Wednesday, July 12, 2006

Aku datang lagi

Lama rasanya blog ini kubiar sepi. Seolah-olah rumah usang yang tidak berpenghuni. Bukan menyendiri, cuma masa tidak mengizinkan aku mencatit sebait dua di sini. Namun jangan bimbang wahai kalian. Kerana sekarang aku telah kembali. Kembali membawa pelbagai ceritera suka duka untuk dikongsi bersama. Moga-moga ceritera kali ini dapat pula membuka mata-mata yang selama ini pejam, atau mungkin dapat pula mencelikkan mata-mata hati yang selama ini kusam muram.

********************************************
Di pulau S itu…

Perjalanan ke pulau itu mengambil masa lebih kurang 45minit menaiki bot nelayan. Pertama kali, kaki kujejakkan di atas periuk nasi nelayan itu, hatiku sayu. Segala-galanya serba kekurangan di ruang mata. Sukarnya wahai, jika benar itulah yang kita namakan kenderaan si penangkap ikan. Bot kecil yang bergetar dengan bunyian enjin itu menderu perlahan. Sekali-sekala bayu laut berhembus deras, mengalunkan bot terhuyung-hayang ke kiri ke kanan. Pantas terpercik di wajah percikan ombak yang masin di lidah. Erat genggaman tanganku di palang bot. Risau benar akan terjadinya perkara tak diduga minda. Pukulan ombak yang deras memeningkan kepala. Sekali-sekala terasa seperti mahu terburai segala yang dikandung perut. Kupejam mata erat. Nafas kutarik dalam. Masih belum kuat rupanya diriku menghadapi cabaran yang satu. Ah Tini, anak bandar benar kau rupanya. Mana mampu membelah lautan mahupun sekejap cuma. Namun ku gagahi jua cabaran ini. Aku bukan makhluk angkuh sombong yang malu mencuba sesuatu yang asing dengan jiwa. Cuma mengenangkan bot nelayan itu…… di depan kekunci ini pun masih terasa alunan ombaknya. Tapi mungkin, segala-galanya akan jadi mudah dengan peredaran masa.

Kujelajahi pulau itu dari hulu hingga hilirnya. Dari muara sampai kualanya. Berkapasiti 200 orang penduduk, pulau itu agak kecil jika dibanding dengan pulau-pulau yang pernah kulawati. Terdapat sebuah sekolah rendah yang mempunyai pelajar lebih kurang 30 orang dengan 5 orang guru bertugas. Asing benar. Dan kagum benar aku. Ada jua pendidik yang sanggup turun laut meredah ombak semata-mata mahu mendidik anak bangsa. Guru2 seperti itu patut diberikan pengiktirafan. Demi mengajarkan ABC, laut China Selatan itu mereka renangi. Khabarnya ada seorang guru muda yang datang dari kota. Kepingin benar kuberjumpa namun mungkin tidak di kali ini. Biarlah, mungkin kan tiba masa dinanti. Yang pasti, ramai lagi anak2 kecil disini yang dahagakan ilmu dan petunjuk. Masih lagi mentah dan kelat tanpa pendidikan dan perlembagaan yang jitu, mantap. Sama sekali berbeza dengan kehidupan di bandar besarku. Walaupun aku bukan anak pulau, aku pasti penghuninya hanya menunggu masa untuk merasai nikmat pembangunan. Jika tidak sekarang, mungkin di masa hadapan.

Petang itu kusembang kecil dengan penduduk kampung. Ada lagi anak2 muda yang masih sayangkan tanah tumpah darah mereka. Suka membantu ibu ayah dan kagum dengan gelaran nelayan cuma. Sedetik aku berbangga. Dan sekilas aku bertanya, mampukah di ‘upgrade’ keadaan keluarga jika hanya berada di takuk lama, terus berdiri di tempat yang sama. Perubahan memerlukan pengorbanan. Namun pengorbanan selalu disalah-ertikan kerana selalu juga disalahgunakan.

Ibu bapa mungkin kurang mengizinkan anak2 keluar dari pulau mencari wang dan pengalaman. Kerana takut anak2 buta dan lemas dek arus zaman dan gelora kebandaran. Lalu lupa pula asal usul dan nenek moyang. Kerana alasan itu, ibu bapa lebih redha mengorbankan kesenangan yang mampu dicapai. Rela menerima kesukaran hidup yang sebenarnya mampu dilerai. Anak2 pula tidak mahu membuktikan pada ibubapa bahawa niat mereka itu suci, dan hanya sekadar ingin membaik pulih keadaan keluarga yang miskin, dhaif. Kerana anak2 cepat ta’sub dengan kebendaan yang diserah ada makna, dan dengan wang ringgit yang dihulur tanpa jujur. Anak2 muda lupa bahawa keadaan bandar yang leka lagi melekakan itu lebih mampu melemaskan mereka waima tanpa arus yang datang mencurah. Nah, kerana sebab itu penduduk pulau itu masih di situ. Masih diam terkaku membatu. Bagai diluah mati bapak, ditelan mati ibu. Yang tua dengan alasan mereka, si muda dengan fahaman dan angukkan sahaja.


Namun bersyukurlah mereka masih menjadi warga yang cekal jatidiri. Masih lagi mengenal pencipta abadi, Allahu Rabbi. Kerana terlampau leka dengan damainya bayu senja, aku dikejutkan dengan laungan azan yang merdu mengasyikkan. Oh, masih suci rupanya pulau ini berbanding bandarku sendiri….

***********************************************

Pulau itu kutinggalkan dengan azam dan semangat baru. Berpandukan azimat yang dibekalkan oleh pemikiran dan minda yang padu. Aku ke pulau itu untuk satu tujuan- memperbaiki segala yang kurang. Moga jua pulangnya aku dari pulau itu dapat membaik pulih kekuranganku yang lalu. Aku ke pulau itu untuk meninjau bagaimana jerih payah insan2 yang dipilih Tuhan. Moga dengan kembalinya aku, aku dapat menilai dan menghargai setiap kurniaan yang Allah berikan. Tak kira kegembiraan mahupun kesedihan. Sekembalinya aku dari pulau itu pasti lah menagih sesuatu yang unik dan unggul dari orang2 yang setia menunggu. Jika tidak dapat pun menjadi seorang ketua yang mampu memimpin dengan karisma, sekurang-kurangnya aku boleh menjadi seorang pengikut yang patuh dan setia. Nah, sekarang semuanya terpulang kepada aku. Kerana jatuh bangunnya aku adalah ditanganku. Moga2 ada lah Allah sebagai teman penunjuk jalan yang satu.

No comments: