Friday, September 14, 2012

Universal Studio Singapore

Ok, seperti yang dijanjikan, USS

 Kami sampai USS time tu dalam pukul 10 lebih. Disebakan pergi hari sabtu, so tiket menjadi agak mahal berbanding weekdays, standard la kan. Mana2 tempat pun macamtu. Dewasa $72 dan kanak2 $55 kalau tak silap. Kalau korang nak pergi, boleh tengok website USS tu sendiri k. 

Ni spot wajib. Globe yang berpusing je tak benti2 ni memang tak pernah lah yang kosong kan. So aku shoot je la walaupun ramai orang. Nak tunggu takde orang memang tak dapat la kot

Masuk2 je, adik aku yg dua orang ni menggedik nak amek gambar kat bintang2 ala2 walk of fame, apa entah orang panggil yang kat hollywood tu. Aku biasa je la sebab aku bukan minat sangat begambar. Lagipun aku pernah sampai dah the real Hollywood. Disneyland Los Angeles pun aku pernah pergi. Kira lawatan ke USS ni macam ulang kisah silam la. Eceh

 Ni street pertama yang korang akan jumpa bila masuk. New york street ke apa ntah. Aku memang tak tengok kiri kanan sangat sebab nak cepat menuju ke Transformers.

 Sempat la aku snap gambar kartun ni. Bukan gambar awek dua orang tu okay. Masyallah, seksi.

Haaaa.. Ni lah dia yang menjadi idaman setiap orang yang nak pergi uss. Transformers the ride. Haiyoooo.. memang best la permainan ni. Kalau pergi, kene lekas2 beratur sebelum orang beratur ramai. Aku haritu beratur dekat 40 minit. Tapi jangan risau, beratur je la. Takdelah bosan sangat sebab dalam bangunan ni dah macam muzium transformers

 Sambil2 beratur tu, boleh la tengok barang2 dan alat2 yang berkaitan dengan cerita transformers ni. Adik2 aku la yang beriya. Entah apa2 nama robot2 ni. Aku bukan hafal sangat. Budak2 baru nak naik la yang suka benda2 macamni

 Ni pun tengah beratur lagi. Ramai orang. Dorang tak bagi snap gambar dalam ni. Tapi aku curi2 snap jugak. Ah peduli apa. Datang jauh2 tu. Bukan leh datang lagi pun nanti kan. Aku rela kene marah la dari tak dapat ambik gambar lansung. Ada permainan yang korang boleh bawak beg, kamera dan barang. Ada permainan yang 'sorry bang, mesti sehelai sepinggang okay!'

 Dan setelah 40 minit beratur, dah rasa bergoyang kiri kanan atas bawah, menggelodak segala isi perut, menjerit sampai keluar anak tekak, baru lah aku keluar dan ambik gambar sekitar sci-fi city ni. Kira section pertama dalam uss. Ramai orang ambik gambar watak2 cerita ni. Free. Kalau korang nak, just beratur. Kalau malas beratur, haa amek je la macam aku ni. jangan komplen la kalau ada kepala orang ke apa kan

 Encik Chevrolet yang kacak. Kalau dalam Malaysia, aku rasa Jejai je kot yang pakai keta ni. Sebijik kaler kuning. Untunglah Fasha Sandha. Aku mampu tengok je la. Heeee geram. Hensem!

 Ni pulak permainan kedua yang aku main selepas transformers. Best ke tak best ke, korang kene la naik sendiri. Sebab yang aku naik haritu, kira nasib baik je lah tak pengsan. Kaki dah la terjuntai2, turun naiknya masyallahh.. Tapi ye la kan, dah nama pun roller coster. Haa main roller coster ni tak boleh bawak apa pun. Hanset dalam kocek pun tak boleh. Cermin mata, sebelum naik kene bukak. Sebab tu aku sarankan, korang pergi ramai2. So kalau ada yang jenis penakut atau gayat, boleh lah dorang tolong pegang dan jagakan barang2 sementara korang main. Sebab kalau tak, memang kene letak dalam loker. Alamat melayang lagi lah duit korang

 Ada dua roller coster. Satu merah, satu biru. Dua2 best. Tapi yang paling tinggi dan mencengkam ialah si cyclon ni. Oh ye, kanak2 pun boleh main semua jenis permainan termasuklah cyclon ni dengan syarat kanak2 tu mesti melepasi ketinggian yang ditetapkan. Anak buah aku darjah satu, selamba je dia ikut kitorang yang muda2 belia ni naik roller coster. Tak takut pulak tu. Aku tak tau lah budak2 sekarang ni. Banyak makan makjun kot

 Sempat aku snap gambar si Optimus yang tengah sibuk layan peminat ni. Ni bukan patung ok. Ada orang dalam ni so dia leh la melambai2 ke apa. Bukan replika. Bebudak memang suka lah benda2 ni. Dan destinasi aku yg seterusnya ialah section Mummies ni

 Haa tu dia. Hamek kau. Dah macam kat Abu Simbel. Permainan ni pun best. 3D macam transformers jugak. Hee semua lah best2

 Kalau tadi kat section pertama tu kawasan dia macam robot2, yang dalam section dua ni dah macam kat padang pasir pulak. Segala tok nenek berhala lah ada kat sini. Berhala ke? Entah. Kira dorang nak menambahkan lagi feel tu, dinding, jalan raya, kedai2, semua dibina mengikut tema section. Sampai orang yang kerja kat section ni pun akan ikut berpakaian ala2 An'ck Sunamun.. Bagus dan best

 Ni antara watak2 kat section mummies yang berkeliaran dan melayan peminat2 nak begambar

 Pergi sini, kene rajin jalan. Panas terik pun jalan. Sebab kalau kau masuk tapi kau nak melepak je bawah payung, better tak yah masuk lah kan. So kene rajin jalan k. Ni uss ni tak besar mana. Aku pergi Disneyland dulu, sampai haus lah tapak kasut. Belum Disneyworld Orlando lagi. Orang cakap lagi besar

Revenge of the Mummy. Best!

 Ni section ketiga yang kitorang masuk. The lost world. Dan semuanya menjurus kepada dinosour pulak. Permainan dalam park yang ni basah2 sikit. So be prepared la dengan baju hujan ke apa. Ada dorang jual $2. Tak nak aku. Aku belasah je main tak pakai baju hujan apa pun. Ala kalau basah pun, nanti kau jalan2 tengah panas, kering lah. Apedehal

 Banyak permainan budak2 je la kat sini. Start section ni aku dah penat. Memang aku dah duduk je dan tengok adik2 aku main. Mak aku awal2 dah surrender. Ayah aku? Transformers tu je yang dia naik. Takut sakit jantung. Tak larat dah

 Dah lepas habis section Lost world dan waterworld tu, korang kan jumpa pulak section Far2 away ni. Ala2 istana cerita Shrek gitu. 

 Cantik tiang lampu kau kan? Nasib tak jual. Kalau tak, haruslah mak aku beli tiang ni. Sibuk dia memuji2

Castle yang tersergam. Nak masuk dan main? Boleh, beratur je k. 

 Macam yang aku bagitahu tadi, kedai2 makan, persekitaran akan mengikut tema park tersebut. So yang ni ala2 garden gitu


Si kucing yang dalam cerita Shrek tu. Heee kemain suka lagi budak2 nak memeluk lah, nak pegang2 lah. Lantakkan.. Asalkan korang bahagia

 Dan yang ni dah masuk ala2 Hutan Amazon pulak. Permainan dan kedai2 yang mengikut tema cerita Madagascar. Lagi sekali, adik2 aku faham la cerita2 ni. Aku tengok jugak tapi takdelah sampai mengapal bagai kan

 Penuh dengan pokok2 pisang, pokok2 pinang. Memang terbaik la dorang punya landscape designer ni

 Merry-go-round yang selalunya untuk bebudak kecik. Tapi ramai je orang besar yang naik pun. Ikutlah, tak salah pun kan

Besar amat pokok ini

 Dan selepas habis berjalan2 di semua section dan park, korang akan jumpa Hollywood street ni. Street terakhir sebelum kita jumpa pagar untuk keluar dari uss


 Jangan lupa beli cenderahati utk kawan2 dan saudara mara. Murah2 pun takpe asalkan kita ingat. Bila dorang happy, insyallah dorang akan doakan kita untuk berjalan lagi. Heee

 Universal studio store yang ada jual macam2 barangan. Mak aku beli fridge magnet dan frame satu. Adik perempuan aku amek t-shirt. Adik lelaki aku amek key-chain and topi kot. Dan aku amek beg kecik tempat letak barang2 toileteries. Yang bayarnya, mestilah ayah aku kan. Hahaha.. Jadilah dapat sorang satu buat kenang-kenangan. Mahal tu. Kalau $10 dah sama dengan RM28 okay

 Kebetulan sebelum balik, keluar lah si panda comel ni. Kemain lagi dia senyum and babai2 kat aku. Okay fine, aku tau aku nak balik dah

Dan itu lah je gambar2 yang dapat aku kongsikan beserta cerita yang tak berapa nak menarik lah. Harap2 korang ada gambaran dan berasa teruja untuk sampai ke sini. Bagus angan2 tu. Sebab dari angan2 lah akan datang usaha. Aku doakan semoga semua kawan2 dapat berjalan jauh sambil kita sama2 menambah dan berkongsi pengalaman

Aku masuk uss ni sehari suntuk. Dari pagi sampai petang. Jangan risau, semua kemudahan ada disediakan. Last tutp pukul 10malam. So kalau nak lepak sampai malam pun boleh. Sukahati. Time aku pergi Disneyland dulu, aku masuk 2 hari sebab tak sempat nak cover the whole park. Yang ni sehari ok je. Dorang kata kalau malam ada show. Aku tak tau lah sebab dalam pkul 6 lebih tu kitorang dah gerak. Penat tetapi berbaloi. Selamat tinggal uss

Akhir kata, segala puji bagi Allah yang telah memberikan peluang sebegini helok untuk saya dan keluarga. Syukur Alhamdulillah (: Terima kasih, Allah. Eifel tower and Paris pulak tau lepas ni. Hehe

Ok, jumpa lagi

Tuesday, September 11, 2012

Kota Singa

Ada sikit gambar2 waktu aku kat Singapore haritu. Tak larat nak bebel, tengok gambar je lah eh

 Kat chekpoint Woodlands. Ramai gila yang nak masuk singapore haritu. Panjang que

 Sampai2 je, kitorang terus ke Geylang. Makan dan minum2 sikit sebelum jalan2 lagi. Siap tulis berapa kalori okay. Kau mampu ke letak sign macamni kat kedai mamak?

 Ni lah pasar geylang serai. Memang ramai lah orang Melayu kat sini. Selain Geylang, ada lah dua tiga tempat lagi kot kawasan melayu. Yang lain semua ca ya nun alif. Memang macam Hong Kong

 Ni lah flat nekcu aku duduk. Kitorang tak duk sini sebab rumahnya kecik je. So nekcu dah amek chalet untuk lepak ramai2. Singapore ni memang kaya. Tapi kerajaan dia je lah kaya. Rakyat dia miskin jugak. Kalau ada pun yang kaya, haruslah bukan bangsa kita. Nak tengok orang melayu pakai kereta pun susah kat sana

 Ni tengah tunggu MRT. Tak larat lah nak naik kereta. Banyak sangat songehnya. Bayar itu lah ini lah. Naik MRT senang. Cepat dan murah

 Ni Marina Bay Sand. Selalu aku tengok dalam AFC je. Baru ni lah dapat tengok depan mata. Atas tu ada ala2 kapal selam gitu. Dengar2nya, rate bilik kat hotel ni yang paling murah $500 satu malam. Haa korang convert la sendiri ke RM. Takpelah, tak dapat tidur situ pun takpe. Bagi je lah kat pak2 arab

 Bangunan2 pencakar langit di singapore. Cantik la sebab mengelilingi laut. Memang lah boleh sebab kau tambak sendiri dan create landscape ikut suka kau. Kalau aku pun aku nak bina lawa2 bandar aku. Eh, apakah aku jeles?

 Sama jugak. Cuma bila dah malam macam terpegun lah dengan lampu2nya. Memang lah lawa

 Marina Bay Sand yang tersergam dan menyakitkan hati. Huh

 Pemandangan yang tak jemu dipandang di waktu malam. Eh tapi kalau aku jadi rakyat singapore, haruslah aku pun jemu jugak nengok benda yang sama hari2

 Jalan2 kat Merlion. Alaa, patung singa campur ikan duyung yang duk pancut air kat mulut dia tu. Cuma time aku pergi ni, merlionnya under construction. So tak dapatlah ambik gambar tu

 Dia kira macam ada river cruise jugaklah kalau2 kata nak naik bot ke apa kan. Tapi ko bersedia je lah dengan duit kan. Ni bukan bandung okay. Kat bandung kau kaya raya. Kat sini haruslah kau tengok je dan jangan banyak cerita


 Aku tak tahulah pancaran lazer dengan musik ni dorang main hari2 atau malam minggu je. Tapi kira nasib aku baik lah sebab time aku datang dorang buat show ni. Memang mengharukan. Best!

Ada macam2 la monumen la, apa lah sekitar town dia tu. Kalau pergi sini, jangan naik teksi atau kereta, Rugi. Better korang naik MRT dan jalan kaki je. Lagipun MRT dia menyeluruh. Kira bawah flat ko pun dah ada MRT. So tak payah nak naik bas ke apa. 

Kita kat Malaysia ni kalau naik LRT or Komuter, haruslah kene naik teksi or bas jugak kan? Dorang kat sana tu lah yg bagus. Kenderaan awam sangat kondusif. Ala, negara kecik kan.. Senang nak manage. (eh kenapa aku mcm iri hati ni?)

 Hotel2 mahal kat town singapore ni. Yang belah kiri tu Fullerton Bay Hotel. Cantik, menarik dan tertarik

Sorry aku tak tau apa motif kerbau ni, Again sorry

***

Itu je lah gambar sekitar Singapore. Haaa... Lepasni aku akan post kan gambar USS pulak. Tunggu tau.

Sangat lama

Wahhh... Terasa sangat lama saya tidak mengemaskini blog. Bukan lah saya malas ke apa. Selalunya saya menulis di pejabat. Bila2 tak ada kelas dan ada masa lapang. Baru2 ni ofis dah block semua laman2 web peribadi ni. Tak dapatlah saya mengupdate lagi. Bukan saya tak boleh nak berbroadband bagai, tapi kalau dah sampai rumah memang malas nak membukak tutup lappy. Nak menaip guna tab? Sampai esok tak siap. Penat mematuk2 macam woody woodpacker

Banyak saya nak cerita. Gambar pun banyak saya nak kongsi. Gambar saya ke Singapura. Ke Universal Studio. Macam2 lah. Tapi masa tak mengizinkan. Nanti2 lah saya post. Alah lagipun saya kan memang terkenal dengan manusia yang tak berapa nak up-to-date

Ok lah. Kebetulan saya dah kat depan pc ni sementara tunggu training pebenda ntah, saya update la sikit mana yang patut. Tunggu k. Kalau diberi kesempatan nanti saya akan post entri dan gambar

USS memang syok. Awesome sangat2. Lagi2 Transformers The Riders dan Roller Coster dia yang whooooooooo.... speechless! Kalau ada kesempatan dan rezeki lebih, sila pergi okay. Saya syorkan. Tapi untuk orang yang sukakan adventure dan permainan yang menguji ketahanan je lah. Siapa yang gayat, penakut, pengecut mahupun tak berani, toksah lah pergi. Buang duit je

Dan siapa yang suka bergambar dengan karakter2 filem, haaaa.. memang ini lah tempatnya. Nanti saya post gambar bagi semua terliur okay. Sekian

Saturday, August 11, 2012

Untunglaaaa~

Untunglah kamu kan....




Untunglah kamu sebab ada orang sayang kamu, belai kamu, cinta kamu, rindu kamu, tak sabar2 nak bersama dengan kamu. Untunglah..

Untunglah kamu sebab ada tuan macam saya. Saya beli kamu, saya jaga kamu, saya belai kamu setiap minggu. Heee... mana nak dapat tuan macam saya ni lagi. Tuan yang jaga kamu macam bini, yang bergurau senda dengan kamu macam anak2, dan yang penting angkut kamu ke hulur ke hilir - mana je saya pergi, kamu mesti ikut sekali. Hai la untungnyaaa...

***

Macamtu agaknya kita. Untunglah kita ada Tuhan yang maha kasih, maha sayang, maha beri, maha kaya, maha pemurah. Masyallah.. Tak untung apanya lagi

Oksigen free, mata, hidung, mulut, telinga, tangan kaki badan perut akal iman hoii semualah.. Tak larat nak letak tanda koma dah. Semua Allah bagi percuma. Apatah lagi kalau yang ada suami, isteri, anak2 dan keluarga

Tu pun tak reti bersyukur jugak?

Setiap kali dapat gaji, saya bahagikan expenses. Bayar kereta, rumah, bil telefon, letrik, air, Astro, ptptn. Belanja famili sikit dan selebihnya untuk simpanan masa susah nanti. Dan tiba2 saya terfikir, dalam list tu takde pun bayaran untuk hidup yang tuhan bagi, degupan jantung, keupayaan melihat, menghidu, menyentuh, lidah yang boleh bergerak, bercakap, merasa. Semua, semua nikmat yang Tuhan bagi pada saya, saya tak perlu bayar pun

Percuma kot

Saya ada cakap terima kasih ke? Bila? 5 kali sehari lepas solat fardhu? Dalam doa2 lepas terawih?

Cukup?

Sebak

Kalau saya sebut terima kasih tanpa henti sepanjang hidup saya pun belum tentu menyamai nikmat yang Allah bagi

Terima kasih banyak2 wahai Allah. Segala puji bagiMu, Tuhan..

***

p/s : Dah tengok iklan raya Bernas 2012? Haa kalau belum, baik tengok sekarang. G bukak youtube!

~ untunglah kita

Iftar dan Putrajaya

Disebabkan bosan tahap melampau, saya berbuka lah kat tepi tasik Putrajaya sambil snap gambar. Takde lah banyak sangat pun gambarnya sebab lepas berbuka terus balik. Tapi dapat lah lepaskan gian

Snap gambar untuk orang yang minat fotografi samalah macam rokok untuk perokok dan dadah untuk penagih

Eh, ye ke?

 Putrajaya ni kalau malam memang lawo

 Tenang la hai jiwa. Hmmm...

Nanti2 kita amek gambo Eifel Tower pulak ye. Sabar k

Sekian. Sekadar nak update blog ni sebab lama tak bergerak. Jumpa lagi

Thursday, July 26, 2012

Kerja dan hidup

Harini saya nak membebel dua bab yang paling buat saya stress sekarang. Kalau suka nak baca, teruskan. Kalau rasa membazir masa, klik je tanda pangkah kat hujung belah kanan atas tu. Takde paksaan

Kerja

Kalau ada perkataan yang mampu saya ucap yang memberi makna yang lebih mendalam dari bosan, jemu dan tepu, mesti saya akan cakap perkataan tu. Jujur, kalau tak mengenangkan nak bayar WRQ rm590 setiap bulan, bayar rumah rm390 setiap bulan, bayar bil telefon dan internet rm300, astro rm100, ptptn rm150, saya akan berhenti serta-merta dan akan kerja je kfc ke, mcd ke, kerja kilang ke, jadi waitress kat hotel2 ke. Serius, saya JEMU!!!

Setiap malam saya tak boleh tidur lena mengenangkan yang saya terpaksa bangun esok pagi dan mengadap orang2 kat ofis. Pelajar yang daripada beratus2 orang zaman2 saya mula mengajar dulu dah tinggal 3 ketul macam kelas tuisyen dan semua itu membantutkan lagi nafsu berkerja saya

Nak cerita pasal improvement dan increment? Saya rasa better kita tak payah sentuh kot bab2 external macamtu. Nanti orang kata saya ni materialistik pulak. Kalau orang yang betul2 kenal saya, orang akan tahu yang I am an intrinsic person. Saya mencari kerjaya bukan sekadar kerja. Saya mencintai apa yang saya kerjakan, bukan apa yang saya dapat dari pekerjaan tersebut. Tapi jangan la sampai 5 tahun kerja, takde apa pun yang boleh dibanggakan. Nak jugak rasa dihargai

Namun setelah hampir 5 tahun di kampeni ni, perasaan saya mula gundah. Otak dah jadi tepu, dan dalam erti kata lain, saya dah takde feeling nak pergi kerja. Jujur, bukan buat2. Saya bosan tengok tempat ni, orang2 kat sini, hawa kat sini, warna dinding kat sini, makanan kat sini, semua buat saya BOSAN

Kadang2 rasa nak nangis, kadang2 dah nangis pun. Dah lah saya hidup sorang, nak bercakap dengan siapa pun saya tak tahu. Bila pendam sorang2, saya boleh gila. Pada Tuhan juga saya pohonkan, semoga hendaknya diberikan jalan keluar. Sekarang! Dalam masa terdekat ni. Bukan tunggu setahun dua lagi. Saya dah tak tahan

Hidup

Ni satu lagi yang buat air mata saya merembes tak kene tempat. Kalau kat restoran, restoran lah. Kalau tengah beratur beli tiket wayang, kat situ jugaklah dia nak tumpah. Paling banyak menangis mungkin dalam kereta time memandu dan of course la atas sejadah. Kadang2 sampai teresak2

Tengok orang lelaki dukung anak, rasa nak nangis. Tengok orang lelaki pimpin wife dia rasa nak nangis. Baca blog orang cerita pasal husband, wife, kids rasa nak nangis. Semua lah nangis. Sampai time berbuka semalam pun saya nangis. (Eh itu sebab tengok drama dejavu. Heh) Nangis mengenangkan hidup yang tak macam orang lain. Orang ada isteri, ada anak, ada teman, ada bff, ada cita2, ada harta, ada semua. Memanglah membuatkan saya sangat2 stress tahap nak jerit kuat2

Kadang2 saya tanya balik diri saya, adakah saya tidak cukup berusaha? Kenapa Tuhan cipta saya penuh kelainan sampai saya terpaksa redha dan akur dengan hakikat yang menyakikan?? Apakah ujian yang paling berat yang saya benci sangat2 tu adalah sebenarnya satu anugerah tuhan paling bermakna untuk saya? Sungguh, saya terlalu lemah untuk mencari jawapannya

Saya tengok blog2 orang duk jalan2 keliling dunia dengan belahan jiwa masing2, hidup aman damai dan tak payah nak stress2 fikir pasal benda2 ni. Saya nak cerita pasal belahan jiwa? Allah... Tang belahan jiwa tu pun dah rasa miang telinga. Ada ke orang dalam dunia ni yang betul2 faham makna cinta. Bab cinta tak pernah berhasil kot dalam kehidupan saya. Sorry beb, out of chapter

..............................

Saya cuba memberi unsur2 positif pada diri sendiri, selalu paksa diri untuk fikir yang baik2 je. Kadang2 memang saja saya bermanja2 dengan kamera kesayangan saya, membelek-beleknya sampai berjam2, semata2 untuk menenangkan kerunsingan hati dan jiwa saya. Kamera je lah yang saya ada sebagai teman. Nak harapkan manusia, hmmmm....

Saya berkira2 kalau dua bab yang atas tu dapat saya atasi, mungkin saya akan hidup bahagia dan gembira macam orang lain, walaupun kehidupan saya tak sama macam mereka. Kalaulah mampu saya kawin, dah lama saya kawin. Saya tak mampu. Jujur, memang takkan mampu. Not in this world, not in this life kot

Saya tak kesah sebenarnya hidup seorang. Selama ni pun saya jenis gamble lepak sorang2. Cuma bila masih ada kisah hati yang belum usai, saya takkan bebas. Apa yang saya mahu adalah kebebasan. Bebas dari mencintai mana2 manusia, dan mengharapkan sesuatu dari mereka. Bebas menjadi diri saya. Bebas tanpa rasa rindu, dendam, sakit hati, dan stress tengok orang lain bahagia

...............................

Saya selalu pesan pada diri sendiri. Hidup ni macam roda. Maybe time ni saya tengah berada di bawah. Dihimpit, terhimpit, sakit dan disakiti.

Bila baca "Inna maal usri yusra", hati rasa sejuk balik. Tapi ye lah, saya ni bukannya malaikat. Sekadar manusia biasa. Kalau hari2 kene pujuk diri sendiri, tapi perubahan tak berlaku, stress la jugak

Mujur lah ada agama kan. Agama yang buat diri jadi insaf, sakit2 pun bersyukur jugak, agama yang entahlah.. Setakat ni sebab faktor agama je kot saya tak lakukan apa2 kerja bodoh seperti bunuh diri ke apa. Well, untuk kawan yang tau apa masalah saya, dan saya tahu apa masalah dorang, kita sendiri tahu yang kita kuat sebenarnya. Kita paling sabar dan paling kuat

Selalu dalam barisan doa2 terakhir saya, saya bacakan ayat2 kat bawah ni. Orang panggil ayat seribu dinar. Ayat yang selalu disalah anggap sebagai ayat yang boleh jadikan orang kaya sampai tokeh2 kedai duk gantung ayat tu kat dinding kedai dia. Tapi makna ayat tu haram nak diambil tahu. Ayat ni lah jadi macam candu yang bagi harapan pada saya. Kalam2 yang seperti satu pujukan, seolah2 Allah tengah pujuk saya. Gila perasan kan? Ah peduli apa. Tapi serius, ayat ni memang 'racun'


Saya bagi mafhum ayat tu ikut apa yang saya hafal. Kalau nak terjemahan lengkap, rajin2kan lah tangan tu bukak tafsir. Tak pun cari je kat gugel

"Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan memberinya jalan keluar (dari apa yang menyusahkannya). Dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Siapa yang berserah diri bulat2 kepada Allah, maka Allah cukup baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah menentukan kadar dan masa berlakunya tiap2 sesuatu" 65 : 2-3

Gila tak sedih kalau tahu makna doa yang kita baca. Menjejeh2 air mata. Sedih, sayu, sebak, rasa macam takde jalan keluar dah melainkan kalau Allah sudi tolong. So, saya terus bersabar dan bertahan, macam sekarang

Saya pohon dalam doa, agar ada nanti hari2 bahagia buat saya. Yang mana pada hari tersebut, saya akan tersenyum membaca entri yang saya tulis hari ini. Satu masa yang Tuhan tentukan untuk saya, bahagia dan gembira bersama redha Tuhan yang mengelilingi saya

Saya tahu Tuhan tahu

Saya yakin, Dia memang tahu

Tuesday, July 24, 2012

Kawah Putih, Bandung Indonesia

Sementelah ada masa ni, elok rasanya saya postkan sedikit gambar kawah putih yang sempat saya lawati dalam jalan2 ke Bandung tempoh hari. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke kawasan kawah putih yang berada di bahagian selatan Bandung. Dulu time pergi dengan kawan2 kami singgah Tangkuban Perahu je

Apa yang boleh saya cakap, kalau ada peluang sementelah ke Bandung, pergi lah ke Kawah Putih ni. Sebab apa? Sebab tempat2 macamni takde kat Malaysia kot. Haruslah tak ada kan. Bila pulak negara kita ni ada gunung berapi. Jadinya, walaupun agak jauh dari kota Bandung (sekitar 2jam perjalanan), tapi ianya berbaloi

Tempatnya memang cantik. Bau sulfur memang kuat sampai orang yang semput macam saya ni terpaksa tutup hidung dan mulut pakai mafla. Kata orang2 kat situ, kalau hari panas terik, airnya akan bertukar jadi kaler putih. Haruslah kan sebab dah matahari memancar

So mungkin masa saya datang tu hari tak berapa nak cerah. Jadi airnya kaler hijau2 biru gitu. Aqua la konon. Selalunya, kaler air macamni kita akan dapat kat pantai2 peranginan yang cetek dan jernih je, tak pun kolam renang yang dijaga bersih la. Tapi kat sini, tulen ok. Memang indah apa yang tuhan ciptakan. Subhanallah


Ada la sikit riwayat ni yang saya baca. Malas pulak nak bercerita. Baca lah sendiri kalau nak. Syahdu jugak kalau tau sejarah2 ni. Kebetulan ada pakcik main cak-lempong kat pondok depan signboard tu. Terasa ala2 dalam Istana Gusti Putri Pulak. Ampun Tuanku!




Satu yang best kat kawah putih ni berbanding Tangkuban Perahu ialah takde pun orang2 berniaga yang sibuk nak 'paksa' pengunjung beli barang2 dorang. So dapat jalan dengan selesa sambil snap2 pic sebanyak mana yang anda mampu. Takde lah sibuk kita nak bergambar, sibuk dia nak offer barang. dah dalam gambar kita ada gambar dorang jugak. Mana syiok! Kawasannya pun bersih dan terjaga. Memang menarik minat saya lah




Ni gambar dari pandangan atas bukit (walupun takde lah tinggi mana). Kalau dapat snap dari kapalterbang ke helikopter, mesti lagi cun. Tapi disebabkan saya pergi dengan keluarga, malas la saya nak buat posisi baring atau terbang macam fotografer National Geographic tu. Seadanya je lah



Airnya kalau disentuh rasa suam2 gitu. Lumpurnya warna putih kehijau-hijauan dan panas. Pegang lah kalau nak, takde pun orang tu marah. Tapi beragak-agaklah, jangan sampai ko berendam atau siap bawak sebaldi sampel air. Sekadar nak rasa, sentuh, bau, saya rasa memang tak ada masalah


Kebanyakan dahan2 dan pokok2 yang berdekatan dengan kawasan ni, semuanya berwarna hitam. Mungkin sebab terbakar dengan bahang dan kepanasan kawah putih ni. Tapi jangan terpedaya, kat area kawasan kawah putih ni, sejuknya lah ya amat. Jujur, memang sejuk

Overall, memang seronok dapat berada di kawah putih ni, sebab kalau nak diikutkan, Bandung ni femes dengan shopping-mopping, factory2 outlet, pasar baru dan makanannya yang unik je. Jadi tempat2 sight-seeing macamni memanglah saya suka. Saya tak berapa suka lah shopping2 ni. Tapi kalau dah namanya ke Bandung, sambar jugalah jeans dan kain ela dua tiga pasang

Saya tak berniat nak post kan gambar2 shopping sebab melambak boleh dilihat di blog2 orang lain. Klik je Bandung, berderet blog2 yang cerita pasal jalan2 di Bandung. Jadi saya post lah gambar kawah putih

Bayaran masuknya murah je. Dalam RP15ribu kot kalau tak silap saya. Dalam 5 hengget Malaysia lah. Ok la tu, mereka pun perlukan dana jugak untuk jaga tempat tu. Apa ingat free je ke? Cuma kalau nak bawak kereta sendiri, agak mahal la. Sebab kat pintu masuk utama tu ada disediakan angkutan

Jadinya, boleh lah nanti anda semua melawat tempat ni kalau ada kesempatan. Saya akan ke kota singa pada bulan syawal ni, insyallah. Nanti saya akan post kan gambar2 kat sana pulak

Target lepas Singapore? Tungguuuuuuuuuu

Sunday, July 22, 2012

Tukar angin






Selamat menunaikan ibadah puasa. Gambar tidak ada kena-mengena dengan ucapan saya. Sekadar mencuba layout baru ni kot2 sesuai.

Gambar2 diambil sekitar halaman rumah yang sekangkang kera. Tiba2 gian nak shoot pic

Sekian

Monday, July 16, 2012

5 S

Niat di hati nak lah bercerita pasal Bandung yang baru je saya tinggalkan beberapa hari lepas. Nak lah mengepos gambar2 Kawah Putih yang menawan, gerai2 kecil yang comel jual Batagor, Gehu dan Roti Kukus. Nak lah berstori-mori pasal Bandung yang hampir 4 tahun saya tinggalkan. Tak pun nak lah juga mengepos gambar Kartika Sari dan browniesnya yang dah selamat pun masuk ke perut kawan2 dan sedara-mara

Tapi, semua niat itu menjadi terbatal disebabkan faktor perpindahan ofis yang masyallah... Kalau lah mampu saya ceritakan dengan perkataan. Sangat semak, sesak, siksa, sakit jiwa, serius stressssss gila

Kalau lah saya anak orang kaya dan bapak saya ada kampeni besar, mungkin sekarang saya sedang goyang2 kaki dalam bilik beraircond dan diduduki oleh saya seorang. Ada meja besar, ada bilik air peribadi, ada kompiter sendiri, ada sofa untuk tetamu2 duduk, ada mesin air panas picit2 keluar nescafe, milo atau teh

Tak payah nak susah2 cop meja, gaduh2 jeling tengok orang curi kerusi kita, bukak lemari cari tempat kosong untuk letak fail yang melambak dan asek tengok jam tunggu waktu untuk balik rumah. Tak perlu juga buat2 ramah-tamah dengan ofis mate yang ramai tak terkata, dengan macam2 perangai dan bahasa. Hoiii... kenapalah saya bukan orang kaya2 macam Bazli dalam cerita Dejavu di Kinabalu tu

Dan disebabkan saya bukan kaya, so saya terpaksa lah menjadi patung bernyawa kat ofis ni. Diam aje lah kalau dah malas nak cakap. Kalau malas nak borak, tengok je la skrin kompiter. Dan kalau rasa tak nak diganggu, pakai je lah headset sebesar alam supaya orang tau maksud kita adalah 'please stay away kalau tak nak kene maki'

Bila lah saya nak pergi ni? Saya pun tanya soalan yang sama. Tunggu masa dan tawaran baru, macam tunggu bulan jatuh ke riba. Tapi insyallah, berkat kesabaran, mungkin akan tiba juga masanya untuk berhijrah

Tapi macam sayang jugak lah nak tinggalkan kenangan 4/5 tahun dengan famili Uranus yang memang kamceng macam isi dengan kuku, walaupun saya pernah duduk jauh sampai ke mahkota gitu. Frenship tetap sama macam baru2 masuk jugak, walaupun semua dah kawin dan tinggal saya yang memang takkan kawin. Eheh. Dan sayang juga nak tinggalkan kawan2 healthcare yang dah ciput. Tapi lebih baik saya pindah sebelum hanya tinggal saya sebagai APM dan nenek sebagai ketuanya. Ahh tidaakkk!

Ok lah, lain kali saya post kan lah gambar Kawah Putih yang cantik tu. Tunggu dah siap2 mengemas dan meredakan perasaan dengan waktu kelas yang beterabur macam haram. Satu kelas jam delapan pagi, dan hari yang sama satu kelas lagi jam delapan malam. Habis 10 jam yang tengah2 tu saya nak buat apa? Berniaga bahulu?? Nak bagi kelas pun beragak2 lah kak oi. Apa buta kalendar ke tak tahu nak dekat2 bulan puasa yang mulia lagi barakah ni? Mana nak berbuka nak bertarawihnya. Hey, memanglah style litel hindia. Main nak belasah

Sabar. Sabar. Sabar lah selagi mampu. Dalam keadaan kusut, gawat ni, janganlah hendaknya ada yang cuba2 menyalakan sebarang api kemarahan. Jujur, saya takkan mampu bertahan

So, back off!

Friday, July 06, 2012

Lunch at bellamy

Selalu saya makan2 dengan famili uranus. Tapi harini saya lunch dengan member2  healthcare. Nanti nak dtg sini dengan family uranus pulak. Sebab konfem dorang mesti suka. Yess!


Floria putrajaya

Sekadar ingin berkongsi keindahan lampu2 di putrajaya . Sukakan bunga2? Bawalah anak2 dan keluarga anda ke sana sempena sambutan floria putrajaya. Eceh, macam duta!





p/s: Maaf, gambar2 yang diupload melalui tab tidak dapat dibuka dengan saiz asal. Hmmm.. Atau saya yang tak reti buat. Tq

Thursday, July 05, 2012

Untuk kamu, Ahmad

Seperti biasa, saya hanya mampu membayangkan yang kamu mampu membaca coretan saya di kejauhan sana.

Ahmad,

Baru sebentar tadi saya menyinggah di laman kesayangan isterimu. Beliau menceritakan perihal puteri2 mu yang sudah besar. Ya, mereka sudah besar. Embun kesayanganmu itu kini sudah tiga tahun. Dan si cilik yang kedua itu sudah satu tahun enam bulan. Ah Ahmad, kalaulah kamu mampu melihat, menyentuh dan mendakap puteri2 kamu itu, tentulah amat bahagia mata2 yang melihatnya

Si Embun pujaanmu itu, masih belum pernah saya menatapnya. Dan benar sekali, dia lebih miripmu. Dari segala apa yang diceritakan Mawar, saya tahu Embun itu macam kamu. Keras, daring dan konkrit. Namun halus pemikiran dan perasaannya. Cuma jarang mampu ditunjukkan. Kalian bukan jenis jiwa2, namun tetap ada 'jiwanya' untuk orang2 tertentu. Kalau orang tak kenal, maka tentu saja akan dikatakan kalian itu dingin dan pejal. Mungkin, sekadar berteka-teki akan peribadi kalian

Lain pula dengan Marwa. Oh, masih suka saya memanggilnya Marwa berbanding Kekwa, entahlah kenapa :) Si cilik itu pasti saja mirip ibunya. Lembut, sopan, baik hati dan menawan. Manja dan selalu beralah dengan memendam perasaannya. Cepat tersentuh hati, menjaga perkataannya, dan selalu inginkan yang bahagia2 saja terjadi kepada manusia2 yang disayangi mereka. Ah, sajak benar dua puterimu itu dengan kamu suami isteri. Wahai Ahmad, alangkah berbezanya kehidupan andai kamu masih di sini. Tenanglah, ada kebahagiaan hakiki yang tidak bertepi menanti untukmu sekeluarga. Dan saya benar2 mempercayainya

...........

Sudah lebih lapan bulan saya tidak menitipkan sebarang perkhabaran, dan di pagi yang berkat lagi indah ini, hati bagai tertarik2 untuk menulis sesuatu. Ada getar yang saya rasakan tatkala biji mata membaca baris2 karangan isterimu. Mungkin saja kerana saya terasa dalam senyumnya tetap juga ada saki baki keperitan yang takkan mampu dilafazkan walau dengan bahasa apa sekalipun. Dan takkan mampu mana2 manusia memahami akan apa yang dikandung kalbunya. Sangat besar bahagian cinta dalam kerukunan rumahtangga. Walau berjauhan di mata, doa dan kenangan tetap menjadi penghubung perasaan. Alangkah hebatnya kasih sayang kalian

Ahmad, serasa ingin saja saya menovelkan segala perit jerih kisah hidup isterimu. Agar dapat pula menjadi panduan dan pedoman bagi membuka mata2 dan mata hati yang kebutaan. Mungkin suatu hari nanti akan tercapai cita2 saya itu. Ya, cita2 mahu menjadi penulis. Seperti yang pernah kau nasihatkan dulu

Saya masih mengajar, walaupun tidaklah dengan hati yang gembira. Kerana bukan mengajar itulah yang menjadi masalah, akan tetapi siapa yang diajar itulah yang menjadi punca. Saya minat berkongsi dan memberi. Namun jika yang menerima tidak mahu menghargai pemberian dan perkongsian saya, maka sudah tentulah lebih baik saya memberi kepada yang lain saja

Selebihnya soal organisasi yang entahlah.. Amat sukar dan tidak wajar saya ceritakan di sini. Namun tidak pernah putus2 saya berdoa agar dapat beralih angin ke tempat yang lain pula. Insyallah

..............

Sekian dulu, Ahmad. Akan saya menulis lagi bila2 rasa terpanggil. Sehingga itu, tenanglah dalam kejauhan di alam sana. Tempat penantian untuk sesuatu yang lebih bermakna. Kami akan menyusulmu. Mungkin bukan hari ini kerana masih perlu kami berbakti. Mawar perlu membesarkan anak2mu, agar anak2 mu dapat pula menjadi pemuda2 gemilang macam kita. Agar suatu hari nanti dapat pula mereka melahirkan pemuda2 juang macam mereka dan begitulah seterusnya

Keruh di hulu takkan mampu menjernihkan air di muara. Dan kerana alasan itulah saya masih menjadi saya

Saya, Mawar dan kami masih di sini. Masih hidup untuk terus menulis dan mencatit kenangan terindah buat mata2 yang membaca. Biar segar nama kamu walau jasad terpisah jauh. Saya tahu kamu tenang dan gembira berehat2 di alam sana. Sentiasa ada wangian dan kerlipan doa2 dari isteri dan nanti, akan ada doa2 anak yang soleh menjadi sumbu pahala yang takkan gelita selama-lamanya

Semoga ada bahagian gembira juga untuk saya di sana

Mudah-mudahan hendaknya

p/s: baca entri sebelum ni

Pagi

Harini awan sangat cantik dan sempat pulak saya snap dengan kamera yang seadanya ni. Saya tidaklah beria-ia sangat untuk ke pejabat. Sekadar memikirkan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan.

Nyata sekali saya perlu berubah angin. Dan harapnya kali ini untuk yang betul2. Semoga di hari baik bulan baik ini Tuhan mempermudahkan impian dan cita2 itu

Ameen