamana pengalaman aku itu aku kumpulkan, maka lahirlah diri aku kini yang ta’ajjub pada keagungan tuhan. Dengan pantai yang luas bentang. Dengan saujananya sawah bendang. Dengan dinginnya hutan Ledang. Mmm… itulah aku. Yang masih jauh perjalananku, yang belum luas pengalamanku…
Pantun- Khazanah dimamah usia
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Kubaca enak ayat empat kerat yang setiap satunya mendendangkan irama yang asyik didengar telinga. Kubaca setiap baris untuk memahami maksud ayat2 tersebut. Pantun?? Kenapa pantun, Tini? Aku bertanya diriku. Kerana pantun tidak mudah untuk dicipta. Tidak senang untuk dirangka. Yang penting, pembuatannya tidak semudah yang kita sangka. Pantun yang indah. Maksudku pantun yang indah. Ramai orang mencipta pantun tetapi pantunnya tidak sampai ke hati. Kerana di saat mengarangnya itu pun bukan dari hati. Hanya yang lahir dari hati dapat masuk ke hati. Jadi bukan mudah untuk menarik minat hati2 yang berhati2. Hati2 sebegini akan mendahulukan pemerhatian sebelum penerimaan.
Apa ada pada nama??
Hartini Omar- Nama cermin jiwa
Kusuka nama hartini ini. Hartini yang digambarkan dalam HARTINI* adalah seorang gadis yang penuh ciri2 kemelayuan.. bukan melayu yang melulu dan bukan melayu yang layu.. Hartini gadis budiman yang senang datang bila diperlukan, senang sedar bila dikejutkan dan tidak melatah dengan perubahan zaman. Kemana pergi, Hartini masih membawa aspek2 kesantunan yang di’develop’ dalam dirinya. Mungkin ciri2 wanita sejati itu diperoleh Hartini hasil dari tunjuk ajar pengasuhnya, atau dari ‘environment’ nya sendiri yang membantu Hartini membentuk peribadi tinggi. Tapi sebagai manusia, Hartini juga tidak lari dari masalah yang datang bertimpa. Dari duka yang membawa kepada lara jiwa. Cuma atas sebab berwajib yang ada pada diri Hartini, dia menjadi mangsa korban dirinya sendiri. Mangsa ajal kesantunan dan keluhuran budinya sendiri. Tiada siapa yang salah dan harus dipersalah.. cuma masa dan suasana yang tak dapat ditempah sebelum tiba ketikanya telah datang mengusung hiba.. Nah, bila situasi tak disangka itu hadir, kekallah Hartini menjadi bagai Haryati** yang terpaksa akur pada tentuan takdir.. Terusir dan terpinggir.. Jadi, kenapa Hartini?? Kerana dalam Hartini ada jiwa murni.. jiwa2 yang hanya hadir dengan ketulusan hati… yang mana di suatu waktu dulu, di antara satu zaman yang telah berlalu, aku pernah menjadi Hartini yang tinggi pekerti, dan pernah juga menjadi Hartini yang dikorbankan luhur dan santun budi..
*Novel Hartini oleh Aziz Afkar
** Watak Haryati di dalam novel Tenggelamnya kapal VDW oleh Hamka
Awwalul kalam
Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang..
Pertama-tamanya, syukur kupanjatkan ke hadrat ilahi. Dengan kurnia dan rahmatNya, dapat kumenghasilkan blogku ini. Dulu, awal tahun 2005 aku ada berura-ura untuk membuka blog sendiri. Tapi mungkin disebabkan oleh kemalasan dan kekuranganku, aku gagal mengurus dan meneruskan blog itu dengan baik. Maka tinggallah blog yang lama itu seperti gajah putih yang tak terjaga bila hidup, tak tertanam bila mati. Namun sekarang, aku rasa aku telah bersedia. Malah cukup bersedia. Atas pemerhatian dari orang2 yang berpengalaman, analisa yang dalam dan jitu, aku rasa aku mampu menulis perkara2 yg sepatutnya aku tulis di dalam blog yang tidak seberapa ini. Satu harapan aku, agar pengalaman aku dapat aku kongsikan bersama dengan orang2 yang sepatutnya aku kongsikan, yang mungkin kalau tidak banyak, sedikit dari diri mereka ada padaku. Dan sedikit dari diriku ada pada mereka.
Tuesday, June 06, 2006
Pakej Harga
a) 1 ocassion (RM200) - Bertunang / Nikah (unlimited keping, unlimited hour, kerja sampai majlis habis) - Pelanggan dapat DVD dengan semua gambar2 yang ditangkap berserta 1 folder RETOUCHED (5-8% dari jumlah keseluruhan gambar)
b) 1 ocassion (RM250) - Majlis belah perempuan / Majlis belah lelaki / Outdoor (unlimited keping, unlimited hour, kerja sampai majlis habis) - Pelanggan dapat DVD dengan semua gambar2 yang ditangkap berserta 1 folder RETOUCHED (5-8% dari jumlah keseluruhan gambar)
c) Pakej selalu orang ambil (RM650) - Nikah + Majlis belah perempuan + Outdoor [atau] Majlis belah lelaki (Jimat RM50) - Dapat sama macam kat atas.
d) Pakej sekali harung (RM 800) - Nikah + Majlis belah perempuan + Majlis belah lelaki + Outdoor (Jimat RM100) - Dapat sama macam kat atas.
e) 1 ocassion gambar suka suki (RM150) - Family gathering / Birthday party / Family Outdoor / Family Indoor / Pre-wed session - Dapat sama macam kat atas.
- Luar KL/Selangor, kene topup minyak atau belikan tiket bas pergi-balik
- Luar KL/Selangor, customer mesti sediakan tempat berteduh jika keseluruhan majlis mengambil masa 2/3 hari. Tak perlu hotel, challet bagai. Rumah sedara mara ke, jiran tetangga pun boleh
Untuk sebarang pertanyaan, call/sms di talian 012-2622886 atau emel di charming_lead@yahoo.com
Terima kasih