Wednesday, January 30, 2008

Dari Jiwa untuk Jiwa

Lama nian rasanya jiwa tidak terisi. Telah hampir aku ke tahap melupai bahasa2 jiwa dan hati. Bila tiap kali mata kukerdipkan, maka akan teringatlah aku akan kisah2 jiwa yang telah lama tidak diceriterakan. Wahai… andailah dapat kulukiskan kekosongan jiwa ini, biar kalian tahu bahawa aku hidup selama ini hanya dengan ribuan dan jutaan rasa kekosongan yang perit dan memilukan

Aku sayang pada kehidupanku. Setiap helaan nafasku, setiap kerdipan mataku, setiap barisan senyumku, setiap lafaz kata2ku, aku bersyukur dan amat2 sayangkan kehidupanku

Aku tidak berhajat untuk dihidupkan kembali dan menjadi seoang manusia yang lainnya. Dengan kekayaan wang yang melimpah ruah, dengan lambakan kuasa yang tak terjamah, dengan barisan dan longgokan cinta yang tak terjengah. Tidak, aku puas dengan kehidupanku yang serba sederhana ini. Kehidupan dan luruh jiwaku yang amat2 tersendiri

Sememangnya blog ini kutulis dengan cita2 untuk menghiburkan mata2 yang hanya punya jiwa. Di blog ini, aku adalah aku yang bukan seperti di luarnya. Kalau diluar sana orang mengnali aku sebagai wanita yang cekal dan ramah, di dalam ini, aku adalah Tini yang terlalu menyendiri dan mengikut kata hati

Lalu, bila saja jejari menari di kekunci, membariskan kata tentang dunia dan isinya, ia sememangnya lari betul dengan kehendak hati dan jiwa yang meronta. Namun ku sedari, bahawa hidup ini tidak hanya tertumpu pada barang2 yang kejiwaan sahaja. Adakalanya kita perlu sedar dan kembali kealam nyata

Telah berjuta kali kukatakan dulu bahawa jiwa ini hanya akan terisi dengan luka2 dan keperitan yang dirasa. Andai hidup ini sentiasa dalam gembira, maka disitulah akan lahirnya kekosongan jiwa

Kini aku di sini, di pejabat yang sunyi sepi dan yang kedengaran hanyalah kelukaan hati. Lalu di sini aku kembali menjadi Tini yang menyendiri. Aku tidak pernah menulis dan mengharapkan balasan tulisan dari mata2 yang memandang. Cukuplah sekadar setiap baris kata yang kubibitkan dapat menjadi mengubat jiwa2 pembaca di luar sana yang turut merasakan kesepian. Biarlah di ceritera ini kukhabarkan dan kongsikan segala kedukaan. Bukan realiti dan bukan juga fantasi, cuma jiwa dan rohani

Ceritera ini kita jadikan satu lembaran jiwa yang mana satu hari nanti akan kita baca kembali untuk memanggil memori2 pahit manis. Biar di ceritera ini kita tersenyum mengenangkan kembali laluan usia yang penuh kepelbagaiannya. Ini adalah ceritera untuk jiwa. Dari jiwa dan hanya untuk insan yang berjiwa. Dari jiwa untuk jiwa...

Monday, January 28, 2008

Ceritera Cinta

Tajuk : Ceritera Cinta
Lagu oleh : Ross Ariffin
Lirik oleh : Habsah Hassan

Bertanya sang bayu pada ku
Mengapa kau masih disitu
Tiadakah jemu kau menunggu

Dan buat seorang perindu
Penantian hanya lah waktu
Dikamus hati ku
Tiada istilah jemu

Hentikan lah saja Jenaka bermadah
Biasa terlalu sering ku dengar
Ceritera cinta tiada berubah
Hanya mimpi yang indah
Akhirnya nanti kecewa

Buka lah sedikit hati mu
Kenali siapa daku

Beri ku pendam rasa hati
Malu mengakui

Hentikan lah saja jenaka bermadah
Biasa terlalu sering ku dengar
Ceritera cintaTiada berubah
Hanya mimpi (hanya mimpi) yang indah
Akhirnya nanti kecewa

Tanpa mahu mengakui
kau pun dihati
Diluar sedar kau ku rindui
Penantian (penatianmu) hanya ruang waktu
Tiba masa kan terbukit cinta ku
tak mudah percaya pada pengakuan aku di hati mu yang tersayang

Hentikan lah saja Jenaka bermadah
Biasa terlalu sering ku dengar
Ceritera cinta tiada berubah
Hanya mimpi (hanya mimpi).....
Akhirnya nanti kecewa....

ww : fantastic!

Thursday, January 24, 2008

Celik atau masih lena

Seronok benar membaca luahan rasa kaki2 politik yang mengikuti perkembangan politik tanah air di dalam blog The Scribe. Apa yang diperkatakan mereka memang banyak benarnya. Mereka meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pucuk pimpinan negara. Ada yang sekadar melepaskan geram dan sakit hati dalam laman maya yang tidak didominasi sesiapa. Dalam laman ini, semua orang boleh berkata apa jua yang mereka suka, dan itu lebih realistik dan lebih tinggi kebolehpercayaannya

Sekarang ini orang ramai berteka teki akan hari pilihanraya umum. Ramai yang mengandaikan bulan Mac depan sebagai bulan pilihanraya diadakan. Bila pun pilihanraya, adalah lebih penting untuk kita bertanya akan diri kita, siapa yang kita mahu kita pimpin sebagai pemimpin dan siapa yang kita mahu julang sebagai pejuang?

Pilihanraya tidak cukup hanya dengan keluar memangkah. Pilihanraya akan hilang kesahannya bila kita anggap ia seperti upacara sekali dalam empat tahun saja. Anggaplah bahawa setiap satu undi kita akan menentukan buruk baik masa depan negara. Dengan itu, tentu saja kita akan lebih memikir dan mendalami dengan terperinci sebelum memangkah undi

Biarlah siapa pun menang asalkan yang menang itu mengotakan janji dan besar2 mulutnya sewaktu manifestonya dilaung2 dengan percuma. Janganlah setelah menang, yang dijanji itu dibuat tak endah saja. Di saat itu, tiada apalah yang lebih sia2 dari undi kita yang dibuat sambil lewa. Dan diwaktu itu, tiada apa yang boleh diubah kecuali menunggu lagi empat tahun peredaran masa

Aku maklum benar, ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan tertinggi yang terlantik kini. Beliau dikatakan cemerkap, lemah, leka, lalai dan kurang stamina. Beliau dianggap bertuah kerana dapat menyambung kepimpinan negara yang sudah pun digilap dengan kilau dan sirnanya. Jika beliaulah yang baru merangkak mahu menggemilangkan negara, entah apalah jadinya. Aku pun merasakan sedemikian rupa. Seorang pemimpin harus tegas dan bersemangat, bukan malas dan lambat. Seorang pemimpin harus cermat dan kuat tekad. Seorang pemimpin harus bervisi dan berhati2. Bukan sekadar duduk dikerusi, membaca teks ucapan yang tidak pun beliau fahami dan melawat sana sini bawa bini

Biarlah, kita lihat saja. Semoga rakyat seperti kita dapat membuka mata hati dan jiwa. Pangkahlah sesiapa saja yang kita suka. Namun lebih indah jika yang kita pangkah itu dapat meberikan kebajikan dan pertolongan yang sebenar2nya buat rakyat yang tiada apa2 macam kita. Jadinya, kita tunggu dan lihat sajalah samada rakyat Malaysia benar2 sudah celik ataupun masih terlena....

Kenapa???

Kenapa orang tak faham2 yang lorong kanan adalah lorong untuk kita memotong lain2 kenderaan?

Kenapa orang tak faham2 yang kalau nak memandu dengan perlahan maka pandulah di bahagian kiri jalan?

Kenapa orang tak faham2 yang kalau kita dan meluncur laju tu, makanya ketepikanlah kenderaan untuk bagi kita laluan?

Kenapa orang tak faham2 yang kelembapan mereka pandu kereta tapi duduk kat lorong kanan akan membuatkan orang lain hangin satu badan?

Kenapa polis asyik nak saman orang yang pandu laju sedangkan orang yang pandu perlahan tapi duduk kat lorong kanan itulah yang sering memberi kesesakan dan menjadi punca kemalangan?

Kenapa polis tak tahan orang yang bawak kereta lembab mengalahkan kereta lembu dan kereta mainan tapi duduk atas jalan?

Kenapa polis tak saman orang2 yang saja bawak kereta macam makan angin tepi pantai walaupun pada masa itu, kenderaan sibuk tak tau nak diceritakan?

Kenapa?? Kenapa?? Kenapa??

Nak bawak kereta lembab sampai 10 km/j pun, pandulah di lorong kiri. Lorong kanan adalah lorong memotong dengan “kelajuan”. Bukan lorong jalan2 tengok tempat peranginan…..

Monday, January 21, 2008

Wednesday, January 16, 2008

Ilmu Pengetahuan

Aku memandu bersendirian. Melalui lebuhraya yang sesak dengan kenderaan. Berpusu2 kesemuanya bagaikan tidak dapat menanti sesaatpun lagi. Aku memandu dengan kelajuan sederhana. Kerana aku tidak bergegas pun ke tempat yang aku tuju. Sekadar mengambil angin sambil berfikir tentang kehidupan manusia. Inilah hidup, pergi kerja, balik kerja dan ulangi kembali perbuatan yang sama sehingg saat kita menutup mata. Lalu apakah yang dapat kita pelajari dalam kehidupan seharian? Sudikah kita melihat hidup kita berlalu tanpa sebarang perubahan?

Ilmu itu bukan hanya sesuatu fakta yang kita hafalkan. Ilmu itu lebih luas ruang lingkup maknanya. Berilmu tidak semestinya kita bergelar saorang doktor atau sarjana. Berilmu tidak semestinya kita berdiri megah di sisi manusia lain dengan pangkal nama yang panjang berjela

Setiap sesuatu pembaharuan yang kita lakukan untuk kehidupan adalah dari ilmu yang kita perolehi. Ilmu itu adakalanya hadir dari pembacaan kita yang tiada henti. Adakalanya ia datang dari pemerhatian yang bererti. Menonton televisyen juga dapat memberi kita ilmu, jikalau kita pandai memilih rancangan yang dapat memberikan pengetahuan

Aku memandu ke Mines. Aku letak kenderaan di tempak letak kereta dan berjalan perlahan menuju ke tingkat 2. Aku ke Tanjong Golden Village Cinema. Aku melihat barisan cerita yang ditayangkan dan membeli tiket cerita National Treasure 2 untuk seorang. Sememangnya aku jarang berteman. Banyak daripada kehidupanku aku habiskan dengan berseorangan

Aku suka berjalan seorang, ke kedai buku seorang, pergi makan seorang, pergi melawat muzium seorang, menonton wayang pun seorang. Aku tidak pernah mempunyai teman yang boleh diajak melakukan kerja2 yang aku minati dan aku sukai

Jikalau ada teman2 perempuan yang sudi jalan bersama, meeka lebih suka ke kedai2 yang tidak memberi minat kepadaku. Jika tidakpun, aku suka pula ke kedai yang tidak lansung memberi minat kepada mereka. Jadinya, aku merasakan lebih elok aku bersendirian sahaja. Aku tidak pernah ada teman lelaki yang lebih dari kawan. Kalau ada yang mahu mengajak keluar, aku tolak kesemuanya dengan sopan. Prinsipku, aku tidak akan keluar berdua-duaan dengan lelaki melainkan aku pasti beliau itu akan menjadi suamiku. Jika sekadar untuk minum dan sembang2, tak mengapalah, baik jangan

Ramai orang mempunyai tanggapan yang tersendiri terhadap panggung wayang. Dan ramai daripada rakan2 perempuanku yang keberatan untuk mengunjunginya. Aku tidak marah dan menyalahkan mereka. Setiap manusia mempunyai nilai dan etika hidup yang berbeza. Bagiku, aku tiada masalah dalam menonton wayang. Sekadar menonton melepaskan lelah dan kesukaran berfikir di pejabat, menonton wayang termasuk salah satu dari cara2ku untuk melegakan ketensionan. Jikalau ada individu yang mempunyai pendapat tertentu yang lebih negatif terhadap panggung wayang, aku terima juga. Kita manusia, berhak mempercayai apa saja yang kita percaya

Sebelum menonton tayangannya yang aku pilih pada pukul 7.45 petang, aku berjalan masuk ke kedai Pizza Hut. Setelah memesan sedikit makanan untuk mengalas perut yang belum diiskan, aku membaca buku “Honk, If You’re Malaysian” karya Lydia Teoh. Sambil membaca aku halakan pandangan ke arah pelayan2 restoran yang nyatanya muda2 belaka. Bekerja memberi kita pengalaman yang berharga. Tidak kira apapun pekerjaan yang kita lakukan, pasti kita akan mendapat ganjaran yang bersesuaian

Apabila makan, aku memikirkan tentang kelas dan pelajar2ku. Aku dimaklumkan, mereka membayar lebih kurang RM 60 ribu untuk mengikuti pengajian diploma di Masterskill. Aku sering memberitahu kepada pejar2ku supaya belajar dengan bersungguh2. Tidak ada apa yang mampu membayar semula wang yang 60 ribu itu kecuali kejayaan di masa hadapan. Kejayaan di masa hadapan itu tidak hanya dengan mendapat 4 flet atau semua A. Kejayaan yang sebenarnya adalah apabila kita dapat bertahan dan berkembang dalam kehidupan, dan dapat pula membahagiakan insan lain dengan apa saja yang kita ada selain dari wang

Aku tidak mahu memberikan tekanan kepada pelajar2. Aku katakan yang aku lebih suka mereka hadir ke kelas kalau mereka suka untuk belajar. Aku sampaikan pada mereka bahawa pelajaran itu tidak semestinya kita dapat hanya dari buku. Aku katakan pada mereka apa saja yang mereka lakukan mestilah mempunyai tekad dan semangat untuk menambah ilmu

Membaca buku mungkin salah satu dari beribu cara untuk mencari ilmu. Selain dari membaca, kita juga boleh memerhati. Perhatikan tingkahlaku manusia dan belajarlah sesuatu daripadanya. Itu juga satu ilmu, malahan satu ilmu yang percuma

Selepas menunaikan solat Maghrib di surau berdekatan, aku memasuki panggung dan menonton sendirian. Cerita yang kupilih itu sungguh berbaloi dan mengasyikkan. Tidak sia2 aku menghabiskan waktu menonton wayang, kerana banyak benar ilmu dan pengetahuan yang dapat diperolehi, melebihi dari jumlah wang yang dibelanjai

Buatlah apa saja yang kalian suka selagi ia berlandaskan syariat dan agama kita. Tuntutlah ilmu walau di manapun kita berada. Percayalah, insan yang berilmu tidak semestinya berpangkat dan berharta. Insan yang berilmu tidak semstinya beruban tua bangka. Insan yang berilmu adalah mereka yang dapat belajar dari sejarah. Belajar dari sejarah sendiri dan sejarah orang lain, dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dan dengan ilmu itu dapat seseorang membantu sesama manusia dan dapat merubah dunia menjadi suatu tempat yang lebih bahagia. Itulah sebenarnya ilmu yang berguna, itulah sebenarnya ilmu yang diguna

Tuesday, January 15, 2008

Padan dengan nama

Aku mahu menulis mengenai jenayah. Namun cerita2 yang berkaitan dengan jenayah sudah tentu akan mengaitkan pihak2 tertentu yang sememangnya bersalah. Aku tidak suka menuding jari kepada sesiapa. Kerana apabila aku berpendapat bahawa satu2 pihak itu bersalah, pasti ada jua suara2 lain yang tidak bersatu kata. Jadinya, sebelum kita bercerita dengan lebih lanjut permasaalahan jenayah, lebih molek andai kalian dapat membuka laman blog A. Kadir Jasin dan membaca rencana2 beliau yang banyak benarnya. Mungkin dari situ kalian akan mendapat kesimpulan yang diungkap dengan bahasa yang paling sopan dan wajar

Belum lagi kita merungkai masalah jenayah Nurin Jazlin, dan belum lagi arwah si kecil itu mendapat keadilan yang sepatutnya, kita digemparkan pula dengan berita yang hampir2 sama. Alangkah bagusnya jika sebelum perkara ini berulang, kita berterusan mencari dalang kejam di sebalik perbuatan sumbang. Cari dan cari dan cari lagi sehingga ketemui. Namun begitu usaha kita berhenti dan lenyap dimakan hari. Selepas ada isu2 lain yang lebih seronok diperdebatkan, secara tidak langsung kita mengabaikan kes2 terpencil yang berlaku kepada yang bukan sesiapa. Lalu kes2 tersebut akan menjadi bahan sisipan saja

Apakah yang dapat dilakukan pembesar negara dalam menangani masalah jenayah? Hampir tidak ada apa2. Pembesar negara sendiri pun terkejut dengan angka jenayah yang semakin mencanak, apatah lagi kita rakyat di bawah pemerintahannya. Adakalanya aku terfikir bahawa kita mengambil mudah setiap duduk perkara. Kita lebih tertumpu pada agenda politik dan pembangunan lahiriah semata2. Di dalam negara kita, yang lebih orang fikirkan adalah bagaimana cara untuk menambah kekayaan, kemasyhuran dan kenalan

Negara kita bukan lagi negara aman damai. Setelah tampuk pemerintahan kita diterajui oleh tangan2 mereka yang lebih suka mengembungkan poketnya, Negara kita diambang kejatuhan maruah dan peradabannya. Setelah kerajaan bertukar tangan kepada tangan2 yang lebih megah memegang harta benda dari amanahnya, di saat itu negara kita sudah mula goyah. Tidak perlulah kita mencanang2kan lagi tentang keharmonian negara kita di stesen2 televisyen, mengiklankan lakonan pura2 yang kononnya kita hidup serba damai dan mewah, itu semua hanya dusta belaka

Cukuplah kita tahu bahawa negara ini sudah tidak aman apabila hak untuk bermain disekitaran rumah pun dicabuli oleh mereka2 yang tidak berperikemanusiaan. Dalam negara kita, penjenayah tidak perlu takut kepada sesiapa. Selepas ditangkap pun masih ada peluang untuk meloloskan diri dan sebagainya. Untuk satu2 hukuman dijatuhkan, kita memerlukan berhari2 bertahun2 dan berbulan2 untuk mencari jwapan kepada permasalahan yang akhirnya membawa kepada sensasi yang keluputan. Lama2 kelamaan, isu yang hangat menjadi suam. Suam kelam dan akhirnya tidak lagi diperdulikan

Tidak perlulah pihak berkuasa bekerja keras dalam mencari pembunuh Nurin misalannya. Buat sajalah kerja dengan amat bersungguh2 dalam menahan suspek2 yang berkompromi dalam melakukan demonstrasi jalanan. Jadikanlah seolah2 kesalahan demonstrasi itu lebih berat dari pembunuhan. Kalau itu yang difikirkan lebih logik dan rasional, tak mengapalah, kita lihat saja kecekapan pihak polis kita. Sekadar mengambil kata2 sahabat sejiwa dari ulasan blog Pak Kadir, selepas ini berhati2lah kita dalam mendefinisikan PDRM sebagai Polis Diraja Malaysia. Kerana “Polis Raja Di Malaysia” pun lebih molek dan lebih kena pada tempatnya. Renung2kanlah…

Monday, January 14, 2008

Kegugupan pertama

Pelajar di dalam kelas itu ramai. Malahan sangat ramai. 140 orang pelajar kesemuanya. Semua berpakaian serba putih, segak dengan baju seragam jururawat. Aku melangkah perlahan, memasuki kelas yang dikerumuni bingit2 suara pelajar. Aku berjalan lagi menuju ke hadapan. Lalu bunyi bingit2 itu pun makin lama makin suram lalu berhenti terus, meninggalkan aku dengan kesunyian yang tidak dapat digambarkan. Kini yang berbunyi hanyalah detap detup debar jantungku. Serasa bagai mahu tertanggal ia dari tangkainya. Allah….. Suaraku sayup, hanya nama itu yg mampu kusebut tatkala kegusaran menghambat jiwa. Berikan aku kekuatanMu, Ya Allah

Aku melihat ke hadapan. Terbayang mata2 yg seratus empat puluh pasang kesemuanya. Lurus, fokus memandang wajahku. Tidak lansung berkedip2. Kembali terbayang2 tatkala aku berdiri di hadapan pentas untuk memberi syarahan. Ya, begitu lah perasaannya. Aku senyum mengambil nafas, sekadar melegakan jiwa yang gundah gulana. Lalu kuucapkan salam dan selamat tengahari kepada kesemuanya. Mereka menjawab positif, hati aku mengembang. Gusarku hampir hilang

Aku memulakan tugas sebagai pensyarah dengan penuh dugaan yang mencabar. Memang aku pernah mengajar, namun pelajar yg sebelum ini tidak pula sampai ke angka seratus. Paling ramai 10 orang. Tetapi mengajar kini, di sini lain benar. Pelajar2ku ramai. Satu kumpulan dalam 60 orang. Jadi jikalau mendapat 3 kumpulan, lebih kurang 180 orang untuk dijaga, diajar dan diberikan markahnya. Itu baru untuk satu subjek, kalau dua, tiga atau empat?? Aku hanya mampu menggaru2 kepala yang tidak gatal

Aku jalani sejam pertama dengan jayanya. Aku berkenalan dan bersuai kenal dengan para pelajarku, dan memberitahu mereka tentang pelajaran yang bakal dipelajari di dalam kelas nanti. Aku rasa aku lucu kerana ramai yang berkata aku lucu. Entahlah, kelucuan ini ada pengerasnya. Pengerasnya mesti pula dibayar dengan sempurna. Jika tidak sekarang, akan kutuntut di suatu masa

Apa yang aku harapkan, pelajar2 akan menuntut ilmu dengan seikhlasnya. Kerana itu aku juga harus ikhlas mengajar mereka. Untuk sejam pertama, mereka nampak minat dan sudi mendengar. Sesekali aku utarkan lawak2 berkhasiat, hangar bingar kelas dihujani gelak tawa yang menggegar. Aku senyum lagi, hanya mampu bersyukur ke hadrat illahi. Semoga Dia sudi mempermudahkan jalan2ku, semoga Dia sudi menerima ilmu dan amalku

Sebentar lagi aku akan ke kelas semula. Menemui kumpulan pelajar yang lain pula. Harap2nya mereka sudi menerimaku, sepertimana aku ikhlas menerima mereka. Tidak sabar lagi untuk mencurahkan segala ilmu dan kepakaran yang ada. Mungkin inilah kebaikannya, mengajar dan senantiasa belajar. Semoga bantuan Tuhan sentiasa bersamaku yang hina lagi rendah. Semoga dia memaniskan wajahku dengan senyuman, memaniskan lidahku dengan tutur kata sopan… Berkat sepanjang jalan2 kehidupan

Monday, January 07, 2008

Inilah Kehidupan

Aku berhenti seketika. Menahan nafas dan kepeningan yang menggila. Di hadapanku, berbaris kertas2 peperiksaan yang menunggu-nunggu minta disemak. Sekarang ini baru tergambar betapa sukarnya guru2 dan pensyarah2 menyemak kertas jawapan kita. Lagi2 yang banyak salah dari betulnya. Dalam diam aku tersenyum, menggeleng kepala

Mengajar tentu saja bukan perkara mudah. Mengadap muka pelajar dengan pelbagai ragam dan karenahnya. Namun kalau memang sudah menerima tugas dengan hati yang terbuka, segala penat dan lelah itu ditahan saja. Dan pabila pulang, sesekali terasa pula kerinduan terhadap kelas2 mengajar yang ditinggalkan. Rasa tidak sabar pula mahu kusambungkan pengajian. Biar aku jadi pelajar sahaja sepanjang usia kehidupan

Aku akan menulis lagi jika kelapangan. Dan aku akan menyentuh lagi isu2 yang berkisar tentang kehidupan. Itupun kalau diizinkan Tuhan. Itupun kalau2 kalian masih merindui pena dan kata2ku yang tidak akan berkesudahan

Nyatanya hidup ini lekas benar berubah, kalau dulu aku bekerja dengan hanya berdiam sahaja, sekarang aku bekerjaya dengan suara2 dan jeritan yang memekakkan telinga. Betapa teringat aku akan guru2 yang banyak membantuku sehingga sampai ke tahap ini. Memang benarlah, jasa guru amat besar dan bemakna, dan bisa pula kubawa sampai ke mati. Inilah kehidupan. Sering bertukar dan berubah dengan peredaran zaman….