Sunday, April 29, 2007

Cerita kita

Sudah hampir sebulan blog ini aku tinggalkan. Banyak lagi tuntutan kehidupan yang lebih penting yang harus diselesaikan semenjak dua ini. Baru sekarang inilah masa lapang ada menjenguk datang. Dan tak mungkin akan ku sia2kan tanpa bahan yang walau sedikit bisa membuka mata hati dan jiwa yang selama ini tuli buta.

Sekarang aku di rumah. Oleh yang demikian, tv lah yang menjadi teman rapat selain novel dan buku cerita. Dalam waktu2 senggang ini, aku gunakan untuk menonton hampir semua rancangan yang disiarkan. Dari filem Melayu, Inggeris, Cina, Thailand, Spanyol, Russia, Tamil dan Indonesia, hinggalah ke drama dan sitkom, dokumentari dan muzikal, realiti tv (AF, America’s next top model, Amazing race, Gangstarz dsb) dan kartun dan sukan dan segala2nya yang disiarkan di kaca tv rumah.

Semalam aku menonton filem Batu Belah di astro prima. Cerita hitam putih arahan Jamil Sulong itu tak perlulah aku ceritakan di sini kerana kalian pun sudah maklum akan jalan ceritanya.

Dua tiga hari yang lepas, aku menonton filem ‘Cicak Man’ arahan yusri KRU lakonan Apek dan Fasha Sandha (sekadar membariskan sebahagian nama). Dan kelmarin juga aku menonton filem Inggeris ‘First Daughter’ lakonan Katie Holmes. Dan minggu lepas juga ku sempat menonton kartun ‘Ice Age’ yang disiarkan tv3. Dan filem ‘Baik Punya Cilok’ dan ‘Shall We Dance’ dan seterusnya. Aku juga telah menonton filem seram Thailand ‘Dorm’, cerita hindustan yang banyak tak terkira, dan cerita cinta indah ‘Pride and Prejudice’.

Aku jua tak lupa mengikuti setiap drama CSI (Vegas, New york dan Miami), drama ‘Prison Break’, ‘Heroes’ (walaupun aku agak kurang faham), ‘Amarte Asi’, ‘Datin Diaries’, sitkom ‘That’s so Raven’ dan animasi Mr. Bean yang aku tonton hari2.

Apakah agaknya isi yang ingin kunyatakan di sini? Segalanya berkait rapat dengan mutu filem kita. Cuba lihat filem kita yang dulu-kala. Filem hitam-putih yang walaupun banyak dengan nyanyian dan tarian, banyak juga terkandung pengajaran dan kiasan. Filem yang sebegini rupa dibikin agar dijadikan panduan dan pengajaran untuk semua yang menontonnya. Bukan sakadar jadi hiburan, filem dulu-kala dicipta dengan teguran dan simpulan yang terperinci dan berisi. Bukan sekadar bahan cerita yang lapuk basi. Banyak cerita2 yang dapat kita jadikan pengajaran dan tauladan. Semuanya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Kisah si Tanggang yang durhaka pada ibunya, kisah Gunung Ledang yang memerli raja gila yang kurang bijaksana, kisah Semerah Padi yang menyeru manusia supaya menjauhi zina dan bayak lagi. Semuanya masuk dek akal. Nasihatnya jarang disangkal. Tapi cerita melayu zaman kita? Sedikit sekali yang berkualiti. Cerita atau filem sekarang jauh mementingkan nama dan anugerah. Isi dalamnya hampir tiada.

Filem cicak man yang aku tonton baru2 ini……. Hmmm… entahlah. Sukar benar nak mengadun pendapat dan bicara. Bimbang jadi buah mulut mata2 yang membaca. Sekadar pendapatku yang melihat menggunakan mata yang dikurniakan tuhan. Kita orang melayu, tak perlulah nak beradun tenaga, berangan2 ingin mencipta filem yang penuh aksi dengan bantuan teknologi semata. Kita tidak arif. Terima lah hakikat yang kita tak akan mampu bersaing walau sebesar jari pun dengan mereka. Daripada memalukan bangsa, ada baiknya wang yang dilabur itu kita bikinkan filem2 tentang kehidupan kita. Adat resam kita. Tradisi dan norma masyarakat kita. Kisah2 yang boleh membuka mata hati dan jiwa kita. Cerita ‘Cicak Man’ itu - komedi pun bukan, aksi pun bukan. Kelakar lagi filem Pendekar Bujang Lapuk arahan P. Ramlee. Tanpa teknologi pun filem itu sampai pada maksudnya kerana komedinya suci dan asli.

Mari lihat pula filem2 orang putih. Kisah mereka ringkas tetapi menarik. Filem animasi mereka penuh pengajaran dan pedoman, mengalahkan filem2 kita yang berbelanja berjuta-juta. Tak penting berapa bajet filem kita. Yang penting kisah yang ingin kita sampaikan pada dunia. Aku mengalirkan air mata tatkala menonton filem Ibu Mertuaku. Aku jua turut menangis tatkala menonton filem Caste Away dan City of Angels. Akan tetapi aku tiada rasa bila menonton filem2 melayu kita. Aku harapkan filem2 yang indah bagai zaman dulu2.. Zaman2 Ali setan dan Balada. Zaman2 Sembilu dan Selubung. Zaman2 Jimi Asmara dan Gila2 Remaja. Namun itu semua telah tiada. Tiada lagi filem2 melayu kita yang boleh menambat hati dan sanubari. Entahlah.. Mungkin sebab itu mentaliti bangsa kita kurang mutunya. Kerana kita dibesarkan dengn filem dan ceritera yang tiada cantik dan indahnya. Yang banyaknya cerita yang ‘asal ada sudah lah’… Sayang bangsa kita. Hancur lebur dimakan arus masa. Memang bayak yang tidak baik di barat sana, tapi sekurang-kurangnya banyak juga yang lebih baik yang mereka tonjolkan pada semua. Kisah cinta mereka tulus dan ikhlas. Kisah komedi mereka benar2 menggelikan hati, kisah2 aksi mereka benar2 berkualiti dan kisah animasi mereka benar2 melayan fantasi.

Tapi filem kita???? Yang kisah cinta tak mengadun rasa melayan jiwa, yang kisah aksi bagai tak beraksi dan yang komedi lansung tak bervisi, nyata kita gagal untuk mencipta sesuatu yang bermutu untuk santapan kaum kita sendiri. Kita gagal… Tonton sajalah Zombi Kampung Pisang. Entah apalah yang ingin dibanggakan…

Kalau cerita melayu, daripada memonton filem, lebih baik menonton drama. Syukurlah, drama2 melayu kita masih banyak yang terselamat dan bermutu. Sekali aku teringat bagaimana seluruh keluargaku berendam tangis pabila menonton drama ‘Pondok Buruk’ arahan Mohd Nor Kadir. Merah mata ayah dan teresak-esak kami dalam sendu yang mengharukan. Berkesan sungguh drama itu. Dan ‘Daun Ketupat Kering’, dan ‘Gitar Tua’, dan ‘Quran Buruk’, dan ‘Ustaz Sufi’ dan ‘Tanah Kubur’ malah banyak lagi yang tak dapat aku senaraikan di sini. Semuanya bagus2 belaka. Penuh pengisian dan pengajaran yang memang patut diambil sebagai panduan kehidupan. Tapi filem melayu kita?? Ya Rabbi tuhan.. kita amat jauh ketinggalan.

Makanya tak perlulah kita berangan-angan setinggi gunung untuk membikin filem yang berteknologi tinggi seperti Spider Man, Sunshine dan Tornado. Sekarang bukan masanya. Kita masih lemah. Teknologi dan perkomputeran kita dalam perfileman masih lemah. Belajarlah lagi dan tuntutlah ilmu2 perfileman dengan sungguhnya sebelum membikin filem2 yang sedemikian rupa. Apa gunanya membikin filem tetapi akhirnya memalukan bangsa? Kita punya ramai pelakon berbakat yang tak perlu kita sia-siakan. Buatlah sesuatu dengan cara kita. Asalkan ianya penuh mutu dan kehormatan. Bukan bangga meniru barat tetapi jengkel dan membosankan. Tiada mutu dari aspek filem dan jalan penceritaan. Sudahlah gagal dalam teknologinya, kita gagalkan lagi dengan komedi yang basi dan lakonan yang kurang lojiknya. Jalan cerita pun keliru dan penuh cela. Sia2 lah wang kita. Kerana itu kita jarang menempah nama di mata dunia. Entah kenapa kaum kita begitu rupa. Selalu bersikap leka dan alpa. Memang term “Jaguh Kampung” amat sesuai buat kita. Di tanah sendiri kita mungkin juara. Di dunia, kita secorot-corotnya…. Fikir-fikirkanlah….

ini guru saya

Ini guru saya
Orangnya biasa saja
Tidak kaya tidak papa
Segalanya sederhana

Ini guru saya
Mengajar tulis baca
ABC Alif Ba Ta
Ilmu dunia dan agama

Ini guru saya
Tak kenal erti duka
Tak pernah keluh rasa
Tak gentar umpat cela

Ini guru saya
Dikenang sampai tua
Diagung tiap masa
Disanjung dan dipuja

Untuk guru saya
Hiduplah sejahtera
Tak kira sampai bila
Hingga jasad hilang nyawa

-hartini- 150307

p/s: Puisi ini untuk semua guru2 yang telah mengajarku
-SRK (P) Methodist (1) Kuala Lumpur. 1991-1996 (khasnya Cikgu Khairani)
-SRA Sri Pantai Kuala Lumpur. 1991-1996 (khasnya Ustazah Zaleha)
-SMA Daerah Batang Padang Bidor, Perak. 1997-2000 (khasnya Ustazah Raja Salasiah)
-SAM Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Banting Selangor. 2000-2001
-Pusat Matrikulasi UIAM, Petaling Jaya. 2002-2003 (khasnya Ustazah Nik Fathiyah)
-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak selangor. 2003-2007