Wednesday, May 13, 2009

Arus Seberang

Darah yang mengalir dalam urat2 tegang hijau kebiruan itu mungkin bukan lagi bendalir2 merah yang membawa deru nafas ke jiwa raga. Telah lama bendalir itu bertukar menjadi desiran2 luka yang seakan2 kesat, tersekat2 menerobos sarafnya yang kini seakan pula sakit2 dan perit2 dimakan usia. Seperti juga wajahnya yang kekedutan, bukan lagi tegang megang bagai dulu

Tulang empat keratnya sememangnya telah pula menjadi penyeri kehidupannya. Terpaksa dia bersyukur dengan tulang-temulang kurniaan abadi itu, kerana jikalau dia mahu mengharapkan kulit dan isinya, telah lama mereka itu berlari meninggalkan ia. Meninggalkan dia dengan temulangnya yang kini sekeras besi. Merungkai saki baki kehidupannya, bagai derum2 mesin yang tajam matanya. Mencungkil peluang dan ruang di mana saja

Kalau ada pun yang tinggal padanya dalam usia2 senja begini mungkin sekali seraut hati yang pasrah. Hati yang telah lama juga hitam legam, menerima letak duduk keadaan, sesukar dan sepayah manapun. Hati yang menanti dan menyerah, menunggu datangnya hari2 penghabisan. Penghabisan buat dia dan dirinya. Penamat segala sketsa

Segala carca marba yang berlaku lewat di depan matanya bukan lagi penyeri2 alam yang memberikan keriangan dan mendatangkan senyuman. Segala sandiwara dunia ini telah lama ditelan dan dijamahnya. Telah lama menjadi mainan batin dan zahirnya. Sehingga takkan mampu2 lagi dia memandang walaupun sekilas kepada wajah2 dunia yang memberikan penyesalan padanya. Sesalan yang bukan kepalang

Matanya yang sayu dengan senyuman paling pilu itu kadang2 menjadi juga buat rezekinya merasa butir nasi barang sepinggan dua. Pada orang yang kasih pada dia, mereka kadang2 menghulur padanya seribu dua. Paling tidak pun, wang siling 500 itu dilantunkan padanya. Dia menerimanya dengan redha, tetapi tidak pernah dia meminta2

Dia wanita yang mungkin juga seorang mama. Pernah merasa memeluk tubuh kecil bernama anak, memandi dan membedakkannya. Menatang dan mengendong mereka dengan rasa teramat kasih lagi sayang. Pipinya mungkin sekali pernah dikucup sesiapa. Mungkin sekali lelaki yang pernah beria2 membutirkan kata cinta. Yang kini telah pergi meninggalkan alam dan membiarkan dirinya karam. Dan anak2 yang sewaktu kecilnya amat menghiburkan, yang setelah besar mereka menjadi bagai orang asing pula

Dan kini, pipi karat yang entah berapa kali saja dalam seminggu disinggahi air itu, tiada lagi yang mempedulikannya. Dia sendiri tidak lagi peduli pada wajah dan tubuh genitnya, yang menggamit suatu masa dulu. Segalanya kini adalah perintang2 waktu yang memberi jemu. Memberi syahdu

Salah diakah memberi ajaran2 yang salah pada zuriat2nya yang bernama anak itu. Sehingga singkat akal mereka, meninggalkan dan membiarkan dia terkapai di kaki lima busuk dan kotor itu. Tidak ada lagikah insan bernama keluarga atau saudara mara yang sanggup mengangkat dia ke martabat yang tinggi sedikit, walaupun sekadar seinci dari tempat duduknya yang bersimpuhan di kaki lima jalan? Yang manakah namanya adil dalam ertikata keduniaan itu? Memikir2 dengan acap segala perkara itu adakalanya membuatkan dia pusing. Pusing merunsing

Cukuplah hidupnya kini menanti hari esok. Tidak ada apa yang merugikan dan menguntungkan. Jika nyawanya panjang, lama lah dia meneleku di persimpangan kehidupan itu. Jika esok lusa dicabut nyawa, akan diterimanya sebagai berita paling bahagia. Sekurang-kurangnya, lebih bahagia tinggal seorang dalam lubang gelap dan kelam, daripada keseorangan, dalam derai dan derap tapak manusia yang kegirangan. Menyakitkan dan memedihkan

Memandang kehidupan insan lain yang seusia dia, dengan bahagia dipimpin insan2 tercinta, mengalirkan sekelopak dua air mata, jatuh deras di lopak pipinya yang kedut tua. Mengharukan. Menghibakan. Disekanya dengan hujung baju yang carik2 kekusaman. Perjalanan hidup ini…. Betapa ia meletihkan…

Bandung, Jawa Barat
5 Mei 2009

……………………………………………..

Selamat hari ibu, mama. Aku janji, mama takkan aku biar jadi sepertinya...

Cheras, Malaysia
12 Mei 2009

3 comments:

peace said...

happy mothers' day! (biarpun x jadi ibu lagi..)

Aeyrul Hafiz said...

ms sedih la...teringat kat mak kat jb...huhhuuuh

Hartini Omar said...

ustazah,
-ucapan itu untuk saya atau untuk ustazah? hahaha.. thanks singgah

joseph,
-bagus lah sedih. selalu lah kamu ingat kat mak. tak lah menjadi anak yang ingkar. ingat tu joseph