Monday, March 17, 2008

Kisah lama ii

Aku duduk mendagu depan pintu. Sekali sekala aku pandang jam di tangan kiri. Nombor dijitnya tertulis angka 6.35am. Di luar keadaannya gelap gelita. Yang aku tahu ketika itu hari masih subuh. Namun aku sudah lama siap menunggu dengan seluar pendek kotak2 dan baju t-shirt. Rambut yang pendek ala tomboy waktu itu aku sikat rapi. Siap pakai minyak rambut. Sebiji macam Clark Kent – hero superman pujaan hati

Hari ini mula cuti sekolah. Selalu bila cuti sekolah, aku punya banyak masa bermain2 di rumah. Mama dan papa pergi kerja. Aku dan adik tinggal di rumah makcik. Subuh2 lagi mama akan hantar aku dan pergi kerja naik kereta dengan papa. Aku suka cuti sekolah. Sebab aku boleh tolong Cik Nab meniaga nasi lemaknya

Dari jauh aku nampak kelibat Cik Nab sorong ‘kedai begerak’nya. Aku turun dari tangga dan lari ke arah Cik Nab. Beliau senyum tengok aku. Kami tolak kedai itu sama2. Sekali sekala terdengar bunyi kiuk2 kecil bila saja roda kedai itu berlaga dengan batu jalan yang tidak rata. Kedai bergerak itu sebenarnya hanyalah binaan2 papan seperti meja yang diletakkan roda dibawahnya. Ada juga payung besar untuk menahan dari terik matahari dan hujan. Kedai itu pula akan dosorongnya dari rumah hingga ke hujung jalan

Ramai orang suka beli nasi lemak di kedai Cik Nab. Nasi lemaknya guna daun pisang dan sentiasa bau wangi. Yang paling sedap adalah sambal kerangnya. Cik Nab pun ada jual kuih muih seperti karipap, cucur badak, donat, lepat pisang dan banyak lagi. Cik Nab tidak lokek untuk memberi aku nasi lemak dan kuih bila kedainya mahu ditutup nanti. Dan Cik Nab juga bagi duit belanja. Dan itulah yang paling aku suka. Kadang2 dapat 50sen, kadang2 dapat seringgit

Selalunya waktu meniaga, aku cuma tolong masukkan nasi lemak dan kuih dalam plastik dan bercakap2 dengan pelanggan yang datang. Cik Nab kata aku masih kecik, belum pandai kira duit. Pelanggan Cik Nab semua orang dewasa yang bekerja. Pagi2 lagi mereka datang dan beli sarapan di situ. Cik Nab baik dan pandai layan pelanggan. Aku suka tengok sifat Cik Nab yang jarang berkira dan selalu melebih2kan

Anak2 Cik Nab semua sudah dewasa. Tiada seorangpun yang menolongnya berniaga kerana mereka semua dah berkerja. Kalau hari sekolah, Cik Nab akan meniaga sorang2. Dan aku tahu Cik Nab suka dan gembira bila cuti sekolah menjelang. Kerana waktu itu beliau akan dapat seorang teman kecil yang menghiburkan

Aku masih ingat, aku tolong Cik Nab hanya sampai darjah tiga. Lepas darjah 3, perumahan ‘rumah panjang’ di kampung Pantai Dalam itu ditukarkan ke rumah kondominium rakyat tidak jauh dari situ. Semua penduduk dapat satu unit dari penempatan baru yang dibina di kawasan tersebut. Mama dan papa pun dapat sebuah rumah di blok no 5

Selepas pindah, Cik Nab tidak meniaga lagi. Duduk di kondo yang setinggi 21 tingkat dan Cik nab mendapat unit di tingkat 19, bagaimanakah mahu disorong kedai bergerak itu menaiki lif? Untuk ditinggalkan saja di bawah, itu juga tidak munasabah. Peniaga kecil macam Cik Nab pun tidak mendapat kedai penempatan baru. Sedikit sebanyak, perpindahan tersebut telah mengurangkan pendapatan Cik Nab. Dan akhirnya, Cik Nab tidak berniaga lagi

Bila aku pindah ke Klang, aku jarang pulang ke Pantai Dalam. Sekali sekala bila pergi melawat makcik, aku akan singgah ke rumah Cik Nab. Dan Cik Nab juga sudah mula sakit2 dimakan hari tuanya. Cik Nab pernah kata padaku bahawa beliau selalu bekerja dan bergerak. Jadi bila tiada kerja dan duduk makan saja, penyakitnya pun datang menjengah. Sekarang, makan pakai Cik Nab ditanggung anak2nya. Aku pun tak tahu samada Cik Nab suka atau tak suka dilayan macam raja

Satu hari pulang dari sekolah, mama beritahu bahawa Cik Nab telah meninggal dunia. Aku tidak dapat menahan mata lalu pergi meminggir diri. Aku jarang menangis. Aku malu untuk menangis. Bila datuk dan nenek meninggal pun aku tak menangis. Namun pemergian Cik Nab memberi kelukaan yang amat mendalam. Aku kehilangan seorang teman berniaga yang amat2 kusayang. Di situ aku sedar bahawa Tuhan tentu saja lebih maklum dan tahu akan perjalanan kehidupan seorang insan

Kini perumahan di Pantai Dalam itu telah berubah wajah. Tiada lagi deretan rumah panjang dan kedai2 perniaggan di kaki lima jalan. Kesemuanya telah ditukarkan dengan rumah2 flet dan kondominium yang merimaskan pandangan. Tiada lagi padang permainan, tempat di mana aku belajar berbasikal, bermain rounders, susun selipar dan ‘chap-ping’ dengan kawan2. Segala-galanya telah dibangunkan

Kedai bergerak Cik Nab juga telah lama tiada seiring dengan pemergiannya. Cik Nab mungkin tidak kaya raya, tetapi beliau pemurah. Cik Nab mungkin tidak berharta, tapi Cik Nab berjaya menunjukkan bahawa rezeki tuhan sentiasa dekat dengan hambaNya. Dari Cik Nab aku belajar agar tidak terlalu berkira. Dari Cik Nab aku belajar mengenal nilaian wang dan harta. Dan dari beliau aku belajar untuk menjadi seorang perempuan berhati mulia, yang hingga kini masih belajar untuk memuliakan hatinya...

1 comment:

tengkujuh said...

best kan dapat tolong cik nap setiap pagi. yang paling best bile dapat kuih dan nasi lemak cik nap yang sedap tu free...
sampai la ni "nasik lemak cik nap" masih tiada siapa yang dapat tandingi.
gebu dan lembut kuih donut cik nap pun wewet tak pernah lupe dan masih mencari2 yang sama, tapi selalu je hampa.
semoga roh dan jasad cik nap bersemadi dengan aman dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
amin...