Tuesday, December 30, 2008

Untuk lelaki bernama Johan

Dalam meniti kehadiran tahun baru ini, dengan insan2 sibuk menyimpulkan keazaman yang baru, tekad dan setia yang juga masih baru, telah lama juga aku melihat akan ada hati2 yang masih berlama-lama. Melayan rasa dan kerinduan buat insan yang kekal serupa. Meski bertahun2 lantas rupa dimakan usia, sehinggakan kesakitan dan luka yang diguris cinta telah hilang rasa sakit dan sendu tangisnya, namun tetap jua mereka2 itu menunggu-nunggu dan menanti-nanti hingga abadi, tanpa sebarang usaha untuk mematikan hati yang telah lama mati

Dan setelah sekian lamanya ceritera ini melampirkan kepingan2 gambar yang bercorak warna, biarlah pula kucorakkan cebisan ceritera ini dengan tulisan2 hati, yang mana biar pula tergambar di mata hati kalian akan kesakitan dan kepasrahan hati dan perasaan seorang teman. Maka di bawah ini jualah aku lampirkan kepingan2 itu, untuk mata hati dan jiwa2 yang jarang menipu

Selayaknya kita membacanya juga dengan hati dan budi bicara yang tinggi, meminggirkan bahasa2 akal yang bercorak zahir dan duniawi, kerana bicara2 hati, eloklah difahami dengan hati, bukan dengan tafsiran akal yang mengkal dan dangkal. Dan di sini aku suratkan ia, citra jiwa yang tak kenal erti putus asa.......

.................................................................................

Untuk lelaki bernama Johan

Kumulakan tulisan ini dengan nama Tuhanku, yang tentulah Dia maha pengasih dan penyayang, malah pasti lebih sayang daripada sayangnya aku terhadapmu. Sebelum meneruskan perjalanan tulisan ini, marilah kita panjatkan sebaris doa buat junjungan besar kita, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Kerana tanpa ketabahan mereka mengembangkan agama tercinta ini, mungkin telah kafir dan musyrik kita semua kini. Lalu jauh lah kita dari mencium bau syurga yang kekal abadi…

Dan marilah kita panjatkan juga doa buat ibu bapa kita, samada mereka itu masih hidup atau telah tiada jua. Kerana tanpa mereka, dan tanpa cinta Allah buat mereka, tiadalah juga kita lahir dan dapat bernafas dalam dunia, sehingga kita membesar lalu menjadi remaja-remaja yang diajarkan tentang cinta. Dan semoga hendaknya kita juga diberkati seperti mereka, menjalin hubungan dalam ertikata yang sebenar-benarnya, temu dan pisah kerana Dia juga…

Johan,

Walau di mana pun dikau berada kini, samada di atas putih salji bersama dedaun maple yang kering menguning, atau pun di atas pepasir sahara yang hangat hingga mengalirkan lelehan keringat di dahi, atau di negara kita sendiri yang senantiasa dituruni hujan yang membasahi, telah juga aku mendoakan kebahagiaan buatmu, keluargamu, dan dalam tiap-tiap pekerjaan yang engkau kerjakan. Kerana aku sendiri maklum, engkau pemuda tekun. Tekun melakukan sesuatu yang tentulah baik-baik semuanya, sebaik peribadimu yang telah menghidupkan pesona jiwaku, sehingga menjadi pasrah dan berserah pada takdirNya...

Johan, jejaka pilihan....

Sebagai wanita yang sangat terhad tingkah dan lakunya, mafhum dan akalnya, tidaklah dapat aku memaksa-maksa untuk engkau kembali ke sini, atau sekurang-kurangnya bertandang di hadapan mata ini, agar tamatlah segala penderitaan hati. Kerana selama lebih empat tahun perkenalan kita ini, tiadalah juga kita melangkaui norma-norma kecenderungan manusia, adat dan agama yang sangat kita sanjungi. Cuma seperti kataku tadi, kelebihan peribadimu itulah yang telah memerangkapku, sehingga jiwa yang degil dan tidak reti bahasa ini telah pula menginginkan yang lebih dari selayaknya, lalu serasa pulalah akan bersalahnya jiwa

Engkau juga telah aku lihat seperti selalu mengambil tahu, atau sebetulnya terlalu mahu mengambil tahu, sehingga mekarlah jiwaku dengan impian-impian yang bersatu padu. Wahai lelaki, aku ini perempuan yang dicipta Tuhan penuh dengan kerinduan dan keinginan. Aku ini telah diciptakan untuk menghargai segaris sayang yang dicurahkan, sehingga ke suatu tahap di mana sayang dan cinta yang datang itu tidak dapat lansung kubuang-buang. Betapa gusarnya kehidupanku ini. Menanti-nanti sesuatu yang nyata aku sendiri tidak pun pasti

Namun aku juga bukanlah selemah mana, sehingga tamat dan berhenti riwayat hidup ini mengenangkan cinta; tidak! Aku bukan selemah itu. Kehidupan tetap aku teruskan dengan senyum dan mesra-mesra yang aku sendiri cipta. Dan kerana hati itu tidak dapat ditontoni, maka tiada jugalah terlihat akan kelukaan hati yang telah bagai sakit-sakit dan kehibaan menunggu mati

Johan, lelaki budiman..

Aku musykil benar di akalku, atas sebab apa engkau terus-terusan kekal di sana. Adakah kerana pernah aku menyebut-nyebutkan yang tak sepatutnya, sehingga terguris perasaanmu lalu engkau membawa dirimu jauh-jauh. Atau engkau sendiri mempunyai masalah yang tidak layak untuk aku memakluminya. Atau apa saja alasanmu, namun berilah sedikit penyebab, agar tenang diri ini menempuh hidup dan hari-hari yang seterusnya. Agar dapatlah pula aku meneruskan satu perjalanan baru dengan tenang dan setulusnya tanpa sangsi dan prasangka

Aku tidak dapat menyatakan di sini betapa sukarnya untukku mencari pengganti. Pengganti kepada teman sebudiman dirimu. Pengganti kepada perhubungan yang semurni dan secekal ini. Kerana hubungan yang Tuhan ciptakan buat kita ini terlalu penuh dengan seni dan keindahan. Kerana dalam sakit dan sengsara ini pun dapat aku rasakan kemanisannya. Terlalu manis untuk dilupakan begitu saja

Kita tidak pernah menjanjikan apa-apa dalam hidup, tidak pernah bermati-matian mengatakan cinta sehingga tak terdaya mengotakannya. Kita tidak pernah memberi dan menerima, tidak pernah berjanji lalu bercanda. Kita cuma berkongsi ketulusan hati dan jiwa raga, berkongsi perjalanan diri dan ceritera dunia. Dan atas dasar perkongsian itulah kita binakan kesayangan, kesayangan yang sebetulnya tanpa ada sebarang tuntutan dan paksaan

Dan setelah lama juga kutanam, kusiram dan kubajai sayang itu, sehingga kalaulah ia sebatang pohon, telah amat rendanglah ia membuahkan buah-buahan yang lebat ranum, engkau hilang tiba-tiba tanpa pesanan yang sebaris cuma. Telah mati akalku memikir-mikirkan sebab kepergianmu itu, sehingga aku sendiri lemah-lemah dihirup akal yang keras bekerja

Mengapa Johan, adakah engkau sakit, sehingga jika aku mengetahuinya akan matilah jiwa dan jasadku? Atau adakah engkau itu telah dipaksa memberikan cinta dan jiwa pada yang lainnya? Hee, beritahu lah, Johan. Aku pasrah menerimanya. Kerana seperti yang kunyatakan kini, engkau tidak pernah berjanji apa-apa, lalu mengapakah engkau gusar jika janjimu tidak terlaksana.. Aku ini perempuan yang dikurniai ketabahan jiwa, serasa mampu saja untuk aku menerimanya. Bukankah telah memakan setahun dua juga bila saat engkau hilang tanpa berita? Ayuh, khabarkanlah ya...

Lelaki,

Rasanya telah sampai ke penamatnya tulisan aku kali ini, yang mana tulisan ini aku sendiri tidak pasti samada mampu atau tidak untuk engkau membacanya. Membacanya lalu memahaminya. Namun anggaplah ini sebagai salah satu usaha murniku untuk menyelamatkan persaudaraan kita, andailah ia dapat diselamatkan. Namun jika tiada juga ditakdirkan untuk kita kebahagaian yang kita cari-cari itu, maka sudah tentulah pasrah aku menerimanya penuh rela dan redha, atas alasan Tuhan itu tentu saja penuh dengan wacana dan rancanganNya yang lebih istimewa

Sekian saja untuk kali ini. Lagi sekali kudoakan dikau bahagia, bertemu jaya dalam setiap lapangan kehidupanmu. Ketahuilah bahawa sayangnya aku pada hubungan ini adalah kerana sayangnya aku kepada Tuhan yang menciptakan makhlukNya sebaik dirimu. Mengertilah seadanya bahawa aku memohon maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan yang pernah kulakukan, nyata atau yang jauh dari pandangan. Semoga hendaknya tenanglah jiwa-jiwa kita yang kekusutan dan tidaklah ia menjadi bagai bara yang tersimpan....

Sekian,
Temanmu yang dulu-dulu..
Semenanjung,
Malaysia

Tuesday, December 23, 2008

KL - IPOH - KL

tiba di stesen keretapi Ipoh
Bangunan mahkamah Ipoh
teratak di Parit
spider web
pemandangan di jeti Kuala Kangsar
Masjid Ubudiah Kuala Kangsar
Rumah lama
dari dalam masjid

galeri SAS
dalam galeri SAS



pintu masuk galeri
Muzium Diraja Perak

bertolak pulang ke KL

Wednesday, December 17, 2008

Pena dan tinta




Aku jemu menaip. Aku rindu menulis. Rindu melihat tinta menyerap lembaran2 mukasurat yang putih bersih. Rindu mendakap pena dengan dakapan jari-jari. Lama2 menatap blog sendiri, hati seakan mati

Kosong

Aku jemu menaip. Aku rindu menulis. Ya, itu saja, aku rindu melihat tinta yang hitam warna...

Friday, December 12, 2008

dan di Baling itu...

Apa agaknya yang mampu kutulis tentang perjalanan ke Baling itu....? Ah, sukar sekali. Kerana terlalu banyaknya yang indah2, seolah bagai tak mampu dicoret tinta. Pekan kecil yang aman damai, dikelilingi bukit bukau yang berdiri permai. Ai, cocok sekali untuk dirakam dalam kamus hidup yang pelbagai. Kehijauan yang memukau pandangan, sehingga terasa tidak mahu lagi aku kembali ke hiruknya metropolitan...

Dan sempat juga aku berjalan di denai2 bendang, menghirup nafas segar yang dikurnia Tuhan. Indahnya ciptaan Yang Esa. Terkadang aku sendiri begitu sukar menghargainya. Dan berdiri di tengah sawah itu, melihat camar yang terbang girang, melihat pepohon yang beralun rendang, awan gemawan yang seperti tersenyum mengucapkan selamat kepadaku, terasa beruntungnya diri diberikan kesempatan ini. Nyata Tuhan masih memberi perhatian pada doa2 yang tak lelah dipohoni...

Dan sebelum berangkat semula ke ibukota, sempat aku membasah2kan diri di kedinginan lata. Mendengar deruan air yang laju menuruni berbatuan, sesekali terasa ngilu menahan sebak perasaan. Indahnya alam semesta yang Tuhan ciptakan buat kita. Namun tetap juga kita mencari dan menciptakan yang lainnya. Manusia... Jarang mengucap syukur, namun terngadah bila tersungkur! Dan semoga perjalanan ke Baling sana mendekatkan diriku pada Pencipta.. Terima Kasih, Allah!

Di saat aku seorang isteri


Selamat pengantin baru Kak Ainee!
Baling, Kedah
10/12/2008

Tuesday, December 09, 2008

Hakikat rasa kehambaan

Mana terbit cahaya
Di rembang hidup manusia
Bila yang jatuh satu-satu
Kita kutip mendakap pilu

Di sana Tuhan berbicara
Membatas segenap maya
Ini getir-getir pengorbanan
Hakikat rasa kehambaan

Hartini Omar
Aidiladha 2008

Wednesday, December 03, 2008

Kisah lama iv

Mari teman2, ayuh aku ceritakan pada kalian tanah tempat aku membesar

Katakanlah pada dunia bahawa aku membesar di tanah Kuala Lumpur. Di sana mengalirnya sebatang sungai yang tidak juga jernih airnya. Lalu orang lama2 namakan sungai itu sungai Kelang. Dari mana ia mengalir dan sampai ke mana, aku tidak mengetahuinya. Dan sampai sekarang, aku tak pernah ambil kisah

Katakanlah juga bahawa aku membesar di sebuah kampung di pinggir Kuala Lumpur. Di sebuah kampung yang pencil, dengan udara dan hawa yang baik2. Kampung itu namanya kampung Pantai Dalam. Bonda juga lahir di sana di sebidang tanah kepunyaan nenda. Lalu kini tanah itu telah ditukar pula menjadi kawasan kumbahan najis yang menyakitkan mata. Kami digantikan dengan rumah sebiji2 yang kami panggil rumah MARA. Dan anak2 penama dapat duduk di rumah panjang sorang sebuah

Jadinya aku tidak sempat membesar dan menyaksikan kampung Pantai Dalam yang lama2 itu. Sekadar mendengar ceritanya saja. Tentang pasirnya yang lembut dan memutih, dan penduduknya yang bahagia tak tersisih. Itu semua hanya jadi kenangan. Jadi cerita2 manis yang keluar dari mulut bonda bila kami sama2 duduk bercandaan. Pantai Dalam yang ada kini hanya kepesatan, yang sarat dengan pembangunan dan menara tinggi bercakar-cakaran

Dan lagi? Dan lagi aku membesar di kawasan rumah panjang. Rumah papan yang dibina berderet-deretan membuatkan kami amat rapat dengan tetangga dan jiran. Di situ aku belajar tunggang basikal, main polis sentri dan galah panjang

Lalu rumah kamu besarkah? Tidak. Rumah itu hanyalah binaan papan yang biliknya dibina sendiri oleh kami. Ia tidak besar, dan tidak juga kecil. Walaupun tidak kaya raya, kami diajar ayah bonda agar kaya budi bahasa, berbuat baik pada keluarga dan jiran tetangga. Di sekeliling rumah panjang yang berderet2 itu bonda tanam dengan berbagai pokok bunga. Lalu rumah yang sederhana itu tampak segar dan indah

Ayuh kalian, dengar sini aku ceritakan. Ceritakan tentang zaman kecilku yang leka berlarian dengan kawan2. Dengan Midun, Atai, Epol, Seri dan Kak Etty. Lalu sana kami sering main kejar2. Setiap petang kadang2 sampai senja. Sampai ibu2 menjerit nama kami lalu menakutkan2 dengan cerita hantu kopek yang menyorokkan budak degil dalam kopeknya

Lalu kawan2, ayuh aku ceritakan lagi tentang perumahan rumah panjang yang aman damai itu. Di tanah Kuala Lumpur yang sentosa lagi makmur. Alangkah hebatnya membesar dalam suasana aman dan luhur. Di mana mengenali dan dikenali adalah perkara mesti untuk setempat yang sebaris sebujur. Dan perkara itu tidak berlaku lagi di Kuala Lumpur. Segalanya telah jadi sendiri2 dan tiada kami2 lagi

Dan lagi? Dan lagi setiap jiran tetangga itu berbangga dengan nama panggilan mereka yang tersohor di mana2. Di blok 12 nombor 112 itu, aku tinggal sekeluarga. Berhadapan rumah kami adalah rumah Bibut dan Nono yang beribukan Ended Cik Yah. Sebelah rumah mereka tinggal pula Cik Mat Brory dan Cik Jah. Aku masih ingat, ya masih tidak lupa. Anak2 mereka Kak Tuti dan Andi yang matanya sepet macam cina

Dan Cik Leli yang jual aiskrim malaysia. Perasa milo, perasa anggur, dan asam boi yang paling aku suka. Dan ada kedai Cicik Nana dan Cik Melah. Cicik yang selalu jual rojak, jual sengkuang tabur kacang dan kadang2 jual tikam. Aku pun selalu beli, kalau bertuah dapat hadiah, kadang2 dapat makanan saja. Macam TORA, bezanya tikam ini lebih murah. Ada juga rumah Ayah Tongkat; india tua yang sering menakut-nakutkan budak2 dengan tongkatnya. Ya ya, itu pun aku ingat juga

Lagi apa? Hmmm.. ya, lagi tentang orang motor yang sering datang jual sate ikan. Bebola kecil 4 ketul yang dicocok pada lidi itu, dibakar dulu kemudian dicicah dengan sos istimewa. Tapi sate ikan mahal. Sebatang sepuluh sen. Kalau mama bagi 50sen buat belanja, aku dapatlah beli tiga. Kalau dah habis duit buat beli aiskrim, aku kadang2 dapat tengok saja. Waktu itu aku tak sabar nak jadi dewasa, agar dapatlah aku membeli satey ikan itu sebanyak-banyaknya

Dan kisah tentang dulu2, bila aku sering mengejar Bhai roti yang sering membunyi-bunyikan hon motornya. Pin Pon Pin Pon. Geram benar melihat roti2nya yang bergayutan. Kadang2 beli roti kaya 30 sen. Kadang2 beli roti kacang 30sen. Kadang2 beli roti krim panjang2 20sen. Seronoknya pengalaman itu. Sesuatu yang tidak mungkin lagi dirasai oleh anak2 kecil masa ini, hatta adik2 ku sendiri. Alangkah rugi...

Ayuh, lagi? Cukup, nantilah... Nanti kemudian aku kisahkan lagi pada kalian. Tentang hidup dan perjalanan. Tentang tanah Kuala Lumpur yang kini berlumpuran.. Dan di kampung itu, kalaulah dapat aku lukiskan agar senang kalian gambarkan.........

P/s: Jemput baca
kisah lama i
kisah lama ii
kisah lama iii

Tuesday, December 02, 2008

Perintang-perintang masa

Baru selesai ke klinik berhampiran, mengambil ubat-ubatan yg kini seakan pula telah menjadi keperluan. Keadaan masih tidak menentu, menepu minda dan memerah kudrat yg tidaklah sebanyak mana. Dengan urusan hidup yang tak terjaga, mata sempat memandang kalendar di atas meja. Nyata dijit2 dalam bulan ini terlalu banyak yg bertanda. Ah, Tuhan.. berilah sedikit perintang2 masa…

Khamis ini dijadualkan ke UIA untuk pendaftaran sarjana. Dalam dendang takbir Aidiladha yg bakal menjelma, terasa derasnya perjalanan dunia. Dengan hari Rabu depannya yg bakal pula ke Baling Kedah sana, terasa sarat benar hari2 mendatang untukku carikan waktu terluang

Dan Isnin 15 haribulannya terpaksa menguruskan peperiksaan referal pelajar, Khamis dengan ujian separa penggal yg belum lagi tersedia, kelas2 pengajian yang banyaknya tergendala, terasa berat benar kepala memikirkan letak duduk segala. Serasa mahu aku pejamkan mata untuk seketika, lantas melupakan terus cerita2 dunia dan isinya

Aku tidak banyak masa lagi untuk mengulit ceritera kesayangan ini. Mungkin semakin berhabuk dan bersawang nanti. Dengan runtunan2 hidup yang semakin ketat dan padat, membutkan jiwa tidak terisi dengan nukilan2 hati. Dan, sebenarnya aku sudah mula jemu menulis, jemu menangis - jemu merintih, jemu melayan kasih. Aku jemu dikerah minda, jemu didamba jiwa. Aku jemu segala-galanya

Dan saat ubat2 itu melalui saraf dan darah, terasa berat benar mahu membuka mata. Serasa lemah seluruh sendi anggota. Aku perlu masa untuk pulih semula. Tuhan, berilah kesempatan untuk aku sediakala seadanya…

Tuesday, November 25, 2008

Terima kasih cinta


Aku tersenyum dalam rintik hujan
Kerana cinta membuatku hanyut tak kebasahan

Aku tersenyum dalam indah pelangi
Kerana cinta memberiku kilauan warna suci

Aku tersenyum dalam mega mendung
Kerana cinta membuahku rindu tak berpenghujung

Aku tersenyum dalam rendang pohonan
Kerana cinta meneduh jiwaku tak berpayungan

Aku tersenyum dalam kuning senja
Lalu kuucapkan terima kasih cinta


Hartini Omar
25 Nov 08
5:05ptg

Friday, November 21, 2008

Terus jadi pembaca...

‘Betul tak mahu?’

“Betul,” aku jawab sambil menggeleng perlahan. Juraian bebenang di pinggir sejadah itu aku main-mainkan dengan tangan. Al-Kitab yang tertutup masih erat dalam genggaman. Diam-diam, aku duduk melayan angan

‘Kenapa tidak?’

Aku tarik nafas dalam-dalam. Masih belum mampu menjawab pertanyaan itu. Terlalu banyak yang dirangkul minda, sehingga sarat segalanya menepukan dada

‘Hey, kenapa tidak?’

“Entah… Mungkin kerana aku bukan orangnya,” aku menjawab pasrah. Sedikit terganggu dengan persoalan-persoalan yang menyeru, tidak pernah jemu-jemu

‘Kenapa bukan?’

“Cukuplah sekadar aku katakan kerana aku telah diciptakan menjadi yang lainnya. Lantas kerja-kerja itu eloklah aku serahkan pada yang berhak saja,”

‘Atau kau sebenarnya penakut?’

“Mengapa pula harus takut?” kini nadaku berubah marah. Sedikit calar bila kata-kata nista dibawa mencemar gegendang telinga

‘Ya, kau sebenarnya takut. Atau lagi molek dipanggil pengecut!’

“Aku tahu aku bukan,” kembali perlahan, membawa perasaan agar bertenang. Itukan hati, maka ia boleh bercakap juga sesuka hatinya. Diamkan saja

‘Kau terlalu takut bila tulisanmu tidak dapat diterima umum. Kau takut jika tulisan yang kau harapkan madu menjadi racun,’

Diam

‘Kau bimbang mahu tulisanmu dibaca orang. Lalu bila tidak ketemu hal-hal yang mahu dibaca orang, jadi kau terus berhenti menulis dan mengarang. Bukan begitu?’

Diam

‘Maka kerana itu kau lebih layak digelar pengecut. Kau tidak ikhlas dalam perjuangan dan penulisanmu. Kau menulis demi apa yang orang lain mahu. Sedangkan apa yang kau perjuangkan ini adalah tentang jiwa. Untuk mengisi kekosongan jiwaraga!’

“Tapi bukankah indah jika tulisan itu diterima semua. Maka dapat pula membantu orang lain supaya hidup mereka lebih bahagia,”

‘Mereka yang bahagia, atau kau sendiri?’

“Lalu kalau kedua-duanya sekali, mengapa tidak?”

‘Kerana itu kau lupa, Tini. Penulis yang menulis dengan hatinya tidak pernah memikir apakah hasil yang akan diterimanya. Bahkan pengisian itulah yang utama. Mereka perit dan sengsara, namun keperitan itulah yang menjadi sumbu yang menghidupkan nyalaan jiwa,'

Berhenti

‘Yang penting bagi mereka adalah jiwa pembaca dan jiwa mereka, agar dapat menyerap nafas seni yang tak tercatat di lembaran2 muka, tak tertulis dengan pena dan tinta. Ia ada dalam tiada! Dan penulis yang seperti itu, sebelum air matamu tumpah, air mata mereka juga bukan sedikit telah tercurah,’

Berhenti lagi

‘Tetapi, ada juga yang terlalu memikirkan tentang hasil dan penerimaan pembaca. Mereka menulis demi apa yang mahu dibaca pembaca, walaupun tanpa jiwa, walaupun tanpa rasa. Mereka bangga nama mereka dicatat berjela-jela. Mereka menulis kerana menulis itu telah jadi kerjaya yang mendatangkan harta, mencanangkan nama--

“Itu kerja mereka, jadi ia tidak salah,” aku memotong

‘Ya kerana itu aku berikan perbezaannya. Kau mahu menulis untuk dirimu atau untuk pembaca?’

“Bukankah memang tugas penulis agar penulisannya dibaca?”

‘Tidak. Sebagai seorang penulis, kerjamu hanya perlu menulis. Soal dibaca atau ditolak orang, itu tak perlu kau ambil kira. Bila kau mula memikirkan tentang pembaca, kau samalah seperti peniaga. Kau meniagakan hasil tulisanmu lantas menulis apa saja yang pelangganmu mahu, walaupun tulisan itu lari jauh dari nilai2 peganganmu, jauh dari kehendak rasa dan jiwamu,’

“Ya,” aku angguk2 perlahan, faham dengan konflik yang dirakam hati

‘Hanya peniaga yang meniaga barangan yang menjadi permintaan. Kerana kepentingannya adalah perniagaan. Maka jika yang kau niagakan itu adalah barang yang tidak diperlukan orang, maka sudah tentulah perniagaan itu kecundang,’

Berhenti

‘Tetapi ini menulis. Menulis seharusnya ihlas datang dari hati penulis. Walaupun banyak yang ditulis itu akan mengguris dan tidak menyenangkan hati pembaca, lalu pembaca memulaukan dirimu dan meletakkan engkau jauh-jauh; tidak mengapa. Kerana kerjamu cuma menulis. Bukan pelapor jualan yang perlu membuktikan bahawa karyamu laris di pasaran,’

Berhenti sejenak, lalu menyambung lagi

‘Kita sudah terlalu banyak penulis yang menulis tanpa jiwa . Sehingga jika kita ke toko-toko buku, tiada apa pun yang dapat kita belikan untuk santapan rohani dan ruhi. Kerana banyaknya cuma hidangan duniawi yang mematikan hati,’

“Ya,” aku angguk kecil

‘Jadi, mahu atau tak mahu?’

“Mahu apa?”

‘Jadi penulis!’

“Aku bukan tak mahu, tetapi tak mampu. Aku takkan mampu menjadi penulis yang begitu,” kujawab perlahan. Sedikit kesal tatkala banyak yang berlaku di seluruh kehidupanku tidak dapat kukawal

‘Kalau tak mahu menulis, atau tak mampu katamu, apa juga kerjamu?’

“Aku akan terus jadi pembaca,”

‘Dangkal!’

“Mungkin…,”

‘Sampai bila?’

“Sampai bila-bila,” sambil tersenyum, lantas membuka Al-Kitab di tangan, terus memulakan pembacaan yang dengan nama Tuhan. Aku akan terus jadi pembaca. Malah pembaca yang setia....

hartini omar
20/11/08
7.45pm

Monday, November 17, 2008

"orang 'baru' bujang"












Sabtu lalu, adikku Qamarul Azarin (Arul) yang berusia 10 tahun telah selamat dikhatankan di klinik berhampiran kediaman. Tentulah aku tidak mempunyai pengalaman yang sama kerana aku seorang wanita. Aku tidak tahu bagaimana emosi, perasaan dan sakitnya bila dikhatankan. Namun secara lojiknya, proses berkhatan itu tentulah sesuatu yang mendebarkan dan merumitkan. Namun itulah resam kehidupan. Dan selalunya yang perit dan sakit itulah yang manis untuk kembali dikenang-kenangkan

Aku senyum melihat Arul yang kini sudah melangkah menjadi remaja. Terasa pantas pula masa berlalu menjadikan aku berperasaan bahawa aku ini tidaklah semuda mana. Semoga besarnya Arul menjadi anak yang berguna. Yang soleh serta patuh pada perintah Allah, rasul dan ibubapa. Arul tersenyum2 bila dalam majlis kenduri orang memuji2 dan mengatakan bahawa dia telah menjadi “orang bujang”. Baguslah, biar Arul tahu semakin tinggi usianya, semakin besar tanggungjawab dan peranannya

Semoga selepas ini Arul tidak menjadi kanak2 lagi yang kadangkalanya berbogel bila keluar dari bilik mandi! ;-)
Tahniah ‘shenggala’!

Monday, November 10, 2008

dan setapak lagi aku pergi...

Kusambut khabar gembira itu dengan tahmid dan kesyukuran.. Akhirnya, aku akan kembali semula ke lembah ilmu dan budi itu tanpa ragu2. Aku akan kembali memikul beban dan tanggungjawab itu. Ya, itulah yang aku tunggu2, dan itulah yang aku mahu

Dan semoga Tuhan membantu aku menjadi amanah dalam pekerjaan dan pembelajaran. Kerana menggalas dua tanggungjawab sekaligus pastilah tidak semudah yang dicerita-ceritakan. Jangan lah hati ini bimbang, ada manusia yg lebih berat bebanannya, namun masih tinggi semangatnya. Bekerja, belajar dan sekaligus menjaga keluarga. Setakat aku yang muda belia, malah sendirian pula.., tentulah cabarannya tidak sesukar mana, InsyaAllah..

Dan kupohon agar kalian menyusuli khabar gembira ini dengan doa. Agar dipermudahkan oleh Allah taala akan jalanku ke menara sana. Ayuh, lekas tadahkan tangannya! Doakan ya..

Jazakallahu khaira!

Thursday, November 06, 2008

Matahari di atas Gilli

Aku belek buku satu2. Mula2 lihat tajuknya. Kemudian muka depannya. Lalu menyelak pula helaian pertama, laju bebola mata membaca tiap2 huruf yang berbaris bagai tentera. Aku senyum mengangguk. Suka, malah jatuh cinta. Lalu kututupkan kembali buku yg terkuak, dan melihat ke kulit belakang. Tertampal pelekat putih kecil berlogo POPULAR di situ dengan nilai harga RM45.90. Aku beliak mata macam tak percaya. Dari cinta jadi benci. Dari riang jadi sakit hati. Buku tebal itu aku letak kembali. Sambil mengeluh dan geleng2 kepala, aku berjalan lagi

Cerewetnya, Tini. Beli je lah, hati membantah

"Jangan, bukan sekarang. Untuk masa ini, kita beli yg bagus dan berpatutan", aku geleng sambil pujuk hati. Lalu berjalan, berhenti.. Jalan lagi dan berhenti lagi. Aku capai sebuah novel

Matahari di atas Gilli?, tanya hati

"Ya". Aku belek lembaran pertama, terus pula kedua, lalu ketiga dan lama2 jadi leka. Aku buka helaian akhir, mencari gerangan pengarangnya

Orang Indonesia?, hati sibuk bertanya. Aku angguk2. Berpuas hati dengan bahasanya yang baku dan sastera. Aku senyum

Sudah la, beli je la kalau suka!, hati mengganggu lagi. Belum sudah2 mahu berhenti. Aku tarik nafas dalam2, mataku sekilas terpejam..

"Tolonglah Ya Allah, jiwa dan mindaku kehausan sekeping nota. Tolonglah...", Aku rayu Tuhan. Lalu jenguk kulit belakang. Dan pelekat POPULAR itu bertulis RM25.90. Aku senyum dalam hati

Buku masih di tangan, dan setelah menghulurkan nota merah2 itu, kuteruskan pembacaan sampailah hilang suara hati yang sumbang kedengaran. Basahlah sudah jiwa yang kegersangan. Terisilah sudah atma yang kesepian. Lalu malam itu di atas katil bujangku, aku terlelap bersama impian dan harapan, dengan 'Matahari di atas Gilli' masih kejap dalam dakapan...

Terima kasih, Tuhan...

Monday, November 03, 2008

Di sebalik wajah...


Di sebalik wajah
Ada cerita duka,
Ada kisah derita,
Ada khabar sengsara...

Telah jatuh air mata
Menanti yang dicinta
Kini hanya pasrah
Dalam tentuan-Nya...

"mengerti hati.. Tini"

Wednesday, October 29, 2008

Setia dalam cinta


Sering keluar dari mulut wanita2 itu, sukarnya mencari lelaki idaman. Yang setia pada temannya dan tidak menoleh pada lain2 wanita. Yg menerima buruk baik wanitanya seadanya. Mencintainya kerana kelebihan dan kekurangan yg ada padanya

Dan terlafaz juga di mulut lelaki2 itu, betapa sukarnya mencari wanita idaman. Yang tidak banyak karenah dan kehendaknya, yang lembut tutur katanya, tapi tegas pula ia melaksanakan amanah rumahtangganya. Yang mencintai lelakinya seadanya, dan tenang menerima buruk baiknya

Pada firasat wanita, lelaki impian itu sukar digapai tangan. Kerana banyaknya yg wujud di muka bumi ini adalah lelaki separa buaya. Banyaknya yg hanya menumpang senang wanita2 mereka malah mereka bangga memikul nama ketua keluarga sedang hasilnya tiada jua

Dan pada hemat lelaki itu begitu juga. Bukan mudah mencari wanita yang elok segenap perkara. Setia mengharungi susah sengsara, bersatu dalam cinta, bertemankan tawa dan air mata. Kerana yg banyaknya di dunia ini wanita separa betina. Datang dan pergi memburu HARTA

Belajar itu tidak semestinya dari apa yg berlaku kepada kehidupan sendiri. Malah banyak sebenarnya yg boleh dipelajari dari runtunan lain2 kehidupan. Belajar dari pengalaman dan pemerhatian…

Setia atau tidak pasangan anda hanya dapat diukur dikala kesusahan dan kepayahan menjerat rasa. Tatkala tiada lagi wang ringgit dan harta benda yg dapat anda limpahkan buat pasangan, tatkala kudrat semakin berkurangan dan rupa sudah tidak lagi menawan. Maka tatkala itu akan berlakunya banyak ketegangan perasaan. Perang antara cinta dan keinginan..

Jika dalam kesukaran begitu, pasangan anda masih kekal setia bersama anda, terus-terusan menemani anda tak kira masa, meringankan kudratnya membantu anda dan sedia menyapu keringat dan air mata, maka tahniah. Anda telah berjumpa pasangan yg memang diciptakan untuk anda. Pasangan dunia dan syurga sana

Namun jika teman itu hanya hadir tatkala suka dan ceria, riang bersama anda hanya dalam gelak dan tawa, dan berlalu meninggalkan anda tatkala anda dihimpit gelisah, maka terus terang, berfikirlah semasaknya sebelum anda menyerahkan segenap jiwa dan raga

Baik lelaki mahupun wanita, kesetiannya boleh berubah mengikut masa dan suasana. Namun hanya dengan sebenar2 cinta; yakni cinta kerana Tuhannya, akan hadir SETIA, dalam setiap ruang rasa, dalam setiap kurang lebihnya....

p/s : banyak bezanya antara mencintai dan keinginan untuk memiliki…

Friday, October 24, 2008

Siapa gadis melayu?


Anak : Siapa gadis melayu, bu? Yang kuning langsat itukah?
Ibu : Ya, itu dia. Dan kita juga
Anak : Tapi kulit kita tidak kuning langsat, bu. Malah gelap pula
Ibu : Kuning atau hitam, darahnya tetap sama. Merah..

Anak : Siapa gadis melayu, bu? Yang ikal mayang itukah?
Ibu : Ya, itu dia. Dan kita juga
Anak : Tapi rambut kita tidak ikal mayang, bu. Malah kerinting pula
Ibu : Kerinting atau lurus, akarnya tetap sama. Tumbuh di kepala

Anak : Siapa gadis melayu, bu? Yang pipinya bak pauh dilayang itukah?
Ibu : Ya, itu dia. Dan kita juga
Anak : Tapi rupa kita tidak mulus, bu. Malah hodoh pula
Ibu : Cantik atau jelik, datangnya tetap sama. Kurniaan Allah

Anak : Siapa gadis melayu, bu? Yang bibirnya merah delima itukah?
Ibu : Ya, itu dia. Dan kita juga
Anak : Tapi bibir kita tidak merah, bu. Malah pucat pula
Ibu : Pucat atau merah, kerjanya tetap sama. Menyebut nama Dia

Anak : Saya mahu jadi gadis melayu, bu
Ibu : Sayang memang gadis melayu. Datang dari ibu, yang juga melayu
Anak : Saya mahu jadi yang itu, bu. Terkenal, cantik, molek, senang dipandang orang.
Ibu : Dan itu bukanlah melayu, sayang. Melayu tak memalu kompang minta bertandang, tak memukul rebana minta dicinta.. Melayu tenang mengabdi dirinya, buat bangsa juga Tuhannya….. (sayang gadis melayu, dan ibu tahu itu....)

Wednesday, October 22, 2008

Hilangnya Citra Bahasa

Dan di petang itu, seperti petang2 yang biasanya, aku manjakan diri membaca Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Telah saban tahun hikayat yang satu itu aku simpan entahkan berapa lama. Sudah berhabuk dan bersawang juga. Telah juga kubaca beberapa tahun yang dulu, sewaktu minat terhadap bahasa masih di kadar2 biasa. Namu pembacaan yang kali ini didatangkan dengan rasa dan jiwa. Dan di petang lagi cemerlang itu berbungalah jiwa2 yang jatuh cinta pada peradaban bahasa dan sasteranya

Maka jika hendak disimpulkan secara ringkasnya di sini, dapatlah aku katakan bahawa karya Pak Sako yang satu ini sangatlah bijak diperbuatnya. Kisahnya ringan dan bersahaja, namun dapat pula menyentuh dan mencubit sedikit rasa, baik gembira, duka mahupun yang gelak tawa

Dan jika diamati kembali, bukanlah sedikit karya2 yang diterbitkan penulis2 moden yang berbangga dengan karya2 mereka yang mungkin beberapa lampir dan beberapa buahnya. Namun bukanlah banyak atau sedikit yang kita kisahkan, selain betapa bernilainya karya yang disuratkan walaupun hanya dengan secoret perkataan. Dalam bahasa lain, berapa pun helaian muka surat itu tidak penting melainkan isinya disusun rapat dan erat, tertulis kemas dalam lembaran dan dapat ditangkap akal fikiran

Namun, disamping banyaknya karya2 hasil tulisan anak2 muda yang tersenyum bangga dengan tulisan mereka, jarang juga yang mampu memberikan nilai dan maksud perjuangan juga cinta dalam ertikata yang sebenarnya. Yang banyaknya cuma dgn kisah2 cinta murahan yang diselit sedikit unsur2 keagamaan. Maka selayaknya ia merimaskan aku waima dengan membaca permulaan di muka paling depan. Dan selayaknya karya mereka itu kubakul sampahkan!

Lalu di petang aman damai itu terpukaulah aku pada bahasa dan persuratan orang dulu2, yang mana boleh juga mereka berseloka dan berkias dengan bahasa paling lembut yang pernah didengar telinga. Kiasan mereka walaupun ringkas, senang juga tertangkap oleh akal2 yang terbuka dan cerna. Maka kagumlah aku membaca akan karya yang lama2 itu, dan seakan2 mahu pula aku berguru dengan penulis dulu2 yang ramainya telah meninggalkan dunia itu. Itu pun kalau mampu

Dan terfikir di benakku bahawa menjadi penulis ini bukanlah dengan jalan mudah dan riang berbunga sahaja. Dan bukanlah menulis itu dengan niat mendapatkan derajat atau nama atau laung-laungan yang memuja-muja. Jadi tidaklah menghairankan jika tulisan yang berunsur sastera dan kebudayaan jarang mendapat tempat di jiwa pembaca. Umumnya kerana mereka itu sendiri tidak cukup dalam kecintaannya pada bahasa dan budayanya

BLOG

Lalu teringatlah aku akan sekitar tiga tahun dulu sewaktu aku mula mahu mencipta diari maya yang dipanggil BLOG itu, sudah pula kusimpulkan tekad untuk berbicara tentang ketinggian budaya dan bahasa. Maka setelah bertahun pula melazimkan diri menulisnya, sedarlah bahawa penulisanku itu telah banyak tersasar dari tujuan asalnya

Jika berkesempatan, mahulah aku mengajak para pembaca membuka kembali entri2 ku yang kutulis lama dulu. Benar juga segalanya telah berubah, kerana aku juga berubah lantaran menulis hanya untuk nama. Jika dulu tidak banyak yang maklum dan tahu tetang kewujudan CERITERA ini, namun bahasa dan citranya cocok dan indah sekali. Biarpun tidak wujud sebarang komen yang kuperolehi, namun aku berpuas hati kerana apa yang tertulis sememangnya datang dari hati

Namun di tahun2 kebelakangan ini, ternampaklah akan perubahan yang berlaku dalam CERITERA tersayang, yang mana telah banyak kenalan dan pembaca yang datang bertandang, maka berubahlah aku daripada memuskan hati nuraniku kepada memuaskan mata2 orang yang memandang

Ah, sesal benar aku, kerana telah lama aku tersasar dari tujuan penulisanku. Dan kecewa aku kerana aku menulis untuk orang dan bukan untuk diriku, sedang kuciptakan diari maya ini untuk mengingatkan diriku sendiri, untuk menerangi hatiku yang gelap sunyi. Dan terjawablah persoalan mengapa walau telah sebanyak mana pun tulisan2 yang kukirimkan, jiwaku masih dirundung kekosongan. Betapalah tidak kosong jika yang ditulis itu bukan ciptaan jiwa, bahkan ciptaan akal dan nafsu semata. Maka mengertilah aku bahawa aku juga tidak banyak beza dari penulis2 moden yang kebanyakannya menulis kerana uwang dan nama

Lalu di petang aman makmur ini, moganya dapatlah kuluruskan kembali haluanku yang telah membengkok lama dulu. Menulis dari hati dengan gaya dan corak bahasa yang turun ke hati. Biar benci dan meluat manusia membacanya, asalkan gembira dan ceria naluri dan jiwaku yang cintakan bahasa. Dan aku rela dipulaukan dan diperkecilkan, asalkan penulisan yang sebegini gaya berjaya kupertontonkan pada dunia, biarpun dengan jerih dan payahnya. Dan biarpun hanya dibaca oleh dua mata – yakni mataku yang menulisnya…...

Monday, October 20, 2008

Minat..

Menghasilkan poster adalah antara minatku yg baru. Dan aku mendapat kepuasan melaluinya. Dan poster di atas adalah satu contoh daripada hasil seniku. Sebuah dedikasi dari seorang aunty kepada anak buah tersayang. Aku cuma menghasilkan templatenya. Sedang kata2 diterima terus daripada pengirimnya

Mungkin ia jauh dari kesempurnaan. Namun jika diberi kesempatan, aku akan belajar lebih dalam tentang penghasilan seni2 yg sebegini. Dan terfikir juga untuk menukar desk top lamaku kepada yg lebih baru dan berteknologi tinggi. Tidak lah setakat menggunakan perisian celeron lagi =P

Thursday, October 16, 2008

Cicik Nana

Selalunya sukar benar untuk aku membariskan kata. Kerana menulis dan mengarang itu memerlukan daya dan kesungguhan. Menulis itu memerlukan hati dan perasaan. Mengarang itu memerlukan sesuatu yang merangsang. Lalu di petang yang sunyi lagi menyepi itu, aku terkenang2 kembali kisah kecilku. Yang memberi bukan sedikit kengiluan dalam hati. Dan cocoklah jika ia kucoretkan di sini

Aku tidak tahu kenapa, bila menyebut atau membayangkan saja cicik nana, tangis ini bergenang di kelopak mata lantas menyebakkan dada. Mungkin kerana betapa hikmahnya tugas seorang bonda yang mengasuh dan menjaga. Yg membantu mama membesarkan aku sedari telapak kaki sebesar jari. Di saat aku hanya tahu menangis bila perutku minta diisi. Yang bukan juga senang hidupnya, dan bukan juga mudah beliau menghadapinya

Cicik nana itu ibu saudara sebelah mama. Atau kata lain kakak ipar mama. Beliau orang Singapura yang dari dulu lagi telah berhijrah ke Malaysia. Cicik nana atau aku panggil cicik itu telah menjaga aku sedari kecil. Tatkala mama papa sibuk bekerja, beliaulah yg menggantikan tempat mama. Bukanlah jagaannya itu penuh belai kasih dan rayu manja. TIDAK. Segalanya penuh marah dan jerkah2 saja. Dan pernah juga di waktu2 dulu aku seakan membencinya. Membenci tindak tanduknya

Setelah aku dewasa, setelah memahami erti sebenar kasih sayang, aku mula merindui setiap kata2 dan perbuatannya. Wajah garangnya memberi syahdu. Marahnya kuidam dalam kalbu. Kerana setelah pula kufahami makna sebenar sayang dan kasih, aku maklum bahawa memanja2 dan membelai2 itu hanya berlaku dalam Anakku Sazali. Lalu lihatlah pula di masa depannya, apa yg terjadi! Dan setelah kuamati sedalamnya, beliau juga turut garang terhadap anak2nya, dan bukanlah aku saja =P

Belajar tentang manusia membuatkan aku lebih menghargai manusia. Menghargai mereka seadanya. Kerana sekarang ini kutahu pula bahawa marahnya cicik nana itu dulu adalah kerana sayang dan kasihnya beliau kepadaku. Supaya aku benar menjadi aku. Dan marahnya, jeritnya, cubitnya, pukulnya hanyalah ketika aku mahu menginjak usia, dan bukanlah marah dan benci yg membawa hingga dewasa. Dan kerna marah2nya itulah yg telah membantuku kini menjadi insan berjaya (kalaupun tidak sempurna)

Semoga adalah harinya di mana aku dapat menghulurkan bukan sekadar kasih sayang buat cicik nana. Sebagai tanda penghargaan yang terlalu dalam buatnya. Semoga tahulah dia bahawa aku ini benar2 menyayanginya sepenuh jiwa. Menghargai dan berterima kasih atas pengorbanan dan peranannya. Dan aku senantiasa meminta, agar berbahagialah hidupnya, tidak kira di dunia, ataupun di syurga sana. Ditemani riang2 ceria yang tak tergambar di ruang mata....

Semoga diperkenankan doa..

Monday, October 13, 2008

Apa kejadah???

Shah Rukh Khan pun bakal dapat gelaran 'Datuk'? Apa kejadahnya negara malaysia lagi tercinta ini?? Apa kejadahnya diberikan gelaran hebat pada insan yang ini?? Apa kejadahnya sumbangan yang telah beliau lakukan untuk negara kita yang sangat tercinta lagi kaya raya ini?? APA KEJADAHNYA NI?????

Berikan aku kesabaran, Tuhan.. Kesabaran dan ketaatan...

P/s: baca lain kehampaan di sini dan baca penjelasan 'sumbangan' beliau di sini

Friday, October 10, 2008

Siapa pejuang sejati??

Pejuang sejati tidak duduk atas kerusi sambil mengarah itu ini…
Pejuang sejati tidak duduk di menara tinggi sambil memuji2 diri…
Pejuang sejati tidak takut menentang mamanda yang tiada hati budi…
Pejuang sejati tidak tunduk pada ketua yang memerintah sesuka hati..,

Di satu sudut sana, terdapat pejuang2 sejati..
Yang rela berkorban demi pertiwi..
Yang duduk baringnya di lokap dan bukan depan tv..
Yang jiwa hatinya dicurahkan untuk memulih mungkar duniawi..
Yang semoga dengan itu bangunlah hati-hati yg selama ini mati…

Dan itu baru benar pejuang sejati.. yang jiwanya tenang mengaku abdi…

Thursday, October 09, 2008

Monolog anganan




Setiap impian bermula dengan angan-angan.... Semoga anganku jadi kenyataan....

Monday, October 06, 2008

Melawan kesepian

Mampukah kulawan kesepian ini? Kesepian yang hadir tatkala melihat rakan2 gembira bersama keluarga baru mereka. Dengan anak kecil yang bermain di riba. Dengan kelibat suami mahupun isteri yang senantiasa bersama. Alangkah girangnya hidup mereka. Alangkah terisinya jiwa. Sedang aku? Masih juga bagai yang dulu2….

Mampukah kulawan kesepian ini? Kesepian yang hadir tatkala aku memandu sendirian ke destinasi harapan. Keseorangan tak berteman. Sedang insan lain bergembira berduaan, dengan insan yang paling mereka sayang. Namun aku masih sendiri, dengan jiwa yang kosong sepi…

Mampukah kulawan kesepian ini? Kesepian yang hadir tatkala melihat mereka semua riang bergelak tawa, berkongsi riang canda. Berpasang-pasangan dengan teman2 harapan. Berpegang2 janji dengan insan pujaan hati. Sedang aku sendiri masih tercari2 dan masih menanti2. Biarpun tak kutahu, apa dan siapa yang kunanti…

Mampukah aku, Tuhan.... Melawan setiap butir kesepian yang kau berikan. Adakah kesepian ini satu kurniaan? Untuk aku mengenali diriku sendiri. Atau satu dugaan? Agar ku mencari seseorang buat peneman hati... Aku tidak mengerti…

Terpaksalah kulawan kesepian ini. Bila mulut2 manusia bertanya “Kamu bila?”.- yang kufaham benar isi maksudnya. Dan hanya pula mampu kujawab dengan senyum dan lirik mata. Dengan keluhan dan lafaz “Entahlah….”

Dan di detik itu timbul rasa sesal. Sesal kerana tidak mampu membuka hatiku yang tertutup rapat. Kesal kerana mahu manusia menerima aku seadanya, sedang aku sendiri tidak mampu menerima mereka sebagaimana mereka

Maka terpaksalah kulawan kesepian ini, tidak kira untuk berapa abad pun lagi. Sampai ketikanya hati ini benar2 terisi......

Nikmatnya hari raya


Takbir bergema, bersahutan. Ummat Islam tersenyum bersalaman. Melupakan marah dan dendam yang tersimpan. Kudusnya hari raya dengan deraian air mata. Tanda luputnya duka dan tanda berputiknya cinta. Hari yang manusia kembali kepada fitrah, kembali kepada kasih tuhanNya

Cuti yang seminggu itu aku habiskan sebaik mungkin. Isnin nya dengan meneman mama ke pasar membeli barangan buat sambutan lebaran. Daun kelapa untuk dianyam pun sudah mahal. Untuk 50 helai, harganya dalam RM6. Disitu terasa bahagianya andai menetap di desa, yang mana nyiurnya boleh dipetik saja di sekeliling rumah

Mama membeli ayam untuk dimasak ayam masak merah. Membeli kerang dan kelapa, santan dan sayuran untuk dimasak rendang kerang dan kuah lodeh. Aku mengikut saja, apa yang mama suka selalunya aku juga turut suka

Sesampai di rumah, daun kelapa kuanyamkan jadi ketupat. Dapatlah dalam seratus lebih. Hari selasa, sehari sebelum raya, aku basuh beras dan masukkan dalam sarung. 30 aku masukkan beras pulut untuk direbus dalam santan. Dan selebihnya untuk direbus menjadi ketupat nasi. Mama siap2 buat kek, untuk disedekah pada jiran tetangga dan saudara mara

Pagi raya, setelah berjemaah di masjid, kami pulang ke rumah melangsungkan tradisi bermaafan di pagi lebaran. Saat salam dihulur, kukucup tangan papa, kulafazkan kata ampun dan maaf atas segala kekurangan dalam menjalankan tangunggjawab sebagai anak, hatiku sebak. Dan pabila mengucup pipi mama, kutahan air mata dari tumpah. Betapa besarnya jasa kedua mereka itu, entahkan mampu ku membalasanya

Seusai bermaafan, kami ke rumah makcik, bertemu satu2nya nenek ku yang masih hidup. Nenekku yang berumur 89 tahun itu sudah uzur. Hanya terbaring dan tidak mampu bergerak lagi. Namun masih tersenyum menyambut anak2 dan cucu serta cicitnya. Bahagianya hari raya bila dapat bersua muka dengan saudara tak kira yang jauh mahupun yang dekat. Menjernihkan yang keruh, memutihkan yang hitam berkarat

Hari keduanya kami ke Melaka. Menziarahi makcik yang menetap di sana. Pulangng dari melaka, menyinggah ke rumah makcik yang lain pula. Dan sempat kuajak keluarga ke rumah adik angkatku. Gembiranya bukan kepalang menerima aku dan keluarga sebagai tetamu

Raya ketiga, aku memandu sendirian ke Perak darul ridzuan. Niat menziarahi ibu angkatku di Parit. Alang2 berjalan, aku menyinggah rumah teman di Simpang Empat Hutan Melintang, rumah ustazah dan nenek angkat di Kampung Gajah, dan terus menuju ke Parit sana. Selepas maghrib, bertolak balik ke rumah. Bahagianya mereka menyambut aku yang jauh dagang. Rasa terharu pabila pipiku dikucup bonda2 tersayang

Raya keempat, melepaskan pula hajat kawan2 untuk beraya bersama mereka. Kami berkumpul sedari pagi, dan berkonvoy menziarahi teman2 lama. Tiap2 tahun, tidak pernah tidak kami beraya bersama2. Kali ini dalam 5/6 kereta. Merapatkan ukhuwwah yang telah lama terbina. Kelangsungan hidup membuat manusia berubah. Harap2nya kearah yang lebih cerah

Nikmatnya berhari raya, bukan kerana ketupat rendangnya, bukan kerana baju yang berbagai warna, tapi kerana dalam hari itu sajalah kita seakan melupakan cerita lama. Memaaf dan mengampunkan dengan setulus-tulus rasa. Menyambut huluran salam sesiapa saja, dan menggembirakan semua tak kira miskin atau kaya. Hari yang kalaulah ukhuwwah itu ibarat mawar bebunga, pasti sudah lama bertaburan meliputi tanah. Mekar mengharum dan merah warna

p/s: selamat kembali bekerja!

Thursday, September 25, 2008

Thursday, September 18, 2008

Budaya mulia


Daun kelapa yang dua helai itu aku lilit di jejari. Lalu aku anyamkan satu2, penuh seni dan lenggok yang tersendiri. Setiap lingkaran itu bersamaan dengan tautan hati pada budaya dan agama. Biar keduanya bertaut rapat lalu bersemai sampai bila2. Lalu keronsong berangka itu disempurnakan, dan menjadi simbol budaya yang diperturunkan. Dari mana asalnya, sejak bila ia, tidak kutahu pula

Jauh di sudut hati, dalam kekesalan timbul juga rasa bangga. Aku kesal kerana ilmu yang semacam itu itu jarang diturunkan kepada anak2 muda. Maka satu hari nanti pasti akan dilupakan saja. Namun terselit rasa bangga kerana aku boleh melakukannya tatkala ramai yang hanya mampu tengok saja. Alangkah ruginya mereka!

Ketupat itu hanyalah adat dan budaya. Tidaklah sesuatu yang wajib bila tibanya hari raya. Terpulang pada tuan empunya diri, dan di negeri atau daerah mana dia berada. Namun aku menghargainya kerana faktor BUDAYA yang ada padanya. Budaya yang berharga. Yang boleh pula hilang jika tidak dijaga dan diturunkan pada generasi muda

Lazimnya, untuk aku sendiri, kami sekeluarga menganyam ketupat bersama2, memasaknya bersama2 dan menyedekahkannya juga. Bukan setakat dimakan untuk diri sendiri saja. Jadi bagi aku, itulah budaya sebenar yang harus dijaga. Budaya yang mengajar kita berkongsi rasa suka dan duka, dengan yang miskin juga yang kaya. Lebih2 lagi di lebaran mulia!

Thursday, September 11, 2008

Kisah lama iii

Ramadhan, 1991

Malam lepas maghrib itu aku keluar awal. Lepas je mama bagi salam, aku cium tangan mama lalu mintak kebenaran keluar pergi mengaji. Aku sangkut beg kain di bahu. Beg itu berisi muqaddam dan rehal kayu. Rehal itu papa yang tukang sendiri. Dan beg kain itu juga dijahit mama dari kain2 perca. Aku jalan laju, turun tangga lalu sarung selipar. Beberapa tapak melangkah, aku dengar suara mama melaung. “Lepas ngaji terus balik!”. Aku jerit “Yelah..”

Dalam rumah wak tok itu aku sudah seperti panas punggung. Tak sabar mahu menghabiskan giliran mengaji sebab nak main bunga api dengan Atai dan Midun. Selesai saja “sadaqallahul adzim”, bagai meloncat aku turun dari rumah panjang wan tok. Wak tok melibas rotannya tapi sempat aku elak. “Tak menyempat-nyempat bebudak nih. Nak main mercun la tu!”. Aku menyeringai buat tak tau

Dan malam itu seperti malam2 yang sebelumnya di bulan puasa; Atai, Midun, Epol dan beberapa budak lain sudah mula bermain. Aku nampak Midun dengan baju melayu birunya membakar sumbu mercun gasing, lalu berlari mencicit ke tepi. Berputar mercun itu menghasilkan warna dan bunyi yang dengung nyaring. Lalu disambut dengan sorak budak2 lain. Aku cebik. Sayang aku perempuan. Kalau lelaki, dah lama aku lawan mercun Midun. Selalunya mereka tak bagi budak perempuan main mercun. Habis2 pun dapat main bunga api kaler merah. Ok lagi lah dari bunga api kucing yang jual dalam paket 30sen

Aku sangkut beg ngaji dan mula mencucuh bunga api. Seronok benar waktu itu. Mak Atai iaitu Cik Melah mempunyai kedai runcit yang ada menjual bunga api. Jadi kadang2, ada bunga api itu aku beli sendiri. Dan selalu jugak Atai yang bagi. Bising malam itu dengan dum dam dum dam bunyi mercun. Asap memenuhi kawasan tempat kami bermain

Sambil bermain aku jenguk2 jugak kiri dan kanan, takut tiba2 mama datang piat telinga. Rasanya malam itu malam paling lama aku main. Selalunya aku singgah kejap saja. Tapi malam tu mau sekotak bunga api free aku bedal. Siap dapat conteng2 atas jalanraya pakai bunga api macam orang pateri besi

Tengah aku duduk mencangkung atas jalan raya, aku terasa macam pipiku panas dan perit. Aku meloncat bangun. Rupanya bunga api Atai tertucuh kat pipi aku. Atai sendiri tak perasan sebab leka pegang bunga api kiri kanan. Bila dah syok tengok yang tangan kanan, yang tangan kiri tak sedar menyembur kat pipi orang. Mula2 rasa pedih tapi aku abaikan. Kalau aku menangis kang lagi lah diorang gelakkan

Aku tak pakai jam. Tapi dapat mengagak yang dah terlalu lama aku bermain dengan mereka. Lalu aku mintak diri dan jalan balik rumah. Kawasan bermain itu kira2 dua blok dari rumah panjang aku. Sampai rumah aku nampak mama tengah layan adik kat ruang tamu. Aku jalan selamba masuk bilik, sangkut beg ngaji dan buat2 macam takde pape berlaku

“Main bunga api ye?” jerit mama. Laju aku jawap “Mana ada!”.
“Ni bau belerang ni. Kalau tak main, takkan bau kuat macamni.” Aku jawab “Kan lalu kat tempat orang main tu, berbau la baju ni suma..”

Pedih di pipi makin terasa. Aku jenguk muka dalam cermin. Lalu ternampak bagai ada titik2 air melekat kat pipi. Dan bila saja aku cuba mengelapnya, kulit yang menggelembung macam titisan air itu terkopek dan memberikan rasa perit yang bukan kepalang. Rupa2nya, bunga api yang tercucuh tadi telah melecuhkan pipiku yang comel gebu. Air mataku bergenangan menahan sakit. Tapi aku diam tak beritahu mama. Takut mama marah

Aku pergi ke dapur, basahkan hujung baju t-shirt dengan air lalu mengelap kesan lecuh itu. Macamlah lecuh itu boleh hilang kalau dilap dengan air. Bertambah sakit lagi kurasa. Aku mengadoi kecil. “Buat apa tu?” jerkah mama menjenguk. Aku tunduk kepala, takut tak tahu nak cerita. Mama datang lalu tengok muka aku dari dekat. “Ni melecur ni..”

Dan bila mama pegang tangan aku dan bawa ke bilik. Mama sapukan ubat lecur yang kaler kuning, baru lah air mataku tumpah. Bukan sebab sakit, tapi terharu sebab mama tak marah. Tak henti2 keluar dari mulut mama:

“Kan mama dah cakap... Lepas ngaji balik.”
“Ha tu lah.. nak tipu mama lagi kan. Tuhan tu maha besar. Mama tak tahu, tuhan tau..”
“Mama bukan nak larang kakak main, tapi mesti ada orang jaga.”
“Orang degil macamni laa..”
“Hmmph, dah sopek dah pipi lawa. Ha tu laa...”
Dan bla bla bla yang tak sudah sudah

Lalu bila papa balik dari mesjid, mama mengadu. Papa senyum dan perli, “Eh, tu sikit je tu, kak. Esok boleh main lagi..” Sepanjang bulan puasa itu aku jenuh menjawab pertanyaan orang yang tak jemu2 bertanya “Kenapa dengan pipi tuu??”, tak pun, “Laaah kenapa tuuu?”

Tiap2 hari mama sapu losyen baby Johnson supaya parut itu lekas hilang. Namun begitu, walaupun dengan baju kurung kaler pink yang cerah, aku tetap berhari raya dengan pipi yang lecuh berparut luka. Sayang aku tak simpan gambar, kalau tak boleh tayangkan pada dunia! =P

Baca kisah lama i dan kisah lama ii

Tuesday, September 02, 2008

Dan kenangan itu membunuhku!


Madah itu beralun-alun
Ditiup angin semalam
Lalu kenangan itu hadir
Bagai bayu yang menitipkan rindu, shahdu!

Lantas kembara meliputi bumi
Terokai denai-denai janji
Bertemu lapangan kelabu,
Dan kenangan itu membunuhku!
Warkah itu berbayang-bayang
Disinar mentari kelmarin
Lalu mimpi itu pun hadir
Bagai sumbu yang memancarkan kasih, rintih!

Lantas berterbangan ke awan
Menyinggah taman-taman harapan
Bertemu impian palsu,
Dan kenangan itu membunuhku!
Lalu datang kenangan dan mimpi2 itu
Tanpa rajuk dan jemu
Membasahkan atma yang kekontangan
Digersang citra kasih sayang


…namun yang pahit tetap berkumpul jadi satu
Jadi hempedu,
Lalu tetap membunuhku!


ww: terlalu sarat jiwa mengendong kata2, hingga berbekas mengalirkan tinta, tak sedar mengungkapkan madah...