Friday, December 30, 2011

Jujur, saya rindu mereka semua

Hari ini hari Jumaat. Malah mungkin Jumaat paling istimewa kerana hari ini adalah hari Jumaat terakhir untuk tahun 2011. Cuaca biasa2 sahaja. Tidak mendung dan tidaklah terik juga. Saya di ofis seperti selalu. Meneruskan saki baki hidup yang waktu tamatnya masih menunggu2. Jika diteliti benar, saya suka berbicara tentang penamat kehidupan. Apakah saya tidak lagi mahu hidup di dunia ini?

Kalau diberikan pilihan, saya mahu pergi. Pergi meninggalkan semua di belakang saya. Namun saya tidak hidup sendirian, melainkan ada keluarga dan manusia2 penting yang tidak sampai hati untuk saya tinggal dan abaikan. Makanya dalam erti kata lain, saya masih perlu hidup dan meneruskan kehidupan sampai waktu Allah tentukan

Saya menaip entri ini dengan batuk2 kecil yang sudah dua hari tidak kebah2. Dengan suhu badan yang saya rasa panas, dua biji panadol yang telah bertukar menjadi teman paling setia itu telah pula saya telan. Tadi. Dan kini duduk di depan skrin. Mengumpul semangat untuk mencoret bait2 yang ditutur hati. Biar jemari ini menyampaikannya, lalu dapat kata2 itu turun ke mata. Lalu kembali semula ke hati pembaca

Jujur, saya rindukan kawan sepengajian saya. Di taman ilmu dan budi itu, dulu, segalanya nampak indah. Dalam duka pun masih ada senyum tawa. Saya rindukan kenangan itu. Pengalaman dan kisah2 lama itu. Tiba2 hati berdetik dan dengan jujur saya mengaku, saya rindukan kesemua rakan2 saya yang dulu

Lalu saya membaca semula entri lama ini, saat2 kami menyarung jubah hijau tua yang kini telah berubah pula menjadi biru muda. Alangkah bahagianya jika ada mesin masa yang mampu kita pandu untuk membawa kita semula ke daerah kenangan yang diciptakan. Sungguh, saya rindu zaman2 itu. Zaman2 fikiran saya masih ringan dan tiada walau sezarah rangsangan yang mampu memberatkan. Tidak seperti sekarang. Tidur bangun, malam siang segala-galanya kelam dan penuh tekanan

Dan bila membaca entri tentang hari bahagia seorang insan yang dulu bergelar mahasiswa, bagai ada yang menyahut2 bahawa segala impian yang dulu mimpi, kini berlaku menjadi satu kenyataan yang menyenangkan pemikiran.

"Tiba2 air mata bergenang perlahan, bermain enak di kelopak mata yang sejuk teduh memandang barisan para pengajar yang berjalan penuh mesra. Mungkinkah suatu hari nanti aku pula berdiri di sana?"


Mungkinkah?

Jawapannya Ya. Kini saya telah berdiri di barisan para akademik yang terseyum2 pula kepada penerima ijazah di hari graduasi mereka. Tidak pelik bukan? Andai yang sungguh kita cita2kan, jika disemat sepenuh harap dan dikerjakan kudrat seluruh genap, akan terlaksana jua. Syukur jugalah yang saya pohonkan buat Tuhan semesta alam, sekurang2nya masih ada sesuatu untuk membariskan segaris senyuman di bibir saya, biarpun penuh payah

Ya... Masih ada yang perlu saya syukuri dalam keperitan ini.

Namun jujur.. Saya masih rindukan zaman2 keriangan dulu2. Bersama teman2 dan yang pentingnya, kotak fikiran yang lapang tanpa tekanan. Saya rindukan masa lapang sebelum sempit, yang kurang saya hargai namun menyesal setelah kesempitan itu kini meracuni diri. Saya rindukan zaman2 sihat sebelum sakit yang mana sebanyak mana pun harta di dunia, takkan mampu memberikan rasa gembira apabila segala kegusaran melenyapkan semua senyum tawa. Tiada apa yang berulang dan mampu diulangkan. Tinggal kenangan yang hanya boleh dibuat pengajaran

Menulis bagaikan kali terakhir, ingin sekali saya memohon maaf atas segala hati dan nurani yang mungkin telah saya sentuh dek penulisan ini. Inilah saja kesempatan yang terluang, sebelum tiba tahun baru yang bakal menjelang. Ampun maaf saya pintakan dan kebahagiaan sajalah yang saya pohonkan untuk kesemua kalian

Dan rakan2 baik saya; Gdah, Masyit, Mami, Ika, Yaa, Jue, Sarah, Liana, Dijah, Marina, Muna, Yana, Mai dan kesemua yang tidak tersebutkan, segala doa agar angan2 dan impian kalian termakbul juga hendaknya. Untuk yang telah berdua, didoakan agar diberikan penyeri ketiga. Untuk yang bertiga, diharapkan agar bertambah zuriat yang keempat dan kelima. Dan untuk yang masih bersendiri, pasti saja ada yang terbaik menanti kalian di belakang hari. Mari saja kita syukuri, untuk segala kemampuan akal dan memori

Rindu kalian. Salam sayang

Tuesday, December 27, 2011

Kalau anak, dah masuk darjah satu

Kalendar yang terpapar bulan akhir dalam tahun masihi itu saya kerling sebentar. Sekadar memastikan ada berapa hari lagi untuk tahun yang baru menjengah datang. Dan saya terhayal sekilas mengenangkan laman sesawang yang lama saya tinggalkan. Sekadar datang sebulan sekali, apalah sangat yang boleh saya banggakan dengan hasil penulisan ini. Saya mengeluh, memerhati laman2 rakan lain yang indah2 dengan warna dan gambar2 ceria. Ah, seronok benar nampaknya mereka melakar cerita

Masuk tahun depan, laman saya ini akan berusia tujuh tahun. Oh.. kalau seorang anak, pasti tahun depan dia akan mula ke sekolah. Belajar tulis baca dan belajar budi bahasa. Itu juga bermakna saya sudah menulis hampir tujuh tahun. Dan kalau dibukukan, saya rasa mungkin sekali ceritera saya ini akan menjadi tujuh buah naskah yang tebal2 isi dan kulitnya. Tapi itu kalau buku. Manakala saya menulis ini bagai berkata2 dengan hati sahaja. Lebih kepada diari usang yang entah bila akan tiba penamatnya

................

Kehidupan seperti biasa. Masih tiada apa-apa yang berubah walaupun saya maklum ramai antara rakan2 saya yang berusaha menuju kepada perubahan itu. Dan untuk seorang rakan di Selatan sana, tahniah atas perkhabaran gembira. Sejujurnya, saya mahu rasa gembira demi manusia lain. Dan untuk sahabat baik saya yang dulu sempat kita menjadi musuh (eh?), pastinya ketibaan tahun hadapan adalah perkara yang paling ditunggu2nya. Menukar status dari sendiri kepada berdua nampaknya benar membawa perubahan kepada manusia. Dan pastilah yang senyum2 sahaja terukir di bibir mereka

Saya mendoakan semuanya beroleh bahagia. Ahli keluarga dan sahabat handai saya. Anak2 murid yang tak terkira banyaknya. Semuanya, untuk kalian biarlah semuanya yang menggembirakan. Dan untuk saya, cukuplah sekadar ketenangan fikiran, agar tidak selalu kusut memikirkan letak duduk keadaan. Agar selalu bertenang walaupun dalam kelukaan dan kekecewaan. Itu semua adalah erti kata gembira bagi saya

.....................

Dalam pada melalu kehidupan yang gradual sahaja, sempat juga saya ke Gambang Waterpark minggu lalu. Sekadar membuang2 masa dan berehlah bersama keluarga. Namun seperti yang kalian maklum, saya terlalu malas untuk berkongsi apa yang saya lakukan dengan keluarga di sana. Ramai orang yang menjadikan laman mereka seperti travel log, namun saya masih juga begitu. Teringin juga namun saya tak mampu. Saya lebih suka begini. Konservatif dan tersendiri

......................

Untuk rakan2 yang sudi menjadi followers yang gambar2 kalian terpampang di sudut kiri laman saya, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Masih ada yang sudi membaca walaupun kuantiti penulisan saya tidaklah sebanyak mana. Terima kasih (^^)

......................

Dan ada gambar2 perkahwinan yang masih saya perhalusi sebelum memberinya kepada tuan empunya badan yang sudah sebulan melangsungkan perkahwinan. Sudah saya siapkan beberapa minggu yang lepas, cuma sementelah ada masa, saya melihat2 kembali kalau2 ada keping2 gambar yang boleh diolah dan diperindah. Begitulah selalu apa yang saya lakukan dalam hidup

....................

Ya, sekadar itu untuk mengisi masa lapang yang masih berbaki ini. Sambil2 memenuhkan ruang2 kosong dalam diari hidup yang hampir tujuh tahun terhasil. Terima kasih buat semua mata2 yang sudi hadir. Bertandang dan bertandang lagi. Mengharapkan ada sebaris dua yang saya coretkan di sini. Saya akan menulis lagi jika diberi keiziznan dan jika umur panjang. Saya tetap ada cuma kadang2 memilih untuk kekal bersunyi2 dan berdiam2 sahaja

Salam kasih sayang,

Tini Omar

Saturday, December 10, 2011

Jalan2 Kuala Lumpur

Ada sedikit gambar2 menggedik dengan family tersayang yg saya nak paparkan kat sini untuk kenang-kenangan. Nasiblah jadi fotografer. Fotografer mana pernah ada gambar sendiri. Ok, ini lah dia jalan2 Kuala Lumpur







ibu dan ayah tersayang. Mmmuah!

Wednesday, November 23, 2011

Sekali lagi, untuk engkau yang jauh

Sekali lagi aku menulis ini untuk engkau. Engkau yang mana bisa mampu membaca

Ini pesanan kedua, setelah hampir 7 bulan aku tidak menulis sejak yang pertama

Hari ini hari Rabu. 23 November 2011. Mendung hari ini dek hujan yang turun malam tadi. Dari Puchong sampai Cheras, kebanyakan tanah basah berbekas titis hujan. Aku memandu perlahan, seperti biasa. Melihat jauh di ufuk yang kelam2 dek mentari yang terhalang di sebalik timbunan awan gemawan. Sejuk, dingin dan mendamaikan. Namun di tanah yang menambus engkau sekarang, tidaklah dapat aku pastikan. Ah, tapi engkau pemuda gemilang, kawan. Biar di tanah mana pun kau berada, senantiasa engkau di puncak jaya. Hidup matimu memang nampaknya yang molek2 saja. Baguslah

Keadaan di bumi ini seperti selalu, kawan. Tiada banyak yang berubah. Kalau sudi engkau mendengar, akan aku ceritakan satu persatu moga kau tak jemu2. Manusia masih suka bertelagah. Hidup tidak sudah2 dengan pendapat dan mafhuman individualistik mereka. Kalau ada kebanyakan dari manusia2 hidup yang mahu berjuang ke arah yang namanya 'keadilan dan ketelusan' itu, lalu sering sahaja dianggap serong dan tidak bertamadun oleh yang lain pula.

Manusia di zaman ini masih seperti dulu-dulu juga. Mereka melanggar lalu membiarkan anak kecil terdampar tanpa rasa berdosa. Sungguh pelik melihat mereka. Sepelik memikirkan apakah agaknya yang bermain di fikiran mereka. Di mana hilang deru rasa mereka

Negara kita telah memenangi pingat emas dalam acara bola sepak di sukan Sea yang lepas. Betapa seronoknya aku lihat penyokong2 dan peminat2 kita meraikannya. Ah, aku tidak tahu kalau2 engkau mengikuti bola sepak ataupun tidak. Sekadar aku bercerita, kalau2 kau mampu membaca

Politik masih seperti dulu. Menonton yang mereka namakan berita di kotak2 tv pun selalunya memualkan. Adakalanya diulang tayang perkara yang sama lalu seakan2 aku menonton video yang dirakam pula. Segalanya terasa amat jelik dan meloyakan. Entah apalah yang berkhasiat lagi yang boleh diterima badan dan pemikiran. Rasanya memang tidak ada

Kalaulah mampu engkau menonton segala sketsa ini sepertimana engkau menonton tv, sudah tentu engkau juga akan mencoret sebaris dua, tentunya. Dan kalau begitu ada kisahnya, tentulah laman engkau akan menjadi laman paling makmur, kerana mampu kau menceritakan betapa benarnya pesanan2 agama yang dulu kita abaikan

Engkau yang jauh di sana,

Kalau dalam sebulan dua pemergianmu isterimu lebih banyak berdiam mengumpul semangat, kini beliau aku lihat telah mampu bangkit. Walau pasrahnya masih bersisa, beliau aku kira tenang saja mengemudi kehidupan demi anak2 yang engkau tinggalkan. Dengarnya beliau kini sudah mendapat pekerjaan. Semoga hendaknya beliau diberikan keringanan dan kemudahan untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang bukan calang2

Kesayanganmu yang berwarna putih itupun aku dengar sudah tiba di tanah semenanjung kita. Alangkah gembira isterimu menerima kehadirannya. Sebagaimana menanti2 engkau juga. Beliau sudah tahu memandu, barangkali boleh jatuh airmatamu kalau dapat engkau menjadi penumpang yang duduk di sebelahnya. Sebak aku membaca keluhannya yang singkat2 itu. Kadang2 sampai bergenang air mataku. Aku tahu beliau rindukanmu

Anak2mu sihat saja. Aku pernah berjanji mahu mencoret sesuatu buat Embun yang dingin dan Kekwa yang harum. Namun entah bila jejari akan mula bekerja kerana selebihnya aku memang selalu sibuk dengan segala urusan dunia. Kalaulah mampu aku tinggalkan sekalian itu, sudah tentu aku lakukan tanpa segan silu. Namun aku masih bernafas, darah masih mengalir deras. Aku mesti terus hidup di dunia yang mencabar ini. Hendaknya dengan ketaqwaan yang tak berbelah bagi

Mungkin sekali aku menunggu puteri2mu sedikit dewasa agar segala yang aku tulis ini dapat dicerna oleh lobus mereka. Dan selebihnya aku tidak sabar2 melihat mereka membesar dan salah seorang darinya akan menjadi pemuda yang daring seperti engkau :) menulis ikut suka dan menegur dengan hemahnya. Bukan mudah mendapat pemuda seberanimu. Entahkan Embun entahkan Kekwa yang mewarisi keberanian itu. Tapi aku rasa Embun. Ya, Embun yang lincah dan petah

Kawan,

Ramai kini aku kira pemudani di sini yang mahu menjadi isteri solehah seperti isterimu. Banyak benar rasanya yang mula belajar untuk menghargai suami2 mereka dan mencintai segenap daya. Alhamdulillah. Aku sentiasa melihat perkembangan ini dengan senyuman saja. Aku memang tidak akan berumahtangga pastinya. Sekurang2nya itu yang aku sematkan dalam fikiran. Bukanlah aku tidak takut untuk tidak diterima sebagai umat Muhammad, namun perkahwinan itu bukan sesuatu yang boleh aku ceritakan dengan perkataan. Jadinya aku terkecuali dari terkesan dengan cinta dan sayang yang sedemikian

Aku tahu kalau engkau mampu mengomen, akan kau tulis 'Hey Tini, kumbang bukan seekor!'. Dan sudah tentu engkau tidak mahu aku menjadi seperti Rabiatul Adawiyah yang terus-terusan bersendirian sahaja. Namun bukanlah itu yang aku gusarkan, melainkan aku ada alasan tersendiri yang sukar sebenarnya untuk dijelaskan biar kepada mana2 telinga pun yang sudi mendengar

Ahmad,

Bagaimana agaknya hidup di alam sana ya? Bagaimanakah agaknya tempatnya? Tidaklah dapat aku bayangkan dan fikirkan dengan ilmuku dan yang tidak sebanyak mana. Kalau mampu engkau khabarkan, aku rasa sudah pasti engkau akan kongsikan penghidupanmu di alam sana agar dapat dibaca oleh semua. Namun ada perkara yang lebih elok untuk dipercaya dan diyakini dengan keimanan saja. Bahawa setiap kematian adalah jembatan untuk kehidupan yang lebih kekal di sana

Pasti ramai yang merinduimu. Lebih2 lagi isteri, anak2 dan keluargamu. Mawar selalu mengeposkan gambar2 lamamu dengan anak2. Kadang2 diposnya gambar2mu sewaktu muda. Ah, aku tahu sangat beliau rindukanmu. Masakan tidak. Kadang2 aku mengeluh membaca keluh-kesahnya. Keluhan yang seperti dia juga. Sehingga beliau tidak dapat menyorokkan lagi rasa rindu yang tak terbendung di dada. Untunglah Ahmad, dikau dikurniakan isteri yang mencintaimu sepertimana hebatnya engkau mencintainya. Dia masih cinta, masih!

Sekarang ini lamannya yang merah jambu itu lebih popular mungkin dari lamanmu sendiri. Mungkin kalau engkau mampu melihat, engkau akan cemburu dan iri hati melihat laman beliau yang dikunjungi ramai peminat. Dulu lamanya tidak sesegar sekarang. Mungkin kerana dulu ada engkau yang menulis, jadi beliau hanya membaca. Namun kini tangan yang menulis itu telah tiada, jadi nak tak nak, harus diusahakannya juga

Kredit, kredit kepada beliau dan kecekalannya. Ditinggalkan bukan mudah, Ahmad. Menahan sebak di dada dengan senyum tawa, serasa bagai dirobek2 jiwa. Tidak perlulah aku bertanya kepada beliau, apakah beliau rindukanmu? Kerana amatlah terlalu mustahil untuk beliau hidup tanpa rasa rindu. Ah, hendaknya kalian bertemu di suatu waktu tertentu

Syabas, semoga ramai yang sepertimu. Dengan nama yang tetap segar, walau jasad jauh dipagar. Akan aku menulis lagi untuk engkau, sepertimana yang selalu aku tulis di zaman engkau masih bernyawa. Semoga hendaknya menjadi keinsafan kepada mata2 yang membaca.

Tinggal dulu, Ahmad. Dan sekadar Al-Fatihah ini yang mampu aku hulurkan, menemanimu yang sendirian tak berteman. Jumpa lagi, kawan. Sampai waktu Tuhan tentukan

Al-Fatihah

Monday, November 14, 2011

Saya mahu kalian membaca

Di pagi Isnin ini, saya mahu kalian membaca

Sungguh, saya benar2 mahu kalian membaca. Dahulu, bila saya ke seberang, saya menulis kisah ini. Dan bila saya ke Utara, saya menulis yang ini pula. Lalu bila saya menerjah selatan, ceritera ini seakan2 saya yang mengalaminya. Walaupun saya cuma sekadar berada di sana dan melihat dengan mata, namun pengalaman dan kehidupan mereka terasa-rasa bagai kehidupan saya juga

Saya mahu kawan2 yang bertandang di laman saya untuk membaca semua entri2 lama saya. Sementara saya tidak lagi kemana-mana, dan penulisan saya seakan terhenti dek masa yang terlalu banyak dihabiskan demi kerja dan kerjaya, saya tidak mahu kalian hadir ke sini lalu merasa hampa

Saya suka andai kalian membaca. Kalian mesti membaca walau apa jua isu dan jika ada atau tiadanya kisah2 dari saya. Saya akan menulis bila kesedaran dan keindahan itu datang. Saya perlu ruang dan 'mood' yang membantu saya untuk berkarya. Ya, sekali imbas saya bukan penulis yang baik kerana saya tidak boleh menulis dengan rutin masa. Saya hanya menulis bila2 saya suka. Menulis sedikit tapi bermakna

Bacalah. Baca, kerana dengan membaca sahaja kita dapat lari jauh ke dunia orang lain lalu berjaya kembali menginsafi diri di dunia milik kita

Baca, kerana dengan membaca jugalah kita kenal siapa kita dan siapa Pencipta

Baca

Friday, November 04, 2011

Resah di hati papa

Aku lihat wajah papa muram. Namun masih berbaki ketenangan yang mungkin sengaja papa biaskan. Agar tidak terlalu nampak akan kesedihan dan kepasrahan hatinya. Aku tahu dan sedar bahawa papa sedang bersedih. Kepasrahan hatinya itu terlalu jelas lebih2 lagi apabila ada yang bertanyakan soalan tentang perkara itu. Namun untunglah papa masih ada mama yang sudi menyokongnya dari belakang. Mama yang sudi membelai dan memujuknya bagai memujuk anak kecil yang menangis kerana tidak dapat dipenuhi hajatnya. Untunglah seorang lelaki jika mempunyai seorang wanita yang kekal setia berada di sisinya saat suka duka

Ahad ini kita akan menyambut Hari Raya Iduladha. Hari Raya Korban yang menuntut sebenar2 pengorbanan. Seperti papa yang terpaksa mengorbankan keinginannya untuk mengerjakan haji tahun ini. Bila papa bersedia sungguh2, dengan wang pendaftaran yang bukan sedikit dikeluarkan, kursus yang dihadiri, latihan diri dari segi perbuatan, emosi dan perkataan, semua itu berlansung di depan mata ini.

Papa rasa dirinya sudah bersedia mengadap Ilahi, kerana memang itulah saja yang diingininya. Entah kenapa beliau beria benar, bagai tidak ada esok lusa. Entahlah, mungkin papa merasakan bahawa hari2 mudanya terlalu banyak disia-siakan pada dunia dan kebendaan, dan serasa mahu saja dia membayarnya semula dengan berjumpa dan bertandang sendiri ke rumah Allah sana. Namun apakan daya, di tahun ini tiada yang menjemputnya

Papa masih muda. Baru 51. Mungkin sebab itu nama beliau masih belum tersenarai. Namun ada ramai lagi manusia2 di dunia yang masih bersuka ria hatta di umur 61 pun. Cuma itulah, papa seorang yang cepat belajar dari silap dan salah, dari khilaf dan dosa. Papa tidak pandai mengaji. Ada pernah aku tuliskan di laman ini tentang kisah itu. Namun sekarang dia telah arif. Papa belajar dengan usaha yang terlalu deras. Untuk membaca segala ayat2 tuhan dengan lancarnya. Dan sekarang papa mampu, mampu mengimami solat sekeluarga. Mampu mengqada kan solat2 yang tercicir di kala muda

Papa mengaji hari2. Setiap kali lepas solat. Kedengaran suaranya sayup2 mendendangkan ayat2 suci Al-Quran. Aku pejam mata dan malu sendiri. Aku yang lancar dan belajar mengaji dari kecil sampai besar pun terlalu malas dan berat untuk menjadi macam papa. Sejenak aku terkenang, benarlah bahawa Tuhan memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Aku tidak ada pengalaman macam papa. Aku belajar mengaji dari kecil sampai dewasa. I take things for granted. Disebabkan aku memang tahu mengaji dan kenal hukum hakam, ada banyak perkara yang aku terlepas pandang. Namun papa orang tua yang belajar di zaman tuanya. Dan kerana itu beliau menghargai segala-segala yang dipelajarinya. Setiap baris, titik dan tanda. Ah, sangat teliti mata tua itu

Papa kata persediaan untuk ketanah haram mesti dilakukan dari sini. Bukan setakat persediaan seperti mengetahui hukum2 bacaan dan sebagainya, tawaf di padang depan rumah selama beberapa jam sehari demi membiasakan fizikal dengan tawaf sebenar nanti, atau sekadar persediaan luaran yang mampu diperhati. Apa yang lebih penting adalah persediaan dalaman dan rohani. Persediaan jiwa dan emosi. Mempertingkatkan mutu sahsiah agar semua yang baik2 terbawa2 sampai ke sana. Memperhalusi dan membentuk niat2 yang ikhlas dari sekarang, hingga yang ikhlas dan tulus itu akan terbawa2 hingga ke tanah haram

Itulah yang papa sebut dan beritahu ketika kami sembang2 di waktu petang mengadap halaman. Papa katakan bahwa dia benar2 mahu menunaikan haji. Benar2 mahu merasa melangkah dan mengagungkan Allah, tuhan yang Maha Berkuasa. Dan papa lakukan sedaya upaya agar dapat menyelesaikan rukun islam kelima itu bersama2 dengan mama. Kalau boleh, di tahun ini

Namun dua minggu lepas bila aku tanyakan apakah status permohonan haji papa, papa sambut dengan seyuman yang tidak berjaya menutupi kepasrahan hatinya.

- "Tak dapat lah kak. Tak ada rezeki nampaknya".

Mama menyambut keluhan itu dengan tepukan lembut di bahu papa,

- "Mungkin ada banyak perkara yang Tuhan mahu kita pelajari, sebelum kita datang lalu menjadi tetamunya nanti. Insyallah, kalau ada jodoh, ke sana juga kita"

Ada air mata yang aku tahankan di saat mendengar jawapan mama dan senyuman papa. Oh Allah Azzawajalla, jika lah tidak sempat mereka ke sana, maka Engkau terimalah niat dan keinginan haji mereka yang meronta2. Dan berikan aku kekuatan agar dapat menyempurnakan harapan itu. Namun jika masih ada sayang dan cinta, jemputlah mereka sendiri datang bertemu-Mu. Dan sambutlah mereka dengan cinta dan kemaafan yang takkan jemu2

Ini keinginan paling bermakna. Dan hanya diberikan kepada mereka yang Dia ingini sahaja

Hari raya Qurban yang berkat, dengan pengorbanan yang terlalu berat

Untuk tetamu2 Allah di sana, Selamat menunaikan ibadah. Mabrur insyallah

Monday, October 31, 2011

Kali pertama saya menulis

Ini kali pertama saya menulis dalam bulan ini. Kokok ayam yang saya dengar pagi tadi seolah-olah mengejutkan saya dari lena yang panjang. Bahawa saya sudah lama tidak menjenguk laman saya yang kian usang. Saya tidak mahu bertanya atau berteka-teki adakah masih ada manusia2 yang sudi datang menjenguk cerita2 saya di laman ini, itu saya sudah tidak mahu ambil tahu. Kerana memang nampak benar bahawa sekarang ini saya malas mahu mencoret sesuatu. Baik buat manusia, baik buat diri saya sahaja. Memang terasa benar malasnya

Saya tidaklah sesibuk mana. Banyak juga masa saya yang saya buang dan habiskan begitu saja. Sekadar bermenung2 dan berfkir tentang apakah yang akan terjadi kepada saya, kepada dunia. Namun saya tahu, masalah tidak akan selesai dengan duduk2 saja. Rezeki tidak akan terhasil dengan hanya bermuram durja. Ini dunia yang serba fana, ada hal2 dan kepentingan lain yang harus saya lunasi sebelum ke sana

Ada banyak yang bermain di minda saya. Namun tak semuanya dapat saya tuturkan. Ada yang saya simpan kerana saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Ada yang saya simpan demi menjaga hati manusia. Dan ada juga yang saya simpan kerana saya rasa ia lebih baik untuk disimpan dan didiamkan sahaja

Saya sudah bosan. Tapi itu cakap2 yang senang. Bosan memang senang untuk diperkatakan. Namun setelah menyatakan kebosanan itu, apakah yang akan berlaku? Tiada apa2. Ya, tiada apa2 yang akan berubah jika saya hanya sekadar menjerit2 di dalam hati saja. Saya perlu bertindak. Namun sebelum bertindak dan bergerak, ada beberapa perkara yang perlu saya fikirkan dan selesaikan

Saya makin tua. Jujur. Gambar rakan2 di fesbuk telah berubah kepada gambar2 konvo, kepada gambar2 perkahwinan, kepada gambar2 bayi mereka yang kemain comelnya. Namun saya? Ah, apa dikesal yang Tuhan beri. Anggap saja tidak ada rezeki. Ramai kawan2 yang menjadi mama baru, papa baru, suami2 baru dan isteri2 baru. Kepada kalian, tahniah jugalah yang saya ucapkan. Semoga hendaknya kebahagiaan kalian berkekalan

Saya berkira2 tentang masa depan saya yang tidak lama pun lagi akan mengetuk angka TIGA. Oho, betapa cepatnya masa berlalu. Dan angka tiga itu selalu saja membuat saya tersenyum. Apa dirisaukan umur yang meningkat tua. Meningkatnya umur bermakna makin meningkatlah pengalaman. Makin meingkatlah pemahaman dan makin meningkatlah usaha dan jalan menuju tuhan. Begitulah hendaknya yang saya congak2 dalam kalkulator hidup yang masih berbaki satu dua episod. Entahkan sampai bila jangka hayatnya, tiadalah dapat saya meneka

Akan saya datang dan menulis lagi nanti. Doakan saya diberi kekuatan agar tidak malas dan layu dan lesu. Saya sayang diri dan kehidupan saya. Biar apa jua duri dan pancarobanya, saya teramat sayang dan menghargainya. Terima kasih jualah kepada Tuhan yang mencipta segala

Syukur dan terima kasih kerana sudi membaca

Friday, September 23, 2011

Bila saya memeluk Embun

Embun mapir ke sisi saya. Berlari kencang dan saya terdorong ke arahnya. Saya melutut ke bawah untuk menyaingi kekerdilan tubuhnya dan kami berdakapan erat. Dan dapat saya rasa degupan jantung anak kecil itu. Dan saya memandang wajahnya syahdu. Embun senyum. Dan saya membalasnya

Saya bangkit, menoleh, melihat Marwa yang suci. Mengambilnya entah dari dakapan siapa dan mendokongnya dengan setulus rasa. Terasa bagai mengalir deru2 cinta dan rindu dalam urat saraf saya. Dan pengalaman itu, wahai.... Tidak mampu saya ceritakan dengan perkataan
-
-
-

Sayang, itu semua cuma mimpi!

***
Saya tidak pernah bertemu Embun. Tidak pernah bertemu Marwa, meskipun ayahbonda mereka. Namun saya percaya tautan hati itu lebih rapat dan berkat. Lebih padu dan erat. Lewat hari raya ketiga, saya terjaga dari lena dan tersenyum mengenangkan mimpi saya. Saya tak sangka saya berjumpa mereka meskipun bukan di alam nyata

Saya bercita2 mahu melihat Embun. Saya mahu menggenggam jemarinya yang kecil. Melihat matanya yang bundar. Melihat keletahnya yang menyegarkan. Saya tidak punya anak, namun saya tahu Embun anak yang baik.. Anak yang boleh menjaga keluarga dan nama keluarganya

Embun mengingatkan saya kepada ayahandanya yang telah tiada. Rakan saya telah pergi. Jauh sekali. Takkan mampu kembali. Takkan mampu menghantar khabar. Takkan mampu menulis untuk memberitakan segalanya. Tidak. Segalanya terputus. Sejak saat itu

Bertemu ibu Embun pun masih belum diberi izin. Masih bertangguh-tangguhan. Padahal hari raya boleh menjadi alasan paling munasabah untuk bertemu rakan taulan. Itulah saya. Saya yang suka melewat2kan segalanya. Sampai ke saat kelewatan itu menjadi sesalan yang tidak lagi berguna. Apa dikenang

Segalanya sangat indah saat saya memeluk Embun. Dan sehingga sekarang, keseronokan itu masih lagi terbayang. Saya mahu digelar 'Acik Tini' oleh mulut kecil itu. Saya mahu disebut2 selalu. Saya mahu melihat Embun membesar sampai tua. Itupun kalau saya diberikan nikmat hidup yang lama

Saya suka Embun kerana namanya. Namanya yang tidak pernah sekalipun saya jumpa dalam senarai nama pelajar2 saya. Saya tahu ayahbondanya yang memberikan nama unik tersebut. Seunik orangnya yang entahlah bagaimana

Saya tidak ada gambar Embun milik saya sendiri. Saya berazam untuk bertemunya satu hari nanti. Dan terus menulis dan menyebut2 namanya di sini. Semoga bila Embun besar, dia dapat membaca. Membaca kisah orang tua2 seperti saya. Embun beruntung mendapat ayahbonda yang tidak putus2 menulis untuk dia dan kekandanya. Kerana kalau saya ada anak, saya juga mahu menuliskan banyak perkara buat anak saya. Agar bila dia besar nanti dia juga turut dapat menulis untuk orang lain pula

Cuma itulah,

Kalaulah saya punya anakanda yang dapat mewarisi segala2nya daripada saya...

Betapa saya menghargainya

Saya selalu melawat laman yang ini di awal pagi. Selalunya saya sekadar datang membuang2 pandang sahaja. Tidak menyentuhnya walau sedikit. Untuk menambah apatah lagi. Seolah2 saya sudah hilang nikmat menulis. Padahal menulis itulah yang selalu saya lakukan dulu. Lakukan dengan kesungguhan dan keikhlasan. Biarpun saya tidak tahu betapa ramai mata yang sudi memandang, Saya tetap menulis kerana kalaupun laman ini hanya ditatap mata saya sendiri, saya masih ada hati yang perlu diperbaiki. Dan menulis adalah satu jalan untuk membaik pulih hati. Itu bagi saya

Saya sudah hilang ramai teman2 lama yang sehaluan dengan saya. Ramai yang hilang disebabkan umur yang tidak lagi muda. Faktor bekerluarga dan bekerjaya menjadikan minat penulisan mereka terhenti di tengah2 jalan. Namun saya tahu, jauh di lubuk hati mereka, mereka masih mahu meneruskannya. Begitu juga saya. Ikutkan hati saya mahu terus menulis dan terus jadi penulis. Saya mahu bercerita kepada dunia tentang manusia. Tentang diri saya yang juga seorang manusia. Namun selalunya keinginan itu kekal sekadar keinginan. Tidak pernah dimajukan untuk pula menjadi kenyataan

Setelah beberapa lama laman saya tinggal hening dan kelam, datang beberapa teman baru yang menyinggah membuang2 pandang. Mereka melawat dan meninggalkan jejak, lalu semestinya juga meninggalakan rasa kesan yang mendalam. Mereka datang seolah2 memberitahu pada saya bahawa laman ini masih enak dibaca. Dan saya masih kekal saya walupun adakalanya berubah seperkara dua

Dan untuk rakan2 yang datang, melihat2 kembali cerita2 lama, membaca dengan penuh minat segala cerita2 saya, saya benar2 menghargainya. Bacalah, ambillah dan pautkanlah entri2 saya di mana2. Ambillah sajak2 saya dan lampirkan di mana2 yang kalian suka. Biarpun tiada nama saya sebagai pengarangnya, dan adakalanya sajak2 dan kata2 saya diambil alih penama, saya tetap senyum memandangnya. Kerana cukuplah sekadar saya tahu, bahawa segala2nya telah terhasil dari buah fikiran saya. Cukuplah jika pun hanya saya yang menyedarinya

Saya sayang pembaca saya. Kalaupun tidak banyak, saya sayang semuanya. Mereka yang datang dan pergi. Mereka yang datang dan datang kembali. Mereka yang datang dan sudi menyapa, ataupun mereka yang datang dan melihat2 saja tanpa membaca. Semuanya. Kalaulah kalian tahu betapa saya menghargainya

Saya akan menulis lagi tentang sesuatu dalam masa terdekat ini. Ada banyak perkara yang ingin saya sampaikan. Tunggulah bila masa mengizinkan. Saya hanya dalam mood bersendiri dan berhibernasi. Di dalam mood melihat dan memandang. Dalam mood menunggu dan menanti perubahan yang berlaku. Saya tetap saya, itu yang pastinya. Saya masih boleh mengaku bahawa saya tetap saya kerana saya kenal corak penulisan saya. Seperti beberapa tahun yang lepas. Saat saya masih bertunas :)

Saya sudah tua. Sungguh, tidak malu saya mengakuinya. Saya mahu jadi orang tua yang berguna. Bukan orang tua yang diperguna

Terima Kasih

Tuesday, September 20, 2011

Saya yang selalu menyepi

Melewati penghujung umur 20an ini, saya sering menyepi. Saya tidak lagi suka berlibur, tidak lagi suka bercakap, tidak lagi suka tersenyum. Segala-galanya terasa bagai bukan saya yang dulu. Ya, saya lebih suka menyepi, menyendiri dan kekal bersembunyi

Ramai kawan2 yang bertanyakan tentang saya. Kelihatan pertanyaan2 mereka itu di laman2 sosial tempat mereka bersidang, di komen2 gambar hari raya yang mereka datang. Dan bila mereka tidak bertemu saya, mereka tidak lupa bertanyakan saya di mana

Saya masih ada. Masih hidup seperti biasa di bumi tuhan yang luas terbentang. Mungkin hidup saya yang sedikit kurang menyebabkan saya lebih enak diam dan bersendirian. Kerana apabila keluar dan tersenyum2 senang, bila berjumpa dan bergelak2 ketawa, terasa benar bagai menipu diri sendiri dan jiwa. Saya tidak boleh gelak dan senyum sedikit pun dengan hidup dan masalah yang melanda saya

Saya tahu semua masalah ada jalan penyelesaian. Tetapi saya sangsi masalah saya ini dapat saya selesaikan. Rasanya tidak ada jalan lain melainkan redha dengan apa yang Tuhan tentukan. Maka atas nama redha itu jugalah saya hanya mampu berdiam

Saya tidak pernah merungut. Saya suka hidup sendiri tanpa manusia berada di sisi. Saya senang mengikut kata hati yang kadang2 lari dengan kehendak duniawi. Cuma itu lah. Ada harapan kawan2 yang terpaksa saya hampakan. Saya kecewakan. Dan mereka tentu kecewa dengan saya

Saya berkawan dengan ramai orang, namun saya masih lagi suka bersendiri. Saya memang begitu, harap kalian maklum

Menulis kini pun tidak lagi sekerap dulu. Kerana segala perdu rasa telah hilang diserap umur yang kian meningkat. Hidup terasa amat singkat dengan amal yang masih kekal liat. Entah apa yang Tuhan caturkan untuk saya, saya hanya mampu menunggunya sahaja

Tidak ada sebarang jemputan rumah terbuka pun yang saya hadiri pada tahun ini. Entahlah.. Saya sekadar tidak ada hati. Selebihnya kondisi kesihatan saya tidak mengizinkan untuk saya datang bertandang. Saya menunggu2, jikalau masih ada syawal lain untuk saya di suatu masa. Bila saya dapat tersenyum gembira sebagaimana manusia lain selayaknya

Entahkan ada...

Thursday, August 18, 2011

Tiba2 aku teringin untuk menulis sesuatu buat kamu, Mawar

Mawar,

Aku baru lepas berjalan2. Melihat halaman2 segar oleh kata2 dan pendapat manusia yang takkan berkesudahan. Dan sebentar tadi berdiri cegat di hadapan rumahmu, yang kelihatannya sekarang ramai pengunjung dari berbagai ceruk penjuru. Ada yang bersuara lantang di depan pintu rumahmu. Bercakap dengan nada yang tidak perlu. Ada yang baru cuba2 mengetuk memberi salam. Ada yang kelihatannya bercakaran. Ada yang mengapi2kan dan membuat onar sesuka perasaan. Dan ada juga yang sekadar lalu lalang dan meninjau2 untuk mengisi masa terluang. Ramai..

Sesak

Lalu apabila aku pulang, aku terasa mahu tuliskan sesuatu buat kamu

Aku memang jarang sekali meninggalkan jejak di laman kamu. Namun seperti yang kamu tahu, untuk orang macam aku, jejak2 itu bukanlah satu tanda bahawa mereka lebih cinta dan aku tiada rasa. Tidak. Ia juga bukan bermakna mereka lebih prihatin dan aku ambil mudah. Tidak juga. Membaca cerita2 kamu, keluhan dan harapan, masalah dan usaha mengatasinya, membuat aku berfikir akan banyak perkara

Aku lebih suka berfikir dari bercakap

Namun kali ini aku terasa mahu bercakap

Akan datang nanti suatu hari, sesuatu yang pernah terjadi dulu di laman arwah suamimu. Saat2 kegemilangan yang mana memberikan ujian yang bukan kepalang. Ujian sabar dan ujian kematangan. Akan hadir pengunjung2 yang berkunjung dengan berbagai ragam dan karenah. Menjadikan laman kamu sebagai gelanggang untuk berdebat dan mempertaruhkan hujjah. Tak kurang juga yang datang dengan jualan2 dan iklan2 yang sedikit sebanyak mengagnggu kedamaian dan ketenagan laman peribadi kamu

Sedikit nasihat dari aku, baca sahaja apa yang pengunjung perkatakan. Semuanya baik dan positif jika kita memandangnya sebagai positif. Hargai kesemua mereka selagi terdaya, dan jikalau kamu tidak selesa dengan sebahagiannya, maka tolaklah dengan lembut dan hemah. Hujjah dan pendapat, kritikan dan nasihat, semuanya sangat bagus jika kita tidak mencampuradukkan emosi dalam menyalurkan fakta. Jadi secara peribadi, aku juga suka berhujjah untuk menajamkan minda. Selain dari itu, abaikan saja. Laman kamu adalah hak peribadi kamu

Dan seperti yang pernah aku perkatakan kepada Nafastari suatu masa dulu. Alangkah seronoknya saat2 kita menulis dan kita menulis bagi pihak diri kita sahaja. Kita menulis apa yang kita rasa dan tiada sesiapa pun yang akan berkata apa. Saat2 di mana mereka yang datang berkunjung itu adalah mereka yang benar2 mengenali kita, lalu mereka akan berfikir dahulu sebelum membuahkan bicara lalu tanpa sesuka hati menghakimi kita. Ya, saat itu. Dulu, saat kita mula2 berbicara

Seketika aku terkenang. Terkenang komen2 di entri Ahmad 'tersalah beli anjang2' :)

Lalu beliau membalasnya semula dalam entri aku 'terus jadi pembaca...'

Sahabat hebat yang berkat


Salam Hormat,

Tini

Monday, August 01, 2011

Hening

Ada bayu hening yang bertiup saat titis air menyentuh kulit yang selalu saja suka beradu lena.. Dan dengan senyum aku berbisik dalam hati, alangkah barokahnya Ramadhan yang menjelma..

Salam Ramadhan semua


-Tini-

Thursday, July 28, 2011

Pengutip gila






Gambar tiket yg semenjak dikutip setahun dua yg lepas. Yg sebelum2 tu tak pulak nak mengutip. (Sayang..) Kalau kira2 balik duit yang habis utk tgk muvi semenjak tau meraban sendiri, erk.. dapat canon dslr kot. Eheh.. Mesti ramai punya kat luar sana yg macam aku. Cuma malas je nak mengumpul tiket kejadah bagai..

Sebulan kalau aku tak masuk panggung, entahlah.. Macam rasa mudi dan lenguh2 badan. Kadang2 rasa nak demam. Pikir2 balik, lahh.. Bulan ni tak tengok wayang lagi rupanya. Hehe entahlah kenapa. Tersampuk jembalang panggung kot

Sekian.

p/s: belum tgk transformers lg. dem!

Friday, July 22, 2011

Jom berangan!

Boring? Ha jom la layan

Selamat datang ke rumah saya :) Meh la semua saya bawak bersiar2 kat rumah saya ni. Bersiar di luar rumah? Noe noe noe noee.. Kita bersiar di DALAM rumah ye. Luar apa ada. Dalam rumah saya ada macam2. Jom

Ha, ni lah ruang tamu tingkat bawah. Ada tangga spiral, ada kolam kecik. Saya ingat nak bela ikan kat situ, tapi takut pulak nanti airnya jadi kotor. Jadi, saya letak je la air paip bercampur klorin. Nampak la hijau2 sikit. Ha yang meja kecik kat tengah2 tu, saja je saya letak. Kot2 la nak minum petang ke apa, senang. Boleh duduk2 sambil makan goreng pisang, bubur kacang ke apa

Ini tangga dari tingkat dua nak ke tingkat tiga. Saya sebenarnya nak jugak buat lift, senang nak turun naik. Tapi, bukan ke elok kalau kita excercise, daripada menggemukkan badan je. So, inilah hasilnya :) Saya tak menyapu dalam rumah saya ni. Kalau nak menyapu, saya terpaksa amek cuti kerja seminggu. Saya serahkan tugas menyapu kepada cleaner je. Rumah saya pun pakai cleaner tau. Tak main lah orang gaji. Ingat apa, Aion MC je ke mampu pakai cleaner?! Huh

Haa, ini ruang sisi di tingkat bawah tadi. Boleh lah anak2 sedare nak main kejar2 ke apa. Main cop2 tiang pun saya benarkan. Termasuklah nak main rolerblade ataupun berbasikal dalam rumah. Alah, apalah nak berkira sangat. Biar la bebudak nak buat apa pun. Kalau kotor lantai ni, cleaner kan boleh cuci. Ruang koridor ni sangat luas. Kalau stakat nak buat kenduri doa selamat, satu kampung saya boleh panggil. Takde hal la punya

Ini bilik air peribadi di dalam bilik tidur rumah saya. Macam biasa, ada tub untuk merendam2kan badan, pancuran shower dan lain2. Menarik bukan?

Ha, sila lah masuk ke bilik ruang tamu di tingkat dua. Rumah saya ni, kalau dialihkan semua perabot, boleh kalau nak jadikan dewan perhimpunan ke apa. Spacious! Tak payah gaduh2 nak memintak permit la bagai dari kerajaan. Eheh, saya kan bekerja keras di kompany besar, setakat ruang tamu macamni, saya boleh je kalau nak bina 3/4 lagi. Itu piano kat tepi tu, memang saja saya beli untuk buat perhiasan. Saya manalah reti nak memiano-miano ni. Rumah orang kaya2 kan ada piano, saya pun nak la piano jugak. Alah, lagipun harga piano baru 5/6 ribu ye tak? Murah sangat berbanding gaji saya di kompany besar tu

Ni dari side blah sini pulak. Bil letrik kat rumah saya ni takyah tanya la berapa kan? Eh, saya dah bina rumah besar2 macamni, xkan la saya tak mampu pulak nak membayo bil nya. Saya ni marhaen yang bertimbang rasa dan prihatin tau. Bil air bil letrik tak pernah tertunggak!

Nak tengok muvi? Apa kelas pegi TGB ke GSD. Kat dalam umah saya ni ada bilik theatre. Sebijik macam panggung. Siap dengan kerusi boleh laras yang empuk, selimut tebal untuk menutupi tubuh yang kesejukan (senang kot2 tertidur skali), tempat letak air dan popcorn kat tepi kerusi yang sebijik macam dalam panggung. Wallaweh! Tip top! Nak tengok astro? Astro saya tak amek sebab mahal bayarannya. Lagipun astro ni banyak iklaaaaannnn aje. Macam bayar untuk tengok iklan pulak. So saya tak amek la

Bukan saja panggung wayang, kolam renang pun ada kat tingkat tiga. Setakat nak buat 5meter papan anjal, renang berirama, 4x200 kuak dada, takde hal kalau kat kolam renang umah saya ni. Saya selalu la lepak2 kat sini bila balik keje. Maklumlah kan, dah keje penat2, petang2 eloklah kalau dapat merendam2kan diri di kolam. Bila2 saya rasa bosan, saya bukak jugak kolam ni untuk penggunaan umum. Tapi saya charge sekali masuk dua ringgit. Kanak2 RM1. Bijak tak saya? Heh!

Disebabkan minat yang sangat mendalam kepada sukan tenis, saya bina lah jugak court tenis ni. Tapi ye lah, saya ni single, main tenis ni kene berdua, maka jaranglah saya ke sini melainkan untuk tengok je samada court ni bersih ke tak. Kadang2 cleaner umah saya bersidai kat court ni sebab court ni sya bina kat luar rumah. Kemain lagi dorang eh. Tuang keje la tu!

Bowling? Heh, depan mata beb! Tak payah sampai nak ke piramid untuk men bowling. Kat tingkat tiga umah saya pun ada tempat men bowling. Siap semua dah, tinggal main je. Rumah korang ada ke?! Heh (eh, terbongkak la pulak saya sebab dah hidup kaya raya). Sori2, sila lah datang main bowling kat umah saya. Saya bagi free entrance k. Tapi nak main kene bayar. Masuk tengok je free. (Gila jahat)

Ha, ni antara bilik yang paling saya suka sebab selalu lah saya melepak kat bilik ni. Main fesbuk, tengok blog, edit gambar, baca buku. Ala, kira ni macam bilik bacaan merangkap ofis la. Memang saja saya gunakan perabut jati bagi menjamin mutu dan kualiti bilik ni. Bila masuk, dengan bau kayu lama bagai, so terasa la nak membaca dan mengarang dan sebagainya. Ha, bijak tak saya?

Jangan ingat saya yang tak reti masak ni tak mementingkan bahagian dapur. Tengok je la dapur rumah saya ni. Besar, bersih dan luas. Nak masak makanan kenduri kawin pun tak payah nak membangun2 balai ke apa. Boleh terus masak dalam ni. Perabut saya pilih kaler putih sebab nampak lagi ekslusif dari kaler2 lain. Laguipun, dapur kaler putih menandakan yang tuan rumah tu malas beno la nak ke dapur. Kalau orang rajin ke dapur masak itu ini, takkan ade nya nak memilih kaler putih. Aje gila ke apa nak menyusah2kan diri menyental bagai. Isk

Ini bilik rehat tetamu, kat tingkat dua di wing belah kanan. Nak duduk bepeleseran pun boleh, baca suratkhabar ke apa, menyembang2 kosong, semua lah. Cendeliar yang tergantung tu je, lagi mahal dari keta myv merah saya. Dahsyat kan saya membelanjakan reta untuk kepuasan berumah? Hahaha

Ini bilik apa? Erk, bilik apa eh? Saya pun kadang2 lupa sebab dah banyak sangat bilik dalam umah saya ni. Sampai saya rasa nak letak signboard supaya senang saya cari bilik2 tersebut.

Ah, saya ingat dah. Ini bilik main nenek2. Kan luas tu kalau nak buat bulatan. Dah penat main, boleh terus landing kat sofa2 yang saya beli khas dari Itali. Sebabtu sengaja saya letak kat bahagian tepi, luas sikit kawasan tengahnya. Amacam rumah saya, hebat tak?

***
Sangat puas hati dan seronok berangan2 kan yang? Hmmm.. berangan je la. Bukan ada orang nak marah pun kalau nak berangan2

p/s: gambar diambil dari post Ambhi. Ntah la mana dia dapat dan umah siapa ni. Saya pun tak tau. Sekian, terima kasih daun keladi :P

Thursday, July 21, 2011

Wednesday, July 20, 2011

Fikhry & Fina @ Terengganu

Gambar2 perkahwinan Fikhry dan Fina bulan lepas baru siap. Erk, sangat lambat eh? Ke standard kalau gambar kawin amek sebulan untuk siap? Hehe, nak selamatkan diri sendiri la tu

Ye, baru siap dan ada gambar2 resepsi sekarang ni yang sedang saya teliti. Terima kasih kepada pasangan pengantin Fikhry dan Fina yang telah memberikan komitmen yang mantap sepanjang sesi bergambar

Dari pihak saya, berbanyak maaf jika ada yang terkurang

Selamat pengantin baru! :)































Yang saya siap edit ada banyak jugak. Nak letak semua memang tak mampu. Jadi, saya letakkan beberapa saja untuk tatapan tetamu yang singgah

Sila klik gambar untuk paparan bersaiz asal

Terima kasih