Wednesday, November 14, 2007

Leka


Sekarang tengah leka membaca ‘Chasing Justice’ oleh Kerry Max Cook. – Individu yang menuntut hak dan kebebasan, membersihkan namanya dari pertuduhan jenayah yang tidak dilakukan... Itu juga satu perjuangan!

Saturday, November 10, 2007

Asal

...........Kembali kepada asal dan fitrah
yang cekal dan tidak goyah.........

dia untuk dia

Banyak sekali ucapan2 ringkas dari teman2 tersayang, yang nyata telah maklum akan cerita orang sana yang dengarnya telah pun bertunangan. Apalah lagi yang dapat kulakukan selain mendoakan kesejahteraan keduanya. Yang nyata milik orang, jangan lagi diangan2kan. Jauh sekali terniat untuk aku memotong jalan, nauzubillah.. minta benar Allah jauhkan..

Namun hati mudah terusik. Memikirkan yang jarang benar ia diterima dan ditempatkan di sudut sukma jejaka. Dalam kesedihan yang membuai rasa, tidak pula aku meronta dan menangis hiba. Perutusan kekecewaan ini membuat kukenal diri sendiri, kukenal hati budi insan yang namanya lelaki. Namun adakalanya aku terfikir lalu terus-terusan memikir, orang laki2 apa sebenarnya yang mereka ingini. Rupa atau hati??

Ucapan ikhlas rakan2 supaya aku bersabar dan menerima segalanya dengan redha telah kutatang sebagai candu penyambung kehidupan. Pernah seketika aku terkedu lalu memencilkan diri melayan birat2 keharuan. Dan tatkala itu hadir jiwa yang bertanya kemana aku menghilang. Seakan mengacah-ngacah membawa sirna yang tercipta dan diciptakan.

Namun apakandaya, tidaklah aku mengerti bahawa sang penanti cuma bersimpati. Tiada kasih sayang, tiada rindu dendam. Tiada sekelumit rasa apatah lagi cinta. Dan kemungkinannya aku salah mentafsir hati2 manusia. Aku kirakan manusia itu seperti aku juga. Memuji-muja tulisan dan penulisnya. Rupanya aku silap dalam menilai hukum rasa dan jiwa yang tak boleh dipaksa. Ada ramai yg sekadar sudi berkawan, tanpa jiwa tanpa perasaan

Yang sebenarnya aku jua telah silap memberi jiwa. Memberi santunan kehidupan pada entah siapa2. Kerana luka yang dulu itu belum lagi reda, lalu ditarah pula luka baru yang menyiksa, ah Tuhan.. Berapa kurun lagikah harus aku nantikan untuk sebuah kebahagiaan?? Adakah ini kecewa atau kenikmatan?? Terhad benar akal fikiran

Aku takut menjadi Hartini yang menjadi mangsa pengorbanan sampai mati. Terus-terusan berdiam diri menunggu lelaki yang dicintai. Dan aku juga takut kalau2 ada jejaka yang macam Amli. Termanggu2 kesima menunggu tanpa bertanya. Cinta dipendam di kalbu saja. Bukankah sengsara, rugi dan sia-sia??

Kerap kini aku bermonolog sendiri. Menulis bait2 kata yang entah untuk siapa. Bacalah jika kalian sudi membacanya. Jika dirasakan yang kata2 ini telah hanyut menyiksakan, memabuk khayalkan, merapu bersimpangan, maka tinggalkanlah ia. Jangan lagi dipaksa2 kerlipan mata. Aku menulis untuk diri dan hati. Jika telah hadir rasa meluat dan benci, maka tinggalkanlah aku sendiri. Aku perempuan yang halus rasa, sentiasa bermain dengan aliran jiwa. Bagai kisah dongeng yang memabukkan, sekadar fantasi yang menghiburkan

Realitinya, yang berlalu biar berlalu. Adakalanya terbit kata akal bahawa ‘dia’ itu mungkin baik, berilmu - namun bukan yang terbaik buatku. Kuterima seadanya ketentuan Allah, jika ini yang diinginiNya. Hati ini jarang membenci, dan jarang pula menyintai. Aku tidak mudah menilai erti cinta. Kerana cinta itu terlalu subjektif dan mudah dipersenda. Adakalanya cinta itu juga yang membawa bahagia dan semangat membara. Entahlah, disakiti begini buat hati lebih tabah, lebih menghargai nikmat dan kasih sayangNya


Berbahagialah kalian di mana2. Untuk dia kudoakan sejahtera. Jagalah pemaisurimu sepertimana kau berhati2 tatkala mengetuk pintu hatiku. Biarku terpana menahan sebak di dada. Biarku rawat luka dan berhati2 agar ia tak berdarah semula. Buat aku hanya cinta dan kasih-Nya. Tentang dia, kini telah nyata yang dia untuk dia....

Wednesday, November 07, 2007

Daulatkan AGAMA dan Bangsa

Sudah dua hari perhimpunan agung UMNO berlangsung. Sekadar pemerhati dari jauh, banyak sudah kedengaran gegar2 bahasa yang kuat lagi lantang. Bila saja memijak ke podium berucap, tanpa segan silu orang2 kuat negara menjulang nama bangsa dan rakyat khususnya. Pelbagai janji diberi dan harapnya dengan kata2 juang dan lantang tersebut, akan banyaklah jari2 yang akan tampil memangkah undi. Sekilas pandang, pilihanraya bagai melobi juga, jika tersalah haluan boleh kerugian.

Tidak kisahlah siapa yang berkata2, baik Hishamudin, ataupun Khairy ataupun Noraini. Yang penting ialah apa yang dijanji mereka dikotakan jua. Jangan hanya manis mulut tatkala bermula langkah, selepas memenangi undi dengan jayanya, kelibat mereka hilang tak terjengah. Jangan memperbodohkan rakyat dengan janji2 palsu. Jika benar beban digalas, mereka lah sepatutnya yang jadi kubu buat orang2 melayu

Perlu diingatkan, berhati2lah dalam memilih perwakilan. Bila Dato’ Nik Aziz mencadangkan yang perwakilannya akan dipilih mereka2 yang tidak merokok saja, aku setuju malah berbangga. Perokok bukan tidak baik, tetapi jika tidak merokok adalah lebih baik. Merokok menggambarkan yang seseorang itu tidak menghargai dirinya, jadi bagaimana pula nanti untuk menghargai rakyat dan masyarakatnya. Itu baru isu kecil, sekecil rokok. Bagaimana pula jika mendapat wakil rakyat yang kaki rasuah, kaki judi, kaki minum, kaki perempuan dan berbagai2 kaki lagi?? Nauzubillahi min zalik. Entahlah, mungkin ngiang2ku saja, tidak orang lain

Aku tidak mengharapkan apa2 dari pilihanraya yang akan datang ini melainkan sesuatu perubahan yang dijalankan. Perubahan untuk menggemilangkan Islam sebagai agama terbilang. Kenang kembali “aku cari bukan harta bertimbun-timbun untuk jadi kaya, aku cari bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya, aku cari bukan kawan-kawan untuk hidup sekadar berfoya-foya:”…. Kenanglah kembali ayat2 yang pernah terucap dulu. Sudah atau belum janji2 itu dipadu.. Penyajak yang bersajak dari hati tidak betah melupakan walau sepotong ayat yang dikarangnya.

Jangan jadikan rakyat batu loncatan untuk mendepang matlamat yang dipahat. Kita kini bukan bodoh lagi. Kesejahteraan ‘palsu’ yang hanya bermain di birai mata usahlah dipalun gema, sedangkan ada banyak lagi hati2, perut2, dan jiwa2 yang sengsara. Jadilah pemimpin bangsa yang memartabatkan maruah negara dan AGAMA. Umno sepatutnya terus mara. Yang paling penting bukan untuk parti, tapi untuk ilahi.

ww: tak nampak tokoh 'mentua' dan 'menantu'nya

Monday, November 05, 2007

Dicipta atau tercipta??

Adakalanya, lebih banyak ayat terkata2 di minda, namun tidak dapat kiranya dibaitkan dengan pena. Lebih banyak sebenarnya kata2 hati dari tarian2 jejari. Banyak kisah masyarakat yang adakalanya sukar dibukukan, namun senang pula dilafazkan dengan perkataan dan sindiran. Dan ada juga kisah jerih payah percintaan yang lebih senang terukir dengan tulisan dari bait2 percakapan..

Ah, dunia dan hati manusia yang kompleks. Adakalanya tidak boleh dituruti, kerana setiap perkara yang ‘melawan arus’ itu pasti pula mendatangkan musibah yang mencacah luka. Benar sungguh kata2 bukan mainan. Kerana kata2 adalah senjata tajam yang melukakan. Tapi mungkin hanya bisa meluka minda2 yang terbuka, dan meracuni hati2 yang memahami

Banyak benar yang berlaku di sekitar minggu penghidupan yang sekelip mata ini. Tentang karenah masyarakat yang pelik ajaib. Yang kerana harta boleh hilang ghaib. Tentang manusia yang boleh berubah kerana pangkat dan nama. Harta dunia yang dikejar, sudah tersadung baru tersedar

Ada jua sekelumit rasa kecil hati yang datang bertimpa2. Pada siapa tidak perlulah disurat nyata. Yang penting, sebagai Hartini, aku juga punya hati dan jiwa yang terkesuma. Menaruh2 untuk dipuji dan dicinta. Kadang2 pemikiran tanpa penilaian membawa kita jauh meneroka kehidupan. Dan di hujung jalannya itu ada curang dan jurang. Jika tidak terwaspada, pasti tenggelam dan kelemasan di dasarnya

Ada juga kisah gembira dan ketawa. Bila sahabat tersayang telah tamat ilmu kemanusiannya, dan kini bakal pula bekerja. Semoga alimlah hati2 yang dipandu tuhan. Buat peneman di setiap lorong2 kehidupan

Ada juga kisah tuan punya kereta besar yang tangungjawabnya tidak sehebat kereta besarnya. Menidakkan tanggung-tangungan lelaki yang wajib dituruti. Melalaikan kerja2 yang sepatutnya dilaksana. Yang mana lebih utama, harta atau bonda? Kaya manapun kita, jika nasib ibu tak terbela, tinggallah duit dan reta itu bagai batu kayu yang tak mampu membantu. Anak lelaki bukankah perlu menjaga bonda sampai mati?? Ah lelaki, sukar benar difahami…

Itulah saja yang terpacul di minda, dalam melayani denyut2 nadi yang menggetar rasa. Ada rasa suka, ada rasa duka. Ada rasa teruji dan dikhianati. Ada rasa cinta dan dicinta. Ada rasa malu dan ada rasa pilu. Sekitar deruan penghidupan yang dicipta tuhan. Ibarat sebaris kata yang pernah mengguris jiwa, segalanya ‘diciptakan’ dan bukannya tercipta…, kerana kitalah yang ‘menciptakannya’!!

Berenang

Jumaat yang lalu aku pulang ke rumah. Sementelah berada di rumah, aku mengambil alih tugas papa menghantar adik ke kelas renang, kelas mengaji dan kelas tuisyen.

Aku melihat kelas renang yang adik hadiri dimonopoli oleh orang2 cina. Kenapa? Adakah kita merasakan yang subjek ‘renang’ itu tidak sepenting matapelajaran akademik atau kita merasakan yang berenang itu hanya tertakluk pada orang2 kaya sahaja? Tapi bukankah pernah disuruh Nabi kita dalam hadithnya supaya belajar berenang, memanah dan menunggang kuda?

Aku pernah terbaca komen Awang Selamat dalam akhbar Utusan Malaysia, yang mana Awang juga pernah melahirkan kebimbangan yang sama. Awang memberi cadangan supaya kesemua murid2 sekolah diajar subjek ‘berenang’ supaya tidak ada lagi yang akan mati kelemasan.

Aku maklum, untuk mengharapkan semua anak2 kecil Malaysia arif berenang pastilah sesuatu yang jauh untuk terlaksana. Bercerita sahaja fasal berenang, masyarakat kita akan tarik muka dan mengandaikan yang susah2 sahaja. Yuran mahal, kena beli baju renang, mana masanya nak hantar ke kolam, ibubapa pun tak berenang dan berbagai2 alasan yang tak terungkapkan.

Perlu kita ingat, berenang di zaman ini bukan lagi hanya sinonim buat orang kaya2 dan orang berada. Binalah kolam bersaiz olimpik sekalipun tetapi jika tiada keinginan dan semangat yang membara, kolam itu akan tinggal barang hiasan saja. Ingat, tidak semestinya belajar berenang hanya di kolam, mama yang asal usulnya di kampung yang tiada kolam pun tahu berenang!

Alhamdulillah, kami sekeluarga tidak lagi jahil berenang. Sewaktu di baya adik2ku, aku juga telah dihantar ke kelas renang oleh ayah. Dan sekarang, renanganku pun boleh tahan hebatnya. Yang pentingnya, bukan soal laju perlahan, hebat tak hebat yang kita debatkan, cukuplah sekadar kita TAHU untuk mengelakkan sebarang kemungkinan kemalangan.

Pendekatan UIA menyediakan kolam renang yang berasingan (satu untuk Muslimin dan satu untuk Muslimah) haruslah dipuji sama sekali. Adakalanya soal aurat membantutkan niat kita yang terpacul di minda. Jika kerajaan mengambil berat akan soal ini, pasti lebih banyak lagi kolam2 berasingan jantina yang akan disediakan. Dengan itu, tiada alasan lagi untuk kita memandang sepi kepentingan berenang.

Adikku Qamarul (9) dan Kamilia (8) sudah tahu berenang, Cuma tinggal memperincikan teknik renangan dan mungkin mempelajari pelbagai cara (style) seperti gaya bebas, kuak dada dan kuak lentang. Alhamdulillah, adakalanya kita tak perlu memandang enteng setiap perubahan. Segalanya terpulang kepada kita kerana kita yang mencorak buruk baik kehidupan kita seluruhya.

-teringat berenang di UIA. Ramainya yang ‘bergayut’ di kiri dan kanan kolam sahaja, kerana kolam muslimah UIA itu direka dengan bentuk ‘V’ yang makin cerun ditengahnya =P

-kalaulah pihak hotel membina kolam renang tertutup yang berasingan untuk wanita Islam, tidaklah aku sekadar menelan air liur memandang adik2 dan kaum lelaki berenang dengan seronoknya. Arrrggggh kejamnya dunia!!

Wednesday, October 31, 2007

Kualiti

Semalam aku ke perhimpunan bulanan. Perhimpunan bulan ini menghadirkan lebih ramai hadirin dari bulan2 yang sebelumnya. Lalu juga aku terfikir, perhimpunan bulanan yang disusuli dengan agenda rumah terbuka atau jamuan hari raya selepasnya pasti saja menarik minat ramai penjawat awam. Namun apakah perhimpunan itu hanya tempelan saja, atau perhimpunan itu agenda utamanya?

Yang berbahagia Datin sebagai pengarah bahagian telah berucap panjang lebar semalam. Salah satu yang menarik perhatianku adalah tentang hari kualiti yang bakal tiba dalam bulan November. Apakah ta’rif kualiti? Siapakah yang menentukan sesuatu itu berkualiti atau kurang kualiti? Apakah kita ini pekerja atau INSAN yang berkualiti? Tanyalah balik pada diri sendiri

Berkualiti itu adalah kecemerlangan yang kita tunjukkan dalam segenap bidang. Bukan saja dalam pekerjaan, ia juga termasuk pergaulan dan sahsiah harian. Mari kita lihat sebagai contoh paling mudah, adakalanya kita tidak mahu lansung bertegur sapa apatah lagi beramah mesra dengan ‘cleaner’ atau pengangkut sampah. Kita asingkan mereka secara pra-sedar. Sebagai penjawat awam yang berkot bertali leher, kita memandang manusia lain tidak setaraf kita. Biarpun yang menyapu di depan mata seorang ibu tua, kita butakan pandangan mata.

Namun di satu sudut yang lain, kita tertunduk2 di depan Datin. Kita bangun menguntum senyum pada ketua yang baru mencacah nama. Kita gagahkan memasang telinga pada insan yang ‘berjawatan’ sahaja. Berkualiti kah kita?? Bukankah kita lebih menampakkan kualiti hanya pada orang2 tertentu ternama? Hanya orang besar2, Dato’ Datin sajakah yang boleh mena’rif dan menilai kualiti diri yang ada?

Hakikatnya kita tersilap. Sesiapapun manusia, mereka diberi taraf yang sama oleh Allah. Jika kita memandang sebelah mata hanya pada si pulan si pulan yang tidak punya nama, dari situ kita telah menunjukkan yang kualiti diri kita penuh cacat cela. Kualiti itu perlu ditonjolkan pada semua. Dalam erti kata lain, ia perlu diperincikan dalam segenap aspek kehidupan. Kualiti pada manusia, dan kualiti pada Tuhan.

Walaupun ucapan pengarah bahagian lebih tertumpu kepada sikap atau kualiti kerja sebagai penjawat awam, dapat jua kubuatkan kasimpulan bahawa jika benar seseorang itu berkualiti, kualitinya lahir dari dalam diri. Bukan dilakonkan dan semestinya bukan dibuat2. Kualiti yang bukan semulajadi hanya dipertontonkan pada mata2 yang memandang. Jika berseorangan atau ditempat tidak dipandang orang, kita tinggalkan kualiti jauh di belakang.

Sampah yang wujud di depan pun kita berat tulang untuk buangkan. Bertugas di kaunter lobi pun jarang beri senyuman. Kerja yang mudah pun dilambat2kan. Memberi arahan pun tak pernah dalam nada meminta pertolongan. Tersinggung bahu pun menjeling dengan keluhan. Berpakaian segak hanya bila ada perjumpaan.. Berkualitikah?

Itu yang luaran. Yang dalaman? Adakah kita sudah cukup berkualiti pada diri sendiri? Pada hemah dan peranan hati? Dalam ibadah dan fikiran sehari2? Bila saja kita terniat untuk melakukan ‘kekurangan’ (jauh lagi dari kemaksiatan), bukankah itu tonjolan peribadi yang kurang kualiti? Bila kita hanya menonjol pada mata2 yang memandang, kita lupa pada Si Pencita penglihatan, yang Basiran..

Percayalah, Dia saja yang layak memberi anugerah kualiti dan Dia juga menilai seseorang dari segenap pelusuk rohani. Maka, tonjolkanlah kualiti dalam setip segi, agar tak kurang di hadapanNya nanti..

Tuesday, October 30, 2007

Ceritaku Untukmu

Entri ini kutulis dengan jerih dan payahnya. Banyak kata2 yang tercurah tetapi banyak juga yang terbuang begitu saja. Aku cuba untuk menulis dan menulis dengan amat berhati2, dan akhirnya semua ku'delete' sesenang hati. Ya, ceritera ini telah hilang taringnya. Tini ini telah hilang jiwa dan kata2nya. Namun aku gagahkan juga. Entahkan untuk siapa aku tak tahu. Mungkin untuk hati2 (atau hati) yang senantiasa menanti. Mungkin benar ada, atau mungkin tiada siapa yang kisah. Biarlah...

Apa yang ingin kita bicarakan? Hidup kini biasa2 saja. Tiada yang suka dan tiada jua yang duka. Nah, sebab itu lah ceritera ini sepi dan sunyi. Bukankah telah kukhabarkan bahawa buah fikiranku hanya tiba bersama duka..

Ah sudah lah... cukuplah kalian. Aku tidak boleh menulis lagi. Fikiranku jadi sempit sekali kala ini. Serasa tak bernafas ingin mencipta sepatah bait kata. Benar hati dan jiwaku tidak boleh dipaksa-paksa. Biarlah kuhabisi entri ini di sini. Mungkin akan ada masanya mindaku kembali bekerja, berceritera dan berseloka. Cukuplah. Jangan difikirkan lagi kemana aku menghilang. Aku pergi bersama bayu malam, mengikut bayang2 yang hilang bila kelam. Namun aku akan hadir, tatkala sinar kembali menghampir...

hanya buat'mu',
jika benar kau memahami
jika sungguh kau mengikuti

siapa yang kau rindu?
bait kata atau bicara?
tulisan atau keluhan?
diri ini atau hartini??

kalau benar dikau menanti
apa yang kau nanti?
jiwa atau hati?
khabar suka atau duka?
cerita aku atau mereka?

carilah jawapan seikhlasnya
sebelum bertanya aku kemana...

'mu' : untuk yang menulis bukan kerna nama

Friday, October 26, 2007

Wednesday, October 10, 2007

Salam Lebaran

Lakaran Sejarah

Alhamdulillah... hanya lafaz itu saja yang boleh diucap di saat2 nama negara dan nama Islam kembali megah di persada dunia. Sepatutnya dari dulu lagi kejayaan ini kita genggami. Bukankah kita umat ulung yang merintis pelbagai ciptaan sains dan teknologi? Akan tetapi tidak mengapalah, asalkan kini kita mampu beriringan kembali. Tidak kisah lah kalaupun hanya dianggap 'space flight participant' @ 'pelancong angkasa' oleh NASA, yang penting ini kejayaan tunggal negara untuk menambah rasa cinta dan syukur pada alam semesta ciptaan Yang Esa. Semoga bertambahlah iman dan amal Dr. Syeikh sepanjang pemergiannya ke angkasa. Yang penting, bukan sedikit laba yang dicurahkan oleh negara. Harap2nya adalah penghasilan kebaikan dari pemergiannya yang menelan belanja berjuta. Tahniah anak Melayu pertama. Lebih berbangga apabila nama Islam itu diangkat sama!! Alhamdulillah...

ww: mampu jenguk angkasa guna teleskop saja!

Thursday, October 04, 2007

Kerana Cintaku Saerah


SERIBU TAHUN (Imran Ajmain)

Relaku menunggumu
Seribu tahun lama lagi

Tapi benarkah hidup aku
Akan selama ini...
Biar berputar ke arah selatan
ku tak putus harapan
Sedia setia

Relaku mengejarmu
Seribu batu jauh lagi
Tapi benarkah kaki ku-kan tahan
Sepanjang jalan ini
Biar membisu burung bersiulan
Terlelah gelombang lautan
Ku masih setia

Adakah engkau tahu… ini cinta
Adakah engkau pasti… ini untuk selama-lamanya
Relaku menunggumu seribu tahun lama lagi
Tapi benarkah hidup aku akan selama ini…
Biar berputar ke arah selatan
Ku tak putus harapan
Sedia setia
Jangan putus harapan… sedia setia……


ww: yang baik jd tauladan, yang buruk jd sempadan

Hikmah di sebalik duka

Majalah Nona itu aku selak laju. Sekadar mengisi masa menyelak helaian kertas berwarna itu tanpa rasa minat dan suka. Kelibat foto Datin Juma dan keluarga tercintanya menerpa sekilas di pandangan mata. Hmm… cepat benar Juma kembali ke ’bentuk’ asalnya. Itulah perbezaan antara orang berada dan orang yang kurang adanya. sekali terdengar keluhan... ‘kalaulah aku sekurus Juma’ (senyum..)

Majalah aku selak lagi. Banyak kisah2 tentang wanita tabah khususnya orang2 penting negara. Dari wanita pertama Datin Seri Jeanne Abdullah, sampailah ke ibu mertua Juma; Tun Rahah, segalanya diceritakan di sana. Namun tidak jua aku membaca kisah mereka melainkan sekadar meliarkan pandangan pada foto2 yang berbagai rupa dan warna. Ah orang kaya2, tentu saja tiada yang rungsing dan gamit dalam fikiran, melainkan yang indah2 dan senang lenang melingkar badan..

Majalah itu aku selak lagi. Dan mata tertumpu pada seraut wajah yang dikenali. Telah lama benar wajah itu kelam dalam ingatan. Pastinya bukan sahaja aku, malah sebahagian besar rakyat Malaysia juga hampir melupakannya. Ya, wajah itu milik Datin Seri Wan Azizah, mantan wanita kedua negara

Ketenangan yang terpancar itu serasa pernah kutatap dahulu tatkala melihat wajah bekas isteri Dato’ K yang kini suami Siti Nurhaliza. Tabah benar beliau, melihat lelaki yang pernah dicinta bergurau canda ‘legally’ di depan mata. Wahai....., pasti Tuhan saja yang tahu betapa peritnya jiwa. Benar mungkin, wanita2 yang menempuh seberat2 dugaan bisa jadi matang dalaman luaran. Ketenangan yang ditunjukkan lain dari yang lain. Senyuman mereka penuh makna. Ada duka dalam bahagianya. Ada tangis dalam tawanya. Bukan senang menempuh dugaan ciptaan tuhan. Hanya yang cekal dan tabah akan bertemu penyambung jalan, jambatan kehidupan..

Usah lagi kita ceritakan bab politik dan parti pimpinan. Biarlah orang2 yang sepatutnya menjalankan amanah, bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikulnya. Sebagai rakyat yang punya hak dan peranan, buat lah pilihan berdasarkan waras akal dan maklum fikiran. Semuanya nanti bakal ditanya di hadapan Tuhan. Bukan saja pemimpin, kita juga bakal disoal siasat. Siapakah yang kita dukung sebagai amir sepanjang hayat

Di sini, marilah kita menyorot kisah2 hidup manusia yang penuh keperitan dan pahit maungnya. Bukan sahaja Wan Azizah, sesiapa pun bisa gila menerima hakikat suami yang dicinta tertangkap dan terpenjara. Hilang nikmat keluarga, hilang nikmat bersama. Namun itulah dugaan. Yang tuhan beri hanya pada calon2 pilihan. Tak perlu rasa resah, kerana setiap mehnah ada hikmahnya

Mungkin kini beliau sudah dapat tersenyum gembira. Menghabiskan sisa2 hidup bersama suami dan perjuangan yang tidak akan reda. Biarlah beliau dengan dunianya. Berjuanglah selagi ada masa dan upaya. Tidak aku menyenangi dan tidak juga membenci. Namun di luar sana pasti ramai isteri2 yang ‘kehilangan’ suami, biarpun ditahan sebentar di penjara atau di pusat serenti

Pasti sukar hidup keseorangan tanpa teman di sisi. Apatah lagi hidup sebagai seorang isteri tanpa kehadiran sang suami. Namun ada ketikanya, 'ditinggalkan'* suami membuat hidup isteri lebih bererti. Lebih memahami erti menyayangi, erti menghargai dan erti merindui. Ada hikmah yang boleh disapa andai kita bijak memahami bagaimana Allah menghargai abdinya. Fahamilah dalam setiap hidup kita, mungkin yang perit itu bisa bawa bahagia yang lebih bermakna. Itulah sebenarnya hikmah disebalik duka. Kalaulah kita membuka mata.......


* 'ditinggalkan' itu luas maknanya

Saturday, September 29, 2007

Tembolok jiwa...

Lama aku terpaku di hadapan skrin komputer. Terasa berat benar jejari mahu menaip sebaris dua. Bukan kerana hilang kudrat akibat puasa, tetapi kerana keringnya bahan untuk dibuat cerita. Makanya kehidupan terasa hambar, menulis terasa sukar dan hati terasa gusar. Apa jualah yang ingin dititip lagi. Terasa segala2nya telah dikongsikan di sini. Sedangkan tembolok jiwa meraung bingit minta diisi. Bukankah semuanya telah diceriterakan? Tentang manusia dan penciptanya, tentang alam dan penghuninya, tentang orang ramai dan sifat2 mereka… bahkan mungkin tentang dunia dan cekerawalanya. Lalu apa lagi yang ingin diselusuri dalam hidup ini? Aku pun kurang pasti...

Nyata penulisanku hanya untuk kisah2 yang memberi peringatan. Kisah2 yang boleh jadi sempadan dan tauladan. Bukan yang penuh dengan ketawa berdekah2 (sedangkan aku ini boleh melucu juga). Tetapi bila saja jari menaip bibit2 kisah di dalam ceritera, jiwa aku jadi Tini semula. Jiwa Tini yang sering bahagia dalam gundahnya, sering senyum dalam murungnya. Entahlah, mungkin juga kerana yang gembira itu sering saja dipunyai sesiapa. Makanya tiada lagi hadir rasa megah dan istimewa. Tetapi jika sedih dan melarat, jika sakit dan tenat, bukan semua mampu rasa. Bukan semua orang rasa. Sedangkan yang sakit dan susah itu lah yang memberiku buah fikiran yang tiada tolok bandingnya. Nah, jadi apakah aku suka bergelumang dalam dukacita sahaja? Bagai para abid yang sanggup hidup terlonta2, tanpa wang tanpa harta....................?????? Jawabnya tidak juga. Tetapi hati lebih tertarik dengan penderitaan sesetengan golongan. Bagaimana susahnya mereka mengharung lautan, betapa gigihnya mereka meredah hutan, bagaimana cekalnya mereka mencari sesuap makanan. Itu yang aku cari. Itu yang aku ingin untuk dibuat bahan berkongsi. Itulah preskripsi hati ini

Aku berangan2 untuk terbang ke seluruh dunia. Melihat bagaimana gembiranya hidup orang kaya2. Bagaimana girangnya hidup mereka dengan nama dan harta. Dan ingin jua aku singgah di tanah2 tandus yang kering segala. Yang masyarakatnya legam kehitaman, derita kekurusan, lapar kebuluran. Mahu aku bersama mereka, menyelusuri perit getir hidup agar wujud rasa taajub. Tapi perjalanan yang sebegitu memerlukan wang ringgit yang bukan sedikit. Lalu mungkin juga memerlukan teman susah dan sakit. Jadi masih jauh impian itu untuk direalisasikan. Dan lagi sekali hatiku perit menanggung kekecewaan

Namun kata hati lagi, tidak perlulah aku merantau ke seberang lautan, sedangkan di tanah ini pun banyak perut2 yang kekosongan, banyak anak2 yang hidup kebuluran, banyak keluarga2 yang masih berpanas berhujan. Iya juga... tapi di mana mereka, bagaimana pula caranya agar dapat aku kongsikan cerita mereka pada dunia? Aku mahu menulis, tetapi tidak mahu jadi penulis. Aku hanya mahu menulis. Itu saja... Kerana menulis itu hobiku, penawar dukaku, dan bukanlah pekerjaan dan cita2 ku. Ah, sukar benar kau Tini, yang pelik2 nak diikutkan hati!

Aku suka menyendiri, suka bersunyi2. suka berangan2 dan suka ketenteraman. Namun di lain2 ketika, aku suka bersama2 masyarakat dan keluarga. Bergurau senda, bergelak ketawa, bersembang seloka... itu pun aku minat juga. Aku suka ke kampung2, bertemu orang2 tua yang keseorangan, bertemu makcik2 yang tiada pertalian, sekadar mengambil iktibar kehidupan. Aku suka hadir ke majlis2 kenduri dan di satu sudut aku akan diam memerhati manusia yang berbagai lagaknya. Lalu pandanganku akan bermain2 dengan akal dan jiwa. Dan ada ketikanya aku suka hilang dari pandangan manusia. Suka bermenung2 memikir masalah yang bukanpun difikir sesiapa. Suka merenung berjurus2 hingga terasa benci benar aku dengan suara2 manusia. Benci benar dengan kehidupan yang penuh permainan dan kepura-puraan, penuh skrip dan lakonan............

Maka apa agaknya yang aku cari dalam hidup ini? Aku tidak mahu hidup hanya dengan mengikuti percaturan orang lain. Orang kerja, aku kerja. Orang makan, aku makan. Orang merantau, aku merantau, orang menulis, aku pun menulis. Tidak! Aku tidak mahu. Aku mahu sesuatu yang aku lakukan ada arah tujuan. Ada keberkatan dan penghayatan. Ada hikmah dan pengajaran. Tetapi aku ini siapa pun lah.. Sekadar Tini yang selemah2 manusia. Yang kata2 ku hanya diam bersemadi di entri ini. Diam dan pasti dilupakan di suatu hari... ah hati.... wahai, sukar benar kau ini!

Nantilah... Aku akan mengumpul wajah2 tua di seluruh pelusuk negara, tak kira siapa tak kira warna, dan akan aku pampangkan dalam Ceritera. Biar bergema kisah mereka di setiap inci buana. Mungkin ada kisah suka, dan mungkin ada kisah duka. Nantikanlah ya.. dan doakan lah juga aku berjaya. Kerja ini pasti makan masa, namun dengan izin Tuhan, akan kuhabisi jua. Biar lapang rasa dada. Biar tenang rasa minda. Biar terisi tembolok jiwa, yang sering bising lapar dahaga......

Friday, September 28, 2007

Sahabat

memori

memori

Bertahun kita bersama satu cita-cita
Menuntut ilmu bekalan jiwa
Segala onak dan duri sama ditempuhi
Menuju redha Ilahi

Setiap pertemuan ada perpisahan
Demikianlah lumrahnya alam
Tiada yang dapat lari tentuan Ilahi
Segala tertulis sejak azali

Sekarang masa berpisah
Kenangan pahit indah
Tentu terpahat di sanubari

Maafkan silap dan salah
Kita insan yang lemah
Yang Kuasa hanya Rabbul Izzati

Doakan kebahagiaan ditetapkan iman
Buat menempuh semua cabaran
Mudah-mudahan semua ditentukan syurga
Bahagia mendapat rahmat yang esa…



ww: penghargaan untuk sahabat teristimewa; Marshidah Mat Johor

Thursday, September 27, 2007

Mana adilnya??

Aku berjalan pantas. Sepantas degup jantung dan darah yang mengalir deras. Terasa laju nadi bergetar. Tak sabar rasanya mahu menulis bait2 kata. Geram dan marah benar tatkala membaca tajuk akhbar yang terpampang di sudut bangunan. Antara tajuk2nya : “Ibubapa Nurin mungkin didakwa”. Tajuk lainnya, “Hakim Kanan Nafi Terbabit”. Ironinya kedua2 berita tersebut diambil dari insan yang sama, mulut yang sama, minda yang sama dengan reaksi yang berbeza.

Dalam kes2 yang melibatkan orang2 penting negara, pihak berkuasa dengan mudah menerima segala penafian yang diutarakan. Kes yang melibatkan seorang hakim kanan yang berbual melalui telefon dengan seorang peguam mengenai usaha untuk melantik seorang hakim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara, diambil mudah dan seakan diabaikan. Yang peliknya, dalam kes2 melibatkan orang besar2 begini, dilantik dahulu panel penyiasatan. Sahih atau tidak klip video itu yang akan jadi keutamaan. Benar atau tidak yang dipersoalkan. Palsu atau tidak yang didebatkan. Barulah pihak2 berkenaan akan ditahan..

Katalah dalam sebuah video klip yang lain, menunjukkan yang kononnya aku sedang cuba untuk membakar bangunan kerajaan, adakah ‘kesahihan’ klip video “aku” itu akan dipastikan terlebih dahulu?? Bukankah aku akan terus diheret ke lokap dengan sewenang-wenangnya. Bukankah tatkala aku diberkas dan beria menafikannya pihak polis akan berkata “Balai cerita!”. Jadi apa yang ingin kita buktikan pada umum sebenarnya?? Yang sesiapa punya kuasa boleh hidup sesedap suka???? Maka mana keadilannya di negara kita????

Kenapa bila pihak yang sama mengutarakan tentang kes kedua ibubapa Nurin yang mungkin didakwa tidak berkata ‘kami akan wujudkan panel penyiasat terlebih dahulu’?? ‘Kami akan berusaha untuk mencari di mana punca dan silapnya sehingga anak kecil itu telah menjadi mangsa’?? Kenapa????? Bukankah pihak berwajib juga boleh didakwa oleh ibubapa tersebut kerana gagal mengesan pembunuh kejam yang sehingga kini bersenang2 berleluasa???

Utarakanlah sesuatu dengan nada dan ayat yang sama tara, agar tenang hati2 dan mata2 yang membacanya. Kalau tegas, berlaku tegas lah dalam segenap perkara tak kira pada siapa. Janganlah kita memandang sebelah mata sesetengah golongan masyarakat, hanya kerana mereka tak punya ‘nama’. Janganlah kita memandang enteng tugasan kita. Bukankah sebagai pemimpin kita telah diberi amanah untuk memelihara negara??

Aku ingin memetik kata2 yang diutarakan dalam akhbar, “Undang-undang tetap undang-undang dan kita kena ambil tindakan kerana antara Rukun Negara kita adalah untuk menegakkan undang-undang.” “Jadi kalau ada perbuatan yang menyalahi undang-undang kita akan ambil tindakan... tidak ada sesiapa pun boleh terlepas.” Ada, ada..., malah ramai yang boleh terlepas dari dikenakan tindakan undang2. Terima sajalah hakikat bahawa di negara kita, yang punya ‘nama’ dan ‘harta’ boleh membeli undang2. Undang2 hanya wujud untuk orang2 biasa seperti kita. Undang2 hanya mengenal masyarakat lekeh macam kita..

Aku tidak gemar membicarakan soal politik. Tetapi apabila politik itu telah jadi mehnah dan perkara yang mencabar tuntutan hidup beragama, tuntutan hak dan adilnya, aku lantas bangun dan rela berjuang. Aku rela bersuara lantang. Janganlah kita berat sebelah, dan hanya menyebelahi pihak yang kita ‘rapat dan kenal’ saja. Berlaku adillah dalam setiap pekerjaan kita. Fahamilah bahawa definisi ‘ADIL’ itu adalah meletakkan sesuatu sesuai dan benar pada tempatnya. Menyampaikan hak2 tertentu pada sesiapa jua yang berhak mendapatkannya. Bukan memecah amanah, dan membiarkan insan tak berdosa menjadi mangsa. Sia-sialah kemerdekaan negara andai minda dan pemikiran kita masih dianggap kelas ketiga!

ww : betul2 marah!

Baca berita2 akhbar tersebut pada link di bawah

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20070924001028/Article/

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/BeritaUtama/20070926001112/Article/

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm

Kisah2 semasa

1) Bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan?

Desas desus untuk mempertanggungjawabkan kematian arwah Nurin kepada kedua ibubapanya benar2 menyirapkan darahku hingga ke kepala. Terasa berpinar seketika pandangan mata. Sudahlah anak kesayangan diculik dan dibunuh kejam, diri sendiri pula yang dipertanggungjawabkan. Memang sesuai sangat mengambil tindakan terhadap ibubapa yang mengabaikan anak2. Tetapi eloklah didefinasikan dengan lebih terperinci erti 'pengabaian' tersebut. Jangan nanti anak2 hilang zaman keseronokan berlarian berkejaran, lalu membesar dengan kongkongan dan ketakutan. Ibubapa yang tak bersalah, senang2 dipersalahkan. Dari elok jadi peniaga, terpaksa jadi banduan. Pendapatku, eloklah tumpukan saja pada pencarian si penjenayah, dari menuding jari menuduh yang bersalah itu si dia dan dia

2) Rasuah di mana2

Lagi cerita rasuah yang tidak sudah2. Duit dan kekayaan memang memukau pandangan. Melupakan tugas dan amanah yang dipegang. Lalu lupa bahawa rezeki itu perlu ada keberkatan. Kaya dengan jalan kehinaan lebih buruk dari miskin kepapaan. Dengan duit, seorang polis boleh lupa tanggungjawabnya menjaga keamanan, YB lupa kerjanya menjaga kawasan dan peguam lupa tugasnya menegakkan kebenaran. Biar kaya jiwa, daripada kaya harta..

3) Sekolah 1 sesi

Sekolah 1 sesi ini bukan baru. Banyak sudah diwujudkan sekolah2 1 sesi terutamanya sekolah2 swasta. Buatlah lagi penilaian dan kajian sebelum dasar2 ini dilaksanakan. Timbang2kan buruk baiknya dengan mengambil kira semua aspek dan pendapat semua pihak dalam semua keadaan. Keputusan ini melibatkan semua. Dan pastikan juga silibus pelajaran dirombak semula. Lebih2kan ajaran moral dan agama beserta dengan praktisnya. Solat berjamaah, bersukan, bergotong royong, mengaji dan melayan hobi adalah sebahagian dari contoh2nya. Jangan hanya masa dan wang terbuang begitu saja. Membazir elektrik sekolah, menambah beban semua, dan membesarkan lagi gaji guru yang kelaknya dikatakan makan gaji buta. Fikir2kan dan dalam2kan lah kajian. Jangan dasar berbunga berjela, perlaksanaannya haram tak pernah!

4) Bila nikah kerana harta

Sekadar memetik sekilas kisah rumahtangga penyanyi Nash dengan usahawan kecantikan yang baru memasuki sepuluh bulan. Nyata si isteri tak bisa hidup bersama lagi lalu memfailkan perceraian. Lantas, atas sebab apakah perkahwinan itu dahulu dijalankan kalau baru sekarang menyedari tidak adanya keserasian dan perhatian? Entahlah... kahwin ini bagiku, biarlah dengan orang yang sekufu, sebulu. Kahwin itu bukan untuk sehari dua, jadi eloklah 'berkahwin' juga dengan keluarga dan saudara maranya. Pastikan juga kita dapat menerima segala buruk baiknya, kaya miskinnya dengan penuh redha dan rela. Janganlah sekali-kali berkahwin sebab rupa dan harta, sebab rupa bisa berubah, harta bisa bertarah..

Wednesday, September 26, 2007

Tujuh

Suatu petang yang indah, aku rungkai kembali helaian kertas kecil pemberian ustazah yang terlipat kemas di dalam dompet. Atas kertas lusuh warna merah itu ada…….


9 March 1984 (9 + 3 + 1 + 9 + 8 + 4) = (3 + 4) = 7

NO 7 – ‘Intelektual’

“Dalam ramai2 manusia, anda yang paling bertuah. Anda bijak, berhati2 dan minat bergaul. Ramai orang yang kenal anda, anda hormati, dan mereka berkata anda cermat, tegas dan suka membantu. Ramai orang suka personaliti anda, tetapi tidak seorang pun dapat mengongkong anda. Anda ada kuasa magik - itu mungkin benar!”


Kertas itu sudah lama aku simpan. Hampir sepuluh tahun mungkin. Aku tak tahu dari mana ustazah dapat dan aku pun tak pernah bertanya. Kenapa ustazah beri pada aku pun aku tak pernah ambil kisah. Namun setelah diamat2 kembali, mungkin juga ada persamaan dan benarnya.

Tafsiran2 personaliti begini selalu kubaca di mana2. Dan yang ditulis oleh Dr. Fadzilah Kamsah pun lebih kurang sama.

Yang kufahami, setiap manusia banyak bezanya. Dan setiap perbezaan dan persamaan itu membuktikan bahawa betapa besar dan agungnya kuasa Pencipta kita..

ww : kita mungkin sama, tapi tak serupa

Friday, September 21, 2007

Tahlil untuk Nurin

Petang semalam aku dengar berita bahawa mayat budak perempuan yang dijumpai di dalam sebuah beg sukan adalah Nurin yang hilang hampir sebulan. Entah kenapa, hatiku beriya-iya menolaknya, dalam erti kata lain kesahihan DNA itu sukar untuk kuterima. Lebih2 lagi dengan keadaan fizikalnya yang berbeza, masalah situasi dalaman yang penuh propaganda, hati kecilku menolak kebenaran khabar berita. Bukan apa, hal DNA itu memang tidak boleh dipertikaikan, namun di negara se'maju' Malaysia, yang tidak ada boleh diadakan. Yang wujud boleh dipadamkan dalam kehidupan. Memang keputusan DNA selalunya benar, tetapi entahlah....... takut ada pihak2 tertentu yang mengambil jalan kurang wajar. Mengambil mudah segala hal

Kegagalan pihak berkuasa untuk menemui Nurin dan membanteras jenayah pencolekan kanak2 memberikan gambaran kepincangan institusi keselamatan yang kita bangga-banggakan. Jangan kerana mahu menutup mulut2 dan mata2 yang memandang, mahu menutup kes yang sudah hampir sebulan tak dapat diselesaikan, pihak berkuasa 'mengambil jalan' dari penemuan yang meragukan. Keadaan begitu memaksa, kes Nurin belum usai, datang pula kes lain yang lebih meruncing.. jadi jalan mudahnya adalah 'menyatukan' kes yang dua, untuk menjawab segala tanda tanya

DNA itu memang benar, namun yang menjalankan ujikajinya adalah manusia juga. Yang lemah semangatnya, yang punya 'favoritism' nya, yang ada 'bias'nya dan yang ada malas dan lekanya. Itu yang buat aku diam tak berkata apa2. Bimbang ada hati2 yang sudah jadi mangsa

Namun iyalah.............. Secara logiknya, yang memeriksa itu pun pastinya bukan orang biasa melainkan pakar2 jua. Keputusan DNA selalunya tidak akan menipu sesiapa. Aku pun pernah belajar sains, dan sering mengikuti siri2 penyiasatan. Oleh itu kesahihan bukti DNA itu memang tidak dapat disangkalkan

Selepas Maghrib semalam, aku duduk lama atas sejadah. Aku bacakan surah YaSin dan tahlil khas untuk arwah Nurin. Aku bukan sesiapa, bukan saudara maranya, dan juga bukan keluarganya. Cuma aku seorang insan yang amat prihatin dengan kisah2 malang. Aku bencikan kebatilan sepertimana aku bencikan syaitan. Aku bencikan kekejaman sepertimana aku bencikan kezaliman. Aku bencikan pembohongan sepertimana aku bencikan kepalsuan

Hatiku masih menolak bahawa mayat budak perempuan itu adalah Nurin, walaupun sains mengesahkannya. Entahlah.. aku masih berharap gadis kecil itu selamat kembali ke pangkuan ibubapanya

Siapapun gadis cilik itu, beliau telah kembali pada tuhan dengan penuh kesengsaraan. Tak dapat kubayangkan betapa kejamnya manusia yang lansung tidak berperi kemanusiaan. Satu saja kupinta dalam doa, kalau benar sungguh itu Nurin, semoga ronya dicucuri rahmat Allah. Dan jika itu bukan beliau, semoga adalah ketikanya beliau akan pulang bertemu kembali keluarga tercinta. Dan satu lagi, semoga penjenayah yang melakukan kekejaman itu mendapat balasan yang setimpalnya. Itu saja!

Wednesday, September 19, 2007

Nilai Harga Mama

Mama bangun awal. Seawal jam 4. Mama basuh beras, tanak nasi dan ricih bawang. Mama masak sup sayur, masak sambal tempe kentang, dan goreng ayam untuk adik2 yang memang suka ayam. Sambil itu mama jerang air, rebus telur masin, sediakan pinggan cawan, dan bancuh air teh o untuk kami anak beranak

Tepat pukul 5, mama naik atas, kejut papa, kejut aku, dan menyuruh aku kejutkan adik2. Papa tak menyuruh adik2 berpuasa, sebab mereka masih kecil. Darjah dua dan tiga. Tetapi adik2 yang sudi nak melatih diri. Jadi papa tak kisah, mama pun suka adik2 belajar berpuasa. Selalunya adik2 mesti siapkan menu pada mama untuk bersahur. Dan menu itu tak pernah berubah. Ayam goreng semata

Aku gerak adik2. Bahu Qamarul aku goncang perlahan. Nama Fazrin aku panggil2 lembut. Adik bukak mata. “Bangun, Arul… Sahur. Mama masak ayam goreng..” kataku dengan senyuman. Marul bangkit laju. Masuk ke bilk air, gosok gigi, cuci muka dan turun ke bawah.

Aku panggil nama Fazrin. “Bi…, bangun sayang..” utarku lembut. Yang bongsu manja ini liat juga. Aku goncang bahunya. “Bangun sahur, cepat. Mama masak ayam..” Fazrin bangun menggosok mata. Masih melayan kantuk yang bersisa. Lalu berjalan terus menyusuri tangga. “Eh, gosok gigi, cuci muka…..” ingatku padanya. Dia berpatah semula dengan mata kuyunya. Aku turun kebawah, mengetuk pintu bilik si bujang teruna. Adikku yang berusia 21 itu bersuara. Sekadar berkata, “Bangun dah...”

Lauk pauk sudah terhidang, air panas sudah bertuang. Pinggan mangkuk sudah tersusun, nasi pun telah beradun. Aku senyum memandang mama. Wahai, cekalnya hati tua.. berkhidmat tak kira masa. Aku biasa hidup susah, kerana dulupun kami bukan orang berada. Cuma sekarang bisnes papa bertambah cerah, rezekinya makin murah. Aku biasa duduk asrama, makan apa ada dan tidak banyak kira. Tapi adik2 yang kecil dah biasa hidup senang. Bukak2 mata dah kenal wang. Mama papa selalu berpesan, kesenangan bukan selalu berpanjangan. Hari ini makan ayam, mungkin esok makan ikan. Dan lusa mungkin tiada lansung makanan. Jadi, jangan banyak arahan...

Pagi itu kami makan bersama. Sudah dewasa begini, bukan senang mahu berjumpa. Selesai makan papa pesan pada kami, jangan lupa basuh pinggan sendiri. Adik2 menuruti

Aku sembang lama dengan mama. Tentang kerja, tentang putrajaya, tentang puasa. Kami seronok bersama. Aku pelawa mama untuk rehat, biar aku buat kerja. Mama jawab perlahan. Waktu inilah mama nak dapat lebih pahala. Memasak ikhlas untuk keluarga. Mama kata ini masanya. Masa aku akan sampai jua. Mama kata biarlah dia berbakti selagi masih bernyawa. Aku senyum pandang mama. Dan teringat, bila aku di putrajaya, aku juga harus bangun seawal mama.

Sembangan kami terhenti bila suara azan sayup2 menyusuri. Aku tolong mama kemas meja, cuci pinggan kuali. Dan minta diri untuk bersolat pula. Mama jua turut ke atas, mengikut papa yang sudah bersiap sedia di atas sejadah

Semua ibu pun begitu, aku tahu. Tatkala ayah dan anak2 tidur nyenyak pulas, mereka di dapur kerja keras. Mama kata hanya satu tanda bahagia sebagai ucapan terima kasih. Habiskan makanan yang dimasaknya hingga licin bersih. Aku senyum sengih...

Kelebihan ibu lebih nampak di bulan puasa. Para ibu tahan bangun awal, melelapkan mata hanya sejam dua. Tidak mengadu pening kepala, tidak bising longlai lemah. Di situ datang bangga. Itulah gunanya wanita, pendamping lelaki2 bertuah. Di rumah menjaga keluarga, di luar menjaga agama

Petang esoknya mama buat roti jala untuk juadah berbuka. Mama masak bubur kacang durian, dan sedekahkan semangkuk pada jiran. Aku senyum tengok mama. Sewaktu aku melangkah masuk kereta untuk pulang ke putrajaya, mama hulurkan gulai taucu ikan tenggiri. Mama kata bekal buat bersahur. Dan tidak sedar waktu itu air mataku jatuh gugur. Menahan rasa terharu melihat jiwa luhur. Seketika rasa kecil semula, ditatang dimanja mama. Moga mama dikurniai pahala yang tiada tara. Dijanjikan Syurga Allah taala... Terima kasih mama......

Monday, September 17, 2007

Lelaki itu Siti Hidayah

Lelaki itu berbaju kemeja, berseluar hitam, segak. Rambutnya pendek kemas, hitam pekat dan sedikit ikal. Sewaktu beliau hadir untuk menumpang membuat beberapa salinan sijil, aku mengerlingnya sebentar. Selalunya orang ramai yang keluar masuk di dalam bilik pejabatku tidak berapa aku hiraukan. Habis2 pun, aku melemparkan segaris senyuman sebagai tanda sopan

Namun lelaki itu telah menegurku. Telah juga bertanya akan berapa harga salinan fotostat yang telah dibuatnya. Sewaktu itu mataku bertemu matanya. Dan hati kecilku berbisik sendirian, ‘lelaki ke perempuan?’ namun aku diam saja, sambil mata terus memerhatinya dari kaki hingga kepala

Aku tidak berjumpa akan apa2 tanda ‘keperempuanan’ padanya melainkan dari firasat hatiku semata. Dari kasut hingga ke rambut, dari kemeja hingga ke cermin mata, segala2nya menjurus ke arah kelelakian lahiriah. Sebentar aku berpaling, bimbang kalau benar beliau lelaki, makanya aku telah mencemari pandangan mataku. Astaghafirullah... aku menunduk malu

Lelaki itu berlalu, meninggalkanku dengan seribu tanda tanya. Aku diam memandang semula fail2 yang bersusun di atas meja. Dan tidak sampai seminit, tekunanku diganggu semula. Aku mendongak, tidak percaya. ‘Eh, dia?’

“Maaf cik, sijil saya tertinggal satu.” katanya. Lagi sekali datang firast hati, menjerit2 mengatakan bahawa wanita lah beliau ini

Aku bangun dari kerusi, menghampiri mesin fotostat yang diam tak berbunyi. Aku melihat sekeliling, tidak pula terpandang akan sijilnya. Lalu sisi mesin itu aku buka, melihat kalau2 ada kepingan kertas yang tersangkut di situ. Ya ada. Dan aku mengeluarkannya. Lalu laju bebola mata membaca nama di atas sijil kuning yang sederhana keras itu

SITI HIDAYAH BINTI ISMAIL

Aku memandang lelaki itu, tersenyum. “Maaf encik, ini sijil orang lain saya rasa..” Beliau mengambil kepingan itu dari tanganku dan melihatnya laju. Lalu keluar dari mulutnya, “Ya, ini sijil saya........”

Ada malu dalam matanya. Ada segan dalam kerlipnya, dan ada kesal dalam benak jiwa

ww: semoga ramadhan ini benar2 memberi hidayah buat Siti Hidayah...

Friday, September 14, 2007

Peritnya dugaanMu Tuhan

Peritnya dugaanMu Tuhan
Serasa tiada penawar tiada ubat-ubatan
Bukankah telah acapkali aku meminta-minta
Kenapa tidak Kau kurniakan jua?

Peritnya dugaanMu Tuhan
Jiwaku serasa hancur luluh kelepuhan
Bukankah Kau telah berjanji?
Mintalah PadaKu dan akan Kuberi

Peritnya dugaanMu Tuhan
Serasa sebak hati menahan
Kenapa Kau uji sehebat ini?
Apa lah jua kesalahan diri?

Peritnya dugaanMu Tuhan
Berilah aku tanda peringatan
Utuslah dugaan ini dengan hikmah
Agar tenang hatiku yang luka parah

Beratnya dugaanMu Tuhan
Semuanya mengajarku erti kesyukuran
Erti penghambaan dan pengabdian
Erti rahmat dalam keperitan

Peritnya dugaanMu Tuhan
Kalaulah dapat aku lafazkan…..

…………………………………………………….

-Allah itu menjawab doa hamba2nya dengan 3 cara
*Minta dan terus diberiNya
*Minta dan ditangguhNya hingga ke suatu masa
*Minta dan tidak diberiNya, tetapi menukar permintaan itu dengan pemberian yang lebih bermakna dan baik buat si peminta


Ww: aku telah GAGAL ujian PTD. Mungkin lebih ramai diluar sana yang bersinar bintangnya. Kunantikan hikmah disebalik kegagalan. Moga adalah jua masanya suatu hari nanti untuk kubersujud penuh kesyukuran – bersyukur kerana digagalkan. Untuk kalian, terima kasih atas doa yang kunjung tiba. Berdoalah pula agar aku pasrah dan redha. Berdoalah juga supaya aku tidak mudah berputus asa......

Monday, September 10, 2007

Putih suci

blog ini kutukar dahulu warna dan rupanya. kupilih putih sempena ramadhan yang bakal tiba. semoga jua hatiku seputih blog yang berlainan parasnya... selamat berpuasa buat kalian semua...

ww: tengah obses dengan ACDSee.. =)

Yang kata bertemu mata






ralat: ejaan sebenar 'mengaharp' dalam sajak RAMADHAN di atas adalah 'mengharap'.. harap maaf. klik pada image untuk paparan bersaiz asal


ww: sajak2ku dalam ACDSee edited pictures.. ada keindahan dan kepuasan yang sebenar bila ketekunan bertemu kecantikan.... tahniah buatku..


Wednesday, September 05, 2007

Mengapa, Masyit....???

Bangunan JAKIM yang merah tersergam itu aku lihat dari jauh. Dari tingkap pejabatku yang dipenuhi titis hujan yang mendinginkan. Laju kudakap tubuh, dan perlahan keluar nada keluhan. Ah hati.... apa lagi yang dihajati???

Semalam kuterima khabar berita, Masyit tidak menghadiri temuduga kaunselor yang diterimanya. Mengapa Masyit? Puas sudahkah dengan kerjamu yang tak sampai pun dua bulan kau amalkan? Lumayan benarkah gajinya sampai cita2mu kau lupakan? Atau telah bertemukah orang yang dicinta di alam pejabat yang menghindarkanmu untuk terus mengejar cita dan impian? Ah hati... telah nyata yang empunya diri sudah memutuskan, lalu adakah lagi jalan?? Aku diam termenung memandang ke depan

Masyit itu rakan2 ‘kapak’ yang sering sembang lepak, tawa gelak. Rakan 'sekuku' yang boleh bergabung ilmu bersatu padu. Beliau punya cita jitu untuk membantu manusia. Menyelesaikan masalah mereka selagi terdaya. Dan dalam diam aku akui keutuhan cita-citanya. Aku kagumi bakat dan anugerahnya. Aku soroti niatnya dengan doa dan taqwa. Agar satu hari nanti lahirlah Masyit itu sebagai kaunselor ternama. Kerana aku sendiri tiada bakat mendengar, melainkan berbicara sahaja

Namun berita semalam buat hati jadi pilu. Bagai keputusan itu dibuat aku jua. Terasa pedih benar hati ini entah kenapa. Seakan bergenang air jernih di kelopak mata. Kadang yang terjadi selalunya bukan seperti yang kita impi. Namun kita digalak barusaha dan terus-terusan mencuba. Jatuh dan bangun lagi. Jatuh dan bangun lagi. Selagi belum mati...

Di manakah "self-actualization" yang kita belajar dulu, Masyit? Tidakkah hirarchi Maslow itu kita ikuti selagi terdaya. Terus menuju ke puncak cita2. Mungkin tertutup sudah hatimu membantu manusia. Jadi apakah relevennya berbuang masa dan tenaga di hospital KL sebagai sukarela? Berpanas berhujan berpenat lelah? ...... Kaunselor itu lah pintu masuknya. Sayang benar, Masyit.. cita2 mu aku sanjung. Bukan kerana gaji menggunung, bukan kerana nama mengharum, melainkan kehendak hati dan jiwa. Yang sering dahagakan titisan redha Allah.

Membantu manusia pasti buat kita matang, berkembang. Tidak hanya ketemu yang cocok2 saja. Kadang2 yang berbekam dan bersopak seperti raksasa itu yang selalu bawa ingatan pada nafsu dan minda. Yang punya masalah jiwa dan keluarga itu yang bakal pula memberi kita ilmu maha berguna. Sayang, tak sampai ke situ pemerhatianmu. Apa agaknya yang kau cari dalam hidupmu...

Aku termenung lagi. Memikirkan nasib sendiri. Jangan diri ibarat layang2 terputus tali. Mengikut saja kehendak situasi. Tidak... aku bukan begitu. Selagi tak dapat yang dihajati, bertongkat lengan aku turuti. Yang berat aku pikul, yang hangat aku rangkul, alang2 menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang2 mandi, biar kebasahan.

Mungkin aku lain. Ibarat pesan seorang guru padaku:

“Saya berbangga dengan nilai2 mu. Nilai itu yang membezakan kehidupan bekerjaya dan berkerja. Dan dirimu termasuk dalam kategori pertama...”

~Assoc Prof. Dr. Shukran Abdul Rahman~

Untukmu Masyit...., Aku akan berdoa tiada henti. Biar semua kita jadi apa yang kita impi. Biar terbuka luluh hati, biar tersebar santun budi, biar tertanam dalam diri, mekar subur di dalam Firdausi.........

Monday, September 03, 2007

Merdeka di Melaka

Alor Gajah, Melaka

Banglo A-Famosa resort
porch banglo
selesa beristirehat
gerai cencalok

Perjalanan ke Alor Gajah Melaka itu tidaklah terlalu lama dari Putrajaya. Leka bersembang dengan mama, kereta yang dipandu papa berhenti menandakan yang kami telah selamat tiba ke destinasi. Rumah banglo di A-Famosa Resort yang kami sewa itu kecil dari luar, namun luas di dalamnya. Di belakangnya terdapat sebuah kolam renang yang berukuran sederhana. Melihat saja kolam yang terbentang, adik2 sudah mula menjerit riang. Tidak sabar lagi mereka untuk terjun di kolam. Ah anak2 kecil, sentiasa riang dengan dunia mereka..

Kami ke Melaka untuk 3 hari 3 malam. Dengan tiga keluarga membawa 3 kereta, percutian sempena merdeka ini memberikan semangat baru untuk aku lebih menghargai sanak saudara dan ayahbonda tercinta. Tiada yang lebih menyeronokkan dari bercuti dan bersenang2 bersama keluarga. Dengan makcik yang sering berlawak jenaka, mama yang menyediakan makanan tak kira masa, papa yang tidak lokek berbelanja, abang Khalid dan Isteri yang suka merayau di Bandar Melaka, adik2 dan anak2 saudara yang riuh gembira, percutian itu meningkatkan rasa syukur yang tidak terhingga. Serasa terngiang2 kata papa, “rumah adalah tempat di mana seluruh keluarga boleh berkumpul bersama. Rezeki baru tidak akan datang selagi rezeki lama yang disimpan tidak kita belanja atau sedekahkan…”

Wednesday, August 29, 2007

Mana hilangnya agama?

perpustakaan JPA

Lobi JPA (C1)

Surah Al-Anfal itu baru saja kutamatkan tadi tatkala menunggu kedatangan isya’. Apabila selesai membaca, naskah tertulis bait2 kalam Allah itu aku kucup perlahan. Sambil itu aku terkenangkan dunia dan negara yang telah amat lupa pada gemilangnya Islam dan Iman. Aku sedar, aku ini bukanlah ‘alim’ seperti kebanyakan orang - berjubah, berpurdah, bertudung litup panjang. Tidak.. aku biasa sahaja. Kadang2 aku mengenakan seluar, namun ia besar dan longgar, dan selalu pula berbaju T, namun ia labuh dan lebar. Tiada jubah, tiada purdah. Akan tetapi setakat ini Alhamdulillah, maruahku aku jaga sempurna

Aku terkenangkan soalan2 peperiksaan PTD dan Skim 14 jawatan yang aku hadiri tempoh hari. Tiada satu pun soalan yang bertanyakan “Berapakah rukun Islam?”, “Catatkan rukun Iman” atau paling tidakpun “Anda percaya atau tidak pada Tuhan?”..... Tidak ada. Yang ada cuma soalan2 berunsur dunia, hakikat dunia, ilmu dunia, situasi dunia dan sejarah dunia semata-mata. Noktah!

Adakalanya aku sedih sendiri. Kadang2 kita mencari punca masalah tanpa menyedari bahawa puncanya itu datang dari pilihan kita sendiri. Aku tertanya2, bagaimanakah sesebuah kumpulan kerja yang soleh dan musleh itu mahu dibentuk jika sekiranya di awal2 pemilihan lagi yang iman dan taqwa itu tidak kita taruhkan, tidak kita juangkan.

Panel tidak bertanya, “Adakah cukup solat fardhu anda?”. Tidak bertanya, “Selalukah anda menziarah ibu bapa dan ahli keluarga?”… Tidak bertanya, “Tahukah anda tentang amanah yang ditanggung sebagai pekerja?”.. Tidak bertanya, “Bolehkah anda bekerja dengan seadil-adilnya”.. Tidak.. bukan unsur2 kerohanian itu yang ditanya panel pemilihan. Walhal yang selalu menjaga solatnya itukan insan yang dijaga Allah dari melakukan maksiat dan dosa. Yang selalu menziarah ibu bapa itukan tanda2 anak bangsa yang tidak mudah lupa. Yang menjaga amanah dan tanggungjawab itukan pekerja yang benar2 berwibawa. Dan pekerja yang adil itu kan yang bakal membawa organisasi ke arah sejahtera...

Sayang, kita silap di awal2 langkah. Bertatih pun kita telah tergelincir songsang, maka bila berlari kita terjatuh lalu tumbang. Bagi kita kini, segala tentang Islam itu tidak mampu menjadi kayu ukur untuk menghasilkan pekerja dan hamba kerajaan yang gemilang. Apabila segala yang rohani itu kita buang, maka disitulah munculnya segala punca malang dan kecundang

Di zaman kita ini manusia lebih tertumpu pada kearifan mentaliti dan fahaman duniawi semata. Anda akan dikira manusia tebijak seandainya anda menghafal semua nama2 pemerintah di dunia. Anda akan dikira terbaik dalam segalanya sekiranya anda mampu bertutur dengan baik dalam bahasa penjajah, tak kira lah bahasa Inggeris, India dan bahasa Cina. Pekerja yang baik adalah insan yang baik dalaman dan luaran. Yang menjadikan iman sebagai landasan. Yang ilmunya diamalkan. Yang sahsiahnya di jaga mantan. Yang akhlaqnya menjadi ikutan. Yang amanahnya, ditanggung tanpa beban.

Namun lihatlah hari ini. Ramai pekerja di pejabat yang suka menuang kerja, yang mengambil rasuah, yang memanipulasi dan memperguna, yang tidak amanah dan gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna. Jangan ditanya mengapa sikap pekerja kita bukan yang kelas pertama. Ini kerana di awal2 lagi kita memilih pekerja yang hanya pandai berbicara. Bagai murai yang bising nyaring. Namun kerjanya kekok dan sumbing.

Aku percaya bahawa seorang yang beriman dan bertaqwa dalam ertikata yang sebenar-benarnya akan menjadi seorang pekerja yang berwibawa. Yang menghormati rakan sekerjanya, yang cuba mengelakkan fitnah, yang mendamaikan dua golongan yang bertelagah dan kekal terus-terusan mengindah dan memakmurkan persekitaran kerja.

Namun segalanya hanya tinggal impian aku sendiri. Kerana tidak mungkin apa yang aku tulis disini diambil dan diamat-amati. Nah, jadi kekallah penjawat awam itu yang cantik segak, yang elok tinggi. Kekallah penjawat awam itu yang indah luarannya, yang trendy pakaiannya, yang tebal make up nya, yang gagah langkahnya..

Namun di satu sudut lain, kecantikannya tidak dapat mencantikkan sahsiah masyarakat dan ummat. Kesegakannya tidak dapat menghiasi rumah2 ibadat. Ketinggiannya tidak mampu membatasi belenggu maksiat. Keindahan lagaknya tidak dapat menyempurnakan amanat. Ketebalan make upnya tidak dapat melukiskan kegembiraan rakyat dan kegagahannya melupakan dia pada kepentingan akhirat..

Itu lah yang aku lihat, yang aku pahat dan aku ambil sebagai tandang semangat. Seandainyalah suatu hari nanti aku ditakdirkan untuk menjadi ketua, yang akan aku ubah adalah cara kita menerima Islam dalam beragama. Jangan sesekali meletakkan soal agama di tangga yang bawah. Kerana agama itu sebenarnya adalah kenderaan yang perlu kita guna untuk membawa kita ke destinasi yang dicita. Di dalam pendidikan ada agama, didalam politik ada agama, dan di dalam segalanya harus ada agama.

Jangan suatu hari nanti kita hanya tahu menyebut-nyebut lantang tentang agama tetapi jahil tentang peranan beragama. Atau lebih teruk lagi apabila masyarakat kita mula berpuas hati dan mengaku beriman hanya kerana telah menlengkapkan dua “simbol” agama – 1) solat jumaat dan 2) sebulan berpuasa. Sekarang ini pun, yang dua itu sajalah yang membezakan kita dengan Hindu Budha. Jika yang dua itu pun tiada, maka samalah kita dengan kafir2 laknatullah. Nauzubillah.. Renung-renungkanlah..


Writer’s words : kita belum merdeka

Puji-pujian dihari kesyukuran


Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Lembut zikir yang dialunkan berulang2 itu masuk ke gegendang telinga. Rasanya bagai ngilu hati menahan rasa terharu dan sukacita kerana masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat hari bahagia oleh yang Maha Kuasa. Dengan hati yang sering lalai dan leka dari mengingatiNya, Dia tetap di sana, sedia menuruti dan memberi segala yang dihajati. Sedetik timbul rasa sesal dan kesal, apa jualah yang telah kulakukan untukNya?? Ingatan yang tiada jua, ibadat yang kosong kelana. Sungguh aku masih belum jadi ummat yang benar2 taqwa

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Mengheningkan suasana pagi yang sememangnya mendebarkan. Serasa kering darah dihirup gusar dan gemuruh yang tak dapat ditangguh-tangguh. Sekejap lagi bakal tiba saat namaku dipanggil untuk menerima sekeping ijazah. Tanda perjuangan lima tahun bergelar siswi Universiti Islam Antarabangsa. Kepada siapa harus kudahulukan ucapan terima kasih ini?? Rasa kerdil menguasai diri. Tiba2 air mata bergenang perlahan, bermain enak di kelopak mata yang sejuk teduh memandang barisan para pengajar yang berjalan penuh mesra. Mungkinkah suatu hari nanti aku pula berdiri di sana?

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Sebak, hening dan mengharukan. Berdiri tegak reroma mendengar alunan zikir yang begitu mendamaikan jiwa. Terasa sedih benar disaat gegendang telinga bersatu lembut dengan dengungan bunyi yang lemah gemalai, sahut menyahut puji-memuji mendendangkan tanda2 keagungan tuhan. Di zaman ini segala yang indah tentang Islam hampir lenyap dan malap. Kalau adapun satu inilah, dan di puncak menara inilah aku sujud syukur mengenangkan segala kebaikan tuhan terhadapku yang entakan mampu atau tidak untuk kubalas satu persatu.

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….


Zikir dialun lagi. Kembang kuncup hati menahan hiba melihat ahli2 senat memberi senyuman mesra. Ramai juga yang sekadar tersenyum lalu menunduk hormat. Tidak kurang juga yang sudi mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang sulung ini. Sulung?? Ya, kerana kejayaan ini bukanlah penamat dan yang penghabisan. Masih bayak perkara yang pelu dijuangkan. Masih luas ilmu tuhan yang mampu aku mafhumkan, dalamkan dan praktikkan. Sekejap mataku berkelip, mengalir perlahan tangisan kesyukuran. Andailah mampu kukalungkan rasa penghargaan buat sesiapa jua yang telah sama2 menempuh cabaran dan dugaan...

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir yang gemalai dialun lagi. Kali ini perlahan benar. Lembut dan sayup2 memasuki gegendang telinga yang diciptakan oleh Allah jua. Namun telinga ini jarang sekali mendengan puji-pujian padaNya. Kalau adapun yang sekarang ini lah. Di sebelah kanan kelihatan dua lelaki bersongkok, berjubah hijau tua. Anggun dan segak langkahnya. Berjalan perlahan menyusuri denai berkarpet merah, menjunjung senaskah Kalamullah dan Cokmar diraja. Perlahan benar derap tapak kaki itu kurasa. Sesuai dengan alunan zikir yang berkemandang lembut, lambat dan leka. Ah hati, sungguh benar kepingin yang indah2 rupanya. Benarlah kalam Allah itu juga yang jadi ubat penawar duka.

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Terus-terusan dialun lembut sehingga tiba saat naskah Al-Quranulkarim itu ditempatkan perlahan di atas rehal yang besar indah. Lalu zikir itu tamat lah di situ. Segala yang indah telah berlalu. Kini tiba pula saat degupan jatung laju bertalu-talu. Jauh disudut hati meminta-minta zikir itu dinyanyikan semula. Namun segalanya sudah jadi nyata. Aku kembali ke alam realiti. Mendengar suara2 gemersik memulakan majlis dengan penuh hati2. Debaran kian terasa. Namun jauh di dalam hati, aku ulang2 kan zikir yang sama untuk menghilangkan rasa gemuruh yang kunjung tiba.. Ah, Indahnya puji-pujian padamu Ya Allah. Setinggi taman syurgamu, Firdaus al-A’la...

Thursday, August 23, 2007

Antara Fahmi dan Mawi

Tanyalah pada sesiapa di mana jua. “Anda kenal Mawi?” Pasti anda akan terkesima dengan jawapan yang anda dengar. Jangankan Mawi, girlfriend Mawi, kereta Mawi, rumah Mawi, kampung Mawi, album Mawi, baju Mawi; kebanyakan orang akan maklum.

Tanyalah lagi sekali. “Anda kenal Fahmi?” dan kali ini anda juga akan terkesima kerana ternyata anda juga akan tertanya-tanya “siapa Fahmi?”

Masyarakat hari ini menyanjung tinggi hiburan. Siang malam pagi petang kita leka menonton dan mendengar hiburan. Anak2 kecil lebih senang menghafaz lagu “pencinta wanita” dari membaca Quran semuka dua. Jangan kaget seandainya 10 tahun lagi kita mempunyai masyarakat yang tidak kenal alif, ba, ta. Waktu itu tepuk lah dada, tanya apa selera kita..

Aku sukakan hiburan. Aku mendengar lagu2 klasik dan ballads untuk menenangkan fikiran. Aku dengar lagu2 nasyid supaya tidak mengantuk dalam perjalanan. Tetapi aku tidak taksub lalu lansung melupakan Al-Quran

Fahmi dan Mawi adalah dua orang anak muda yang sama kisahnya. Kedua2 mereka adalah juara. Cumanya yang satu, kejuaraannya disebabkan peminat yang berjuta, dan satu lagi disebabkan bacaan Quran yang indah. Yang bezanya, juara yang satu ini kejuaraannya tidak membawa beliau ke mana2 melainkan menambah semangat dan keazamannya untuk tunduk patuh kepada Allah Taala. Tiada panggilan penaja, tiada konsert merata, tiada kereta percuma dan tiada rumah mewah. Namun yang pasti, ketenangan tetap di hati

Dan juara yang lagi satu mungkin telah berubah. Dari anak felda, kini jutawan Malaysia. Kereta 6/7 buah, rumah merata2, ke hulu hilir menjelajah dunia, orang angkat menjadi duta.. namun hilang nikmat usia. Hidup yang dulu tenang dan lapang kini tiada lagi senggang. Dulu orang susah kini jadi orang senang. Cara berpakaian dan cara bercakap pun sudah bukan alang2. Sayang, kadang2 dengan pangkat dan nama, manusia mudah lupa asal usulnya.

Abdullah Fahmi dan Asmawi Ani, dua jasad dan ruh yang diciptakan sama, namun tangan2 dunia telah mencorak mereka sehingga menjadi mereka. Kita juga belum pasti apa nasib kita, namun bersegeralah untuk melangkah ke arah penuh iman dan redha. Maka beruntunglah mereka2 yang sentiasa mengambil Al-Quran sebagai teman hati dan jiwa…


Writer’s word : Suka yang sederhana =)

Tuesday, August 21, 2007

Apa reaksi kita??

kisah i :

HINDRAF sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kaum India telah mengadu pada kerajaan untuk membekukan hak2 keistimewaan bumiputera kerana menurutnya hak2 orang India sebagai penduduk minoriti negara disisihkan. Benarkah?? Owh cerdik pandai, jemput2 lah ke Batu Caves. Aku pasti, dari jauh mata kita telah disilaukan oleh patung emas yang berkilau dipanah cahaya. Besarnya bak gajah, tingginya bak galah.. Tersisih lagi kah?? Kadang2 manusia perlu diajar supaya bersyukur. Kalau diamat-amati, mungkin di negara India sendiri pun orang india tidak akan sebebas ini. Janganlah mementingkan diri sendiri..

kisah ii :

Ini kisah MCA, yang kononnya telah membuat cadangan untuk mewujudkan kertas matematik dan sains bagi peperiksaan UPSR di dalam bahasa mandarin. Wah wah.. seronok benar mendengar permintaan mereka yang berbagai rupa, cara dan warna.. Kalau tidak dipenuhi, kerajaan dan nama melayu yang jadi mangsa. Kalau dipenuhi pun macam membiarkan pihak lain menindas bangsa kita. Kalau semua yang istimewa itu telah dikongsi bersama, makanya tidak ada lagi lah yang istimewa. Kadang2 melayu boleh berlembut, tetapi jangan sampai kita dipijak kepala. Berlembut pun biar lah ada batasnya..

kisah iii :

Kisah iii, adalah kisah kita yang melayu. Tunduk membisu, kaku membatu saja kah yang kita mampu?????????? Jika kita tidak mahu memperjuangkan bangsa, jangan lupa kita masih perlu memperjuangkan AGAMA!!!