Thursday, June 08, 2006

Pekan Bidor- di suatu waktu…

Aku bukan kelahiran Bidor. Sebuah pekan kecil di daerah Batang Padang negeri Perak. Aku bukan dari sana. Namun sempat jua usiaku kuhabiskan menjengah pelosok Bidor yang terkenal dengan petainya. Bila memoriku hadir, aku pasti tersenyum mengenangkan zaman kecilku yang kuhabiskan di Bidor. Di sebuah sekolah di sana. Sekolah daif saja. Sebuah sekolah agama yang kurang lagi usang. Namun di situ aku belajar mengenal diri. Belajar mengenal potensi diri. Lalu kerana itu aku adalah aku yang kau lihat di hari ini. Di Bidor kukenal RSRM. Satu nama yang takkan kulupa sampai bila2. Pelita yang menerangi kegelapan tak mengira siang malam. Alangkah indah kehidupan andai semuanya berlaku seperti yang kita inginkan.. Namun kita hanya makhluk tuhan yang terpaksa akur dengan ketentuan. Rela dalam paksaan.

Masih adakah lagi gerai kecil tau fu fa di hadapan stesen bas Bidor itu? Masih berniaga kah mamak muruku yang gigih membawa basikalnya merata desa? Masih wujudkah gerai tepi jalan yang mana kuhabiskan masa makan tengahari minta nasi tambah dengan rakan-rakanku? Oh, alangkah rindunya aku pada zaman itu. Zaman lampau itu. Sampai kini, aku masih belum sempat melawat kembali tempat jatuh bangunku. Masih belum berpeluang mengharungi pekan kecil Bidor yang mungkin usang, atau mungkin indah dek arus zaman. Masih adakah lagi tabiat memakan ABC dengan apam balik yang aku dan rakan2 lakukan dulu?? semua tinggal persoalan. Kalau mampu ku putarkan masa, inginku kembali merakamkan detik indah di Bidor. Bersama rakan2 dan guru2 yang penyayang. Masyarakat kampung yang penuh resam dan adat sopan. Aku bagai si jakun yang terpisat-pisat melihat martabat melayu dijunjung. Mendengar tutur kata diadun. Sama sekali jauh dari sifat sebenar tanah tumpah darahku di bandar besar. Ya, itulah yang dapat kulihat, kudengar dan kufahami. Di Bidor itulah aku menjadi aku yang diciptakan tuhan sebagai diriku. Bidor, tunggulah kedatanganku. Kerana aku bukan rerama yang mudah lupa pada kelonsong usia. Aku akan cuba menjadi enggang yang pasti pulang menjengah sarang.

No comments: