Wednesday, April 02, 2008

Selamat hari lahir, papa

Tanggal 3 April ini umur papa akan jadi 48 tahun. Masih muda dan masih mampu bekerja keras untuk anak2 dan keluarga. Papa muda setahun dari mama. Namun dari beberapa segi papa nampak lebih berumur dan berusia. Biar berapa pun umur papa, aku tahu papa akan jadi ketua yang baik untuk kami semua

Menyelami sifat2 papa, papa itu orangnya sangat bersahaja. Papa serius tetapi flexible. Papa suka berlawak dan membuat kami berfikir akan tindakannya. Papa selalu memberikan nasihat dan papa penuh berseni dalam berkata2. Papa memang jarang membebel macam mama, tapi sekali papa cakap, semua orang akan dengar cakap papa. Satu yang aku paling suka pada papa, papa memang jarang.... malah jarang jarang sekali menghampakan permintaan dan pertolongan yang diminta

Papa juga seorang suami yang menyenangkan untuk isterinya. Papa tak pernah cerewet dalam hal2 masakan, tak pernah meminta dihidangkan makanan dan tak pernah meminta disediakan air basuh tangan. Bila hari minggu kami akan makan bersama. Selalunya, kalau papa lambat, papa pesan agar kami makan dulu dan tak perlu menunggunya. Aku pernah melihat suami yang marah2 dan naik berang kalau isterinya tidak menghidang makanan atau anak2 menyentuh makanan dahulu sebelum dia makan. Mujurlah perangai pelik itu tidak wujud pada papa. Syukur alhamdulillah

Papa memulakan pekerjaannya dalam syarikat Felda, hanya sebagai pemandu yang menghantar baja dan tanah ke ladang2 di perkampungan felda dan felkra. Aku masih ingat, kami selalu dibawa papa melalui kampung2, kebun getah, ladang kelapa sawit, ladag tebu dan berbagai tanaman lagi. Segalanya kini masih segar dalam memori

Kemudiannya, papa diangkat menjadi eksekutif di syarikatnya. Sewaktu itulah kami mula memakai kereta proton saga. Aku masih ingat warna kereta itu hijau muda. Kemudian papa terima tawaran menjadi sales eksekutif di syarikat Behn Mayer di petaling jaya. Di situ, papa bekerja hingga berjaya menjadi senior worker dalam organisasinya

Papa kemudian ditawarkan oleh Perda Holding, anak syarikat Akib untuk menjadi sales manager. Sewaktu itulah kami berjaya dibawa papa melawat negara2 seberang laut. Di Perda itu, aku fahami yg kerja papa adalah suplier. Papa supply sachet gula dan creamer kepada KFC, MAS dan hotel2 sebahagiannya. Disamping itu, papa juga buat sales kopi yang dipasarkan di luar Malaysia

Papa keluar dari Perda dan memulakan bisnesnya sendiri tatkala aku ditahun kedua UIA. Pada waktu itu, papa bekerja keras untuk memenangi tender supplier. Sesungguhnya memulakan sebuah syarikat baru itu amatlah bukan perkara mudah. Namun berkat doa dan usaha keras papa, papa kini supplier makanan basah kering di Intan Kiara. Papa supply pada kerajaan dan terpaksa menanggung beban berurusan dengan kerajaan. Hanya yang berurusan akan tahu bebanan yang dimaksudkan

Sekarang papa sedang juga berusaha untuk mendapat tender di penjara atau hospital. Kata papa, ia lebih mudah. Tapi kalau supply di Intan, segalanya sukar. Maklum sajalah, menyediakan makanan untuk pegawai2 tinggi kerajaan, ada saja yang kurang mereka berkenan. Cerita papa itu aku sambut dengan senyuman

Kalau papa tidak buat inspection atau pergi melihat2 pekerjanya, papa akan jadi pemandu teksi. Papa cukup tak suka kalau rehat2 saja di rumah goyang kaki. Sebab itu papa cari penumpang dan buat kerja tambahan. Papa memang tahu banyak jalan. Tanya sajalah jalan mana, papa tentu ada jawapannya. Papa macam tahu banyak perkara, dan aku sebenarnya sangat kagum dengan papa

Satu kelemahan papa, papa lambat mendapat pendidikan agama. Papa bersekolah inggeris dan tidak pernah mengaji. Namun aku kagum dengan sifat dan keterbukaan papa untuk belajar mengaji dan fardhu ain bersama2 dengan kami; anak2nya. Tidak semua orang dewasa mempunyai keberanian untuk melakukannya. Papa sanggup melalui segalanya2 demi agama dan tuhannya. Kerana itu juga papa bersyukur aku belajar di sekolah agama. Biar buta dunia, jangan buta agama Allah. Sekarang papa sudah boleh baca Quran dan jadi imam. Papa juga suka baca buku agama dan mendalami bab2 akhlaq dan fiqah

Aku selalu berdoa, agar satu hari nanti aku dikurniakan teman hidup yang istimewa macam papa. Menyenangkan dan memberikan harapan. Kesusahan itu ada berbagai segi. Memang kami tidak hidup kais pagi makan pagi, papa tidak perlu ke bendang sawah dan bercucuk tanam untuk menyuap mulut anak bini. Namun kesenangan papa yang hari ini dicapainya juga dengan jalan yang bukan mudah. Hanya yang sabar dan tabah mampu melakukannya

Semua patut bangga dengan bapa mereka. Seorang bapa yang meletakkan mulut di hatinya. Mereka jarang menyapa jarang melatah. Namun dalam kesunyian itu, mereka punya kuasa menentukan segala buruk baik untuk keluarga, rumahtangga dan isinya. Itulah seorang bapa. Dan aku tahu, aku punyai seorang bapa yang tak kurang hebatnya. Semoga berbahagialah papa di dunia dan di akhirat sana. Biar terbalas segala budi papa dengan keampunan dan limpahan pahala. Selamat hari lahir, papa

4 comments:

Anonymous said...

kenapa lama tak menulis dik. Rindu pada bait-bait kata mu yg kadang waktu mengusir lelahku.

hartini omar said...

tuan,
-kesibukan adakalanya membuatkan saya hilang butir bicara
-namun untuk pembaca sesetia tuan, insyallah akan saya usahakan

terima kasih banyak ;)

yginsaf said...

kasih ibu membawa ke syurga.. kasih bapa tiada tolok bandingnya.. happy belated besday to your papa..

hartini omar said...

tuan yginsaf,
thank you so much!