Wednesday, February 28, 2007

Tersemadinya sebuah lagenda






(gambar2 di Jeti Kuah, Istana apartment, Pantai pasir Hitam dan Datai Bay)

Tepat jam 2 petang, lantai jeti Kuah itu kupijak. Perjalanan dengan feri new frontier tadi begitu meletihkan. Rasanya sudah lebih 12 jam di dalam perjalanan dari KL ke Kedah. Bertolak dari rumah tepat jam 11.30 malam, dengan lebuhraya yang sesak menggila, sekali singgah berehat di perhentian Tapah, berhenti solat subuh di perhentian Sungai Perak, dan berhenti minum pagi di Gurun, perjalan dirasakan amat lama. Dengan kereta2 yang bertali arus, rasanya ramai benar manusia yang ingin meninggalkan metopolitan untuk bercuti dengan keluarga. Di dalam feri, tiada apa pun pemandangan yang dapat ku perhatikan. Tingkap feri nya terlalu tinggi. Lalu kuhabiskan masa sepanjang 1 jam 45 minit untuk melelapkan mata. Mama yang duduk di sebelah pun turut terlelap. Cuma adik2 yang tidak tidur dan sibuk melutut di atas kerusi. Mengomel itu dan ini ke luar tingkap.

Ramai benar pengunjung Pulau Lagenda itu. Sesak benar lagaknya. Sama sekali berbeza dengan 15 tahun yang lampau. Terpukau sungguh aku. Membangun benar pulau ini kurasakan. Mungkin benarlah telah tamat sumpah Mahsuri selama tujuh keturunannya. Dan sekarang, Langkawi telah jadi pusat peranginan yng indah dan tiada taranya. Masih wujud lagikah makamnya? Terfikir aku, namun tak pula terbuka bicara di bibir.

Petang itu kami sekeluarga berehat saja di bilik. Kembali menunaikan kewajipan yang tergendala dalam perjalanan. Adik2 bersorak riang, tak sabar untuk mandi manda di kolam. Ah, anak2 kecil. Mungkin juga begitu sifatku 15 tahun dulu.. aku cuma memerhati dari tingkat tujuh apartment kami. Sesekali terdengar sorak riang adik2 yang gembira dengan dunianya. Dunia kecil mereka, tentu sekali indah dan penuh warna.

Tepat jam 5 selepas Asar, kami meneroka seluruh pulau. Van yang disewa papa agak usang keadaannya. Bising ayahanda seorang itu. Bimbang benar perjalanan yang mungkin tidak menjanjikan keselamatan. Namun kami gagahi jua. Pertama sekali kami singgah di Pantai Pasir Hitam. Indah… Bagi aku yang hidup di kota, sekotor mana pun pantai itu, tetap indah di pandangan mata. Pepasir nya yang hitam masih kelihatan. Dulu pun aku pernah melawat pantai ini. Namun tiada apa2 memori yang dapat kuputarkan kembali. Mungkin kecil benar aku waktu itu untuk mengingati kisah dan ceritera sendiri.

Perjalanan diteruskan. Kali ini kami singgah di pusat Cable Car Langkawi. Ya Tuhan, mahal benar harganya untuk menaiki kereta kabel tersebut. RM25 dewasa. RM 20 kanak2. Kalau dikira semua kepala dalam keluargaku, RM 140 yang mesti dihabiskan di situ saja. Ah, lekas benar aku mencadangkan supaya ia dinaiki di lain kali sahaja. Lebih baik rasanya menghabiskan wang yang sejumlah itu untuk membeli belah di Pekan Kuah. ‘Hmm… kalau perempuan tu, perempuan juga..’ kata papa. Aku cuma tersenyum mendengarnya.

Kami bergerak lagi. Kali ini singgah di Teluk Datai yang indah. Kebetulan sampai, mentari juga turut mahu berlabuh di hujung pandangan. Tumpahan wewarna jingga begitu damai dan mempesonakan. Subhanallah.. Amat-amat memukau pandangan. Indanhnya ciptaan yang maha Esa. Indah lagi kesempurnaan daya penglihatan yang dikurniakan oleh-Nya. Dalam diam ku bersyukur. Deretan bot2 dan sampan yang bagai terletak mengindahkan lagi pemandangan teluk tersebut. Sempat jua kami bergambar sementara ayahanda mengisi petrol yang kehabisan. Alhamdulillah, bersyukur benar dengan segala yang mampu dicapai tangan. Dalam vacation begini, tiada yang lebih indah dari bersama2 dengan keluarga dan darah daging sendiri.

Dengan Van yang usang itu, kami meneroka lagi. Kali ini ke Padang Matsirat dan Pantai Cenang. Adik2 kegirangan bermain di gigi air. Mungkin esok kami ke sini lagi untuk mandi. Hari ini, cukup berjalan dan melihat2 sahaja. Kami makan malam di pekan Pantai Cenang itu. Ramai sekali rakyat2 asing yang berkeliaran bagai tanah mereka. Sesekali kami bersapa dengan senyuman. Anak Malaysia, mesti lah penuh dengan sopan santunnya. Bukan luak pun malah berpahala. Jadi senyumlah di mana2. Senyum yang dari hati, passti sampai ke hati. Ah Tini, ayat lazim mu….

Underwater World Langkawi itu pun kami cuma sempat melihat saja. Di langkawi, semuanya beroperasi dari jam 9 hingga 6 petang. Jadi kalau tiba lewat, datanglah kembali keesokkan harinya. Dan itu jualah yang kami lakukan. Akhirnya, kami kembali semula ke apartment pada jam 9 lebih. Malam, kami habiskan masa bersembang dan berehat2 sambil menjamah coklat. Malam itu kami tidur awal. Kerana esok menjanjikan kepenatan yang tentunya sukar digambar…

Cukup 3 hari 2 malam berada di pulau lagenda, kami pulang semula ke halaman tercinta. Melawat water world Langkawi di hari kedua, mandi manda, menaiki jet ski dan banana bot, mebeli belah di pekan Kuah, singgah di Dataran Helang, kami tinggalkan Langkawi dengan seribu keindahan yang pasti kekal dalam memori. Cuma yang pasti, tiada lagi kedengaran nama Mahsuri di mana2. Tidak ramai pun pengunjung yang melawati makamnya (yang kini bukan lagi percuma). Telaga tujuh pun begitu juga. Yang ramainya, orang cuma kenal Langkawi kerana kemurahan cawan pinggannya, periuk belanganya, coklatnya dan hotel2 serta resortnya yang indah2. Jadi di mana hilang lagendanya?? Dalam diam aku terfikir. Dulu kalau ke Langkawi, pertama sekali yang mesti dilawati adalah makam Mahsuri. Namun itu dulu, bukan sekarang. Sekarang kalau ditanya, adik2 ku pun tidak mengambil tahu siapa itu Mahsuri. Ai, pelik benar… p[antas benar masa berputar. Tiada lagi lagenda yang menjadi omongan. Tiada lagi sejarah dulu kala dan dongeng-dongengan. Langkawi kini telah jauh berubah wana dan arusnya. Bukan lagi boleh di panggil dengan nama Pulau Lagenda. Yang boleh, mungkin nama Pulau Bebas Cukai sahaja…

Sejarah, jika tidak disejarahkan pada warisan2 akan datang, maka akan tinggallah ia menjadi sejarah yang dilupakan.. Seperti juga lagenda yang disemadikan bersama dengan jasad dan tubuh badan……

Tuan sutera, saya belacu…

Kau kekasihnya, yang dia sanjung dan puja,
Kau kekasihnya, yang akan menjaganya selama-lamanya..

Kau kekasinya, yang dia bawa dalam lena,
Kau kekasihnya, yang akan bersamanya selama-lamanya..

Kau kekasihnya, yang dia kasih dan cinta,
Kau kekasihnya, yang akan mencitainya selama-lamanya..

Kau kekasihnya, yang dia rayu dan canda,
Kau kekasihnya, yang akan melayaninya selama-lamanya..

Kalian berdua adalah sepasang kekasih
Yang merayu belai kasih
Yang mengaku tak mungkin menyisih
Yang bisa merawat luka pedih

Aku cuma pemerhati yang biasanya tegak berdiri
Yang memerhati dengan patahnya hati
Yang hanya tersenyum tanpa rasa iri hati
Yang menerima seadanya takdir ilahi

Kalian berdua sutera itu
Yang indah warna coraknya
Yang mahal tanding harganya
Yang tak terbeli wang ringgit berjuta

Aku cuma belacu,
Tak indah namun cukup menyelesakan
Yang selalu dipakai badan
Yang sering mampu memberi kesenangan
Yang tak mudah jadi barang simpanan

Bebahagialah kalian menyiksakan batinku
Kerana aku akan belajar tabah untuk tiap2 saat berlalu
Jangan ulangi memanggil namaku
Bilamana sutera yang kau beli itu tak mampu menyenangkanmu
Kerana aku cuma belacu
Walau tak indah, tetap bermutu
Kerana akulah belacu itu……..

Ijab Qabul


Kelmarin aku ke walimatul urus seorang saudara. Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti yang dirancang. Bukan datang sebagai tetamu, aku jua bagai orang penting yang tak menang tangan bekerja di belakang tabir. Usia muda bukan penghalang untuk menyibukkan diri dalam majlis2 sebegini. Dan hasilnya alhamdulillah, aku patut bersujud syukur kehadrat Ilahi.

Ijab qabul itu bermula selepas asar. Dengan sekali lafaz, maktublah seorang wanita itu menjadi milik suami. Tapi, apakah si suami faham dengan lafaz yang diucapkannya?? Itu jadi persoalan. Aku maklum bahawa ramai bakal2 suami telah pun menghafaz ayat yang senafas itu. Namun sekadar penghafalan tanpa pemahaman…. Mungkinkah? Ah, aku perempuan, pasti boleh berkata apa saja. Cuba kalau tangan kananku yang digenggam Tok Kadi? Digoyang kencang dan dihenyak erat. Pasti aku jua kan terasa seram sejuknya. Mmm…. mungkin. Namun aku berdoa agar bakal suamiku nanti (yang entah bila kan kukenali), bila tiba saat ijab qabulnya, kuharapkan dia agar tenang dan memahami apa yang akan dilafazkannya. Hanya lelaki yang memahami dan mendalami ucap nafaznya sahaja yang akan aku sanjung sebagai suami. Ah, tapi entah bila masanya (senyum). Wahai… enak benarlah melayan angan yang panjang, sedang umur masih muda belia. Kalau buah - masih tersa kelatnya.. Tini, Tini..

Ijab qabul itu bagai satu perjanjian yang bersaksikan tuhan. Ia bukanlah bahan mainan. Jadi seeloknyalah jika bakal2 suami di luar sana faham dan maklum dengan maksud sebenar ijab qabul tersebut. Bukan seperti ijab qabul di dalam jual beli, ijab qabul dalam pernikahan lebih bernilai dan tinggi martabatnya. Bukan semua boleh mengucapkan lafaz yang satu itu, dan bukan semua jualah yang berjaya melafazkannya dengan sebaik-baiknya. Ramainya yang cuma tahu menghafal dan melafazkannya dengan sekali nafas. Ah, bukan payah…. Akan tetapi, bila ucapan yang terlafaz itu kita fahami, maka dengan mudah pula lah ia masuk ke pundak hati. Dan maka sukarlah pula ia untuk didustai dan dikhianati. Cuba lihat di luar sana. Ramai isteri yang ditinggalkan suami, dan ada juga suami yang ‘ditinggalkan’ si isteri. Mengapa terjadi? Kerana ayat yang senafaz itu cuma bahan dagangan yang bisa dileraikan. Bukan suci dan murni. Bukan hak dan hakiki. Kerana itu ramai orang bercerai berai. Anak tak berbapa, adik tak berabang dan banyak lagi. Bukankah rugi? Ah, namun kata2 hati sebegini, mana mungkin difahami oleh orang yang banyak mata di luar sana namun tak pernah mahu melihat, banyak telinga namun tak pernah mahu mendengar…. Kekal rugi dan merugikan.

Wahai pengantin baru….
Kasihilah insan yang berhak dikasihi itu. Suamimu dan isterimu. Janganlah mendustakan janji 2 yang termetrai antara dua hati itu. Bukankah dia dulu yang kau sanjung dan puja? Yang wajahnya sering tergambar di ruang mata? Yang suaranya selalu menggoda jiwa? Nah, sekarang dia kan milikmu yang abadi, maka sayangilah dan berilah kasih sayangmu seikhlasnya. Bermesra lah dengan pasanganmu itu kerana ini lah masanya. Masanya yang ditentukan oleh Allah jua. Disaksikan adat, dinantikan akhirat. Kekallah bermesra bagai pengantin baru walau sudah berlapuk pun pakaian pengantinmu. Kerana dia tetap pengantinmu walaupun gugur rambut dari kepalanya, walaupun bercerai gigi dari gusinya. Hanya kasih sayang dan cinta yang ikhlas dan benar kerana Allah itulah yang kan mekar bertahun bagai pohon merimbun. Cinta yang hadir tiba2, bersih tanpa palutan noda dan dosa. Pelukan dan sentuhan yang hanya singgah setelah tiba saatnya. Itulah saatnya. Saatnya yang apabila namamu bersatu dengan namanya. Ijab yang menyatukan, qabul yang menyudahkan. Berwalikan ayahanda tercinta, bersaksikan sanak-saudara dan Allah yang maha Esa. Moga tibalah saatnya.. Saat namaku diseru di dalam lafaz ijab qabul itu….. (ameen dalam senyuman).

Tuesday, January 30, 2007

Korban kasih

Terlalu lama blog ini kubiar sepi. Kelam rasanya hari2 yang berlalu, tanpa rasa, tanpa jiwa. Aku hidup tanpa cinta. Kerana orang2 sepertiku hanya tahu mengadun rencah duka dan lara. Kadang2 aku bahagia bila berduka. Kalau segalanya indah dan ceria, terasa jiwa kosong, kusam dan bungkam. Hanya senyuman terukir di bibir namun hati tetap merintih. Patutlah karya2 indah hanya dapat dihasilkan bila diri dalam nestapa. Kerana bila sedih, kita lebih dekat dengan hati, dekat dengan nurani.

Minggu lepas aku ke utara tanah air. Menyambut tibanya eidul Qurban bersama2 keluarga angkatku. Banyak kah yang telah aku korban kan demi keluarga dan agama?? Entah, jawapanya aku pun tak tahu. Korban. Belum pun dalam fahamanku terhadap nilai yang satu itu. Bukan daging dan ternakan yang sampai pada tuhan, melainkan amal dan keikhlasan.

Sempat juga masa kuhabiskan bertandang ke rumah jiran2 dan saudara-mara (angkatku). Dari situ kukenal dengan ramainya dan banyaknya perangai manusia yang tuhan ciptakan. Ada yang begitu, ada yang begini. semuanya kuambil dan kusimpan kukuh dalam jendela hati. Biar kugunakan bila tiba masanya nanti.

Aku ingin menjadi seperti ibu itu bila aku dewasa nanti. Memberi dan memberi tidak pernah meminta untuk dihargai. Jiwanya murni, hatinya suci namun kelam di dalam, tiada siapa dapat renungi. Ibu itu telah amat banyak berKORBAN demi anak2 dan cucunya. Tanpa pula mengenal jerih payah dan beratnya tugas tergalas di bahunya. Aku kagum malah bersyukur. Paling tidak pun, aku berpeluang mengenali insan setabah itu. Suka duka yang dilaluinya takkan mampu ku ukirkan dengan kata2. Biar tuhan saja membalasnya dengan limpahan pahala.

Kalau si ibu yang sebaik itu pun didurhakai lagi, aku takkan mampu menerima kenyataan hidup ini. Apalah sangat yang diinginkan oleh si ibu tua itu melainkan perhatian dan kasih sayang anak2. Tapi malang… Itulah, takkan mampu anak2 menjaga ibu yang seorang. Takkan mampu kita. Tahap juangnya takkan sama. Rasa sayangnya takkan sedalam cintanya ibu pada kita. Setitik air mata ku jatuh berderai di pipi. Sukar benar rasanya melihat kesedihan hati tua itu. Kalau lah aku mampu, biarlah segala kebahagiaan ini ku curahkan buatnya, dan segala kepayahan hidupnya kekal buatku berabad lama. Tapi mana ku mampu menghalang perancangan ilahi. Sesungguhnya segala apa yang terjadi ada hikmah dan rahmat yang menyelubungi.

Kini aku rindukan ibuku. Rindukan ayahku dan adik2ku di rumah sana. Mereka berhari raya tanpaku disisi. Entah apa sebenarnya di hati mereka. Entah kan marah, entahkan rela. Moga mereka dapat menerima aku dan diriku ini. Aku insan yang suka mengembara melihat manusia, namun seringkali lupa untuk menjengah kedalam kehidupanku sendiri. Moga bonda dan ayahnada memaafkan segala dosa2ku. Aku hanya Tini yang selemah2 manusia. Ampunkan ku Mama, ampunkan ku Papa. Ya Allahu Rabbi, sayangilah kedua ibu bapaku seperti mana mereka menyayangiku sewaktu kecilku. Berilah limpah rahmat dan keberkatanMu kepada mereka. Hidup dan matikanlah mereka dalam keimanan dan ketaqwaan kepadaMu. Allahu rabbi, jadikanlah aku anak solehah yang berbakti kepada kedua orang tuaku hingga ke akhir hayatku, ya Allah. Murahkanlah rezeki ibubapaku dan permudahkanlah segala urusan mereka. Hanya kepadaMu ya Allah aku mengadu dan bermohon sesuatu. Ya Allah, tidak lupa jua ibu tua itu. Lindungilah dia dari duka dan nestapa. Murahkan lah rezekinya. Tenangkanlah hatinya. Damaikanlah dia dalam kehidupan dan kematiannya dan hanya padaMu lah aku berserah…

Moga dengan kedatanganku ke kampung ini, dapat memberi seribu pengalaman dan pengertian tentang erti korban yang sebenar. Bukan mudah berkorban, apatah lagi dikorbankan. Moga saja ku yang masih muda belia ini dapat mengamat-amati erti pengorbanan dan kasih sayang. Erti hidup dan juang. Korban kasih yang sejati, korban kasih yang suci.


SEGENGGAM TABAH –inTeam-

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak air mata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup di palu
Pasti bertemu tenangnya….

Ayat2 cinta

Novel yang ditulis oleh Habiburrahman El-Shirazi atau Kang Abik ini baru saja ku habiskan pembacaannya. Indah dan sungguh membangunkan jiwa. Sebuah novel yang benar2 mampu menginsafkan kita tentang siapalah kita di sisi Tuhan. Ramai lagi yang di luar sana dikasihiNya. Setakat solat 5 waktu yang kekadang pun kita kurang, mengaji pun jarang2, apatah lagi berzikir panjang, tiada siapa pun kita di sisi Allah azza wajalla. Aku insaf, kerana sebagai manusia biasa yang banyak cacat celanya, aku terharu untuk mengetahui bahawa ada ramai di luar sana yang lebih beriman dan beramal dariku. Cemburu kah Tini? Ah, masakan tidak. Sudah tentu aku cemburu. Bukankah kita semua dihidupkan untuk merebut cinta dan kasih sayang Allah?? Nah, masakan tidak aku cemburu. Malah sepatutnya semua wajib cemburu.

Novel ini mengisahkan jerih payah kehidupan seorang mahasiswa Indonesia yang mengabdikan diri menuntut ilmu di dunia Mesir. Mohd Fahri sebagai pelaku utamanya banyak memegang watak dan secara tidak langsung membawa pembaca untuk menghayati keseluruhan cerita. Fahri tidak berseorangan. Beliau ditemani oleh beberapa lagi protagonis yang lain baik lelaki mahupun perempuan. Kawan2 Fahri sendiri yang berlima, Maria gadis Katolik (yang mulanya kusangkakan heroin dalam cerita ini), Aisya si gadis berpurdah, Alicia; gadis Amerika yang merantau di Mesir dan Nurul; teman seperjuangan Fahri yang juga memendam rasa padanya.

Sesebuah cerita tidak akan lari dari konflik, dan begitulah jua dengan Ayat2 Cinta ini. Watak antagonis sepenuhnya dipegang oleh Bahadur; jiran tetangga Fahri yang buas dan tidak makan teguran, dan juga Noura yang pada mulanya bersikap innocent tetapi berpaling tadah dan mula memusuhi Fahri. Permusuhan ini lah yang mejadi kemuncak atau klimaks kepada keseluruhan cerita penuh pengajaran ini.

Dengan siapa Fahri memadu kasih, bagaimana permusuhan Fahri-Noura boleh berlaku dan apakan pengakhirannya aku serahkan sendiri kepada pembaca. Kalau aku nyatakan segalanya di sini, nah, maka tak perlulah El-Shirazi menjual bukunya yang hampir 500 muka itu. Carilah dan alamilah kehebatan hubungan berlandaskan Islam di dalam ceitera yang dilakar oleh seorang penulis muda. Namun pandangan ikhlasku, masih belum mampu menguasai kehebatan tulisan Hamka yang menjadi nadi perjuanganku. Banyak lagi yang pelu dipelajari oleh penulis muda ini. Namun harus juga diberikan kredit. Kerana walau tidak semua, kemanisan imannya masih kan terasa jua.

BERBUDI KAH MASYARAKAT KITA??

“Itu terpulang la pada awak. Kalau awak tak nak pinjam, itu bukan masalah saya!”

Keras benar bunyi bahasa itu. Laju menerjah gegendang telinga yang sehingga kini masih terngiang-ngiang bunyinya. Lama ku ambil masa mengumpul semangat yang luluh hancur dengan perkataan sebegitu rupa. Jiwaku yang sensitif ini benar2 teruji dengan kurang sopannya kata2. Memang tidak kesat, namun cukup kasar untuk mengguriskan perasaan. Mengapa wujud masyarakat yang pesimistik dan mementingkan diri sendiri seperti ini di dunia? Wahai, geram benar hatiku. Kalau tidak disebabkan Bulan Mulia ini, mahu saja ku beradu lidah dengan si empunya bahasa. Mujur Tuhan jadi ingatan, Iman jadi panduan.

Tingkat 4 bangunan perpustakaan itu aku tinggalkan dengan rasa sukacita. 3 buah buku karya agung penulis2 tanahair kugenggam erat di genggaman. Tak sabar benar untuk pulang meneliti kisah2 wacana zaman berzaman. Bukan untuk peperiksaan, sekadar mengisi jiwa yang dahagakan coretan pengalaman dan ilmu pengetahuan. Yang baik buruknya dapat kujadikan pedoman kehidupan.

Derap tapakku kuhayunkan ke kaunter peminjaman. Mesin meminjam automatik yang bersusun di sebelah kananku kupandang jengkel. Bukan tidak mahu aku menggunakan khidmat yang cepat dan pantas itu, cuma aku tidak yakin dengan kesahihan mesin automatik itu. Setiap kali ke sana, aku pasti gagal menggunakannya. Entah salah aku, atau salah mesin, aku kurang periksa.

Kaunter kosong. Aku tersenyum. Kelibat seorang pemuda melebihi dua dekad usia tampak kemas duduknya. Kuberikan salam. Karya agung yang tiga buah itu kuletakkan dihadapannya. Laju pula tanganku mencapai kad matrik dan kuletakkan di atas karya.

“Ni kenapa?” katanya tegas. Tidak memandang pun ke arahku.
“Mm.. saya nak pinjam buku2 ni.”
“Kat sana!”
sambil memuncungkan mulut ke arah mesin automatik yang berdiri kukuh.
“Boleh abang tolong log out kan?”
“Sini tak boleh. Pergi sana!” bentaknya. Sesekali matanya dijegilkan.
“Saya tak biasa guna mesin tu. Setiap kali guna, mesti tak dapat log out. Boleh abang tolong log out kan kat sini?”
“Buat kat sana dulu. Apasal pulak tak boleh? Pergi sana. Ini arahan.”
“Saya betul2 mintak tolong. Saya memang kurang arif nak guna mesin tu. Saya rela tak pinjam terus buku ni dari guna mesin tu.”
Rayuku.
“Awak tak nak pinjam, itu terpulang pada awak. Itu bukan masalah saya!” katanya sinis.

Aku tinggalkan manusia bongkak itu dengan hati yang gerutu. Geram benar aku. Ikutkan perasaan, ingin saja aku bertekak dengannya.

Bukanlah susah pun menolong me‘log out’kan buku2 yang tiga buah cuma. Bukankah itu kerjanya?? Apa gunanya duduk di hadapan kaunter peminjaman namun gagal pula memberikan perkhidmatan pada yang memerlukan?? Salahkan aku sebagai pengguna meminta bantuan dari pihak pengurusan?? Tentu saja ada sebab yang wajar mengapa aku tidak menggunakan mesin automatik benilai ribuan ringgit itu. Kalau saja mesin itu yang wajib digunakan, lantas mengapa diwujudkan kaunter peminjaman secara manual tersebut?? Yang dibayar gaij pekerjanya?? Yang cantik kemas duduk lagaknya?? Yang akhirnya tidak pula mampu untuk membantu pengguna2?? Tutup sajalah kaunter itu. Apalah gunanya, ada, tiada sama sahaja.

Bukan kah sama saja mesin peminjaman automatik itu dengan mesin ATM yang terdapat di bank2. Memang benar ia memudahkan. Namun tidak salah sebagai pengguna untuk aku mengeluarkan duit secara manual di kaunter, bukan?? Salahkan berbuat demikian?? Adakah orang akan melarang?? Tentu saja tidak. Kerana mesin yang dibikin itu untuk memudahkan, bukan menyukarkan. Namun kalau mesin itu tidak memudahkan malah bakal pula memalukan*, tentu saja perkhidmatan di kaunter diperlukan.

Kesal benar aku. Patutlah rakyat Malaysia tidak suka membaca. Perpustakawan yang seharian bergelumang dengan ilmu dan karya pun tidak mampu menggalakkan orang ramai supaya membaca. Bukankah rugi, 3 karya karyawan agung itu tidak disentuh orang. Ah, memang begitu sifat manusia.

Tidak boleh kah seseorang itu bercakap dengan penuh hemah? Lembut dan ramah?
“Ye cik, ada apa2 masalah yang boleh saya bantu?” berbanding “Ni kenapa?”….. Bukankah yang pertama itu lebih sedap didengar telinga?? Ah, kata2 yang percuma keluar di mulut pun manusia lokek, berkira. Apatah lagi harta yang tak ternilai harga.

Itu kah budi bahasa??? Senyum pun tidak, ramah jarang sekali. Terlintas di fikiranku bagaimana ‘orang2’ seperti ini boleh diambil bekerja sebagai golongan yang memberi khidmat pada masyarakat?? Entahlah.. Makin difikir, makin kesal rasanya.

Tunggu sajalah masanya, Tini. Kelak dilantik kau sebagai penggubal dasar, pemberi cadangan, pemberi khidmat pada masyarakat, gunakanlah pengalaman yang ada ini untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Biar cemerlang dalaman dan luaran. Biar agung tinggi budi dan keperibadian. Bukan bongkak tak mengenal tempat. Lupa tugas, hilang rasa hormat. Lupa bahawa rezeki boleh jadi tidak berkat. Mundur diri sendiri dan masyarakat sejagat.. Hmm.. Budi Bahasa Budaya Kita???? Sekadar nyanyian Siti Nurhaliza saja lah nampaknya…

Monday, January 29, 2007

masanya kan tiba..

untuk kesekian kalinya aku akan menyambung percaturan ceritera yang tergendala seketika.. tunggulah, masanya pasti kan tiba....

Thursday, September 28, 2006

peringatan buat orang melayu

Sajak Melayu : Malays Would Rather Have Pleasure Than Pressure?

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Trengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Sambil makan junk food kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah malas selalu
Nak harap kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu
Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju

Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah al Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu
tapi apakah yang kita tahu,cuma baca nak halau hantu

RENUNG2 KAN & FIKIRLAH , di mana tahta org2 Melayu yg disanjung selama ini
atau Melayu akan terus LAYU ????

quoted from 'na_mas'

Thursday, September 07, 2006

pengamatan dari pengalaman

Akhirnya... aku terluka jua..
Tiada apa yang dapat dikata lagi, nasi ditanak sudah pun membasi. Sekarang aku mengerti kata orang tua2. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Ah, Tini.. Lupakah kau pada fikiran banyak orang?? Kalau wajah tak berapa indah, jangan mimpi nak beradu di singgahsana.. Sekarang wajah jadi taruhan, Tini. Wajah jadi taruhan..

Biarlah.. Moga ada jua insan yang sudi menerima kebaikan yang tersembunyi di dalam. Bukan pada kecantikan luaran yang pasti pudar dek arus zaman. Kecantikan yang akan malap. Muda yang akan tua. Namun itu jualah yang orang pinta.. Kecantikan jua.

Ah, apa difikir masalah menimpa. Jadikan sebagai suluh kehidupan yang pasti membantu di masa depan. Lumpur selut yang kau jatuh di dalamnya ini bakal pula memberimu pengetahuan, ilmu dan pengalaman yang berguna. Jika tidak sekarang, tentu saja di suatu masa. Amat-amatilah dari pengalamanmu..

Sayang, wajahku tak seindah bulan..
Kasih diharap tak diterima orang..

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Ku kira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Ku kira puji seikhlas budi
Ku lupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda

Tuesday, August 22, 2006

Bingkisan buat Nyah

Ampunkan aku, Nyah andai membawamu ke lembah hiba...
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang…

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Buat Nyah yang penuh sabar menempuh dugaan tuhan, harapan dan doa agar dirimu tenang di bawah payung rahmat yang maha kuasa. Moga dengan kehadiran bingkisan ini, dapat pula membantumu merehatkan minda dan dapat pula membawamu mentafsiri liku2 kehidupan yang penuh berliku, kalau benar ianya penuh liku!

Pertama-tamanya, selawat dan salam buat nabi junjungan SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda yang telah bermati-matian berjuang untuk Islam. Doa juga untuk pahlawan2 Islam, yang demi tuhan dan agama, darah mereka tumpah. Moga kita jua lah yang dipilh Allah untuk menyambung perjuangan mereka, moga kitalah orangnya.

Nyah,
Biarlah kumulakan bingkisan bisu ini dengan jutaan kemaafan seandainya perutusanku ini membuatmu merasa jelik dan bungkam. Maaf juga kupinta seandainya nanti terdapat kata2ku yang sinis dan menikam terus ke perdu hatimu. Untuk kesudianmu membaca bingkisan ini, aku dahulukan dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Kerana beruntung benar jika kata2ku ini dapat Nyah dengar dan ambil sebagai bekalan kehidupan. Jika pun tidak banyak yang bernilai, tentu setitik dua dapat Nyah hirup di saat duka memerlukan.

Dan Nyah, barangkali asing benar bingkisanku kali ini. Entah siapa aku disisimu yang begitu berani mengutarakan pendapat yang maha hebat. Entah Nyah terima atau tidak, aku tidak tahu. Tetapi sebagai seorang insan yang belum pun setarafmu, aku cuba untuk membantumu serba sedikit dari pengalamanku yang cetek lagi singkat. Meskipun pengalaman yang aku lalui tidak sekalipun barada ditingkat yang sama denganmu, mungkin ada jua secubit takdir yang terjadi padaku, yang mungkin boleh kukongsikan bersama. Kerana di dalam kehidupan di dunia, kita tidak akan dapat lari dari ketentuan takdir Allah yang esa. Cuma kita hanya mampu menempuhinya dengan sabar dan rela. Kerana di setiap mehnah itu pasti ada sirna dihujungnya.


Nyah, seorang ibu itu..
Tugas itu telah kau tanggung. Mahu atau tidak, dirimu telah ditakdirkan Allah untuk menjadi seorang ibu kepada anak2mu. Suka atau tidak, kau tetap bergelar ibu yang sesudah semestinya perlu membesar dan mengasuh anak2mu dengan tunjuk ajar yang jitu. Perkara itu tidak akan dapat diputarkan kembali. Anak2mu itu pasti akan kekal beribukan dirimu. Dan hanya kamu! Tenanglah seketika Nyah. Fikirlah dengan minda yang tenang. Bukankah Nyah juga dibesarkan oleh seorang wanita bernama ibu? Yang mana dibesarkanmu tanpa bantuan seorang teman bergelar ayah? Namun dia berjaya bukan?? Jika tidak Nyah, Nyah jua tidak akan mampu sampai ke menara setinggi ini. Jauh di atas tak menjejak bumi. Nah, jadi ikut sajalah jejak langkah ibumu itu. Kerana sebagai seoang ibu, dia juga telah banyak melalui denai2 kehidupan yang penuh liku. Yang mana denai dan lumpuh itu bakal pula kau hadapi untuk membesarkan cahaya mata kesayanganmu. Tentu saja dapat dilakukanmu, Nyah. Bukankah kau jua perempuan yang bertulang empat kerat sepertinya? Itu bukan sebenarnya masalah…

Nyah, wanita waja..
Andai kurenung2 kan nasib yang menimpamu, aku terfikir mungkin dirimu lebih disayangi tuhan. Dia memberikanmu ujian yang belum pernah diberikannya padaku. Tenanglah Nyah, kerana antara semua manusia di dunia, dirimu yang istimewa. Nyah wanita serba arif yang pernah kutemui. Jadi, arifkan lah jua dirimu di dalam melalui liku2 ini. Yang pergi biarlah pergi. Kerana yang patah kan tumbuh, yang hilang tentu berganti. Namun janganlah dicari….Biarlah suratan mengbawanya sendiri ke sisi.

Nyah, kakanda tauladan..
Dari mata kasarku, tiada apa yang kurang padamu. Nyah berjaya di dalam kerjaya, di dalam kehidupanmu dan segal2nya tampak sempurna. Nyah berjaya membentuk peribadimu menjadi seorang wanita ulung dan unggul dan berjaya juga membentuk peribadi adik2mu sehingga mereka kini menjadi manusia yang tak kurang hebatnya. Beruntunglah mereka; adik2mu kerana mendapat contoh yang baik, dan boleh pula dijadikan tauladan. Bukan seperti aku, Nyah. Aku di sini tanpa bantuan insan bergelar kekanda. Kerana aku lah kekanda itu! Cuma aku mungkin sedikit bertuah dikurniai ayahanda bonda yang banyak berjasa. Yang entah dapat atau tidak, jasa mereka itu kubalas kesemuanya.

Nyah, aku tahu bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang maha baru ini. Namun belajarlah dari adikmu yang satu itu. Kerana di mata halusku, aku merasakan yang ada sesuatu padanya yang mungkin dapat Nyah ambil sebagai petunjuk. Adikmu itu seorang gadis hebat. Dalam diam dia tegas, dalam lembut dia tangkas. Benar Nyah, kerana sesuatu itu dinilai oleh mata yang melihat. Bukan niatku untuk membezakan kalian. Cuma alangkah bagusnya andai yang sempurna itu dapat kita kongsikan bersama. Yang buruk dibuang, yang baik sama dijulang. Kerana di dalam dirimu jua ada sesuatu yang tiada padanya. Ah, namun sudah kerapkali aku tuturkan. Cuma adikmu itu sama saja keras hatinya. Entah ke mana tumpahnya kuah….

Nyah,
Rasanya telah banyak yang kupahatkan dalam bingkisanku ini. Mungkin di lain hari dapat pula kuutarakannya lagi. Adakalanya, bersuara tanpa suara ini lebih mudah dan mudah pula masuk ke hati. Maafkan aku Nyah, bukan jahat niatku ini. Namun sebagai adindamu yang tidak malu menumpang pengalaman dan kasih sayang, bagus juga andai dapat kita teruskan ukhuwwah ini dengan rasa kasih yang tiada penghalang. Seperti aur dan tebing. Sama2 bangun berganding.

Akhir kalam, Nyah.. Tabahkanlah dirimu dalam menghadapi ujian Tuhan ini. Di setiap kesempitan yang Tuhan beri, pasti ada hikmah yang menyelubungi. Jadilah ibu dan ‘bapa’ yang penyayang, yang bertanggungjawab, yang ikhlas dan yang sabar dan tegar menanggung anak2mu. Semoga kekuatanmu itu dapat pula kucontohi bila membesarkan cahaya mataku nanti. Lembutkanlah hatimu dengan nasihat yang diberi. Tak kira siapa, tua atau muda, miskin atau kaya. Kerana lebih baik kita mendengar apa yang dibicara dari memikirkan siapa pembawa mulutnya.

Aku juga memohon padamu agar dinasihati diriku yang kurang segala-galanya ini. Agar dapat aku membaiki diri dan mengambil nasihatmu sebagai pedoman menempuh cabaran nanti. Dengan Kudrat Tuhan, semoga kita semua menjadi pemuda cemerlang duniawi ukhrawi.

Sampai di sini bingkisanku, Nyah. Jaga dirimu selalu. Yang lepas itu jangan sekali Nyah ingati. Biarlah berlalu pergi. Perjalanan hidup kita masih di pangkalnya. Banyak lagi yang dapat kita tempah andai masa mengizinkannya. Moga2 lah yang dapat kita tempah itu sesuatu yang cantik dan istimewa. Mulakanlah langkah pembaharuan itu dari sekarang. Agar bila tiba di ketikanya, kita telah jadi insan terunggul yang tidak takut dibiar seorang. Mampu bangkit biarpun diserang.
Tinggal ya, Nyah. Terima kasih untuk penerimaanmu ini. Semoga dapatlah menyinar hatimu yang kelam. Agar tidak menjadi bara yang bersimpul dendam.

Salam sayang dariku.. Assalamualaikum
Hartini Omar

Tuesday, August 15, 2006

biar roboh kota melaka..

biarlah....
kenapa dibiar mak??
biarlah....
kenapa dibiar tunku?
biarlah....
Biar?? Kenapa dibiar? Wahai, alangkah ruginya andai kata yang satu ini selalu bermain dibibir. Membiarkan sesuatu yang sepatutnya tidak dibiar. Apa natijah? Singapura bukan lagi milik kita. Bangsa dan agama hilang sedikit demi sedikit dimakan arus masa. Biarkan kah?? Tunggulah satu masa kan tiba. Penyesalan pasti hadir tatkala tanah habis tergadai, maruah hilang terbarai.. Apa yang boleh dilakukan? Biarlah.. kerana melayu yang biar-membiar inilah kita hampir musnah dijajah. Jangan digadai maruah dan bangsa kerana kesabaran yang bukan hakiki. Sedang dalam diam, hanya ketakutan menerjah ke pundak hati. Jangan jadi beku- yang takut, malu, tunduk, membisu.. Bangun dan gagahkan semangat. Ada perkara yang tak boleh dibiarkan saja.
Perkara yang membakar semangat dan jiwa. Bilamana saudara seagama dicincang lumat kafir laknat. Bangunlah wahai sahabat dan taulan. Jika tidak berarak ke medan perang, cukuplah doa jadi bekalan. Namun doa jua ada sempadannya. Jangan sampai kaki di kepala pun kita masih berdoa. Bangun juangkan apa yang perlu. Jangan dibiar roboh iman dan kota kita itu..
Kita kan pertiwi yang tidak takut juang. Yang tidak goyah diserang, tidak jatuh ditendang. Mari bangkit dan tinggalkan lah segala yang lalai dan leka. Sekarang bukan masa untuk berlibur kesini kesana. Sekarang adalah masa untuk berfifkir dan masa untuk berlumba jaya. Jika bukan kita yang mula, tiada siapa jua yang sudi mengikutnya. Lumpur yang kotor miang itulah punca rezeki dan kejayaan. Dengan peluh yang kotor di badan itulah kita sekarang mendidik diri di menara ujian. Kalau bukan penat lelah ibubapa yang tak hiraukan berpanas terik, berhanyir lumpur dan berharing getah, tiadalah kita bergelar mahasiswa. Namun ingatlah teman.. kaya, senang, pandai dan iman tidak datang tanpa usaha. Carilah ia dimana2. Kalau tak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya..
-jangan dibiar roboh kota melaka!!

Thursday, July 27, 2006

katalah yang sepatutnya, dan kena pada tempatnya

"kerana pulut santan binasa
kerana pulut badan binasa"
Kerana mulut badan binasa? wahai, begitu agungkah anugerah tuhan pada manusia seperti kita yang dapat berkata-kata?? mujur bahasa haiwan tidak dapat kita fahami. jika tidak, tentu saja banyak cerca dari pujinya. mengapa begitu berkuasa perkataan yang dilafazkan? kerana suara2 hati lebih tajam dan sinis dari pisau dan pedang yang dapat membelah badan. hati yang terguris pasti sukar untuk minta disembuhkan. kerana itu ramai orang suka diam dari menyuarakan pendapat dan telahan. bimbang pendapat tidak diterima malah menyakiti hati2 yang mendengarnya. namun manusia lupa, teguran, nasihat dan pujian membuat kita melangkah setapak lebih maju dalam kehidupan. manusia lupa bahawa jika ada suara yang berkata2, ada jua lah telinga yang sudi mendengar. bukankah indah... Luahan rasa hati kita didengari seseorang. lebih2 lagi orang2 yang kita sayang.
Fikirlah sebelum berkata-kata, namun jangan terus membisu tanpa kata. adakalanya, yang pahit itu sukar diterima namun itulah penawarnya. kadang2 yang manis itu mudah pula ditelan, dan mudah pula menjadi racun yang mengguris perasaan. carilah masa yang sesuai untuk kita melafazkan sesuatu agar ia kena pada tempatnya. agar tak nampak janggal dan kekok, kaku dan buruk. jika ada suara hati yang suci lagi murni, salurkanlah ia ke tempat yang sepatutnya. sesuatu yang datang dari hati, pasti kan turun ke hati. percayalah, jika tiada yang berani bersuara, maka hidup kan hilang serinya, bumi kan hilang damainya, nurani kan hilang cintanya....
"Sometimes we let affection go unspoken,
Sometimes we let our love go unexpressed,
Sometimes we can't find words to tell our feelings,
Especially towards those we love the best."

Thursday, July 13, 2006

bacalah kata2 pujangga...

"Bila benci musuhmu dan sayang temanmu tidak lagi mempengaruhi tegakmu yang adil, Bila engkau telah sanggup mengambil hikmat dari aliran zaman, mengambil manfaat dari perubahan, Maka semuanya dapat kau tawan, bukannya engkau yang ditawan."

"Bila semuanya sanggup kau hadapi, Kesetiaanmu pada perjuangan murni ini tidak berbelah bahagi, Maka engkaulah pahlawan pertiwi, engkaulah yang berhak mempusakai bumi dan seisi, Engkaulah sebenarnya Wanita, Pemuda dan Puteri bangsa sejati. Di mulut ku lafazkan hasrat Di hati ku bakar semangat. Pada Wanita, Pemuda dan Puteri ku pohon tekad."

Wednesday, July 12, 2006

apa yang ada padamu..


Padamu ada keindahan..
Umpama lukisan alam;
Tenang, damai dan mempesonakan….
Kerana biarpun malam gelap,
Keindahan itu tidakkan malap.

Padamu ada ketenangan..
Umpama lautan membiru;
Luas, sunyi dan mengalun….
Kerana biarpun tanggal siang,
Ketenangan itu dihiasi bintang-bintang.

Padamu jua ada kedamaian..
Umpama sumur ladang;
Dingin, basah dan merimbun….
Kerana biarpun tumbuh rumput,
Kedamaian itu kan tetap berpuput lembut.

Dan..

Padamu itu ada KECINTAAN..
Umpama angin bayu;
Segar, leka dan mengasyikkan….
Kerana biarpun tak dapat disentuh tangan,
‘kecintaan’ itu tetap aku rasakan…

-sajak buat MJ-
oleh Han @ Har

Pembaharuan dan penerimaan


Kelas bahasa inggeris itu baru sahaja kutinggalkan. Laju derap tapakku melangkah pulang untuk menulis sebaris dua di ceritera yang telah menunggu lama. Bimbang benar akan perjalanan itu dapat mengeringkan segala buah fikiran yang selama ini kusimpan sejak di kelas tadi. Nah, sekarang aku di sini. Di hadapan kekuci yang sesetia aku jua. Peluh masih belum kering. Baju kurung ke kelas tadi pun masih lekat di tubuh, namun beria benar kurasakan mahu menulis perkara yang satu ini. Entah untuk siapa, aku kurang pasti.

Guru bahasa inggeris ku itu seorang melayu yang cekal jiwa. Dengan perwatakan yang berhemah dan cukup bersahaja. Sekali imbas, ingin saja aku memanggilnya ‘cikgu’ berbanding 'sir'. Kerana gayanya mengingatkan aku pada Tunku yang berbaju YB, bersongkok senget tinggi. Benar rupanya, guruku bersemangat waja. Seperti bapa kemerdekaan lagaknya. Namun kenapa bahasa jajahan itu jadi pilihan?? Kenapa bahasa inggeris itu jua yang jadi bahan pengajaran?? Bukankah lebih indah andai dia dapat mendidik pemuda2 kita menyayangi dan menghargai bahasa tanah ibunda? Aku makin keliru.

Lima belas minit mendengar perbahasan cikgu bahasa inggeris itu, hatiku kembang kuncup. Berbangga dan bertuah aku dapat mengenali insan seperti cikgu. Mulutnya berbuih mengutara bahasa inggeris yang penuh gaya dan wacana. Namun hatinya tetap menyanjung penuh bahasa ibunda. Cikgu berpesan bahawa dunia sekarang mengHARUSkan kita untuk menguasai bahasa inggeris. Tanpa bahasa inggeris, kita takkan mampu kemana. Politik akan jadi gundah, ekonomi akan jadi lemah. Bahasa inggeris adalah bahasa kekuasaan, bahasa kemodenan dan bahasa kemajuan. Untuk maju, kita terpaksa meniru kerana kita adalah bangsa yang BELUM lagi berjaya sepenuhnya. Jadi kata cikgu, apa salahnya kita mendalami bahasa penjajah ini seandainya ia dapat membawa kita untuk lebih menghargai bahasa sendiri. Ah, benar sekali rasanya kata2 cikgu itu. Dalam diam aku tersenyum. Aku sama sekali tidak menbenci atau ‘anti’ bahasa inggeris. Tidak. Cuma seperti yang telah kukatakan dulu, aku lebih gemar dengan bahasa ibundaku sendiri, walaupun sudah nasibku terpaksa menghadapi bahasa inggeris ini sepanjang pembelajaranku di menara tinggi. Terima kasih cikgu. Beliau telah memberiku satu intipati baru dalam memperjuangkan bahasa melayu. Pembaharuan yang memerlukan penerimaan.

“Accepting english does not mean ignoring bahasa Melayu.”

Benar kata cikgu. Menerima bahasa inggeris sebagai bahasa hari ini tidak bermakna mengabaikan bahasa ibunda yang telah lama bertakhta. Pembaharuan memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan perlulah pula dilakukan semangat keazaman. Kita bukan lagi melayu yang beku, tunduk membisu, kaku membatu. Kita perlu bangkit seiring dengan kuasa besar dunia. Bangkit dengan semangat yang kental, jiwa yang cekal, hati yang anjal. Biar kita jadi rakyat yang berjaya dengan wang ditangan, bahasa di mulut, Tuhan di hati, musuh di kaki, ilmu di dada dan zuhud di wajah. Biar kita jadi umat Islam yang maju membangun agama Allah. Yang berjaya di akhirat dan di dunia. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya…

Sekarang aku akan cuba untuk menerima pembaharuan yang dimaksudkan cikgu. Bahasa kemodenan itu akan kucuba fasih dan tajamkan. Biar aku jadi pemuda cemerlang yang boleh hidup di timur mahupun di barat. Biarpun dengan bahasa melayu yang pekat dan bahasa inggeris yang pelat. Biar desing telinga mendengar, sakit mata melihat. Andai itu resepi kejayaan, aku pasti merasa dan biar pahit kutelan jua. Kerana aku pemuda yang mahu bangun memperjuangkan apa yang sepatutnya. Tak kira untuk siapa dan di mana. Aku sanggup mati demi kebenaran dan sanggup hidup dengan seribu kepayahan. Biar mati dicincang badan, yang hak itu pasti kujuangkan…

pesan Tun Dr. Mahathir: "MUSUH utama orang Melayu ialah orang Melayu sendiri. Ini kerana kemajuan satu-satu bangsa bergantung kepada nilai hidup bangsa itu... kalau baik nilainya, mereka maju, kalau baik nilainya tapi tidak diamalkan, bangsa itu tidak dapat maju. Yang akan halang orang Melayu maju ialah pegangan nilai yang tidak baik. "

Aku datang lagi

Lama rasanya blog ini kubiar sepi. Seolah-olah rumah usang yang tidak berpenghuni. Bukan menyendiri, cuma masa tidak mengizinkan aku mencatit sebait dua di sini. Namun jangan bimbang wahai kalian. Kerana sekarang aku telah kembali. Kembali membawa pelbagai ceritera suka duka untuk dikongsi bersama. Moga-moga ceritera kali ini dapat pula membuka mata-mata yang selama ini pejam, atau mungkin dapat pula mencelikkan mata-mata hati yang selama ini kusam muram.

********************************************
Di pulau S itu…

Perjalanan ke pulau itu mengambil masa lebih kurang 45minit menaiki bot nelayan. Pertama kali, kaki kujejakkan di atas periuk nasi nelayan itu, hatiku sayu. Segala-galanya serba kekurangan di ruang mata. Sukarnya wahai, jika benar itulah yang kita namakan kenderaan si penangkap ikan. Bot kecil yang bergetar dengan bunyian enjin itu menderu perlahan. Sekali-sekala bayu laut berhembus deras, mengalunkan bot terhuyung-hayang ke kiri ke kanan. Pantas terpercik di wajah percikan ombak yang masin di lidah. Erat genggaman tanganku di palang bot. Risau benar akan terjadinya perkara tak diduga minda. Pukulan ombak yang deras memeningkan kepala. Sekali-sekala terasa seperti mahu terburai segala yang dikandung perut. Kupejam mata erat. Nafas kutarik dalam. Masih belum kuat rupanya diriku menghadapi cabaran yang satu. Ah Tini, anak bandar benar kau rupanya. Mana mampu membelah lautan mahupun sekejap cuma. Namun ku gagahi jua cabaran ini. Aku bukan makhluk angkuh sombong yang malu mencuba sesuatu yang asing dengan jiwa. Cuma mengenangkan bot nelayan itu…… di depan kekunci ini pun masih terasa alunan ombaknya. Tapi mungkin, segala-galanya akan jadi mudah dengan peredaran masa.

Kujelajahi pulau itu dari hulu hingga hilirnya. Dari muara sampai kualanya. Berkapasiti 200 orang penduduk, pulau itu agak kecil jika dibanding dengan pulau-pulau yang pernah kulawati. Terdapat sebuah sekolah rendah yang mempunyai pelajar lebih kurang 30 orang dengan 5 orang guru bertugas. Asing benar. Dan kagum benar aku. Ada jua pendidik yang sanggup turun laut meredah ombak semata-mata mahu mendidik anak bangsa. Guru2 seperti itu patut diberikan pengiktirafan. Demi mengajarkan ABC, laut China Selatan itu mereka renangi. Khabarnya ada seorang guru muda yang datang dari kota. Kepingin benar kuberjumpa namun mungkin tidak di kali ini. Biarlah, mungkin kan tiba masa dinanti. Yang pasti, ramai lagi anak2 kecil disini yang dahagakan ilmu dan petunjuk. Masih lagi mentah dan kelat tanpa pendidikan dan perlembagaan yang jitu, mantap. Sama sekali berbeza dengan kehidupan di bandar besarku. Walaupun aku bukan anak pulau, aku pasti penghuninya hanya menunggu masa untuk merasai nikmat pembangunan. Jika tidak sekarang, mungkin di masa hadapan.

Petang itu kusembang kecil dengan penduduk kampung. Ada lagi anak2 muda yang masih sayangkan tanah tumpah darah mereka. Suka membantu ibu ayah dan kagum dengan gelaran nelayan cuma. Sedetik aku berbangga. Dan sekilas aku bertanya, mampukah di ‘upgrade’ keadaan keluarga jika hanya berada di takuk lama, terus berdiri di tempat yang sama. Perubahan memerlukan pengorbanan. Namun pengorbanan selalu disalah-ertikan kerana selalu juga disalahgunakan.

Ibu bapa mungkin kurang mengizinkan anak2 keluar dari pulau mencari wang dan pengalaman. Kerana takut anak2 buta dan lemas dek arus zaman dan gelora kebandaran. Lalu lupa pula asal usul dan nenek moyang. Kerana alasan itu, ibu bapa lebih redha mengorbankan kesenangan yang mampu dicapai. Rela menerima kesukaran hidup yang sebenarnya mampu dilerai. Anak2 pula tidak mahu membuktikan pada ibubapa bahawa niat mereka itu suci, dan hanya sekadar ingin membaik pulih keadaan keluarga yang miskin, dhaif. Kerana anak2 cepat ta’sub dengan kebendaan yang diserah ada makna, dan dengan wang ringgit yang dihulur tanpa jujur. Anak2 muda lupa bahawa keadaan bandar yang leka lagi melekakan itu lebih mampu melemaskan mereka waima tanpa arus yang datang mencurah. Nah, kerana sebab itu penduduk pulau itu masih di situ. Masih diam terkaku membatu. Bagai diluah mati bapak, ditelan mati ibu. Yang tua dengan alasan mereka, si muda dengan fahaman dan angukkan sahaja.


Namun bersyukurlah mereka masih menjadi warga yang cekal jatidiri. Masih lagi mengenal pencipta abadi, Allahu Rabbi. Kerana terlampau leka dengan damainya bayu senja, aku dikejutkan dengan laungan azan yang merdu mengasyikkan. Oh, masih suci rupanya pulau ini berbanding bandarku sendiri….

***********************************************

Pulau itu kutinggalkan dengan azam dan semangat baru. Berpandukan azimat yang dibekalkan oleh pemikiran dan minda yang padu. Aku ke pulau itu untuk satu tujuan- memperbaiki segala yang kurang. Moga jua pulangnya aku dari pulau itu dapat membaik pulih kekuranganku yang lalu. Aku ke pulau itu untuk meninjau bagaimana jerih payah insan2 yang dipilih Tuhan. Moga dengan kembalinya aku, aku dapat menilai dan menghargai setiap kurniaan yang Allah berikan. Tak kira kegembiraan mahupun kesedihan. Sekembalinya aku dari pulau itu pasti lah menagih sesuatu yang unik dan unggul dari orang2 yang setia menunggu. Jika tidak dapat pun menjadi seorang ketua yang mampu memimpin dengan karisma, sekurang-kurangnya aku boleh menjadi seorang pengikut yang patuh dan setia. Nah, sekarang semuanya terpulang kepada aku. Kerana jatuh bangunnya aku adalah ditanganku. Moga2 ada lah Allah sebagai teman penunjuk jalan yang satu.

Sunday, June 11, 2006

Ubat hati

Baru pukul 7 pagi. Masih awal benar. (bagi orang tua2, pukul tujuh itu sudah lewat untuk mula memijak tanah.) Masih gelap subuh itu. Entah sudah bangkit atau belum makhluk bernama manusia untuk mengadap Allah yang esa. Hujan turun renyai, menambahkan keenakan mengulit mimpi indah. Lalu tercegatlah malaikat raqib dan atid menunggu bagai abdi yang setia. Bila terbit saja matahari, berangkatlah ia ke sisi Allah mengkhabarkan berita duka lagi nestapa. Tiada jua yang bangun bersujud mensyukuri nikmatnya.

Kubuka jendela luas2. Angin menderu sepoi2 dan percikan gerimis itu terpercik di wajah. Serta merta roma meninggi dan gigil tubuhku. “sejuk…”. Kucapai walkman dan menyumbat earphone kecil itu ke telinga. Pantas kedengaran…

Ubat hati..
Ada lima perkaranya..
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua… solat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat… banyakkanlah berpuasa
Yang kelima zikir malam berpanjanglah

Salah satu.. jika ada menjalani..
Moga2 Allah Ta’ala mencukupi…

Mata dipejam erat. Nafas dihirup panjang. Masih bernyawa rupanya makhluk yang lalai leka ini. Ubat hati…. Oh, itu rupanya ubat hati untuk si pesakit hati. Orang2 yang mati dan parah hatinya tentu memerlukan nada2 seperti ini sebagai ingatan dan pengajaran. Ah, kau sendiri sakit hatinya, Tini. Ya, mungkin. Namun aku pesakit yang mahu mencari ubat, merawat hati yang lama berkarat. Bukan yang ingkar, dan terus-terusan mengumpul kesalahan sampai berumbi berakar. Sekurang-kurangnya kita perlu sedar. Itu lebih mulia dari terus mendabik dada, melakukan maksiat dan dosa.

Manusia jarang berfikir. Manusia jarang memikir sedangkan bila berfikir itu barulah nikmat Allah dapat dihargai. Iman dapat dinikmati. Manusia selalu mengambil mudah atas apa yang berlaku di hadapannya. Dengan hujan yang turun mencurah, dengan matahari yang terbit indah, dengan camar yang terbang girang, dengan pohon yang beralun rendang. Jarang manusia melihat dengan mata hati yang celik lagi benar. Kerana masa manusia terlalu penuh dengan memikirkan hal2 yang tidak wajar. Bila tiba saat dicabut nyawa, baru manusia mahu sedar. Sedangkan di waktu itu segalanya telah tersasar. Tiada masa lagi untuk mengulang kembali. Tiada waktu lagi untuk bersujud pada Ilahi mengaku abdi..

Ah… syukurlah menjadi aku yang dikurniakan mata hati yang bersuluh terang. Mampu pula memimpinku menuju jalan yang diredhai tuhan. Hatiku yang pra-sedar itu akan kuubati dan kurawat sehabisnya. Dengan ubat hati yang lima. Moga bila sahaja rawatan itu aku jalani, Allah Ta’ala akan membantuku mencukupi… Ameen ya Rabbi!

MELAYU itu pakaianku…

Panas cuping telinga mendengar kata2 bongkak manusia yang tak mengenal asal usul itu. Sakit hati bagai dirobek-robek hancur dek kata2 angkuh manusia melayu yang tak tahu malu. Bukankah dia juga melayu yang dulu makan ubi dan pisang rebus tatkala dijajah pengganas?? Yang lari lintang pukang bila kampung halaman diasak peluru dan meriam pantas?? Mengapa malu mengaku kemelayuan yang takkan puput walau diwarnai rambut sekuning rumput. Menggeleng kepala mengenangkan manusia yang lupa dari mana asalnya. Lupa siapa pertiwinya. Mabuk hayal dengan kemodenan dunia. Mengapa malu kepada melayu itu?? Kita kan melayu. Bahasa kita, kita yang punya.

Kugenggam tanganku seerat penumbuk. Kalau ikutkan hati, ingin saja kuajar mulut celupar yang tak berfikir sebelum berkata-kata itu. Mungkin tidak disedari wujudnya insan yang sangat sensitif terhadap perihal bangsa. Bukan kumembenci bahasa kemodenan inggeris. Bangga belajar dan diajar bahasa inggeris. Tahu akan kepentingannya di dunia maju kini. Cuma kegemaranku adalah bahasaku sendiri. Keobsesan yang hanya hadir pada pertiwi sendiri. Kerana kusayangkan bangsaku. Jika bukan aku yang memeliharanya, masakan tidak dimamah bahasa dan bangsa merdeka? Seimbas ku terkenang kata2 laksamana. “Takkan melayu hilang di dunia..” Benarkah? Entah.. Cuma bangsa kita bukan Quran yang maktub dipelihara Allah. Bangsa kita pasti hilang luput dijajah arus masa. Percayalah….

Guruku pernah berpesan, jadikan bahasa melayu itu pakaianmu, dan jadikan pula bahasa inggeris perhiasan kepada pakaianmu itu. Indah tutur cikgu. Dalam rangkap maksud membuatku mengangguk tanda setuju. Mungkin maksud cikgu, berbanggalah mengenakan bahasa melayu itu dimana2 dan gunakanlah bahasa inggeris itu tepat pada masanya. Bukan ber‘speaking’ nyaring dengan orang tua di kampung2 yang hanya menyambut dengan senyum sumbing. Itu bukan kemegahan tapi kebodohan. Bagai melayu yang lupa diri setelah masa remaja dihabiskan menjelajah negara penjajah. Pulang ke tanah air membawa onar pula. Menggeleng-geleng ibu bapa saudara-mara. Dengan kulit hitam kilat tetapi rambut merah saga. (senyum) Hmm.. entah apa dilihat manusia sampai buta dibutakan oleh merdeka. Merdeka yang dijajah. Bebas yang terbabas. Sebak hati namun tak mampu mengalir tangis ke pipi. Bimbang pegangan yang kian terkikis hakis bagai ajal menunggu mati. Susah bersuara pada anak merdeka yang hanya tahu berhibur berlibur. Jarang memikir masalah bangsa dan agama yang kian hancur lebur. Kian lama menyusur gugur.

Tengoklah, ke sana kemari mereka dengan pakaian yang menutup pangkal cuma. Dengan rambut yang bukan lagi hitam warna. Dengan bahasa yang entah apa cuma difahami mereka. Ya rabbi, tuhan. Itukah bangsa Tun Sri Lanang yang gigih mengungkai sejarah? Itukah zuriat Hang Tuah yang pada adat kasihnya tumpah? Pasti terkejut mereka andai serupa inilah bangsa Malaysia. Tenggelam dalam maksiat, buang adat buang akhirat. Malu mengaku itu bangsaku. Tidak… Mereka bukan anak melayu dijiwa, mereka melayu hanya pada nama dan keluarga. Tapi resam, ditinggal kepam, lapuk dan masam. Ah, Tini.. mana mampu kau berdiri seorang memperjuang yang dibuang, bagai melukut di tepian gantang. Melayumu itu akan pergi menyonsong, terbang bagai burung. Tanpa akal makmur yang sudi mengusung mengendong. Hhmm.. air tempayang dicedok segayung, mampukah memadam api di gunung????…….

Saturday, June 10, 2006

Ah lelaki….!!

Panjang menungku memikir apa natijah yang bakal kuhadapi jika tulisanku berbaur hal2 yang sensitif sebegini. Kepingin benar kumenulis tentang satu daripada makhluk kejadian Tuhan yang maha agung ini. Makhluk yang ber’gen’ XY ini. Ya, lelaki. Jangan pula kalian bimbang. Kubukan extrimist yang begitu jumud memandang perihal dunia sehingga segala-galanya kutolak bulat-bulat. Pemerhatianku cuma seperti insan biasa yang dikurniai pemikiran untuk mentafsirkan yang hakikat. Hakikat yang perlu diterima, ditelan walaupun kelat. Kalaulah pun tafsiranku itu dapat diterima dek telinga yang mendengar, mata yang melihat.

Telefon bimbit yang kuletakkan di sudut meja itu berdering. Irama cindai dendangan Siti Nurhaliza berbunyi nyaring tetapi tidak lama. “Ah, miscall..” laju tanganku mencapai telefon untuk melihat siapakah gerangan nama di skreen.

One Miscall
Z******

Hmmmmpph.. dengusan ku panjang. Lelaki itu lagi. Kenapa hadir tatkala segala memori telah tamat kupadamkan dari kenangan. Apa perlu menggangguku lagi andai telah tiada keikhlasan dalam hubungan persahabatan. Ah lelaki… mengapa begitu mudah melafazkan kata?? Sehingga termakan pujuk rayu sang teman yang pergi menghilang diri setelah hati dibuai perasaan. Atau akukah perempuan yang begitu pantas menilai kebaikan dihulur sang arjuna? Ah Tini, terlalu singkat akalmu sehingga yang bertamu kata itu kau anggap cinta, yang mengambil tahu itu kau anggap rindu dan yang selalu terbayang itu kau anggap sayang. Salahkah?? Mungkin tidak bagi perempuan sepertiku.

Perempuan tidak akan mengambil tahu melainkan dia rindu, tidak akan menyisih andai benar dia kasih, dan tidak akan berkata ‘ya’ melainkan dengan cinta. Itu perempuan. Kaum Hawa, bangsa Hartini dan spesies Haryati yang tak tahu menipu, tak pandai mempermain pujuk rayu. Kerana kalau diam itu, tandanya dia setuju. Dan kalau beralasan itu maknanya dia tak mahu. Perempuan bukan seperti lelaki yang tetap melayan walaupun bosan. Tetap menghubungi walaupun tak sudi dan terus menyusun kata walaupun tak cinta. Hingga terasyik kaumku yang memang butuhkah kasih sayang dan perhatian. Nah, kalau begitu ia salah siapa? Salah Hawa yang datang menggoda atau salah Adam yang tak boleh hidup tanpa Hawa, waima di syurga??? Persoalan lagi.. Persoalan yang boleh dijawab dengan mata hati atau kata nafsu yang melulu.

Lelaki dan wanita dicipta tuhan untuk bergabung mengharmonikan dunia. Tiada wanita tanpa lelaki dan begitulah sebaliknya. Ibarat pantai dengan lautan, putih dengan hitam dan siang dengan malam. Semuanya diciptakan indah dengan pasangan. Jangan pula ego meninggi diri bagai dunia ini hanya milik kita. Seolah-olah kita dapat hidup dalam gembira dengan tangan yang sebelah, dengan wajah yang setengah. Heh, kagum kulihat orang yang mengaku dapat hidup tanpa arjuna. Dan kagum juga aku dengan lelaki yang konon dapat hidup tanpa wanita. Ah, nabi sendiri rindukan Khadijah, apatah lagi kita. Bukan semua manusia dicipta Allah menjadi Rabiatul Adawiah yang hanya dambakan kasih azza wajalla. Dan bukan juga semua dicipta menjadi sahabat rasul yang kekal hidupnya tanpa isteri dan cahaya mata.

Tapi bukan semua!! Itu benar. Benar sama sekali. Cuma lelaki… jangan lah begitu pada wanita. Kutahu yang buruk itu cuma segelintir saja. Tapi masakan boleh ditelan susu yang bercampur walau setitik tuba? Memang yang jahat itu sedikit, tapi yang sedikit itulah yang menghancurkan. Aku tidak membenci lelaki. Masakan aku.. ayahku seorang lelaki, malah lelaki budiman. Adik2 ku lelaki. Saudara-maraku juga sebahagiannya lelaki. Cuma mereka lelaki yang agung dan unggul. Lelaki yang tidak menghancurkan malah membahagiakan. Jadi aku tidak 100% menunding jari ke arah lelaki. Cuma kesal,
kalau lelaki menggunakan akal pada tempatnya dan menggunakan nafsu pada masa dan ketika yang diredhai Allah, takkan wujud generasi kecil yang berbapakan ‘Abdullah’ semata.

Ada. Aku tahu ada. Aku maklum ada lelaki yang tidak begitu. Yang budinya luhur, yang niatnya satu dan tingkahnya tidak melulu. Aku kenal K**** yang indah perwatakannya, sesuai dan sempurna di mata di jiwa. Sehingga kuibaratkan dia seperti bintang tinggi yang tak tercapai dek tangan, tak terpeluk dek badan. Aku juga sempat dikenalkan dengan J**** yang tulus menyintai wanita yang dicintainya. Jejaka yang tidak pernah berputus asa dan cekal azamnya. Cuma lelaki itu terlalu jauh untuk diseru. Dan mungkin hanya dengan kudrat Tuhan dua cinta suci itu akan bersatu. Aku tetap mendoakannya. Moga ada lah suatu hari terletaknya kebahagiaan dua manusia yang ikhlas bercinta, yang sarat menanggung ujian Allah dengan duka dan air mata, bertemu berpisah kerana yang esa jua. Semoga datanglah masanya. Semoga diperkenan segala doa. Semoga……..

Tapi aku tetap sendiri. Tanpa makhluk bernama lelaki untuk didampingi (senyum). Mungkin bukan kini. Mungkin ada masa nanti di suatu hari. Kerana aku ibarat pohon yang tumbuh subur nun jauh di gunung tinggi. Jadi, tentu saja bukan calang2 pendekar yang mampu mendaki memetik aku menjadi suri. Tunggulah.. Pastikan tiba suatu hari dinanti. Pastikan datang sang putera yang bakal memanggilku puteri.. Ah, lelaki…..


Anak nelayan naik perahu
Sedang berdayung hujan gerimis
Hancur hati orang tak tahu
Mulut tertawa hati menangis

Kain batik dari seberang
Dipakai anak tanah melayu
Apa ertinya kasih dan sayang
Jikalau engkau berjanji palsu

Gugurnya bunga dalam jambangan
Layu ditimpa si matahari
Beribu sumpah dikau ucapkan
Mengapa kini dikau ingkari

Patah dahan daun berganti
Bunga pun kembang tiap tangkainya
Tak guna lagi daku sesali
Sudah lah takdir apa nak daya

Lalang

Suatu hari kupesan pada rakan.

Hidup jangan seperti lalang
Ke kanan ditiup, ke kanan melayang
Ke kiri dihembus, ke kiri terbang
Ke mana2 ditebas orang…
Hidup; orang tak pandang, mati; orang tak kenang


Namun kata2 ku itu mungkin terlalu ringkas tetapi dalam maksudnya. Sehingga sukar sekali untuknya meramal maksudku di sebalik kata. Aku tak bersedih andai kata-kataku sukar ditafsir atau disalah tafsiri orang. Kerana sebagai penulis, tulisan ku sudah tentu terlalu subjektif. Aku telah meramal akan adanya kekurangan fahaman dan mafhum dari semua yang sudi membaca tulisanku ini. Aku maklum dan aku telah bersedia untuk tidak melenting andai ada yang datang menjengah, mengkritik dan mengherdik.

Lalang ini kutujukan buat seorang teman yang sangat ta’asub dengan kerja2nya sehingga terabai kewajipan yang seharusnya didahulukan. Aku musykil akan orang2 sebegini yang mudah benar menurut perintah dah arahan orang lain. Mungkin bagi mereka, aku adalah manusia bongkak dan kedekut masa. Tak senang mencari perhatianku apatah lagi meyakinkan aku supaya masaku habis terarah pada sesuatu. Kerana aku adalah aku yang tak mungkin dapat dipaksa dan diseru. Aku sukar memberikan kata setuju waima kepada perkara sekecil semut pun. Keputusanku memang mahal ditagih dan memang sukar diperoleh. Aku bukan jenis manusia yang mudah setuju dan akur pada arahan orang lain. Aku bukan spesies lalang mahupun lembu yang dicucuk hidung. Semua itu bukan aku.

Kerana itu kumerasakan sesuatu apabila melihat sebahagian teman2ku yang mudah diperguna itu dan ini. Mudah pula mengikut kanan atau kiri. Kerana mereka lebih rela mejaga hati orang lain berbanding hati mereka sendiri. Sehingga terabai segala perasaan mereka. Hatta ke tahap dirundung hiba, mereka boleh tesenyum dalam nestapa, mengaku rela dalam terpaksa. Tini… nadamu berbaur cemburu. Bukankah mulia mereka yang menjaga hati dan perasaan orang lain? Jangan butakan hatimu kerana pegangan yang kau sendiri pegang. Kalau bagimu, mereka ibarat lalang, tidak mustahil dirimu bagi mereka cuma berita duka yang membawa malang. Ah.. degil benarnya aku yang bernama Tini ini. Pesan orang jarang kupeduli… Ingat lah Hartini, jangan matikan hati, bekukan diri….


Pesan sang teman…..

Bukan lalang ibarat dirimu
Bahkan Zaharah nilai hatimu
Jika prinsip jadi sandaran
Sertakan ia dengan kesabaran
Bagi setiap mehnah, pasti ada hikmah..

(A.I.K.) 060606

Thursday, June 08, 2006

KeASLIan sejati

Aku kurang periksa sejak bila minatku hadir yang melampau pada lagu2 asli. Sehingga penuh koleksiku dengan nada sayu Sudirman, suara gemersik Sharifah Aini dan suara hebat Herman Tino. Dan sering pula lewat kutunaikan kewajipan Magrib kerana mengikuti lagu2 asli di Melodi Senja Best104. Sering saja aku diketawakan rakan seusia kerana perangaiku yang pelik ini. Salahkah mencintai sesuatu yang bukan muncul di zaman seangkatanku?? Tentu saja tidak salah. Biar tumbuh bagai cendawan lagu2 baru ciptaan anak muda yang mengejar kerancakan, aku tetap aku dengan inang ku, dengan zapin ku, dengan joget ku, dengan hadrah, langgam dan asli ku. Kenapa begininya aku? Tini, kau sesal dengan hidupmu? Ah masakan aku sesal. Aku bersyukur. Kerana tidak ramai di luar sana yang seiring denganku. Tetapi jika ada, suka sekali untukku mengenali dan merapati orang2 yang senasib dan seminda denganku.

Lagu lama yang penuh dengan pesanan dan nasihat itu perlu kita renung sedalam-dalamnya. Lagu2 asli ciptaan orang dulu kala dihasilkan dengan darah dan air mata. Sehinggakan sayu sekali kita mendengarnya. Sebelum air mata kita tumpah, air mata mereka juga telah banyak tercurah. Kerana itu setiap baris rangkum yang hadir menghasilkan sesuatu yang indah menyentuh jiwa. Bukan mudah menghasilkannya.

Daun berembang di ataslah gunung
Tumbuh di bawah pohon meranti
Jangan lah hidup berulam jantung
Menunggu dia bersama mati

Serangkap pantun dari lagu joget nyanyian Siti Nurhaliza kedendangkan di sini. Indah bukan, bait bicaranya. Sayang sekali tak ramai yang boleh menilai. Budaya kita warisan kita. Sejauh mana kita mengejar kejayaan dengan sains dan teknologi, jangan sesekali lupa adat budaya yang tentu hilang jika tak dijaga. Menjaga adat tak bermakna mundur dan lemah. Meniru Barat tak bermakna kuat dan gagah. Ingat pesan datuk nenek, takkan hilang bisa ular, meski menyusur akar ketapang. Takkan hilang harum mawar, meski ditanam di tepi longkang. Keaslian sejati, eloklah kita warisi….

Pekan Bidor- di suatu waktu…

Aku bukan kelahiran Bidor. Sebuah pekan kecil di daerah Batang Padang negeri Perak. Aku bukan dari sana. Namun sempat jua usiaku kuhabiskan menjengah pelosok Bidor yang terkenal dengan petainya. Bila memoriku hadir, aku pasti tersenyum mengenangkan zaman kecilku yang kuhabiskan di Bidor. Di sebuah sekolah di sana. Sekolah daif saja. Sebuah sekolah agama yang kurang lagi usang. Namun di situ aku belajar mengenal diri. Belajar mengenal potensi diri. Lalu kerana itu aku adalah aku yang kau lihat di hari ini. Di Bidor kukenal RSRM. Satu nama yang takkan kulupa sampai bila2. Pelita yang menerangi kegelapan tak mengira siang malam. Alangkah indah kehidupan andai semuanya berlaku seperti yang kita inginkan.. Namun kita hanya makhluk tuhan yang terpaksa akur dengan ketentuan. Rela dalam paksaan.

Masih adakah lagi gerai kecil tau fu fa di hadapan stesen bas Bidor itu? Masih berniaga kah mamak muruku yang gigih membawa basikalnya merata desa? Masih wujudkah gerai tepi jalan yang mana kuhabiskan masa makan tengahari minta nasi tambah dengan rakan-rakanku? Oh, alangkah rindunya aku pada zaman itu. Zaman lampau itu. Sampai kini, aku masih belum sempat melawat kembali tempat jatuh bangunku. Masih belum berpeluang mengharungi pekan kecil Bidor yang mungkin usang, atau mungkin indah dek arus zaman. Masih adakah lagi tabiat memakan ABC dengan apam balik yang aku dan rakan2 lakukan dulu?? semua tinggal persoalan. Kalau mampu ku putarkan masa, inginku kembali merakamkan detik indah di Bidor. Bersama rakan2 dan guru2 yang penyayang. Masyarakat kampung yang penuh resam dan adat sopan. Aku bagai si jakun yang terpisat-pisat melihat martabat melayu dijunjung. Mendengar tutur kata diadun. Sama sekali jauh dari sifat sebenar tanah tumpah darahku di bandar besar. Ya, itulah yang dapat kulihat, kudengar dan kufahami. Di Bidor itulah aku menjadi aku yang diciptakan tuhan sebagai diriku. Bidor, tunggulah kedatanganku. Kerana aku bukan rerama yang mudah lupa pada kelonsong usia. Aku akan cuba menjadi enggang yang pasti pulang menjengah sarang.

Tiada Penghujung

Jam tangan dilengan kiriku telah menunjukkan pukul 4.50 petang. Baru saja tadi berkumandang suara azan Asar menyeru sekalian umat mengadu nasib pada si Pencipta alam. Aku dengar dan sempat juga menjawab seruan ilahi itu. Namun jemariku masih di kekunci ini. Menaip baris kata yang tiada penghujungnya. Kalimah, kalau dikira memang tak sudah. Mana mampu kutandingi kalimah yang maha esa. Andailah kutumbangkan sekalian pokok di alam maya ini untuk kujadikan pena, dan kukumpulkan segenap air di lautan sebagai tinta, masih tak mampu untukku merakamkan betapa tinggi dan mulianya kalimah Allah. Ah, Tini.. Jangan hanya menjadi burung kelicap yang berbunyi nyaring. Membingitkan telinga dengan nyanyian sumbang saring. Sama seperti tin kosong yang kuat bunyinya tapi di dalam tiada jua. Ku turuti kata akalku, mengabaikan sebentar rasa hatiku. Papan kekunci ini kutinggalkan seketika bagi menyucikan hati yang mudah leka. Aku pohon seketika waktu untuk bersujud berteleku. Harap kau di sana pun begitu. Mari lah tunaikan kewajipan dan dahulukan apa yang perlu…

…….Haiya ‘alas solah……..

Wednesday, June 07, 2006

Nasi lemak buah bidara….


Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Diimbas sekali pantun di atas, apa tujuannya? Rasa bagaikan tidak patut membuang emak kerna turutkan kasih yang tuli lagi buta. CINTA. Ini semua kerja cinta. Cinta yang entah di mana awal akhirnya. Kenapa manusia bercinta? Tini, tanpa cinta, kau tak mungkin wujud dan lahir ke dunia. Ya, Cinta itu agung dan luhur. Cuma yang bercinta itu saja yang mempermainkannya. Tak tahu dan tak mahu menilainya. Sehingga cinta nampak lekeh dan sememeh. Cinta nampak mudah dan dipermudah.

Cinta tak semata-mata cintakan manusia. Kerana yang lebih agung adalah cintakan tuhan rabbul alamin. Tuhan yang menciptakan matahari dan bulan, yang mengharmonikan malam dan siang. Itu cinta sebenar. Tapi jarang yang bercinta dengan Pencipta. Kerana leka dengan cinta si penciplak cinta. Cinta kebendaan, cinta kekayaan, cinta keagungan dan dan dan… Maka gugurlah kita sebagai sang pencinta yang terkena panah asmara. Dulu, di zaman orang tua-tua kita, cinta adalah sesuatu yang ‘sacred’ dan penuh hikmah. Cinta bukan mainan dan paksaan. Tetapi cinta adalah kerukunan, kebajikan dan keamanan. Malah cinta juga adalah titian dan pertalian. Kerana itu orang dulu2 boleh hidup aman damai dengan cinta mereka. Cinta yang dibajai amanah dan taqwa. Tapi cinta kita??

Kita ta’asub dengan cinta. Lalai dengan kata cinta. Lena dalam rayu canda. Kerana itu kita buang emak, buang saudara demi cinta. Sampai ke mana hala tujunya? Yang laut kan tetap pulang ke laut. Yang darat akan terus bersemadi sampai akhirat. Tiada sungai tanpa kuala, tiada lautan tanpa muara. Bercinta lah. Tiada siapa melarangmu. Asalkan cinta itu kau jaga dengan rona warna yang suci lagi indah. Bukan dengan debu maksiat yang comot lagi karat. Dan pergilah mencari cinta2 di mana jua. Kerana jikalau benar kau bercinta, kau akan pulang jua mencari arah cintamu yang pertama- Cinta bonda, cinta ayahanda dan cinta saudara. Bukan lari dan pergi membawa cinta terlarang. Yang bakal menconteng warna hidupmu dengan hitam arang. Waktu itu kau bukan sebenarnya berjuang. Pejuang apa yang bertamu tika susah dan beredar tika senang??? Jangan begitu kesudahan hidup ini. Ingat lah bonda dan ayahanda yang bergadai nyawa demi kita. Jangan tiba ketikanya kita menjadi bagai burung yang lupa sarangnya, bagai kacang yang lupa kulitnya. Jangan… jangan sesekali. Tinggalkanlah pantun yang lemah lagi gundah ini. Tiada bagiku.. Tiada nasi lemak buah bidara dalam hidupku…



Keagungan Cinta


Agungkah cinta?
Andai berjumpa hanya untuk terpisah
Andai berkasih hanya untuk tersisih…
Bagai darat dengan lautan
Atau pungguk dengan bulan
Penantian yang tak berkesudahan…
Perlukah pengorbanan??

Cinta agungkah?
Andai bertemu bukan untuk bersatu
Andai bercinta tidak untuk bersama…
Laksana Tuah dan Teja
Atau Uda dan Dara
Berkorban kerana cinta…
Tidakkah sia-sia??

Biarlah…
Biarlah cinta-cinta agung itu…
Biar jasad jauh berbatu
Asal hati tetap satu…
Jangan seiring bak bayang-bayang
Namun hilang dek kelam malam…



Pemburu cinta:
-Hartini Omar-

Jauh perjalanan, luas pengalaman

Benarkah? Benarkah jauh perjalanan, luas pengalaman? Ada benarnya mungkin. Orang dulu2 jauhkah perjalanannya? Tanpa kapal terbang? Mungkinkah? Ya, masakan mustahil. Jika tak benar, tak lahir lah ‘almari’- perkataan orang portugis, tak wujudlah ‘maharaja’- perkataan hindu budha di atas tanah merdeka kita. Nah, bukankah jauh orang berjalan untuk mencari pengalaman?? Dulu, kita rajin meniru gaya orang. Dan yang kita tiru itu perkara yang baik2, yang dimuliakan. Tapi sekarang, kita tetap rajin meniru. Tapi meniru yang haru biru.

Aku sendiri adalah seorang jalanan yang suka mengembara. Dalam kembaraanku, aku melihat seluruh sarwajagat dengan penglihatan usia. Mungkin aku masih lagi kelat untuk menilai sesuatu. Belum ranum sepenuhnya. Namun aku berusaha, bertanya dan belajar bagaimana cara untuk matang sebelum usia. Dan di situ aku rasa aku berjaya. Aku masih lagi Tini yang muda mentah, namun aku juga pemuda yang punya hati dan firasat dulu kala. Yang mana disebabkan itu, aku nampak dengan jelas apa yang pemuda seusiaku kabur.

Perjalananku masih panjang. Usiaku baru menjangkau dua dekad. Namun aku harungi perjalanan hidup ini dengan tekad dan semangat. Aku ke UTARA menjengah sawah, ke SELATAN mengharung lautan, ke TIMUR merakam deru nyiur dan setia di BARAT mengumpul semangat. Aku bangga dilahirkan sebegini. Mendapat kurnia Allah azza wajalla. Tuhan sekelian alam yang masih mahu aku berpijak di bumi nyata. Ah, Tini.. Terlalu seni dirimu hingga hilang nikmat usia. Hilang keringat muda. Biarlah.. Kerana nikmat usia itu aku salurkan pada pemikiran yang sehaluan. Kerana keringat muda itu aku sapu dengan azam dan iltizam. Cita2ku menjadi pemuda cemerlang yang tak takut juang. Tahu di mana padi masak, kenal bagaimana nasi ditanak. Bukan pemuda yang girang suka bergelak ketawa entah kenapa. Bukan jiwa muda yang mundar-mandir ke hulu ke hilir tapi tak kemana-mana.

Jadi sebab itu aku berjalan, meneroka dan mengumpul pengalaman. Bilamana pengalaman aku itu aku kumpulkan, maka lahirlah diri aku kini yang ta’ajjub pada keagungan tuhan. Dengan pantai yang luas bentang. Dengan saujananya sawah bendang. Dengan dinginnya hutan Ledang. Mmm… itulah aku. Yang masih jauh perjalananku, yang belum luas pengalamanku…

Pantun- Khazanah dimamah usia

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Kubaca enak ayat empat kerat yang setiap satunya mendendangkan irama yang asyik didengar telinga. Kubaca setiap baris untuk memahami maksud ayat2 tersebut. Pantun?? Kenapa pantun, Tini? Aku bertanya diriku. Kerana pantun tidak mudah untuk dicipta. Tidak senang untuk dirangka. Yang penting, pembuatannya tidak semudah yang kita sangka. Pantun yang indah. Maksudku pantun yang indah. Ramai orang mencipta pantun tetapi pantunnya tidak sampai ke hati. Kerana di saat mengarangnya itu pun bukan dari hati. Hanya yang lahir dari hati dapat masuk ke hati. Jadi bukan mudah untuk menarik minat hati2 yang berhati2. Hati2 sebegini akan
mendahulukan pemerhatian sebelum penerimaan.

Kuberikan contoh untuk pantun di atas. Sebahagian dari penerangan ini kuperoleh dari pembacaan yang mungkin telah berusia juga. Namun aku masih muda untuk mengigati maksud setiap bait kata. Masih unggul untuk menghafal setiap sarwaloka. Jadi begini, dari sudut sains dan alam semulajadi, memang benar jika buah langsat telah masak ranum kekuning-kuningan, maka berakhirlah riwayat bunga senduduk (satu bunga yang berwarna kebiru-biruan). Maka di dalam sajak ini, penciptanya bukan sahaja mahir menggunakan baris kata, malah arif dan tajam pemerhatiannya terhadap situasi yang berlaku pada alam sediakala. Tidak ramai yang begitu. Kerana manusia suka ambil mudah. Sedangkan yang mudah itu, mudah pula membawa kepada cacat-cela. Tapi itulah kita. Kita bukan lagi manusia yang agung dan unggul dengan ketinggian akhlaq dan budi. Bukan lagi manusia yang mashur dengan adat timur. Sekarang kita manusia yang mundur. Yang terbang girang tak kenal asal-usul, tak malu jatuh tersungkur…

Pantun di atas kubaca lagi. Apakah yang dimaksudkan oleh penciptanya? Adakah dia bersedih ketika menghasilkannya? Atau gembirakah dia? Atau tiada apa2 kah perasaannya? Kubaca, kubaca dan kubaca jua. Dalam pemerhatian yang mendalam, bila saat kubaca setiap baris ruang, yang zahir dan yang tak terbaca di pandangan, ku rasa penciptanya seakan-akan menghadiahkan pantun tersebut buat seseorang. Ataupun sekumpulan orang. Yang aku rasa pantunnya seakan-akan nasihat yang padat. Yang luhur dan halus. Yang seni dan tulus. Kerana kiasannya terhadap mereka yang LUPA DIRI begitu enak didengar. Lembut tetapi tajam menusuk kalbu. Maka siapa yang ‘makan cili, dialah yang rasa pedasnya’ akan terkesima membaca nasihatnya yang indah. Ah, enak! Tentu sekali bukan mudah untuk mencipta bibit kata indah begitu. Berkias-kias dalam malu. Tetapi di dalam, isinya tepu. Wahai… Dapatkah hadir suatu hari dimana aku juga boleh menghasilkan bait kata indah? Yang di saat zaman berubah, kata2 ku masih bermain dibibir merekah? Pantun Tini, sudah kau katakan KHAZANAH tadi. Maka ia tak mungkin lama. Pasti kan luput dimamah usia…

Apa ada pada nama??

Ramai orang bertanya, “apa ada pada nama?” “setakat nama, buat apa?” “Alah, nama saja gah..” Bagiku, tafsiran orang2 yang berkata demikian banyak berbaur negatif dari positif. Nama kalau dilihat dari sudut positif adalah aspek terpenting dalam pengenalan diri. Dengan nama, kita dikenali. Dengan nama, orang mengenali kita dan kita mengenali orang lain. Orang2 Arab amat menghormati nama sehinggakan mereka tidak akan memendekkan nama seseorang. Bukan seperti masyarakat kita yang suka memberi nama singkat atau jolokan pada orang lain. Khatijah kita panggil Katty. Johari kita panggil Jo dan Abdullah kita panggil Lah. Dan yang lebih sedih lagi, kita bangga dengan gelaran Husin Gemok, Osman Tempang, Tipah Janda dan Mak Ngah Udang. Sangat2 kerugian jika kita melihat nama yang disingkatkan menjadi rendah martabatnya kerana tiada atau hilang maknanya. Kerana nama, kita bukan lagi Hang Tuah yang disegani, bukan lagi Tun Teja yang dihargai dan bukan juga Siti Nurhaliza yang digilai.
Tetapi itulah.. Itulah kita orang melayu.. Kita kan melayu yang tak pernah kisah.. Melayu yang melulu.. Melayu yang layu.. Yang tidak pernah bangun bila jatuh, tidak pernah sedar bila dikejutkan dan terus alpa dan leka dengan angan2.. Terkenallah kita dengan senda loka Mat Jenin yang hanyut dengan labu-labunya.. dan ceritera Pak Pandir yang tergadai maruah dan tanahnya. Itu lah kita. Waris si Jenin dan Pandir yang terpinggir.. Mundar mandir ke hulu ke hilir…


Hartini Omar- Nama cermin jiwa


Kusuka nama hartini ini. Hartini yang digambarkan dalam HARTINI* adalah seorang gadis yang penuh ciri2 kemelayuan.. bukan melayu yang melulu dan bukan melayu yang layu.. Hartini gadis budiman yang senang datang bila diperlukan, senang sedar bila dikejutkan dan tidak melatah dengan perubahan zaman. Kemana pergi, Hartini masih membawa aspek2 kesantunan yang di’develop’ dalam dirinya. Mungkin ciri2 wanita sejati itu diperoleh Hartini hasil dari tunjuk ajar pengasuhnya, atau dari ‘environment’ nya sendiri yang membantu Hartini membentuk peribadi tinggi. Tapi sebagai manusia, Hartini juga tidak lari dari masalah yang datang bertimpa. Dari duka yang membawa kepada lara jiwa. Cuma atas sebab berwajib yang ada pada diri Hartini, dia menjadi mangsa korban dirinya sendiri. Mangsa ajal kesantunan dan keluhuran budinya sendiri. Tiada siapa yang salah dan harus dipersalah.. cuma masa dan suasana yang tak dapat ditempah sebelum tiba ketikanya telah datang mengusung hiba.. Nah, bila situasi tak disangka itu hadir, kekallah Hartini menjadi bagai Haryati** yang terpaksa akur pada tentuan takdir.. Terusir dan terpinggir.. Jadi, kenapa Hartini?? Kerana dalam Hartini ada jiwa murni.. jiwa2 yang hanya hadir dengan ketulusan hati… yang mana di suatu waktu dulu, di antara satu zaman yang telah berlalu, aku pernah menjadi Hartini yang tinggi pekerti, dan pernah juga menjadi Hartini yang dikorbankan luhur dan santun budi..

*Novel Hartini oleh Aziz Afkar
** Watak Haryati di dalam novel Tenggelamnya kapal VDW oleh Hamka

Awwalul kalam

ceritera pertama (060606)

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang..
Pertama-tamanya, syukur kupanjatkan ke hadrat ilahi. Dengan kurnia dan rahmatNya, dapat kumenghasilkan blogku ini. Dulu, awal tahun 2005 aku ada berura-ura untuk membuka blog sendiri. Tapi mungkin disebabkan oleh kemalasan dan kekuranganku, aku gagal mengurus dan meneruskan blog itu dengan baik. Maka tinggallah blog yang lama itu seperti gajah putih yang tak terjaga bila hidup, tak tertanam bila mati. Namun sekarang, aku rasa aku telah bersedia. Malah cukup bersedia. Atas pemerhatian dari orang2 yang berpengalaman, analisa yang dalam dan jitu, aku rasa aku mampu menulis perkara2 yg sepatutnya aku tulis di dalam blog yang tidak seberapa ini. Satu harapan aku, agar pengalaman aku dapat aku kongsikan bersama dengan orang2 yang sepatutnya aku kongsikan, yang mungkin kalau tidak banyak, sedikit dari diri mereka ada padaku. Dan sedikit dari diriku ada pada mereka.


Tuesday, June 06, 2006

Pakej Harga

Pakej2 yang ditawarkan :

a) 1 ocassion (RM200) - Bertunang / Nikah (unlimited keping, unlimited hour, kerja sampai majlis habis) - Pelanggan dapat DVD dengan semua gambar2 yang ditangkap berserta 1 folder RETOUCHED (5-8% dari jumlah keseluruhan gambar)

b) 1 ocassion (RM250) - Majlis belah perempuan / Majlis belah lelaki / Outdoor (unlimited keping, unlimited hour, kerja sampai majlis habis) - Pelanggan dapat DVD dengan semua gambar2 yang ditangkap berserta 1 folder RETOUCHED (5-8% dari jumlah keseluruhan gambar)

c) Pakej selalu orang ambil (RM650) - Nikah + Majlis belah perempuan + Outdoor [atau] Majlis belah lelaki (Jimat RM50) - Dapat sama macam kat atas.

d) Pakej sekali harung (RM 800) - Nikah + Majlis belah perempuan + Majlis belah lelaki + Outdoor (Jimat RM100) - Dapat sama macam kat atas.

e) 1 ocassion gambar suka suki (RM150) - Family gathering / Birthday party / Family Outdoor / Family Indoor / Pre-wed session - Dapat sama macam kat atas.

- Luar KL/Selangor, kene topup minyak atau belikan tiket bas pergi-balik

- Luar KL/Selangor, customer mesti sediakan tempat berteduh jika keseluruhan majlis mengambil masa 2/3 hari. Tak perlu hotel, challet bagai. Rumah sedara mara ke, jiran tetangga pun boleh

Untuk sebarang pertanyaan, call/sms di talian 012-2622886 atau emel di charming_lead@yahoo.com

Terima kasih