Thursday, June 25, 2009

Selatan

Utara sudah, Timur pun sudah. Dan kini ke Selatan pula. Aku tak mampu menulis. Tunggu lah, sedikit masa lagi... Ini saja gambar yg ada sempena pemergianku ke Selatan sana...

Malam di JB

Danga Bay

Dari balkony apartment

Di kebun milik Mak Teh

Durian Mak Teh yg sedaaapp!

Manggis Mak Teh yg menawan

ww : Terima kasih Mak Teh, atas pelawaan makan free di kebun buahmu. Tahun depan sudi2 lah ajak lagi ya =P

Sunday, June 14, 2009

Terpaksa menghampakan

Aku senyum senang. Memandu dalam kelajuan sederhana. Lembut menusuk gegendang telinga alunan2 asli, joget, zapin dan adakalanya keroncong. Memang sengaja aku pasang CD begitu kalau memandu. Melayan enak bait2 hebat yang indah memikat. Lagi2 kalau mendengar suara kakak angkat tersayang, Cik Siti (ahaks =P)

Kalau bukan alunan asli, lagu2 ballads jadi pilihan. Alunan saxophone yang lembut memberi kantuk pada kebanyakan orang, untukku jadi pembakar semangat. Memandu dengan mendengar lagu2 yang kita minat akan membuatkan kita bertambah peka dan waspada. Sekurang-kurangnya itu yang aku percaya

Kadang2 aku lupa, aku membawa bersama penumpang di belakang. Yang entah suka atau tidak mereka mendengar alunan lagu2 yang padaku memberi riang. Namun selalunya kawan2 rapat sudah teramat faham. Mereka maklum, dalam kereta Tini tak ada lagu2 pop, lagu2 rap, lagu2 rock.. Mereka tak kisah dan cuba meng’adapt’nya

Cuma untuk penumpang2 yang tidak biasa, mungkin mereka tidak selesa. Tapi maaflah, aku takkan mampu mengubah jiwa

Tini, pasang radio lah

Ok kak

Dan alunan retro berkumandang

Sinar pulak dah..

(Aku senyum) Minta maaf kak. Saya tak dengar stesyen lain

Aku tahu, ramai rakan2 sebaya membuka stesyen panasFM itu dalam kereta mereka. Aku dah cuba, tapi ditolak jiwa. Jadinya, hal yang satu ini sajalah aku meminta kebenaran untuk mengikut perasaan dan terpaksa menghampakan!

p/s : ada org di utara sana suka buka stesyen nasyed dlm kereta putih beliau. hehehe =P

Tuesday, June 09, 2009

Timur yang luhur makmur


Saat aku menaipkan entri ini, fikiranku jauh melayang, melepasi tahun2 yang deras berlalu, tidak pernah ku tersedarkan. Adakalanya memori itu datang, lalu memberikan kenangan paling indah dan membuatkan kutersenyum girang. Dan selebihnya mengungkit kembali segala memori luka, yang terkadang memberikan sendu yang terlalu sukar untuk dilafazkan dengan kata2

Setelah ke Utara beberapa minggu yang lalu, kakiku ini kujejakkan pula ke Timur yang makmur. Berjalan menelusuri pepantainya yang berpasir putih bersih, dengan deru bayunya yang sesegar kelopak bunga, airnya yang kadangkala kebiruan dan kadangkala kehijauan, ah.. betapa aku terlalu dekat dengan negeri ini, terlalu dekat sehingga adakalanya seakan2 memberikan sedikit kepiluan

Kenapa? Kerana Hartini. Ya, Hartini yang sebetulnya datang dari tanah Timur yang luhur ini. Seluhur dirinya yang menjadi korban kasihnya. Melayang aku mengenangkan sebuah kisah cinta. Apatah lagi bila membaca penanda jalan bertulis ‘Pasir panjang’ itu. Wahai Tuhan.. berilah aku sedikit kelapangan fikiran

Perhentian itu indah. Masih terbayang2 akan percikan suria yang berkilauan, memantul dari kejernihan lautnya yang mendamaikan. Terima kasih buat teman lama yang sempat memberi sedikit panduan sebelum kelana jauhnya di pentas bumi yang sana

Cuma sedikit terkilan, tidak dapat aku menziarahi beliau dan keluarga kecilnya, mengusap umbun puterinya yang pasti tersenyum kerana masih belum mengerti apa2. Tidak mengapa, jika ada rezeki yang diberi Allah, maka pasti akan bertemu juga kita

Ah, dan Perhentian dan Terengganu itu, biar sekali lagi kuserahkan ‘penceritaannya’ kepada kesayanganku. Betapa bertuahnya lahir dan membesar di Malaysia. Kadang2 teramat sukar untuk kita menghargainya. Mungkin teman, kamu sendiri telah dapat menghargai keberuntungannya. Merasai kerinduan pada deru nyiur, Timur dan ketimuranmu yang makmur..

Aku sangat percaya bahawa masih terlalu banyak yang belum kita teroka. Lebih2 lagi tentang tempat, adat dan budaya kita. Mari belajar dari alam yang diberi Tuhan, belajar memafhumkan erti sebuah kesyukuran dan belajar erti jalinan sebuah persahabatan…..




ww: lawati laman 'flickr' ku untuk foto2 yang selebihnya

Thursday, June 04, 2009

Tuhan terlalu sayang...

Entri ini aku tujukan buatmu, sahabat sepenulisan. Saat pagi menjengah dan aku terpaku membaca sebuah keluh-kesah. Berdegup laju nadiku, serasa dapat kudengar dengan jelas di dalam pejabat yang sunyi sesunyi-sunyinya. Bacalah, bacalah jika engkau sudi membacanya walaupun dapat aku agak, engkau pasti tidak berkenan dengan ayat berbunga2. Namun cubalah baca, kerana apa yang aku tulis ini memang untuk kamu. Hanya untuk kamu...

Untukmu yang mungkin engkau sendiri masih tercari2 jalan penghidupan, meninjau-ninjau di landasan mana akan tersemat sebuah pengakhiran. Sudah tentulah yang kau impikan itu sesuatu yang bahagia, namun janganlah engkau lupa, yang duka dan kecewa itu pasti datang membawa rintangan2 yang memerlukan kesabaran. Kesabaran dan sepenuh kepercayaan pada Tuhan

Teman sepenulisan,

Sesekali bila aku renung2kan, kita punya serba sedikit persamaan. Tidaklah niatku untuk meletakkan kamu serendah aku, kerana aku sendiri adalah wanita yang hina dina. Terperusuk jauh di tempat yang tidak pernah sudi manusia menunjunginya. Persamaan yang aku maksudkan itu mungkin sekali dari corak pemikiran kita. Yang sentiasa mengangankan dan mengimpikan kebahagiaan tercipta, kalau boleh menjelang esok apabila mentari memercik sinarnya

Kita terlalu degil, mahu mencari apa yang diingini hati. Sedangkan telah banyak peluang2 yang menjenguk datang. Namun atas faktor hati, peluang itu kita tentang, kita kekang. Hati kita lebih penting dari persepsi mata2 yang memandang. Persetankan manusia, manusia hanya mampu memandang bila kita susah, namun tak malu mengaku saudara bila kita bahagia. Itu memang perangai manusia

Teman,

TUHAN TIDAK PERNAH KEJAM pada kita. Mungkin sekali kita sendiri yang belum celik untuk melihat betapa Ihsan dan KasihNya Dia. Semakin banyak pancaroba yang didepani kita, semakin tinggilah rasa sayangNya. Sekurang2nya itu jugalah yang terpaksa aku sematkan dalam kotal akal untuk kembali cekal. Walaupun ada juga masanya aku terlalu putus asa untuk berdoa, kerana Dia seolah2 tidak pernah mendengar dan memberikan apa jua yang aku pinta

Aku seorang perempuan, mungkin sekali tidak sesukar dirimu yang ditakdirkan syarat alam, menjadi ketua dalam sebuah penghidupan. Mencari rezeki untuk kemudahan hari depan. Untuk membantu, atau lebih molek aku katakan untuk meyakinkan keluarga dan saudara mara, bahawa pelajaran dan perjalanan hidupmu selama ini tidak sia2

Aku berbangga mengenalimu. Mengenali rakan2mu. Engkau lelaki tabah, pasrah, dan sekali sekala diselangi gelak tawa yang mendamaikan jiwa. Walaupun egomu itu terlalu tinggi mencapai awan hingga tak mampu digenggam tangan, adakalanya engkau terlalu tulus, kawan. Terlalu suci dan kebudakan. Ya, sifat yang mendatangkan sedikit senyuman, sekurang-kurangnya untuk aku yang hanya mampu memerhati di kejauhan. Memerhati atas dasar kemanusiaan

Teman sepenulisan,

Ingat, tuhan tidak pernah zalim pada hambaNya. Mungkin kita yang zalim, meminta2 sesuatu yang akhirnya boleh menzalimi diri kita. Siapa sangka? Apa yang berlaku dalam denyut2 dan detik2 kehidupan, ditentukanNya. Kita perlu bersyukur diberikan bahagia, dan bersyukur juga diberikan duka sebagai ubat leka. Setiap yang berlaku, pasti sekali ada HIKMAH disebaliknya

Kau berpendidikan, terlalu bijak dan sangat tidak molek jika mencurigai Tuhan. Aku pasti, kawan; Suatu hari nanti kau akan kecapi apa yang kau idam2kan. Aku pasti, kerana engkau banyak berusaha, dan usaha itu tangga kejayaan. Sama2lah kita berusaha dan berdoa, semoga Tuhan memberi sedikit kasih sayang dan perhatianNya buat kita

Teman budiman,

Cukuplah sampai di sini. Sudah tamat gelora hatiku, yang meronta2 untuk menasihatimu yang mana perlu. Kemaslahatan keluargamu, ibu ayahmu, adik beradikmu, janganlah engkau gusarkan. Sebaliknya, fikirkanlah jalan2 penyelesaian. Bukan dengan berburuk sangka pada Tuhan. Aku tahu, kau tidak benar2 meniatkannya, bukan?

Tabahlah, hanya itu yang mampu aku katakan. Walaupun jika aku di tempatmu, aku jijik sekali mendengar perkataan ‘sabarlah’ dan ‘tabahlah’ itu. namun bukankah itu saja yang mampu diucapkan oleh seorang kawan kepada kawannya yang diuji dengan ujian? Ah, aku juga tak terkata apa. Sudah, mari bangkit berusaha, cari jalan alternatif yang kedua, ketiga dan seterusnya

Engkau telah termasuk dalam senarai mereka2 yang aku doakan, biarpun siapalah aku ini di hadapan Tuhan. Namamu dan keluargamu telah menjadi sebahagian dari ucap2 doaku di waktu malam, saat bulan bersinar terang. Tenang kawan dan percayalah, ini semua tanda2 bahawa Tuhan terlalu sayang....

Aku percaya, Dia memang Maha Penyayang...

Ikhlas,
Hartini Omar