Friday, October 30, 2009

Bila ada..

Bila ada setahun sekali yang aku tak dapat menjadi diri aku..
Bila ada setahun sekali yang terpaksa aku lalui itu..
Bila ada setahun sekali yang jadi malu-malu..
Kenapa mesti ada setahun sekali itu???
Aduuhhh...

Malam ini..
Semoga segalanya diberkati..
Semoga hendaknya Dia mengerti...

p/s: gambar dan stor-mori, insya'allah selepas malam ini

Tuesday, October 13, 2009

flickr ku

Aku rasa sudah tiba masanya aku me war-war kan laman flickr aku yang tak seberapa ni. Ini kerana aku terlalu mahu pengunjung yang juga mempunyai hobi yang sama supaya dapat memberikan komen2 yang bernas, yang dapat memantapkan lagi skill fotografiku. Aku tidak mahir, jauh sekali seorang profesional. Tapi aku berbesar hati agar satu hari nanti aku dapat menjadi seorang tenaga pengajar, dengan bakat lain iaitu merakam gambar. Cuma aku tidak ke kelas, dan terlalu tidak tahu fungsi2 kamera dan lens, selain mempelajarinya secara 'trial and error' sahaja


Aku amat berbesar hati agar dapatlah pengunjung2 sekalian menyinggah di laman flickr ku. Menjenguk2 rakaman kehidupan dan kelansungan hidup. Aku mahu belajar, dan telah aku tanamkan tekad, aku tak perlu malu dikutuk dan dikomen sesiapa. Aku terlalu sudi untuk belajar. Jadinya kalian, tolonglah kongsikan segala ilmu fotografi yang kalian ada


Jadi, sudi2 ya. Klik di sini untuk ke photostream ku. Selamat melayari dan melayani mata.. dan mungkin boleh kalian beri pendapat, bidang fotografi ini lebih kepada BAKAT atau SEMANGAT?? Terima kasih kalian
Salam sayang,
Hartini Omar

Monday, October 12, 2009

Abah

Arus Selatan..

Urat abah timbul2. Nampak jelas di lengan abah yang kedut2 dimakan usia. Tapak tangan abah keras, kematu macam batu. Sudah terlalu lama abah mengenggam pisau menoreh itu. Menoreh bebatang getah itu sikit2, demi susunya yang jatuh setitik-setitik. Keringat abah yang mengalir keluar dari rerongga kulitnya juga bukanlah sedikit. Sudah terlalu banyak. Kulit abah juga sudah hitam legam, dimamah mentari yang menyinari. Tapi abah tak pernah kisah. Abah tetap mengabdi hidupnya pada batang2 getah yang setua dirinya, menganggap pekerjaannya sebagai satu kerja abadi yang akan dilakukannya sampai mati

Abah peneroka. Atau penoreh getah kata lainnya. Abah bangun pagi, sebelum mentari muncul. Tunggang motor antiknya ke kebun. Abah toreh getah dan petang atau esoknya, datang kembali untuk mengutip getah sekerapnya. Baju abah kotor, haring dengan hawa getah kering. Kadang2 menyengit hidung. Tapi abah tak kisah, itu semua bagai teman2 abah yang memberinya kekuatan dan semangat untuk menyemai kudrat. Nyamuk yang sedap2 menghirup darah abah pun abah dah tak peduli. Kadang2 abah anggap saja sebagai sedekah dan bakti yang diberi seikhlas hati

Abah kerja keras, menyekolahkan anak2 abah. Sampai mereka itu besar2 sekarang. Ada yang sudah berkahwin dan beranak-pinak. Ada yang masih belajar dan memerlukan duit hasil titik peluh abah. Ada juga yang masih perlu disusukan. Tapi abah tak pernah bising. Semua abah tempuh dengan sabar. Anak2 abah adalah perkara paling penting dalam hidup abah. Biar abah susah, asal mereka mudah

Peneroka macam abah, kesenangannya bermusim. Bila banyak pokok yang mengeluarkan susunya, maka banyaklah hasilnya. Dan begitu jugalah sebaliknya. Nanti dua tahun lagi, pokok2 tua akan ditanam semula dengan yang baru. Maka waktu itu mungkin abah dapat tersenyum sedikit dengan pulangan yang diberikan pihak felda. Tapi nama pun duit, kalau tak pandai menguruskannya, cepat jugalah susutnya. Yang itu abah belum terfikir lagi, hidup adalah untuk hari ini. Esok dan lusa terpulang kepada yang maha kuasa, kalau2 Dia masih sudi memberi peluang untuk bernafas dan menyambung nyawa

Abah toreh getah perlahan2. Melihat dengan puas tiap2 titik susu getah yang bertukar menjadi nasi dan lauk-pauk yang masuk ke dalam perut keluarganya. Besar harapan abah anaknya yang sorang itu akan menjadi insan terbilang. Kalau tidak pun berjaya di segenap ruang dunia, harapnya dapatlah dia berjaya membantu abah di usia tuanya. Hanya itulah harapan abah buat anak kesayangannya

Hidup ini terlalu perit jika kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang diberikan Allah ta’ala. Abah tidak bersekolah tinggi untuk mengkalungkan kata2 nasihat yang mencengkam dada. Namun dari lirk mata dan kesenyapan abah, abah benar2 berharap agar anaknya yang seorang itu faham. Setelah lanjut usia didikan, abah hanya mampu berdoa agar besarlah anak yang seorang itu lalu menjadi seorang manusia yang sempurna. Yang tidak melupai keluarga dan ibubapa setelah senang dan kaya raya. Itu sajalah yang abah pintakan hari2, kalau2 anaknya itu mengerti

Kalau berjaya anaknya, menjadi manusia yang sempurna sahsiah dan pelajarannya, maka itulah hadiah paling hebat untuk abah. Tidak perlulah dibanjirkan harta yang berjuta atau sinar emas dan kilau permata, itu semua tidak pernah abah ingini. Apa yang penting kesepakatan hidup, keharmonian dan ikatan kekeluargaan yang berpanjangan. Kerana hidup ini selalu berputar seperti roda. Tidak semua yang diharapkan akan jadi kenyataan. Tapi moleklah kalau senantiasa kita berdoa agar dapatlah dikabulkan segala permintaan

Abah akan hidup dan mati di tanah felda ini. Kerja2 abah entah akan disambung sesiapa dari keturunannya, tidak lah abah fikirkan. Kerana maklum anak2 sekarang yang kurang selesa bermandi haring getah. Lebih suka bertali leher dengan beg kotak ke mana2. Maklum, kerja yang macam abah ini tak pernah mengenal hasil yang sama bila2 berganti purnama. Kerana itu abah tak pernah memaksa. Biarlah abah seorang saja yang berpenat lelah dengan batang getahnya. Biar abah kaut susu getah itu sampai dicabut nayawanya, biar hidup mati abah di tanah ini, ditemani pepohon rendang yang tak pernah henti2 berbudi…

11 oktober 09
Felda pemanis 2
Segamat, johor
...........................
p/s: anak abah yang membaca, jadilah manusia yang tahu kenang budi dan tahu balas budi, 'ae'?