Tuesday, March 24, 2015

Dalam usia yang 31 ini

Dalam usia yang 31 ini
Aku bukan di Fatehpur Sikri
Mahupun bersantai di pepasir Gili
Masih bertemankan rembulan
Berdendang cengkerik sahut-sahutan
Di tanah kelahiran
Bumi nyaman, permai, menawan..

Dalam usia 31 ini
Hidupku masih kosong
Tiada emas berbondong-bondong
Tiada tanah berelung-relung
Tiada istana bergedung-gedung
Yang ada cuma jiwa
Teman akrab tempat bercanda..

Tini Omar
Kuala Kurau
9 Mac 2015

************
Saya akan menulis lagi. Mudah-mudahan nanti

Saturday, February 14, 2015

Benar-benar Cikgu Hartini

Sudah lama. Hampir setengah tahun. Saya kembali, sekadar menyapu dedaun yang gugur di laman usang buruk. Membersihkan sesawang yang bergantungan. Menyapu habuk dan dedebu yang menebal menyesakkan pandangan. Sukar untuk saya nyatakan apa sebenarnya yang ada di dalam hati dan jiwa. Sedikit rasa bersalah pastinya. Yang selebihnya saya hanya mampu bersedih. Sedih kerana saya tidak lagi setabah dulu dalam penulisan. Tidak lagi handal. Tidak lagi cekal. Laman yang dulu sungguh2 saya sayang, kini jarang sekali saya jenguk membuang-buang pandang. Ya, saya sebenarnya tidak punya hati dalam penulisan lagi

 Atau sebenarnya saya sudah tidak punya hati dalam memberitahu orang lain apa yang terkandung di hati?

 Entah. Saya tidak tahu

 Untuk yang tertanya-tanya di mana saya, izinkan saya memohon kemaafan kerana lama tak berutusan. Saya kini sedang bertugas di daerah Kerian. Ya, bertugas sebagai guru yang mendidik anak bangsa yang dahagakan pengetahuan Sering saya terkenangkan watak Hartini dalam novel yang saya minati. Hartini seorang guru. Dan seperti ditarik-tarik, perjalanan saya berhenti seketika di sini. Ia belum berakhir, cuma berhenti. Entah bila akan bersambung kembali, itu saya belum pasti. 

Melayani karenah si licik kecil yang bertanya, bermain, membuat bising tak sudah-sudah amat2 melelahkan saya. Adakalanya saya terasa sedikit sesal. Sesal kerana meninggalkan bumi London yang penuh indah bagaikan syurga. Hawanya yang dingin dan bersih, dengan bunga-bungaan yang mekar seperti di dalam taman, segala yang saya lalui di tahun lepas adakalanya tergambar seperti dongengan. Seperti mimpi yang menghiasi dengkuran. Lalu apakah kini saya telah tersedar dari lamunan?

Entah.

Entah kenapa saya kembali, bila saya mampu untuk terus kekal di London lagi. Kembali ke daerah sunyi ini. Menyapu keringat yang menitis tatkala saya berjemur melatih pelajar untuk perlawanan bola baling mereka. Membasahkan tekak yang perit dahaga apabila saya terpaksa memekik kepada sekumpulan pelajar lelaki yang sukar mendengar kata. Ya, entah apalah yang menarik-narik saya untuk berkhidmat begini

Saya sudah punya kelulusan tinggi yang jikalah mahu saya pilih, saya boleh memilih untuk bertugas sebagai pensyarah di mana2 pusat pengajian tinggi awam dan swasta. Dan saya boleh memohon perkerjaan lain yang selayaknya untuk latarbelakang dan bidang pengajian saya. Imbuhan di tempat-tempat begitu tentulah banyak. Tetapi kenapa saya ke sini? 

Saya sendiri tidak pernah ada jawapan

Anggaplah saja Tuhan menghantar saya untuk membantu anak2 kecil yang memerlukan. Mereka perlukan tunjuk ajar dan pendedahan. Di hujung daerah yang tersorok itu, ada pelajar yang tidak tahu lansung berbahasa melayu. Apatah lagi bahasa Inggeris. Mendidik mereka berbahasa Inggeris adalah cabaran terbesar yang pernah saya lalui dalam 30 tahun hidup saya. Ya, selalu saya sangkakan telah banyak yang saya lalui dalam hidup ini, rupanya tidak. Ada lagi yang lebih sukar dan mencabar, menunggu untuk disantuni dan diperhalusi dengan wajar.

Apakah saya tidak ikhlas ke sini?

Ah, bukankah ikhlas itu hanya mampu ditafsir Allah Azza Wajalla. Siapalah saya untuk mengaku ikhlas atau tidaknya seorang saya. Saya cuma hamba yang bergerak atas landasan yang telahpun siang-siang dibentangiNya. Sekadar melalui satu perjalanan yang saya pun tidak pernah tahu di mana penghujungnya

Terlalu banyak perubahan besar yang berlaku dalam kehidupan saya untuk saya ceritakan satu-persatu. Jawatan guru yang sering dianggap mudah itu bukanlah mudah sebenarnya. Lebih-lebih lagi untuk seorang pemuda yang sihat dan waras seperti saya. Tidak pernah sekali pun saya ke sekolah tanpa alat bantuan mengajar. Saya menjadi pelukis, pelawak, pelakon, penyanyi, jurulatih dan segalanya-galnya yang mampu saya jadi untuk kesemua anak-anak itu.

Dan apa yang melenakan tidur saya di malam-malam hari hanyalah sebaris senyuman mereka yang tulus ikhlas mengucapkan selamat pagi, atau anggukan kecil mereka tanda memahami. Ya, hasil sebenar seorang guru tentulah bukan wang ringgit yang diterima tiap2 bulan, akan tetapi besarnya anak-anak itu menjadi insan yang mampu dibanggakan

Sekurang-kurangnya itulah yang saya harapkan

Saya masih seorang saya. Masih sendiri dan tidak lagi pernah bertemu cinta. Namun cinta terbesar kini terhidang enak di hadapan mata saya. Ya, cintakan anak bangsa. Ingin sekali saya nyatakan, saya sangat-sangat mempercayai bahawa setiap apa yang terjadi itu ada hikmahnya. Cumanya, definasi hikmah itu terletak pada tuan empunya mata, telinga dan yang paling penting, jiwanya.

Saya menemukan hikmah dalam perjalanan saya dalam usia-usia begini. Namun saya percaya, masih banyak yang menunggu saya jika saya terus berjalan dan berjalan, lagi dan lagi

Saya akan bermukim di daerah ini untuk 22 bulan lagi. Dan selapas itu?

Selepas itu, biarlah kita pulangkan kepada Sang Maha Tahu yang di TanganNya lah terletak segala perkara duniawi dan ukhrawi. Saya akan terus kekal setia menjadi abdi. Seorang abdi padaMu Rabbi.

Semoga berjumpa lagi.

Salam kasih sayang,
Cikgu Hartini. Benar-benar, ‘Cikgu’ Hartini.