Wednesday, December 26, 2007

Bias-bias syukur

Aku tunduk memerhati surat perjanjian yg bakal ditandatangani sebentar lagi. Setiap baris kata dan setiap muka yg lapan keping semuanya itu aku baca dengan tekun dan teliti. Sebentar lagi akan berlengkarlah tandatangaku yg panjang berjela, membawa liuk lengkok tiap2 huruf pada nama. Sayang sekali ianya bukan Hartini, kerana Hartini itu hanya pengenalan bagi hati. Sedangkan yg pengenalan bagi diri itu lain benar, namun masih ada 'ti ti' nya

Maktub sudah aku seorang pensyarah muda. Di dalam surat perjanjian itu disebutkan 'Junior Lecturer - Allied Health (Psychology). Aku tersenyum dan sebentar kemudian menelan2 liur, kebingungan. Ah Tini, bukankah ini yg dicita-citakan seluruh kehidupan?? Hati berbisik perlahan, membawa kembali arus dan denai2 kesedaran. Benarkah ini yang aku impikan??

Tanyalah tentang cita2 dan cita2ku sebenarnya mahu menjadi seorang doktor. Kerana bagiku doktor itu dapat menolong yg memerlukan, dapat mengubat sakit-sakitan. Dan jika diperdalami, aku mahu jd doktor bedah, bemain2 dengan daging dan darah! Ya, itulah cita2ku sebenarnya

Namun selepas diri menjadi sedikit dewasa, sedarlah aku akan mustahilnya utk menjadi seorang doktor dengan pengajian psikologi yg aku ambil selama 4 tahun di universiti. Lalu datang pula niat untuk membantu manusia secara sosialnya. Dipendekkan tafsiran : aku mahu pula menjadi sorang pegawai daerah, atau paling tidak pun pegawai pembangunan masyarakat. Ya, ini juga benar, kerana aku lebih suka membantu manusia yg hina dina, suka pula merantau ke hujung kampung ke ceruk desa. Menemani manusia2 yg sengsara dan menolong mereka selagi terdaya

Lalu datang pula kesedaran bahawa tugas itu pasti saja amat berat. Dan tentulah bukan perkara enteng untuk dilantik ke peringkat tinggi seperti itu. Menjadi wakil daerah, tentu saja bukan mudah. Pasti saja melalui lorong2 'uwang' dan politiknya. Padahal perkara yg semacam itu telah dulu lagi dibenciku.. Jadi tinggal sajalah cita2 itu di situ, entah bila kan bertemu

Dan dalam melayari tugas2 harian sebagai pekerja sementara, dapat pula ilham untuk menjadi tenaga pengajar. Kerana terkesan pula aku akan komen rakan2 yg galak megatakan bahawa aku punya bakat mengajar dan memahamkan orang. Tetapi, aku tidak mahu jd cikgu, krn menjadi guru itu bukan arifku. Melayani karenah remaja yg masih mencari identiti diri pasti saja satu kerja yg menguji hati dan peribadi. Sedangkan aku ini lekas benar naik anginnya. Tidak... biarlah org lain menjadi cikgu, aku akan menjadi pensyarah saja. Mengajar pada yg mahu belajar mungkin kurang payahnya. Maklum sajalah, kalau yg masuk universiti atau kolej itu pasti saja memang dgn keinginan mereka, dan bukan dipaksa2..

Lalu banyaklah universiti2 dan kolej2 yg menerima borang permohonanku, tidak kira di mana tempatnya, barat, timur, selatan dan utara. Namun begitu, mungkin kerana tidak banyak pengalaman mengajar, ataupun mereka mempunyai calon2 yg lebih tinggi taraf pendidikannya (sedangkan aku hanya diperingkat sarjana muda sahaja), tidaklah lansung aku menerima balasan permohonan dan tinggallah aku terkial2 dengan harapan

Tamat saja kontrak perkhidmatan, diam di rumah menunggu pekerjaan adalah pengalaman pahit yg tidak terungkapkan. Percayalah, aku rela bekerja sebagai tukang cuci dr duduk membatu saja di rumah menunggu panggilan2 yg tak kunjung tiba. Di dalam hati aku menjerit sendirian, mengapa sukar benar Tuhan mengabulkan permintaan

Dipanggil temuduga oleh kolej Pusrawi, dan lagi sekali aku pulang dengan tangan kosong benar2 menghantu diri. Alasan mereka, aku tidak banyak pengalaman mengajar. Ah, kalau memang tidak mahu mengambil pekerja, mengapa saja diadakan interviu itu, membuang duit dan masaku. Bukankah telah dihantar resume dan butir2 peribadi untuk perhatian organisasi?? Di dalam itukan tertulis, pengalaman mengajar hanya setahun (sbg peer tutor), lantas mengapa dipanggil lagi?? Ahh, sakit benar hati!!

Namun akal lekas pula mencuri, itu semua adat temuduga. Ada yang berjaya, dan pasti ada yang kalah. Lagi sekali aku redha (dalam marah). Sukarnya wahai mencari kerjaya!!

Lalu keesokannya pergi pula aku ke interviu yg dibuat kolej Masterskill dengan hati yg tiada semengat lagi. Sekadar menurut kata akal yang menyuruh berjuang sebelum kecundang. Lalu aku gagahkan jua, dan berkat kesabaran yg tiada taranya, aku diterima!! Inilah kenikmatan istimewa yang tuhan beri walaupun aku ada kalanya mencurigai dan menyoal2 ketentuan-Nya. Bersalahnya aku pada-Mu, Tuhan. Memang benarlah, tiap2 yg Dikau tentukan itu pasti saja mempunya hikmah dipenghujung jalan..

Dan hingga ke saat ini, tak mampu lagi aku utarakan bias2 kesyukuran. Pasti saja ada hikmahnya aku menjadi tenaga pengajar. Alhamdulillah, kini aku sudah mempunyai kerjaya tetap. Kerjaya mendidik anak bangsa dan membimbing mereka ke arah jaya. Mungkin selepas ini diizinkan aku untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yg lebih tinggi, itulah impian dan cita2ku yg paling abadi

Untuk mama dan papa yg tidak pernah gagal memberikan peransang dan kata juang, hanya ucapan terima kasih dan kasih sayang yg mampu kuhulurkan. Kalaulah mampu aku membalas segala jasa baik kalian berdua... Semoga ditetapkanlah kalian di syurga sana. Untuk sahabat sehati sejiwa ; Marshidah, tiadalah emas perak yang dapat menandingi kasih sayang dan pengharapan yang dikau kalungkan. Semoga dirimu sentiasa diberkati dan urusanmu dipermudahkan. Buat rakan2 seperjuangan, di mana pun kalian ku doakan kesejahteraan. Jika belum bertemu kerjaya, janganlah berputus asa mencarinya. Kepahitan yg sedikit itulah gerbang untuk sampai ke kemanisan hidup yang tiada taranya. Buat teman2 pembaca yg sama berdoa dan berharap, untuk kalian diucapkan terima kasih yg berjuta. Sesungguhnya kata2 dan pena telah membawa kita melayari ukhwah persahabat yg indah mulia. Berkasih sayang dan berkongsi suka duka tanpa wajah dan suara. Ampun dan maaf sahaja lah yg aku pinta di atas kesilapan dan kekhilafan kata. Semoga bergunalah ilmuku, dan barakah dikongsikan buat semua....

Thursday, December 20, 2007

Salam Aidiladha

Pengorbanan memerlukan kesabaran dan ketabahan. Jika ikhlas yang kita korbankan, maka mudah pula akan Allah memberi jalan. Bukan barang korban yg sampai pada Tuhan melainkan amal dan ketaqwaan

Alhamdulillah, aku telah dihubungi oleh Masterskills untuk jawatan Pensyarah Psikologi. Di saat ini, aku masih lagi menunggu surat tawaran dan hitam putih perjanjian. Jika ada rezekiku, aku akan mula mengajar pada 2 Januari 2008. Memang kenalah dengan pengorbanan yg aku lakukan, berdoalah kalian semoga jalan2ku dipermudahkan

Salam Aidiladha untuk semua, semoga kita diberkatiNya. Ampun maaf setiap butir bicara, salah silap dan dosa...

Friday, December 14, 2007

Pilu Guru

Bila rindu tak keruan
Mengeruh keadaan
Ratap hati berdesir
Yang hulu ke hilir

Kecap sukma memandang
Jauh kedepan
Di sana jalan terang
Menggamit mapan

Di mana rentak budi
Bisa terberi
Di mana alun madah
Bisa terjamah

Di minda ilmu merekah
Tak sabar dicurah
Di kalbu rindu dieram
Tak sabar disulam

Bila tiba ketika
Madah bersatu kata
Di waktu itu aku manusia
Yang ada kapur tulisnya

Sekali air bah...

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Kini air tidak semestinya melimpahi pantai saja. Ia adakalanya terus mengalir ke kota2, ke rumah2, ke jalanraya dan lebuhraya. Ibarat pepatah air bah dan pantai berubah, air yang melimpah ini pasti (tidak dapat tidak) memberi sedikit perubahan pada persekitaran kehidupan. Kalau di musim panasnya dapat manusia membanting tulang, bekerja mencari sesuap nasi, di musim banjir ini terpaksa sajalah manusia menumpang di sekolah2 dan tempat pemindahan mangsa banjir, sambil menunggu di hadapkan semangkuk mi maggi

Memang adakalanya segala yang ditentukan Allah tidak dapat lagi kita menolaknya. Namun dalam masalah seperi banjir ini, ada jalan untuk mengelaknya dan seterusnya mengelakkan kemalangan yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa. Kita lah yang perlu berfikir ke hadapan. Apalah gunanya ilmu, teknologi dan kepakaran seandainya masalah seperti banjir ini tidak mampu kita tangani. Aku malu pada diri sendiri

Kita tidak seharusnya menunggu tibanya musim banjir dan terus-terusan melakukan kaedah yang sama, iaitu memindahkan mangsa. Jikalau di kuala Lumpur dapat kita binakan terowong SMART yang memakan belanja berjuta, pasti saja ada cara untuk kita mengelakkan bencana yang serupa meskipun di mana2

Cuba kaji, bagaimana perjalanan sungai2 kita, bagaimana keluar masuk air dari hulu ke muara dan bagaimanakah pasang surut air laut dan perkaitannya dengan cuaca. Kaji juga bagaimana jurutera2 kita membina jalanraya, sudahkah mereka kirakan aspek2 seperti meninggikan jalanraya, meluaskan longkang dan saliran dan sudahkah kita mempunyai kawasan tadahan hujan yang dapat menampung jumlah air yang banyak secara berlarutan. Apa gunanya menggajikan ramai cendekia namun sama sekali tidak dapat membantu menangani masalah. Carilah punca yang menyebabkan berlakunya banjir, dan atasinya secara berperingkat. Cuba kalau yang banjir itu di Putrajaya, pasti saja singkat masa mengatasinya. Ini di tanah luar, di hujung ceruk kampung yang rumah2nya kecil2 belaka. Lantas siapa yang kisah??

Kita tidak boleh hanya sekadar tolong bersimpati. Sekadar melawat mangsa dan mendermakan sebahagaian kecil harta. Jika kita berusaha untuk menyelesaikan masalah ini, itu tentunya lebih bermakna dan munasabah. Sekurang-kurangnya jika tidak dalam masa terdekat, pasti suatu hari nanti tiada lagi umat Islam yang beraya haji di dewan2 sekolah. Masalah boleh dikekang. Cuma memerlukan kemahuan dan semangat juang. Dan juga memerlukan ongkos yang banyak bukan kepalang

Ah, kalau dalam hal2 ekonomi dan pentadbiran yang lain bisa saja kita curahkan wang berjuta-juta, bagaimanakah perkara yang melibatkan sebahagaian besar masyarakat Malaysia ini dapat kita biarkan saja? Tanyalah pada diri anda. Mahukah anda berdepan dengan masalah air bah tiap2 kali Disember menjelma?? Tepuk dada, tanyalah selera!

Thursday, December 13, 2007

Soal Kerajaan

Saudara Nur Iman itu melahirkan rasa kesalnya terhadap undang2 dan pekeliling negara yang tidak mengiktiraf ijazah sarjana yang diperolehi sahabatnya hanya kerana teman itu tidak mempunyai ijazah pertama atau diploma. (Sila rujuk akbar Utusan di bahagian Surat Pembaca bertarikh 13 Disember 2007). Atau dibahasakan dengan bahasa paling mudah, ijazah sarjana teman itu tidak laku di jabatan utama kerajaan dan tidak laku untuk memohon pekerjaan

Aku tidak mahu menceritakan perihal badan2 kerajaan yang rata2nya ‘pelik tapi benar’. Bagaimana cacatnya badan2 tersebut dan bagaimana leluasanya mereka melakukan penyelewengan dalaman tidak perlulah aku bangkitkan kerana ianya memang amat tidak manis didengar dan diceritakan. Kerana aku sendiri seorang insan yang telah pun mempunyai pengalaman bertugas di jabatan awam yang kononnya menjadi jabatan contoh dan penanda aras kepada lain2 organisasi kerajaan. Biarlah, segala buruk baiknya aku simpan utuh untuk mendewaskan pemikiran

Aku tidak tahu atas alasan apa lagi untuk aku membuta tuli menyokong kerajaan sedangkan kerajaan tidak lansung sama sekali menyokong orang sepertiku. Untuk bekerja di dalam organisasi kerajaan, anda harus bersifat diam diri dan mengikut arahan tanpa banyak soal. Cadangan dan kritikan amatlah TIDAK dialu-alukan di dalam kerajaan. Ini kerana kesemua undang2 dan dasar2 yang dilaksanakan telah SEMPURNA dan tidak memerlukan mana2 pembetulan. Orang2 yang butuh bersuara dan gemar mempertingkatkan kualiti diri dan kendiri organisasi amat2 dibenci oleh ketua2 kerajaan. Mereka lebih gemar mengambil pekerja yang melangut, pendiam tak tentu kira, suka membuang2 masa dan boleh mengikut apa2 jua aktiviti yang dilakukan mereka

Aku tidak lagi bertugas di JPA. Kontrakku selama 6 bulan telah tamat dan pihak autoriti pun tidak berminat untuk menyambung kontrakku lagi. Alasannya adalah aku terlalu bagus untuk bekerja sebagai PKS dan organisasi kerajaan ini tidak mampu menyediakan elemen2 pekerjaan yang dapat mengoptimumkan kemampuanku. Aku senyum saja. Sedih pun tidak, gembira pun tidak. Bukankah lebih senang kalau dikata sahaja yang tempat itu akan diberi kepada sipulan; anak kepada CC.. Aku tidaklah sudungu mana. Aku malah amat2 memahami tanda dan riak2 wajah...

Ini cerita benar, bekerja dalam badan kerajaan memerlukan anda untuk mengikuti aktiviti2 sosial pekerja2 lain dengan tidak boleh membantah. Aktiviti2 ini adalah seperti membeli-belah di Alamanda pada hari Jumaat, makan2 dan melepak di kafe’ dan meneman mereka mengerjakan hal2 yang bersangkutan dengan family dan peribadi. Kesemua aktiviti2 sosial ini tidak lansung berkait rapat dengan bidang pekerjaan dan jika difikir secara amnya, sememangnya kita ada hak untuk menolak dan mengatakan TIDAK. (Perkara2 ini terjadi kepada pekerja2 sementara yang berada di tingkat paling rendah dalam carta.)

Bilamana anda telah terkeluar dari senarai calon2 pekerja yang boleh melangut mengikut orang tak tentu hala, terkeluar dari senarai ‘pengipas’ dan ‘pengawal hal2 peribadi’, pasti saja akan ada alasan untuk anda diberhentikan atau dilucutkan jawatan. Dan dengan mengetahui dan memahami akan alasan yang tidak masuk akal ini, aku jua tidak berminat lagi untuk bekerja dengan badan kerajaan. Anggaplah saja cita2ku untuk memperbetulkan kerajaan telah hancur dan lebur.Aku sama sekali tidak berminat untuk melihat manusia dan kepura-puraan mereka. Dan aku juga amat2 tidak berminat untuk terus bermuka2 dan berpura2 dengan manusia

Bilamana sesuatu yang rosak itu tidak dapat lagi diperbetulkan, jadi elok sajalah aku keluar meninggalkan organisasi tersebut dan mencari kerjaya2 yang lebih sesuai. Aku tidak mahu lagi menjadi ‘kuli’ dan secara tidak lansung menjadi kroni kepada badan yang menyalahgunakan wang dan kuasa untuk kepentingan diri dan peribadi

Aku tidak nafikan, memang ada penjawat yang bagus, adil dan saksama dalam menjalankan tugas. Namun bilangan yang sedemikian amatlah kurang. Duduk pula mereka di tangga2 bawahan dan terpaksa pula menerima arahan dari pihak2 yang berkepentingan. Yang penting di dalam sesuatu organisasi adalah ‘kepala'. Jika amirnya itu lurus dan jujur, maka yang lainnya akan ikut lurus dan jujur. Jika yang kepala itu telah bengkok, maka sampai ke ekor tentulah sukar untuk dilurus dan diperelok

Berbalik kepada cerita saudara Nur Iman tadi, memang benar kenyataannya bahawa ada dasar2 kerajaan dan pekeliling yang perlu dikaji dan dipinda. Anggaplah saja badan kerajaan telah kehilangan ramai manusia2 berkualiti hanya kerana dasar2 yang sedia ada terlalu idealistic dan retorik. Adakalanya aku terfikir, patutlah sektor swasta lebih maju dan efisyen. Mereka tidak akan berdolak dalih dan menggunakan kuasa tak menentu hala. Pekerja yang baik dan rajin, akan segeralah dinaikkan taraf dan jawatannya. Yang lemah, akan diberi kaunseling dan motivasi minda. Tidak ada cerita mengenai sipulan ini anak siapa - si dia anak siapa, jadi yang bukan anak sesiapa boleh dianaktirikan sesuka mana. Kalau badan kerajaan, anak kepada individu2 tertentu akan mudahlah mendapat peluang pekerjaan dan mudah pula berpindah kemana2 mengikut kemahuan. Untuk orang sepertiku yang bukan anak sesiapa, maka terpaksalah berpenat lelah memohon pekerjaan kepada sektor2 swasta yang sudi menerima

Cukuplah sekali dikuli2kan kerajaan. Ikutlah mana2 jalan yang kalian fikir wajar dikerja dan dikerjayakan. Kerana aku telah pasti, tempat dan jalanku semestinya bukan di sini. Atau dengan kata lain, tempat dan jalanku bukan semestinya di sini..................

ww: meluat bicara soal kerajaan!

link surat Nur Iman : http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

Friday, December 07, 2007

Sebuah kehilangan

aku merasakan sebuah kehilangan
kehilangan jiwa dan kata2
kehilangan rasa dan buah minda
kehilangan rakan perkongsian rasa

buat 'dia', kalau mengerti
kenapa meminggir diri???

maafkan aku,
andai ada yg tersentuh
kunjungilah aku sebagai rakan,
dan hanya rakan taulan...

'dia' : yg berada di timur jauh...

Musim2 negara

Negara kita ini negara yang bermusim. Ada musim buah, musim hujan, musim tengkujuh dan musim banjir. Selain dari musim2 itu, kita juga mempunyai musim2 seperti musim pilihanraya, musim haji, musim cuti sekolah dan musim perayaan. Musim2 itu sajakah yang kita ada?? Tidak…... Ada musim lain lagi. Kita juga ada musim kanak2 hilang, musim bunuh, musim rogol, musim demonstrasi dan yang paling terkini adalah musim gadis Malaysia ditahan di luar negara atas sebab dadah. Itulah musimnya…

Pernah sekali aku membaca berita Raja Munirah yang ditahan di Jepun kerana disabitkan membawa masuk dadah jenis syabu. Dan kini dengar pula kisah Umi Hazlin yang menunggu hukuman mati kerana membawa masuk heroin ke republik China. Bukan hanya dua, kini ada juga kes baru yang melibatkan seorang gadis yang ditahan di Brazil atas tuduhan sama. Dikhianatikah, atau tertutupkah akalnya??

Di dunia yang aman damai lagi makmur lagi maju dan serba canggih ini, berhati2lah walau dengan sesiapa jua hatta dengan saudara mara kita. Di zaman ini, jangan mudah mempercayai sesiapa. Di zaman ini, anak pun sanggup membunuh ibunya. Di zaman ini, kanak2 pun dah macam orang dewasa. Di zaman ini orang sanggup buat apa saja sebab wang dan harta.

Jadi eloklah saja kita lebih berhati2 dan kenal benar orang di sekeliling kita. Siapa nama sebenarnya, alamatnya, asal usulnya, keluarganya dan cubalah membaca gerak lakunya. Kita boleh membaca manusia. Kita boleh membaca kalau2 manusia itu mahu berdusta dan mengkhianati kita. Non-Verbal sign ini perlu dipelajari semua. Namun sayang, di negara Malaysia kita yang aman makmur lagi luhur ini, kita terlalu mementingkan ekonomi sehingga yang menjadi wadah jiwa, minda dan kemanusiaan itu hampir sifar. Apatah lagi pendekatan agama, hampir musnah dan longgar.

Jadinya, kitalah yang harus menjaga diri kita. Jangan sudah terkena baru melutut merayu meminta tolong pada sesiapa lebih2 lagi negara kerana negara kita dan pemimpinnya hanya tahu mengembangkan empayar dan jajahan mereka. Hanya tahu mengembungkan poket mereka dan saudara mara mereka. Hanya tahu menaikkan pangkat dan nama mereka sahaja. Hanya tahu menghadiri parti2 dan perhimpunan2 yang besar, aman dan mewah. Hanya tahu berjabat salam dengan orang2 yang berkot bertali leher saja. Yang terus kaya adalah mereka, dan yang terus miskin merana adalah kita. Hanya kita yang boleh mengubah nasib kita. Jangan sampai ‘terwujud’ sistem kasta di negara kita seperti di India. Kerana pada waktu itu, tidak ada apa lagi yang boleh diubah. Berhati2lah. Di zaman kita, segalanya boleh terlaksana. Ingat, musim di Malaysia tidaklah ber'musim' mana. Musimnya boleh terjadi pada bila2 masa....

Ww: muak tengok sketsa negara

Thursday, November 29, 2007

Sunyi

Aku kesunyian.. Dalam keriuhan...
Dalam keriuhan.. Aku kesunyian...

Isu bahasa

Baru benar luahan hati dan teguran seorang sarjana yang sayangkan pembangunan dan kedaulatan bahasa bangsanya. Baru benar rencana itu diwarwar pada semua mata2 yang sudi membaca. Namun yang ‘makan cili terasa pedasnya’ itu sudah pun melenting menyangkal dengan alasan yang berbagai rupa. Apakah salah jika diambil teguran itu sebagai kata2 yang menjana minda? Bukankah orang di luar lebih luas dapat memandang apa yang berlaku di dalam? Ah melayu, lekas benar naik marah. Pantang benar dicalar egonya…

Yang diperkata sarjana itu ada betulnya. Memang benar banyak yang dibahasakan kini secara rasminya adalah peminjaman dari bahasa Inggeris saja. Prof Emeritus Dr. Nik Safiah Karim pun menegur dan bersetuju dengan isu. Iyalah, kalau difikirkan, perkataan bajet’ yang dulunya ‘belanjawan’ pun kita korbankan, di mana rasionalnya? Kenapa, ramainya di Malaysia yang luhur makmur ini hanya faham kata ‘bajet’ sajakah?? Tahu ‘snek’ saja, tahu ‘parkir’ saja?? Lainlah kalau yang kita melayukan itu istilah2 sains dan teknologi, tentu saja dapat akal menerimanya. Ini tidak, yang mudah2 seperti belanjawan (menjadi bajet), makanan ringan (menjadi snek), permohonan (menjadi aplikasi), dan tempat letak kereta (menjadi parkir) pun dimelayukan dari perkataan bahasa inggeris (budget, snack, application, parking) , nampak benarlah melampaunya....

Meminjam dari bahasa Inggeris itu tentu saja memberi musykil yang bukan sedikit. Dulunya, perkataan ‘aplikasi’ adalah perkataan bahasa melayu yang membawa sesuatu maksud perbuatan. Contoh ayatnya : ...mari mengaplikasikan sistem tersebut...... Dalam bahasa inggerisnya, aplikasi adalah apply - ...let’s apply the sistem.. Itu yang aku faham... DULU!

Sekarang ini, perkataan aplikasi itu boleh juga diertikan dengan ‘permohonan’ @ application. Ayat paling lazim yang kita baca kini adalah sistem aplikasi online. Bahasa melayu ‘betul’ kah istilah “aplikasi online” itu? Sekali fikir, melayu pun tidak, inggeris pun tidak. Apalah salah ditulis terus (sistem permohonan dalam talian) – kalau mahu sangat berbahasa melayu baku, ataupun (on-line application system) untuk bahasa inggeris daripada dicampuradukkan perkataan melayu dan ingeris menjadi ayat yang tak menentu hala. Bukankah nampak celaru dan haru biru??

Jangan lah melenting tak kena tempatnya. Isu bahasa ini harus ditangani secara bersama. Bukan DBP saja, malah semua. Mari lihat, sektor2 swasta berlumba2 mengambil pekerja yang mahir berbahasa Inggeris. Dan sekarang ini, sektor kerajaan pun terikut2 mengagung2kan bahasa penjajah. Nah, jadi apa guna memperkasakan bahasa melayu, belajar bahasa Inggeris saja sudahlah. Kalau mahir bahasa Inggeris boleh senang dapat kerja! Kalau arif bahasa Melayu, tak siapa nak ambil tahu…

Biarlah, kita lihat saja apa kesannya kepada bahasa melayu kita. Kerana kita kini pun suka ber I-U, I-U saja.. pelik tapi benar. Itulah kita. Itulah isu bahasa kita. Isu bahasa yang semakin parah!

Wednesday, November 28, 2007

Jejari terhenti

Masih malas menulis tentang isu semasa. Hanya mengambil tahu yang penting2 saja. Tentang Hindraf dan perhimpunannya, tentang DBP yang kemandulan istilah bahasa, tentang Mew Choo yang mengharumkan nama negara dan banyak lagi kisah2 suka duka.... Aku cuma mahu memerhati kini. Sampai ketika jemariku tergerak untuk menulis lagi...

Terus-terusan menyendiri

Setepak sirih pinang, sebentuk cincin belah rotan, sehelai telekung berhias intan, buah2an diadun indah dan beraneka barangan lagi sebagai tanda janji telah diikat, kata telah muafakat. Yang disunting tersenyum indah, menunduk malu mengenangkan hati dan jiwa yang kini dimiliki. Yang menanti di rumah tersenyum mengenang wakil yang pasti pulang dengan janji-janjian, ikat-ikatan. Yang aku di sini, hanya mampu memerhati dan terus2an menanti. Wahai... peritnya derita yang kau tanggung ini…. Bukan mudah melihat yang disayang tersenyum riang di puadai indah pintaan jiwa. Apalah yang dapat dilakukan selain melayan kelukaan dan anganan yang tak berkesudahan. Ah hati, apa lagi difikir yang tak sudi, doakan sajalah kebahagiaan untuk dia selamanya

Kelam benar hari mendatang. Fikirku hati ini bisa tenang mengadap ujian tuhan, namun harus pula kusedar bahawa aku tidaklah secekal mana. Diluar ini mungkin sekali aku tersenyum gembira, namun didalam… terbirat hiris2 luka mengalirkan darah dan siksa. Kelukaan yang memberi parut kehidupan dan pengajaran. Kelukaan yang membungkam jiwa dan perasaan. Serasa bagai tidak lagi berpijak di bumi, terbang di awangan tinggi

Lemahlah aku seandainya masih lagi mengharapkan si dia itu tak sudah2. Bukankah telah dikata dulu bahawa dia bukan orangnya. Tapi jiwa dan hati manakah yang boleh tersenyum ria melihat insan istimewa bergambar riang dengan orang yang ditunang. Ai, kelam benar rasa pandangan. Cuma hadir kekesalan dan senyum sinis yang berpanjangan. Berdua akhirnya kamu orang muda. Bila saja namaku ini Tini, maka Tini jualah hingga akhirnya. Kekal dipalut luka hingga hujung nyawa

Alunan lagu Azlina Aziz yang membuai perasaan benar2 mengharukan. Sukar benar akal menerima kenyataan kehidupan. Biarlah Tini, tabah sajalah dengan tentuan Ilahi. Sudah saja kau berjanji dengan diri untuk tidak mempersoalkan khabaran ini lagi. Namun apalah sangat kata dan jari yang menari, selain melayan denyut nadi dan kelonsong jiwa yang luhur murni. Ah hati, mengapa agaknya dikau wujud kalau tiada siapa yang ingin mendampingimu?? Aku buntu..

Tinggalkanlah aku sendiri. Aku mahu terus-terusan menyendiri…....

Wajah siapakah yang dikau cari
Setelah dikau mengecewakanku
Senyuman siapakah yang masih dikau nanti
Untuk mengisi kekosongan jiwa
Lembutnya lidah mengucapkan kata
Melafazkan dendammu rindukanku
Padamu hanayalah aku yang dapat menghiburmu
Dan jua melenyapkan keresahan
Tapi kini tiada lagi
Senyuman manis dan tawa mesramu
Terbiar aku...Keseorangan...
Derita melanda mengganggu hatiku
Mengapa begini berakhirnya dunia cintaku... sayang
Kembalilah dikau dalam hatiku
Terangilah segala kegelapan
Nyalakanlan semula obor cinta kita
Agar damai hatiku dan hatimu

Thursday, November 22, 2007

Perjalanan kehidupan

Qamarul di rumah pengantin

pasar Siti Khadijah

pelbagai makanan negeri Kelantan


singgah sebentar di Setiu

Banyak benar yang bermain2 di minda. Segalanya bagai berlumba2 untuk diceriterakan pada semua. Namun kudrat tidaklah segagah mana. Lawatan ke Kelantan dan Terengganu kelmarin benar2 meletihkan. Tiba di Putrajaya lebih kurang pukul 2 pagi, dan keesokkan harinya bergegas ke tempat kerja, serasa bagai tak bernafas lagi mengharungi kepayahan wacana dunia. Lalu pula diarah ke PWTC untuk menghadiri Anugerah Ibu Mithali dalam kesibukan JPA mengadakan anugerah kualiti. Ah, kan senang kalau hidup ini bercuti saja.... bentak jiwa yang kurang relistiknya

Pengalaman di Pantai Timur itu tidak terceritakan keriangannya. Hadir untuk 'makan gulai'- atau kenduri kahwin, pasti saja memberi memori yang takkan luput di minda. Sempat juga ke Pengkalan Kubor, Rantau Panjang, Pantai Irama dan Pasar Siti Khadijah. Dan kemudiannya berkunjung pula ke Marang, Setiu, Kuala Terengganu dan Kijal. Sempat kiranya merasai pelbagai jenis makanan etnik masyarakat cik Siti Wan Kembang yang rata2nya manis2 belaka.

Ada nasi tumpang, ada jarum emas, ada tahi itik, ada etok, ada pulut ikan masin dan banyak lagi yang jarang sekali kedapatan di daerah Putrjaya yang makmur lagi masyhur ini. Dan makanannya juga murah2 belaka. Nasi lemak masih 50sen sebungkus

Keropok lekor memanglah makanan wajib yang dicari bila saja ke Pantai Timur. Samalah juga dengan otak2 dan satar. Dan sempatlah juga kami mencari gerai sup yang menjual 'colek kaki ayam' di jalan Pasir Panjang. Untuk yang banyak bersusah payah menunjuk arah, untukmu hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga adalah masanya dapat dibalas pertolongan yang diberikan.. mudah-mudahan..

Pantai Timur sudah aku tinggalkan. Bayu pantai pun telah lama berganti dengan kedinginan penyaman uadara pejabat yang beku dan mengeringkan. Tiada lagi deru angin yang mengasyikkan, suara ombak yang mendamaikan dan panahan terbit matahari yang memukau pandangan. Segalanya kini telah kembali seperti yang asal. Kembali bekerja untuk meneruskan baki2 kehidupan sampailah masa yang Tuhan tetapkan

Kenangan di rumah Kak Murni dan Abang Bahrin pasti saja dikenang sampai mati. Mesranya kami dengan dua orang asing yang hanya bertalian saudara angkat itu bagai kuku dengan isi. Itulah tanda2 keimanan dan kesolehan jiwa yang sejati. Yang bertamu menjaga mata, yang menjamu menjaga kata. Unik dan indahnya adab2 islamMu, Tuhan. Kalaulah semua orang dapat praktikkan. Yang molek jadi kenangan, yang buruk jadi sempadan

Teringat tatkala berangkat pulang, seloroh Kak Murni suami isteri, "ni mesti banyok bli buoh tangan untuk abe nih...." dan pantas ku jawab, "Eh, abe oghe sinni... buek gapo beli.......". Kata2ku disambut riuh dan gelak tawa. Aku sendiri tersenyum menggeleng kepala. Ah lidah, lekas saja kau berbicara. Bagai benar apa dikata...

Itulah saja yang mampu dipahat dalam perjalan kehidupan yang memberi seribu satu kenangan yang mengusik perasaan. Mungkin jika ada kesempatan, akan ku jelajahi kembali negeri2 timur itu untuk menambah ilmu dan pengalaman. Sekadar mengikuti denai2 ukiran ciptaan Tuhan.. Jika pun aku diberi kesempatan..........

Wednesday, November 21, 2007

Memang Salah Kita

Budak India yang berumur 12 tahun itu telah tiada. Kejap tadi beliau membunuh diri kerana mendapat keputusan UPSR yang kurang memuaskan. Sekali fikir, bukankah cetek akal fikiran?? (Tapi untuk umur 12 tahun, memanglah singkat dan cetek fikirannya). Siapa yang harus dipersalah untuk tragedi bunuh diri yang tak disangka?? Jawapannya adalah KITA!!

Kita yang harus dipersalah. Kita yang mengagung2kan cerita, mendewa2kan peperiksaan UPSR yang belum pun separuh dari usia kehidupan. Apalah sangat UPSR itu, kalau kita fikirkan. Perjalanan hidup masih jauh, masih banyak ujian yang bakal ditempuh. Kenapa pantas benar si kecil itu membuat keputusan yang sebegitu rapuh??

Kita membuatkan UPSR itu bagai ujian kehidupan. Kalau gagal, maka kita akan gagal selamanya. Jika UPSR kurang menyerlah, maka tertutuplah segala pintu2 kebahagiaan dan kejayaan dunia… bukankah itu semua salah kita??

Kita perangi si kecil secara psikologi. Kita asak mereka dengan cerita pura2 yang kita sendiri reka. Seolah2 yang dapat 5A dalam UPSR itu sajalah yang akan jadi terulung ternama. Kita yang salah. Kita yang sebenarnya merangsang si kecil yang tak bersalah itu untuk membunuh dirinya. Memang benar, kita yang salah!

Mari perangi derita psikologi ini. Katakanlah pada anak2 kita, adik2 kita diluar sana, dan pada saudara mara kita… bahawa UPSR itu tidak sepenuhnya menjanjikan apa2. Banyak lagi ujian yang bakal ditempah. Jadikan kekurangan dan kegagalan hari ini sebagai pendorong hari depan. Ingat, kegagalan tidak berpanjangan.. Masih ada sirna yang bakal muncul di penghujung jalan. Mintalah pertolongan dan panduan dari tuhan…

Janganlah lagi perkara sedih ini berlaku. Jangalah para ibubapa mendambakan 5A dalam tangan anak2 semata2 untuk menjaga prestij dan nama mereka. Tidak bermakna yang tidak dapat 5A itu tidak bijaksana. Ingatlah semua, jangan singkatkan akal dan minda. Jangan jadikan si kecil mangsa kerakusan haloba puji dan nama diri kita. Kerana kalau yang tak disangka itu berlaku sudah, maka segala tuduhan penyebabnya harus jatuh ke bahu kita. Kita yang bersalah. Beringat-ingatlah….

Friday, November 16, 2007

Kisah lama

November, 1990

Aku bangun awal. Mandi, pakai baju kurung biru kotak2, pakai stoking putih panjang dan sikat rambut perlahan. Aku tepuk bedak kat muka, tersenyum senang melihat wajah. Hari ini hari terakhir aku bersekolah tadika. Mama kata, nanti tahun depan aku boleh sekolah betul. Pakai baju putih, skirt biru yang ada talipinggang dan pakai kasut putih. Aku senyum lagi, melihat riangnya diri sendiri

Hari ini graduasi di sekolah tadika ku. Hari ini aku akan jadi pengacara majlis dengan seorang lagi budak lelaki-Khairul Nizam. Cikgu gandingkan kami sebab cikgu kata dalam ramai2, kami berdua yang paling petah dan lancar membaca. Aku ingat lagi, dari umur 4 tahun aku sudah ke sekolah tadika. Aku masuk setahun lebih awal sebab aku nangis berguling2 untuk ikut sama sepupu2ku pergi sekolah. Jadi mama merayu pada ustazah di sekolah tadika agama. Mama tak dapat masukkan aku ke tadika KEMAS. Sebab KEMAS hanya menerima pelajar lima dan enam tahun.

Aku boleh membaca dari umur 4 tahun. Aku belajar ABC, 123, mewarna, menulis dan membaca. Malam2 lepas maghrib aku jalan kaki dengan adik pergi ngaji di rumah wan tok yang tidak jauh dari rumah. Wan tok garang, wan tok selalu pegang rotan. Siapa dapat ngaji tanpa salah, tanpa gagap, wan tok bagi balik dulu. Aku selalu jadi budak yang no1. Aku mau balik cepat sebab nak main dengan Atai, dengan Midun dan dengan Epol. Kawan2 aku semua lelaki. Budak perempuan tak suka main dengan aku. Dan aku pun tak suka main dengan diorang. Aku pelik kenapa budak perempuan tak suka main kejar2, main baling selipar atau main galah panjang. Budak perempuan macam Seri, Kak Eti, Kak Tuti lagi suka main masak2 - Petik2 daun lepastu pura2 masak macam kat dapur. Huh, tak mencabar lansung. Aku pasti tarik muka kalau diorang ajak aku main masak2 dan lama2 mereka tidak ajak aku main lagi.

Aku diri depan pentas, tersenyum manis berganding dengan Khairul Nizam, budak lelaki paling ‘terel’ dalam sekolah. Khairul pakai baju melayu biru, sedondon dengan aku. Aku biasa saja dengan Khairul sebab dia tak lawa. Khairul hitam manis dan suka pakai minyak rambut dan sikat kemas2 rambutnya. Sekali pandang macam Clark Kent dalam cerita Superman – tapi versi gelap! Waktu tadika, aku lagi suka pada Halim dan Hafiz. Mereka berdua kembar dan kedua2nya suka bagi macam2 pada aku. Kadang2 mereka berebut untuk bagi siapa yang dulu.

Aku paling suka gula2 panjang – warna-warni belang-belang yang ada diikat cincin di hujungnya. Cincin itu pula ada berbagai2 warna permata. Kadang2 aku dpat warna hijau, Hafiz kasi. Nanti esok aku dapat warna merah, dari Halim pula. Aku suka Halim dan Hafiz sebab kulit mereka cerah dan lawa. Kadang2 aku bangga, sebab Halim dan Hafiz suka dekat aku sorang saja walaupun aku tak lah lawa mana. Tapi mungkin sebab aku bijak, jadi ramai budak lelaki suka. Aku rasalah...

Aku baca teks yang cikgu tulis dengan lancar. Sewaktu majlis penyampaian hadiah, cikgu ambil alih majlis dan mengumumkan anugerah. Aku dapat 3 hadiah, Tulisan Terbaik, Bacaan Terbaik dan Ko-Kurikulam terbaik. Waktu cikgu mahu umumkan anugerah Pelajar Terbaik, aku jadi gugup dan gusar. Hati aku berdebar2 dan rasa macam nak tertanggal dari tangkainya.

Bila tiba nama dipanggil, cikgu sebut nama Umi Kalthum. Mata aku terbeliak besar?? Kenapa bukan aku? Aku cebik sambil tahan mata. Aku tengok Umi senyum, jalan ketengah dan ambik piala tinggi lebih sedepa. Semua orang tepuk tangan kuat2 tapi hatiku sakit tak terubat. Kenapa Umi yang dapat, soalan itu bermain2 ligat

Aku tahu, Pelajar Terbaik mestilah dipilih seorang Lelaki dan seorang Perempuan. Kalau yang perempuan Umi dah dapat, tak mungkin anugerah itu akan jadi milikku lagi. Selepas ini pasti cikgu panggil nama Khairul. Aku senyum pandang Khairul di sebelah. Dia juga membuat muka ‘tak sangka’. Selalunya kami berdua yang akan julang trofi sama2. Kalau aku dapat juara perempuan, Khairul lah akan jadi pemenang lelakinya. Tapi pagi ini lain benar, segalanya bagai tak disangka. Khairul diam pandang aku, dan waktu itu aku macam mahu menangis merayu. Tapi aku diam saja sambil ketawa. Kecik2 lagi aku dah belajar erti sengsara dan pura2.

Sekarang tiba masa untuk cikgu umumkan nama Pelajar Terbaik Keseluruhan. Aku tahan nafas, tak mahu dengar. Cikgu umumkan nama itu, dan nama itu bukan nama Khairul…... Nama itu nama AKU. Tidak syak lagi, memang nama aku. Aku diam membeliakkan mata bagai tak percaya. Dari sisi, cikgu Saba datang dan memimpin aku ke tengah. Fikiranku bagai melayang. Aku macam terbang di awangan. Aku mampir ke tengah dan bersalam dengan seorang lelaki yang ada misai tebal. Beliau pakai baju putih dan songkok hitam. Sebiji macam YB. Beliau beri aku piala yang tingginya lebih sedepa. Piala itu aku pegang sambil melihat kedepan pentas. Ramai orang bertepuk tangan dan bunyi itu berdengung2 sampai sekarang

Dari depan aku lihat muka Khairul masam. Khairul pergi dekat ibunya dan menangis di sana. Mungkin Khairul tak sangka anugerah itu bukan miliknya. Aku tengok Umi tak dapat anugerah lain pun selain pelajar terbaik. ‘Boleh ke?’ desirku dalam hati. Aku dapat tiga dan Khairul pun dapat tiga. Halim dan Hafiz lansung tak dapat apa-apa. Jadi, bukankah sepatutnya anugerah pelajar terbaik itu milik kami berdua?? Aku bingung dan canggung. Aku dapatkan mama dengan rasa tak percaya. Mama senyum saja.

Aku tanya macam2 pada mama. Aku tanya kenapa aku yang dapat piala tersebut. Aku tanya dan tanya dan tanya sampai mama bosan dan pergi bertanya pada cikgu Saba. Aku nampak cikgu cakap perlahan-perlahan dengan mama. Aku nampak mama angguk2 saja sambil senyum senyum dan cakap ‘biasalah..’ ‘biasalah..’

Bila aku dengan mama, aku tanya lagi kenapa aku yang dapat anugerah itu. Mama kata memang sepatutnya anugerah itu anugerah aku. Mama kata nasib Umi baik, yang bermisai tebal bagi piala tinggi sedepa itu tadi Umi punya pakcik.

Jadi?? Aku bertanya tak paham. Mama diam saja, walaupun aku berasak2 bertanya. Jadi kenepa dengan pakcik Umi tu? Pakcik Umi yang macam YB tu tak suka budak lelakikah? Atau pakcik Umi itu mahu merasa menyampaikan hadiah pada anak saudaranya saja?? Aku tanya dan tanya dan tanya tanpa mama berikan jawapannya. Mama hanya jawab.. ‘Dah besar nanti sayang fahamlah…’

Itu kali terakhir aku tengok wajah Khairul. Kali terakhir aku tengok wajah cikgu dan kali terakhir aku tengok wajah Halim Hafiz. Lepas itu aku masuk sekolah betul, sebuah sekolah perempuan di Kuala Lumpur. Sejak itu tiada lagi nama Khairul dan nama Halim Hafiz dalam ingatan. Segalanya kini hanya tinggal bayang2 semalam

Kini, setelah lebih 17 tahun berlalu, aku terlalu faham akan jawapan mama yang dulu. Aku terlalu faham kenapa Umi yang dapat anugerah itu. Dan aku terlalu faham akan mengapa itu berlaku. Dan kefahamanku itu buat aku tertunduk lesu.. Bagaimana kah cara untuk kita berlaku seadilnya? Kerana adil dan jujur itu benar2 payah terlaksana. Yang lebih mudah adalah lakonan dan bermuka2.. Kasihan Khairul.... Aku tahu, Khairul jadi mangsa korban situasi. Korban erti ‘menteri’ dan perihal ‘mahu ambil hati’….. Kalaulah waktu itu aku mengerti........

Wednesday, November 14, 2007

Satu Perjuangan

Ramai mampu berjuang di zaman kita. Perjuangan yang pelbagai dan penuh liku2nya. Hak siapa perjuangan itu? Adakah hak orang2 tertentu? Atau hak orang2 bersekutu? Bolehkah kita berjuang? Digalakkan atau tidak kita berjuang? Berjuang yang bagaimana yang digalakkan?

Aku baca rentetan suratkhabar yang terhidang di depan mata. Ada kisah perhimpunan yang dilabel ‘haram’ dan orang2 yang menganggotainya, ada kisah perjuangan menuntut tanah pulau yang milik entah siapa2, ada kisah menteri besar yang melakukan perubahan demi orang2 di bawahnya, ada kisah gadis kecil yang berusaha menyabung nyawa dan ada juga kisah orang ramai yang merungut tentang hak dan kebajikan yang kini tidak lagi percuma

Bukankah semua itu satu PERJUANGAN?? Perjuangan yang menuntut bukan sedikit pengorbanan sikap dan kebendaan. Jadi mengapa disempitkan akal fikiran? Biarlah kita berlaku adil dalam menilai segenap duduk perkara. Adil seadil-adilnya. Bukan hanya bertindak penuh nafsu gejala dan terus-terusan menutup pintu hati yang gelap lagi buta

Berilah sesuatu itu pada yang berhak dengan seadilnya. Demokrasi yang kita laungkan itu praktiskanlah ia penuh adab dan tertibnya. Jika benar kebebasan bersuara itu milik siapa jua, maka benarkanlah mereka bersuara. Jika yang benar, adil dan ikhlas yang kita canang2kan, maka tiada apa yang perlu ditakutkan. Kadangkala kita perlu bertenang dan tidak memandang sesuatu secara keterlaluan. Ketenangan membuatkan kita berfikir sejenak dan dengan berfikir itu banyak kemaslahatan yang dapat dielak

Aku cuma ingin mengucapkan syabas dan tahniah pada semua pejuang2 yang sanggup berjuang. Menuntut sesuatu yang dijuang itu bukan mudah. Pasti saja melalui denai dan jerih payah. Tapi semoga yang berjuang itu bersabar dan memohon pertolongan hanya pada Allah. Yang berdiri di atas landasanNya itu pasti bakal bertemu kejayaan yang diidam-idamkan. Jika tidak jua ketemu kejayaan, nah, maka itulah baru betul2 perjuangan! Perjuangan yang tidak mengira hasil dan penghujung jalan.. - Perjuangan demi Tuhan. –Perjuangan melawan nafsu dan hasutan syaitan...

-Suka bila menteri besar beri penyapu pd pentadbirannya yg lemah dan sambil lewa. Itu baru perjuangan yg menuntut pembaharuan. Membangunkan minda MELAYU yang hanya suka dipuji dan dimanjakan… Sekarang baru padan!

Leka


Sekarang tengah leka membaca ‘Chasing Justice’ oleh Kerry Max Cook. – Individu yang menuntut hak dan kebebasan, membersihkan namanya dari pertuduhan jenayah yang tidak dilakukan... Itu juga satu perjuangan!

Saturday, November 10, 2007

Asal

...........Kembali kepada asal dan fitrah
yang cekal dan tidak goyah.........

dia untuk dia

Banyak sekali ucapan2 ringkas dari teman2 tersayang, yang nyata telah maklum akan cerita orang sana yang dengarnya telah pun bertunangan. Apalah lagi yang dapat kulakukan selain mendoakan kesejahteraan keduanya. Yang nyata milik orang, jangan lagi diangan2kan. Jauh sekali terniat untuk aku memotong jalan, nauzubillah.. minta benar Allah jauhkan..

Namun hati mudah terusik. Memikirkan yang jarang benar ia diterima dan ditempatkan di sudut sukma jejaka. Dalam kesedihan yang membuai rasa, tidak pula aku meronta dan menangis hiba. Perutusan kekecewaan ini membuat kukenal diri sendiri, kukenal hati budi insan yang namanya lelaki. Namun adakalanya aku terfikir lalu terus-terusan memikir, orang laki2 apa sebenarnya yang mereka ingini. Rupa atau hati??

Ucapan ikhlas rakan2 supaya aku bersabar dan menerima segalanya dengan redha telah kutatang sebagai candu penyambung kehidupan. Pernah seketika aku terkedu lalu memencilkan diri melayan birat2 keharuan. Dan tatkala itu hadir jiwa yang bertanya kemana aku menghilang. Seakan mengacah-ngacah membawa sirna yang tercipta dan diciptakan.

Namun apakandaya, tidaklah aku mengerti bahawa sang penanti cuma bersimpati. Tiada kasih sayang, tiada rindu dendam. Tiada sekelumit rasa apatah lagi cinta. Dan kemungkinannya aku salah mentafsir hati2 manusia. Aku kirakan manusia itu seperti aku juga. Memuji-muja tulisan dan penulisnya. Rupanya aku silap dalam menilai hukum rasa dan jiwa yang tak boleh dipaksa. Ada ramai yg sekadar sudi berkawan, tanpa jiwa tanpa perasaan

Yang sebenarnya aku jua telah silap memberi jiwa. Memberi santunan kehidupan pada entah siapa2. Kerana luka yang dulu itu belum lagi reda, lalu ditarah pula luka baru yang menyiksa, ah Tuhan.. Berapa kurun lagikah harus aku nantikan untuk sebuah kebahagiaan?? Adakah ini kecewa atau kenikmatan?? Terhad benar akal fikiran

Aku takut menjadi Hartini yang menjadi mangsa pengorbanan sampai mati. Terus-terusan berdiam diri menunggu lelaki yang dicintai. Dan aku juga takut kalau2 ada jejaka yang macam Amli. Termanggu2 kesima menunggu tanpa bertanya. Cinta dipendam di kalbu saja. Bukankah sengsara, rugi dan sia-sia??

Kerap kini aku bermonolog sendiri. Menulis bait2 kata yang entah untuk siapa. Bacalah jika kalian sudi membacanya. Jika dirasakan yang kata2 ini telah hanyut menyiksakan, memabuk khayalkan, merapu bersimpangan, maka tinggalkanlah ia. Jangan lagi dipaksa2 kerlipan mata. Aku menulis untuk diri dan hati. Jika telah hadir rasa meluat dan benci, maka tinggalkanlah aku sendiri. Aku perempuan yang halus rasa, sentiasa bermain dengan aliran jiwa. Bagai kisah dongeng yang memabukkan, sekadar fantasi yang menghiburkan

Realitinya, yang berlalu biar berlalu. Adakalanya terbit kata akal bahawa ‘dia’ itu mungkin baik, berilmu - namun bukan yang terbaik buatku. Kuterima seadanya ketentuan Allah, jika ini yang diinginiNya. Hati ini jarang membenci, dan jarang pula menyintai. Aku tidak mudah menilai erti cinta. Kerana cinta itu terlalu subjektif dan mudah dipersenda. Adakalanya cinta itu juga yang membawa bahagia dan semangat membara. Entahlah, disakiti begini buat hati lebih tabah, lebih menghargai nikmat dan kasih sayangNya


Berbahagialah kalian di mana2. Untuk dia kudoakan sejahtera. Jagalah pemaisurimu sepertimana kau berhati2 tatkala mengetuk pintu hatiku. Biarku terpana menahan sebak di dada. Biarku rawat luka dan berhati2 agar ia tak berdarah semula. Buat aku hanya cinta dan kasih-Nya. Tentang dia, kini telah nyata yang dia untuk dia....

Wednesday, November 07, 2007

Daulatkan AGAMA dan Bangsa

Sudah dua hari perhimpunan agung UMNO berlangsung. Sekadar pemerhati dari jauh, banyak sudah kedengaran gegar2 bahasa yang kuat lagi lantang. Bila saja memijak ke podium berucap, tanpa segan silu orang2 kuat negara menjulang nama bangsa dan rakyat khususnya. Pelbagai janji diberi dan harapnya dengan kata2 juang dan lantang tersebut, akan banyaklah jari2 yang akan tampil memangkah undi. Sekilas pandang, pilihanraya bagai melobi juga, jika tersalah haluan boleh kerugian.

Tidak kisahlah siapa yang berkata2, baik Hishamudin, ataupun Khairy ataupun Noraini. Yang penting ialah apa yang dijanji mereka dikotakan jua. Jangan hanya manis mulut tatkala bermula langkah, selepas memenangi undi dengan jayanya, kelibat mereka hilang tak terjengah. Jangan memperbodohkan rakyat dengan janji2 palsu. Jika benar beban digalas, mereka lah sepatutnya yang jadi kubu buat orang2 melayu

Perlu diingatkan, berhati2lah dalam memilih perwakilan. Bila Dato’ Nik Aziz mencadangkan yang perwakilannya akan dipilih mereka2 yang tidak merokok saja, aku setuju malah berbangga. Perokok bukan tidak baik, tetapi jika tidak merokok adalah lebih baik. Merokok menggambarkan yang seseorang itu tidak menghargai dirinya, jadi bagaimana pula nanti untuk menghargai rakyat dan masyarakatnya. Itu baru isu kecil, sekecil rokok. Bagaimana pula jika mendapat wakil rakyat yang kaki rasuah, kaki judi, kaki minum, kaki perempuan dan berbagai2 kaki lagi?? Nauzubillahi min zalik. Entahlah, mungkin ngiang2ku saja, tidak orang lain

Aku tidak mengharapkan apa2 dari pilihanraya yang akan datang ini melainkan sesuatu perubahan yang dijalankan. Perubahan untuk menggemilangkan Islam sebagai agama terbilang. Kenang kembali “aku cari bukan harta bertimbun-timbun untuk jadi kaya, aku cari bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya, aku cari bukan kawan-kawan untuk hidup sekadar berfoya-foya:”…. Kenanglah kembali ayat2 yang pernah terucap dulu. Sudah atau belum janji2 itu dipadu.. Penyajak yang bersajak dari hati tidak betah melupakan walau sepotong ayat yang dikarangnya.

Jangan jadikan rakyat batu loncatan untuk mendepang matlamat yang dipahat. Kita kini bukan bodoh lagi. Kesejahteraan ‘palsu’ yang hanya bermain di birai mata usahlah dipalun gema, sedangkan ada banyak lagi hati2, perut2, dan jiwa2 yang sengsara. Jadilah pemimpin bangsa yang memartabatkan maruah negara dan AGAMA. Umno sepatutnya terus mara. Yang paling penting bukan untuk parti, tapi untuk ilahi.

ww: tak nampak tokoh 'mentua' dan 'menantu'nya

Monday, November 05, 2007

Dicipta atau tercipta??

Adakalanya, lebih banyak ayat terkata2 di minda, namun tidak dapat kiranya dibaitkan dengan pena. Lebih banyak sebenarnya kata2 hati dari tarian2 jejari. Banyak kisah masyarakat yang adakalanya sukar dibukukan, namun senang pula dilafazkan dengan perkataan dan sindiran. Dan ada juga kisah jerih payah percintaan yang lebih senang terukir dengan tulisan dari bait2 percakapan..

Ah, dunia dan hati manusia yang kompleks. Adakalanya tidak boleh dituruti, kerana setiap perkara yang ‘melawan arus’ itu pasti pula mendatangkan musibah yang mencacah luka. Benar sungguh kata2 bukan mainan. Kerana kata2 adalah senjata tajam yang melukakan. Tapi mungkin hanya bisa meluka minda2 yang terbuka, dan meracuni hati2 yang memahami

Banyak benar yang berlaku di sekitar minggu penghidupan yang sekelip mata ini. Tentang karenah masyarakat yang pelik ajaib. Yang kerana harta boleh hilang ghaib. Tentang manusia yang boleh berubah kerana pangkat dan nama. Harta dunia yang dikejar, sudah tersadung baru tersedar

Ada jua sekelumit rasa kecil hati yang datang bertimpa2. Pada siapa tidak perlulah disurat nyata. Yang penting, sebagai Hartini, aku juga punya hati dan jiwa yang terkesuma. Menaruh2 untuk dipuji dan dicinta. Kadang2 pemikiran tanpa penilaian membawa kita jauh meneroka kehidupan. Dan di hujung jalannya itu ada curang dan jurang. Jika tidak terwaspada, pasti tenggelam dan kelemasan di dasarnya

Ada juga kisah gembira dan ketawa. Bila sahabat tersayang telah tamat ilmu kemanusiannya, dan kini bakal pula bekerja. Semoga alimlah hati2 yang dipandu tuhan. Buat peneman di setiap lorong2 kehidupan

Ada juga kisah tuan punya kereta besar yang tangungjawabnya tidak sehebat kereta besarnya. Menidakkan tanggung-tangungan lelaki yang wajib dituruti. Melalaikan kerja2 yang sepatutnya dilaksana. Yang mana lebih utama, harta atau bonda? Kaya manapun kita, jika nasib ibu tak terbela, tinggallah duit dan reta itu bagai batu kayu yang tak mampu membantu. Anak lelaki bukankah perlu menjaga bonda sampai mati?? Ah lelaki, sukar benar difahami…

Itulah saja yang terpacul di minda, dalam melayani denyut2 nadi yang menggetar rasa. Ada rasa suka, ada rasa duka. Ada rasa teruji dan dikhianati. Ada rasa cinta dan dicinta. Ada rasa malu dan ada rasa pilu. Sekitar deruan penghidupan yang dicipta tuhan. Ibarat sebaris kata yang pernah mengguris jiwa, segalanya ‘diciptakan’ dan bukannya tercipta…, kerana kitalah yang ‘menciptakannya’!!

Berenang

Jumaat yang lalu aku pulang ke rumah. Sementelah berada di rumah, aku mengambil alih tugas papa menghantar adik ke kelas renang, kelas mengaji dan kelas tuisyen.

Aku melihat kelas renang yang adik hadiri dimonopoli oleh orang2 cina. Kenapa? Adakah kita merasakan yang subjek ‘renang’ itu tidak sepenting matapelajaran akademik atau kita merasakan yang berenang itu hanya tertakluk pada orang2 kaya sahaja? Tapi bukankah pernah disuruh Nabi kita dalam hadithnya supaya belajar berenang, memanah dan menunggang kuda?

Aku pernah terbaca komen Awang Selamat dalam akhbar Utusan Malaysia, yang mana Awang juga pernah melahirkan kebimbangan yang sama. Awang memberi cadangan supaya kesemua murid2 sekolah diajar subjek ‘berenang’ supaya tidak ada lagi yang akan mati kelemasan.

Aku maklum, untuk mengharapkan semua anak2 kecil Malaysia arif berenang pastilah sesuatu yang jauh untuk terlaksana. Bercerita sahaja fasal berenang, masyarakat kita akan tarik muka dan mengandaikan yang susah2 sahaja. Yuran mahal, kena beli baju renang, mana masanya nak hantar ke kolam, ibubapa pun tak berenang dan berbagai2 alasan yang tak terungkapkan.

Perlu kita ingat, berenang di zaman ini bukan lagi hanya sinonim buat orang kaya2 dan orang berada. Binalah kolam bersaiz olimpik sekalipun tetapi jika tiada keinginan dan semangat yang membara, kolam itu akan tinggal barang hiasan saja. Ingat, tidak semestinya belajar berenang hanya di kolam, mama yang asal usulnya di kampung yang tiada kolam pun tahu berenang!

Alhamdulillah, kami sekeluarga tidak lagi jahil berenang. Sewaktu di baya adik2ku, aku juga telah dihantar ke kelas renang oleh ayah. Dan sekarang, renanganku pun boleh tahan hebatnya. Yang pentingnya, bukan soal laju perlahan, hebat tak hebat yang kita debatkan, cukuplah sekadar kita TAHU untuk mengelakkan sebarang kemungkinan kemalangan.

Pendekatan UIA menyediakan kolam renang yang berasingan (satu untuk Muslimin dan satu untuk Muslimah) haruslah dipuji sama sekali. Adakalanya soal aurat membantutkan niat kita yang terpacul di minda. Jika kerajaan mengambil berat akan soal ini, pasti lebih banyak lagi kolam2 berasingan jantina yang akan disediakan. Dengan itu, tiada alasan lagi untuk kita memandang sepi kepentingan berenang.

Adikku Qamarul (9) dan Kamilia (8) sudah tahu berenang, Cuma tinggal memperincikan teknik renangan dan mungkin mempelajari pelbagai cara (style) seperti gaya bebas, kuak dada dan kuak lentang. Alhamdulillah, adakalanya kita tak perlu memandang enteng setiap perubahan. Segalanya terpulang kepada kita kerana kita yang mencorak buruk baik kehidupan kita seluruhya.

-teringat berenang di UIA. Ramainya yang ‘bergayut’ di kiri dan kanan kolam sahaja, kerana kolam muslimah UIA itu direka dengan bentuk ‘V’ yang makin cerun ditengahnya =P

-kalaulah pihak hotel membina kolam renang tertutup yang berasingan untuk wanita Islam, tidaklah aku sekadar menelan air liur memandang adik2 dan kaum lelaki berenang dengan seronoknya. Arrrggggh kejamnya dunia!!

Wednesday, October 31, 2007

Kualiti

Semalam aku ke perhimpunan bulanan. Perhimpunan bulan ini menghadirkan lebih ramai hadirin dari bulan2 yang sebelumnya. Lalu juga aku terfikir, perhimpunan bulanan yang disusuli dengan agenda rumah terbuka atau jamuan hari raya selepasnya pasti saja menarik minat ramai penjawat awam. Namun apakah perhimpunan itu hanya tempelan saja, atau perhimpunan itu agenda utamanya?

Yang berbahagia Datin sebagai pengarah bahagian telah berucap panjang lebar semalam. Salah satu yang menarik perhatianku adalah tentang hari kualiti yang bakal tiba dalam bulan November. Apakah ta’rif kualiti? Siapakah yang menentukan sesuatu itu berkualiti atau kurang kualiti? Apakah kita ini pekerja atau INSAN yang berkualiti? Tanyalah balik pada diri sendiri

Berkualiti itu adalah kecemerlangan yang kita tunjukkan dalam segenap bidang. Bukan saja dalam pekerjaan, ia juga termasuk pergaulan dan sahsiah harian. Mari kita lihat sebagai contoh paling mudah, adakalanya kita tidak mahu lansung bertegur sapa apatah lagi beramah mesra dengan ‘cleaner’ atau pengangkut sampah. Kita asingkan mereka secara pra-sedar. Sebagai penjawat awam yang berkot bertali leher, kita memandang manusia lain tidak setaraf kita. Biarpun yang menyapu di depan mata seorang ibu tua, kita butakan pandangan mata.

Namun di satu sudut yang lain, kita tertunduk2 di depan Datin. Kita bangun menguntum senyum pada ketua yang baru mencacah nama. Kita gagahkan memasang telinga pada insan yang ‘berjawatan’ sahaja. Berkualiti kah kita?? Bukankah kita lebih menampakkan kualiti hanya pada orang2 tertentu ternama? Hanya orang besar2, Dato’ Datin sajakah yang boleh mena’rif dan menilai kualiti diri yang ada?

Hakikatnya kita tersilap. Sesiapapun manusia, mereka diberi taraf yang sama oleh Allah. Jika kita memandang sebelah mata hanya pada si pulan si pulan yang tidak punya nama, dari situ kita telah menunjukkan yang kualiti diri kita penuh cacat cela. Kualiti itu perlu ditonjolkan pada semua. Dalam erti kata lain, ia perlu diperincikan dalam segenap aspek kehidupan. Kualiti pada manusia, dan kualiti pada Tuhan.

Walaupun ucapan pengarah bahagian lebih tertumpu kepada sikap atau kualiti kerja sebagai penjawat awam, dapat jua kubuatkan kasimpulan bahawa jika benar seseorang itu berkualiti, kualitinya lahir dari dalam diri. Bukan dilakonkan dan semestinya bukan dibuat2. Kualiti yang bukan semulajadi hanya dipertontonkan pada mata2 yang memandang. Jika berseorangan atau ditempat tidak dipandang orang, kita tinggalkan kualiti jauh di belakang.

Sampah yang wujud di depan pun kita berat tulang untuk buangkan. Bertugas di kaunter lobi pun jarang beri senyuman. Kerja yang mudah pun dilambat2kan. Memberi arahan pun tak pernah dalam nada meminta pertolongan. Tersinggung bahu pun menjeling dengan keluhan. Berpakaian segak hanya bila ada perjumpaan.. Berkualitikah?

Itu yang luaran. Yang dalaman? Adakah kita sudah cukup berkualiti pada diri sendiri? Pada hemah dan peranan hati? Dalam ibadah dan fikiran sehari2? Bila saja kita terniat untuk melakukan ‘kekurangan’ (jauh lagi dari kemaksiatan), bukankah itu tonjolan peribadi yang kurang kualiti? Bila kita hanya menonjol pada mata2 yang memandang, kita lupa pada Si Pencita penglihatan, yang Basiran..

Percayalah, Dia saja yang layak memberi anugerah kualiti dan Dia juga menilai seseorang dari segenap pelusuk rohani. Maka, tonjolkanlah kualiti dalam setip segi, agar tak kurang di hadapanNya nanti..

Tuesday, October 30, 2007

Ceritaku Untukmu

Entri ini kutulis dengan jerih dan payahnya. Banyak kata2 yang tercurah tetapi banyak juga yang terbuang begitu saja. Aku cuba untuk menulis dan menulis dengan amat berhati2, dan akhirnya semua ku'delete' sesenang hati. Ya, ceritera ini telah hilang taringnya. Tini ini telah hilang jiwa dan kata2nya. Namun aku gagahkan juga. Entahkan untuk siapa aku tak tahu. Mungkin untuk hati2 (atau hati) yang senantiasa menanti. Mungkin benar ada, atau mungkin tiada siapa yang kisah. Biarlah...

Apa yang ingin kita bicarakan? Hidup kini biasa2 saja. Tiada yang suka dan tiada jua yang duka. Nah, sebab itu lah ceritera ini sepi dan sunyi. Bukankah telah kukhabarkan bahawa buah fikiranku hanya tiba bersama duka..

Ah sudah lah... cukuplah kalian. Aku tidak boleh menulis lagi. Fikiranku jadi sempit sekali kala ini. Serasa tak bernafas ingin mencipta sepatah bait kata. Benar hati dan jiwaku tidak boleh dipaksa-paksa. Biarlah kuhabisi entri ini di sini. Mungkin akan ada masanya mindaku kembali bekerja, berceritera dan berseloka. Cukuplah. Jangan difikirkan lagi kemana aku menghilang. Aku pergi bersama bayu malam, mengikut bayang2 yang hilang bila kelam. Namun aku akan hadir, tatkala sinar kembali menghampir...

hanya buat'mu',
jika benar kau memahami
jika sungguh kau mengikuti

siapa yang kau rindu?
bait kata atau bicara?
tulisan atau keluhan?
diri ini atau hartini??

kalau benar dikau menanti
apa yang kau nanti?
jiwa atau hati?
khabar suka atau duka?
cerita aku atau mereka?

carilah jawapan seikhlasnya
sebelum bertanya aku kemana...

'mu' : untuk yang menulis bukan kerna nama

Friday, October 26, 2007

Wednesday, October 10, 2007

Salam Lebaran

Lakaran Sejarah

Alhamdulillah... hanya lafaz itu saja yang boleh diucap di saat2 nama negara dan nama Islam kembali megah di persada dunia. Sepatutnya dari dulu lagi kejayaan ini kita genggami. Bukankah kita umat ulung yang merintis pelbagai ciptaan sains dan teknologi? Akan tetapi tidak mengapalah, asalkan kini kita mampu beriringan kembali. Tidak kisah lah kalaupun hanya dianggap 'space flight participant' @ 'pelancong angkasa' oleh NASA, yang penting ini kejayaan tunggal negara untuk menambah rasa cinta dan syukur pada alam semesta ciptaan Yang Esa. Semoga bertambahlah iman dan amal Dr. Syeikh sepanjang pemergiannya ke angkasa. Yang penting, bukan sedikit laba yang dicurahkan oleh negara. Harap2nya adalah penghasilan kebaikan dari pemergiannya yang menelan belanja berjuta. Tahniah anak Melayu pertama. Lebih berbangga apabila nama Islam itu diangkat sama!! Alhamdulillah...

ww: mampu jenguk angkasa guna teleskop saja!

Thursday, October 04, 2007

Kerana Cintaku Saerah


SERIBU TAHUN (Imran Ajmain)

Relaku menunggumu
Seribu tahun lama lagi

Tapi benarkah hidup aku
Akan selama ini...
Biar berputar ke arah selatan
ku tak putus harapan
Sedia setia

Relaku mengejarmu
Seribu batu jauh lagi
Tapi benarkah kaki ku-kan tahan
Sepanjang jalan ini
Biar membisu burung bersiulan
Terlelah gelombang lautan
Ku masih setia

Adakah engkau tahu… ini cinta
Adakah engkau pasti… ini untuk selama-lamanya
Relaku menunggumu seribu tahun lama lagi
Tapi benarkah hidup aku akan selama ini…
Biar berputar ke arah selatan
Ku tak putus harapan
Sedia setia
Jangan putus harapan… sedia setia……


ww: yang baik jd tauladan, yang buruk jd sempadan

Hikmah di sebalik duka

Majalah Nona itu aku selak laju. Sekadar mengisi masa menyelak helaian kertas berwarna itu tanpa rasa minat dan suka. Kelibat foto Datin Juma dan keluarga tercintanya menerpa sekilas di pandangan mata. Hmm… cepat benar Juma kembali ke ’bentuk’ asalnya. Itulah perbezaan antara orang berada dan orang yang kurang adanya. sekali terdengar keluhan... ‘kalaulah aku sekurus Juma’ (senyum..)

Majalah aku selak lagi. Banyak kisah2 tentang wanita tabah khususnya orang2 penting negara. Dari wanita pertama Datin Seri Jeanne Abdullah, sampailah ke ibu mertua Juma; Tun Rahah, segalanya diceritakan di sana. Namun tidak jua aku membaca kisah mereka melainkan sekadar meliarkan pandangan pada foto2 yang berbagai rupa dan warna. Ah orang kaya2, tentu saja tiada yang rungsing dan gamit dalam fikiran, melainkan yang indah2 dan senang lenang melingkar badan..

Majalah itu aku selak lagi. Dan mata tertumpu pada seraut wajah yang dikenali. Telah lama benar wajah itu kelam dalam ingatan. Pastinya bukan sahaja aku, malah sebahagian besar rakyat Malaysia juga hampir melupakannya. Ya, wajah itu milik Datin Seri Wan Azizah, mantan wanita kedua negara

Ketenangan yang terpancar itu serasa pernah kutatap dahulu tatkala melihat wajah bekas isteri Dato’ K yang kini suami Siti Nurhaliza. Tabah benar beliau, melihat lelaki yang pernah dicinta bergurau canda ‘legally’ di depan mata. Wahai....., pasti Tuhan saja yang tahu betapa peritnya jiwa. Benar mungkin, wanita2 yang menempuh seberat2 dugaan bisa jadi matang dalaman luaran. Ketenangan yang ditunjukkan lain dari yang lain. Senyuman mereka penuh makna. Ada duka dalam bahagianya. Ada tangis dalam tawanya. Bukan senang menempuh dugaan ciptaan tuhan. Hanya yang cekal dan tabah akan bertemu penyambung jalan, jambatan kehidupan..

Usah lagi kita ceritakan bab politik dan parti pimpinan. Biarlah orang2 yang sepatutnya menjalankan amanah, bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikulnya. Sebagai rakyat yang punya hak dan peranan, buat lah pilihan berdasarkan waras akal dan maklum fikiran. Semuanya nanti bakal ditanya di hadapan Tuhan. Bukan saja pemimpin, kita juga bakal disoal siasat. Siapakah yang kita dukung sebagai amir sepanjang hayat

Di sini, marilah kita menyorot kisah2 hidup manusia yang penuh keperitan dan pahit maungnya. Bukan sahaja Wan Azizah, sesiapa pun bisa gila menerima hakikat suami yang dicinta tertangkap dan terpenjara. Hilang nikmat keluarga, hilang nikmat bersama. Namun itulah dugaan. Yang tuhan beri hanya pada calon2 pilihan. Tak perlu rasa resah, kerana setiap mehnah ada hikmahnya

Mungkin kini beliau sudah dapat tersenyum gembira. Menghabiskan sisa2 hidup bersama suami dan perjuangan yang tidak akan reda. Biarlah beliau dengan dunianya. Berjuanglah selagi ada masa dan upaya. Tidak aku menyenangi dan tidak juga membenci. Namun di luar sana pasti ramai isteri2 yang ‘kehilangan’ suami, biarpun ditahan sebentar di penjara atau di pusat serenti

Pasti sukar hidup keseorangan tanpa teman di sisi. Apatah lagi hidup sebagai seorang isteri tanpa kehadiran sang suami. Namun ada ketikanya, 'ditinggalkan'* suami membuat hidup isteri lebih bererti. Lebih memahami erti menyayangi, erti menghargai dan erti merindui. Ada hikmah yang boleh disapa andai kita bijak memahami bagaimana Allah menghargai abdinya. Fahamilah dalam setiap hidup kita, mungkin yang perit itu bisa bawa bahagia yang lebih bermakna. Itulah sebenarnya hikmah disebalik duka. Kalaulah kita membuka mata.......


* 'ditinggalkan' itu luas maknanya

Saturday, September 29, 2007

Tembolok jiwa...

Lama aku terpaku di hadapan skrin komputer. Terasa berat benar jejari mahu menaip sebaris dua. Bukan kerana hilang kudrat akibat puasa, tetapi kerana keringnya bahan untuk dibuat cerita. Makanya kehidupan terasa hambar, menulis terasa sukar dan hati terasa gusar. Apa jualah yang ingin dititip lagi. Terasa segala2nya telah dikongsikan di sini. Sedangkan tembolok jiwa meraung bingit minta diisi. Bukankah semuanya telah diceriterakan? Tentang manusia dan penciptanya, tentang alam dan penghuninya, tentang orang ramai dan sifat2 mereka… bahkan mungkin tentang dunia dan cekerawalanya. Lalu apa lagi yang ingin diselusuri dalam hidup ini? Aku pun kurang pasti...

Nyata penulisanku hanya untuk kisah2 yang memberi peringatan. Kisah2 yang boleh jadi sempadan dan tauladan. Bukan yang penuh dengan ketawa berdekah2 (sedangkan aku ini boleh melucu juga). Tetapi bila saja jari menaip bibit2 kisah di dalam ceritera, jiwa aku jadi Tini semula. Jiwa Tini yang sering bahagia dalam gundahnya, sering senyum dalam murungnya. Entahlah, mungkin juga kerana yang gembira itu sering saja dipunyai sesiapa. Makanya tiada lagi hadir rasa megah dan istimewa. Tetapi jika sedih dan melarat, jika sakit dan tenat, bukan semua mampu rasa. Bukan semua orang rasa. Sedangkan yang sakit dan susah itu lah yang memberiku buah fikiran yang tiada tolok bandingnya. Nah, jadi apakah aku suka bergelumang dalam dukacita sahaja? Bagai para abid yang sanggup hidup terlonta2, tanpa wang tanpa harta....................?????? Jawabnya tidak juga. Tetapi hati lebih tertarik dengan penderitaan sesetengan golongan. Bagaimana susahnya mereka mengharung lautan, betapa gigihnya mereka meredah hutan, bagaimana cekalnya mereka mencari sesuap makanan. Itu yang aku cari. Itu yang aku ingin untuk dibuat bahan berkongsi. Itulah preskripsi hati ini

Aku berangan2 untuk terbang ke seluruh dunia. Melihat bagaimana gembiranya hidup orang kaya2. Bagaimana girangnya hidup mereka dengan nama dan harta. Dan ingin jua aku singgah di tanah2 tandus yang kering segala. Yang masyarakatnya legam kehitaman, derita kekurusan, lapar kebuluran. Mahu aku bersama mereka, menyelusuri perit getir hidup agar wujud rasa taajub. Tapi perjalanan yang sebegitu memerlukan wang ringgit yang bukan sedikit. Lalu mungkin juga memerlukan teman susah dan sakit. Jadi masih jauh impian itu untuk direalisasikan. Dan lagi sekali hatiku perit menanggung kekecewaan

Namun kata hati lagi, tidak perlulah aku merantau ke seberang lautan, sedangkan di tanah ini pun banyak perut2 yang kekosongan, banyak anak2 yang hidup kebuluran, banyak keluarga2 yang masih berpanas berhujan. Iya juga... tapi di mana mereka, bagaimana pula caranya agar dapat aku kongsikan cerita mereka pada dunia? Aku mahu menulis, tetapi tidak mahu jadi penulis. Aku hanya mahu menulis. Itu saja... Kerana menulis itu hobiku, penawar dukaku, dan bukanlah pekerjaan dan cita2 ku. Ah, sukar benar kau Tini, yang pelik2 nak diikutkan hati!

Aku suka menyendiri, suka bersunyi2. suka berangan2 dan suka ketenteraman. Namun di lain2 ketika, aku suka bersama2 masyarakat dan keluarga. Bergurau senda, bergelak ketawa, bersembang seloka... itu pun aku minat juga. Aku suka ke kampung2, bertemu orang2 tua yang keseorangan, bertemu makcik2 yang tiada pertalian, sekadar mengambil iktibar kehidupan. Aku suka hadir ke majlis2 kenduri dan di satu sudut aku akan diam memerhati manusia yang berbagai lagaknya. Lalu pandanganku akan bermain2 dengan akal dan jiwa. Dan ada ketikanya aku suka hilang dari pandangan manusia. Suka bermenung2 memikir masalah yang bukanpun difikir sesiapa. Suka merenung berjurus2 hingga terasa benci benar aku dengan suara2 manusia. Benci benar dengan kehidupan yang penuh permainan dan kepura-puraan, penuh skrip dan lakonan............

Maka apa agaknya yang aku cari dalam hidup ini? Aku tidak mahu hidup hanya dengan mengikuti percaturan orang lain. Orang kerja, aku kerja. Orang makan, aku makan. Orang merantau, aku merantau, orang menulis, aku pun menulis. Tidak! Aku tidak mahu. Aku mahu sesuatu yang aku lakukan ada arah tujuan. Ada keberkatan dan penghayatan. Ada hikmah dan pengajaran. Tetapi aku ini siapa pun lah.. Sekadar Tini yang selemah2 manusia. Yang kata2 ku hanya diam bersemadi di entri ini. Diam dan pasti dilupakan di suatu hari... ah hati.... wahai, sukar benar kau ini!

Nantilah... Aku akan mengumpul wajah2 tua di seluruh pelusuk negara, tak kira siapa tak kira warna, dan akan aku pampangkan dalam Ceritera. Biar bergema kisah mereka di setiap inci buana. Mungkin ada kisah suka, dan mungkin ada kisah duka. Nantikanlah ya.. dan doakan lah juga aku berjaya. Kerja ini pasti makan masa, namun dengan izin Tuhan, akan kuhabisi jua. Biar lapang rasa dada. Biar tenang rasa minda. Biar terisi tembolok jiwa, yang sering bising lapar dahaga......

Friday, September 28, 2007

Sahabat

memori

memori

Bertahun kita bersama satu cita-cita
Menuntut ilmu bekalan jiwa
Segala onak dan duri sama ditempuhi
Menuju redha Ilahi

Setiap pertemuan ada perpisahan
Demikianlah lumrahnya alam
Tiada yang dapat lari tentuan Ilahi
Segala tertulis sejak azali

Sekarang masa berpisah
Kenangan pahit indah
Tentu terpahat di sanubari

Maafkan silap dan salah
Kita insan yang lemah
Yang Kuasa hanya Rabbul Izzati

Doakan kebahagiaan ditetapkan iman
Buat menempuh semua cabaran
Mudah-mudahan semua ditentukan syurga
Bahagia mendapat rahmat yang esa…



ww: penghargaan untuk sahabat teristimewa; Marshidah Mat Johor

Thursday, September 27, 2007

Mana adilnya??

Aku berjalan pantas. Sepantas degup jantung dan darah yang mengalir deras. Terasa laju nadi bergetar. Tak sabar rasanya mahu menulis bait2 kata. Geram dan marah benar tatkala membaca tajuk akhbar yang terpampang di sudut bangunan. Antara tajuk2nya : “Ibubapa Nurin mungkin didakwa”. Tajuk lainnya, “Hakim Kanan Nafi Terbabit”. Ironinya kedua2 berita tersebut diambil dari insan yang sama, mulut yang sama, minda yang sama dengan reaksi yang berbeza.

Dalam kes2 yang melibatkan orang2 penting negara, pihak berkuasa dengan mudah menerima segala penafian yang diutarakan. Kes yang melibatkan seorang hakim kanan yang berbual melalui telefon dengan seorang peguam mengenai usaha untuk melantik seorang hakim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara, diambil mudah dan seakan diabaikan. Yang peliknya, dalam kes2 melibatkan orang besar2 begini, dilantik dahulu panel penyiasatan. Sahih atau tidak klip video itu yang akan jadi keutamaan. Benar atau tidak yang dipersoalkan. Palsu atau tidak yang didebatkan. Barulah pihak2 berkenaan akan ditahan..

Katalah dalam sebuah video klip yang lain, menunjukkan yang kononnya aku sedang cuba untuk membakar bangunan kerajaan, adakah ‘kesahihan’ klip video “aku” itu akan dipastikan terlebih dahulu?? Bukankah aku akan terus diheret ke lokap dengan sewenang-wenangnya. Bukankah tatkala aku diberkas dan beria menafikannya pihak polis akan berkata “Balai cerita!”. Jadi apa yang ingin kita buktikan pada umum sebenarnya?? Yang sesiapa punya kuasa boleh hidup sesedap suka???? Maka mana keadilannya di negara kita????

Kenapa bila pihak yang sama mengutarakan tentang kes kedua ibubapa Nurin yang mungkin didakwa tidak berkata ‘kami akan wujudkan panel penyiasat terlebih dahulu’?? ‘Kami akan berusaha untuk mencari di mana punca dan silapnya sehingga anak kecil itu telah menjadi mangsa’?? Kenapa????? Bukankah pihak berwajib juga boleh didakwa oleh ibubapa tersebut kerana gagal mengesan pembunuh kejam yang sehingga kini bersenang2 berleluasa???

Utarakanlah sesuatu dengan nada dan ayat yang sama tara, agar tenang hati2 dan mata2 yang membacanya. Kalau tegas, berlaku tegas lah dalam segenap perkara tak kira pada siapa. Janganlah kita memandang sebelah mata sesetengah golongan masyarakat, hanya kerana mereka tak punya ‘nama’. Janganlah kita memandang enteng tugasan kita. Bukankah sebagai pemimpin kita telah diberi amanah untuk memelihara negara??

Aku ingin memetik kata2 yang diutarakan dalam akhbar, “Undang-undang tetap undang-undang dan kita kena ambil tindakan kerana antara Rukun Negara kita adalah untuk menegakkan undang-undang.” “Jadi kalau ada perbuatan yang menyalahi undang-undang kita akan ambil tindakan... tidak ada sesiapa pun boleh terlepas.” Ada, ada..., malah ramai yang boleh terlepas dari dikenakan tindakan undang2. Terima sajalah hakikat bahawa di negara kita, yang punya ‘nama’ dan ‘harta’ boleh membeli undang2. Undang2 hanya wujud untuk orang2 biasa seperti kita. Undang2 hanya mengenal masyarakat lekeh macam kita..

Aku tidak gemar membicarakan soal politik. Tetapi apabila politik itu telah jadi mehnah dan perkara yang mencabar tuntutan hidup beragama, tuntutan hak dan adilnya, aku lantas bangun dan rela berjuang. Aku rela bersuara lantang. Janganlah kita berat sebelah, dan hanya menyebelahi pihak yang kita ‘rapat dan kenal’ saja. Berlaku adillah dalam setiap pekerjaan kita. Fahamilah bahawa definisi ‘ADIL’ itu adalah meletakkan sesuatu sesuai dan benar pada tempatnya. Menyampaikan hak2 tertentu pada sesiapa jua yang berhak mendapatkannya. Bukan memecah amanah, dan membiarkan insan tak berdosa menjadi mangsa. Sia-sialah kemerdekaan negara andai minda dan pemikiran kita masih dianggap kelas ketiga!

ww : betul2 marah!

Baca berita2 akhbar tersebut pada link di bawah

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20070924001028/Article/

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/BeritaUtama/20070926001112/Article/

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm

Kisah2 semasa

1) Bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan?

Desas desus untuk mempertanggungjawabkan kematian arwah Nurin kepada kedua ibubapanya benar2 menyirapkan darahku hingga ke kepala. Terasa berpinar seketika pandangan mata. Sudahlah anak kesayangan diculik dan dibunuh kejam, diri sendiri pula yang dipertanggungjawabkan. Memang sesuai sangat mengambil tindakan terhadap ibubapa yang mengabaikan anak2. Tetapi eloklah didefinasikan dengan lebih terperinci erti 'pengabaian' tersebut. Jangan nanti anak2 hilang zaman keseronokan berlarian berkejaran, lalu membesar dengan kongkongan dan ketakutan. Ibubapa yang tak bersalah, senang2 dipersalahkan. Dari elok jadi peniaga, terpaksa jadi banduan. Pendapatku, eloklah tumpukan saja pada pencarian si penjenayah, dari menuding jari menuduh yang bersalah itu si dia dan dia

2) Rasuah di mana2

Lagi cerita rasuah yang tidak sudah2. Duit dan kekayaan memang memukau pandangan. Melupakan tugas dan amanah yang dipegang. Lalu lupa bahawa rezeki itu perlu ada keberkatan. Kaya dengan jalan kehinaan lebih buruk dari miskin kepapaan. Dengan duit, seorang polis boleh lupa tanggungjawabnya menjaga keamanan, YB lupa kerjanya menjaga kawasan dan peguam lupa tugasnya menegakkan kebenaran. Biar kaya jiwa, daripada kaya harta..

3) Sekolah 1 sesi

Sekolah 1 sesi ini bukan baru. Banyak sudah diwujudkan sekolah2 1 sesi terutamanya sekolah2 swasta. Buatlah lagi penilaian dan kajian sebelum dasar2 ini dilaksanakan. Timbang2kan buruk baiknya dengan mengambil kira semua aspek dan pendapat semua pihak dalam semua keadaan. Keputusan ini melibatkan semua. Dan pastikan juga silibus pelajaran dirombak semula. Lebih2kan ajaran moral dan agama beserta dengan praktisnya. Solat berjamaah, bersukan, bergotong royong, mengaji dan melayan hobi adalah sebahagian dari contoh2nya. Jangan hanya masa dan wang terbuang begitu saja. Membazir elektrik sekolah, menambah beban semua, dan membesarkan lagi gaji guru yang kelaknya dikatakan makan gaji buta. Fikir2kan dan dalam2kan lah kajian. Jangan dasar berbunga berjela, perlaksanaannya haram tak pernah!

4) Bila nikah kerana harta

Sekadar memetik sekilas kisah rumahtangga penyanyi Nash dengan usahawan kecantikan yang baru memasuki sepuluh bulan. Nyata si isteri tak bisa hidup bersama lagi lalu memfailkan perceraian. Lantas, atas sebab apakah perkahwinan itu dahulu dijalankan kalau baru sekarang menyedari tidak adanya keserasian dan perhatian? Entahlah... kahwin ini bagiku, biarlah dengan orang yang sekufu, sebulu. Kahwin itu bukan untuk sehari dua, jadi eloklah 'berkahwin' juga dengan keluarga dan saudara maranya. Pastikan juga kita dapat menerima segala buruk baiknya, kaya miskinnya dengan penuh redha dan rela. Janganlah sekali-kali berkahwin sebab rupa dan harta, sebab rupa bisa berubah, harta bisa bertarah..

Wednesday, September 26, 2007

Tujuh

Suatu petang yang indah, aku rungkai kembali helaian kertas kecil pemberian ustazah yang terlipat kemas di dalam dompet. Atas kertas lusuh warna merah itu ada…….


9 March 1984 (9 + 3 + 1 + 9 + 8 + 4) = (3 + 4) = 7

NO 7 – ‘Intelektual’

“Dalam ramai2 manusia, anda yang paling bertuah. Anda bijak, berhati2 dan minat bergaul. Ramai orang yang kenal anda, anda hormati, dan mereka berkata anda cermat, tegas dan suka membantu. Ramai orang suka personaliti anda, tetapi tidak seorang pun dapat mengongkong anda. Anda ada kuasa magik - itu mungkin benar!”


Kertas itu sudah lama aku simpan. Hampir sepuluh tahun mungkin. Aku tak tahu dari mana ustazah dapat dan aku pun tak pernah bertanya. Kenapa ustazah beri pada aku pun aku tak pernah ambil kisah. Namun setelah diamat2 kembali, mungkin juga ada persamaan dan benarnya.

Tafsiran2 personaliti begini selalu kubaca di mana2. Dan yang ditulis oleh Dr. Fadzilah Kamsah pun lebih kurang sama.

Yang kufahami, setiap manusia banyak bezanya. Dan setiap perbezaan dan persamaan itu membuktikan bahawa betapa besar dan agungnya kuasa Pencipta kita..

ww : kita mungkin sama, tapi tak serupa

Friday, September 21, 2007

Tahlil untuk Nurin

Petang semalam aku dengar berita bahawa mayat budak perempuan yang dijumpai di dalam sebuah beg sukan adalah Nurin yang hilang hampir sebulan. Entah kenapa, hatiku beriya-iya menolaknya, dalam erti kata lain kesahihan DNA itu sukar untuk kuterima. Lebih2 lagi dengan keadaan fizikalnya yang berbeza, masalah situasi dalaman yang penuh propaganda, hati kecilku menolak kebenaran khabar berita. Bukan apa, hal DNA itu memang tidak boleh dipertikaikan, namun di negara se'maju' Malaysia, yang tidak ada boleh diadakan. Yang wujud boleh dipadamkan dalam kehidupan. Memang keputusan DNA selalunya benar, tetapi entahlah....... takut ada pihak2 tertentu yang mengambil jalan kurang wajar. Mengambil mudah segala hal

Kegagalan pihak berkuasa untuk menemui Nurin dan membanteras jenayah pencolekan kanak2 memberikan gambaran kepincangan institusi keselamatan yang kita bangga-banggakan. Jangan kerana mahu menutup mulut2 dan mata2 yang memandang, mahu menutup kes yang sudah hampir sebulan tak dapat diselesaikan, pihak berkuasa 'mengambil jalan' dari penemuan yang meragukan. Keadaan begitu memaksa, kes Nurin belum usai, datang pula kes lain yang lebih meruncing.. jadi jalan mudahnya adalah 'menyatukan' kes yang dua, untuk menjawab segala tanda tanya

DNA itu memang benar, namun yang menjalankan ujikajinya adalah manusia juga. Yang lemah semangatnya, yang punya 'favoritism' nya, yang ada 'bias'nya dan yang ada malas dan lekanya. Itu yang buat aku diam tak berkata apa2. Bimbang ada hati2 yang sudah jadi mangsa

Namun iyalah.............. Secara logiknya, yang memeriksa itu pun pastinya bukan orang biasa melainkan pakar2 jua. Keputusan DNA selalunya tidak akan menipu sesiapa. Aku pun pernah belajar sains, dan sering mengikuti siri2 penyiasatan. Oleh itu kesahihan bukti DNA itu memang tidak dapat disangkalkan

Selepas Maghrib semalam, aku duduk lama atas sejadah. Aku bacakan surah YaSin dan tahlil khas untuk arwah Nurin. Aku bukan sesiapa, bukan saudara maranya, dan juga bukan keluarganya. Cuma aku seorang insan yang amat prihatin dengan kisah2 malang. Aku bencikan kebatilan sepertimana aku bencikan syaitan. Aku bencikan kekejaman sepertimana aku bencikan kezaliman. Aku bencikan pembohongan sepertimana aku bencikan kepalsuan

Hatiku masih menolak bahawa mayat budak perempuan itu adalah Nurin, walaupun sains mengesahkannya. Entahlah.. aku masih berharap gadis kecil itu selamat kembali ke pangkuan ibubapanya

Siapapun gadis cilik itu, beliau telah kembali pada tuhan dengan penuh kesengsaraan. Tak dapat kubayangkan betapa kejamnya manusia yang lansung tidak berperi kemanusiaan. Satu saja kupinta dalam doa, kalau benar sungguh itu Nurin, semoga ronya dicucuri rahmat Allah. Dan jika itu bukan beliau, semoga adalah ketikanya beliau akan pulang bertemu kembali keluarga tercinta. Dan satu lagi, semoga penjenayah yang melakukan kekejaman itu mendapat balasan yang setimpalnya. Itu saja!

Wednesday, September 19, 2007

Nilai Harga Mama

Mama bangun awal. Seawal jam 4. Mama basuh beras, tanak nasi dan ricih bawang. Mama masak sup sayur, masak sambal tempe kentang, dan goreng ayam untuk adik2 yang memang suka ayam. Sambil itu mama jerang air, rebus telur masin, sediakan pinggan cawan, dan bancuh air teh o untuk kami anak beranak

Tepat pukul 5, mama naik atas, kejut papa, kejut aku, dan menyuruh aku kejutkan adik2. Papa tak menyuruh adik2 berpuasa, sebab mereka masih kecil. Darjah dua dan tiga. Tetapi adik2 yang sudi nak melatih diri. Jadi papa tak kisah, mama pun suka adik2 belajar berpuasa. Selalunya adik2 mesti siapkan menu pada mama untuk bersahur. Dan menu itu tak pernah berubah. Ayam goreng semata

Aku gerak adik2. Bahu Qamarul aku goncang perlahan. Nama Fazrin aku panggil2 lembut. Adik bukak mata. “Bangun, Arul… Sahur. Mama masak ayam goreng..” kataku dengan senyuman. Marul bangkit laju. Masuk ke bilk air, gosok gigi, cuci muka dan turun ke bawah.

Aku panggil nama Fazrin. “Bi…, bangun sayang..” utarku lembut. Yang bongsu manja ini liat juga. Aku goncang bahunya. “Bangun sahur, cepat. Mama masak ayam..” Fazrin bangun menggosok mata. Masih melayan kantuk yang bersisa. Lalu berjalan terus menyusuri tangga. “Eh, gosok gigi, cuci muka…..” ingatku padanya. Dia berpatah semula dengan mata kuyunya. Aku turun kebawah, mengetuk pintu bilik si bujang teruna. Adikku yang berusia 21 itu bersuara. Sekadar berkata, “Bangun dah...”

Lauk pauk sudah terhidang, air panas sudah bertuang. Pinggan mangkuk sudah tersusun, nasi pun telah beradun. Aku senyum memandang mama. Wahai, cekalnya hati tua.. berkhidmat tak kira masa. Aku biasa hidup susah, kerana dulupun kami bukan orang berada. Cuma sekarang bisnes papa bertambah cerah, rezekinya makin murah. Aku biasa duduk asrama, makan apa ada dan tidak banyak kira. Tapi adik2 yang kecil dah biasa hidup senang. Bukak2 mata dah kenal wang. Mama papa selalu berpesan, kesenangan bukan selalu berpanjangan. Hari ini makan ayam, mungkin esok makan ikan. Dan lusa mungkin tiada lansung makanan. Jadi, jangan banyak arahan...

Pagi itu kami makan bersama. Sudah dewasa begini, bukan senang mahu berjumpa. Selesai makan papa pesan pada kami, jangan lupa basuh pinggan sendiri. Adik2 menuruti

Aku sembang lama dengan mama. Tentang kerja, tentang putrajaya, tentang puasa. Kami seronok bersama. Aku pelawa mama untuk rehat, biar aku buat kerja. Mama jawab perlahan. Waktu inilah mama nak dapat lebih pahala. Memasak ikhlas untuk keluarga. Mama kata ini masanya. Masa aku akan sampai jua. Mama kata biarlah dia berbakti selagi masih bernyawa. Aku senyum pandang mama. Dan teringat, bila aku di putrajaya, aku juga harus bangun seawal mama.

Sembangan kami terhenti bila suara azan sayup2 menyusuri. Aku tolong mama kemas meja, cuci pinggan kuali. Dan minta diri untuk bersolat pula. Mama jua turut ke atas, mengikut papa yang sudah bersiap sedia di atas sejadah

Semua ibu pun begitu, aku tahu. Tatkala ayah dan anak2 tidur nyenyak pulas, mereka di dapur kerja keras. Mama kata hanya satu tanda bahagia sebagai ucapan terima kasih. Habiskan makanan yang dimasaknya hingga licin bersih. Aku senyum sengih...

Kelebihan ibu lebih nampak di bulan puasa. Para ibu tahan bangun awal, melelapkan mata hanya sejam dua. Tidak mengadu pening kepala, tidak bising longlai lemah. Di situ datang bangga. Itulah gunanya wanita, pendamping lelaki2 bertuah. Di rumah menjaga keluarga, di luar menjaga agama

Petang esoknya mama buat roti jala untuk juadah berbuka. Mama masak bubur kacang durian, dan sedekahkan semangkuk pada jiran. Aku senyum tengok mama. Sewaktu aku melangkah masuk kereta untuk pulang ke putrajaya, mama hulurkan gulai taucu ikan tenggiri. Mama kata bekal buat bersahur. Dan tidak sedar waktu itu air mataku jatuh gugur. Menahan rasa terharu melihat jiwa luhur. Seketika rasa kecil semula, ditatang dimanja mama. Moga mama dikurniai pahala yang tiada tara. Dijanjikan Syurga Allah taala... Terima kasih mama......

Monday, September 17, 2007

Lelaki itu Siti Hidayah

Lelaki itu berbaju kemeja, berseluar hitam, segak. Rambutnya pendek kemas, hitam pekat dan sedikit ikal. Sewaktu beliau hadir untuk menumpang membuat beberapa salinan sijil, aku mengerlingnya sebentar. Selalunya orang ramai yang keluar masuk di dalam bilik pejabatku tidak berapa aku hiraukan. Habis2 pun, aku melemparkan segaris senyuman sebagai tanda sopan

Namun lelaki itu telah menegurku. Telah juga bertanya akan berapa harga salinan fotostat yang telah dibuatnya. Sewaktu itu mataku bertemu matanya. Dan hati kecilku berbisik sendirian, ‘lelaki ke perempuan?’ namun aku diam saja, sambil mata terus memerhatinya dari kaki hingga kepala

Aku tidak berjumpa akan apa2 tanda ‘keperempuanan’ padanya melainkan dari firasat hatiku semata. Dari kasut hingga ke rambut, dari kemeja hingga ke cermin mata, segala2nya menjurus ke arah kelelakian lahiriah. Sebentar aku berpaling, bimbang kalau benar beliau lelaki, makanya aku telah mencemari pandangan mataku. Astaghafirullah... aku menunduk malu

Lelaki itu berlalu, meninggalkanku dengan seribu tanda tanya. Aku diam memandang semula fail2 yang bersusun di atas meja. Dan tidak sampai seminit, tekunanku diganggu semula. Aku mendongak, tidak percaya. ‘Eh, dia?’

“Maaf cik, sijil saya tertinggal satu.” katanya. Lagi sekali datang firast hati, menjerit2 mengatakan bahawa wanita lah beliau ini

Aku bangun dari kerusi, menghampiri mesin fotostat yang diam tak berbunyi. Aku melihat sekeliling, tidak pula terpandang akan sijilnya. Lalu sisi mesin itu aku buka, melihat kalau2 ada kepingan kertas yang tersangkut di situ. Ya ada. Dan aku mengeluarkannya. Lalu laju bebola mata membaca nama di atas sijil kuning yang sederhana keras itu

SITI HIDAYAH BINTI ISMAIL

Aku memandang lelaki itu, tersenyum. “Maaf encik, ini sijil orang lain saya rasa..” Beliau mengambil kepingan itu dari tanganku dan melihatnya laju. Lalu keluar dari mulutnya, “Ya, ini sijil saya........”

Ada malu dalam matanya. Ada segan dalam kerlipnya, dan ada kesal dalam benak jiwa

ww: semoga ramadhan ini benar2 memberi hidayah buat Siti Hidayah...

Friday, September 14, 2007

Peritnya dugaanMu Tuhan

Peritnya dugaanMu Tuhan
Serasa tiada penawar tiada ubat-ubatan
Bukankah telah acapkali aku meminta-minta
Kenapa tidak Kau kurniakan jua?

Peritnya dugaanMu Tuhan
Jiwaku serasa hancur luluh kelepuhan
Bukankah Kau telah berjanji?
Mintalah PadaKu dan akan Kuberi

Peritnya dugaanMu Tuhan
Serasa sebak hati menahan
Kenapa Kau uji sehebat ini?
Apa lah jua kesalahan diri?

Peritnya dugaanMu Tuhan
Berilah aku tanda peringatan
Utuslah dugaan ini dengan hikmah
Agar tenang hatiku yang luka parah

Beratnya dugaanMu Tuhan
Semuanya mengajarku erti kesyukuran
Erti penghambaan dan pengabdian
Erti rahmat dalam keperitan

Peritnya dugaanMu Tuhan
Kalaulah dapat aku lafazkan…..

…………………………………………………….

-Allah itu menjawab doa hamba2nya dengan 3 cara
*Minta dan terus diberiNya
*Minta dan ditangguhNya hingga ke suatu masa
*Minta dan tidak diberiNya, tetapi menukar permintaan itu dengan pemberian yang lebih bermakna dan baik buat si peminta


Ww: aku telah GAGAL ujian PTD. Mungkin lebih ramai diluar sana yang bersinar bintangnya. Kunantikan hikmah disebalik kegagalan. Moga adalah jua masanya suatu hari nanti untuk kubersujud penuh kesyukuran – bersyukur kerana digagalkan. Untuk kalian, terima kasih atas doa yang kunjung tiba. Berdoalah pula agar aku pasrah dan redha. Berdoalah juga supaya aku tidak mudah berputus asa......