Wednesday, November 23, 2011

Sekali lagi, untuk engkau yang jauh

Sekali lagi aku menulis ini untuk engkau. Engkau yang mana bisa mampu membaca

Ini pesanan kedua, setelah hampir 7 bulan aku tidak menulis sejak yang pertama

Hari ini hari Rabu. 23 November 2011. Mendung hari ini dek hujan yang turun malam tadi. Dari Puchong sampai Cheras, kebanyakan tanah basah berbekas titis hujan. Aku memandu perlahan, seperti biasa. Melihat jauh di ufuk yang kelam2 dek mentari yang terhalang di sebalik timbunan awan gemawan. Sejuk, dingin dan mendamaikan. Namun di tanah yang menambus engkau sekarang, tidaklah dapat aku pastikan. Ah, tapi engkau pemuda gemilang, kawan. Biar di tanah mana pun kau berada, senantiasa engkau di puncak jaya. Hidup matimu memang nampaknya yang molek2 saja. Baguslah

Keadaan di bumi ini seperti selalu, kawan. Tiada banyak yang berubah. Kalau sudi engkau mendengar, akan aku ceritakan satu persatu moga kau tak jemu2. Manusia masih suka bertelagah. Hidup tidak sudah2 dengan pendapat dan mafhuman individualistik mereka. Kalau ada kebanyakan dari manusia2 hidup yang mahu berjuang ke arah yang namanya 'keadilan dan ketelusan' itu, lalu sering sahaja dianggap serong dan tidak bertamadun oleh yang lain pula.

Manusia di zaman ini masih seperti dulu-dulu juga. Mereka melanggar lalu membiarkan anak kecil terdampar tanpa rasa berdosa. Sungguh pelik melihat mereka. Sepelik memikirkan apakah agaknya yang bermain di fikiran mereka. Di mana hilang deru rasa mereka

Negara kita telah memenangi pingat emas dalam acara bola sepak di sukan Sea yang lepas. Betapa seronoknya aku lihat penyokong2 dan peminat2 kita meraikannya. Ah, aku tidak tahu kalau2 engkau mengikuti bola sepak ataupun tidak. Sekadar aku bercerita, kalau2 kau mampu membaca

Politik masih seperti dulu. Menonton yang mereka namakan berita di kotak2 tv pun selalunya memualkan. Adakalanya diulang tayang perkara yang sama lalu seakan2 aku menonton video yang dirakam pula. Segalanya terasa amat jelik dan meloyakan. Entah apalah yang berkhasiat lagi yang boleh diterima badan dan pemikiran. Rasanya memang tidak ada

Kalaulah mampu engkau menonton segala sketsa ini sepertimana engkau menonton tv, sudah tentu engkau juga akan mencoret sebaris dua, tentunya. Dan kalau begitu ada kisahnya, tentulah laman engkau akan menjadi laman paling makmur, kerana mampu kau menceritakan betapa benarnya pesanan2 agama yang dulu kita abaikan

Engkau yang jauh di sana,

Kalau dalam sebulan dua pemergianmu isterimu lebih banyak berdiam mengumpul semangat, kini beliau aku lihat telah mampu bangkit. Walau pasrahnya masih bersisa, beliau aku kira tenang saja mengemudi kehidupan demi anak2 yang engkau tinggalkan. Dengarnya beliau kini sudah mendapat pekerjaan. Semoga hendaknya beliau diberikan keringanan dan kemudahan untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang bukan calang2

Kesayanganmu yang berwarna putih itupun aku dengar sudah tiba di tanah semenanjung kita. Alangkah gembira isterimu menerima kehadirannya. Sebagaimana menanti2 engkau juga. Beliau sudah tahu memandu, barangkali boleh jatuh airmatamu kalau dapat engkau menjadi penumpang yang duduk di sebelahnya. Sebak aku membaca keluhannya yang singkat2 itu. Kadang2 sampai bergenang air mataku. Aku tahu beliau rindukanmu

Anak2mu sihat saja. Aku pernah berjanji mahu mencoret sesuatu buat Embun yang dingin dan Kekwa yang harum. Namun entah bila jejari akan mula bekerja kerana selebihnya aku memang selalu sibuk dengan segala urusan dunia. Kalaulah mampu aku tinggalkan sekalian itu, sudah tentu aku lakukan tanpa segan silu. Namun aku masih bernafas, darah masih mengalir deras. Aku mesti terus hidup di dunia yang mencabar ini. Hendaknya dengan ketaqwaan yang tak berbelah bagi

Mungkin sekali aku menunggu puteri2mu sedikit dewasa agar segala yang aku tulis ini dapat dicerna oleh lobus mereka. Dan selebihnya aku tidak sabar2 melihat mereka membesar dan salah seorang darinya akan menjadi pemuda yang daring seperti engkau :) menulis ikut suka dan menegur dengan hemahnya. Bukan mudah mendapat pemuda seberanimu. Entahkan Embun entahkan Kekwa yang mewarisi keberanian itu. Tapi aku rasa Embun. Ya, Embun yang lincah dan petah

Kawan,

Ramai kini aku kira pemudani di sini yang mahu menjadi isteri solehah seperti isterimu. Banyak benar rasanya yang mula belajar untuk menghargai suami2 mereka dan mencintai segenap daya. Alhamdulillah. Aku sentiasa melihat perkembangan ini dengan senyuman saja. Aku memang tidak akan berumahtangga pastinya. Sekurang2nya itu yang aku sematkan dalam fikiran. Bukanlah aku tidak takut untuk tidak diterima sebagai umat Muhammad, namun perkahwinan itu bukan sesuatu yang boleh aku ceritakan dengan perkataan. Jadinya aku terkecuali dari terkesan dengan cinta dan sayang yang sedemikian

Aku tahu kalau engkau mampu mengomen, akan kau tulis 'Hey Tini, kumbang bukan seekor!'. Dan sudah tentu engkau tidak mahu aku menjadi seperti Rabiatul Adawiyah yang terus-terusan bersendirian sahaja. Namun bukanlah itu yang aku gusarkan, melainkan aku ada alasan tersendiri yang sukar sebenarnya untuk dijelaskan biar kepada mana2 telinga pun yang sudi mendengar

Ahmad,

Bagaimana agaknya hidup di alam sana ya? Bagaimanakah agaknya tempatnya? Tidaklah dapat aku bayangkan dan fikirkan dengan ilmuku dan yang tidak sebanyak mana. Kalau mampu engkau khabarkan, aku rasa sudah pasti engkau akan kongsikan penghidupanmu di alam sana agar dapat dibaca oleh semua. Namun ada perkara yang lebih elok untuk dipercaya dan diyakini dengan keimanan saja. Bahawa setiap kematian adalah jembatan untuk kehidupan yang lebih kekal di sana

Pasti ramai yang merinduimu. Lebih2 lagi isteri, anak2 dan keluargamu. Mawar selalu mengeposkan gambar2 lamamu dengan anak2. Kadang2 diposnya gambar2mu sewaktu muda. Ah, aku tahu sangat beliau rindukanmu. Masakan tidak. Kadang2 aku mengeluh membaca keluh-kesahnya. Keluhan yang seperti dia juga. Sehingga beliau tidak dapat menyorokkan lagi rasa rindu yang tak terbendung di dada. Untunglah Ahmad, dikau dikurniakan isteri yang mencintaimu sepertimana hebatnya engkau mencintainya. Dia masih cinta, masih!

Sekarang ini lamannya yang merah jambu itu lebih popular mungkin dari lamanmu sendiri. Mungkin kalau engkau mampu melihat, engkau akan cemburu dan iri hati melihat laman beliau yang dikunjungi ramai peminat. Dulu lamanya tidak sesegar sekarang. Mungkin kerana dulu ada engkau yang menulis, jadi beliau hanya membaca. Namun kini tangan yang menulis itu telah tiada, jadi nak tak nak, harus diusahakannya juga

Kredit, kredit kepada beliau dan kecekalannya. Ditinggalkan bukan mudah, Ahmad. Menahan sebak di dada dengan senyum tawa, serasa bagai dirobek2 jiwa. Tidak perlulah aku bertanya kepada beliau, apakah beliau rindukanmu? Kerana amatlah terlalu mustahil untuk beliau hidup tanpa rasa rindu. Ah, hendaknya kalian bertemu di suatu waktu tertentu

Syabas, semoga ramai yang sepertimu. Dengan nama yang tetap segar, walau jasad jauh dipagar. Akan aku menulis lagi untuk engkau, sepertimana yang selalu aku tulis di zaman engkau masih bernyawa. Semoga hendaknya menjadi keinsafan kepada mata2 yang membaca.

Tinggal dulu, Ahmad. Dan sekadar Al-Fatihah ini yang mampu aku hulurkan, menemanimu yang sendirian tak berteman. Jumpa lagi, kawan. Sampai waktu Tuhan tentukan

Al-Fatihah

3 comments:

lienda said...

tetiba rasa sebab baca n3 nie....

Hartini Omar said...

tuan lienda,

terima kasih sudi membaca. jemput datang lagi kalau ada masa

waniemizie said...

saya suka cara penulisan akak hartini.walau apa pun ceritanya,pasti terkesan di hati saya. teruskan menulis kak!