Friday, November 16, 2007

Kisah lama

November, 1990

Aku bangun awal. Mandi, pakai baju kurung biru kotak2, pakai stoking putih panjang dan sikat rambut perlahan. Aku tepuk bedak kat muka, tersenyum senang melihat wajah. Hari ini hari terakhir aku bersekolah tadika. Mama kata, nanti tahun depan aku boleh sekolah betul. Pakai baju putih, skirt biru yang ada talipinggang dan pakai kasut putih. Aku senyum lagi, melihat riangnya diri sendiri

Hari ini graduasi di sekolah tadika ku. Hari ini aku akan jadi pengacara majlis dengan seorang lagi budak lelaki-Khairul Nizam. Cikgu gandingkan kami sebab cikgu kata dalam ramai2, kami berdua yang paling petah dan lancar membaca. Aku ingat lagi, dari umur 4 tahun aku sudah ke sekolah tadika. Aku masuk setahun lebih awal sebab aku nangis berguling2 untuk ikut sama sepupu2ku pergi sekolah. Jadi mama merayu pada ustazah di sekolah tadika agama. Mama tak dapat masukkan aku ke tadika KEMAS. Sebab KEMAS hanya menerima pelajar lima dan enam tahun.

Aku boleh membaca dari umur 4 tahun. Aku belajar ABC, 123, mewarna, menulis dan membaca. Malam2 lepas maghrib aku jalan kaki dengan adik pergi ngaji di rumah wan tok yang tidak jauh dari rumah. Wan tok garang, wan tok selalu pegang rotan. Siapa dapat ngaji tanpa salah, tanpa gagap, wan tok bagi balik dulu. Aku selalu jadi budak yang no1. Aku mau balik cepat sebab nak main dengan Atai, dengan Midun dan dengan Epol. Kawan2 aku semua lelaki. Budak perempuan tak suka main dengan aku. Dan aku pun tak suka main dengan diorang. Aku pelik kenapa budak perempuan tak suka main kejar2, main baling selipar atau main galah panjang. Budak perempuan macam Seri, Kak Eti, Kak Tuti lagi suka main masak2 - Petik2 daun lepastu pura2 masak macam kat dapur. Huh, tak mencabar lansung. Aku pasti tarik muka kalau diorang ajak aku main masak2 dan lama2 mereka tidak ajak aku main lagi.

Aku diri depan pentas, tersenyum manis berganding dengan Khairul Nizam, budak lelaki paling ‘terel’ dalam sekolah. Khairul pakai baju melayu biru, sedondon dengan aku. Aku biasa saja dengan Khairul sebab dia tak lawa. Khairul hitam manis dan suka pakai minyak rambut dan sikat kemas2 rambutnya. Sekali pandang macam Clark Kent dalam cerita Superman – tapi versi gelap! Waktu tadika, aku lagi suka pada Halim dan Hafiz. Mereka berdua kembar dan kedua2nya suka bagi macam2 pada aku. Kadang2 mereka berebut untuk bagi siapa yang dulu.

Aku paling suka gula2 panjang – warna-warni belang-belang yang ada diikat cincin di hujungnya. Cincin itu pula ada berbagai2 warna permata. Kadang2 aku dpat warna hijau, Hafiz kasi. Nanti esok aku dapat warna merah, dari Halim pula. Aku suka Halim dan Hafiz sebab kulit mereka cerah dan lawa. Kadang2 aku bangga, sebab Halim dan Hafiz suka dekat aku sorang saja walaupun aku tak lah lawa mana. Tapi mungkin sebab aku bijak, jadi ramai budak lelaki suka. Aku rasalah...

Aku baca teks yang cikgu tulis dengan lancar. Sewaktu majlis penyampaian hadiah, cikgu ambil alih majlis dan mengumumkan anugerah. Aku dapat 3 hadiah, Tulisan Terbaik, Bacaan Terbaik dan Ko-Kurikulam terbaik. Waktu cikgu mahu umumkan anugerah Pelajar Terbaik, aku jadi gugup dan gusar. Hati aku berdebar2 dan rasa macam nak tertanggal dari tangkainya.

Bila tiba nama dipanggil, cikgu sebut nama Umi Kalthum. Mata aku terbeliak besar?? Kenapa bukan aku? Aku cebik sambil tahan mata. Aku tengok Umi senyum, jalan ketengah dan ambik piala tinggi lebih sedepa. Semua orang tepuk tangan kuat2 tapi hatiku sakit tak terubat. Kenapa Umi yang dapat, soalan itu bermain2 ligat

Aku tahu, Pelajar Terbaik mestilah dipilih seorang Lelaki dan seorang Perempuan. Kalau yang perempuan Umi dah dapat, tak mungkin anugerah itu akan jadi milikku lagi. Selepas ini pasti cikgu panggil nama Khairul. Aku senyum pandang Khairul di sebelah. Dia juga membuat muka ‘tak sangka’. Selalunya kami berdua yang akan julang trofi sama2. Kalau aku dapat juara perempuan, Khairul lah akan jadi pemenang lelakinya. Tapi pagi ini lain benar, segalanya bagai tak disangka. Khairul diam pandang aku, dan waktu itu aku macam mahu menangis merayu. Tapi aku diam saja sambil ketawa. Kecik2 lagi aku dah belajar erti sengsara dan pura2.

Sekarang tiba masa untuk cikgu umumkan nama Pelajar Terbaik Keseluruhan. Aku tahan nafas, tak mahu dengar. Cikgu umumkan nama itu, dan nama itu bukan nama Khairul…... Nama itu nama AKU. Tidak syak lagi, memang nama aku. Aku diam membeliakkan mata bagai tak percaya. Dari sisi, cikgu Saba datang dan memimpin aku ke tengah. Fikiranku bagai melayang. Aku macam terbang di awangan. Aku mampir ke tengah dan bersalam dengan seorang lelaki yang ada misai tebal. Beliau pakai baju putih dan songkok hitam. Sebiji macam YB. Beliau beri aku piala yang tingginya lebih sedepa. Piala itu aku pegang sambil melihat kedepan pentas. Ramai orang bertepuk tangan dan bunyi itu berdengung2 sampai sekarang

Dari depan aku lihat muka Khairul masam. Khairul pergi dekat ibunya dan menangis di sana. Mungkin Khairul tak sangka anugerah itu bukan miliknya. Aku tengok Umi tak dapat anugerah lain pun selain pelajar terbaik. ‘Boleh ke?’ desirku dalam hati. Aku dapat tiga dan Khairul pun dapat tiga. Halim dan Hafiz lansung tak dapat apa-apa. Jadi, bukankah sepatutnya anugerah pelajar terbaik itu milik kami berdua?? Aku bingung dan canggung. Aku dapatkan mama dengan rasa tak percaya. Mama senyum saja.

Aku tanya macam2 pada mama. Aku tanya kenapa aku yang dapat piala tersebut. Aku tanya dan tanya dan tanya sampai mama bosan dan pergi bertanya pada cikgu Saba. Aku nampak cikgu cakap perlahan-perlahan dengan mama. Aku nampak mama angguk2 saja sambil senyum senyum dan cakap ‘biasalah..’ ‘biasalah..’

Bila aku dengan mama, aku tanya lagi kenapa aku yang dapat anugerah itu. Mama kata memang sepatutnya anugerah itu anugerah aku. Mama kata nasib Umi baik, yang bermisai tebal bagi piala tinggi sedepa itu tadi Umi punya pakcik.

Jadi?? Aku bertanya tak paham. Mama diam saja, walaupun aku berasak2 bertanya. Jadi kenepa dengan pakcik Umi tu? Pakcik Umi yang macam YB tu tak suka budak lelakikah? Atau pakcik Umi itu mahu merasa menyampaikan hadiah pada anak saudaranya saja?? Aku tanya dan tanya dan tanya tanpa mama berikan jawapannya. Mama hanya jawab.. ‘Dah besar nanti sayang fahamlah…’

Itu kali terakhir aku tengok wajah Khairul. Kali terakhir aku tengok wajah cikgu dan kali terakhir aku tengok wajah Halim Hafiz. Lepas itu aku masuk sekolah betul, sebuah sekolah perempuan di Kuala Lumpur. Sejak itu tiada lagi nama Khairul dan nama Halim Hafiz dalam ingatan. Segalanya kini hanya tinggal bayang2 semalam

Kini, setelah lebih 17 tahun berlalu, aku terlalu faham akan jawapan mama yang dulu. Aku terlalu faham kenapa Umi yang dapat anugerah itu. Dan aku terlalu faham akan mengapa itu berlaku. Dan kefahamanku itu buat aku tertunduk lesu.. Bagaimana kah cara untuk kita berlaku seadilnya? Kerana adil dan jujur itu benar2 payah terlaksana. Yang lebih mudah adalah lakonan dan bermuka2.. Kasihan Khairul.... Aku tahu, Khairul jadi mangsa korban situasi. Korban erti ‘menteri’ dan perihal ‘mahu ambil hati’….. Kalaulah waktu itu aku mengerti........

2 comments:

hartini omar said...

dulu kecik2 suka yang hensem lawa
sekarang lebih menghargai insan yg lawa minda dan jiwa

Anonymous said...

itulah pentas kehidupan Tini... kita adalah pelakonnya... cuma skrip kadang-kadang berubah mengikut masa & situasi..
Ada ketika kita terpaksa juga berlakon demi menjaga hati...