Thursday, May 29, 2008

Cerpen 'Hikmat sebuah hikmah'

Kalaulah dapat diterajang, mahu saja kakinya dihinggapkan ke muka yang dibencinya itu. Marahnya meluap-luap. Bencinya berlapis-lapis. Bagai tak tahu lagi ke mana arah mahu di halakan kemarahan yang amat sangat itu. Kalaulah muka atau tubuh atau jasad atau apa-apa saja yang bersangkut paut dengan yang dibencinya itu ada, mahu rasanya dia menikam bertubi-tubi. Atau paling tidak pun menumbuk dan menendang sampai lunyai, sampai lumat. Biar puas perasaan geram dan sakit hatinya.

“Kalau pecah macamni, mau makan seratus setengah,” Jawab pakcik melayu, tokeh bengkel kereta itu dengan selamba. Pagi semalam dihantarnya kereta Spectra hitam kesayangannya di bengkel itu untuk dibetulkan cermin belakangnya yang telah pecah. Kepergiannya malam kelmarin ke pasar malam rupa-rupanya telah membawa kepada malang yang bukan kepalang.

Dia lalai dan meninggalkan beg kerjanya yang hitam pekat di tempat duduk belakang. Lalu apabila pulang, beg kerjanya yang mungkin disangka sebuah komputer riba itu telah dicuri orang! Dan yang lebih menyakitkan, cermin keretanya sama-sama dihentam. Padahal yang ada di dalam beg itu hanyalah dokumen-dokumen, sebatang pensel dan pen hitam. Sakit hatinya memikirkan duit yang akan mengalir bagai air. Sudahlah minggu lepas dia membayar harga duit tayarnya yang pecah, itupun selepas dua hari menghabiskan RM200 di pusat servis kereta. Betapa kejamnya dunia.

‘Dah la tak berduit, lagi kene keluar duit. Bangsat betul!’ Hatinya geram entah kepada siapa. Entah kepada insan yang mencuri, atau kepada dirinya sendiri. Dia tidak tahu. Namun sedikit demi sedikit hatinya mula marah pada Tuhan. ‘Kata maha Mengetahui, maha Penyayang, maha Berkehendak… Tapi aku macamni jugak!’ Desir hatinya. Namun setelah difikir-fikirkannya, dia jadi takut pula. Takut dirinya sudah jatuh murtad.

“Tak baik syak wasangka pada Tuhan. Setiap baik buruk kejadian, ada hikmah yang Dia tentukan.” Begitu kata sahabatnya bila dia merungut-rungut akan kehidupan yang dirasakan tak sebaik orang lain. Setiap kali dijejakkannya kaki di tanah, ada saja malang yang akan menimpa. Setiap kali dicelikkannya mata, ada saja dugaan yang menguji kesabarannya.
“Hikmah, hikmah, hikmah. Boring!”

Dia bukan orang jahat. Dirinya boleh dikategorikan baik juga walaupun tidak sewarak mana. Dia tidak meninggalkan solat. Kalau lewat atau tertinggal sekali-sekala, akan diqadhakan solatnya. Setiap kali selepas solat dipohon agar Tuhan mendekatkan dirinya dengan agama. Agar tuhan menyayangi dirinya dan orang tuanya, memanjangkan umurnya dan menjaganya. Dan tidak lupa juga dia meminta agar Tuhan membahagiakan dia, memurahkan rezekinya dan memimpinnya menuju ke jalan syurga.

Namun apabila makin banyak pula solat dan mengajinya, makin banyak pula dugaan dan cubaan yang menaikkan darah mudanya. Sehingga ada ketika dia mencarut-carut dan menengking-nengking dalam marahnya yang entah kepada siapa. Dan mungkin juga pada Tuhan yang baginya tidak tahu erti belas kasihan.

“Mintalah padaKu, dan Aku akan tunaikan,” begitulah kata Ustaz, merujuk kepada sepotong ayat Quran yang didengarnya di dalam radio IKIM minggu lepas. Namun sudah berkali-kali dia meminta agar Tuhan mengasihinya, agar Tuhan membahagiakannya, namun tidak tertunai juga impiannya. Di tidak pernah rasa bahagia, malah sebaliknya, dia lebih merasakan sengsara.

Wang kertas RM50 yang berjumlah tiga keping itu dihulurkan dengan hati yang berat. Namun hatinya lega juga, sekurang-kurangnya keretanya kini sudah dibaiki dan tiada cacat cela. “Kalau lepas ni jadi apa-apa lagi, tau lah..” Entah kepada siapa ugutan itu dia tidak peduli. Namun yang pastinya ugutan itu sangat serius dan dalam diam dia menyimpul satu tekad untuk bertindak jika ugutannya diabaikan. “Adil konon… heh!” tempelaknya dalam diam. Dan dalam sedar dia maklum kepada siapa tempelaknya itu ditujukan.

Kereta dipandunya perlahan menuju ke tempat kerja. Hujan turun renyai, jalan raya menjadi lebih licin. Dia pandu dengan berhati-hati. Hanya sekitar 60km/j. Tersangat perlahan jika mahu dibandingkan dengan kereta Peugeot biru yang baru melintas disebelahnya. “Ah lantaklah. Biar lambat asal selamat.” Ucapnya dalam senyum. Selalunya dia lah hero atas jalan raya. Namun mengenangkan duit-duitnya yang bagai ditarah-tarah, dia lebih rela memandu secara waspada.

Dalam kedinginan, dia mengimbas-ngimbas semula kejadian yang berlaku kepadanya semenjak dua menjak ini. Bermula dengan servis kereta yang memakan dua ratus ringgit. Dan kemudian menukar tayar yang telah bocor terlanggar paku dan tidak boleh digunakan lagi. Dan kini mengganti cermin pula. Habis duitnya yang dikumpul untuk berjalan dengan kawan-kawan ke Langkawi yang sebetulnya hari ini. Jawapnya tidak merasalah dia menjejakkan kaki ke Pulau Mahsuri itu. "Sial!” ucapnya bungkam membayangkan rakan-rakan yang mungkin sedang bersuka ria memandu ke utara sana.

Dan tidak semena-mena, walaupun dengan kadar kelajuan yang maha perlahan, dia terdengar bunyi dentuman apabila mahu menukar lorong. Dan entah dar mana datang sebuah bas metro yang besar dan laju, lalu melulu memotongnya dari arah kanan. Mujur sepantas kilat dia bertindak lalu membelok ke kiri, jika tidak mungkin telah ranap keretanya berlanggar dengan bas tadi. “Bodoh!” Ucapnya perlahan memandang tajam kepada bas yang telah meluru di depan. Dan hatinya jadi tidak keruan. Takut-takut bas tadi telah melanggar bumper keretanya

“Siaaaallll!” raungnya di tepi jalan itu. Dengan keras dia menyepak tayar belakang keretanya, merungut-rungut dalam hujan yang berintikan. Habis kemik bahagian belakang keretanya dihentam bas metro yang sudahpun menghilang. Dan dia tidak terkata apa. Sudahlah nombor plat bas itu tidak diambilnya, dan kini kerosakan pada kereta lebih-lebih menyakitkan hati dan sanubarinya. Lebih lima minit dia berhenti dan hanya melihat keretanya yang kemik tanpa dapat berbuat apa-apa. Memang sungguh dia marah. “Duit lagi!!!!!! Kenapa lah tak bunuh je aku, Tuhan? Kan lagi senang. ” dan terkeluar kata-kata itu dari mulutnya

Dalam kemarahan, dia memandu laju. “Bawak laju ke, bawak perlahan ke, sama je. Setan!” Dia menumbuk stereng kereta apabila kelajuannya terhenti dek kereta yang bergerak perlahan. “Tengok, jammed pulak. Lepastu lambat datang kerja. Kena potong gaji. Gaji tak banyak mana, keluar duitnya je lebih!” bebelnya sendiri sambil merangkan-rangkak melalui jalan raya yang sesak secara tiba-tiba.

Dalam kemarahan, dilihatnya Peugeot biru tersadai di tengah jalan. Bonet depannya menyondol sebuah van dihadapan, cermin depannya berceraian. Bontot kereta tersebut pula berkecai dilanggar bas metro yang juga telah berhenti di tengah jalan. Dia nampak dengan mata kepalanya pemandu Peugeot itu diusung ke tepi jalan, dibalut dengan beg plastik hitam. Tiba-tiba dia jadi ngeri. Mujurlah dia berhenti kejap tadi. Dan tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Ditekannya punat hijau dan kedengaran suara dari ‘handsfree’ yang dipakainya di telinga.
“Mat, kitorang accident kat Tapah. Ali meninggal dunia pecah kepala.”

Dia terkesima membayangkan wajah Ali yang menggantikan tempatnya ke langkawi sana. Lalu dengan rasa bersalah, tersebutlah di mulutnya nama Allah. Betapa dia sebenarnya disayangi dalam hikmat sebuah hikmah.
.....
by : Hartini Omar

Lahab


Friday, May 23, 2008

tahun2 berlalu...

Ini gambar waktu baby. Tak tau la umur berapa time ni. Mungkin dalam beberapa minggu atau hari. Tp yg pastinya aku dah pandai kerut kening.. Mungkin tengah pikir dah besar nanti ape aku nak jadi

Gambar waktu cukur jambul. Lena aku tidur, takde terpekik-pekik macam baby lain.. Mama cakap aku dari kecik memang senang lelap.. Harap2 tak membawak la sampai ke kawin nanti.. hehe

Ni gambar time berkelah kat port dickson. Waktu tu umur aku 5 bulan. Bila tgk gambar ni, aku tanya mama : 'takde keta sorong lagi lawa ke waktu ni?' mama jawab : 'itu yang paling lawa la tu mama beli!'.. =P

ni pun gamba waktu 2/3 tahun kot. Waktu kecik, aku memang suke begambar. Berangan macam model kanak2 la konon. Tapi dah besar ni, jgn kata amik gambar, lalu kat depan sliding door pun aku buat2 tak nampak bayang sendiri.. Segan separuh mati!

Ni pun sama. Contoh aksi2 manja. Bahagia la jadi anak tunggal sekejap. Mintak itu dapat, mintak ini dapat. Merasa la mengada-ngada sampai tahun yg kedua.. Lepas tu dan sampai hr ni, takde makna nak bermanja dah..

Ni gambar dengan mama. Muka aku memang lain betul dengan mama. Mungkin banyak ikut papa kot. Ntah, yg penting...., mama cantik, kurus, cerah, ayu, macam cina, bla bla.. dan aku hanya dapat segala2 yg sebaliknya.. kira ok laa..


p/s: 'syukur alhamdulillah'

Thursday, May 22, 2008

Untukmu, 'yang utama'

Biarlah kupanjangkan kemaafan ini
Pada baris kata yang tak berbunyi
Kerana hidup ini terlalu singkat
Entahkan sempat untuk bertaubat

Biarlah kupohon keampunan ini
Dengan lembah bahasa yang tersendiri
Buat penghapus rasa bersalah
Dan beban jiwa yang tak terbawa

Biarlah ku menangis kini
Mengenang dosa yang membayangi
Kerana entah bila kan hadir maut
Bersama malaikat yang datang menjemput

Sahabat,

Segala yang dulu itu memang aku
Aku yang penuh dengan kelainanku
Yang kini sebenarnya mencari diri
Menuju kebahagiaan paling hakiki

Berikanlah aku kemaafan
Atas setiap gurisan perasaan
Mungkin telah ditakdirkan
Dirimu diuji Tuhan

AA,

Kuperjuangkan segalanya
Atas nama kebenaran dan cinta
Untuk terus berjalan dan mara
Melalui lorong destinasi syurga

Di sini ku tetap mengenang
Melayan setiap kenangan yang datang
Namun terus tetap mendoakan
Agar kebahagiaanmu berpanjangan……

Maafkan aku, teman…

Tuesday, May 20, 2008

Aku terkesan..

aku terkesan..
pada bait2 tulisan
yang mengusik perasaan

hingga air mataku berguguran
tanpa paksaan
hanya diulit resah perasaan

indahnya kata2
buatku terpana
meremangkan reroma

aku terkesan
pada bait2 tulisan
yang mengusik perasaan

ilham dari tuhan...


puisi di sebelah diambil dari laman:
http://drmaza.com/?page_id=66

p/s: bila islam dan seni bersatu, lahirlah sesuatu yang menikam kalbu.........

Bila Tun M keluar parti

Bila Tun M keluar parti, aku tersenyum dari gembira dalam hati. Kalau aku jadi Tun pun, dah lama agaknya aku undur diri

Bila Tun M keluar parti, ramai yang bersyukur ‘telah keluarnya duri yang memamah parti’. Namun aku sedih, Umno mungkin kehilangan seorang politikus yang sememangnya ahli

Bila Tun M keluar parti, ramai yang sangka Umno akan cedera parah. Namun aku boleh teka ke mana perjalanan Umno seterusnya. Tetap hidup malah berterbangan jauh dari bumi nyata

Bila Tun M keluar parti, aku tak terkejut malah mengerti. Kerana keputusan beliau itu dibuat atas satu sebab yang tersendiri. Tidak puas hati kepada para pengemudi

Bila Tun M keluar parti, seronok lah mereka2 yang memang membenci. Parti itu telah mutlak milik mereka kini. Padahal mereka lupa, masih ramai lagi rakyat yg dambakan demokrasi dan terus-terusan memerhati

Bila Tun M keluar parti, ramai yang mengeji dan merasakan beliau itu pengkhianat dan pemungkir janji. Namun mereka lupa, beliau itu juga manusia biasa yang punya akal dan hati. Malah hati yang mungkin celik dari kita lagi

Bila Tun M keluar parti, bukanlah bererti penamat sebuah perjuangan. Kerana perjuangan sebenar bukanlah pada parti atau kumpulan, namun kepada apa yang hak dan yang diwariskan. Diwariskan oleh para nabi dalam hadith dan Al-Quran…………

-Allahua'lam

Friday, May 16, 2008

Selain menulis, aku.......

melukis

melukis
melukis

melukis...
melukis...

melukis...
melukis...
melukis...

dan melukis......

~tangan2 seni ini, kurniaan Illahi.. untuk dikongsi, dinikmati, disyukuri.. untuk mengagumi.. dan menginsafi... tiada yg lebih indah dan bererti.. daripada Ciptaan-Nya sendiri............
melukis

Wednesday, May 14, 2008

Biarku menjadi lilin


Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling
Dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan
rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini
dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh
terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan
setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan dihati
Walaupun sering kau ragui
Pada suatu masa
dan suatu ketika
Akan ketara jua

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian
saat kau kegelapan
Kurela menerangkan

Aku senang begini
dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri

Lagu oleh : Pelangi
-selamat hari guru buat...... diri sendiri =P

Friday, May 09, 2008

Syurga di kakinya


Aku lihat ibu2 itu tidak jemu2 melayan si kecil tersayang. Dengan penuh linangan kasih serta sayang. Dengan curahan dan limpahan cinta dan rindu yang tak terbilang. Berharap bila besar nanti, yang tersayang itu akan pula menjadi seorang anak yang cemerlang dan terbilang. Lalu bakal pula menjaga dirinya, memimpin tangannya melalui hari2 mendatang

Si kecil itu pula aku lihat tidak pernah2 jemu bermanja. Kadang2 dihiasi hidup bonda dengan senyum tawa. Adakalanya dikeruhkanlah pula hati itu dengan tangis dan linangan air mata. Namun nampak benar kebergantungan si kecil pada si bonda, bagai tak lepas2 mahu bersamanya. Hinggakan tidak mampu2 bercerai walaupun sesaat cuma

Walau si kecil kini tidak kecil lagi, kasih bonda masih luas bak jelapang padi. Keluasan tak bertepi. Kalau boleh, masih mahu dibelainya anak itu dengan tangannya yang kedut tua. Mahu disuapnya mulut itu dengan makanan yang dimakannya. Tidak kiralah anak itu kecil atau besar, ia tetap cahaya matanya yang dicinta. Kasih dan sayang yang tak pernah berubah walaupun sebesar zarah

Namun bila yang disayang itu membesar, bejumpa dan berkenalan, malah berjinak2 dengan dunia dan isinya, tinggallah si ibu yang tua itu, menuggu2 saat hadirnya yang disayang menjengah dirinya yang sunyi sayu. Namun yang disayang itu tiada jua datang2. Mungkin kini telah lupa ia pada bonda yang dulu melahirkannya bagai tercabut nyawa. Telah lupa ia akan ibu yang menjaganya hingga sanggup menggadai kudrat dan harta. Lalu seakan2 tidak peduli lah ia pada bondanya. Bagai kini hati tua itu telah tidak wujud lagi di dunia

Aku berkeluh kesah melihat watak2 dunia melakonkan wataknya. Ada yang mempunyai anak2, lalu bertemu keuntungan berpanjangan. Namun ada juga anak2 yang memberikan kerugian, selamanya rugi lagi merugikan. Semoga dijauhkan aku dari kelupaan buat bonda tercinta. Seorang bonda yang di kakinya aku sujud untuk menuntut keindahan syurga....….

“selamat hari ibu, buat “bonda2” tercinta..”

Wednesday, May 07, 2008

Harga cinta

Dedaun yang melambai itu aku pandang sepi. Sesepi hatiku sendiri. Lalu teringat pula akan pepohon itu yang tidak lelah2 berzikir memuji Allah. Sedangkan aku sendiri sering lalai dan leka dari mengingati-Nya

Adakalanya aku merasa bersalah, meminta2 sesuatu dari Tuhan, namun jarang sekali kurniaanNya yang melimpah ruah ini aku syukuri. Malah tidak segan2 untuk terus meminta dan meminta lagi. Bila aku kenang2kan, aku menung2kan sedalamnya, tentu lah saja Dia punya sebab mengapa tidak dikurniakan saja apa yang aku pinta – sebuah cinta dari manusia

Bila aku amati segala bentuk kemungkinan, maka sedikit demi sedikit, datanglah kesedaran yang cinta manusia itu belum tentu membahagiakan. Dengan cinta manusia itu, tentu saja bisa membuat aku terleka lalu lupa akan Tuhan yang Esa kerana terlalu asyik melayan cinta

Allah azza wajalla yang amat luas pengetahuan dan ilmunya tentu saja telah maklum akan perihalku, sifat dan kejadianku. Ya, tentu ada sebabnya dia belum mengurniakan cinta itu buat hamba sepertiku. Mungkin sepatutnya aku menambahkan lagi cintaku hanya padaNya semata2. Melahirkan sebuah cinta hakiki yang tidak betepi. Cinta Illahi

Namun sebagai manusia, tidak pula terlepas aku dari keinginan hati yang tulus suci, mahu mengasihi dan dikasihi. Mahu mengerti dan dimengerti. Memikirkan cinta, ada ketikanya datang rasa penyesalan, mengenangkan kamus hidupku keciciran satu halaman. Namun entah baik atau buruk kehilangan itu tidaklah dapat aku pastikan

Petang itu, aku didatangi utusan dari seorang sahabat yang telah lama menyepi. Datang mengutus berita bahawa dirinya kini sedang dirundung duka dan masalah yang bertimpa. Masalah yang menjelma atas nama cinta

Sahabatku ini seperti juga aku, masih belum pernah merasai nikmat cinta, erti cinta dan mencinta. Lalu diujilah dia dengan kehadiran seorang lelaki yang pada fikirannya dapat memenuhi kehendak hati dan jiwanya. Seorang lelaki yang pada mulanya hanyalah teman tempat berkongsi pengalaman dan suka duka kehidupan, lalu semakin lama dintimkan Tuhan akan dua jiwa itu untuk merasai kemekaran kelopak2 cinta yang indah bahagia

Lalu setelah dua jiwa itu bertaut utuh dan ingin ditambatkan dengan akad yang benar atas nama Tuhan, lalu didatangi pula ujian penerimaan kedua orang tua yang tidak seperti yang diharapkan. Cinta mereka ditolak atas dasar ketidak-samaan taraf pekerjaan si lelaki dengan temanku ini. Lagi pula sahabatku seorang pegawai kerajaan, maklum sudah akan hala tuju hidupnya. Lalu lelaki ini dikatakan sekadar mahu menumpang kesenangan, bagai semut yang menghurung manisan

Lalu atas sebab cinta yang baru dipupuk itu, yang dulu ditunggu2, maka hilanglah pula cinta dan kasih sayang ayah bonda kepada anaknya. Maka anak perempuan yang selama ini disayangi mereka dianggap bagai musuh pula. Memanglah tidak dinafikan perlunya hubungan rumahtangga dan cinta, namun tidaklah ia semudah menerima sesiapa saja yang datang mengetuk pintu bahagia, kira2 begitulah yang difikir oleh kedua orang tuanya

Rumit benar.. malah terlalu rumit untuk dirungkai dengan patah2 tulisan dan perkataan. Cinta yang ditunggu2 itu hadir, tetapi untuk mendapatkannya, terpaksa pula mengorbankan cinta yang sedia ada

Bukanlah dalam hidup ini kita terlampau mahu menjaga status dan nama. Aku juga tidak terganggu jika bakal suamiku bekerja jauh lebih rendah pangkatnya dariku. Bukanlah cinta itu memestikan setiap pasangan harus seiringan dan sempurna segala peri, kerana tujuan cinta itu sendiri adalah untuk saling lengkap-melengkapi. Namun masalahnya kini adalah hilangnya redha dari ibubapa, sedangkan dalam sesebuah perhubungan, tiada apalah yang lebih penting dari redha ibubapa itu sendiri

Dalam kesedaran dan kesyukuran, aku maklumi pengertian halus yang Tuhan kurniakan kepadaku. Mungkin sebagai petunjuk bahawa cinta itu tidaklah semudah yang diungkapkan kisah2 cereka. Sentiasa indah dan membahagiakan saja. Cinta itu satu kurniaan yang mesti pula dibayar harganya. Dalam diam aku sedikit mengerti, mengapa cinta itu tidak diberikan kepadaku lagi

Utusan sahabatku itu telah pula kubalasi dengan kata2 hikmah, tidak memuji dan tidak juga mengeji setiap perbuatannya. Aku mengingatkan dia bahawa kedua-duanya amatlah penting dalam hidupnya, baik cinta mahupun kedua orang tuanya

Namun aku tekankan kembali, tiada ibubapa yang mahu melihat anaknya berduka. Tentu saja kebimbangan mereka itu punya sebab-musababnya. Apa yang boleh dilakukan, adalah dengan memenangi semula hati ayah bonda. Jika dapat dia membuktikan bahawa lelaki yang dicintainya, lebih mencintai dia dan perilakunya dari mencintai nama dan kedudukannya, maka di situlah akan tamatnya segala masalah. Selain dari itu, aku serahkan saja pada Allah taala untuk memandunya ke arah bahagia. Kerana bahagia buatnya, tentulah bahagia buatku jua dan begitu jugalah sebaliknya

Lalu dalam kejauhan pepohon yang melambai itu aku tenung dengan pandangan mengasyikkan. Dan datanglah kebimbangan, takut akan pepohon yang kaku itu terjamin kedudukannya di syurga Allah, sedangkan aku hambaNya yang sempurna masih meraba2 mencari arah. Masih lagi terpanggil melalui denai2 dunia yang serba fana

Astaghafirullah… aku beristighfar panjang. Menarik nafas yang paling dalam. Aku mahu cinta, namun aku lebih mahu hidup di dunia dengan kasih sayang ayahbonda dan keluarga. Jauhkanlah aku dari ujian yang tak mungkin mampu aku hadapi, melukakan dan mendurhakai ibubapaku sendiri. Tidak, itu tentulah saja tidak mampu aku tangani

Biarlah aku kehilangan sebuah cinta, dari kehilangan kasih sayang yang telah lama terbina. Jauhkan lah aku dari semua bebanan2 itu, Ya Allah. Biarlah saja hidup ini kucurahkan kepadaMu. Biarlah Kau saja yang sentiasa bersamaku, yang kuseru dan kupujuk rayu. Cukup2lah sudah kulakukan segala dosa yang tak terkira. Biarlah kini hidupku dipandu cahaya dan redhaNya

Namun cinta sejati… dalam akal insani yang masih punya hati dan naluri, tetap juga kan kunanti. Semoga ia diberkati dan diredhai. Hanya itulah saja yang kuhajati, jauh di lubuk hati ini................