Tuesday, March 24, 2009

Ruang ini


Tuhanku yang Mengasihi...
Dalam kekosongan ruang ini
Kau ciptakan tangis di pipi
Butir2 air mataku berderai
Menonton sketsaMu yang takkan usai

Isikan kekosongan ruang ini
Dengan cinta sebenar abdi
Biarpun denai jalanku ditemani
Bebayang aku sendiri

-Hartini.

Tuesday, March 10, 2009

Dalam suku abad ini

Planner yang dihimpit kertas2 jawapan pelajar itu aku jeling seketika. Melihat sekilas catitan warna2 terang yang sengaja aku ukirkan bagi mengingatkan aku pada sesuatu. Ya, dan semalam (090309) hari Isnin yang disambut penuh kesyukuran, dengan cuti umum sebagai harga sebuah sambutan, telah pula aku menganjak dari usia yang dulu2. Melangkah ke satu angka yang masih baru. Ya, dan di suku abad itu, aku kini telah pun menunggu

Aku lihat keliling senyap2. Menebar pandangan pada bilik pejabat yang sunyi berdengung bunyian penyaman udara yang menyejukkan. Di suku abad ini aku telah berada di sini. Memegang jawatan dan mungkin boleh berbangga dengan duit hasil titik peluh sendiri. Syukur Tuhan, Kau sebenarnya lebih banyak memberi dari jalan yang tidak aku sedari

Aku melihat helaian2 kertas di hadapan. Dalam suku abad ini, aku berjaya melakukan pekerjaan yang aku idam2kan. Tidak punya masalah rumit melainkan masalah jiwa yang tidak mahu sudah2. Aku percaya aku telah berjaya menjadi wanita yang dewasa. Dewasa pemikiran dan perwatakannya

Dalam suku abad ini, lalu banyak deringan telefon yang masuk mencuri2. Dengan ucapan dan doa selamat yang tidak pernah gagal diucapkan, aku senyum penuh kesyukuran. Tidak pernah aku meminta2 tetapi mereka perdengarkan jua. Hari ini aku telah sampai ke suku abad itu. Dan semoga tercapailah segala tekad dan usaha murniku. Menjadi hamba yang kasih kepada Tuhanku. Yang mengurniakan aku umur baru di setiap tahun2 yang baru

Terima kasih Tuhan atas kesempatan. Dan terima kasih kalian atas ingatan. Semoga ukhuwwah ini senantiasa subur dan berkekalan

.................................

dan berbanyak2 terima kasih kpd pengirim2 sms, sahabat tersayang: Mar, Awla, Masyit, K.Yati, K.Dayah, anak2 murid seperti Nana, Zaharah, Zahara, Nurul, Oshin and the gang, Mr.Dee, Adil, Lia, Ucapan suara dari ustazah Sala dan doa ikhlas dari mama dan papa yang senantiasa bersyukur menerima aku sebagai anak yang boleh membanggakan mereka. Syukur Alhamdulillah...

Terima kasih semuaaa...

Thursday, March 05, 2009

Jangan menangis sahabat


Sahabatku di Utara sana,

Jangan menangis dengan ujian Tuhan. Itu kan tanda Dia semakin dekat dan semakin sayang. Semakin mahu kau jadi insan cemerlang. Dugaan itu cuma ujian untuk melihat keimananmu. Untuk melihat adakah engkau akan mengadu padaNya selalu. Mungkin memang sengaja dirimu dipilihNya, kerana engkau yang paling istimewa dalam berjuta. Siapa sangka?

Sahabat,

Aku akan sentiasa berada di sisimu. Menasihat dan mendorongmu dengan kata2 manisku, agar engkau sentiasa sabar dan tabah selalu. Bukankah kita pernah sama2 melalui susah senang itu. Mengapa kini kau tangisi kehidupanmu?

Sabarlah sahabat atas ujian. Bukankah telah kita maklum bahawa jalanan syurga menagih seribu satu dugaan, sedangkan neraka menggamit kita dengan nikmat, kesenangan dan gelak tawa yang mengkhayalkan? Hormatilah ibu dan ahli keluargamu, dan anggap sajalah karenah mereka itu sebagai pengalaman terbaik yang mengajarmu tentang liku2

Aku akan tetap di sini. Membantumu dengan caraku sendiri. Sama2lah kita berusaha menjadi pendidik yang berjaya. Sambil mendidik hati dan jiwa kita juga. Sabarlah.... Aku akan sentiasa berkirim doa. Kerana hanya kata2 ini sajalah yang aku ada, selagi belum ditarik nyawa...

Tuesday, February 24, 2009

Aku yang 40

1. Lahir pada hari Jumaat, pukul 12.05 tengah malam
2. Anak sulung kepada 4 orang adik beradik
3. Mempunyai dua pusaran di kepala, yang sering dikaitkan dengan budak degil tetapi bijak =P
4. Berdagu lekuk dan kadang2 terasa macam Dato’ Siti Nurhaliza (ceh!)
5. Tidak pernah lansung mempunyai masalah gigi dari kecik sampai dewasa
6. Tidak pernah lagi dimasukkan ke hospital [baca: sakit kronik, patah, luka parah, dsb] (waktu lahir dulu mak aku yang masuk, bukan aku)
7. Banyak mengambil genetic ayah seperti kerabunan, sifat marah dan penyakit lelah
8. Pemakai cermin mata secara tetap sedari usia 9 tahun
9. Memakai jam tangan di lengan kiri, dan hanya akan menanggalkannya apabila mandi dan berwudhu’. Tidur pun pakai, berenang pun pakai
10. Sangat suka tersenyum kepada sesiapa sahaja walaupun kepada orang yang tidak dikenali, asalkan dia memandang
11. Sangat meminati lagu2 balada pelbagai bahasa. Asalkan ballads
12. Hanya mendengar radio Sinar.fm di dalam kereta sendiri
13. Pernah digantung sekolah dan dirotan di hadapan perbarisan
14. Sangat benci kepada manusia yang tak beradab dan bersopan, lebih2 lagi di hadapan orang tua
15. Sangat meminati makanan yang berunsurkan binatang
16. Tidak lansung suka kepada manisan seperti kek dan aiskrim
17. Tidak lansung teruja dengan hadiah seperti bunga dan patung beruang
18. Banyak makan tetapi sangat kurang minum. Kalau keluar makan di kedai, minuman yang dipesan selalunya gagal dihabiskan (kecuali anw rootbeer)
19. Sangat suka menonton wayang dan kadang2 ke pawagam hanya untuk merehatkan badan (bukan nak menonton sangat pun)
20. Sangat suka berbual, meminta nasihat dan meneliti pandangan orang lain
21. Suka basuh kereta dan merasa puas jika kereta dalam kadaan bersih dan berkilat
22. Ketakutan kronik terhadap ulat sampah, cacing, lintah, pacat dan ahli2 keluarga mereka
23. Agak kasar dan tidak berbakat dalam seni yang berkaitan dengan kerja2 perempuan. Setakat boleh buat saja
24. Bukan jenis updated dengan fesyen dan dandanan. Tak kisah tak ikut fesyen ke apa
25. Tidak memakai apa2 produk kecantikan kecuali bedak tabur. Yang itu letak kat badan, itu jugak letak kat muka
26. Terlalu suka dan selesa berkain batik dan ber t-shirt kalau di rumah
27. Sangat suka mengambil gambar tetapi tidak suka bergambar
28. Sangat bercita2 untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara (UK khususnya)
29. Sangat suka travel dan tidak keberatan untuk pergi sorang diri
30. Sangat benci lelaki yang banyak cakap, belagak dan tidak serius
31. Suka memecut dan memandu dengan laju, dan tak faham kenapa orang hanya memandu 60/70/80 km/j sedangkan meter kereta dibuat sehingga 220 km/j. Jadi haruslah bawak selaju mungkin
32. Seorang yang suka berkawan tetapi tidak suka bersosial (tak suka join society, tak suka join aktiviti, tak suka berparty tapi suka pergi kenduri)
33. Sukar mengingati info berasaskan nombor seperti tarikh lahir ahli keluarga dan rakan2, nombor telefon, nombor matrik dan nombor kereta sendiri. Nombor akaun apatah lagi
34. Sangat suka membaca, tak kisah apa bahan pun, tetapi lebih prefer sesuatu yang berkait rapat dengan cinta dan kemanusiaan
35. Sangat menghargai keindahan alam dan sangat obses terhadap foto2 pemandangan
36. Hanya pernah jatuh cinta skali!
37. Mendengar lagu yang disukai berulang-ulang kali, berhari-hari sampai benar2 bosan dan tidak akan mendengarnya lagi
38. Tidak ada favorite colour. Tak kisah warna apa asalkan tak pelik dan menonjol
39. Tidak minat [baca: tidak tahu] bermain game
40. A real family-man. Sangat mementingkan keluarga dalam apa jua keadaan

Monday, February 23, 2009

Tolong...


tolonglah berhenti...! tolonglah...

ww: annoyed!

Thursday, February 12, 2009

Anak2 didikku, aku sayang kamu

Entri ini kutujukan buat SEMUA anak2 didikku...

Pertamanya, biarkanlah kumulakan tinta ini dengan nama Tuhan. Kerana Dia juga yang menentukan segala bentuk pertemuan dan perpisahan. Yang mana aku sendiri tidak pasti, apa erti dan hikmah pertalian ini, melainkan dapat kita lihat di tahun2 yang menanti

Sejujurnya, aku sedih. Menangis buat pertama kalinya kerana cinta. Cinta kepada kalian semua yang paling aku sayang. Dan hanya kamu2 yang sering aku panggil sayang, pagi petang malam dan siang. Masa yang dikhuatiri hadir itu telah tiba. Membawa kisah duka yang sebak menekan dada. Telah habis usia didikan yang sepenggal cuma. Telah aku berusaha membentuk kalian menjadi insan mulia. Sekarang terpulanglah pada kalian utuk mengambil nasihatku sebagai suluh penerang jiwa

Sayang-sayangku,
Jangan menangis dengan dugaan hidup yang mencabar. Jangan berduka andai Tuhan tidak pernah memberi apa jua yang kamu minta. Itu tanda tuhan sayangkan kamu. Memanggil kamu untuk dekat padaNya selalu. Percayalah, tidak pernah aku lupa menyebut nama2 kamu dalam setiap pintaan doaku. Kebahagiaan kamu akan juga menjadi kebahagiaanku

Sayang-sayangku,
Aku bukan malaikat, yang bisa memberi segala yang sempurna untuk kamu. Aku cuma seorang aku, yang belajar erti hidup dengan cara bantu-membantu. Aku seorang pencinta yang mencinta kamu atas dasar ilmu. Kalaulah ilmu itu bagai deraian pepasir di pantai, pasti sudah aku bekalkan berbondong2 buat bekalanmu di hari depan. Namun ilmu bukan begitu, sayang. Ilmu itu harus kau cari sendiri, dan simpan ia baik2 buat pengubat hati2 yang mati

Ingat, kamu datang atas tiket perjuangan. Harganya bukan murah, perjalannnya tak semua indah. Kadangkala kamu gembira, dan banyaknya kamu berduka. Itulah harga sebuah jaya. Jangan kamu lupakan ayah ibu di rumah sana. Jadilah anak yang soleh dengan mengingati keduanya. Sayangi mereka selagi mereka ada. Kerana kamu tentu bersedih dan merasa kehilangan di saat2 mereka tiada. Ingat sayang, ilmu yang baik adalah untuk dikerjakan, bukan diperam simpan

Tinggal sayang, untuk kali ini. Berdoalah semoga kita bertemu lagi. Mana tahu di lain hari, kamu pula yang bakal mendidik cahayamataku nanti. Besarlah menjadi insan DAN BUKAN hanya manusia. Besarlah menjadi pemuda pemudi yang membangunkan negara walau dengan apapun cara

Aku tetap akan duduk di sudut sini. Memerhati dan meneliti tanpa henti. Tersenyum senang dengan kejayaanmu, atau turut menangis atas kegagalanmu

Aku benar2 sayang kamu, kalaulah kamu tahu……


Miss Lydia Rusli
School of Biomedicine and Health
MUCH, Cheras Selangor

Tuesday, February 10, 2009

Mereka Salah Meneka, Kita Salah Menduga

Ini versi MESTI baca!

“Lima belas ribu, Lead. Bukan sikit. Mana dia nak cari?” rungut sahabat itu di depanku. Hampa, kesal dan sedih terpancar di matanya. Aku melihat matanya dalam2. Berdoa sepenuh hati pada Tuhan, agar diringankan sedikit beban

“Mak aku memang saja la demand macamtu. Macam puteri gunung ledang. Dah tak nak, bagi la macam2 alasan. Mujur tak mintak jambatan emas dari utara ke selatan..” ngomelnya tak sudah2

“Mak dia tak suka aku, Lead. Kononnya aku ni itu, aku ni ini…” seorang lagi. Aku dengar khusyuk, mengangguk sesekali

“Aku kadang2 tak faham mak bapak kita ni. Bukankah yang menggembirakan kita tu nanti bakal menggembirakan mereka juga? Bukankah?”

Aku diam. Takut memberi jawapan samada menyokong atau membantah. Bukan sekali, dan bukan seorang dua rakan2 datang mengadu kisah cinta mereka yang dihalangi ibubapa, dan bukan sekali juga aku termenung, tidak pasti apa yang patut dikata

Aku seorang perempuan yang dibesarkan dengan value bahawa restu ibubapa adalah aspek paling penting dalam kebahagiaan berumahtangga. Mungkin idealnya sampai ke tahap di mana aku akan berundur jika lelaki pilihanku tidak disukai ibubapaku. Idealnya begitu

Namun aku bimbang untuk menyebutnya di hadapan rakan2, bimbang mereka memikir yang bukan2. Ya, aku belum pernah bercinta (dalam ertikata mencinta dan dicinta), lalu tentu saja mudah bagi aku untuk memperkatakannya. Namun, jika diri sendiri yang berhadapan dengan masalah serupa, leher sendiri yang dijerut dengan serba salah yang serba mahanya, pasti aku juga akan menemui jalan yang satu, yakni jalan buntu

Aku diam terkedu. Memikir dalam2 sebelum membuka mulut, menasihati yang mana patut

Fikirkan satu perkara lojik. Tiada ibubapa yang sanggup melihat anak mereka beduka, derita berendam air mata. Ibubapa telah lama hidup dalam dunia, telah lama melalui pancaroba yang bermacam ragamnya, tentulah dapat mereka mengenal pasti bahawa punca2 bahagia yang mutlak bukanlah HANYA terletak pada cinta.

Pasangan yang diingini ibubapa tentulah seorang yang sepadan dengan kita. Intelektualnya, rupaparasnya, pekerjaannya, tingkahlakunya, peribadinya, jauh jaraknya, kufunya, latar belakangnya, keluarganya dan tentu sekali agamanya. Jika ada satu yang tidak segandingan, maka tentu sajalah menjadi keberatan untuk mereka merestukan. Namun kita yang bercinta hanya melihat cinta. Seolah2 telah dibutakan mata kerananya

Cinta memang penting, tetapi tidak sepenting sumber kewangan, contohnya. Kesempitan hidup bakal menghancurkan cinta. Memecahbelahkan rumahtangga

“Tapi ramai juga yang hidup kaya raya, namun masih menderita batinnya, lalu keluar mencari cinta,” potongnya deras. Mengingatkan aku pada si tuan2 dan dato2 kaya yang keluar rumah mencari sebaris cinta, kalau boleh ia kita definasikan sebagai cinta

“Itu bukan cinta, melainkan nafsu semata” balasku

Diam

Kita fokuskan perbincangan pada kehidupan kita yang amat sederhana, bukan terlalu kaya dan bukan juga terlalu papa kedana. Lumrahnya kebahagiaan berumahtangga lebih memerlukan sumber kewangan berbanding cinta dan rayu canda. Ya, mungkin hari pertama, kedua; cinta boleh mengenyangkan dan membasahkan tekak yang haus dahaga.

Namun kalau sudah setahun, sepuluh tahun, lima belas tahun, sudi kita disuapkan hanya dengan cinta? Sudi kita duduk di dalam rumah yang tak semenggah dan masih tergamak mengakui bahawa kita dicintai dengan megahnya? Sudi kita ditinggalkan seorang di rumah dan masih menganggap yang kita dicinta? Cinta datang seiring dengan tanggungjawab dan peranan. Dan itu yang sering orang bercinta lupakan!

“Jadi, cadanganmu, tinggalkan saja si dia, lalu mengikut telunjuk ibubapa, begitu?”

Pun tidak sampai begitu. Kita telah cukup dewasa untuk memikirkan yang mana lebih molek buat kita. Ibubapa akan terus menjadi penasihat paling setia. Keputusan tetap ditangan kita jua. Kalau kita rasakan pasangan itu paling bagus dan cocok buat kita, maka berusahalah menunjukkan kehebatannya di depan ibubapa

Tunjukkan kebaikan, kebagusan dan keistimewaannya. Biar yang istimewa padanya menjadi tontonan pada semua. Biar sama2 kita menilainya walaupun ia amat memakan masa. Di situ datang sabar, sabarkah si dia menunggu cintamu, melayan karenah ibubapamu, yang bakal juga menjadi ibubapanya kelak

Sewajarnya dari mula perkenalan, kita khabarkan bahawa kita kini telah berteman. Mungkin tidak sampai ke cerita perkahwinan, soalnya kita telah berteman. Biar mereka maklum siapa teman kita. Carilah satu masa yang paling sesuai, agar dapat pula diperkenalkan teman-tapi-mesra itu pada ayahanda bonda. Biar mereka melihat orangnya. Lalu jika pun di waktu itu mereka membantah, luka kita tentulah tidak menjadi terlalu parah

Bukankah molek jika sesuatu itu kita adakan pebincangan, saling kata-memperkatakan

Authoritative parents, bukan dikurniakan pada semua, Lead. Dalam keluarga aku, yang putih kata ayah, putihlah. Yang hitam kata emak, hitamlah..” sambutnya dengan nada sayu, memberikan keserba-salahan yang tak terungkapkan. Aku mungkin boleh bersyukur hidup dalam keluarga yang penuh keterbukaan. Semua boleh mengotakan pendapat, tanpa sebarang sekatan

Aku tarik nafas dalam2. Tuhan, berilah sedikit bantuan. Aku bukan kaunselor, dan tidak sedikit pun bercita2 ke arah itu. Namun kehidupanku sering dihiaskan dengan kisah2 rumit dan menyesakkan fikiran. Bukan aku rimas, bukan aku tidak mahu membantu. Tetapi aku sendiri masih jauh dari segala kisah2 itu. Bagaimana harus aku tahu? Selama ini aku berikan pendapat berdasarkan pengetahuan, dan mungkin sekali pemerhatian

Aku cuba sedaya upaya, memberikan nasihat yang tidak berat sebelah. Memberikan penerangan dari sudut mata seseorang yang tidak punya kena-mengena, melainkan mahu kebahagiaan itu tercipta buat mereka; samada temanku sediri, pasangannya mahupun kedua orang tuanya. Menasihati senatural mungkin, dari pemerhatian insan yang waras, tidak dimabukkan cinta, dan tidak dihasuti kebencian menggila

Kesimpulannya, sukar memahamkan ibubapa, sesukar memahamkan seorang yang sedang asyik bercinta. Namun ingatlah seperkara, ibubapa telah terlalu lama mengenali dan membela kita, dari kecil hingga dewasa. Sedang si dia itu baru saja kita kenali dalam era remaja yang memperkenalkan kita kepada cinta dan kemanisannya yang bersifat sementara. Maka wajarlah kita membuat setinggi2 pertimbangan terhadap keputusan ibubapa

Seboleh2nya, kahwinilah pasangan yang anda cinta dengan restu ibubapa. Jangan terus membuang keluarga hanya kerana dia. Perkahwinan lebih sekadar pengucapan cinta antara anda dengan si dia. Perkahwinan adalah perkongsian rasa, tangunggajawb dan peranan dalam kehidupan. Kesedaran bahawa bukan lagi hidup dan keinginan kita seorang yang boleh diturutkan. Kesedaran bahawa kebahagiaan hakiki terletak pada bahagianya orang2 yang kita sayang. Kesedaran bahawa segala yang kita lakukan akan diperlakukan pula pada kita di masa akan datang. Kesedaran yang menyedarkan…

Dan nasihat aku padanya, ‘bercintalah dengan redha mereka. Percayalah, redha mereka adalah redha Allah jua’

……………………………………

-teringat kisah Ibu Mertuaku, bilamana Nyonya Mansor menghalang anaknya Sabariah dari berkahwin dengan Kassim Selamat, itu kerana dia sendiri maklum akan sifat dan personaliti anaknya. Nyata akhirnya Sabariah lebih memandang harta dari cinta

-dan cerita Because I Said So, The Bride’s Father, Antara Dua Darjat, Pride and Prejudice, The Prince and Me, Monster in Law, Becoming Jane dan baaaaaaaanyak lagi. Tontonlah, dan ambil pengajaran.

Adakalanya ibubapa salah meneka, dan adakalanya kita sendiri yang salah menduga!

Thursday, February 05, 2009

Lelaki, perempuan dan jantan

“Aku tak perlukan jantan untuk cipta kebahagiaan.” Selamba. Menusuk dan keras bunyinya. Itu kata seorang teman. Wanita. Yang mungkin telah banyak kali terluka. Aku angguk mengiyakan. Nyata sekali kalau ‘jantan’ yang dia maksudkan, aku juga tak bekeinginan. Dari dipermainkan, diperkotak-katikkan, lebih baik hidup sendirian

Aku telah sangat lama tidak mengarang. Menulis maksudku. Kebelakangan ini, mindaku terlalu kusut. Serabut. Banyak kisah2 yang lewat dalam hidup aku biarkan berlalu tanpa dipenakan, diceriterakan. Lalu kini, saat terfikirkan ungkapan teman itu yang begitu tajam menusuk, aku bangun dari pembaringan, gagah membuka laptop dan menaip entri ini walaupun di tengah malam bulan terang. Di atas katil bujang

“Lelaki selalu nak jadi yang pertama.” Aku kerut kening. Kurang faham. Dan rakan di depan mata memberikan penerangan. Lebih lanjut. Katanya; - Lelaki suka jika mereka jadi yang pertama dalam hidup wanita. Yang pertama dicinta, yang pertama meyentuh kulitnya, yang pertama membelai rambutnya, yang pertama menyeka tangisnya, dan yang pertama juga melukakan hatinya!

Oh! Aku beliak mata. Cuba mencerna dalam2. Ya, ada benarnya

Dan kalau perempuan? tanyaku. “Perempuan tak peduli jadi yang pertama, kedua, ketiga; yang penting dia jadi yang akhir.” Aku beliak mata juga. Tak berapa nak tangkap. Dan rakan di depan menjawab mudah, - Perempuan tidak kisah jika lelaki itu tidak menjadi miliknya yang pertama. Tak penting jika bukan dia yang pertama merangkul lelaki tersebut, asalkan dia jadi yang terakhir dirangkul lelaki tersebut. Biarlah wajahnya menjadi wajah terakhir direnung lelaki tersayang, rambutnya rambut terakhir dibelai suami pujaan dan air matanya air mata terakhir diseka suami idaman. Tidak boleh ada lagi yang seterusnya selepas dia

Dan itu perempuan?

"Ya!" Yakin. Mengangguk deras. Aku senyum. Mungkin ada benarnya

Kalau jantan pula? Tanyaku

Jantan tak fikir orang lain, sayang. Jantan tak kira yang pertama atau terakhir mahupun yang tengah2. Mereka datang di celah2 kehidupan dan kebahagiaan orang lain. Datang bawa impian dan pergi tinggalkan kelukaan. Hidup untuk sekarang dan hari ini. Hari esok kita cerita lepas terbit matahari. Kalau hilang selera, cari lah lain pengganti!

Ok aww.. begitu sekali? Aku beliak mata. Geleng tak percaya. Dahsyat. Kalau dah tahu jantan, mengapa diturutkan? Sambungku heran

Jantan macam ruam. Makin gatal, makin garu, makin mengancam!

Ohhhh….. Lalu mungkin kita banyak jantan di muka bumi ini berbanding lelaki?

Dia di hadapan mnjeling - Itu sudah pasti!



.........................................

Ww: ingat pesan Tuhan, perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik!

Ape kene kome?

Aku bangun pagi. Awal. Mandi, solat, siap2, terus je masuk kereta. Hari ni Khamis, ada kelas belajar di taman ilmu dan budi. Dalam kereta, radio aku pasang. Dan dengar berita, Perak dah dapat semula kat BN. Huh, ape kene kome? Mungkin berita dah keluar dari malam tadi lagi. Tapi aku tak tengok tivi. Menyesal jugak

Entah. Perasaan bercampur baur. Aku bukanlah pemerhati politik tahap dewa dewi. Tapi suka untuk tengok perubahan berlaku sikit2. Takdelah kekal macamtu je. Maksud aku ke arah yang lebih baik, pasti. Adun yang lompat parti macam orang yang hidup tak ada hala tuju. Tukar parti macam tukar baju. Aku harap sangat adun2 kita boleh jadi insan yang lebih berintergriti. Tak kisah lah dari parti mana, yang penting harus setia pada perjuangan parti (selagi tidak bercanggah dengan adat dan syariat). Boleh berubah, tapi jangan sekali2 sebab reta

Ate, ape dah jadi kome? Aku ingat lepas ni nak sms sahabat baik aku. Anak jati Perak. Dia sekarang nun jauh di Yan sana. Ate bio deme tekejut dengo negeghi deme udoh dapat kat barisan balik. "huk'alah kome!"

............................

[update]

Ya, dan kawan aku seorang cikgu itu tidak maklum pun akan perubahan yang telah berlaku. Terkejut malah sukar mempercayai perkhabaran yang aku beri. Come on cikgu, be proactive please!

ww: tulisan aku dah mula berbaur abdullah jones dan rahimin dan nan jamil. maaf kawan, aku hilang sentuhan kelembutan

Monday, February 02, 2009

Aku bukan puteri


Aku bukan puteri
Untuk kau baluti warna pelangi
Lalu kau kalungkan daku
Dengan mutiara menjadi ratu

Aku bukan puteri
Untuk kau dendangkan kalimah cinta
Lalu kau palukan rebana
Canangkan aku sebagai raja

Aku bukan puteri
Untuk kau khabarkan pada dunia
Lalu sempat kau simpan bangga
Sangkakan aku bidadari syuga

Aku cuma wanita
Untuk diterima serba adanya
Lalu cuba melukis bahagia
Dengan pilu dan air mata

Klang
1/2/09 12.45am
ww: itu bukan gambar aku!

Thursday, January 29, 2009

Wednesday, January 28, 2009

Lang-kawi


Kami pernah ke pulau itu. Dulu. Mungkin tidak sampai pun dua tahun. Dan aku pernah juga mengirim entri untuk percutian ke pulau lagenda itu. Klik di sini jika kalian berminat untuk tahu. Dan semalam kami pergi lagi ke Langkawi. Menghirup udara segar dari tanahnya yang pernah ketandusan selama tujuh keturunan

Percutian 3 hari 2 malam itu kami rancangkan sebaik mungkin. Papa telah amat terkenal sebagai seorang program planner yang sangat teliti. Selalunya hampir 6 atau 7 bulan sebelum percutian berlansung, segala2nya telah dirancang papa. Beliau bukan seorang lelaki yang spontan. Segala2nya perlu perancangan. Dan untuk percutian bulan 6 akan datang pun, papa telah menyebut2 tentang Terengganu dan pantainya yang indah bertiup bayu. Jadi, kalau punya rezeki, kami bakal ke sana pula pertengahan tahun ini

Langkawi bagai dulu2 juga. Kalau ada pun yang berubah mungkin harga coklatnya yang seakan telah mahal dari lawatanku yang dulu. Kami sempat melawat Kilim geoforest park (terima kasih kepada entri Ishan yang sangat membantu), Langkawi Cable Car, Beras Terbakar, makam Mahsuri, Dataran Lang dan berbagai lagi tempat menarik yang pernah kami lawati sebelum ini. Ini tidak termasuk Underwater World yang sangat membosankan untuk kami sekeluarga. Mungkin acara dan aktiviti di situ perlu dipertingkatkan untuk menarik minat lebih ramai tetamu

Sebelum pulang kami membeli belah seperti biasa di pekan Kuah. Dan banyak kami tinggalkan duit2 ringgit kami di sana (tidak termasuk aku kerana aku memang jarang membeli-belah dengan banyaknya). Aku lebih suka mengambil gambar (bukan bergambar!), lebih suka menghayati keindahan alam dengan pelbagai cara. Berbeza. Dari kebanyakan wanita

Kami sempat ke Pulau Pinang manaiki feri di sebelah malam. Singgah semata2 untuk merasai keenakan nasi kandar Line Clear dan pasembor di Padang Kota, kami bertolak semula ke Kuala Lumpur pada jam 1 pagi, selamat sampai pada jam 6 dan tidur tanpa sedar2 lagi sehingga tiba waktu tengahari. Keletihan maksimum apabila kudrat dikerahkan sehingga ke tahap terhebat. Moga2 percutian kami diberikan berkat dan dipanjangkan muafakat

ww: Percutian mengeratkan anda dan keluarga. Jadi, bercuti sajalah di dalam negara. Segala-galanya ada di Malaysia!

Friday, January 23, 2009

Nikmat ketenangan


Syukur pada Tuhan, atas nikmat lapang ini. Nikmat ketenangan setelah tugasan-tugasan sempurna dilaksanakan. Tenangnya jiwa raga, setenang hembusan bayu yang membelah angkasa. Alangkah nikmatnya…

Telah hampir beberapa malam juga tidur ini tidak mahu lena. Memikir letak duduk masalah yang tak pernah sudah malah seakan bertambah-tambah pula. Di ofis dengan masalah-masalah kerja, ditambah pula tugasan dan pembentangan yang menjerit-jerit minta disegerakan usaha. Serasa amat sesak minda dan dada. Sesekali terasa mahu mengis, berendam air mata. Namun lekas pula kuinsafi kembali, itulah harga sebuah jaya

Dan syukurlah di tengahari ini, mampu aku menarik nafas lega. Lega kerana telah juga Tuhan menghadiahkan aku sebuah ketenangan itu. Ketenangan yang sering dirasakan saat-saat segala hutang berjaya dilunaskan. Syukur padaMu, Tuhan

Dan kini, dalam udara sunyi sepi di daerah suci ini, di taman ilmu dan budi ini, sempat juga kukarangkan sesuatu buat ceritera yang seakan lama tak terbela. Terasa rindu benar, mengirim-ngirim khabar berita buat teman-teman pembaca. Aku tetap ada, tetap sudi untuk berbicara tentang dunia dan isinya

Dan dalam digin penyaman udara yang sedang-sedang elok ini, terasa berat pula mata mahu menaip di papan-papan kekunci. Terasa aman dan damai benar untuk aku melelapkan mata buat seminit dua. Letih benar..... Dan ya, biar aku tinggalkan kalian seketika. Izinkan aku memberikan hak-hak ketenangan pada mata dan minda yang telah lama letih bekerja

Tinggal dulu, semua. Nanti kita sama-sama sambung bicara

Oh ya, dan cuti yang bakal datang ini…, tunggulah kedatanganku, Mahsuri!
Library UIA
23/1/09

Friday, January 16, 2009

Boikot itu ini

Aku datang opis pagi2. Kawan-kawan heboh tengok website, barangan dan produk apa yang patut diboikot. Aku join tengok sekali. Dalam pada tu angguk-angguk kecik. Banyak jugak barang2 yahudi yg aku pakai. Bedak Johnson kat rumah pun baru je kejap tadi aku sapu kat muka. Nescafe pun baru je aku teguk malam tadi. Hmmm… aku keluh kesal

Balik rumah, nampak papa usung roti john dua kampit. Adik aku komplen, “Ala, kenapa bukan McD?” adik tarik muncung.
Boikot! Papa jawab selamba. Lepas ni kalau nak makan ayam, suruh mama je goreng kat rumah. Kalau nak makan pizza, kita beli zan pizza kat pasar malam. Aku senyum diam sambil terus tengok tv. Teringat kawan baik aku yang memang dari dulu lagi dah buat pizza sendiri

Aku bukak laman rahimin, baca entri dia pasal boikot. Bagus betul, seumur hidup dia dua kali je masuk KFC. Hebat. Jangan aku, dah sebati dengan diri. Siap keje dan sumbang tenaga lagi. McD pun selalu jugak aku telan. Aku suka burger ikan dia tuh. Lembut dan menyelerakan. Tapi sekarang kalau nak makan, aku teringat muka umat2 islam yang mati kene bom, terburai isi badan. Terus geli geleman

Aku jarang dah tengok tv. Lebih2 lagi berita. Balik kelas dah penat, bersihkan diri, solat terus tidur. Pastu kat opis dengar pulak orang heboh bengang dengan sebahagian menteri yang cakap macam orang tak ada otak

“Haritu kata kene boikot, pastu ni dah terpulang hak individu pulak!” bentak seorang

“Macam hampeh!” sorang lagi, sambil jelling surat khabar

“Poket dorang tak kembung kalau boikot” ucap sorang lagi

“Ekonomi kita kan bergantung pada produk2 tu,”.. Eh ni rejim yahudi ke ni, soal aku dalam hati

“Alah, bukan mati pun kalau kita tak makan kfc,” selamba sorang lagi

Aku diam dengar dalam-dalam. Negara kita sebagai sebuah negara yang sokong islam, patutnya banned kan terus produk2 tu. Iklan pun jangan masuk dah. Ni beriya tulis surat berjela2 kat PBB, kutuk itu ini, tapi iklan KFC McD bersepah je lagi kat tv. Iklan maybelline pun tertayang2 lagi. Colgate ngan maggie tak yah cakap la. Aku jadi meluat, meyampah tiba2

Starbucks memang aku tak pernah pegi. Revlon, maybelline tu memang lansung tak pernah guna. Yang lain2 pasni aku akan cuba untuk tak pakai atau guna atau makan lagi. Mungkin aku boleh mulakan dengan pakai bedak Safi. Takpun Zaiton. Kadang2 bukan sebab tak nak pakai, tapi kalau pergi shopping tu, lagi nampak produk yahudi kat pasaran. Malas nak berlama-lama, sambar je la

Lepas ni aku akan guna Petronas, walaupaun aku anti kat pam minyak ni. Takpe lah, demi islam aku akan berubah. Dan aku harap kalau korang semua nak berubah buat lah sampai bila2. Memang orang kata banyak lagi yahudi boleh dapat dari industri dorang yang besar-besaran. Lantaklah, yang penting bukan duit gaji aku yang tolong belikan bom ngan senapang rabaikan tali perut umat islam. Walaupun sumbangan aku kecik, tapi orang tua-tua kata sikit2 lama2 jadi bukit. Tuhan pun takkan ubah nasib kalau kita sendiri tak mulakan. Jangan cakap je pasal tuhan tapi join lagi dengan setan. Pandai2lah korang fikirkan

Selamat memboikot itu ini

-maaf atas bahasa pasar yang aku guna untuk entri ni-

Tuesday, January 13, 2009

Dia…

Dan Khamis itu...

Dia datang dengan senyuman, memberi salam lalu duduk disebelahku. Orangnya tinggi ragah. Cerah, secerah masa depannya. Aku melihat dia sekilas, melarikan wajah dari memandang bola matanya dalam-dalam. Selebihnya aku gugup. Menyedari diri ini seorang insan yang terlalu biasa-biasa saja. Bertemu pula dengan insan se’terbilang dia. Namun lekas pula aku tukarkan rasa gugup itu dengan cerita dan tawa-tawa kecil.Dan lama-kelamaan gugup itu hilang, berganti senang dan selesa yang berpanjangan

Dari tingkahlakunya, tutur katanya, terlalu nampak akan kematangan itu. Matang dalam memberi pendapat dan pandangan. Matang dalam membuat penilaian. Matang dalam memutuskan keputusan. Matang dalam perlakuan dan cara berpakaian. Hampir sempurna, itu yang paling singkat boleh disimpulkan

Dan dalam jam-jam yang tidak berapa lama itu kami bertukar bual, bertukar cerita dan pendapat, bertukar kenangan dan kisah kehidupan, dapat pula dirasakan kemesraan itu, sekurang-kurangnya bagi pihak aku

Mengenalinya bukan atas sebab-sebab tertentu, melainkan mahu berkongsi kejayaannya, supaya yang jaya itu menjadi milikku pula. Untuk menghormatinya kerana pengalamannya, untuk berkongsi juga semangat dan tabahnya, dan selebihnya mengharap redha Tuhan mengiringi batas-batas perjalanan, dan dapat aku rasa betapa manisnya hubungan yang kerana Tuhan. Semoga hendaknya diciptakan kita menjadi golongan yang mendapat lindungan-Nya di hari pembalasan

Semoga panjang ukhuwwah, dan pada Dia juga aku berserah

ww: sayang kami tak sempat bergambar, kalau tak boleh juga tayangkan pada dunia! =P

ww: kenali DIA di sini

Tuesday, January 06, 2009

Dua ribu sembilan


Dan tahun 2008 itu berlalu, masuk hari ini sudah enam hari. Di dalam kereta aku termenung mengadap luar jendela. Menebar pandangan pada butir2 kehidupan yang membiaskan khayalan. Kerlip lelampu merah menambah keheningan. Bekas rintik hujan masih menitiskan saki baki gerimis yang berderaian. Alam kelam, sekelam hatiku juga

Dan 2009 itu sudah lama menjenguk. Namun tidak pula ku perbesarkan menyambutnya dengan ucap2 selamat. Sms2 yang kuterima lewat 31 Disember dalam kotak2 inbox masih kaku tersimpan. Tak terlayan..

Dan hidup tetap juga seperti biasa walau di tahun mana pun ia. Cuma umur yang semakin bertambah. Memberikan lebih kengerian saat2 aku berbual dengan rakan2 yang sudah maju dalam salah satu dari sudut2 kehidupan

“Aku due insyaallah bulan enam”, senyum rakan itu, sambil mengusap berhati2 perut yang berisi denyut2 nadi

“Majlisnya insyaallah pertengahan tahun ni”, ucap seorang lagi, mengenang hari besar yang bakal dilalui

“Emm, aku sebenarnya ada kawan, dan aku rasa aku nak serius selepas ni”, ucapnya sambil tersenyum simpul mengenangkan jejaka pilihan hati

Dan dalam senjakala itu aku termenung-menung melihat barisan kenderaan yang tekun menunggu merah bertukar hijau. Setekun aku yang menunggu kehidupan agar berubah. Berubah ke jalan yang lebih gemilang dan cemerlang mungkin

Bukankah kau sudah berubah, Tini

Errr

Kau berjaya, mungkin lebih berjaya dari sebahagian yang lain

Emm

Janganlah sebab yang satu itu kau terus mundur lalu meletakkan dirimu jauh2

Aaaa…

Sudah! Jangan termangu. Itu, lihat di depan sana. Hijaunya telah menyala. Ayuh teruskan perjalanan, dan jangan lagi diburu kekesalan!

Diam

Kutekan pedal minyak dan meneruskan pemanduan. Menyusuri hiruk pikuk kuala Lumpur yang senantiasa bergemerlaman. Lampu2 kenderaan telah dinyalakan, tanda senja sudah lama kutinggalkan. Dan lampu2 neon menemani kiri kanan jalan. Dan begitulah aku teruskan kehidupan, sampai tibanya satu hari yang Tuhan tentukan

ww: tenang menanti pertemuan Khamis ini

Tuesday, December 30, 2008

Untuk lelaki bernama Johan

Dalam meniti kehadiran tahun baru ini, dengan insan2 sibuk menyimpulkan keazaman yang baru, tekad dan setia yang juga masih baru, telah lama juga aku melihat akan ada hati2 yang masih berlama-lama. Melayan rasa dan kerinduan buat insan yang kekal serupa. Meski bertahun2 lantas rupa dimakan usia, sehinggakan kesakitan dan luka yang diguris cinta telah hilang rasa sakit dan sendu tangisnya, namun tetap jua mereka2 itu menunggu-nunggu dan menanti-nanti hingga abadi, tanpa sebarang usaha untuk mematikan hati yang telah lama mati

Dan setelah sekian lamanya ceritera ini melampirkan kepingan2 gambar yang bercorak warna, biarlah pula kucorakkan cebisan ceritera ini dengan tulisan2 hati, yang mana biar pula tergambar di mata hati kalian akan kesakitan dan kepasrahan hati dan perasaan seorang teman. Maka di bawah ini jualah aku lampirkan kepingan2 itu, untuk mata hati dan jiwa2 yang jarang menipu

Selayaknya kita membacanya juga dengan hati dan budi bicara yang tinggi, meminggirkan bahasa2 akal yang bercorak zahir dan duniawi, kerana bicara2 hati, eloklah difahami dengan hati, bukan dengan tafsiran akal yang mengkal dan dangkal. Dan di sini aku suratkan ia, citra jiwa yang tak kenal erti putus asa.......

.................................................................................

Untuk lelaki bernama Johan

Kumulakan tulisan ini dengan nama Tuhanku, yang tentulah Dia maha pengasih dan penyayang, malah pasti lebih sayang daripada sayangnya aku terhadapmu. Sebelum meneruskan perjalanan tulisan ini, marilah kita panjatkan sebaris doa buat junjungan besar kita, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Kerana tanpa ketabahan mereka mengembangkan agama tercinta ini, mungkin telah kafir dan musyrik kita semua kini. Lalu jauh lah kita dari mencium bau syurga yang kekal abadi…

Dan marilah kita panjatkan juga doa buat ibu bapa kita, samada mereka itu masih hidup atau telah tiada jua. Kerana tanpa mereka, dan tanpa cinta Allah buat mereka, tiadalah juga kita lahir dan dapat bernafas dalam dunia, sehingga kita membesar lalu menjadi remaja-remaja yang diajarkan tentang cinta. Dan semoga hendaknya kita juga diberkati seperti mereka, menjalin hubungan dalam ertikata yang sebenar-benarnya, temu dan pisah kerana Dia juga…

Johan,

Walau di mana pun dikau berada kini, samada di atas putih salji bersama dedaun maple yang kering menguning, atau pun di atas pepasir sahara yang hangat hingga mengalirkan lelehan keringat di dahi, atau di negara kita sendiri yang senantiasa dituruni hujan yang membasahi, telah juga aku mendoakan kebahagiaan buatmu, keluargamu, dan dalam tiap-tiap pekerjaan yang engkau kerjakan. Kerana aku sendiri maklum, engkau pemuda tekun. Tekun melakukan sesuatu yang tentulah baik-baik semuanya, sebaik peribadimu yang telah menghidupkan pesona jiwaku, sehingga menjadi pasrah dan berserah pada takdirNya...

Johan, jejaka pilihan....

Sebagai wanita yang sangat terhad tingkah dan lakunya, mafhum dan akalnya, tidaklah dapat aku memaksa-maksa untuk engkau kembali ke sini, atau sekurang-kurangnya bertandang di hadapan mata ini, agar tamatlah segala penderitaan hati. Kerana selama lebih empat tahun perkenalan kita ini, tiadalah juga kita melangkaui norma-norma kecenderungan manusia, adat dan agama yang sangat kita sanjungi. Cuma seperti kataku tadi, kelebihan peribadimu itulah yang telah memerangkapku, sehingga jiwa yang degil dan tidak reti bahasa ini telah pula menginginkan yang lebih dari selayaknya, lalu serasa pulalah akan bersalahnya jiwa

Engkau juga telah aku lihat seperti selalu mengambil tahu, atau sebetulnya terlalu mahu mengambil tahu, sehingga mekarlah jiwaku dengan impian-impian yang bersatu padu. Wahai lelaki, aku ini perempuan yang dicipta Tuhan penuh dengan kerinduan dan keinginan. Aku ini telah diciptakan untuk menghargai segaris sayang yang dicurahkan, sehingga ke suatu tahap di mana sayang dan cinta yang datang itu tidak dapat lansung kubuang-buang. Betapa gusarnya kehidupanku ini. Menanti-nanti sesuatu yang nyata aku sendiri tidak pun pasti

Namun aku juga bukanlah selemah mana, sehingga tamat dan berhenti riwayat hidup ini mengenangkan cinta; tidak! Aku bukan selemah itu. Kehidupan tetap aku teruskan dengan senyum dan mesra-mesra yang aku sendiri cipta. Dan kerana hati itu tidak dapat ditontoni, maka tiada jugalah terlihat akan kelukaan hati yang telah bagai sakit-sakit dan kehibaan menunggu mati

Johan, lelaki budiman..

Aku musykil benar di akalku, atas sebab apa engkau terus-terusan kekal di sana. Adakah kerana pernah aku menyebut-nyebutkan yang tak sepatutnya, sehingga terguris perasaanmu lalu engkau membawa dirimu jauh-jauh. Atau engkau sendiri mempunyai masalah yang tidak layak untuk aku memakluminya. Atau apa saja alasanmu, namun berilah sedikit penyebab, agar tenang diri ini menempuh hidup dan hari-hari yang seterusnya. Agar dapatlah pula aku meneruskan satu perjalanan baru dengan tenang dan setulusnya tanpa sangsi dan prasangka

Aku tidak dapat menyatakan di sini betapa sukarnya untukku mencari pengganti. Pengganti kepada teman sebudiman dirimu. Pengganti kepada perhubungan yang semurni dan secekal ini. Kerana hubungan yang Tuhan ciptakan buat kita ini terlalu penuh dengan seni dan keindahan. Kerana dalam sakit dan sengsara ini pun dapat aku rasakan kemanisannya. Terlalu manis untuk dilupakan begitu saja

Kita tidak pernah menjanjikan apa-apa dalam hidup, tidak pernah bermati-matian mengatakan cinta sehingga tak terdaya mengotakannya. Kita tidak pernah memberi dan menerima, tidak pernah berjanji lalu bercanda. Kita cuma berkongsi ketulusan hati dan jiwa raga, berkongsi perjalanan diri dan ceritera dunia. Dan atas dasar perkongsian itulah kita binakan kesayangan, kesayangan yang sebetulnya tanpa ada sebarang tuntutan dan paksaan

Dan setelah lama juga kutanam, kusiram dan kubajai sayang itu, sehingga kalaulah ia sebatang pohon, telah amat rendanglah ia membuahkan buah-buahan yang lebat ranum, engkau hilang tiba-tiba tanpa pesanan yang sebaris cuma. Telah mati akalku memikir-mikirkan sebab kepergianmu itu, sehingga aku sendiri lemah-lemah dihirup akal yang keras bekerja

Mengapa Johan, adakah engkau sakit, sehingga jika aku mengetahuinya akan matilah jiwa dan jasadku? Atau adakah engkau itu telah dipaksa memberikan cinta dan jiwa pada yang lainnya? Hee, beritahu lah, Johan. Aku pasrah menerimanya. Kerana seperti yang kunyatakan kini, engkau tidak pernah berjanji apa-apa, lalu mengapakah engkau gusar jika janjimu tidak terlaksana.. Aku ini perempuan yang dikurniai ketabahan jiwa, serasa mampu saja untuk aku menerimanya. Bukankah telah memakan setahun dua juga bila saat engkau hilang tanpa berita? Ayuh, khabarkanlah ya...

Lelaki,

Rasanya telah sampai ke penamatnya tulisan aku kali ini, yang mana tulisan ini aku sendiri tidak pasti samada mampu atau tidak untuk engkau membacanya. Membacanya lalu memahaminya. Namun anggaplah ini sebagai salah satu usaha murniku untuk menyelamatkan persaudaraan kita, andailah ia dapat diselamatkan. Namun jika tiada juga ditakdirkan untuk kita kebahagaian yang kita cari-cari itu, maka sudah tentulah pasrah aku menerimanya penuh rela dan redha, atas alasan Tuhan itu tentu saja penuh dengan wacana dan rancanganNya yang lebih istimewa

Sekian saja untuk kali ini. Lagi sekali kudoakan dikau bahagia, bertemu jaya dalam setiap lapangan kehidupanmu. Ketahuilah bahawa sayangnya aku pada hubungan ini adalah kerana sayangnya aku kepada Tuhan yang menciptakan makhlukNya sebaik dirimu. Mengertilah seadanya bahawa aku memohon maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan yang pernah kulakukan, nyata atau yang jauh dari pandangan. Semoga hendaknya tenanglah jiwa-jiwa kita yang kekusutan dan tidaklah ia menjadi bagai bara yang tersimpan....

Sekian,
Temanmu yang dulu-dulu..
Semenanjung,
Malaysia

Tuesday, December 23, 2008

KL - IPOH - KL

tiba di stesen keretapi Ipoh
Bangunan mahkamah Ipoh
teratak di Parit
spider web
pemandangan di jeti Kuala Kangsar
Masjid Ubudiah Kuala Kangsar
Rumah lama
dari dalam masjid

galeri SAS
dalam galeri SAS



pintu masuk galeri
Muzium Diraja Perak

bertolak pulang ke KL

Wednesday, December 17, 2008

Pena dan tinta




Aku jemu menaip. Aku rindu menulis. Rindu melihat tinta menyerap lembaran2 mukasurat yang putih bersih. Rindu mendakap pena dengan dakapan jari-jari. Lama2 menatap blog sendiri, hati seakan mati

Kosong

Aku jemu menaip. Aku rindu menulis. Ya, itu saja, aku rindu melihat tinta yang hitam warna...

Friday, December 12, 2008

dan di Baling itu...

Apa agaknya yang mampu kutulis tentang perjalanan ke Baling itu....? Ah, sukar sekali. Kerana terlalu banyaknya yang indah2, seolah bagai tak mampu dicoret tinta. Pekan kecil yang aman damai, dikelilingi bukit bukau yang berdiri permai. Ai, cocok sekali untuk dirakam dalam kamus hidup yang pelbagai. Kehijauan yang memukau pandangan, sehingga terasa tidak mahu lagi aku kembali ke hiruknya metropolitan...

Dan sempat juga aku berjalan di denai2 bendang, menghirup nafas segar yang dikurnia Tuhan. Indahnya ciptaan Yang Esa. Terkadang aku sendiri begitu sukar menghargainya. Dan berdiri di tengah sawah itu, melihat camar yang terbang girang, melihat pepohon yang beralun rendang, awan gemawan yang seperti tersenyum mengucapkan selamat kepadaku, terasa beruntungnya diri diberikan kesempatan ini. Nyata Tuhan masih memberi perhatian pada doa2 yang tak lelah dipohoni...

Dan sebelum berangkat semula ke ibukota, sempat aku membasah2kan diri di kedinginan lata. Mendengar deruan air yang laju menuruni berbatuan, sesekali terasa ngilu menahan sebak perasaan. Indahnya alam semesta yang Tuhan ciptakan buat kita. Namun tetap juga kita mencari dan menciptakan yang lainnya. Manusia... Jarang mengucap syukur, namun terngadah bila tersungkur! Dan semoga perjalanan ke Baling sana mendekatkan diriku pada Pencipta.. Terima Kasih, Allah!

Di saat aku seorang isteri


Selamat pengantin baru Kak Ainee!
Baling, Kedah
10/12/2008

Tuesday, December 09, 2008

Hakikat rasa kehambaan

Mana terbit cahaya
Di rembang hidup manusia
Bila yang jatuh satu-satu
Kita kutip mendakap pilu

Di sana Tuhan berbicara
Membatas segenap maya
Ini getir-getir pengorbanan
Hakikat rasa kehambaan

Hartini Omar
Aidiladha 2008

Wednesday, December 03, 2008

Kisah lama iv

Mari teman2, ayuh aku ceritakan pada kalian tanah tempat aku membesar

Katakanlah pada dunia bahawa aku membesar di tanah Kuala Lumpur. Di sana mengalirnya sebatang sungai yang tidak juga jernih airnya. Lalu orang lama2 namakan sungai itu sungai Kelang. Dari mana ia mengalir dan sampai ke mana, aku tidak mengetahuinya. Dan sampai sekarang, aku tak pernah ambil kisah

Katakanlah juga bahawa aku membesar di sebuah kampung di pinggir Kuala Lumpur. Di sebuah kampung yang pencil, dengan udara dan hawa yang baik2. Kampung itu namanya kampung Pantai Dalam. Bonda juga lahir di sana di sebidang tanah kepunyaan nenda. Lalu kini tanah itu telah ditukar pula menjadi kawasan kumbahan najis yang menyakitkan mata. Kami digantikan dengan rumah sebiji2 yang kami panggil rumah MARA. Dan anak2 penama dapat duduk di rumah panjang sorang sebuah

Jadinya aku tidak sempat membesar dan menyaksikan kampung Pantai Dalam yang lama2 itu. Sekadar mendengar ceritanya saja. Tentang pasirnya yang lembut dan memutih, dan penduduknya yang bahagia tak tersisih. Itu semua hanya jadi kenangan. Jadi cerita2 manis yang keluar dari mulut bonda bila kami sama2 duduk bercandaan. Pantai Dalam yang ada kini hanya kepesatan, yang sarat dengan pembangunan dan menara tinggi bercakar-cakaran

Dan lagi? Dan lagi aku membesar di kawasan rumah panjang. Rumah papan yang dibina berderet-deretan membuatkan kami amat rapat dengan tetangga dan jiran. Di situ aku belajar tunggang basikal, main polis sentri dan galah panjang

Lalu rumah kamu besarkah? Tidak. Rumah itu hanyalah binaan papan yang biliknya dibina sendiri oleh kami. Ia tidak besar, dan tidak juga kecil. Walaupun tidak kaya raya, kami diajar ayah bonda agar kaya budi bahasa, berbuat baik pada keluarga dan jiran tetangga. Di sekeliling rumah panjang yang berderet2 itu bonda tanam dengan berbagai pokok bunga. Lalu rumah yang sederhana itu tampak segar dan indah

Ayuh kalian, dengar sini aku ceritakan. Ceritakan tentang zaman kecilku yang leka berlarian dengan kawan2. Dengan Midun, Atai, Epol, Seri dan Kak Etty. Lalu sana kami sering main kejar2. Setiap petang kadang2 sampai senja. Sampai ibu2 menjerit nama kami lalu menakutkan2 dengan cerita hantu kopek yang menyorokkan budak degil dalam kopeknya

Lalu kawan2, ayuh aku ceritakan lagi tentang perumahan rumah panjang yang aman damai itu. Di tanah Kuala Lumpur yang sentosa lagi makmur. Alangkah hebatnya membesar dalam suasana aman dan luhur. Di mana mengenali dan dikenali adalah perkara mesti untuk setempat yang sebaris sebujur. Dan perkara itu tidak berlaku lagi di Kuala Lumpur. Segalanya telah jadi sendiri2 dan tiada kami2 lagi

Dan lagi? Dan lagi setiap jiran tetangga itu berbangga dengan nama panggilan mereka yang tersohor di mana2. Di blok 12 nombor 112 itu, aku tinggal sekeluarga. Berhadapan rumah kami adalah rumah Bibut dan Nono yang beribukan Ended Cik Yah. Sebelah rumah mereka tinggal pula Cik Mat Brory dan Cik Jah. Aku masih ingat, ya masih tidak lupa. Anak2 mereka Kak Tuti dan Andi yang matanya sepet macam cina

Dan Cik Leli yang jual aiskrim malaysia. Perasa milo, perasa anggur, dan asam boi yang paling aku suka. Dan ada kedai Cicik Nana dan Cik Melah. Cicik yang selalu jual rojak, jual sengkuang tabur kacang dan kadang2 jual tikam. Aku pun selalu beli, kalau bertuah dapat hadiah, kadang2 dapat makanan saja. Macam TORA, bezanya tikam ini lebih murah. Ada juga rumah Ayah Tongkat; india tua yang sering menakut-nakutkan budak2 dengan tongkatnya. Ya ya, itu pun aku ingat juga

Lagi apa? Hmmm.. ya, lagi tentang orang motor yang sering datang jual sate ikan. Bebola kecil 4 ketul yang dicocok pada lidi itu, dibakar dulu kemudian dicicah dengan sos istimewa. Tapi sate ikan mahal. Sebatang sepuluh sen. Kalau mama bagi 50sen buat belanja, aku dapatlah beli tiga. Kalau dah habis duit buat beli aiskrim, aku kadang2 dapat tengok saja. Waktu itu aku tak sabar nak jadi dewasa, agar dapatlah aku membeli satey ikan itu sebanyak-banyaknya

Dan kisah tentang dulu2, bila aku sering mengejar Bhai roti yang sering membunyi-bunyikan hon motornya. Pin Pon Pin Pon. Geram benar melihat roti2nya yang bergayutan. Kadang2 beli roti kaya 30 sen. Kadang2 beli roti kacang 30sen. Kadang2 beli roti krim panjang2 20sen. Seronoknya pengalaman itu. Sesuatu yang tidak mungkin lagi dirasai oleh anak2 kecil masa ini, hatta adik2 ku sendiri. Alangkah rugi...

Ayuh, lagi? Cukup, nantilah... Nanti kemudian aku kisahkan lagi pada kalian. Tentang hidup dan perjalanan. Tentang tanah Kuala Lumpur yang kini berlumpuran.. Dan di kampung itu, kalaulah dapat aku lukiskan agar senang kalian gambarkan.........

P/s: Jemput baca
kisah lama i
kisah lama ii
kisah lama iii

Tuesday, December 02, 2008

Perintang-perintang masa

Baru selesai ke klinik berhampiran, mengambil ubat-ubatan yg kini seakan pula telah menjadi keperluan. Keadaan masih tidak menentu, menepu minda dan memerah kudrat yg tidaklah sebanyak mana. Dengan urusan hidup yang tak terjaga, mata sempat memandang kalendar di atas meja. Nyata dijit2 dalam bulan ini terlalu banyak yg bertanda. Ah, Tuhan.. berilah sedikit perintang2 masa…

Khamis ini dijadualkan ke UIA untuk pendaftaran sarjana. Dalam dendang takbir Aidiladha yg bakal menjelma, terasa derasnya perjalanan dunia. Dengan hari Rabu depannya yg bakal pula ke Baling Kedah sana, terasa sarat benar hari2 mendatang untukku carikan waktu terluang

Dan Isnin 15 haribulannya terpaksa menguruskan peperiksaan referal pelajar, Khamis dengan ujian separa penggal yg belum lagi tersedia, kelas2 pengajian yang banyaknya tergendala, terasa berat benar kepala memikirkan letak duduk segala. Serasa mahu aku pejamkan mata untuk seketika, lantas melupakan terus cerita2 dunia dan isinya

Aku tidak banyak masa lagi untuk mengulit ceritera kesayangan ini. Mungkin semakin berhabuk dan bersawang nanti. Dengan runtunan2 hidup yang semakin ketat dan padat, membutkan jiwa tidak terisi dengan nukilan2 hati. Dan, sebenarnya aku sudah mula jemu menulis, jemu menangis - jemu merintih, jemu melayan kasih. Aku jemu dikerah minda, jemu didamba jiwa. Aku jemu segala-galanya

Dan saat ubat2 itu melalui saraf dan darah, terasa berat benar mahu membuka mata. Serasa lemah seluruh sendi anggota. Aku perlu masa untuk pulih semula. Tuhan, berilah kesempatan untuk aku sediakala seadanya…

Tuesday, November 25, 2008

Terima kasih cinta


Aku tersenyum dalam rintik hujan
Kerana cinta membuatku hanyut tak kebasahan

Aku tersenyum dalam indah pelangi
Kerana cinta memberiku kilauan warna suci

Aku tersenyum dalam mega mendung
Kerana cinta membuahku rindu tak berpenghujung

Aku tersenyum dalam rendang pohonan
Kerana cinta meneduh jiwaku tak berpayungan

Aku tersenyum dalam kuning senja
Lalu kuucapkan terima kasih cinta


Hartini Omar
25 Nov 08
5:05ptg

Friday, November 21, 2008

Terus jadi pembaca...

‘Betul tak mahu?’

“Betul,” aku jawab sambil menggeleng perlahan. Juraian bebenang di pinggir sejadah itu aku main-mainkan dengan tangan. Al-Kitab yang tertutup masih erat dalam genggaman. Diam-diam, aku duduk melayan angan

‘Kenapa tidak?’

Aku tarik nafas dalam-dalam. Masih belum mampu menjawab pertanyaan itu. Terlalu banyak yang dirangkul minda, sehingga sarat segalanya menepukan dada

‘Hey, kenapa tidak?’

“Entah… Mungkin kerana aku bukan orangnya,” aku menjawab pasrah. Sedikit terganggu dengan persoalan-persoalan yang menyeru, tidak pernah jemu-jemu

‘Kenapa bukan?’

“Cukuplah sekadar aku katakan kerana aku telah diciptakan menjadi yang lainnya. Lantas kerja-kerja itu eloklah aku serahkan pada yang berhak saja,”

‘Atau kau sebenarnya penakut?’

“Mengapa pula harus takut?” kini nadaku berubah marah. Sedikit calar bila kata-kata nista dibawa mencemar gegendang telinga

‘Ya, kau sebenarnya takut. Atau lagi molek dipanggil pengecut!’

“Aku tahu aku bukan,” kembali perlahan, membawa perasaan agar bertenang. Itukan hati, maka ia boleh bercakap juga sesuka hatinya. Diamkan saja

‘Kau terlalu takut bila tulisanmu tidak dapat diterima umum. Kau takut jika tulisan yang kau harapkan madu menjadi racun,’

Diam

‘Kau bimbang mahu tulisanmu dibaca orang. Lalu bila tidak ketemu hal-hal yang mahu dibaca orang, jadi kau terus berhenti menulis dan mengarang. Bukan begitu?’

Diam

‘Maka kerana itu kau lebih layak digelar pengecut. Kau tidak ikhlas dalam perjuangan dan penulisanmu. Kau menulis demi apa yang orang lain mahu. Sedangkan apa yang kau perjuangkan ini adalah tentang jiwa. Untuk mengisi kekosongan jiwaraga!’

“Tapi bukankah indah jika tulisan itu diterima semua. Maka dapat pula membantu orang lain supaya hidup mereka lebih bahagia,”

‘Mereka yang bahagia, atau kau sendiri?’

“Lalu kalau kedua-duanya sekali, mengapa tidak?”

‘Kerana itu kau lupa, Tini. Penulis yang menulis dengan hatinya tidak pernah memikir apakah hasil yang akan diterimanya. Bahkan pengisian itulah yang utama. Mereka perit dan sengsara, namun keperitan itulah yang menjadi sumbu yang menghidupkan nyalaan jiwa,'

Berhenti

‘Yang penting bagi mereka adalah jiwa pembaca dan jiwa mereka, agar dapat menyerap nafas seni yang tak tercatat di lembaran2 muka, tak tertulis dengan pena dan tinta. Ia ada dalam tiada! Dan penulis yang seperti itu, sebelum air matamu tumpah, air mata mereka juga bukan sedikit telah tercurah,’

Berhenti lagi

‘Tetapi, ada juga yang terlalu memikirkan tentang hasil dan penerimaan pembaca. Mereka menulis demi apa yang mahu dibaca pembaca, walaupun tanpa jiwa, walaupun tanpa rasa. Mereka bangga nama mereka dicatat berjela-jela. Mereka menulis kerana menulis itu telah jadi kerjaya yang mendatangkan harta, mencanangkan nama--

“Itu kerja mereka, jadi ia tidak salah,” aku memotong

‘Ya kerana itu aku berikan perbezaannya. Kau mahu menulis untuk dirimu atau untuk pembaca?’

“Bukankah memang tugas penulis agar penulisannya dibaca?”

‘Tidak. Sebagai seorang penulis, kerjamu hanya perlu menulis. Soal dibaca atau ditolak orang, itu tak perlu kau ambil kira. Bila kau mula memikirkan tentang pembaca, kau samalah seperti peniaga. Kau meniagakan hasil tulisanmu lantas menulis apa saja yang pelangganmu mahu, walaupun tulisan itu lari jauh dari nilai2 peganganmu, jauh dari kehendak rasa dan jiwamu,’

“Ya,” aku angguk2 perlahan, faham dengan konflik yang dirakam hati

‘Hanya peniaga yang meniaga barangan yang menjadi permintaan. Kerana kepentingannya adalah perniagaan. Maka jika yang kau niagakan itu adalah barang yang tidak diperlukan orang, maka sudah tentulah perniagaan itu kecundang,’

Berhenti

‘Tetapi ini menulis. Menulis seharusnya ihlas datang dari hati penulis. Walaupun banyak yang ditulis itu akan mengguris dan tidak menyenangkan hati pembaca, lalu pembaca memulaukan dirimu dan meletakkan engkau jauh-jauh; tidak mengapa. Kerana kerjamu cuma menulis. Bukan pelapor jualan yang perlu membuktikan bahawa karyamu laris di pasaran,’

Berhenti sejenak, lalu menyambung lagi

‘Kita sudah terlalu banyak penulis yang menulis tanpa jiwa . Sehingga jika kita ke toko-toko buku, tiada apa pun yang dapat kita belikan untuk santapan rohani dan ruhi. Kerana banyaknya cuma hidangan duniawi yang mematikan hati,’

“Ya,” aku angguk kecil

‘Jadi, mahu atau tak mahu?’

“Mahu apa?”

‘Jadi penulis!’

“Aku bukan tak mahu, tetapi tak mampu. Aku takkan mampu menjadi penulis yang begitu,” kujawab perlahan. Sedikit kesal tatkala banyak yang berlaku di seluruh kehidupanku tidak dapat kukawal

‘Kalau tak mahu menulis, atau tak mampu katamu, apa juga kerjamu?’

“Aku akan terus jadi pembaca,”

‘Dangkal!’

“Mungkin…,”

‘Sampai bila?’

“Sampai bila-bila,” sambil tersenyum, lantas membuka Al-Kitab di tangan, terus memulakan pembacaan yang dengan nama Tuhan. Aku akan terus jadi pembaca. Malah pembaca yang setia....

hartini omar
20/11/08
7.45pm

Monday, November 17, 2008

"orang 'baru' bujang"












Sabtu lalu, adikku Qamarul Azarin (Arul) yang berusia 10 tahun telah selamat dikhatankan di klinik berhampiran kediaman. Tentulah aku tidak mempunyai pengalaman yang sama kerana aku seorang wanita. Aku tidak tahu bagaimana emosi, perasaan dan sakitnya bila dikhatankan. Namun secara lojiknya, proses berkhatan itu tentulah sesuatu yang mendebarkan dan merumitkan. Namun itulah resam kehidupan. Dan selalunya yang perit dan sakit itulah yang manis untuk kembali dikenang-kenangkan

Aku senyum melihat Arul yang kini sudah melangkah menjadi remaja. Terasa pantas pula masa berlalu menjadikan aku berperasaan bahawa aku ini tidaklah semuda mana. Semoga besarnya Arul menjadi anak yang berguna. Yang soleh serta patuh pada perintah Allah, rasul dan ibubapa. Arul tersenyum2 bila dalam majlis kenduri orang memuji2 dan mengatakan bahawa dia telah menjadi “orang bujang”. Baguslah, biar Arul tahu semakin tinggi usianya, semakin besar tanggungjawab dan peranannya

Semoga selepas ini Arul tidak menjadi kanak2 lagi yang kadangkalanya berbogel bila keluar dari bilik mandi! ;-)
Tahniah ‘shenggala’!

Monday, November 10, 2008

dan setapak lagi aku pergi...

Kusambut khabar gembira itu dengan tahmid dan kesyukuran.. Akhirnya, aku akan kembali semula ke lembah ilmu dan budi itu tanpa ragu2. Aku akan kembali memikul beban dan tanggungjawab itu. Ya, itulah yang aku tunggu2, dan itulah yang aku mahu

Dan semoga Tuhan membantu aku menjadi amanah dalam pekerjaan dan pembelajaran. Kerana menggalas dua tanggungjawab sekaligus pastilah tidak semudah yang dicerita-ceritakan. Jangan lah hati ini bimbang, ada manusia yg lebih berat bebanannya, namun masih tinggi semangatnya. Bekerja, belajar dan sekaligus menjaga keluarga. Setakat aku yang muda belia, malah sendirian pula.., tentulah cabarannya tidak sesukar mana, InsyaAllah..

Dan kupohon agar kalian menyusuli khabar gembira ini dengan doa. Agar dipermudahkan oleh Allah taala akan jalanku ke menara sana. Ayuh, lekas tadahkan tangannya! Doakan ya..

Jazakallahu khaira!

Thursday, November 06, 2008

Matahari di atas Gilli

Aku belek buku satu2. Mula2 lihat tajuknya. Kemudian muka depannya. Lalu menyelak pula helaian pertama, laju bebola mata membaca tiap2 huruf yang berbaris bagai tentera. Aku senyum mengangguk. Suka, malah jatuh cinta. Lalu kututupkan kembali buku yg terkuak, dan melihat ke kulit belakang. Tertampal pelekat putih kecil berlogo POPULAR di situ dengan nilai harga RM45.90. Aku beliak mata macam tak percaya. Dari cinta jadi benci. Dari riang jadi sakit hati. Buku tebal itu aku letak kembali. Sambil mengeluh dan geleng2 kepala, aku berjalan lagi

Cerewetnya, Tini. Beli je lah, hati membantah

"Jangan, bukan sekarang. Untuk masa ini, kita beli yg bagus dan berpatutan", aku geleng sambil pujuk hati. Lalu berjalan, berhenti.. Jalan lagi dan berhenti lagi. Aku capai sebuah novel

Matahari di atas Gilli?, tanya hati

"Ya". Aku belek lembaran pertama, terus pula kedua, lalu ketiga dan lama2 jadi leka. Aku buka helaian akhir, mencari gerangan pengarangnya

Orang Indonesia?, hati sibuk bertanya. Aku angguk2. Berpuas hati dengan bahasanya yang baku dan sastera. Aku senyum

Sudah la, beli je la kalau suka!, hati mengganggu lagi. Belum sudah2 mahu berhenti. Aku tarik nafas dalam2, mataku sekilas terpejam..

"Tolonglah Ya Allah, jiwa dan mindaku kehausan sekeping nota. Tolonglah...", Aku rayu Tuhan. Lalu jenguk kulit belakang. Dan pelekat POPULAR itu bertulis RM25.90. Aku senyum dalam hati

Buku masih di tangan, dan setelah menghulurkan nota merah2 itu, kuteruskan pembacaan sampailah hilang suara hati yang sumbang kedengaran. Basahlah sudah jiwa yang kegersangan. Terisilah sudah atma yang kesepian. Lalu malam itu di atas katil bujangku, aku terlelap bersama impian dan harapan, dengan 'Matahari di atas Gilli' masih kejap dalam dakapan...

Terima kasih, Tuhan...

Monday, November 03, 2008

Di sebalik wajah...


Di sebalik wajah
Ada cerita duka,
Ada kisah derita,
Ada khabar sengsara...

Telah jatuh air mata
Menanti yang dicinta
Kini hanya pasrah
Dalam tentuan-Nya...

"mengerti hati.. Tini"