Friday, April 27, 2012

Engagement - Liza & Zaifulnizam

Sabtu bersamaan 21 April 2012, termeterai ikatan janji antar dua hati, Norlizawati & Zaifulnizam. Majlis pertunangan diadakan di Felda Pemanis 2, Segamat Johor. Ada beberapa keping gambar yang ingin dikongsikan dengan pembaca. Selamat menjamu mata

Untuk Tuan rumah dan keluarga, terima kasih di atas komitmen dan kerjasama sepanjang sesi fotografi





















Akan mengepos gambar2 dari job Aqil's Outdoor selepas ini. Sibuk. Dan minggu depan untuk majlis perkahwinan pula. Hargai waktu lapang, sebelum datang waktu sempit

Salam hormat

Friday, April 20, 2012

Esok hari sejarah


Esok hari sejarah. 21 April 2012 akan jadi hari paling bersejarah buat saya. Jika saya mampu hidup untuk seratus tahun lagi, saya akan terus-terusan mengingati tarikh ini. Esok hari seorang saya benar2 menjadi saya. Hari untuk menilai di mana letak duduk iman dan taqwa di jiwa.

Kenapa hari esok sangat bersejarah buat saya? Itu biarlah saya saja yang tahu. Nanti di negeri abadi, di padang yang mana akan dihisab segala bentuk amalan walau seinci, ingin saya menceritakannya buat kalian. Atau saya serahkan saja kepada Tuhan untuk menayangkannya di pandangan. Saya mahu kalian tahu, jujur. Tapi bukan sekarang. Saya pasti ia bukan sekarang

Saya menulis dengan baris2 dan tulisan yang hanya mampu dibaca dengan hati yang hidup. Hati yang luhur dan kudus. Pandangan mata takkan mampu memahamkan kalian tentang saya. Hanya pandangan hati. Kerana di pandangan biasa, saya hanya seorang penulis yang bosan, pelik, jiwang dan sangat outdated. Tulisan2 saya boleh menidurkan dan mendodoikan manusia

Tapi di pandangan segelintir hati, tulisan saya hidup dan segar. Walaupun serba kekurangan, ia umpama manusia yang berjiwa. Sangat berlawanan dengan robot ciptaan yang sofistikated dan menawan namun tak berperasaan. Ini laman berat, kawan. Jika tak terpikul, jangan datang. Datang dengan hati yang lapang, Insyallah, anda kelegaan bila pulang

Akan saya lalui hari esok dengan kerja mengambil gambar juga. Semoga dengan pekerjaan itu, maka lekalah hati dan minda saya untuk berfikir2 dan berkira2 tak sudah2. Dan pada kalian saya pintakan doa2. Doa agar saya diberikan kelapangan, diberikan kesihatan, diberikan kecekalan dan ketabahan, seterusnya dipanjangkan umur dalam islam dan iman, mudah-mudahan

Jika saya survive esok, maka saya akan hidup di hari lusanya sebagai seorang manusia yang baru, insyallah. Keras, padu dan jitu. Itulah yang selalu saya sebut2kan dalam doa. Moga2 Allah memperkenankannya..

Friday, April 13, 2012

Pada-Mu aku berteka


Ya Allah,
Pada-Mu aku berteka

Walaupun aku yakinpasti Engkau Maha Mengetahui,

Sedang Engkau jadikan hatiku ini patah,
Aku pohon Engkau jadikan hatiku ini kering,
Sedang Engkau jadikan hatiku ini berkecai
Aku pohon Engkau jadikan hatiku ini keras,

Agar yang berserpih tidak akan melebur,
Agar yang melebur pun akan meninggalkan bekas bersisa
Agar dapat ku bina kembali impian yang pernah terbatas.

Ya Allah Pada-Mu aku berteki
Tanpa berbelahbagi
Tetapkanlah jalanku jalan ke depan
Walau yang menghadangsanggah
setajam penajam sebisa sembilu ,
Dengan sebeban kerat, aku akan menyanggupinya
Demi menjauhdiri dari silam yang cucuk menikam,
Yang tidak sanggup aku hadapinya untuk hidup sekali ini..

Anonymous,

Thursday, April 12, 2012

Dan untuk kali yang keduanya

Umur, dua puluh lapan. Tahun, dua ribu dua belas. Dan sekali lagi Tuhan, sekali lagi wahai Tuhan, Engkau memberikan ujian yang tak terungkapkan. Dulu, sekitar tahun dua ribu tujuh, aku menangis teresak-esak. Dan kini, di tahun ini, aku menangis lagi. Namun tangisan yang tidak berbunyi. Sekadar termenung mengenangkan nasib yang telah tertulis. Dan setelah lima tahun berlalu, dengan buku yang juga baru, namun kisahnya masih lama. Perit yang masih sama

Mana sinar bahagia, wahai Tuhan? Mana berita2 gembira untuk orang2 yang menempuh ujian penuh kesabaran? Apa lagi salah seorang hamba yang namanya aku ini kepadaMu?

Tiada lagi penyesalan. Cukuplah bercakap2 tentang hati dan perasaan. Umur sudah tua, tidak lagi muda. Cukup. Biar sampai sini. Dan aku mahu sendiri. Tolong, tolong tutup dan kunci hati ini. Biarlah Kamu sahaja yang kekal di sisi

Kisah yang sama ini, dapat anda baca di SINI. Baca. Anda mesti baca. Ceritera yang sama, tak pernah sudah2. Dan klik sajalah untuk mengetahui kisahnya. Tiada apa yang berubah. Semuanya masih sama. Jangan tanya apa2. Sekadar baca dan doakan aku dipermudahkan segalanya

Terima kasih anda2 yang pernah melukakan

Thursday, April 05, 2012

Terima kasih cikgu

Saya tidak ada cikgu fotografi yang khusus. Kalau saya nak berterima kasih tentang fotografi, mungkin sekali saya perlu berterima kasih kepada google. Saya boleh katakan google adalah cikgu fotografi terbaik saya. Hampir kesemua pembelajaran mengenai fotografi saya dapatakan dari pencarian google. Terima kasih kepada Universiti kesayangan yang telah menjadikan saya sedikit fasih dengan artikel berbahasa inggeris. Selayaknya saya berterima kasih kepada semua nikmat2 yang tuhan berikan

Sehinggalah apabila saya menemui satu laman menarik iaitu Ejad Fotopoyo yang sangat2 mampu memahamkan saya dengan bahasa paling mudah. Maka laman ini telah secara tidak lansung menjadi ibarat 'cikgu' pada saya. Dan jikalaulah mampu saya menemui Encik Ejad si penulis ini, akan saya tabik dan ucapkan jutaan terima kasih atas segala artikel beliau yang sangat2 mudah difahami untuk newbies seperti saya

Satu yang paling saya suka tentang Ejad Fotopoyo, apabila si penulis secara tidak lansung memberikan semangat dan dorongan untuk kita belajar perkara2 baru dan tidak bimbang melakukan kesalahan. Again, mistakes are part or education itself. Di samping itu, si penulis seakan2 memamahi dilema yang dilalui oleh newbies seperti saya.

Contohnya,

'Malunya aku. Aku guna kitlense je',
'Boleh ke kitlense hasilkan gambar cantik2 macam orang lain tu?'
'Aku ni OP, tapi pakai kamera cap ayam je. Malunya'
'Kawan pengantin ni punya lense pun lagi panjang dari lense aku ):'
'Oh ni la Op majlis ni eh?' 'Ah? Err tak pun. Saya ambil gambar suka2 je..' - sambil jalan buat tak tau

Segala persoalan itu terjawab apabila saya membaca hampir kesemua tutorial dan entri yang dituliskan di laman Ejad. Dilema2 yang saya nyatakan di atas, dikupas dengan gaya penulisan yang menarik, lalu membuatkan minat saya bertambah dan tidak pernah tidak saya tersenyum-senyum membacanya. Klik sini untuk contoh entri beliau

Beliau pastilah seorang cikgu dan penulis yang baik. Dan segala tunjuk ajar beliau, walaupun tidak dikhususkan kepada saya, selayaknya saya ucapkan jutaan terima kasih. Semoga beliau bertambah sukses dan usaha beliau diberkati dunia akhirat

Terima kasih cikgu!

Wednesday, April 04, 2012

Sekalung Penghargaan



Alhamdulillah. Jujur, saya kira itu perkataan pertama yang perlu saya sebut. Untuk Islam yang masih subur dalam diri. Untuk iman yang masih ada tapi perlu diperbaiki. Untuk rezeki yang tidak pernah berhenti diberi. Dan untuk ilmu, akal, jiwa dan hati yang masih lagi suci. Selayaknya saya bersyukur.

Saya sudah berjaya membeli sebuah koputer riba baru yang molek dan berkapasiti tinggi. Bukan niat saya untuk bermegah2, tetapi saya menyebutnya untuk berterima kasih kepada Allah, dan kepada sahabat2 yang telah banyak memberi kepercayaan kepada saya

Saya tahu harga sebuah laptop tidaklah semahal mana untuk sebilangan manusia. Tetapi bilamana saya mampu membelinya dengan duit hasil titik peluh sendiri yang dikumpul sedikit-sedikit, maka nilainya menjadi terlalu mahal. Sehingga meinitis air mata tatkala saya menyentuhnya

Saya bukan orang kaya. Gaji yang saya perolehi pun tidaklah sebanyak mana. Saya tiada kad kredit untuk membeli segala gajet2 masa kini. Hanya menabung sajalah jalan yang ada untuk membeli apa sahaja yang orang lain mampu beli.

Saya dapat juga membeli flash gun dan beberapa kelengkapan mengambil gambar yang lain dengan mengumpul wang bayaran yang diperoleh dari hobi saya. Hobi mengambil gambar. Dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan2 yang telah sudi mengabadikan kenangan terindah mereka bersama saya

Saya mahu terus maju. Itu cita-cita dan impian saya. Untuk maju, saya tidak akan selamanya berdiri di spot yang ini. Dan saya tidak mahu melupakan segala yang telah saya lalui hanya kerana faktor kemajuan itu. Jujur, saya mahu terus memandang belakang dan tersenyum mengimbau kenangan

Terima kasih semua. Pasangan Ayu dan Aiman, Aja dan Adi, Yusra dan Shamsul, Sarah dan Firdaus, Wanie dan Izwan, Fina dan Fikhry, Huda dan Fairuz, Wahidah dan Faizal, Ida dan Firdaus, Zaharah dan Hishamuddin, Mdm. Lakhsmy, Mdm. Mohana dan rakan2 yang banyak memberikan semangat, dorongan juga nasihat

Dan untuk teman jiwa raga, yang diri anda sendiri tahu siapa anda, perkenalan, perkongsian dan segalanya yang baik yang saya perolehi dari anda, hanya jutaan terima kasih jualah yang mampu saya lafazkan. Semoga anda dan pasangan akan terus diberkati mudah-mudahan

Saya akan meneruskan apa yang dipinjamkan Tuhan ini, sehingga Tuhan sendiri mengambilnya kembali nanti. Saya bukan jurugambar. Dan sememangnya layaklah jika saya sedikit teruja apabila saya mampu mendapatkan sesuatu hasil dari gambar yang saya rakam. Ya, saya teruja dan selebihnya bersyukur. Berbanyak2 syukur

Akan ada beberapa kerja di hujung bulan 4, awal dan hujung bulan 5, dan awal bulan 6 yang akan datang. Doakan saya sentiasa diberikan kesihatan, agar mampu berbakti dan mencari rezeki halal. Agar saya diberi kemahiran dan kreativiti yang tinggi dan kepada Allah jualah saya pohonkan segala kebaikan

Jazakallahu Khairan Kathiran

Friday, March 30, 2012

Saya dan Fotografi

Hari ini saya nak tulis tentang fotografi. Ramai yang bertanya tentang harga pakej dan sesi fotografi saya. Sebelum saya bercerita tentang harga dan sebagainya, ada beberapa perkara penting yang perlu dimaklumi dulu kepada para pembaca

1) Saya BUKAN jurugambar profesional. Saya tidak berdaftar dengan mana2 organisasi atau kampeni atau bekerja di bawah mana2 fotografer profesional yang lain.

2) Saya tidak pernah mendapat sebarang latihan formal mengenai fotografi, tidak pernah hadir ke mana2 bengkel atau seminar dan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan fotografi atau yang seangkatan dengannya.

3) Saya bermula sebagai seorang yang mempunyai hobi merakam gambar dan tidak menyangka bahawa saya dianugerahkan sedikit kemahiran untuk berada di 'tempat' di mana saya berada sekarang. 

4) Saya tidak mempunyai sebarang perkakas canggih seperti lensa2 yang panjangnya sedepa, atau berbagai lagi device menarik yang dapat 'meracun' orang lain. Sekadar DSLR biasa 10mp dengan 18-55mm kitlense.

5) Belajar 100% dari pembacaan yang di google sendiri, self tutorial, curi2 baca buku fotografi mahal2, selak2 majalah fotografi yang melekakan dan selebihnya bergerak di atas prinsip 'trial & error' sahaja

6) Tidak segan belajar dan bertanya, mahu meningkatkan prestasi dan gembira jika dapat memberikan kepada kawan2 (pelanggan) apa sahaja yang mereka mahukan.

7) Boleh berlebih kurang dan tak kesah berpenat lelah kerana fotografi bagi saya adalah 'intrinsically rewarding' berbanding bayaran dan kemashuran dan sebagainya

8) Tidak mempunyai sebarang printer atau device yang dapat menukarkan foto2 yang saya rakam ke hard copy, story board, sticky album dan sebagainya. SAYA HANYA AMBIL GAMBAR DAN EDIT SAHAJA. Perint memerint, terpulang lah kepada tuan empunya badan

................................................

Okay, rasanya itu sahaja perkara penting yang perlu diberitahu dahulu. Dan untuk memudahkan kefahaman, saya senaraikan sahaja harga yang saya tawarkan kepada pelanggan.

a) 1 ocassion (RM200) - Bertunang / Nikah (unlimited keping, unlimited hour, kerja sampai majlis habis) - Pelanggan dapat DVD dengan semua gambar2 yang ditangkap berserta 1 folder RETOUCHED (5-8% dari jumlah keseluruhan gambar)

b) 1 ocassion (RM250) - Majlis belah perempuan / Majlis belah lelaki / Outdoor (unlimited keping, unlimited hour, kerja sampai majlis habis) - Pelanggan dapat DVD dengan semua gambar2 yang ditangkap berserta 1 folder RETOUCHED (5-8% dari jumlah keseluruhan gambar)

c) Pakej selalu orang amek (RM650) - Nikah + Majlis belah perempuan + Outdoor [atau] Majlis belah lelaki (Jimat 50 hengget) - Dapat sama macam kat atas.

d) Pakej sekali harung (RM 800) - Nikah + Majlis belah perempuan + Majlis belah lelaki + Outdoor (Jimat 100 hengget) - Dapat sama macam kat atas.

e) 1 ocassion gambar suka suki (RM150) - Family gathering / Birthday party / Family Outdoor / Family Indoor / Pre-wed session - Dapat sama macam kat atas.

- Luar KL/Selangor, kene topup minyak atau belikan tiket bas pergi-balik (saya rasa tak ada fotografer yang rela naik bas sampai Changlun, tapi saya pernah buat. Jujur meletihkan).
- Luar KL/Selangor, customer mesti sediakan tempat berteduh jika keseluruhan majlis mengambil masa 2/3 hari. Tak perlu hotel, challet bagai. Rumah sedara mara ke, jiran tetangga pun boleh. Saya sangatlah boleh adapt dan peramah jugak lah (:

Bila makin kebawah, harganya nampak macam mahal kan? Tetapi percayalah, sangat murah berbanding pekerjaannya yang sangat2 meletihkan. Ini lah harga hasil kerja saya. Jika berminat, dialu-alukan sebarang pertanyaan. Kalau rasa mahal dan tidak berbaloi, tuan2 dan puan2 boleh mencari lain2 fotografer yang dirasakan lebih berbaloi dan memuaskan hati. Tidak ada sebarang paksaan dan saya amat memahami bahawa 'cantik' itu sangat subjektif.


Kenapa tak buat pakej print sekali?

Ramai yang mengajukan soalan ini kepada saya. Dan percayalah, sampai hari ini saya masih tidak mampu menjawabnya. Saya tidak ada kenalan yang berkerja di bahagian percetakan, saya tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan sumber, saya tidak tahu harga sebenar story board dan sticky album yang selalu orang perkatakan, dan saya tidak pernah mengambil tahu RM berapakah harga sekeping gambar berukuran 4R. Jadi, cukuplah sekadar saya boleh katakan, hal board-mengeboard, perint-memerint, album-mengalbum, saya serahkan kepada pengantin sahaja.

Saya telah menyemak beberapa fotografer profesional dan separa profesional yang menyediakan pakej2 menarik. Dapat CD, album, storyboard besar dan tebal, frame beserta gambar besar la bagai, dan harga yang mereka tawarkan juga tidak murah. Ribu riban juga. Jika ada yang rm600/700 juga, sila lihat dulu hasil tangkapan, berapa jam dan berapa event mereka cover. Most probably 1-2 event sekitar 3 jam kerja. (Sekadar pendapat peribadi yang realistik)

Jadi untuk bakal2 pengantin, kak cik dan abang long yang rasa2 nak membajet di hari bersejarah kalian, yang last2 minit baru terasa nak ada orang tolong ambilkn gambar dan sudi untuk memberi peluang kepada saya mencuba bakat dan anugerah yang tak lah sehebat mana ni, boleh lah mengkonsider tawaran saya. Cewah, bisnes! Dan bagi saya senang je, kalau dalam rm250 untuk satu event ni pun terasa membazir dan berkira jugak, suruh je la adik tangkap pakai hanset time korang kawen nanti. Senang malah free lagi

Malu bertanya, sesat jalan. Malu belajar, jahil lah sampai mati. Malu iklan, tu bisnes syok sendiri. Malu buat salah, sampai bila tak belajar apa2. Malu melangkah, haa duk la situ sampai ke tua.

Sekian sahaja dari saya

Selamat bercongak2 dan mengira2 (^^)

Hartini Omar : 012-2622886, lydiawati@masterskill.edu.my, charming_lead@yahoo.com
Untuk contoh2 hasil : klik di SINI

Thursday, March 29, 2012

Fairuz dan Huda











Assalamualaikum. Wah, sangat lama saya tak menyinggah kat laman saya ni. Pandang pun macam tak mau dah. Eksyen kemain. Ini ada saya postkan gambar2 perkahwinan client saya haritu (eceh, client). Foto2 ini dirakam di majlis belah lelaki, dan pasangan Fairuz dan Huda telah memilih tema jawa. Fotoshoot hanya dilakukan di kawasan rumah dan di dalam rumah. Takde outdoor sebab hujan

Dan seperti biasa, saya hanya mengepos beberapa gambar yang dirasakan layak untuk dikongsikan lah. Yang lain2 adalah hak milik pasangan pengantin (:

Kepada Puan Huda dan Encik Fairuz, terima kasih kerana telah memberikan kerjasama yang sangat2 baik dan telah memberikan kepercayaan untuk saya merakam gambar2 istimewa anda. Terlebih kurang, saya pohon jutaan kemaafan

Selamat Pengantin Baru

Sunday, March 11, 2012

Jumaat tanggal 9

Hari ini hari jumaat. Tanggal sembilan Mac. Saya akan mengembara sebentar. Mengembara mencari diri. Saya pohonkan keizinan untuk tidak lagi hadir dan menulis di laman ini. Saya akan kembali, beberapa bulan akan datang insyaallah. Doakan saya berjaya

Umur saya sudah meningkat ke angka yang seterusnya. Dan saya merasakan bahawa diri saya juga perlukan peningkatan. Jadi saya akan berjalan dan terus berjalan, untuk meningkatkan ilmu dan iman. Mudah-mudahan

Tinggal dulu para pembaca budiman. Biarkan laman ini hening seketika. Umpama rumah usang buruk yang tak ingin dijenguk. Nanti satu masa saya akan kembali. Kembali dengan diri yang baru dan maju. Saya perlukan sedikit ruang untuk melihat apa yang berlaku, untuk meneliti segala kelakuan lalu.

Untuk kalian saya doakan bahagia. Semoga hendaknya kita sama2 menuju jaya

Salam kasih sayang

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Friday, March 02, 2012

Berlari dengan teknologi

Teknologi sudah berlari jauh. Saya masih berlari-lari anak di belakang untuk mengejarnya. Saya tidak mahu ketinggalan. Selepas ini, segalanya akan saya poskan melalui telefon bimbit kecil yang selalu digenggam jari-jemari saya.

Ya, dan ini permulaannya. Doa saya agar tiadalah yang terkurang dalam bahasa, tatabahasa, ejaan dan isi yang ingin saya kongsikan dengan kalian di dalam laman usang ini

Selamat jumpa lagi

Salam sayang,
Tini

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Sudah Bulan Mac

Lama? Terlalu. Lebih sebulan mungkin. Saya menghilang? Tidak. Masih di sini. Cuma menyepi dari menulis di alam maya ini. Ramai saya kira yang sudah mampu menulis dengan bagus. Dan penulisan mereka menjadi azimat dan candu yang ditunggu-tunggu. Jadi tiadalah saya bersusah hati jika tidak menulis sebulan dua. Kerana ada banyak lagi laman yang boleh dijenguk dan dibaca

Bulan Mac datang lagi. Bulan yang mana seorang rakan pergi bertemu Ilahi. Bulan yang mana seorang manusia dilahirkan ke dunia, lalu hidup segar bugar untuk dua puluh delapan tahun seterusnya. Masa cepat berlalu. Tak sedar ia berjalan pantas dan meninggalkan kita terkedu-kedu

Adinda saya Ahmad Iskandar Yusuf sudah selamat bernikah dengan suri hatinya. Ucapan dan pohonan doa selamat juga yang saya pinta bagi pihaknya. Beliau sudah 26 tahun. Sajak saja untuk segera memikul tanggungjawab seorang ketua rumahtangga. Dan seperti yang saya bibitkan pada beliau, membina keluarga yang aman makmur itu bukan mudah tetapi tidak mustahil. Manakala mampu manusia lain menghasilkannya, kenapa tidak kita?

Dan selesai majlis tersebut, ayah bonda saya di rumah dapat menarik nafas lega. Berat pula mulut saya untuk menjemput sekalian kenalan kerana majlis itu diadakan kecil-kecilan sahaja. Hendaklah kalian tahu bahawa bukan saya yang naik pelamin, tetapi adinda saya

Dan saya bila lagi?

Ah, apakah ada jawapan untuk persoalan yang menyiat2 pundak hati itu? Cukuplah saya katakan itu bukan rezeki saya. Tidak termasuk dalam rezeki saya di dunia

Ada lagi kerja2 mengambil gambar yang menunggu2 dihasilkan. 17 Mac ini di Hulu Langat, dan seterusnya awal dan penghujung Mei nanti. Dan bulan Jun yang bakal menukar status sahabat saya kepada 'berkahwin', akan saya cuba untuk hadiri majlis tersebut. Insyallah, segalanya dengan izin saya kira

Saya berjalan, bergerak, bernafas dan berbuat apa saja di atas muka bumi ini dengan keizinan-Nya. Dan saya berdoa agar diberikan keizinan untuk terus berbakti kepada manusia, selagi termampu saya. Saya akan menulis lagi dalam masa terdekat ini. Pada tanggal sembilan insyallah. Tarikh di mana umur saya meningkat lagi ke angka yang seterusnya

Monday, January 09, 2012

Belajar terima hakikat

Hari ini ringkas sahaja. Belajar terima hakikat

"Setiap yang benar,
Betapa ditekan kan tetap menjalar,
Tanpa dibaja kan tetap mekar,
Tanpa udara pun kan tetap segar."

A. Samad Said

~ what's next?

Tuesday, January 03, 2012

Wedding picas : Hishamuddin & Zaharah

Ada sedikit gambar perkahwinan yang ingin saya kongsikan dengan pembaca. Sedikit sahaja. Kerana full edition sudah tentulah kepunyaan pengantin. Terima kasih kepada mereka berdua; En. Hishamuddin dan Pn. Zaharah di atas kepercayaan dan komitmen yang mereka berikan di saat gambar2 ini dirakam. Wedding coverage terakhir saya di tahun 2011. Dan untuk 2012 pula, ya.. Menanti dua majlis yang bakal dilansungkan pertengahan tahun. Begitulah perancangannya

Okay, selamat menonton

Seperti biasa, klik gambar untuk paparan bersaiz asal

























Lokasi : UUM, Sintok. Kedah

Monday, January 02, 2012

Dua puluh Dua belas

2012, hari dua. Selamat datang wahai tahun baru. Seperti biasa, pasti engkau berbangga disambut warna warni bunga api yang berdentum dentam hingga ke dini hari. Pasti juga engkau teruja didendangkan dengan janji2 itu ini  oleh pihak2 yang memang saban tahun minat berjanji. Dengan keping2 biru merah hijau ungu yang kadang2 memang sengaja ditaburi sesuka hati, namun diambil kembali dengan cara toleransi yang tidak kita sedari. Dan aku tahu, pasti engkau terharu menunggu2 apa pula yang bakal kau coret dan canting di helaian kosong kamus dadamu. Selamat datang. Aku hanya mahu mengucapkan selamat datang

Sila berlaku baik wahai tahun, agar nanti untuk seribu tahun lagi engkau akan tetap dikenang2 dan dicanang2. Jangan kau ulangi trajedi Titanic seabad yang lalu yang kejadiannya berlaku di tahun satu dua yang sama sepertimu. Kejadian yang tetap dikenang2, walaupun pahit untuk sesetengah orang. Jadi moleklah seandainya kau melakarkan yang baik2 saja. Anak Malaysia sampai ke bulan, contohnya. Anak Malaysia mencipta penawar AIDS dan sebagainya. Atau paling tidak, tiada seorang pun anak Malaysia yang ditangkap menjadi keldai dadah. Oh ya, atau yang paling mudah, sifar kes pembuangan bayi di tanah air kita. Ya, memadailah

Aku cuma berpesan. Kerana lazimnya tahun2 yang mendatang akan memberikan pahit maung kehidupan. Dan aku berdoa wahai dua puluh dua belas, agar kau menjadi tahun2 yang terbaik. Untuk diriku dan sesiapa juga. Yang masih sudi membuka mata. Menadah tangan dan menuturkan syukur kehadrat Allah taala. Ya, baik atau tidak engkau hanya akan dapat diputuskan lebih kurang 364 hari lagi. Jadi, akan sama2 aku menanti. Soalnya, masih ada jejari yang bakal menulis, atau sudah hilang lenyap semuanya dikambus tanah, itu aku kurang pasti. Kerana seperti biasa, aku hanya mampu merancang2 namun ketentuannya masih di tangan Tuhan

Aku akan menungggu dua belas bulan akan datang. Untuk memberikan label kepadamu wahai dua puluh dua belas. Selamat berkunjung dan selamat datang. Nanti biar engkau pulang dengan jaya dan cemerlang. Ameen

Friday, December 30, 2011

Jujur, saya rindu mereka semua

Hari ini hari Jumaat. Malah mungkin Jumaat paling istimewa kerana hari ini adalah hari Jumaat terakhir untuk tahun 2011. Cuaca biasa2 sahaja. Tidak mendung dan tidaklah terik juga. Saya di ofis seperti selalu. Meneruskan saki baki hidup yang waktu tamatnya masih menunggu2. Jika diteliti benar, saya suka berbicara tentang penamat kehidupan. Apakah saya tidak lagi mahu hidup di dunia ini?

Kalau diberikan pilihan, saya mahu pergi. Pergi meninggalkan semua di belakang saya. Namun saya tidak hidup sendirian, melainkan ada keluarga dan manusia2 penting yang tidak sampai hati untuk saya tinggal dan abaikan. Makanya dalam erti kata lain, saya masih perlu hidup dan meneruskan kehidupan sampai waktu Allah tentukan

Saya menaip entri ini dengan batuk2 kecil yang sudah dua hari tidak kebah2. Dengan suhu badan yang saya rasa panas, dua biji panadol yang telah bertukar menjadi teman paling setia itu telah pula saya telan. Tadi. Dan kini duduk di depan skrin. Mengumpul semangat untuk mencoret bait2 yang ditutur hati. Biar jemari ini menyampaikannya, lalu dapat kata2 itu turun ke mata. Lalu kembali semula ke hati pembaca

Jujur, saya rindukan kawan sepengajian saya. Di taman ilmu dan budi itu, dulu, segalanya nampak indah. Dalam duka pun masih ada senyum tawa. Saya rindukan kenangan itu. Pengalaman dan kisah2 lama itu. Tiba2 hati berdetik dan dengan jujur saya mengaku, saya rindukan kesemua rakan2 saya yang dulu

Lalu saya membaca semula entri lama ini, saat2 kami menyarung jubah hijau tua yang kini telah berubah pula menjadi biru muda. Alangkah bahagianya jika ada mesin masa yang mampu kita pandu untuk membawa kita semula ke daerah kenangan yang diciptakan. Sungguh, saya rindu zaman2 itu. Zaman2 fikiran saya masih ringan dan tiada walau sezarah rangsangan yang mampu memberatkan. Tidak seperti sekarang. Tidur bangun, malam siang segala-galanya kelam dan penuh tekanan

Dan bila membaca entri tentang hari bahagia seorang insan yang dulu bergelar mahasiswa, bagai ada yang menyahut2 bahawa segala impian yang dulu mimpi, kini berlaku menjadi satu kenyataan yang menyenangkan pemikiran.

"Tiba2 air mata bergenang perlahan, bermain enak di kelopak mata yang sejuk teduh memandang barisan para pengajar yang berjalan penuh mesra. Mungkinkah suatu hari nanti aku pula berdiri di sana?"


Mungkinkah?

Jawapannya Ya. Kini saya telah berdiri di barisan para akademik yang terseyum2 pula kepada penerima ijazah di hari graduasi mereka. Tidak pelik bukan? Andai yang sungguh kita cita2kan, jika disemat sepenuh harap dan dikerjakan kudrat seluruh genap, akan terlaksana jua. Syukur jugalah yang saya pohonkan buat Tuhan semesta alam, sekurang2nya masih ada sesuatu untuk membariskan segaris senyuman di bibir saya, biarpun penuh payah

Ya... Masih ada yang perlu saya syukuri dalam keperitan ini.

Namun jujur.. Saya masih rindukan zaman2 keriangan dulu2. Bersama teman2 dan yang pentingnya, kotak fikiran yang lapang tanpa tekanan. Saya rindukan masa lapang sebelum sempit, yang kurang saya hargai namun menyesal setelah kesempitan itu kini meracuni diri. Saya rindukan zaman2 sihat sebelum sakit yang mana sebanyak mana pun harta di dunia, takkan mampu memberikan rasa gembira apabila segala kegusaran melenyapkan semua senyum tawa. Tiada apa yang berulang dan mampu diulangkan. Tinggal kenangan yang hanya boleh dibuat pengajaran

Menulis bagaikan kali terakhir, ingin sekali saya memohon maaf atas segala hati dan nurani yang mungkin telah saya sentuh dek penulisan ini. Inilah saja kesempatan yang terluang, sebelum tiba tahun baru yang bakal menjelang. Ampun maaf saya pintakan dan kebahagiaan sajalah yang saya pohonkan untuk kesemua kalian

Dan rakan2 baik saya; Gdah, Masyit, Mami, Ika, Yaa, Jue, Sarah, Liana, Dijah, Marina, Muna, Yana, Mai dan kesemua yang tidak tersebutkan, segala doa agar angan2 dan impian kalian termakbul juga hendaknya. Untuk yang telah berdua, didoakan agar diberikan penyeri ketiga. Untuk yang bertiga, diharapkan agar bertambah zuriat yang keempat dan kelima. Dan untuk yang masih bersendiri, pasti saja ada yang terbaik menanti kalian di belakang hari. Mari saja kita syukuri, untuk segala kemampuan akal dan memori

Rindu kalian. Salam sayang

Tuesday, December 27, 2011

Kalau anak, dah masuk darjah satu

Kalendar yang terpapar bulan akhir dalam tahun masihi itu saya kerling sebentar. Sekadar memastikan ada berapa hari lagi untuk tahun yang baru menjengah datang. Dan saya terhayal sekilas mengenangkan laman sesawang yang lama saya tinggalkan. Sekadar datang sebulan sekali, apalah sangat yang boleh saya banggakan dengan hasil penulisan ini. Saya mengeluh, memerhati laman2 rakan lain yang indah2 dengan warna dan gambar2 ceria. Ah, seronok benar nampaknya mereka melakar cerita

Masuk tahun depan, laman saya ini akan berusia tujuh tahun. Oh.. kalau seorang anak, pasti tahun depan dia akan mula ke sekolah. Belajar tulis baca dan belajar budi bahasa. Itu juga bermakna saya sudah menulis hampir tujuh tahun. Dan kalau dibukukan, saya rasa mungkin sekali ceritera saya ini akan menjadi tujuh buah naskah yang tebal2 isi dan kulitnya. Tapi itu kalau buku. Manakala saya menulis ini bagai berkata2 dengan hati sahaja. Lebih kepada diari usang yang entah bila akan tiba penamatnya

................

Kehidupan seperti biasa. Masih tiada apa-apa yang berubah walaupun saya maklum ramai antara rakan2 saya yang berusaha menuju kepada perubahan itu. Dan untuk seorang rakan di Selatan sana, tahniah atas perkhabaran gembira. Sejujurnya, saya mahu rasa gembira demi manusia lain. Dan untuk sahabat baik saya yang dulu sempat kita menjadi musuh (eh?), pastinya ketibaan tahun hadapan adalah perkara yang paling ditunggu2nya. Menukar status dari sendiri kepada berdua nampaknya benar membawa perubahan kepada manusia. Dan pastilah yang senyum2 sahaja terukir di bibir mereka

Saya mendoakan semuanya beroleh bahagia. Ahli keluarga dan sahabat handai saya. Anak2 murid yang tak terkira banyaknya. Semuanya, untuk kalian biarlah semuanya yang menggembirakan. Dan untuk saya, cukuplah sekadar ketenangan fikiran, agar tidak selalu kusut memikirkan letak duduk keadaan. Agar selalu bertenang walaupun dalam kelukaan dan kekecewaan. Itu semua adalah erti kata gembira bagi saya

.....................

Dalam pada melalu kehidupan yang gradual sahaja, sempat juga saya ke Gambang Waterpark minggu lalu. Sekadar membuang2 masa dan berehlah bersama keluarga. Namun seperti yang kalian maklum, saya terlalu malas untuk berkongsi apa yang saya lakukan dengan keluarga di sana. Ramai orang yang menjadikan laman mereka seperti travel log, namun saya masih juga begitu. Teringin juga namun saya tak mampu. Saya lebih suka begini. Konservatif dan tersendiri

......................

Untuk rakan2 yang sudi menjadi followers yang gambar2 kalian terpampang di sudut kiri laman saya, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Masih ada yang sudi membaca walaupun kuantiti penulisan saya tidaklah sebanyak mana. Terima kasih (^^)

......................

Dan ada gambar2 perkahwinan yang masih saya perhalusi sebelum memberinya kepada tuan empunya badan yang sudah sebulan melangsungkan perkahwinan. Sudah saya siapkan beberapa minggu yang lepas, cuma sementelah ada masa, saya melihat2 kembali kalau2 ada keping2 gambar yang boleh diolah dan diperindah. Begitulah selalu apa yang saya lakukan dalam hidup

....................

Ya, sekadar itu untuk mengisi masa lapang yang masih berbaki ini. Sambil2 memenuhkan ruang2 kosong dalam diari hidup yang hampir tujuh tahun terhasil. Terima kasih buat semua mata2 yang sudi hadir. Bertandang dan bertandang lagi. Mengharapkan ada sebaris dua yang saya coretkan di sini. Saya akan menulis lagi jika diberi keiziznan dan jika umur panjang. Saya tetap ada cuma kadang2 memilih untuk kekal bersunyi2 dan berdiam2 sahaja

Salam kasih sayang,

Tini Omar

Saturday, December 10, 2011

Jalan2 Kuala Lumpur

Ada sedikit gambar2 menggedik dengan family tersayang yg saya nak paparkan kat sini untuk kenang-kenangan. Nasiblah jadi fotografer. Fotografer mana pernah ada gambar sendiri. Ok, ini lah dia jalan2 Kuala Lumpur







ibu dan ayah tersayang. Mmmuah!

Wednesday, November 23, 2011

Sekali lagi, untuk engkau yang jauh

Sekali lagi aku menulis ini untuk engkau. Engkau yang mana bisa mampu membaca

Ini pesanan kedua, setelah hampir 7 bulan aku tidak menulis sejak yang pertama

Hari ini hari Rabu. 23 November 2011. Mendung hari ini dek hujan yang turun malam tadi. Dari Puchong sampai Cheras, kebanyakan tanah basah berbekas titis hujan. Aku memandu perlahan, seperti biasa. Melihat jauh di ufuk yang kelam2 dek mentari yang terhalang di sebalik timbunan awan gemawan. Sejuk, dingin dan mendamaikan. Namun di tanah yang menambus engkau sekarang, tidaklah dapat aku pastikan. Ah, tapi engkau pemuda gemilang, kawan. Biar di tanah mana pun kau berada, senantiasa engkau di puncak jaya. Hidup matimu memang nampaknya yang molek2 saja. Baguslah

Keadaan di bumi ini seperti selalu, kawan. Tiada banyak yang berubah. Kalau sudi engkau mendengar, akan aku ceritakan satu persatu moga kau tak jemu2. Manusia masih suka bertelagah. Hidup tidak sudah2 dengan pendapat dan mafhuman individualistik mereka. Kalau ada kebanyakan dari manusia2 hidup yang mahu berjuang ke arah yang namanya 'keadilan dan ketelusan' itu, lalu sering sahaja dianggap serong dan tidak bertamadun oleh yang lain pula.

Manusia di zaman ini masih seperti dulu-dulu juga. Mereka melanggar lalu membiarkan anak kecil terdampar tanpa rasa berdosa. Sungguh pelik melihat mereka. Sepelik memikirkan apakah agaknya yang bermain di fikiran mereka. Di mana hilang deru rasa mereka

Negara kita telah memenangi pingat emas dalam acara bola sepak di sukan Sea yang lepas. Betapa seronoknya aku lihat penyokong2 dan peminat2 kita meraikannya. Ah, aku tidak tahu kalau2 engkau mengikuti bola sepak ataupun tidak. Sekadar aku bercerita, kalau2 kau mampu membaca

Politik masih seperti dulu. Menonton yang mereka namakan berita di kotak2 tv pun selalunya memualkan. Adakalanya diulang tayang perkara yang sama lalu seakan2 aku menonton video yang dirakam pula. Segalanya terasa amat jelik dan meloyakan. Entah apalah yang berkhasiat lagi yang boleh diterima badan dan pemikiran. Rasanya memang tidak ada

Kalaulah mampu engkau menonton segala sketsa ini sepertimana engkau menonton tv, sudah tentu engkau juga akan mencoret sebaris dua, tentunya. Dan kalau begitu ada kisahnya, tentulah laman engkau akan menjadi laman paling makmur, kerana mampu kau menceritakan betapa benarnya pesanan2 agama yang dulu kita abaikan

Engkau yang jauh di sana,

Kalau dalam sebulan dua pemergianmu isterimu lebih banyak berdiam mengumpul semangat, kini beliau aku lihat telah mampu bangkit. Walau pasrahnya masih bersisa, beliau aku kira tenang saja mengemudi kehidupan demi anak2 yang engkau tinggalkan. Dengarnya beliau kini sudah mendapat pekerjaan. Semoga hendaknya beliau diberikan keringanan dan kemudahan untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang bukan calang2

Kesayanganmu yang berwarna putih itupun aku dengar sudah tiba di tanah semenanjung kita. Alangkah gembira isterimu menerima kehadirannya. Sebagaimana menanti2 engkau juga. Beliau sudah tahu memandu, barangkali boleh jatuh airmatamu kalau dapat engkau menjadi penumpang yang duduk di sebelahnya. Sebak aku membaca keluhannya yang singkat2 itu. Kadang2 sampai bergenang air mataku. Aku tahu beliau rindukanmu

Anak2mu sihat saja. Aku pernah berjanji mahu mencoret sesuatu buat Embun yang dingin dan Kekwa yang harum. Namun entah bila jejari akan mula bekerja kerana selebihnya aku memang selalu sibuk dengan segala urusan dunia. Kalaulah mampu aku tinggalkan sekalian itu, sudah tentu aku lakukan tanpa segan silu. Namun aku masih bernafas, darah masih mengalir deras. Aku mesti terus hidup di dunia yang mencabar ini. Hendaknya dengan ketaqwaan yang tak berbelah bagi

Mungkin sekali aku menunggu puteri2mu sedikit dewasa agar segala yang aku tulis ini dapat dicerna oleh lobus mereka. Dan selebihnya aku tidak sabar2 melihat mereka membesar dan salah seorang darinya akan menjadi pemuda yang daring seperti engkau :) menulis ikut suka dan menegur dengan hemahnya. Bukan mudah mendapat pemuda seberanimu. Entahkan Embun entahkan Kekwa yang mewarisi keberanian itu. Tapi aku rasa Embun. Ya, Embun yang lincah dan petah

Kawan,

Ramai kini aku kira pemudani di sini yang mahu menjadi isteri solehah seperti isterimu. Banyak benar rasanya yang mula belajar untuk menghargai suami2 mereka dan mencintai segenap daya. Alhamdulillah. Aku sentiasa melihat perkembangan ini dengan senyuman saja. Aku memang tidak akan berumahtangga pastinya. Sekurang2nya itu yang aku sematkan dalam fikiran. Bukanlah aku tidak takut untuk tidak diterima sebagai umat Muhammad, namun perkahwinan itu bukan sesuatu yang boleh aku ceritakan dengan perkataan. Jadinya aku terkecuali dari terkesan dengan cinta dan sayang yang sedemikian

Aku tahu kalau engkau mampu mengomen, akan kau tulis 'Hey Tini, kumbang bukan seekor!'. Dan sudah tentu engkau tidak mahu aku menjadi seperti Rabiatul Adawiyah yang terus-terusan bersendirian sahaja. Namun bukanlah itu yang aku gusarkan, melainkan aku ada alasan tersendiri yang sukar sebenarnya untuk dijelaskan biar kepada mana2 telinga pun yang sudi mendengar

Ahmad,

Bagaimana agaknya hidup di alam sana ya? Bagaimanakah agaknya tempatnya? Tidaklah dapat aku bayangkan dan fikirkan dengan ilmuku dan yang tidak sebanyak mana. Kalau mampu engkau khabarkan, aku rasa sudah pasti engkau akan kongsikan penghidupanmu di alam sana agar dapat dibaca oleh semua. Namun ada perkara yang lebih elok untuk dipercaya dan diyakini dengan keimanan saja. Bahawa setiap kematian adalah jembatan untuk kehidupan yang lebih kekal di sana

Pasti ramai yang merinduimu. Lebih2 lagi isteri, anak2 dan keluargamu. Mawar selalu mengeposkan gambar2 lamamu dengan anak2. Kadang2 diposnya gambar2mu sewaktu muda. Ah, aku tahu sangat beliau rindukanmu. Masakan tidak. Kadang2 aku mengeluh membaca keluh-kesahnya. Keluhan yang seperti dia juga. Sehingga beliau tidak dapat menyorokkan lagi rasa rindu yang tak terbendung di dada. Untunglah Ahmad, dikau dikurniakan isteri yang mencintaimu sepertimana hebatnya engkau mencintainya. Dia masih cinta, masih!

Sekarang ini lamannya yang merah jambu itu lebih popular mungkin dari lamanmu sendiri. Mungkin kalau engkau mampu melihat, engkau akan cemburu dan iri hati melihat laman beliau yang dikunjungi ramai peminat. Dulu lamanya tidak sesegar sekarang. Mungkin kerana dulu ada engkau yang menulis, jadi beliau hanya membaca. Namun kini tangan yang menulis itu telah tiada, jadi nak tak nak, harus diusahakannya juga

Kredit, kredit kepada beliau dan kecekalannya. Ditinggalkan bukan mudah, Ahmad. Menahan sebak di dada dengan senyum tawa, serasa bagai dirobek2 jiwa. Tidak perlulah aku bertanya kepada beliau, apakah beliau rindukanmu? Kerana amatlah terlalu mustahil untuk beliau hidup tanpa rasa rindu. Ah, hendaknya kalian bertemu di suatu waktu tertentu

Syabas, semoga ramai yang sepertimu. Dengan nama yang tetap segar, walau jasad jauh dipagar. Akan aku menulis lagi untuk engkau, sepertimana yang selalu aku tulis di zaman engkau masih bernyawa. Semoga hendaknya menjadi keinsafan kepada mata2 yang membaca.

Tinggal dulu, Ahmad. Dan sekadar Al-Fatihah ini yang mampu aku hulurkan, menemanimu yang sendirian tak berteman. Jumpa lagi, kawan. Sampai waktu Tuhan tentukan

Al-Fatihah

Monday, November 14, 2011

Saya mahu kalian membaca

Di pagi Isnin ini, saya mahu kalian membaca

Sungguh, saya benar2 mahu kalian membaca. Dahulu, bila saya ke seberang, saya menulis kisah ini. Dan bila saya ke Utara, saya menulis yang ini pula. Lalu bila saya menerjah selatan, ceritera ini seakan2 saya yang mengalaminya. Walaupun saya cuma sekadar berada di sana dan melihat dengan mata, namun pengalaman dan kehidupan mereka terasa-rasa bagai kehidupan saya juga

Saya mahu kawan2 yang bertandang di laman saya untuk membaca semua entri2 lama saya. Sementara saya tidak lagi kemana-mana, dan penulisan saya seakan terhenti dek masa yang terlalu banyak dihabiskan demi kerja dan kerjaya, saya tidak mahu kalian hadir ke sini lalu merasa hampa

Saya suka andai kalian membaca. Kalian mesti membaca walau apa jua isu dan jika ada atau tiadanya kisah2 dari saya. Saya akan menulis bila kesedaran dan keindahan itu datang. Saya perlu ruang dan 'mood' yang membantu saya untuk berkarya. Ya, sekali imbas saya bukan penulis yang baik kerana saya tidak boleh menulis dengan rutin masa. Saya hanya menulis bila2 saya suka. Menulis sedikit tapi bermakna

Bacalah. Baca, kerana dengan membaca sahaja kita dapat lari jauh ke dunia orang lain lalu berjaya kembali menginsafi diri di dunia milik kita

Baca, kerana dengan membaca jugalah kita kenal siapa kita dan siapa Pencipta

Baca

Friday, November 04, 2011

Resah di hati papa

Aku lihat wajah papa muram. Namun masih berbaki ketenangan yang mungkin sengaja papa biaskan. Agar tidak terlalu nampak akan kesedihan dan kepasrahan hatinya. Aku tahu dan sedar bahawa papa sedang bersedih. Kepasrahan hatinya itu terlalu jelas lebih2 lagi apabila ada yang bertanyakan soalan tentang perkara itu. Namun untunglah papa masih ada mama yang sudi menyokongnya dari belakang. Mama yang sudi membelai dan memujuknya bagai memujuk anak kecil yang menangis kerana tidak dapat dipenuhi hajatnya. Untunglah seorang lelaki jika mempunyai seorang wanita yang kekal setia berada di sisinya saat suka duka

Ahad ini kita akan menyambut Hari Raya Iduladha. Hari Raya Korban yang menuntut sebenar2 pengorbanan. Seperti papa yang terpaksa mengorbankan keinginannya untuk mengerjakan haji tahun ini. Bila papa bersedia sungguh2, dengan wang pendaftaran yang bukan sedikit dikeluarkan, kursus yang dihadiri, latihan diri dari segi perbuatan, emosi dan perkataan, semua itu berlansung di depan mata ini.

Papa rasa dirinya sudah bersedia mengadap Ilahi, kerana memang itulah saja yang diingininya. Entah kenapa beliau beria benar, bagai tidak ada esok lusa. Entahlah, mungkin papa merasakan bahawa hari2 mudanya terlalu banyak disia-siakan pada dunia dan kebendaan, dan serasa mahu saja dia membayarnya semula dengan berjumpa dan bertandang sendiri ke rumah Allah sana. Namun apakan daya, di tahun ini tiada yang menjemputnya

Papa masih muda. Baru 51. Mungkin sebab itu nama beliau masih belum tersenarai. Namun ada ramai lagi manusia2 di dunia yang masih bersuka ria hatta di umur 61 pun. Cuma itulah, papa seorang yang cepat belajar dari silap dan salah, dari khilaf dan dosa. Papa tidak pandai mengaji. Ada pernah aku tuliskan di laman ini tentang kisah itu. Namun sekarang dia telah arif. Papa belajar dengan usaha yang terlalu deras. Untuk membaca segala ayat2 tuhan dengan lancarnya. Dan sekarang papa mampu, mampu mengimami solat sekeluarga. Mampu mengqada kan solat2 yang tercicir di kala muda

Papa mengaji hari2. Setiap kali lepas solat. Kedengaran suaranya sayup2 mendendangkan ayat2 suci Al-Quran. Aku pejam mata dan malu sendiri. Aku yang lancar dan belajar mengaji dari kecil sampai besar pun terlalu malas dan berat untuk menjadi macam papa. Sejenak aku terkenang, benarlah bahawa Tuhan memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Aku tidak ada pengalaman macam papa. Aku belajar mengaji dari kecil sampai dewasa. I take things for granted. Disebabkan aku memang tahu mengaji dan kenal hukum hakam, ada banyak perkara yang aku terlepas pandang. Namun papa orang tua yang belajar di zaman tuanya. Dan kerana itu beliau menghargai segala-segala yang dipelajarinya. Setiap baris, titik dan tanda. Ah, sangat teliti mata tua itu

Papa kata persediaan untuk ketanah haram mesti dilakukan dari sini. Bukan setakat persediaan seperti mengetahui hukum2 bacaan dan sebagainya, tawaf di padang depan rumah selama beberapa jam sehari demi membiasakan fizikal dengan tawaf sebenar nanti, atau sekadar persediaan luaran yang mampu diperhati. Apa yang lebih penting adalah persediaan dalaman dan rohani. Persediaan jiwa dan emosi. Mempertingkatkan mutu sahsiah agar semua yang baik2 terbawa2 sampai ke sana. Memperhalusi dan membentuk niat2 yang ikhlas dari sekarang, hingga yang ikhlas dan tulus itu akan terbawa2 hingga ke tanah haram

Itulah yang papa sebut dan beritahu ketika kami sembang2 di waktu petang mengadap halaman. Papa katakan bahwa dia benar2 mahu menunaikan haji. Benar2 mahu merasa melangkah dan mengagungkan Allah, tuhan yang Maha Berkuasa. Dan papa lakukan sedaya upaya agar dapat menyelesaikan rukun islam kelima itu bersama2 dengan mama. Kalau boleh, di tahun ini

Namun dua minggu lepas bila aku tanyakan apakah status permohonan haji papa, papa sambut dengan seyuman yang tidak berjaya menutupi kepasrahan hatinya.

- "Tak dapat lah kak. Tak ada rezeki nampaknya".

Mama menyambut keluhan itu dengan tepukan lembut di bahu papa,

- "Mungkin ada banyak perkara yang Tuhan mahu kita pelajari, sebelum kita datang lalu menjadi tetamunya nanti. Insyallah, kalau ada jodoh, ke sana juga kita"

Ada air mata yang aku tahankan di saat mendengar jawapan mama dan senyuman papa. Oh Allah Azzawajalla, jika lah tidak sempat mereka ke sana, maka Engkau terimalah niat dan keinginan haji mereka yang meronta2. Dan berikan aku kekuatan agar dapat menyempurnakan harapan itu. Namun jika masih ada sayang dan cinta, jemputlah mereka sendiri datang bertemu-Mu. Dan sambutlah mereka dengan cinta dan kemaafan yang takkan jemu2

Ini keinginan paling bermakna. Dan hanya diberikan kepada mereka yang Dia ingini sahaja

Hari raya Qurban yang berkat, dengan pengorbanan yang terlalu berat

Untuk tetamu2 Allah di sana, Selamat menunaikan ibadah. Mabrur insyallah

Monday, October 31, 2011

Kali pertama saya menulis

Ini kali pertama saya menulis dalam bulan ini. Kokok ayam yang saya dengar pagi tadi seolah-olah mengejutkan saya dari lena yang panjang. Bahawa saya sudah lama tidak menjenguk laman saya yang kian usang. Saya tidak mahu bertanya atau berteka-teki adakah masih ada manusia2 yang sudi datang menjenguk cerita2 saya di laman ini, itu saya sudah tidak mahu ambil tahu. Kerana memang nampak benar bahawa sekarang ini saya malas mahu mencoret sesuatu. Baik buat manusia, baik buat diri saya sahaja. Memang terasa benar malasnya

Saya tidaklah sesibuk mana. Banyak juga masa saya yang saya buang dan habiskan begitu saja. Sekadar bermenung2 dan berfkir tentang apakah yang akan terjadi kepada saya, kepada dunia. Namun saya tahu, masalah tidak akan selesai dengan duduk2 saja. Rezeki tidak akan terhasil dengan hanya bermuram durja. Ini dunia yang serba fana, ada hal2 dan kepentingan lain yang harus saya lunasi sebelum ke sana

Ada banyak yang bermain di minda saya. Namun tak semuanya dapat saya tuturkan. Ada yang saya simpan kerana saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Ada yang saya simpan demi menjaga hati manusia. Dan ada juga yang saya simpan kerana saya rasa ia lebih baik untuk disimpan dan didiamkan sahaja

Saya sudah bosan. Tapi itu cakap2 yang senang. Bosan memang senang untuk diperkatakan. Namun setelah menyatakan kebosanan itu, apakah yang akan berlaku? Tiada apa2. Ya, tiada apa2 yang akan berubah jika saya hanya sekadar menjerit2 di dalam hati saja. Saya perlu bertindak. Namun sebelum bertindak dan bergerak, ada beberapa perkara yang perlu saya fikirkan dan selesaikan

Saya makin tua. Jujur. Gambar rakan2 di fesbuk telah berubah kepada gambar2 konvo, kepada gambar2 perkahwinan, kepada gambar2 bayi mereka yang kemain comelnya. Namun saya? Ah, apa dikesal yang Tuhan beri. Anggap saja tidak ada rezeki. Ramai kawan2 yang menjadi mama baru, papa baru, suami2 baru dan isteri2 baru. Kepada kalian, tahniah jugalah yang saya ucapkan. Semoga hendaknya kebahagiaan kalian berkekalan

Saya berkira2 tentang masa depan saya yang tidak lama pun lagi akan mengetuk angka TIGA. Oho, betapa cepatnya masa berlalu. Dan angka tiga itu selalu saja membuat saya tersenyum. Apa dirisaukan umur yang meningkat tua. Meningkatnya umur bermakna makin meningkatlah pengalaman. Makin meingkatlah pemahaman dan makin meningkatlah usaha dan jalan menuju tuhan. Begitulah hendaknya yang saya congak2 dalam kalkulator hidup yang masih berbaki satu dua episod. Entahkan sampai bila jangka hayatnya, tiadalah dapat saya meneka

Akan saya datang dan menulis lagi nanti. Doakan saya diberi kekuatan agar tidak malas dan layu dan lesu. Saya sayang diri dan kehidupan saya. Biar apa jua duri dan pancarobanya, saya teramat sayang dan menghargainya. Terima kasih jualah kepada Tuhan yang mencipta segala

Syukur dan terima kasih kerana sudi membaca