Saturday, September 29, 2007

Tembolok jiwa...

Lama aku terpaku di hadapan skrin komputer. Terasa berat benar jejari mahu menaip sebaris dua. Bukan kerana hilang kudrat akibat puasa, tetapi kerana keringnya bahan untuk dibuat cerita. Makanya kehidupan terasa hambar, menulis terasa sukar dan hati terasa gusar. Apa jualah yang ingin dititip lagi. Terasa segala2nya telah dikongsikan di sini. Sedangkan tembolok jiwa meraung bingit minta diisi. Bukankah semuanya telah diceriterakan? Tentang manusia dan penciptanya, tentang alam dan penghuninya, tentang orang ramai dan sifat2 mereka… bahkan mungkin tentang dunia dan cekerawalanya. Lalu apa lagi yang ingin diselusuri dalam hidup ini? Aku pun kurang pasti...

Nyata penulisanku hanya untuk kisah2 yang memberi peringatan. Kisah2 yang boleh jadi sempadan dan tauladan. Bukan yang penuh dengan ketawa berdekah2 (sedangkan aku ini boleh melucu juga). Tetapi bila saja jari menaip bibit2 kisah di dalam ceritera, jiwa aku jadi Tini semula. Jiwa Tini yang sering bahagia dalam gundahnya, sering senyum dalam murungnya. Entahlah, mungkin juga kerana yang gembira itu sering saja dipunyai sesiapa. Makanya tiada lagi hadir rasa megah dan istimewa. Tetapi jika sedih dan melarat, jika sakit dan tenat, bukan semua mampu rasa. Bukan semua orang rasa. Sedangkan yang sakit dan susah itu lah yang memberiku buah fikiran yang tiada tolok bandingnya. Nah, jadi apakah aku suka bergelumang dalam dukacita sahaja? Bagai para abid yang sanggup hidup terlonta2, tanpa wang tanpa harta....................?????? Jawabnya tidak juga. Tetapi hati lebih tertarik dengan penderitaan sesetengan golongan. Bagaimana susahnya mereka mengharung lautan, betapa gigihnya mereka meredah hutan, bagaimana cekalnya mereka mencari sesuap makanan. Itu yang aku cari. Itu yang aku ingin untuk dibuat bahan berkongsi. Itulah preskripsi hati ini

Aku berangan2 untuk terbang ke seluruh dunia. Melihat bagaimana gembiranya hidup orang kaya2. Bagaimana girangnya hidup mereka dengan nama dan harta. Dan ingin jua aku singgah di tanah2 tandus yang kering segala. Yang masyarakatnya legam kehitaman, derita kekurusan, lapar kebuluran. Mahu aku bersama mereka, menyelusuri perit getir hidup agar wujud rasa taajub. Tapi perjalanan yang sebegitu memerlukan wang ringgit yang bukan sedikit. Lalu mungkin juga memerlukan teman susah dan sakit. Jadi masih jauh impian itu untuk direalisasikan. Dan lagi sekali hatiku perit menanggung kekecewaan

Namun kata hati lagi, tidak perlulah aku merantau ke seberang lautan, sedangkan di tanah ini pun banyak perut2 yang kekosongan, banyak anak2 yang hidup kebuluran, banyak keluarga2 yang masih berpanas berhujan. Iya juga... tapi di mana mereka, bagaimana pula caranya agar dapat aku kongsikan cerita mereka pada dunia? Aku mahu menulis, tetapi tidak mahu jadi penulis. Aku hanya mahu menulis. Itu saja... Kerana menulis itu hobiku, penawar dukaku, dan bukanlah pekerjaan dan cita2 ku. Ah, sukar benar kau Tini, yang pelik2 nak diikutkan hati!

Aku suka menyendiri, suka bersunyi2. suka berangan2 dan suka ketenteraman. Namun di lain2 ketika, aku suka bersama2 masyarakat dan keluarga. Bergurau senda, bergelak ketawa, bersembang seloka... itu pun aku minat juga. Aku suka ke kampung2, bertemu orang2 tua yang keseorangan, bertemu makcik2 yang tiada pertalian, sekadar mengambil iktibar kehidupan. Aku suka hadir ke majlis2 kenduri dan di satu sudut aku akan diam memerhati manusia yang berbagai lagaknya. Lalu pandanganku akan bermain2 dengan akal dan jiwa. Dan ada ketikanya aku suka hilang dari pandangan manusia. Suka bermenung2 memikir masalah yang bukanpun difikir sesiapa. Suka merenung berjurus2 hingga terasa benci benar aku dengan suara2 manusia. Benci benar dengan kehidupan yang penuh permainan dan kepura-puraan, penuh skrip dan lakonan............

Maka apa agaknya yang aku cari dalam hidup ini? Aku tidak mahu hidup hanya dengan mengikuti percaturan orang lain. Orang kerja, aku kerja. Orang makan, aku makan. Orang merantau, aku merantau, orang menulis, aku pun menulis. Tidak! Aku tidak mahu. Aku mahu sesuatu yang aku lakukan ada arah tujuan. Ada keberkatan dan penghayatan. Ada hikmah dan pengajaran. Tetapi aku ini siapa pun lah.. Sekadar Tini yang selemah2 manusia. Yang kata2 ku hanya diam bersemadi di entri ini. Diam dan pasti dilupakan di suatu hari... ah hati.... wahai, sukar benar kau ini!

Nantilah... Aku akan mengumpul wajah2 tua di seluruh pelusuk negara, tak kira siapa tak kira warna, dan akan aku pampangkan dalam Ceritera. Biar bergema kisah mereka di setiap inci buana. Mungkin ada kisah suka, dan mungkin ada kisah duka. Nantikanlah ya.. dan doakan lah juga aku berjaya. Kerja ini pasti makan masa, namun dengan izin Tuhan, akan kuhabisi jua. Biar lapang rasa dada. Biar tenang rasa minda. Biar terisi tembolok jiwa, yang sering bising lapar dahaga......

Friday, September 28, 2007

Sahabat

memori

memori

Bertahun kita bersama satu cita-cita
Menuntut ilmu bekalan jiwa
Segala onak dan duri sama ditempuhi
Menuju redha Ilahi

Setiap pertemuan ada perpisahan
Demikianlah lumrahnya alam
Tiada yang dapat lari tentuan Ilahi
Segala tertulis sejak azali

Sekarang masa berpisah
Kenangan pahit indah
Tentu terpahat di sanubari

Maafkan silap dan salah
Kita insan yang lemah
Yang Kuasa hanya Rabbul Izzati

Doakan kebahagiaan ditetapkan iman
Buat menempuh semua cabaran
Mudah-mudahan semua ditentukan syurga
Bahagia mendapat rahmat yang esa…



ww: penghargaan untuk sahabat teristimewa; Marshidah Mat Johor

Thursday, September 27, 2007

Mana adilnya??

Aku berjalan pantas. Sepantas degup jantung dan darah yang mengalir deras. Terasa laju nadi bergetar. Tak sabar rasanya mahu menulis bait2 kata. Geram dan marah benar tatkala membaca tajuk akhbar yang terpampang di sudut bangunan. Antara tajuk2nya : “Ibubapa Nurin mungkin didakwa”. Tajuk lainnya, “Hakim Kanan Nafi Terbabit”. Ironinya kedua2 berita tersebut diambil dari insan yang sama, mulut yang sama, minda yang sama dengan reaksi yang berbeza.

Dalam kes2 yang melibatkan orang2 penting negara, pihak berkuasa dengan mudah menerima segala penafian yang diutarakan. Kes yang melibatkan seorang hakim kanan yang berbual melalui telefon dengan seorang peguam mengenai usaha untuk melantik seorang hakim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara, diambil mudah dan seakan diabaikan. Yang peliknya, dalam kes2 melibatkan orang besar2 begini, dilantik dahulu panel penyiasatan. Sahih atau tidak klip video itu yang akan jadi keutamaan. Benar atau tidak yang dipersoalkan. Palsu atau tidak yang didebatkan. Barulah pihak2 berkenaan akan ditahan..

Katalah dalam sebuah video klip yang lain, menunjukkan yang kononnya aku sedang cuba untuk membakar bangunan kerajaan, adakah ‘kesahihan’ klip video “aku” itu akan dipastikan terlebih dahulu?? Bukankah aku akan terus diheret ke lokap dengan sewenang-wenangnya. Bukankah tatkala aku diberkas dan beria menafikannya pihak polis akan berkata “Balai cerita!”. Jadi apa yang ingin kita buktikan pada umum sebenarnya?? Yang sesiapa punya kuasa boleh hidup sesedap suka???? Maka mana keadilannya di negara kita????

Kenapa bila pihak yang sama mengutarakan tentang kes kedua ibubapa Nurin yang mungkin didakwa tidak berkata ‘kami akan wujudkan panel penyiasat terlebih dahulu’?? ‘Kami akan berusaha untuk mencari di mana punca dan silapnya sehingga anak kecil itu telah menjadi mangsa’?? Kenapa????? Bukankah pihak berwajib juga boleh didakwa oleh ibubapa tersebut kerana gagal mengesan pembunuh kejam yang sehingga kini bersenang2 berleluasa???

Utarakanlah sesuatu dengan nada dan ayat yang sama tara, agar tenang hati2 dan mata2 yang membacanya. Kalau tegas, berlaku tegas lah dalam segenap perkara tak kira pada siapa. Janganlah kita memandang sebelah mata sesetengah golongan masyarakat, hanya kerana mereka tak punya ‘nama’. Janganlah kita memandang enteng tugasan kita. Bukankah sebagai pemimpin kita telah diberi amanah untuk memelihara negara??

Aku ingin memetik kata2 yang diutarakan dalam akhbar, “Undang-undang tetap undang-undang dan kita kena ambil tindakan kerana antara Rukun Negara kita adalah untuk menegakkan undang-undang.” “Jadi kalau ada perbuatan yang menyalahi undang-undang kita akan ambil tindakan... tidak ada sesiapa pun boleh terlepas.” Ada, ada..., malah ramai yang boleh terlepas dari dikenakan tindakan undang2. Terima sajalah hakikat bahawa di negara kita, yang punya ‘nama’ dan ‘harta’ boleh membeli undang2. Undang2 hanya wujud untuk orang2 biasa seperti kita. Undang2 hanya mengenal masyarakat lekeh macam kita..

Aku tidak gemar membicarakan soal politik. Tetapi apabila politik itu telah jadi mehnah dan perkara yang mencabar tuntutan hidup beragama, tuntutan hak dan adilnya, aku lantas bangun dan rela berjuang. Aku rela bersuara lantang. Janganlah kita berat sebelah, dan hanya menyebelahi pihak yang kita ‘rapat dan kenal’ saja. Berlaku adillah dalam setiap pekerjaan kita. Fahamilah bahawa definisi ‘ADIL’ itu adalah meletakkan sesuatu sesuai dan benar pada tempatnya. Menyampaikan hak2 tertentu pada sesiapa jua yang berhak mendapatkannya. Bukan memecah amanah, dan membiarkan insan tak berdosa menjadi mangsa. Sia-sialah kemerdekaan negara andai minda dan pemikiran kita masih dianggap kelas ketiga!

ww : betul2 marah!

Baca berita2 akhbar tersebut pada link di bawah

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20070924001028/Article/

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/BeritaUtama/20070926001112/Article/

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm

Kisah2 semasa

1) Bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan?

Desas desus untuk mempertanggungjawabkan kematian arwah Nurin kepada kedua ibubapanya benar2 menyirapkan darahku hingga ke kepala. Terasa berpinar seketika pandangan mata. Sudahlah anak kesayangan diculik dan dibunuh kejam, diri sendiri pula yang dipertanggungjawabkan. Memang sesuai sangat mengambil tindakan terhadap ibubapa yang mengabaikan anak2. Tetapi eloklah didefinasikan dengan lebih terperinci erti 'pengabaian' tersebut. Jangan nanti anak2 hilang zaman keseronokan berlarian berkejaran, lalu membesar dengan kongkongan dan ketakutan. Ibubapa yang tak bersalah, senang2 dipersalahkan. Dari elok jadi peniaga, terpaksa jadi banduan. Pendapatku, eloklah tumpukan saja pada pencarian si penjenayah, dari menuding jari menuduh yang bersalah itu si dia dan dia

2) Rasuah di mana2

Lagi cerita rasuah yang tidak sudah2. Duit dan kekayaan memang memukau pandangan. Melupakan tugas dan amanah yang dipegang. Lalu lupa bahawa rezeki itu perlu ada keberkatan. Kaya dengan jalan kehinaan lebih buruk dari miskin kepapaan. Dengan duit, seorang polis boleh lupa tanggungjawabnya menjaga keamanan, YB lupa kerjanya menjaga kawasan dan peguam lupa tugasnya menegakkan kebenaran. Biar kaya jiwa, daripada kaya harta..

3) Sekolah 1 sesi

Sekolah 1 sesi ini bukan baru. Banyak sudah diwujudkan sekolah2 1 sesi terutamanya sekolah2 swasta. Buatlah lagi penilaian dan kajian sebelum dasar2 ini dilaksanakan. Timbang2kan buruk baiknya dengan mengambil kira semua aspek dan pendapat semua pihak dalam semua keadaan. Keputusan ini melibatkan semua. Dan pastikan juga silibus pelajaran dirombak semula. Lebih2kan ajaran moral dan agama beserta dengan praktisnya. Solat berjamaah, bersukan, bergotong royong, mengaji dan melayan hobi adalah sebahagian dari contoh2nya. Jangan hanya masa dan wang terbuang begitu saja. Membazir elektrik sekolah, menambah beban semua, dan membesarkan lagi gaji guru yang kelaknya dikatakan makan gaji buta. Fikir2kan dan dalam2kan lah kajian. Jangan dasar berbunga berjela, perlaksanaannya haram tak pernah!

4) Bila nikah kerana harta

Sekadar memetik sekilas kisah rumahtangga penyanyi Nash dengan usahawan kecantikan yang baru memasuki sepuluh bulan. Nyata si isteri tak bisa hidup bersama lagi lalu memfailkan perceraian. Lantas, atas sebab apakah perkahwinan itu dahulu dijalankan kalau baru sekarang menyedari tidak adanya keserasian dan perhatian? Entahlah... kahwin ini bagiku, biarlah dengan orang yang sekufu, sebulu. Kahwin itu bukan untuk sehari dua, jadi eloklah 'berkahwin' juga dengan keluarga dan saudara maranya. Pastikan juga kita dapat menerima segala buruk baiknya, kaya miskinnya dengan penuh redha dan rela. Janganlah sekali-kali berkahwin sebab rupa dan harta, sebab rupa bisa berubah, harta bisa bertarah..

Wednesday, September 26, 2007

Tujuh

Suatu petang yang indah, aku rungkai kembali helaian kertas kecil pemberian ustazah yang terlipat kemas di dalam dompet. Atas kertas lusuh warna merah itu ada…….


9 March 1984 (9 + 3 + 1 + 9 + 8 + 4) = (3 + 4) = 7

NO 7 – ‘Intelektual’

“Dalam ramai2 manusia, anda yang paling bertuah. Anda bijak, berhati2 dan minat bergaul. Ramai orang yang kenal anda, anda hormati, dan mereka berkata anda cermat, tegas dan suka membantu. Ramai orang suka personaliti anda, tetapi tidak seorang pun dapat mengongkong anda. Anda ada kuasa magik - itu mungkin benar!”


Kertas itu sudah lama aku simpan. Hampir sepuluh tahun mungkin. Aku tak tahu dari mana ustazah dapat dan aku pun tak pernah bertanya. Kenapa ustazah beri pada aku pun aku tak pernah ambil kisah. Namun setelah diamat2 kembali, mungkin juga ada persamaan dan benarnya.

Tafsiran2 personaliti begini selalu kubaca di mana2. Dan yang ditulis oleh Dr. Fadzilah Kamsah pun lebih kurang sama.

Yang kufahami, setiap manusia banyak bezanya. Dan setiap perbezaan dan persamaan itu membuktikan bahawa betapa besar dan agungnya kuasa Pencipta kita..

ww : kita mungkin sama, tapi tak serupa

Friday, September 21, 2007

Tahlil untuk Nurin

Petang semalam aku dengar berita bahawa mayat budak perempuan yang dijumpai di dalam sebuah beg sukan adalah Nurin yang hilang hampir sebulan. Entah kenapa, hatiku beriya-iya menolaknya, dalam erti kata lain kesahihan DNA itu sukar untuk kuterima. Lebih2 lagi dengan keadaan fizikalnya yang berbeza, masalah situasi dalaman yang penuh propaganda, hati kecilku menolak kebenaran khabar berita. Bukan apa, hal DNA itu memang tidak boleh dipertikaikan, namun di negara se'maju' Malaysia, yang tidak ada boleh diadakan. Yang wujud boleh dipadamkan dalam kehidupan. Memang keputusan DNA selalunya benar, tetapi entahlah....... takut ada pihak2 tertentu yang mengambil jalan kurang wajar. Mengambil mudah segala hal

Kegagalan pihak berkuasa untuk menemui Nurin dan membanteras jenayah pencolekan kanak2 memberikan gambaran kepincangan institusi keselamatan yang kita bangga-banggakan. Jangan kerana mahu menutup mulut2 dan mata2 yang memandang, mahu menutup kes yang sudah hampir sebulan tak dapat diselesaikan, pihak berkuasa 'mengambil jalan' dari penemuan yang meragukan. Keadaan begitu memaksa, kes Nurin belum usai, datang pula kes lain yang lebih meruncing.. jadi jalan mudahnya adalah 'menyatukan' kes yang dua, untuk menjawab segala tanda tanya

DNA itu memang benar, namun yang menjalankan ujikajinya adalah manusia juga. Yang lemah semangatnya, yang punya 'favoritism' nya, yang ada 'bias'nya dan yang ada malas dan lekanya. Itu yang buat aku diam tak berkata apa2. Bimbang ada hati2 yang sudah jadi mangsa

Namun iyalah.............. Secara logiknya, yang memeriksa itu pun pastinya bukan orang biasa melainkan pakar2 jua. Keputusan DNA selalunya tidak akan menipu sesiapa. Aku pun pernah belajar sains, dan sering mengikuti siri2 penyiasatan. Oleh itu kesahihan bukti DNA itu memang tidak dapat disangkalkan

Selepas Maghrib semalam, aku duduk lama atas sejadah. Aku bacakan surah YaSin dan tahlil khas untuk arwah Nurin. Aku bukan sesiapa, bukan saudara maranya, dan juga bukan keluarganya. Cuma aku seorang insan yang amat prihatin dengan kisah2 malang. Aku bencikan kebatilan sepertimana aku bencikan syaitan. Aku bencikan kekejaman sepertimana aku bencikan kezaliman. Aku bencikan pembohongan sepertimana aku bencikan kepalsuan

Hatiku masih menolak bahawa mayat budak perempuan itu adalah Nurin, walaupun sains mengesahkannya. Entahlah.. aku masih berharap gadis kecil itu selamat kembali ke pangkuan ibubapanya

Siapapun gadis cilik itu, beliau telah kembali pada tuhan dengan penuh kesengsaraan. Tak dapat kubayangkan betapa kejamnya manusia yang lansung tidak berperi kemanusiaan. Satu saja kupinta dalam doa, kalau benar sungguh itu Nurin, semoga ronya dicucuri rahmat Allah. Dan jika itu bukan beliau, semoga adalah ketikanya beliau akan pulang bertemu kembali keluarga tercinta. Dan satu lagi, semoga penjenayah yang melakukan kekejaman itu mendapat balasan yang setimpalnya. Itu saja!

Wednesday, September 19, 2007

Nilai Harga Mama

Mama bangun awal. Seawal jam 4. Mama basuh beras, tanak nasi dan ricih bawang. Mama masak sup sayur, masak sambal tempe kentang, dan goreng ayam untuk adik2 yang memang suka ayam. Sambil itu mama jerang air, rebus telur masin, sediakan pinggan cawan, dan bancuh air teh o untuk kami anak beranak

Tepat pukul 5, mama naik atas, kejut papa, kejut aku, dan menyuruh aku kejutkan adik2. Papa tak menyuruh adik2 berpuasa, sebab mereka masih kecil. Darjah dua dan tiga. Tetapi adik2 yang sudi nak melatih diri. Jadi papa tak kisah, mama pun suka adik2 belajar berpuasa. Selalunya adik2 mesti siapkan menu pada mama untuk bersahur. Dan menu itu tak pernah berubah. Ayam goreng semata

Aku gerak adik2. Bahu Qamarul aku goncang perlahan. Nama Fazrin aku panggil2 lembut. Adik bukak mata. “Bangun, Arul… Sahur. Mama masak ayam goreng..” kataku dengan senyuman. Marul bangkit laju. Masuk ke bilk air, gosok gigi, cuci muka dan turun ke bawah.

Aku panggil nama Fazrin. “Bi…, bangun sayang..” utarku lembut. Yang bongsu manja ini liat juga. Aku goncang bahunya. “Bangun sahur, cepat. Mama masak ayam..” Fazrin bangun menggosok mata. Masih melayan kantuk yang bersisa. Lalu berjalan terus menyusuri tangga. “Eh, gosok gigi, cuci muka…..” ingatku padanya. Dia berpatah semula dengan mata kuyunya. Aku turun kebawah, mengetuk pintu bilik si bujang teruna. Adikku yang berusia 21 itu bersuara. Sekadar berkata, “Bangun dah...”

Lauk pauk sudah terhidang, air panas sudah bertuang. Pinggan mangkuk sudah tersusun, nasi pun telah beradun. Aku senyum memandang mama. Wahai, cekalnya hati tua.. berkhidmat tak kira masa. Aku biasa hidup susah, kerana dulupun kami bukan orang berada. Cuma sekarang bisnes papa bertambah cerah, rezekinya makin murah. Aku biasa duduk asrama, makan apa ada dan tidak banyak kira. Tapi adik2 yang kecil dah biasa hidup senang. Bukak2 mata dah kenal wang. Mama papa selalu berpesan, kesenangan bukan selalu berpanjangan. Hari ini makan ayam, mungkin esok makan ikan. Dan lusa mungkin tiada lansung makanan. Jadi, jangan banyak arahan...

Pagi itu kami makan bersama. Sudah dewasa begini, bukan senang mahu berjumpa. Selesai makan papa pesan pada kami, jangan lupa basuh pinggan sendiri. Adik2 menuruti

Aku sembang lama dengan mama. Tentang kerja, tentang putrajaya, tentang puasa. Kami seronok bersama. Aku pelawa mama untuk rehat, biar aku buat kerja. Mama jawab perlahan. Waktu inilah mama nak dapat lebih pahala. Memasak ikhlas untuk keluarga. Mama kata ini masanya. Masa aku akan sampai jua. Mama kata biarlah dia berbakti selagi masih bernyawa. Aku senyum pandang mama. Dan teringat, bila aku di putrajaya, aku juga harus bangun seawal mama.

Sembangan kami terhenti bila suara azan sayup2 menyusuri. Aku tolong mama kemas meja, cuci pinggan kuali. Dan minta diri untuk bersolat pula. Mama jua turut ke atas, mengikut papa yang sudah bersiap sedia di atas sejadah

Semua ibu pun begitu, aku tahu. Tatkala ayah dan anak2 tidur nyenyak pulas, mereka di dapur kerja keras. Mama kata hanya satu tanda bahagia sebagai ucapan terima kasih. Habiskan makanan yang dimasaknya hingga licin bersih. Aku senyum sengih...

Kelebihan ibu lebih nampak di bulan puasa. Para ibu tahan bangun awal, melelapkan mata hanya sejam dua. Tidak mengadu pening kepala, tidak bising longlai lemah. Di situ datang bangga. Itulah gunanya wanita, pendamping lelaki2 bertuah. Di rumah menjaga keluarga, di luar menjaga agama

Petang esoknya mama buat roti jala untuk juadah berbuka. Mama masak bubur kacang durian, dan sedekahkan semangkuk pada jiran. Aku senyum tengok mama. Sewaktu aku melangkah masuk kereta untuk pulang ke putrajaya, mama hulurkan gulai taucu ikan tenggiri. Mama kata bekal buat bersahur. Dan tidak sedar waktu itu air mataku jatuh gugur. Menahan rasa terharu melihat jiwa luhur. Seketika rasa kecil semula, ditatang dimanja mama. Moga mama dikurniai pahala yang tiada tara. Dijanjikan Syurga Allah taala... Terima kasih mama......

Monday, September 17, 2007

Lelaki itu Siti Hidayah

Lelaki itu berbaju kemeja, berseluar hitam, segak. Rambutnya pendek kemas, hitam pekat dan sedikit ikal. Sewaktu beliau hadir untuk menumpang membuat beberapa salinan sijil, aku mengerlingnya sebentar. Selalunya orang ramai yang keluar masuk di dalam bilik pejabatku tidak berapa aku hiraukan. Habis2 pun, aku melemparkan segaris senyuman sebagai tanda sopan

Namun lelaki itu telah menegurku. Telah juga bertanya akan berapa harga salinan fotostat yang telah dibuatnya. Sewaktu itu mataku bertemu matanya. Dan hati kecilku berbisik sendirian, ‘lelaki ke perempuan?’ namun aku diam saja, sambil mata terus memerhatinya dari kaki hingga kepala

Aku tidak berjumpa akan apa2 tanda ‘keperempuanan’ padanya melainkan dari firasat hatiku semata. Dari kasut hingga ke rambut, dari kemeja hingga ke cermin mata, segala2nya menjurus ke arah kelelakian lahiriah. Sebentar aku berpaling, bimbang kalau benar beliau lelaki, makanya aku telah mencemari pandangan mataku. Astaghafirullah... aku menunduk malu

Lelaki itu berlalu, meninggalkanku dengan seribu tanda tanya. Aku diam memandang semula fail2 yang bersusun di atas meja. Dan tidak sampai seminit, tekunanku diganggu semula. Aku mendongak, tidak percaya. ‘Eh, dia?’

“Maaf cik, sijil saya tertinggal satu.” katanya. Lagi sekali datang firast hati, menjerit2 mengatakan bahawa wanita lah beliau ini

Aku bangun dari kerusi, menghampiri mesin fotostat yang diam tak berbunyi. Aku melihat sekeliling, tidak pula terpandang akan sijilnya. Lalu sisi mesin itu aku buka, melihat kalau2 ada kepingan kertas yang tersangkut di situ. Ya ada. Dan aku mengeluarkannya. Lalu laju bebola mata membaca nama di atas sijil kuning yang sederhana keras itu

SITI HIDAYAH BINTI ISMAIL

Aku memandang lelaki itu, tersenyum. “Maaf encik, ini sijil orang lain saya rasa..” Beliau mengambil kepingan itu dari tanganku dan melihatnya laju. Lalu keluar dari mulutnya, “Ya, ini sijil saya........”

Ada malu dalam matanya. Ada segan dalam kerlipnya, dan ada kesal dalam benak jiwa

ww: semoga ramadhan ini benar2 memberi hidayah buat Siti Hidayah...

Friday, September 14, 2007

Peritnya dugaanMu Tuhan

Peritnya dugaanMu Tuhan
Serasa tiada penawar tiada ubat-ubatan
Bukankah telah acapkali aku meminta-minta
Kenapa tidak Kau kurniakan jua?

Peritnya dugaanMu Tuhan
Jiwaku serasa hancur luluh kelepuhan
Bukankah Kau telah berjanji?
Mintalah PadaKu dan akan Kuberi

Peritnya dugaanMu Tuhan
Serasa sebak hati menahan
Kenapa Kau uji sehebat ini?
Apa lah jua kesalahan diri?

Peritnya dugaanMu Tuhan
Berilah aku tanda peringatan
Utuslah dugaan ini dengan hikmah
Agar tenang hatiku yang luka parah

Beratnya dugaanMu Tuhan
Semuanya mengajarku erti kesyukuran
Erti penghambaan dan pengabdian
Erti rahmat dalam keperitan

Peritnya dugaanMu Tuhan
Kalaulah dapat aku lafazkan…..

…………………………………………………….

-Allah itu menjawab doa hamba2nya dengan 3 cara
*Minta dan terus diberiNya
*Minta dan ditangguhNya hingga ke suatu masa
*Minta dan tidak diberiNya, tetapi menukar permintaan itu dengan pemberian yang lebih bermakna dan baik buat si peminta


Ww: aku telah GAGAL ujian PTD. Mungkin lebih ramai diluar sana yang bersinar bintangnya. Kunantikan hikmah disebalik kegagalan. Moga adalah jua masanya suatu hari nanti untuk kubersujud penuh kesyukuran – bersyukur kerana digagalkan. Untuk kalian, terima kasih atas doa yang kunjung tiba. Berdoalah pula agar aku pasrah dan redha. Berdoalah juga supaya aku tidak mudah berputus asa......

Monday, September 10, 2007

Putih suci

blog ini kutukar dahulu warna dan rupanya. kupilih putih sempena ramadhan yang bakal tiba. semoga jua hatiku seputih blog yang berlainan parasnya... selamat berpuasa buat kalian semua...

ww: tengah obses dengan ACDSee.. =)

Yang kata bertemu mata






ralat: ejaan sebenar 'mengaharp' dalam sajak RAMADHAN di atas adalah 'mengharap'.. harap maaf. klik pada image untuk paparan bersaiz asal


ww: sajak2ku dalam ACDSee edited pictures.. ada keindahan dan kepuasan yang sebenar bila ketekunan bertemu kecantikan.... tahniah buatku..


Wednesday, September 05, 2007

Mengapa, Masyit....???

Bangunan JAKIM yang merah tersergam itu aku lihat dari jauh. Dari tingkap pejabatku yang dipenuhi titis hujan yang mendinginkan. Laju kudakap tubuh, dan perlahan keluar nada keluhan. Ah hati.... apa lagi yang dihajati???

Semalam kuterima khabar berita, Masyit tidak menghadiri temuduga kaunselor yang diterimanya. Mengapa Masyit? Puas sudahkah dengan kerjamu yang tak sampai pun dua bulan kau amalkan? Lumayan benarkah gajinya sampai cita2mu kau lupakan? Atau telah bertemukah orang yang dicinta di alam pejabat yang menghindarkanmu untuk terus mengejar cita dan impian? Ah hati... telah nyata yang empunya diri sudah memutuskan, lalu adakah lagi jalan?? Aku diam termenung memandang ke depan

Masyit itu rakan2 ‘kapak’ yang sering sembang lepak, tawa gelak. Rakan 'sekuku' yang boleh bergabung ilmu bersatu padu. Beliau punya cita jitu untuk membantu manusia. Menyelesaikan masalah mereka selagi terdaya. Dan dalam diam aku akui keutuhan cita-citanya. Aku kagumi bakat dan anugerahnya. Aku soroti niatnya dengan doa dan taqwa. Agar satu hari nanti lahirlah Masyit itu sebagai kaunselor ternama. Kerana aku sendiri tiada bakat mendengar, melainkan berbicara sahaja

Namun berita semalam buat hati jadi pilu. Bagai keputusan itu dibuat aku jua. Terasa pedih benar hati ini entah kenapa. Seakan bergenang air jernih di kelopak mata. Kadang yang terjadi selalunya bukan seperti yang kita impi. Namun kita digalak barusaha dan terus-terusan mencuba. Jatuh dan bangun lagi. Jatuh dan bangun lagi. Selagi belum mati...

Di manakah "self-actualization" yang kita belajar dulu, Masyit? Tidakkah hirarchi Maslow itu kita ikuti selagi terdaya. Terus menuju ke puncak cita2. Mungkin tertutup sudah hatimu membantu manusia. Jadi apakah relevennya berbuang masa dan tenaga di hospital KL sebagai sukarela? Berpanas berhujan berpenat lelah? ...... Kaunselor itu lah pintu masuknya. Sayang benar, Masyit.. cita2 mu aku sanjung. Bukan kerana gaji menggunung, bukan kerana nama mengharum, melainkan kehendak hati dan jiwa. Yang sering dahagakan titisan redha Allah.

Membantu manusia pasti buat kita matang, berkembang. Tidak hanya ketemu yang cocok2 saja. Kadang2 yang berbekam dan bersopak seperti raksasa itu yang selalu bawa ingatan pada nafsu dan minda. Yang punya masalah jiwa dan keluarga itu yang bakal pula memberi kita ilmu maha berguna. Sayang, tak sampai ke situ pemerhatianmu. Apa agaknya yang kau cari dalam hidupmu...

Aku termenung lagi. Memikirkan nasib sendiri. Jangan diri ibarat layang2 terputus tali. Mengikut saja kehendak situasi. Tidak... aku bukan begitu. Selagi tak dapat yang dihajati, bertongkat lengan aku turuti. Yang berat aku pikul, yang hangat aku rangkul, alang2 menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang2 mandi, biar kebasahan.

Mungkin aku lain. Ibarat pesan seorang guru padaku:

“Saya berbangga dengan nilai2 mu. Nilai itu yang membezakan kehidupan bekerjaya dan berkerja. Dan dirimu termasuk dalam kategori pertama...”

~Assoc Prof. Dr. Shukran Abdul Rahman~

Untukmu Masyit...., Aku akan berdoa tiada henti. Biar semua kita jadi apa yang kita impi. Biar terbuka luluh hati, biar tersebar santun budi, biar tertanam dalam diri, mekar subur di dalam Firdausi.........

Monday, September 03, 2007

Merdeka di Melaka

Alor Gajah, Melaka

Banglo A-Famosa resort
porch banglo
selesa beristirehat
gerai cencalok

Perjalanan ke Alor Gajah Melaka itu tidaklah terlalu lama dari Putrajaya. Leka bersembang dengan mama, kereta yang dipandu papa berhenti menandakan yang kami telah selamat tiba ke destinasi. Rumah banglo di A-Famosa Resort yang kami sewa itu kecil dari luar, namun luas di dalamnya. Di belakangnya terdapat sebuah kolam renang yang berukuran sederhana. Melihat saja kolam yang terbentang, adik2 sudah mula menjerit riang. Tidak sabar lagi mereka untuk terjun di kolam. Ah anak2 kecil, sentiasa riang dengan dunia mereka..

Kami ke Melaka untuk 3 hari 3 malam. Dengan tiga keluarga membawa 3 kereta, percutian sempena merdeka ini memberikan semangat baru untuk aku lebih menghargai sanak saudara dan ayahbonda tercinta. Tiada yang lebih menyeronokkan dari bercuti dan bersenang2 bersama keluarga. Dengan makcik yang sering berlawak jenaka, mama yang menyediakan makanan tak kira masa, papa yang tidak lokek berbelanja, abang Khalid dan Isteri yang suka merayau di Bandar Melaka, adik2 dan anak2 saudara yang riuh gembira, percutian itu meningkatkan rasa syukur yang tidak terhingga. Serasa terngiang2 kata papa, “rumah adalah tempat di mana seluruh keluarga boleh berkumpul bersama. Rezeki baru tidak akan datang selagi rezeki lama yang disimpan tidak kita belanja atau sedekahkan…”