Tuesday, November 27, 2012

Kalau mampu saya dakap...

Bila berdiri di belakang kelas, sambil melihat satu2 dari belakang, anak2 murid saya yang tekun menjawab latihan yang saya berikan, terbit satu rasa yang sukar sekali dimerngerti. Air mata merembes, lalu lekas2 saya tahankan. Adakah saya bersedih? Untuk apa, tiada apa yang harus saya sedihkan. Lalu apakah nama perasaan yang hadir ini?


Rasa itu adalah rasa syukur dan terharu. Syukur kerana siapa tahu, seorang anak kecil senakal dan sepelik saya diangkat Tuhan menjadi guru. Guru yang kerjanya mendidik. Lalu seharusnya pula lebih cerdik dan terdidik. Idealnya begitu. Paling kurangpun, itu lah yang saya harapkan. Agar penuh ilmu di dada saya untuk saya kongsikan dengan semua. Mudah-mudahan hendaknya

Fikiran saya melayang mengingati apa yang mampu saya outputkan kembali dari kotak memori yang hampir 29 tahun usianya ini. Mengingati setiap satu wajah2 guru2 saya yang serasanya tiada satu pun yang saya lupa. Senyuman mereka, lirikan mata, peribadi yang memukau. Ya, rasa berterima kasih ini seharusnya saya kirimkan buat mereka semua. Mereka yang kini entahlah di mana. Bertaburan di setiap pelusuk dunia, mungkin. Andailah mampu saya dakap kalian, pasti akan saya dakap dengan dakapan yang erat lagi utuh. Untuk ilmu dan ajaran yang menjadikan saya seorang saya hari ini

* Cikgu Sabariah (1990)

Kalaulah mampu saya tuliskan nama penuh beliau. Jujur, saya lupa. Malah tidak pernah tahu. Umur saya baru enam tahun waktu itu. Beliau adalah guru pertama yang mengajar saya di Tadika KEMAS Jalan Pantai. Manalah tahu, kalau2 anak2 cikgu Saba (nama yang selalu saya bahasakan bila memanggil beliau) membaca coretan saya ini, tolonglah khabarkan padanya bahawa saya rindukan senyuman manisnya. Guru berkulit hitam manis, bertubuh genit dengan tudung yang selalu diselempangkan, mungkin sekali beliau seorang remaja sewaktu mengajar saya. Andai cikgu sendiri yang membaca, ketahuilah antara nilai2 BERANI itu saya belajar darimu. Lagu Tambak Johor yang saya dendangkan di hadapan pentas itulah perkara paling manis yang terakam di memori. Itupun dengan bantuanmu. Terima kasih, cikgu!

* Ustazah Zaleha (1991)

Nama penuhnya juga saya tidak pernah tahu. Orangnya tinggi lampai, berkulit kuning lansat, manis bertudung labuh. Peribadinya sederhana, percakapannya lembut halus, sajak benar dengan panggilan ustazahnya. Beliau mengajar saya di Sekolah Rendah Agama Sri Pantai sewaktu saya masih dalam darjah satu. Beliau ini hebat, kalian. Dalam lembutnya ada ketegasan. Dan tidak ragu2 saya katakan yang saya hampir jatuh cinta! Dengan keperibadiannya.. (:

Ustazah Zaleha berpindah ke Sabah mengikut suaminya tatkala saya di dalam darjah dua. Entah kini dia di mana, saya tidak pasti. Oh ingin sangat2 saya bertemu dengan beliau ini. Srikandi paling indah yang saya kenali dalam usia yang ranum lagi suci. Dan kalau Ustazah membaca, ingin saya khabarkan bahawa nilai2 keLEMBUTan itu saya ambil dari kamus hidupmu. Lalu menukarnya menjadi saya yang di hari ini. Syukran laki!

* Cikgu Khairani (1993)

Seorang guru sandaran. Atau mungkin sekali cikgu praktikal, kalau tak silap saya. Saya di waktu itu masih di tahun tiga. CikguKhairani datang sekejap sahaja namun impaknya besar dan menjalar. Dalam kelas Bahasa Melayunya ada unsur2 lakonan, perdebatan, kiasan dan lukisan. Kreatif dan pelbagai! Ya, itulah yang paling hampir dengan peribadi beliau yang bersahaja. Dengan tahi lalat manis di atas bibirnya, aduh cikgu. Masakan saya lupa, bila saya berpendekar dengan selempang merah!

Berbanyak2 terima kasih kerana sudi hadir dan bertemu dengan saya. Saya belajar menjadi FLEKSIBEL tatkala bersama kamu. Sungguh2 saya terharu.

* Puan Simpson

Berbangsa India, beragama Kristian. Seorang ibu paling baik buat kami anak2 muridnya. Juga saya masih dalam darjah tiga. Beliau guru kelas yang tidak pernah marah2. Segala bentuk kesalahan diadili dan diberikan pengajaran dengan cara paling berhemah. Tiada denda-mendenda, herdik-mengherdik, maki-hamun, kasar2 dalam kamus hidup beliau lalu menjadi sebahagian juga dari kamus hidup kami. Puan Simpson juga berpindah ke sekolah lain di hujung penggal persekolahan. Dan masih segar dalam ingatan saya tatkala kami sama2 menyanyikan lagu “It's Yesterday once more” dengan deraian air mata. Untuk cikgu, nilai2 HEMAH itu saya belajar darimu. Thank you!


Saya menjadi begitu nakal dan pelik sewaktu saya meningkat ke tahun empat. Dan hampir semua guru2 yang melewati hidup saya, saya bencikan. Puan Chay, guru kelas saya yang tak habis2 mancari salah, Puan Kuna, guru disiplin yang selalu menyembut dengan mulutnya “Kamu ini besar mahu jadi apa, hah?!”, Puan Noraini, guru besar sekolah saya yang beberapa kali memberikan amaran keras kepada saya untuk tidak melakukan kesalahan, Cikgu Salina yang menjengkelkan dan semuanya yang saya bencikan

Mengapa ya? Mengapa saya mampu berubah sedrastik itu. Ya saya tahu mengapa. Kerana dalam umur yang meningkat remaja, cikgu2 sedemikian masih mahu mengadili kami seperti anak2 kecil yang berbaris di tadika. Hitam kata cikgu, hitamlah. Kalau putih, mesti putih juga. Tapi saya mahu merah! Dan sudah pasti saya didenda. Ya, Itulah sebabnya.

Cikgu2 perlu faham dan praktikal. Meningkatnya umur dalam kehidupan, akan berserta dengan peningkatan kapasiti otak dan juga perubahan emosi malah peribadi. Murid2 khasnya perempuan melalui satu ‘pengalaman’ baru dengan hormon dan perasaan baru. Guru2 di dalam tahap dua seharusnya bertindak seperti kawan. Tolonglah kurangkan bebelan. Tolong kurangkan kerja rutin. Kami mahu didengar. Kami mahu sesuatu yang segar!

Saya memonteng, walaupun masih dilantik sebagai pengawas, namun sebenarnya sayalah murid yang paling perlu diawasi. Saya menjadi ‘gangster’ di sekolah. Membuli, melawan cikgu, tak hantar kerja rumah, tuang kelas, dan terlalu banyak yang bukan2. Percayalah, saya pernah melakukannya

Dan hasil dari segala kerapuan dan kejahatan itu, maka UPSR saya menjadi akibatnya. Lalu hilanglah nama2 segar yang selalu mewarnakan hidup saya. Tiada lagi guru2 yang mahu tersenyum kepada saya, dan sungguh2 saya rasakan, saya seorang murid yang bermasalah. Ayah menghantar saya jauh dari rumah dan bermulalah langkah saya di daerah paling asing, dengan rakan2 yang berlainan sekali corak peribadi. Sekolah kampung, kawasan pedalaman, nyaman, tenteram dan Alhamdulillah, memang ini rupanya jalan yang ditentukan Allah

* Ustazah Salasiah (1997)

Saya kembali ke trek kehidupan sebenar. Melihat kembali ke dalam diri seperti menonton wayang dengan filem2 peribadi. Ada suka dan banyaknya duka. Saya kenal Ustazah Salasiah sewaktu di tingkatan satu, dua , tiga dan rapat dengannya sampai habis sekolah walaupun saya sendiri telah berpindah sewaktu di tingkatan empat.

Sewaktu umur saya tiga belas tahun, Ustazah Salasiah masih di dalam usia remajanya yang ranum. Dua puluh satu mungkin. Ustazah ini lah yang mengajar saya menulis. Ya, beliaulah yang mengajar saya sehingga mampu menulis seperti ini di hari ini. Tulisannya cantik, bahasa penulisannya sopan dan berseni, sehingga air seninya meresap ke jiwa saya. Dan barulah saya tahu bahawa budak ‘brutal’ macam saya ada taman dalam hatinya

Ustazah Sala begitu sabar. Mengajar dan mengasuh kami dengan nilai2 agama yang pertama kali saya kenal dan amal. Solat, doa, tazkirah dan segala2nya yang membawa saya hampir dengan apa yang tuhan tentukan utuk saya

Saya panggil Ustazah Sala dengan panggilan ‘Us’. Nama manja yang hanya untuk saya, OYDS nya (^^). Kini Us telah berumahtangga dan mendapat seorang cahayamata. Alhamdulillah. Surat2 dan segala kata2 pesanan Us masih saya simpan (literally, masih saya simpan dalam almari) dan kekal di lubuk hati. Dari kamu Us, saya belajar jadi HARTINI!

* Ustazah Nik

Ustazah bahasa arab di matrikulasi ini memang antara guru2 fevret saya. Sempoi, klasik, suka berlawak jenaka dan tertawa. Tapi dalam kelas beliau nampak begitu senyap dan tegas. Ah jangan tertipu, beliau guru paling bersahaja jika anda kenal baik dengannya. Disebabkan saya mengenali guru dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini tatkala saya remaja, seharusnyalah beliau telah serta merta diangkat menjadi rakan baik saya. Kami keluar makan bersama, berkongsi cerita, bergossip dan tidak segan bergelak ketawa seperti rakan baik

Jazakillahu khairan kathiran ya Ustazah. Kus2, spaghetti dan segala makanan ustzah yang sedap2 tu lah yang paling saya ingati. Dari ustazah saya belajar manjadi guru yang ‘dekat’ dengan pelajarnya. POSITIF dan bijak dalam segala duduk perkara

***
Walaupun tidak semua nama yang mampu saya ceritakan, namun saya menginagti kalian. Tak kiralah yang saya sayang atau bencikan. Cikgu Norhayati, Cikgu Salwani, Puan Noraini Cantik - Bukan Guru Besar saya, kerana nama mereka sama. Puan Joseph, Puan Naidu, Cikgu Aziz, Cik Roslizawati, dan semua guru2 yang pernah mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (P) Methodist 1, Kuala Lumpur dan Sekolah Rendah Agama Sri Pantai dari tahun 1991 – 1996, saya ucapkan jutaan terima kasih.

Dan Ustzah Wahidah, Ustaz Musannif, Ustazah Musalmah, Ustazah Rodziah, Ustaz Halim, Ustaz Fauzi, Ustaz Tariq, dan semua guru2 yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Daerah Batang Padang Bidor, Perak dari tahun 1997 – 2000, syukran jazilan

Dan guru2 di Sekolah Agama Menengah (T) Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis Banting Selangor dari tahun 2000 – 2001

Pensyarah2 matrikulasi UIAM, dari tahun 2001 – 2002/2003 dan kesemua pensyarah2 saya yang saya sayangi di Kuliyyah IRKHS, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Jasa dan pengorbanan kalian dalam mendidik, kesabaran dan ketekunan kalian dalam mencorak peribadi sendiri agar menjadi contoh kepada kami saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih. Saya sungguh2 terharu dan kepada Allah sajalah saya memohon, agar kesemua kalian ditempatkan di syurga tertinggi. Ameen

***

Dan mudah-mudahan, dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun lagi, saya pula yang akan membaca baris2 nama saya di laman sesawang bekas2 anak murid saya yang berjaya, kaya raya dan bahagia. Ameen, ya Allah

‘Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau’

Terima kasih

Friday, November 02, 2012

Ragut

Minggu lepas, hari Rabu, dua hari sebelum ketibaan Eidul Adha, saya diragut di hadapan rumah. Kalau fikir2 balik, saya pun tak tahu macamana nak cerita. Terlalu sekejap perkara tu berlaku sampai saya terkedu. Dan jujur, saya penat nak ceritakan berulang-ulang kali. Dekat mak ayah, dekat kawan2 ofis, dekat bos, dekat polis, dekat pegawai penyiasat. Kalau boleh rakam, saya rakam je cerita saya. Kalau2 orang nak dengar, saya putarkan balik kasetnya

Apa yang hilang? Semua. Wallet, telefon bimbit, Samsung tab, ic, lesen, kad atm, semualah. Semua hilang. Saya tinggal sehelai sepinggang. Mujur kunci kereta masih kat tangan. Jadi saya cari la syiling2 dalam kereta untuk call ayah saya. Dan jalan terbaik lepastu, report je lah

Duit yang hilang tu saya tak kisah sangat. Gajet2 yg saya sayang, walaupun sakit hati, tapi masih saya mampu meredhakan. Mungkin bukan rezeki saya. Tuhan pinjamkan sekejap je untuk saya rasa. Tapi susahnya nak buat IC, lesen, kad atm tu lah yang buat saya bengang satu badan

Peragut tu boleh je datang pinjam duit dari saya, gerenti saya bagi. Tapi bila dia ragut, dia bukan setakat ragut barang2 saya, dia ragut masa saya, tanggungjawab saya, saya tak dapat ke kelas dan ke pejabat, saya terpaksa ke hulu ke hilir menyudahkan segala-galanya. Dan sesungguhnya 'ragutan' itu lebih besar maknanya buat saya

Saya selalu ulang2kan ayat ni dalam kepala saya. "Biar saya susah, jangan menusahkan orang". Tapi bila saya diragut, saya dah lah susah, saya terpaksa meyusahkan orang. Ayah saya yang terpaksa datang dari Klang ke Puchong, mak saya yang terpaksa pinjamkan hanset, anak2 murid saya yang tunggu saya tapi saya tak masuk kelas (nak call macamana kalau saya tak ada nombor telefon mereka), bos yang ternanti2 kenapa saya tak datang ofis. Semualah!

Semua yang terjadi akan membuatkan saya lebih berhati2. Cuma terkilan, nombor2 telefon kawan2, semua hilang. Jadi kalau ada rakan2 yang membaca blog saya, sila lah msg semula dan kenalkan diri anda. Saya masih menggunakan nombor telefon bimbit yang sama.

Dan buat peragut yang konfem anda mesti tak baca punyalah blog2 macamni. Sebab kalau anda baca, mestilah anda terdidik dan tidak akan meragut orang. Saya doakan anda diberikan hidayah, supaya anda berubah dan anda faham, bagaimana rasanya kalau barang-barang dan kehidupan yang anda sayang diragut oleh orang lain. Ingat, kita masih ada akhirat sebagai mahkamah teragung. Jumpa di sana ya!