Monday, September 10, 2007

Putih suci

blog ini kutukar dahulu warna dan rupanya. kupilih putih sempena ramadhan yang bakal tiba. semoga jua hatiku seputih blog yang berlainan parasnya... selamat berpuasa buat kalian semua...

ww: tengah obses dengan ACDSee.. =)

Yang kata bertemu mata






ralat: ejaan sebenar 'mengaharp' dalam sajak RAMADHAN di atas adalah 'mengharap'.. harap maaf. klik pada image untuk paparan bersaiz asal


ww: sajak2ku dalam ACDSee edited pictures.. ada keindahan dan kepuasan yang sebenar bila ketekunan bertemu kecantikan.... tahniah buatku..


Wednesday, September 05, 2007

Mengapa, Masyit....???

Bangunan JAKIM yang merah tersergam itu aku lihat dari jauh. Dari tingkap pejabatku yang dipenuhi titis hujan yang mendinginkan. Laju kudakap tubuh, dan perlahan keluar nada keluhan. Ah hati.... apa lagi yang dihajati???

Semalam kuterima khabar berita, Masyit tidak menghadiri temuduga kaunselor yang diterimanya. Mengapa Masyit? Puas sudahkah dengan kerjamu yang tak sampai pun dua bulan kau amalkan? Lumayan benarkah gajinya sampai cita2mu kau lupakan? Atau telah bertemukah orang yang dicinta di alam pejabat yang menghindarkanmu untuk terus mengejar cita dan impian? Ah hati... telah nyata yang empunya diri sudah memutuskan, lalu adakah lagi jalan?? Aku diam termenung memandang ke depan

Masyit itu rakan2 ‘kapak’ yang sering sembang lepak, tawa gelak. Rakan 'sekuku' yang boleh bergabung ilmu bersatu padu. Beliau punya cita jitu untuk membantu manusia. Menyelesaikan masalah mereka selagi terdaya. Dan dalam diam aku akui keutuhan cita-citanya. Aku kagumi bakat dan anugerahnya. Aku soroti niatnya dengan doa dan taqwa. Agar satu hari nanti lahirlah Masyit itu sebagai kaunselor ternama. Kerana aku sendiri tiada bakat mendengar, melainkan berbicara sahaja

Namun berita semalam buat hati jadi pilu. Bagai keputusan itu dibuat aku jua. Terasa pedih benar hati ini entah kenapa. Seakan bergenang air jernih di kelopak mata. Kadang yang terjadi selalunya bukan seperti yang kita impi. Namun kita digalak barusaha dan terus-terusan mencuba. Jatuh dan bangun lagi. Jatuh dan bangun lagi. Selagi belum mati...

Di manakah "self-actualization" yang kita belajar dulu, Masyit? Tidakkah hirarchi Maslow itu kita ikuti selagi terdaya. Terus menuju ke puncak cita2. Mungkin tertutup sudah hatimu membantu manusia. Jadi apakah relevennya berbuang masa dan tenaga di hospital KL sebagai sukarela? Berpanas berhujan berpenat lelah? ...... Kaunselor itu lah pintu masuknya. Sayang benar, Masyit.. cita2 mu aku sanjung. Bukan kerana gaji menggunung, bukan kerana nama mengharum, melainkan kehendak hati dan jiwa. Yang sering dahagakan titisan redha Allah.

Membantu manusia pasti buat kita matang, berkembang. Tidak hanya ketemu yang cocok2 saja. Kadang2 yang berbekam dan bersopak seperti raksasa itu yang selalu bawa ingatan pada nafsu dan minda. Yang punya masalah jiwa dan keluarga itu yang bakal pula memberi kita ilmu maha berguna. Sayang, tak sampai ke situ pemerhatianmu. Apa agaknya yang kau cari dalam hidupmu...

Aku termenung lagi. Memikirkan nasib sendiri. Jangan diri ibarat layang2 terputus tali. Mengikut saja kehendak situasi. Tidak... aku bukan begitu. Selagi tak dapat yang dihajati, bertongkat lengan aku turuti. Yang berat aku pikul, yang hangat aku rangkul, alang2 menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang2 mandi, biar kebasahan.

Mungkin aku lain. Ibarat pesan seorang guru padaku:

“Saya berbangga dengan nilai2 mu. Nilai itu yang membezakan kehidupan bekerjaya dan berkerja. Dan dirimu termasuk dalam kategori pertama...”

~Assoc Prof. Dr. Shukran Abdul Rahman~

Untukmu Masyit...., Aku akan berdoa tiada henti. Biar semua kita jadi apa yang kita impi. Biar terbuka luluh hati, biar tersebar santun budi, biar tertanam dalam diri, mekar subur di dalam Firdausi.........

Monday, September 03, 2007

Merdeka di Melaka

Alor Gajah, Melaka

Banglo A-Famosa resort
porch banglo
selesa beristirehat
gerai cencalok

Perjalanan ke Alor Gajah Melaka itu tidaklah terlalu lama dari Putrajaya. Leka bersembang dengan mama, kereta yang dipandu papa berhenti menandakan yang kami telah selamat tiba ke destinasi. Rumah banglo di A-Famosa Resort yang kami sewa itu kecil dari luar, namun luas di dalamnya. Di belakangnya terdapat sebuah kolam renang yang berukuran sederhana. Melihat saja kolam yang terbentang, adik2 sudah mula menjerit riang. Tidak sabar lagi mereka untuk terjun di kolam. Ah anak2 kecil, sentiasa riang dengan dunia mereka..

Kami ke Melaka untuk 3 hari 3 malam. Dengan tiga keluarga membawa 3 kereta, percutian sempena merdeka ini memberikan semangat baru untuk aku lebih menghargai sanak saudara dan ayahbonda tercinta. Tiada yang lebih menyeronokkan dari bercuti dan bersenang2 bersama keluarga. Dengan makcik yang sering berlawak jenaka, mama yang menyediakan makanan tak kira masa, papa yang tidak lokek berbelanja, abang Khalid dan Isteri yang suka merayau di Bandar Melaka, adik2 dan anak2 saudara yang riuh gembira, percutian itu meningkatkan rasa syukur yang tidak terhingga. Serasa terngiang2 kata papa, “rumah adalah tempat di mana seluruh keluarga boleh berkumpul bersama. Rezeki baru tidak akan datang selagi rezeki lama yang disimpan tidak kita belanja atau sedekahkan…”

Wednesday, August 29, 2007

Mana hilangnya agama?

perpustakaan JPA

Lobi JPA (C1)

Surah Al-Anfal itu baru saja kutamatkan tadi tatkala menunggu kedatangan isya’. Apabila selesai membaca, naskah tertulis bait2 kalam Allah itu aku kucup perlahan. Sambil itu aku terkenangkan dunia dan negara yang telah amat lupa pada gemilangnya Islam dan Iman. Aku sedar, aku ini bukanlah ‘alim’ seperti kebanyakan orang - berjubah, berpurdah, bertudung litup panjang. Tidak.. aku biasa sahaja. Kadang2 aku mengenakan seluar, namun ia besar dan longgar, dan selalu pula berbaju T, namun ia labuh dan lebar. Tiada jubah, tiada purdah. Akan tetapi setakat ini Alhamdulillah, maruahku aku jaga sempurna

Aku terkenangkan soalan2 peperiksaan PTD dan Skim 14 jawatan yang aku hadiri tempoh hari. Tiada satu pun soalan yang bertanyakan “Berapakah rukun Islam?”, “Catatkan rukun Iman” atau paling tidakpun “Anda percaya atau tidak pada Tuhan?”..... Tidak ada. Yang ada cuma soalan2 berunsur dunia, hakikat dunia, ilmu dunia, situasi dunia dan sejarah dunia semata-mata. Noktah!

Adakalanya aku sedih sendiri. Kadang2 kita mencari punca masalah tanpa menyedari bahawa puncanya itu datang dari pilihan kita sendiri. Aku tertanya2, bagaimanakah sesebuah kumpulan kerja yang soleh dan musleh itu mahu dibentuk jika sekiranya di awal2 pemilihan lagi yang iman dan taqwa itu tidak kita taruhkan, tidak kita juangkan.

Panel tidak bertanya, “Adakah cukup solat fardhu anda?”. Tidak bertanya, “Selalukah anda menziarah ibu bapa dan ahli keluarga?”… Tidak bertanya, “Tahukah anda tentang amanah yang ditanggung sebagai pekerja?”.. Tidak bertanya, “Bolehkah anda bekerja dengan seadil-adilnya”.. Tidak.. bukan unsur2 kerohanian itu yang ditanya panel pemilihan. Walhal yang selalu menjaga solatnya itukan insan yang dijaga Allah dari melakukan maksiat dan dosa. Yang selalu menziarah ibu bapa itukan tanda2 anak bangsa yang tidak mudah lupa. Yang menjaga amanah dan tanggungjawab itukan pekerja yang benar2 berwibawa. Dan pekerja yang adil itu kan yang bakal membawa organisasi ke arah sejahtera...

Sayang, kita silap di awal2 langkah. Bertatih pun kita telah tergelincir songsang, maka bila berlari kita terjatuh lalu tumbang. Bagi kita kini, segala tentang Islam itu tidak mampu menjadi kayu ukur untuk menghasilkan pekerja dan hamba kerajaan yang gemilang. Apabila segala yang rohani itu kita buang, maka disitulah munculnya segala punca malang dan kecundang

Di zaman kita ini manusia lebih tertumpu pada kearifan mentaliti dan fahaman duniawi semata. Anda akan dikira manusia tebijak seandainya anda menghafal semua nama2 pemerintah di dunia. Anda akan dikira terbaik dalam segalanya sekiranya anda mampu bertutur dengan baik dalam bahasa penjajah, tak kira lah bahasa Inggeris, India dan bahasa Cina. Pekerja yang baik adalah insan yang baik dalaman dan luaran. Yang menjadikan iman sebagai landasan. Yang ilmunya diamalkan. Yang sahsiahnya di jaga mantan. Yang akhlaqnya menjadi ikutan. Yang amanahnya, ditanggung tanpa beban.

Namun lihatlah hari ini. Ramai pekerja di pejabat yang suka menuang kerja, yang mengambil rasuah, yang memanipulasi dan memperguna, yang tidak amanah dan gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna. Jangan ditanya mengapa sikap pekerja kita bukan yang kelas pertama. Ini kerana di awal2 lagi kita memilih pekerja yang hanya pandai berbicara. Bagai murai yang bising nyaring. Namun kerjanya kekok dan sumbing.

Aku percaya bahawa seorang yang beriman dan bertaqwa dalam ertikata yang sebenar-benarnya akan menjadi seorang pekerja yang berwibawa. Yang menghormati rakan sekerjanya, yang cuba mengelakkan fitnah, yang mendamaikan dua golongan yang bertelagah dan kekal terus-terusan mengindah dan memakmurkan persekitaran kerja.

Namun segalanya hanya tinggal impian aku sendiri. Kerana tidak mungkin apa yang aku tulis disini diambil dan diamat-amati. Nah, jadi kekallah penjawat awam itu yang cantik segak, yang elok tinggi. Kekallah penjawat awam itu yang indah luarannya, yang trendy pakaiannya, yang tebal make up nya, yang gagah langkahnya..

Namun di satu sudut lain, kecantikannya tidak dapat mencantikkan sahsiah masyarakat dan ummat. Kesegakannya tidak dapat menghiasi rumah2 ibadat. Ketinggiannya tidak mampu membatasi belenggu maksiat. Keindahan lagaknya tidak dapat menyempurnakan amanat. Ketebalan make upnya tidak dapat melukiskan kegembiraan rakyat dan kegagahannya melupakan dia pada kepentingan akhirat..

Itu lah yang aku lihat, yang aku pahat dan aku ambil sebagai tandang semangat. Seandainyalah suatu hari nanti aku ditakdirkan untuk menjadi ketua, yang akan aku ubah adalah cara kita menerima Islam dalam beragama. Jangan sesekali meletakkan soal agama di tangga yang bawah. Kerana agama itu sebenarnya adalah kenderaan yang perlu kita guna untuk membawa kita ke destinasi yang dicita. Di dalam pendidikan ada agama, didalam politik ada agama, dan di dalam segalanya harus ada agama.

Jangan suatu hari nanti kita hanya tahu menyebut-nyebut lantang tentang agama tetapi jahil tentang peranan beragama. Atau lebih teruk lagi apabila masyarakat kita mula berpuas hati dan mengaku beriman hanya kerana telah menlengkapkan dua “simbol” agama – 1) solat jumaat dan 2) sebulan berpuasa. Sekarang ini pun, yang dua itu sajalah yang membezakan kita dengan Hindu Budha. Jika yang dua itu pun tiada, maka samalah kita dengan kafir2 laknatullah. Nauzubillah.. Renung-renungkanlah..


Writer’s words : kita belum merdeka

Puji-pujian dihari kesyukuran


Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Lembut zikir yang dialunkan berulang2 itu masuk ke gegendang telinga. Rasanya bagai ngilu hati menahan rasa terharu dan sukacita kerana masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat hari bahagia oleh yang Maha Kuasa. Dengan hati yang sering lalai dan leka dari mengingatiNya, Dia tetap di sana, sedia menuruti dan memberi segala yang dihajati. Sedetik timbul rasa sesal dan kesal, apa jualah yang telah kulakukan untukNya?? Ingatan yang tiada jua, ibadat yang kosong kelana. Sungguh aku masih belum jadi ummat yang benar2 taqwa

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Mengheningkan suasana pagi yang sememangnya mendebarkan. Serasa kering darah dihirup gusar dan gemuruh yang tak dapat ditangguh-tangguh. Sekejap lagi bakal tiba saat namaku dipanggil untuk menerima sekeping ijazah. Tanda perjuangan lima tahun bergelar siswi Universiti Islam Antarabangsa. Kepada siapa harus kudahulukan ucapan terima kasih ini?? Rasa kerdil menguasai diri. Tiba2 air mata bergenang perlahan, bermain enak di kelopak mata yang sejuk teduh memandang barisan para pengajar yang berjalan penuh mesra. Mungkinkah suatu hari nanti aku pula berdiri di sana?

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Sebak, hening dan mengharukan. Berdiri tegak reroma mendengar alunan zikir yang begitu mendamaikan jiwa. Terasa sedih benar disaat gegendang telinga bersatu lembut dengan dengungan bunyi yang lemah gemalai, sahut menyahut puji-memuji mendendangkan tanda2 keagungan tuhan. Di zaman ini segala yang indah tentang Islam hampir lenyap dan malap. Kalau adapun satu inilah, dan di puncak menara inilah aku sujud syukur mengenangkan segala kebaikan tuhan terhadapku yang entakan mampu atau tidak untuk kubalas satu persatu.

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….


Zikir dialun lagi. Kembang kuncup hati menahan hiba melihat ahli2 senat memberi senyuman mesra. Ramai juga yang sekadar tersenyum lalu menunduk hormat. Tidak kurang juga yang sudi mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang sulung ini. Sulung?? Ya, kerana kejayaan ini bukanlah penamat dan yang penghabisan. Masih bayak perkara yang pelu dijuangkan. Masih luas ilmu tuhan yang mampu aku mafhumkan, dalamkan dan praktikkan. Sekejap mataku berkelip, mengalir perlahan tangisan kesyukuran. Andailah mampu kukalungkan rasa penghargaan buat sesiapa jua yang telah sama2 menempuh cabaran dan dugaan...

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir yang gemalai dialun lagi. Kali ini perlahan benar. Lembut dan sayup2 memasuki gegendang telinga yang diciptakan oleh Allah jua. Namun telinga ini jarang sekali mendengan puji-pujian padaNya. Kalau adapun yang sekarang ini lah. Di sebelah kanan kelihatan dua lelaki bersongkok, berjubah hijau tua. Anggun dan segak langkahnya. Berjalan perlahan menyusuri denai berkarpet merah, menjunjung senaskah Kalamullah dan Cokmar diraja. Perlahan benar derap tapak kaki itu kurasa. Sesuai dengan alunan zikir yang berkemandang lembut, lambat dan leka. Ah hati, sungguh benar kepingin yang indah2 rupanya. Benarlah kalam Allah itu juga yang jadi ubat penawar duka.

Ya rabbi bilmustafa....
Ballig maqaa sidana....
Waghfirlana mamadho....
Yaa waasi’al karami….

Zikir dialun lagi. Terus-terusan dialun lembut sehingga tiba saat naskah Al-Quranulkarim itu ditempatkan perlahan di atas rehal yang besar indah. Lalu zikir itu tamat lah di situ. Segala yang indah telah berlalu. Kini tiba pula saat degupan jatung laju bertalu-talu. Jauh disudut hati meminta-minta zikir itu dinyanyikan semula. Namun segalanya sudah jadi nyata. Aku kembali ke alam realiti. Mendengar suara2 gemersik memulakan majlis dengan penuh hati2. Debaran kian terasa. Namun jauh di dalam hati, aku ulang2 kan zikir yang sama untuk menghilangkan rasa gemuruh yang kunjung tiba.. Ah, Indahnya puji-pujian padamu Ya Allah. Setinggi taman syurgamu, Firdaus al-A’la...

Thursday, August 23, 2007

Antara Fahmi dan Mawi

Tanyalah pada sesiapa di mana jua. “Anda kenal Mawi?” Pasti anda akan terkesima dengan jawapan yang anda dengar. Jangankan Mawi, girlfriend Mawi, kereta Mawi, rumah Mawi, kampung Mawi, album Mawi, baju Mawi; kebanyakan orang akan maklum.

Tanyalah lagi sekali. “Anda kenal Fahmi?” dan kali ini anda juga akan terkesima kerana ternyata anda juga akan tertanya-tanya “siapa Fahmi?”

Masyarakat hari ini menyanjung tinggi hiburan. Siang malam pagi petang kita leka menonton dan mendengar hiburan. Anak2 kecil lebih senang menghafaz lagu “pencinta wanita” dari membaca Quran semuka dua. Jangan kaget seandainya 10 tahun lagi kita mempunyai masyarakat yang tidak kenal alif, ba, ta. Waktu itu tepuk lah dada, tanya apa selera kita..

Aku sukakan hiburan. Aku mendengar lagu2 klasik dan ballads untuk menenangkan fikiran. Aku dengar lagu2 nasyid supaya tidak mengantuk dalam perjalanan. Tetapi aku tidak taksub lalu lansung melupakan Al-Quran

Fahmi dan Mawi adalah dua orang anak muda yang sama kisahnya. Kedua2 mereka adalah juara. Cumanya yang satu, kejuaraannya disebabkan peminat yang berjuta, dan satu lagi disebabkan bacaan Quran yang indah. Yang bezanya, juara yang satu ini kejuaraannya tidak membawa beliau ke mana2 melainkan menambah semangat dan keazamannya untuk tunduk patuh kepada Allah Taala. Tiada panggilan penaja, tiada konsert merata, tiada kereta percuma dan tiada rumah mewah. Namun yang pasti, ketenangan tetap di hati

Dan juara yang lagi satu mungkin telah berubah. Dari anak felda, kini jutawan Malaysia. Kereta 6/7 buah, rumah merata2, ke hulu hilir menjelajah dunia, orang angkat menjadi duta.. namun hilang nikmat usia. Hidup yang dulu tenang dan lapang kini tiada lagi senggang. Dulu orang susah kini jadi orang senang. Cara berpakaian dan cara bercakap pun sudah bukan alang2. Sayang, kadang2 dengan pangkat dan nama, manusia mudah lupa asal usulnya.

Abdullah Fahmi dan Asmawi Ani, dua jasad dan ruh yang diciptakan sama, namun tangan2 dunia telah mencorak mereka sehingga menjadi mereka. Kita juga belum pasti apa nasib kita, namun bersegeralah untuk melangkah ke arah penuh iman dan redha. Maka beruntunglah mereka2 yang sentiasa mengambil Al-Quran sebagai teman hati dan jiwa…


Writer’s word : Suka yang sederhana =)

Tuesday, August 21, 2007

Apa reaksi kita??

kisah i :

HINDRAF sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kaum India telah mengadu pada kerajaan untuk membekukan hak2 keistimewaan bumiputera kerana menurutnya hak2 orang India sebagai penduduk minoriti negara disisihkan. Benarkah?? Owh cerdik pandai, jemput2 lah ke Batu Caves. Aku pasti, dari jauh mata kita telah disilaukan oleh patung emas yang berkilau dipanah cahaya. Besarnya bak gajah, tingginya bak galah.. Tersisih lagi kah?? Kadang2 manusia perlu diajar supaya bersyukur. Kalau diamat-amati, mungkin di negara India sendiri pun orang india tidak akan sebebas ini. Janganlah mementingkan diri sendiri..

kisah ii :

Ini kisah MCA, yang kononnya telah membuat cadangan untuk mewujudkan kertas matematik dan sains bagi peperiksaan UPSR di dalam bahasa mandarin. Wah wah.. seronok benar mendengar permintaan mereka yang berbagai rupa, cara dan warna.. Kalau tidak dipenuhi, kerajaan dan nama melayu yang jadi mangsa. Kalau dipenuhi pun macam membiarkan pihak lain menindas bangsa kita. Kalau semua yang istimewa itu telah dikongsi bersama, makanya tidak ada lagi lah yang istimewa. Kadang2 melayu boleh berlembut, tetapi jangan sampai kita dipijak kepala. Berlembut pun biar lah ada batasnya..

kisah iii :

Kisah iii, adalah kisah kita yang melayu. Tunduk membisu, kaku membatu saja kah yang kita mampu?????????? Jika kita tidak mahu memperjuangkan bangsa, jangan lupa kita masih perlu memperjuangkan AGAMA!!!

Monday, August 20, 2007

Jubah Hijau Tua


Sabtu lepas aku ke UIA. Mengambil jubah konvokesyen dan menyiapkan apa yang patut untuk hari besar tersebut. Namun jauh disudut hati tidak lah seghairah mana. Fikiran dan jiwa lebih tertumpu pada soal kerja, mencari kerja dan menanti peluang kerja. Konvo itu akhirnya jadi bahan sisipan saja. Kalau dulu waktu belajar, aku tidak sabar2 mahu menyarung jubah graduan. Sekarang segala impian itu telah hampir menjadi kenyataan. Namun hati tetap lesu. Konvo itu bukan lagi jadi agenda yang ditunggu-tunggu. Suka pun tidak, teruja pun tidak. Jubah hijau tua bersulam emas lambang UIA, yang berjahit reben warna putih di kiri dan kanan bahagian lengannya (menandakan aku Graduan Sains Kemanusiaan) kupandang lesu. Wahai gembira… hadirlah walau sekejap cuma. Itukan jubah graduasi yang dinanti2… Lupakah pada senyuman dan impianmu untuk menyarung pakaian kebanggaan semua siswa-siswi?? Ah hati...

Semalam juga aku berjumpa rakan2 lama di mahallah. Hmmm.., kenangan menuntut ilmu kalau dikenang-kenangkan bisa jadi tangisan. Indahnya nikmat belajar. Menuruti kata hati yang menelaah bila2 suka, kadang memonteng sekali dua, berlumba2 mendapatkan markah tertinggi dan mengumpat tentang rakan sekelas yang menyakitkan hati.. Ah, gemar benar melayan kenangan indah dulu2 di mahallah. Yang nyata rakan2 rapat dan kumpulanku semuanya ‘sekepala’ - Hingga kini masih belum berpunya. Dulu kalau sampai konvo masih tidak berteman, kami katakan “penyakit keturunan”. Nah, nyata penyakit itulah yang masih dibawa hingga ke tempat kerja. Moga2 adalah penawarnya sebelum tahun2 yang akan datang meningkatkan umur usia.. Mari sama2 berdoa!

Yang nyata, lama kelamaan manusia pasti berubah . Yang dulu keanak-anakan bisa jadi matang. Yang kurang mutu boleh jadi cemerlang. Sedar tak sedar umur meningkat ke dua puluh tiga. Sedikit masa lagi mungkin menjadi insan yang benar2 dewasa pula. Begitu lah hendaknya.

Hilaian tawa dan senyuman rakan2 kini hanya jadi kenangan. Kadang2 jadi mimpi tatkala siang betukar malam. Indahnya mengenangkan zaman remaja dan kadangkala lahir perasaan takjub dan tidak sangka bahawa diri ini mampu jadi seperti hari ini. Berpelajaran, dan bakal pula berkerjaya sedikit masa lagi, insyaallah. Untuk semua rakan2 di sana, aku doakan begitu juga. Moga sepuluh tahun lagi kita jadi manusai terbilang. Kita jadi apa yang kita idam-idamkan. Tidak mudah untuk senang. Kan kata orang berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian…. Tidak mengapalah bersakit sekarang, kerana mudah-mudahan yang senang-lenang itu bakal pula kita genggamkan

Jubah konvo itu aku tinggalkan tergantung dibilik seorang teman yang masih berpeluang meneguk ilmu untuk satu semester lagi. Mungkin tanggal 27 ogos nanti bakal kusarungkan jubah itu menandakan telah tamat tugasku sebagai graduan ijazah sarjana muda, dan bakal pula bermula tugasku berkerjaya dan mungkin juga menyambung study ke peringkat sarjana. Moga diperkenankan Allah subhanahu wataala. Akhirnya, yang penamat itu bukanlah penamat sebenarnya, melainkan permulaan dan pintu masuk untuk suatu agenda yang lain pula. Moga di setiap perjalanan aku bisa belajar dari titik2 kegagalan. Biar aku hirup segala suka duka sebagai asam garam kehidupan. Mudah-mudahan kesenangan dan kemudahan itu tuhan berikan......

Salam sayang teman2 seperjuangan. Kenangan dari PJ sampai Gombak akan tetap terpahat di ingatan..

Julianazreen Jaafar (Johor)
Khadijah Ahmad (Sabah)
Liana Mohamed (Pahang)
Marshidah Mat Johor (Perak)
Marina Abd. Rahman (Johor)
Mashitah Md. Noh (Johor)
Maisarah Ahmad (Perlis)
Maizatul Khairiah (Johor)
Mazuriahana Muhamad (Terengganu)
Mazidah Ismail (Kuala Lumpur)
Munawwarah Harus (Johor)
Noratiqah Abd. Rahman (Perak)
Norhaniza Wan Abd Raoh (Perlis)
Sazariana Isniah (Sabah)

Wednesday, August 15, 2007

Bayar dengan nyawa

Semalam aku membaca surat khabar tentang berita kematian 20 penumpang bas ekspres di Bukit Gantang, Taiping. Sedih dan pilu menyayat hati. Namun jejari ini masih kaku untuk menulis bait2 penyesalan yang tak terungkapkan. Aku hanya mampu menggeleng kepala. Melihat bagaimana mudahnya kita membayar harga sebuah keprihatinan dengan nyawa

Hari ini surat khabar aku baca lagi. Namun dari awal pagi tadi telah tersemai impian untuk menulis seuatu untuk tatapan mata2 yg suka meluaskan minda. Bukan hanya tunduk membisu dan diam termanggu-manggu.

Surat khabar hari ini lebih hebat. Di dalamnya terpampang wajah2 sedih ahli keluarga dan kaum kerabat mangsa. Ada isteri yang kehilangan suami, ada suami yang kehilangan isteri. Ada juga anak yang kehilangan ayah ummi, dan tentulah lebih ramai ibu bapa yang kehilangan permata hati.. kasihan mereka. Sempat kubacakan Al-Fatihah untuk kesemua yang telah kembali ke rahmatullah. Sesungguhnya mereka insan yang tidak berdosa..

Di muka lainnya, terdapat cerita2 dari pihak2 berwajib yang bersimpati dan prihatin dengan serta-merta setelah berlakunya kemalangan ini. Semalam lagi telah dimaklumkan bahawa arwah pemandu bas ekspres tersebut telah dikenakan beberapa saman, dan mempunyai dua waran tangkap. Bas ekspres yang digunakan juga dimaklumkan telah mencapai usia lebih 20 tahun dan telah gagal beberapa kali pemeriksaan Puspakom. Ironinya, untuk apa diberitahu pada semua akan hal2 tersebut?? Untuk apa?? Yang bersalah sudah tiada dan yang tidak bersalah sudahpun menjadi mangsa.. Berita2 saman dan kesalahan yang dilakukan pemandu untuk kemalangan yang TELAh berlaku, what’s the point????? Apa yang cuba mereka buktikan sebenarnya? Bukankah itu hanya membuka pekung di dada??

Mari kita lihat, sebelum kemalangan, seorang pun tidak peduli tentang sejarah pemandu tersebut. Bagaimana rekod pemanduannya, bagaimana tingkahlakunya, bagaimana syarikat bas yang dipandunya, bagaimana keadaan fizikal bas ekspres yang dibawanya.. Semua pihak tidak mahu ambil kisah. Tetapi bila saja 20 orang telah mati, semua pihak berlumba2 memberi keterangan itu dan ini. Ada saman itu, ada waran ini. Bahasa pasarnya : “dah tau ade saman ada waran, pehal bagi bawak bas lagi????? Ambik la tindakan!! Dah mampus ramai orang baru nak amek tau. Ye arr.. sebab bukan sedara mara dorang yang mati dalam bas tu..”

Salah siapa teman? Salah siapa kawan? Salah kita kerana memilih bas ekspres tersebutkah? Atau salah 'mereka' yang tidak pernah ambil kisah?? Hakikatnya, segalanya di negara kita mahal dan tidak percuma. Suara kita lambat didengari tanpa huluran wang ringgit berjuta. Dan kerana kita; rakyat yang tiada wang tiada nama...., makanya kita terpaksa membayar harga keprihatinan 'mereka' dengan nyawa.. mana tahu, esok lusa mungkin pula nyawa kita yang menjadi mangsa...

Renung-renungkanlah..

writer: negara aman merdeka, namun tanpa disedari ramai rakyat kita yg berkubur di jalan raya. Yang ada driver mungkin tidak akan tahu dan tidak akan ambil tahu masalah ini. Orang besar2 patut pandu kereta sendiri.. baru mereka sedar diri..

Wednesday, August 08, 2007

Perempuan murahan di jalanan

.................................... Entah kenapa jiwa dirasakan kosong tiba2.. Kelam, kusam, hening dan layu bagai tiada rasa. Mungkin novel 'Kepulangan' karya Fatimah Busu yang sedang kubaca kala ini benar2 membawaku ke alam serba mendung, serba menung.. Entah, mungkin juga!

Sempat aku menyinggah di Nafastari, sekadar menjengah kalau mungkin ada entri nya yang terbaru. Ya ada.. dan mungkin menambah rasa kelu di lidah, rasa sesal di dada.. Lalu laju tangan mencoret kata2.. yang entah dari hati, yang entah dari aqli..


Perempuan Murahan di Jalanan...

Kenapa diteguk racun serakah
Sedang madu jarang terjamah
Kerana lekit yang mabuk khayal
Lewat hadir insaf dan sesal

Perempuan...
Kenapa dimamah parutan dosa
Sedang pahala lingkar percuma
Kerana labanya bukan harta
Bukan pinggitan para jejaka

Perempuan....
Kenapa dikolek perahu maksiat
Sedang malu bertiang tongkat
Kerana desirnya suram dan kelam
Sering pudar di hening malam

Perempuan...
Kenapa terbuai serunai cinta
Sedang zikir indah bergema
Kerana alun kurang persona
Tiada getar tiada irama

Perempuan...
Kenapa singkat akal fikiran
Sedang labuh usia didikan
Kerana leka ikutan nafsu
Jangan salah asuhan ibu......

-hartini omar-
080807 12.30tgh

Tuesday, August 07, 2007

Benar-benar cinta


city of angels - kisah dongeng tentang cinta. cinta si malaikat dengan manusia. mungkin kah?? ah, sekadar hiburan dan wadah melayan angan2..


dying young- kisah cinta yang membatasi kematian.. bukti bahawa cinta boleh menyelamatkan sebuah kehidupan.. indah.. sungguh indah..


just like heaven - kisah dongeng yang melayan imaginasi manusia. mungkin benar jika masih ada hajat yang tidak kesampaian, roh kita akan melayang2 di angkasa.. menunggu masa tibanya insan istimewa yang sememangnya ditakdirkan untuk kita...


puteri gunung ledang - klasik cinta ini. cinta yang bukan pada pangkat dan nama, cinta yang rela berkorban harta dan nyawa.. nah, ada juga 'cerita kita' yang indah2.. selamilah kisah cinta yang jitu.. cinta agung yang tidak semestinya bersatu...


pride n prejudice - kisah cinta dua darjat. indah dan mengkhayalkan. kalaulah semua lelaki se'charming' Mr. Darcy.....
kisah cinta tini....
adalah kisah cinta ini.....
cinta,
bukanlah kata di lembut lidah
bukanlah senyum di ukir wajah
bukanlah tunduk nafsu serakah
bukanlah racun tusukan jiwa
cinta,
sekadar anugerah yang tiada nilai
seluas sayang yang takkan usai
sedalam kasih yang tiada longlai
sealun rindu yang takkan surai...
-penanti cinta-TINI

Wednesday, July 25, 2007

Nasib guru kita

Sudah seminggu berita di dada2 akhbar sibuk memperkatakan tentang kisah guru yang mendenda murid, yang kononnya dianggap kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Tersentuh aku untuk menulis sesuatu dalam blog kesayangan ini. Meronta2 hati ingin berkongsi pendapat dan telahan untuk beberapa biji mata yang mahu membaca dan membuat penilaian. Namun dengan kesibukan kerja, ditambah lagi dengan bebanan peperiksaan yang bakal menyusul tiba, aku jadi canggung. Segalanya dirasakan serba tidak kena. Sesungguhnya aku amat berharap agar dapatlah aku sedikit masa senggang untuk menulis sesuatu berkenaan 'lilin' masyarakat ini. Dan alhamdulillah, di hari Jumaat ini aku bertemu tika dan saatnya.

Seorang guru itu , setahu aku kalau di zaman yang dulu2 hidupnya penuh megah. Di mana2 pun orang sibuk memanggilnya cikgu. Arwah datukku seorang guru. Guru agama yang orang gelar ustaz. Ada juga yang menggelarnya imam kerana seingatku, arwah datuk juga seorang imam. Aku sempat merasa kasih sayang datuk sehingga darjah dua. Pergi ke pasar bersamanya, memimpin tangannya ke muka pintu bank, dan aku bangga berjalan seiringan dengan datuk. Walaupun datuk ada ramai cucu (iaitu sepupu2 ku), datuk rapat dengan mama dan secara tidak lansung datuk menjadi rapat denganku. Aku masih ingat, datuk terkenal dengan ketegasannya. Namun begitu, datuk juga seorang yang pemurah dan baik hati, sehinggakan ramai benar yang tinggal menumpang di rumah datuk dan menjadi anak angkatnya. Kerana itu ramai benar makcik2 dan pakcik2 angkatku di seluruh pelusuk malaysia.

Aku juga berbangga menjadi cucu datuk kerana apabila tiba di kampung, mereka akan berkata "Oh, ini rupanya cucu imam Usop..." Aku hanya mampu tersenyum malu. Segan juga diperkatakan begitu. Sekadar mengambil hasil kemanisan yang datuk tinggalkan.. Manusia mati, namanya jadi kenangan..

Setelah datuk meninggal, mak usu ku mengikut jejak langkah datuk. Dalam ramai2 anak yang 12 orang semuanya, hanya mak usu yang berminat untuk menjadi pendidik. Mama pun tidak. Dan sekarang mak usu menjadi guru bahasa inggeris di sebuah sekolah menengah di kuala Lumpur. Tidak ramai yang suka menjadi pendidik, walaupun kerjaya itu amatlah untung duniawi dan ukhrawi. Ini kerana yang sekarang ini cuma mahu nama dan pangkat jua. Hmm... mungkin kadang2 aku pun begitu, menginginkan yang standard2 saja.. Ah tini, laku sendiri tak kau sedari!!

Aku ini bukanlah seorang bekas pelajar yang baik, sopan dan bersahsiah bagai sekarang ini. Aku pernah didenda rotan (di punggung) di hadapan semua pelajar semasa di tingkatan 3. Pernah didenda berlari satu padang 30 pusingan, didenda berdiri atas kerusi yang banyak tak terkira, ditengking, diherdik, dimarahi dan dimalukan.. semua itu sungguh sinonim denganku. Dan yang paling besar dan tidak akan luput dari ingatan ialah apabila aku digantung persekolahan untuk kesalahan yang di amat2 sukar untuk diceritakan...... Sekadar mengenang kisah lama. Kisah lama yang menjadi sejarah mula untuk aku menjadi aku. Itu lah aku yang dulu. Aku yang sebelum bertemu dengan indahnya cinta ilmu dan cinta guru..

Akan tetapi semua kenakalan itu berlaku dulu. Di saat yang sewajarnya aku dididik penuh kekerasan. Yang mana jika tidak dengan hukuman itu sudah pasti aku tidak menjadi aku yang sekarang. Lagipun, itu cerita dulu. Tatkala Tini di zaman remaja dan masih mencari identiti dirinya. Namun bekas pelajar yang nakal dan degil ini kini telah berdiri di sini. Berjaya ke menara gading dan berjaya juga membimbing. Nah, bukan jalan yang kita persoalkan melainkan destinasi tibanya satu perjalanan tersebut. Kebanyakan orang yang berjaya adalah orang yang pernah merasai perit getir kegagalan. Dari kegagalan orang belajar bangkit dan maju kehadapan.

Di zaman ini anak2 telah menjadi begitu manja dan mengada2. Disentuh sedikit, menangis. Dijentik sedikit, repot polis. Mengalahkan gelagat para artis. Para ibubapa muda pun intelektualnya entah di mana. Sebelum menyerang guru di sekolah, selidik dan perhati dulu lah perangai anak2 kita itu di rumah. Dihantar dengan kereta ke sekolah tidak bermakna mereka pergi ke sekolah. Dijemput dari sekolah bukan bermakna mereka tidak ponteng sekolah. Memang betul, ada juga segelintir guru yang menghukum murid tanapa alasan munasabah. Namun bilangan itu kecil sahaja. Cumanya, yang kotor dan busuk lekas benar terpalit pada semua..

Fikirlah masak2.. amat-amatilah tingkahlaku anak2. Jangan cepat melenting saja. Bagai tin kosong yang berbunyi tetapi tiada apa. Tiada guru yang merotan atas sebab suka2. Mak usu ku sering bercerita bahawa murid2 zaman ini bukan yang macam dulu lagi. Kalau dulu hanya nakal, namun sekarang sudah ke tahap kurang ajar dan perlu di ajar. Mereka tiada lagi sikap hormat, apatah lagi sayang pada guru. Memanggil duru dengan panggilan nama, mengherdik, menengking dan melawan guru itu sudah jadi perkara biasa. Mencalar kereta cikgu tu dah tak payah cerita lah... Jadi, jalan manakah yang perlu diambil untuk mendisiplinkan mereka? Hanya ketegasan caranya. Mungkin untuk permulaan, yang tegas dan garang itu sering jadi bahan kebencian. Namun yang benci itu bisa jadi bahan kenangan dan kerinduan.. lebih2 lagi di saat kejayaan dalam tangan.

Mendidik itu perlukan pengorbanan. Perlukan keikhlasan. Perlukan kelembutan dan dalam pada masa yang sama bersulamkan ketegasan. Sebab itu pada pendapatku, semua orang boleh mengajar, tetapi tidak semua boleh mendidik. Apatah lagi untuk menjadi pendidik yang baik. Mendidik itu bagai menyanyi dan melukis jua. Perlukan bakat dan anugerah. Semua orang boleh melukis, tapi tidak ramai yang lukisannya cantik dan indah. Begitu juga mendidik - tidak ramai yang anak didiknya boleh menjadi orang tersohor ternama.

Amnya, sebelum menyentuh bab guru, sentuhlah dulu bab bagaimana pada dasarnya prospek perguruan itu kita hasilkan. Lihatlah hari ini, yang jadi guru itu sesetengahnya pelajar lepasan U yang tidak memperoleh kerjaya. Memanglah dari segi intelektual mereka bijak dan berhak, tapi adakah disebabkan mereka memegang title 'graduan' membuatkan semua pelajar lepasan U layak?? Tidak mungkin sama sekali. Kerana itu di negara kita ramai orang yang pandai dan terpelajar, tetapi hati dan sifat terpuji mereka kosong dan sifar!

Mendidik adalah pengorbanan yang besar. Negara kita telah maju jauh ke hadapan, tetapi dalam aspek nilai2 murni, kita amat2 jauh ketinggalan. Sayang lah bangsa kita, bijak di akal sahaja tetapi tiada pedoman dan pengangan agama. Baik si anak, baik si ibu, baik si ayah - semuanya sama sahaja. Kesalahan sendiri buta, kesalahan orang lain terbayang2 di ruang mata. Itu lah manusia, kuman di seberang nampak jelasnya, gajah di depan mata tak tersedar bagaimana rupa. Nasib lah guru kita..

..................................................................

P/s: Teringat aku Pn. Kuna Sandharan yang menjadi guru didiplin di sekolah rendah. Bencinya padaku bukan main.. =P

-Teringat juga pada cikgu Sarina yang mendenda aku berlari sekeliling padang kerana bising dalam bilik darjah..

-Teringat Ustaz Halim yang berwajah garang, dengan senang hati memanggilku naik ke astaka dan merotanku di punggung. Memalukan tetapi sangat2 memberi pengajaran..

-Teringat juga akan peristiwa dicampak buku ke muka oleh Puan Chay bila aku gagal menyiapkan tugasan matematiknya

-Teringat akan kata2 Pn. Kuna "ini tak guna punya budak" tatkala dihantar ke bilik kaunseling

-Teringat tatkala aku menangis di hadapan guru besar di sekolah rendah agama kerana menjawab soalan mengapa aku menendang Yatim sehingga jatuh dan mendapat luka di kepala

-Teringat akan Ustazah Wahidah yang bertegang urat denganku kerana mempertahankan hak 'aku lah yang benar'

-Teringat saat namaku dipanggil dan diberi surat gantung sekolah

-Teringat akan mata2 guru dan teman2 lain yang memandangku hina.. "Otai sekolah! Otai sekolah!"

:-) nakal benar rupanya aku ya? Masa benar merubah segalanya.....

Monday, July 23, 2007

Peperiksaan PTD

Salam kawan2.. doakan aku lulus exam PTD 4 Ogos ni.. Sesungguhnya aku amat-amat memerlukan seberapa banyak doa yang boleh kalian berikan di saat2 begini.. Minta didoakan ya.. Semoga dipermudahkan segala urusanku, ameen..

"Allahumma ja'alna minnan naajihin wal faa'izin wal mumtaazin fi kulli imtihan fidd din fidd dunya wal akhirah..."

"Allahumma La Sahla illa ma ja'altahu sahla. Wa Anta Ya Rabbana in Shi'ta bi fadhlika Ja'alta So'ba Sahla.."

perkenankanlah Ya Allah..

Doakan kejayaanku kawan2.. semoga tercapailah segala hajat dan impian diidamkan..

p/s: blogku berhenti di sini buat beberapa ketika. Moga adalah peluang untuk kita bertemu semula.. jaga diri... jumpa lagi...

Thursday, July 19, 2007

Serangkai berita

1. Takziah untuk anggota keluarga TUDM yang terkorban nahas NURI

Muka depan akhbar hari ini (19 Ogos) menunjukkan wajah2 sedih ahli keluarga mangsa nahas helikopter nuri. Takziah untuk mereka, sesungguhnya anggota2 itu telah lebih awal menyahut seruan tuhan yang esa. Jangan lah disedihkan, janganlah dikesalkan.. Mungkin perginya mereka sebagai pejuang yang berkorban untuk insan2 yang akan datang. Apapun, tanggungjawab sepenuhnya perlulah dipikul pihak2 tertentu. Kecekapan bertindak haruslah diterapkan dalam etika keselamatan negara. Jangan sudah ramai yang mati, baru nak ganti! Sayang, kita lewat meniliti apa yang perlu diperhati..


2. Norizan Bakar (Jurulatih Bolasepak Malaysia) disingkir akhirnya

Aku selak2 juga cerita di bahagian sukan. Norizan akhirnya disingkirkan dari menerajui pasukan. Biarlah, gantilah dia dengan muka baru yang lebih sensitif dan bersemangat. Sensitif itu perlu, lebih2 lagi pada lelaki. Bila kita sensitif, kita akan mencari kelemahan diri sendiri. Kalah tak mengapa, tapi jangan selalu. Kalau kalah selalu, penyokong pun naik berbulu!! Kadang2 boleh ikut idea Awang : Ambillah anak2 orang asli sebagai pemain negara, mereka kerja keras, tak mudah lelah dan banyak stamina!!


3. Patriotik sehari!

Di bahagian surat dan emel pembaca, ada artikel yang datang dari UM. Artikel dari Khairul Zain itu mengajak semua pemuda dan belia negara bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang ke 50 ini. Apakah ertinya kemerdekan yang separuh abad ini seandainya pekerti dan jatidiri masih belum tersemat utuh di dada kita; para belia? Jangan 'merdeka' bagi kita hanya melalak melolong "merdeka! merdeka! merdeka!" yang berlansung seminit cuma. Malam ini para remaja menjerit merdeka!, esok pagi mereka dijajah arak dan dadah.. Amat lah sia-sia....


4. Si ibu Korea

Mariam itu telah lama mengikut teman lelakinya ke negara Korea. Melayu itu padanya hanya tinggal sejarah. Sekarang inipun beliau telah tua. Namun manusia ini diciptakan tuhan penuh keistimewaan. Bukan hanya setakat sifat luaran. Ikatan naluri ibu dan anak tidak dinafikan memang wujud dan suatu keajaiban. Nah, telah nyata bukan, di darat asam, di laut ikan.. Dalam belanga keduanya disatukan. Pasti indah saat2 perjumpaan seisi keluarga, bagai bertemunya adam dan hawa setelah dicampak ke dunia..


5. Dakwah hip hop??

Indah benar ulasan Tn. Hj. Pahrol Mahamad Juoi dalam mengulas cerita hip hop dan berdakwah (dalam Dewan Masyarakat). Kata Tuan Haji, apa pun corak irama dan senikata dalam sesebuah lagu, ia hendaklah diiringi dengan elemen kebenaran dan keindahan. Indah dan benar dalam sesebuah lagu itu lah faktor utama dalam mertarbiah dan mendidik pendengar. Jika lagu sudah tiada keindahan dan kebenaran, hilanglah aspek2 didikan dan pengajaran. Pandangan ikhlasku, hanya irama nasyid yang asli dan mendayu2 sesuai untuk dakwah dan tarbiah. Kalau sudah ke tahap membingitkan telinga, tiadalah berdakwah namanya. Apapun, terserah pada yang empunya telinga.. minat kita semua tidak sama..

Wednesday, July 18, 2007

Penghargaan buat pembaca


Salam teman2 budiman.. Tatkala kata2 ini aku titipkan, aku baru saja menamatkan tugasanku untuk hari ini.. Setelah hampir 6/7 jam aku bertugas, hati ini rasa meronta-ronta ingin menitipkan sesuatu buat pembaca semua..

Teman2.. Aku tidak tahu berapa ramainya kalian di luar sana yang sering singgah menatap tulisanku ini.. Sesungguhnya aku hanya mampu mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga buat kalian.. Tiada kata2 yang dapat diucapkan untuk melahirkan rasa terima kasih ini.. Tiada kalian, maka tiada berkembanglah blogku ini..

Teman2.. Aku andaikan kalian ini seperti kekasihku yang sering ingin aku bahagia, sering ingin aku gembira, sering menjenguk aku dan sering pula membantuku di mana perlu.. Teman, aku ini hanya insan yang dhaif hina.. Tidak kaya dan tidak pula berharta.. Yang ada padaku mungkin hanya timbunan kata2.. Aku hanya mampu bercerita, menulis, mengungkap dan menitipkan sesuatu untuk tatapan kalian.. Besar harapanku seandainya segala ceritera di dalam ini dapat kalian jadikan pedoman dan pengajaran di saat duka memerlukan..

Teman, mungkin ada diantara ulasan2ku di sini yang tidak berkenan di fikiran kalian, tidak senang di penglihatan kalian dan tidak secocok dengan penilaian kalian.. Jadinya aku di sini ingin memohon jutaan kemaafan.. Kerana kita inikan manusia yang berbeza luar dalamnya.. Ada sedikit yang mungkin sama dalam diri kita dan selebihnya hanya perbezaan yang menjadikan kita diri 'kita'..

Siapapun kalian, apa pun nama kalian, terima kasih aku ucapkan.. Untuk yang pernah mengomen itu ini, ucapan terima kasih untuk segala budi.. Penulis hanya akan menjadi penulis bila ada pembaca.. Komenlah, katalah, kritiklah, buatlah apa jua.. Asalkan ia dilakukan dengan niat yang suci dan sempurna.. Untuk yang akan datang, aku dahului segalanya dengan ucapan jazakillah..

Doaku untuk kalian, agar berbahagia di dunia dan di alam sana.. Kita semua adalah pejuang yang memperjuangkan agama Allah.. Dengan cara apapun, perjuangan itu harus kita teruskan.. Namun jangan terlalu taksub memperjuangkan agama hingga tergadai maruah diri, bangsa dan negara.. Untuk muda mudi seperti kita, kitalah perwaris agama dan bangsa.. Ingat kalian, Islam dan peribadi mulia itu perlu seiring.. Tiada Islam tanpa akhlak murni, dan tiada gunalah berbudi pekerti tanpa agama yang suci..

Teman2.. Akhir kalam, berpesan2 lah kita semua dengan kebenaran dan kesabaran.. Moga ada cahaya kebahagian menanti kita di sana; di tempat yang setiap inci ruangnya dipenuhi kasih Allah Azza wajalla....

Salam sayang....
-Tini-


**********************************************

-Nyah : Tahniah atas blog yang baru tercipta, moga terubat jiwa yang selama ini luka parah


-Permatabonda : Bila nak berceritera? Ada bakat yang terpendam di dalam sana.. kelur2kan lah

-Nafastari : Tuan, terima kasih datang menjenguk teratak saya yang usang, buruk..

-Aliff : Good job, fren.. Teruskan menulis..

-K. Sha : Jangan tengok saja, hantar2 lah berita..

-Us : Bila lagi us.. Umur bukan makin muda.. Mula2 lah berkarya.. saya menanti yang istimewa dari us di sana..

-Dilla : Kesibukan tugas bukan alasan untuk menjauhkan diri dari seni.. Hidupmu pasti indah mengenang segalanya yang kau semat di sini.. Yakinilah hati..

-Khair : Andai awak juga datang menjengah, kenallilah saya sebagai saya.. yang tak pernah berubah segalanya.. hati dan jiwa yang tetap sama..

-M.U.H.A : Kita ini masih ternanti2 alamat blogmu..

-Anonymous semua : untuk kalian hanya puji dan doa yang tiada akhirnya...

~Terima Kasih Teman...~

Pantun Budi

Tenang-tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

Baju kebaya disulam kelimkan
Dipakai mari dara berdandan
Miskin kaya jangan bezakan
Budi jadi satu ujian

Tinggi bukit gilang-gemilang
Air pasang tenang-tenangan
Budi sedikit manakan hilang
Itu juga kenang-kenangan

Bertanam cempedak di luar kota
Tumbuh rendang condong ke desa
Orang nan tidak memandang harta
Tetapi memandang budi bahasa

Friday, July 13, 2007

resah..

Rasanya dah seharian aku menatap blog..
Resah aku mencari template yang sesuai kerana template yang lama telah di update..
Menyesal pula rasanya menekan butang yang bukan2..
Tunggulah kalian... Blog ini masih dalam pembikinan..
Template mencerminkan identiti entri, dan secara tak lansung mencerminkan identiti diri sendiri..

p/s: aku masih berminat pada template lama.. nampak macam watikah dulu-kala :)

Tarian pena..


1. Ibu yang tunggal…

Jerih itu kau sendalkan tabah
Sedih itu kau pasakkan tawa
Pedih itu kau rendamkan redha
Letih itu kau balutkan sirna

Keliling mu, anak-anak
Tidur mu, kencing berak
Jaga mu, tangis lalak
Makan mu, nasi kerak
Irama mu, batuk sedak
Mandian mu, lendir kahak

Namun….

Tabah mu tali semangat
Tawa mu jarum tekad
Suka mu ubat melarat
Redha mu kalis rempat

Suamimu, bayangan kelam
Iparmu, kesalan semalam
Mertuamu, janji pekasam

Bukan pergi sebab mati
Bukan undur sebab benci
Bukan lari sebab dengki

Cuma…
Belaiannya, pisau parang
Pelukannya, sepak terajang
Nasihatnya, pekik lantang
Kasihnya, lepuk lempang
Ciuman hanya di ranjang
Hati siapa bisa tenang.......?

Kau ibu….
Pohonlah restu doa
Mintalah jalan mudah
Rataplah tangis siksa

Siapa tahu………….
Yang mudah mungkin laknat,
Yang payah mungkin mukjizat!!


2. Cinta muda mudi

Cinta muda mudi
Cinta nafsu nafsi
Hilang akal maknawi
Lenyap santun hakiki

Cinta muda mudi
Cinta suka suki
Roboh kota janji
Runtuh dinding budi

Cinta muda mudi
Cinta ikut hati
Iman tolak tepi
Adat letak sisi

Cintaku bukan ini
Cintaku cinta suci…

Berpegang tali syariat
Bertunggak rukun adat
Berteman dalil hakikat
Bersulam tabir makrifat


-hartini omar-
lobi JPA, Putrajaya

Sengsara mi..

"mi, pi dengar lagu ni.. dan tiba2 pi rasa sedih.."
"mcm la boleh kesengsaraan mi tu jd kesengsaraan pi.."
"ada masa mi dgr jugak k"

TERLALU CINTA - Rossa

Jangan dekat atau
Jangan datang kepadaku lagi
Aku semakin tersiksa
Karena tak memilikimu

Ku coba jalani hari
Dengan pengganti dirimu
Tapi hatiku selalu
Berpihak lagi padamu

Mengapa semua ini
Terjadi kepadaku

Tuhan maafkan diri ini
Yang tak pernah bisa
Menjauh dari angan tentangnya

Namun apalah daya ini
Bila ternyata sesungguhnya
Aku terlalu cinta dia..

-writer's note: sekadar melayan angan2... =)

Thursday, July 12, 2007

7 (new) wonders of the world


Chichen Itza, Mexico


Petra, Jordan


Macchu Picchu, Peru


The Roman Colloseum, Italy


Crist Redeemer, Brazil


Pyramid Giza
(Honour title-Not Included in the 7 wonders)


Taj Mahal, India


The Great Wall, China

writer's words: boleh kah undian dari orang ramai me 'legal' kan 7 keajaiban dunia yang baru ini?? manusia ini subjektif. pandangannya subjektif, pemikirannya subjektif dan idea nya subjektif.. semua terpulang pada ilmu dan pandangan masing2.. yang ajaib pada seseorang, mungkin tidak seberapa ajaib pada orang lain.. terserah, keputusan terletak di tangan kita...
bawa-bawalah ucap 'subhanallah...'

Wednesday, July 11, 2007

bila JEDI menulis...

ini kisah baru. seawal beberapa kelipan mata yang lalu...

khabarnya sahabat yang seorang ini telah mula menulis untuk sebulan yang lalu. tahniah sahabat. belajar2 lah berkongsi suka duka dengan orang lain. yang sedih kita ungkapkan, agar jadi pedoman.. yang gembira kita citrakan, agar jadi kenangan.. bukankah lebih elok andai pengalaman baik kita ditiru ramai orang, dan segala duka sengsara kita diteladani mereka?? syabas Jedi.. aku sentiasa di sisi memberi sokongan dan dorongan yang tak terungkapkan.

tahniah juga kerana blogmu itu kau utarkan rasanya menggunakan bahasa ibunda. mungkin bisa bertambah lah lagi ilmu mu dan pengalaman mu dalam cereka yang berbahasa begitu. sesekali, mungkin boleh juga kau selitkan entri2 dalam bahasa inggeris. kadang2, yang selalu2 itu bikin orang bosan, dan yang datang jarang2 itu boleh bikin orang rindu!!

selamat menulis, jediku.. bakal ada peminat setiamu nanti, yang mungkin juga aku ;-) ah, kalau saja masa itu aku miliki dalam menguruskan pekerjaan yang serba banyak ini. semoga penulisan mu membawamu ke syurga abadi. kerana dakwah dalam menulis itu pasti lebih mendalam calaran hatinya, yang mungkin lebih tajam dari kelaran mata pedang yang menghunus tajam. tenang dan aman lah dalam penulisan mu. semoga kejayaan senantiasa bersamamu.. "may the force be with you.."

p/s: jika kalian berminat, sila2 lawati blognya di http://writerdruid.wordpress.com

=P Dilla, bila nak menulis?? aku masih setia menanti..

Tuesday, June 26, 2007

mari semak2 apa yang berlaku..

1. Ah, si Rushdie...

Laju bebola mata menangkap patah2 kata yang berkisar tentang Islam di dalam surat khabar Mingguan Malaysia itu. Kali ini kisah si Salman; Novelis kontroversi yang mendapat anugerah tertinggi kerajaan Britain. Bukankah sudah dipesan awal2 oleh baginda Rasul, kafir2 itu akan tidak sudah2 mengundang rasa jelik dan benci pada umat Islam. Tanpa perang tubuh, diaturkannya pula perang emosi. Umat Islam harus lebih bersedia. Kesal, kesal jua.. Marah, marah juga.. Tapi jangan terlalu ikutkan emosi. Biarlah si Salman Rushdie itu merasa bangga dengan karyanya (The Satanic Verses) yang menyinggung sensitiviti umat Islam. Di 'sana' nanti, pasti ada habuan istimewa buat insan sepertinya. Jangan dicemburukan gelaran 'sir' yang diberi pada manusia bertopeng itu. Mari kita persiapkan langkah dengan semangat dan tekad, jika beliau boleh menghina dan mencerca agama kita dengan penanya, apa kata kita tangkis kembali tohmahan itu dengan menggunakan kaedah yang sama. Menulis dan membaca. Mari berjihad dengan tulisan dan pena. Tangkis serangan musuh durjana dengan tulisan dan kata2. Sekeras2 hati manusia, pasti lembut dengan bisikan kata mutiara. Cubalah, mana tahu kekuatan kita ada di sana...



2. Rommel yang menjaga tepi kain orang..

Ini pula kisah si duta Rommel, yang mengikut sedap hati mengutuk mengata dasar negara kita. Ah, ada-ada saja mereka dengan niat menyakitkan hati negara Islam yang kecil tapi berpengaruh ini.
Mereka sebenarnya dengki, dan kedengkian itu dibesar2kan dengan cara demikian. Untuk mereka, mereka saja lah yang benar, orang lain semuanya salah. Negara mereka sajalah yang gagah, negara lain semuanya lemah..

Orang seperti Romell itu tidak sedar dek untung, makan pakai di negara kita, namun boleh pula mencerca menghina dasar kerajaan yang telah lama kita laksanakan. Mengkritik dan menghina ada perbezaannya. Kritikan diberi tanpa ada anasir2 luar yang boleh melemahkan jatidiri manusia. Kritikan diberi sebagai pengajaran tambahan untuk kita membetulkan kesalahan2 yang telah kita lakukan.

Penghinaan itu lain pula pada hakikatnya. Penghinaan adalah kata2 kesat yang berupa ketidak puasan hati yang dilempar tanpa selidik dan bukti. Romell perlu memahami dengan sedalam2nya mengapa dasar seperti itu kita wujudkan. Kalau hanya inin memberikan pendapat berlandaskan pengalaman dan mata kasarnya sebagai seorng duta sahaja, itu belum mencukupi. Seperti surah dalam Quran, setiap ayat yang diturunkan Allah ada sebab dan musababnya. Maka Romell sendiri perlu mencari asbabul untuk dasar2 yang dilaksanakan di negara Malaysia.Belajar lah sejarah Malaysia dan berguru dengan sejarawan2 tanah air kita, makanya selepas itu barulah beliau dialu-alukan untuk memberi pendapat personalnya. Ah, sebenarnya si Romell itu lupa, orang melayu banyak adat dan sopannya.. nyata beliau juga lupa, lebih banyak hikayat yang tidak dapat didokumentasikan yang perlu beliau pelajari, selain dari menilik buku2 teks sejarah yang dulu kala.. Jika Romell sudi, tok nenekku ada cerita bagus2 tentang sejarah dan perlembagaan negara untuk diceriterakan padanya.. Marilah bertandang ke rumah.. "kenaaaaliiiiii Malaysiaaaaa...." (mengikut rentak lagu TMM dulu2)

Monday, June 25, 2007

jumaat di mana?

Jumaat itu kau di mana kawan?
Di masjid kah, atau di Alamanda??

*nantikan kirimanku yang baru, menjenguk datang dengan penilaian yang lebih tajam, lebih matang..

Friday, June 22, 2007

Lelaki Segak Itu...

Lelaki segak itu...
Dengan tali leher dan kot biru
Dengan wajah hening bak salju
Gambaran pemuda penuh ilmu

Kulihat lelaki itu
Resah termangu-mangu
Terus-terusan diam membatu
Mematung bagai dibelenggu

Tidak indah rupanya 'khabar' lelaki itu
Beliau PTD yang perlu dibantu
Beliau pemuda yang penuh celaru
Hilang rakan, tambah seteru

Wahai pemuda gagah
Jangan diikut beban kerja menyiksa
Jangan jadi abdi yang sering diguna
Jangan jadikan dirimu boneka

Sebutlah patah kata padaku
Aku pasti kan menjadi temanmu
Teman tempat mengadu
Teman yang tak pernah jemu

Ingatlah lelaki
Kau kan jadi pemimpin di suatu hari
Jika tidak negara, rumahmu sendiri
Mintalah petunjuk Ilahi

Lelaki segak itu
Semoga 'kewarasan' bersamamu
Menuju impian yang satu
Gemilang jauh bak bintang beribu

*puisi ditulis penulis untuk seorang PTD yang sering mundar-mandir di perpustakaan JPA. Khabarnya beliau baru keluar dari pusat rawatan mental.. Tetapi beliau tidak ditempatkan di mana2 jabatan dan tidak pula boleh diberhentikan.. Simpatiku sentiasa bersamanya.. Moga Allah melindunginya.. Amin

*moga2 ada peluang untuk beramah mesra dengannya..Kerana dia juga Manusia biasa.. bantulah hambamu tuhan. Agar damai dunia yang Kau ciptakan..

Thursday, June 21, 2007

akhirnya....

salam rakan2 pembaca..syukur ku panjatkan ke hadrat illahi.. lebih kurang sebulan lebih aku bekerja di Secret Recipe, kini aku dipanggil bertugas di JPA putrajaya sebagai Pegawai kontrak. alhamdulillah, ini anugerah yang tak terhingga buatku untuk menempuh hari2 mendatang. menjadi serikandi yang lebih matang dan beriman di sisi tuhan. buat tuhan, kupanjatkan sepenuh kesyukuran. andailah dapat kuuntaikan rasa terima kasih ini ya rabbi...

-buat papa dan mama yang tak jemu2 berdoa, mungkin ini jalan permulaan sebelum sampai ke menara impian.. doakan aku lulus exam PTD Julai ini. Thanks so much 4 ur support..anakmu ini takkan pernah lupa pengorbananmu..

-buat mami dan keluarga, tiada kata yang dapat kuutar untuk mengalungkan rasa terima kasih ini.. kalian umpama madu, penawar segala keluh kesah

-buat rakan2 di luar sana, selamat berjaya mencipta kerjaya. kalian tetap bersemadi di hati.. jaga hati, jaga peribadi..jadilah kita yang pernah kita kenal lama dahulu..seperti padi yang makin tunduk makin berisi.. doakan aku kawan, agar kekal selamanya gemilang!

Sunday, April 29, 2007

Cerita kita

Sudah hampir sebulan blog ini aku tinggalkan. Banyak lagi tuntutan kehidupan yang lebih penting yang harus diselesaikan semenjak dua ini. Baru sekarang inilah masa lapang ada menjenguk datang. Dan tak mungkin akan ku sia2kan tanpa bahan yang walau sedikit bisa membuka mata hati dan jiwa yang selama ini tuli buta.

Sekarang aku di rumah. Oleh yang demikian, tv lah yang menjadi teman rapat selain novel dan buku cerita. Dalam waktu2 senggang ini, aku gunakan untuk menonton hampir semua rancangan yang disiarkan. Dari filem Melayu, Inggeris, Cina, Thailand, Spanyol, Russia, Tamil dan Indonesia, hinggalah ke drama dan sitkom, dokumentari dan muzikal, realiti tv (AF, America’s next top model, Amazing race, Gangstarz dsb) dan kartun dan sukan dan segala2nya yang disiarkan di kaca tv rumah.

Semalam aku menonton filem Batu Belah di astro prima. Cerita hitam putih arahan Jamil Sulong itu tak perlulah aku ceritakan di sini kerana kalian pun sudah maklum akan jalan ceritanya.

Dua tiga hari yang lepas, aku menonton filem ‘Cicak Man’ arahan yusri KRU lakonan Apek dan Fasha Sandha (sekadar membariskan sebahagian nama). Dan kelmarin juga aku menonton filem Inggeris ‘First Daughter’ lakonan Katie Holmes. Dan minggu lepas juga ku sempat menonton kartun ‘Ice Age’ yang disiarkan tv3. Dan filem ‘Baik Punya Cilok’ dan ‘Shall We Dance’ dan seterusnya. Aku juga telah menonton filem seram Thailand ‘Dorm’, cerita hindustan yang banyak tak terkira, dan cerita cinta indah ‘Pride and Prejudice’.

Aku jua tak lupa mengikuti setiap drama CSI (Vegas, New york dan Miami), drama ‘Prison Break’, ‘Heroes’ (walaupun aku agak kurang faham), ‘Amarte Asi’, ‘Datin Diaries’, sitkom ‘That’s so Raven’ dan animasi Mr. Bean yang aku tonton hari2.

Apakah agaknya isi yang ingin kunyatakan di sini? Segalanya berkait rapat dengan mutu filem kita. Cuba lihat filem kita yang dulu-kala. Filem hitam-putih yang walaupun banyak dengan nyanyian dan tarian, banyak juga terkandung pengajaran dan kiasan. Filem yang sebegini rupa dibikin agar dijadikan panduan dan pengajaran untuk semua yang menontonnya. Bukan sakadar jadi hiburan, filem dulu-kala dicipta dengan teguran dan simpulan yang terperinci dan berisi. Bukan sekadar bahan cerita yang lapuk basi. Banyak cerita2 yang dapat kita jadikan pengajaran dan tauladan. Semuanya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Kisah si Tanggang yang durhaka pada ibunya, kisah Gunung Ledang yang memerli raja gila yang kurang bijaksana, kisah Semerah Padi yang menyeru manusia supaya menjauhi zina dan bayak lagi. Semuanya masuk dek akal. Nasihatnya jarang disangkal. Tapi cerita melayu zaman kita? Sedikit sekali yang berkualiti. Cerita atau filem sekarang jauh mementingkan nama dan anugerah. Isi dalamnya hampir tiada.

Filem cicak man yang aku tonton baru2 ini……. Hmmm… entahlah. Sukar benar nak mengadun pendapat dan bicara. Bimbang jadi buah mulut mata2 yang membaca. Sekadar pendapatku yang melihat menggunakan mata yang dikurniakan tuhan. Kita orang melayu, tak perlulah nak beradun tenaga, berangan2 ingin mencipta filem yang penuh aksi dengan bantuan teknologi semata. Kita tidak arif. Terima lah hakikat yang kita tak akan mampu bersaing walau sebesar jari pun dengan mereka. Daripada memalukan bangsa, ada baiknya wang yang dilabur itu kita bikinkan filem2 tentang kehidupan kita. Adat resam kita. Tradisi dan norma masyarakat kita. Kisah2 yang boleh membuka mata hati dan jiwa kita. Cerita ‘Cicak Man’ itu - komedi pun bukan, aksi pun bukan. Kelakar lagi filem Pendekar Bujang Lapuk arahan P. Ramlee. Tanpa teknologi pun filem itu sampai pada maksudnya kerana komedinya suci dan asli.

Mari lihat pula filem2 orang putih. Kisah mereka ringkas tetapi menarik. Filem animasi mereka penuh pengajaran dan pedoman, mengalahkan filem2 kita yang berbelanja berjuta-juta. Tak penting berapa bajet filem kita. Yang penting kisah yang ingin kita sampaikan pada dunia. Aku mengalirkan air mata tatkala menonton filem Ibu Mertuaku. Aku jua turut menangis tatkala menonton filem Caste Away dan City of Angels. Akan tetapi aku tiada rasa bila menonton filem2 melayu kita. Aku harapkan filem2 yang indah bagai zaman dulu2.. Zaman2 Ali setan dan Balada. Zaman2 Sembilu dan Selubung. Zaman2 Jimi Asmara dan Gila2 Remaja. Namun itu semua telah tiada. Tiada lagi filem2 melayu kita yang boleh menambat hati dan sanubari. Entahlah.. Mungkin sebab itu mentaliti bangsa kita kurang mutunya. Kerana kita dibesarkan dengn filem dan ceritera yang tiada cantik dan indahnya. Yang banyaknya cerita yang ‘asal ada sudah lah’… Sayang bangsa kita. Hancur lebur dimakan arus masa. Memang bayak yang tidak baik di barat sana, tapi sekurang-kurangnya banyak juga yang lebih baik yang mereka tonjolkan pada semua. Kisah cinta mereka tulus dan ikhlas. Kisah komedi mereka benar2 menggelikan hati, kisah2 aksi mereka benar2 berkualiti dan kisah animasi mereka benar2 melayan fantasi.

Tapi filem kita???? Yang kisah cinta tak mengadun rasa melayan jiwa, yang kisah aksi bagai tak beraksi dan yang komedi lansung tak bervisi, nyata kita gagal untuk mencipta sesuatu yang bermutu untuk santapan kaum kita sendiri. Kita gagal… Tonton sajalah Zombi Kampung Pisang. Entah apalah yang ingin dibanggakan…

Kalau cerita melayu, daripada memonton filem, lebih baik menonton drama. Syukurlah, drama2 melayu kita masih banyak yang terselamat dan bermutu. Sekali aku teringat bagaimana seluruh keluargaku berendam tangis pabila menonton drama ‘Pondok Buruk’ arahan Mohd Nor Kadir. Merah mata ayah dan teresak-esak kami dalam sendu yang mengharukan. Berkesan sungguh drama itu. Dan ‘Daun Ketupat Kering’, dan ‘Gitar Tua’, dan ‘Quran Buruk’, dan ‘Ustaz Sufi’ dan ‘Tanah Kubur’ malah banyak lagi yang tak dapat aku senaraikan di sini. Semuanya bagus2 belaka. Penuh pengisian dan pengajaran yang memang patut diambil sebagai panduan kehidupan. Tapi filem melayu kita?? Ya Rabbi tuhan.. kita amat jauh ketinggalan.

Makanya tak perlulah kita berangan-angan setinggi gunung untuk membikin filem yang berteknologi tinggi seperti Spider Man, Sunshine dan Tornado. Sekarang bukan masanya. Kita masih lemah. Teknologi dan perkomputeran kita dalam perfileman masih lemah. Belajarlah lagi dan tuntutlah ilmu2 perfileman dengan sungguhnya sebelum membikin filem2 yang sedemikian rupa. Apa gunanya membikin filem tetapi akhirnya memalukan bangsa? Kita punya ramai pelakon berbakat yang tak perlu kita sia-siakan. Buatlah sesuatu dengan cara kita. Asalkan ianya penuh mutu dan kehormatan. Bukan bangga meniru barat tetapi jengkel dan membosankan. Tiada mutu dari aspek filem dan jalan penceritaan. Sudahlah gagal dalam teknologinya, kita gagalkan lagi dengan komedi yang basi dan lakonan yang kurang lojiknya. Jalan cerita pun keliru dan penuh cela. Sia2 lah wang kita. Kerana itu kita jarang menempah nama di mata dunia. Entah kenapa kaum kita begitu rupa. Selalu bersikap leka dan alpa. Memang term “Jaguh Kampung” amat sesuai buat kita. Di tanah sendiri kita mungkin juara. Di dunia, kita secorot-corotnya…. Fikir-fikirkanlah….

ini guru saya

Ini guru saya
Orangnya biasa saja
Tidak kaya tidak papa
Segalanya sederhana

Ini guru saya
Mengajar tulis baca
ABC Alif Ba Ta
Ilmu dunia dan agama

Ini guru saya
Tak kenal erti duka
Tak pernah keluh rasa
Tak gentar umpat cela

Ini guru saya
Dikenang sampai tua
Diagung tiap masa
Disanjung dan dipuja

Untuk guru saya
Hiduplah sejahtera
Tak kira sampai bila
Hingga jasad hilang nyawa

-hartini- 150307

p/s: Puisi ini untuk semua guru2 yang telah mengajarku
-SRK (P) Methodist (1) Kuala Lumpur. 1991-1996 (khasnya Cikgu Khairani)
-SRA Sri Pantai Kuala Lumpur. 1991-1996 (khasnya Ustazah Zaleha)
-SMA Daerah Batang Padang Bidor, Perak. 1997-2000 (khasnya Ustazah Raja Salasiah)
-SAM Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Banting Selangor. 2000-2001
-Pusat Matrikulasi UIAM, Petaling Jaya. 2002-2003 (khasnya Ustazah Nik Fathiyah)
-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak selangor. 2003-2007

Wednesday, March 14, 2007

Sekalung tahniah buat Us

Baru sebentar tadi sms itu aku terima dari Us. Us bertanya khabar dan menyatakan kemaafannya kerana lambat mengucapkan selamat hari lahir padaku. Ah, Us.. Sudah ingat ini pun, satu rahmat yang maha hebat. Terima kasih aku ucapkan. Us juga menyatakan khabar gembira bahawa beliau akan mula mengajar di Negeri Sembilan hujung bulan ini. Tahniah Us. Penantianmu yang berdekad lama telah sampai ke hujungnya. Alhamdulillah, sekilas ku ucapkan syukur ke hadrat yang Esa.

Telah lama Us mengimpikan untuk menjadi seorang pengajar yang 'berdaftar' dan ditauliahkan. Telah lama Us simpan hasrat untuk dirinya dipanggil dengan panggilan guru, ataupun cikgu. Nah sekarang, impian itu bakal pula menjadi kenyataan. Us memang sajak dengan panggilan cikgu itu. Terbayang aku mulut2 mongel yang akan asyik memanggil us dengan panggilan cikgu. Seperti aku jua yang dulu2..(senyum)

Jangan lupa kenangan kita Us. Jadilah guru penyayang yang sabar dan tabah dalam setiap dugaan. Mengajar di zaman ini penuh dengan duri dan cubaan. Bukan lagi bagai zaman kita dulu; segalanya indah dan mengujakan. Aku pasti, Us bisa jadi guru hebat yang dikenang pelajar sepanjang hayat. Seperti aku juga. Pelajar yang tak pernah melupakannya.

Tahniah sekali lagi kukalungkan buatmu Us. Berita gembira ini aku sambut dengan doa moga hidupmu penuh barakah. Janganlah us bimbang, kerjaya gurumu ini pasti pula membantumu di alam sana nanti. Bukakankah amal yang berterusan waima nyawa bercerai badan adalah ilmu yang dimanfaatkan?? Ya.... Mungkin tak kaya di dunia, tapi di akhirat sana sahamnya berlipat ganda. Syabas Us.. moga berjaya dengan jayanya. Doakan aku jua jadi pendidik yang tak mengharap nama. Ameen Ya Allah

Tuesday, March 13, 2007

Pena tak bertinta

Ramainya penulis di luar sana. Terlalu ramai hingga tak terjamah mata membaca karya2 mereka. Tahu benarlah kita bahawa ramai di luar sana yang minat berkarya. Suka mengadun sarwaloka dan gurindam lara. Sesetengahnya penuh dengan ilmu dan santapan jiwa. Sesetengah lagi penuh dengan bakat dan kurnia anugerah. Ada juga yang menulis mengikut kehendak hati dan emosi. Malah ada juga yang suka berlawak jenaka dan berfantasi. Ramai… Dan banyak benar kita dengan limpahan ujana yang entah dibaca entahkan dilupa. Apa dibimbangkan.. menulis kan bukan untuk santapan manusia lain, melainkan untuk disantap dan dikenang diri sendiri. Namun ada juga getarannya bila mengetahui bahawa wacana kita disinggah pembaca. Getarannya kian terasa bilamana bicarawara yang tersedia diasak dengan entri2 yang mengharuskan kita untuk berkarya dengan lebih teliti dan terperinci. Bukan ikut hati. Ah tajamnya pena.. kan lebih tajam dari mata pedang yang elok buatannya.. Masakan kita lupa?

Ini senario dunia hari ini. Senario pena tanpa tinta nya. Semua boleh menulis, tiada siapa bisa menghalang. Semua boleh berkarya, tiada siapa boleh melarang. Menulis sekarang bagai menjamah makanan jua. Penuh variasi dan kepelbagaian seratanya. Jadi, seperti memilih mahu makan di mana, makanya begitu jualah untuk memilih bahan apakah yang mahu kita baca. Kebebasan yang ada pro dan kontranya. Iyalah.. Bila sudah banyak dengan lambakan permata, makanya tiada lagilah yang dirasakan istimewa. Semuanya sekadar biasa sahaja. Bagai kaca2 yang tak berharga. Kerana manusia sekarang lebih mementingkan nama dari kualiti karya yang dikarangnya. Asalkan ada sudahlah…

Banyak juga pena yang tidak bertinta di zaman kita. Bahan yang banyak tetapi tidak membawa kepada peningkatan kerohanian dan adab sopan, makanyalah akan menjadi penulisan yang disia-siakan. Ibarat menulis tetapi maksiat tetap tak mampu dikikis. Untuk apa dan untuk siapa? Kepuasan diri sendiri semata kah? Ah Tini.. Seperti kau jua mereka itu. Menulis dengan niat yang berbagai jua. Sesetengahnya diterima pembaca, sesetengah lagi dikritik dan dipalun segala. Itu perkara biasa. Lain padang, kan lain belalangnya..

Bolehkah aku dilabel sebagai penulis? Ah, sukar benar bagiku. Belum tiba dan belum pasti bila saatnya. Penulis itu bukan sekadar menulis dan berkarya. Setakat sekali dua dihantar dan tersiar di majalah, bukanlah cukup untuk menjadikan kita benar2 seorang penulis dan karyawan. Namun manusia sekarang merasa bangga bila karya mereka dicetak sini sana. Bangga nama mereka disebut2 mulut manusia. Namun input dalam karyanya? Perubahannya? Ilmu dan amalnya? Ada kah terpahat di mana2??? Belum pasti ada. Belum pasti tercapai objektifnya. Orang sekarang suka kepada banyaknya kuantiti, tapi seringkali lupa kepada pentingnya kualiti.

Aku menulis yang mesti dengan hati. Bilamana aku senang, gembira, letih dan tegang, aku takkan mampu berkarya. Ilhamku jarang hadir tatkala hatiku riang gembira. Jadi sukarlah hendaknya aku untuk menulis barang seperenggan dua tatkala keriangan itu datang menyinggah. Jadi aku fikir, aku takkan mampu menjadi penulis sepenuh masa. Mengharapkan makan dan minum dari pena yang diketuai akal dan ilham cuma. Aku takkan mampu.

Aku lebih suka menulis ketika aku ingin menulis. Blog ku yang sudah hampir setahun ini entah siapa yang singgah membacanya. Yang aku tahu pun, mungkin Nafastari. Kerana beliau kadangkala menyapaku dengan komen2 nya yang tersendiri. Yang lain mungkin Nyah, Ros merah dan Permatabonda. Tak pun Mai, Dilla dan Kak Sha, namun tak pernah mereka bersuara mengomen atau membantah. Mungkin Us juga sering menyinggah. Entah, aku tak tahu. Kenapa orang2 seperti Us tidak menulis?? Sayang.. jikalau benar Us menulis, hati sesiapa pun bisa terhakis..

Aku menulis kerana aku minat menulis. Aku menulis kerana aku mahu penulisanku membawa perubahan kepada JIWA2 yang membacanya. Seperti diriku jua.. yang berubah kerana termakannya jiwa oleh karya Aziz Afkar dan Hamka. Berubah kerana terpukaunya dengan kisah2 yang dibawa Talib Hassan dan Rahim Awang. Dan jatuh cinta pula pada ‘Ustaz’ yang dikarang S. Othman Kelantan. Itu aku. Aku mahu pembaca semua tahu. Bahawa aku dambakan keberkesanan jiwa dari sentuhan akal semata. Karya2 agung itulah yang telah menyentuh hatiku. Menyuntik semangatku untuk menulis yang entah untuk siapa. Sedikit tapi berisi. Pendek tapi berkualiti. Bukan tebal bagai tilam. Tapi isinya kosong dan kelam. Ah, menulis.. Biar sedikit dari tidak ada langsung. Namun biar tiada dari menulis yang rapu dan di permukaan cuma….. manakan mampu pembaca tiba di dasarnya.

Biarlah kita hidup dengan realiti dunia hari ini. Banyaknya bahan bacaan, namun jarang yang boleh menyentuh perasaan. Kerana menulis itu bukan lagi dengan pena dan kepayahannya. Yang tertulis itu bukan lagi dengan tinta yang hitam warna. Hitam bagai arang. Sekali terpalit, tak mungkin terpadam. Itu karya orang dulu2. Yang menangis merintih ketika berkarya. Yang tidak kaya raya dengan imbuhan honororiumnya. Sebelum kita membaca lantas berduka, air mata mereka juga telah banyak tumpah. Itulah penulis yang harus dibanggakan. Penulis yang menulis dengan pena dan tinta kehidupan.

******************************************

~ingat lagi aku rencana dua muka yang ditulis Rozilawati Abbas di majalah (aku lupa nama majalahnya). Indah dan penuh rasa. Aku baca sewaktu di tingkatan tiga. Namun memorinya tetap sirna tatkala kini usiaku menginjak dua puluh tiga. Namun di mana penulis itu sekarang?? Mungkin hilang tak dikenang orang… ah, sayang…

~aku ingat juga novel (bukan buku cerita) yang pertama kubaca- ‘Kuntum Kesedaran’ oleh Aziz Afkar. Aku baca seawal darjah tiga. Masih terlalu muda aku untuk menilai buruk baiknya..

~aku jua ingat sewaktu mataku basah meratapi rentetan kisah Haryati dan Zainudin dalam Tenggelamnya Kapal VDW karya Pak Hamka. Seminggu aku berendam air mata. Seperti aku yang bercinta lagaknya..

~dan tidak akan kulupakan ‘Hartini’ dan ‘Putik’ karya penulis kebanggaanku. Segalanya masih mekar dalam kenangan. Seminggu aku tak menjamah makanan. Diam lesu hidupku dihirup sendu dan kelukaan. Macamlah aku yang ditinggalkan…

~dan ‘Pelarian’ dan ‘Boneka’ dan ‘Ustaz’ dan ‘Imam’ dan ‘Salina’ dan ‘Donia’ dan banyak lagi yang semuanya bisa merubah prasangka dan akalku yang masih mentah. Moga bahagialah hendaknya mereka semua; penulis2nya……

p/s: ada buku yang kita baca untuk juadah minda, dan ada yang kita baca untuk juadah jiwa. Ada juga yang jadi petunjuk dalam beragama dan ada yang jadi bahan untuk ketawa gembira. Asalkan kita membaca, itu sudah cukup untuk menepati suruhan yang maha Esa… “Iqra’”- yakni 'bacalah!'